Wednesday, February 29, 2012

Usah buka aib insan lain


BARU-baru ini, saya sempat mengikuti satu kuliah Maghrib yang disampaikan seorang ustaz berkisarkan riba. Ustaz itu sempat membacakan hadis diriwayatkan Abdullah Bin Mas’ud.

Hadis itu menyatakan, riba mempunyai 73 cabang pintu. Dosa paling ringan bersamaan dosa seorang anak lelaki berzina dengan ibunya, manakala dosa paling berat seperti menjatuhkan maruah seorang Muslim. Namun, bukan persoalan riba yang mahu saya fokuskan, sebaliknya betapa pentingnya menjaga maruah dan aib orang lain.

Bayangkan betapa besar dosa berzina dengan ibu kandung. Tidak tergambar untuk difikirkan, malah sangat meloyakan untuk menyebutnya. Namun, Rasulullah SAW menyatakan dosa menjatuhkan maruah seorang Muslim yang lain adalah lebih besar daripada dosa itu.

Jadi bayangkan, dosa yang mungkin kita anggap kecil tetapi sebenarnya sangat besar di sisi Islam. Mungkin kita tidak sedar selalu bercerita mengenai keaiban orang lain bersama rakan atau jiran sehingga menjadi rutin seharian dalam hidup kita.

Sesungguhnya Islam itu meletakkan maruah seseorang di tempat yang sangat tinggi. Justeru itu, seorang Muslim tidak berhak mencemarkan maruah seorang Muslim lain dengan menjaja atau membuka aibnya.

Ketika zaman Nabi Musa AS, tersebut kisah yang menyatakan kaum Bani Israil ditimpa kemarau berpanjangan. Mereka berjumpa Nabi Musa AS dan berkata: “Wahai Kalamullah, berdoalah kepada Tuhanmu supaya Dia menurunkan hujan kepada kami.”

Lalu Nabi Musa bersama umatnya yang ramai ketika itu, berjalan bersama-sama menuju satu kawasan lapang untuk berkumpul. Kemudian berdoalah Nabi Musa kepada Allah supaya diturunkan hujan ke atas tanah gersang itu. Namun, hujan masih tidak kunjung tiba, sebaliknya matahari semakin memancarkan kepanasannya.

Kemudian Nabi Musa berdoa lagi dan kali ini Allah menjawab doanya dengan berfirman: “Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kalian, sedangkan di antara kalian ada seorang hamba di kalangan yang hadir berdoa, melakukan maksiat sejak 40 tahun lalu. Umumkanlah di depan manusia supaya dia berdiri di depan kalian semua. Kerana dialah Aku tidak menurunkan hujan untuk kalian.”

Lalu Nabi Musa mengumumkan firman Allah itu. Saat itu, seorang umatnya tahu dialah orang yang dimaksudkan. Lalu terbisik di hatinya: “Kalau aku keluar di depan manusia, akan terbukalah rahsia ku. Kalau aku tidak berterus-terang, hujan pun tidak akan turun.”

Hatinya menjadi gundah gulana hingga menitis air matanya sambil berkata dalam hati: “Ya Allah! Aku sudah melakukan maksiat kepada-Mu selama 40 tahun tetapi Engkau tidak pernah membuka aibku. Aku bertaubat kepada-Mu sekarang, maka terimalah taubatku.”

Saat itu langit mula mendung dan hujan mulai turun. Nabi Musa kehairanan kerana tidak ada seorang pun muncul untuk mengaku seperti dikehendaki Allah. Lalu Allah menyatakan bahawa orang itu bertaubat kepada-Nya.

Nabi Musa seraya berkata: “Tunjukkan aku siapakah hamba-Mu yang taat dan beriman itu.” Namun Allah menjawab: “Ya Musa, Aku tidak membuka aibnya padahal dia bermaksiat kepada-Ku. Apakah Aku membuka aibnya, sedangkan dia taat kepada-Ku!”

Begitulah Allah memelihara aib hamba-Nya, sedangkan kita tahu siapa kita di sisi Allah yang Maha Agung. Kerana itu, Allah mengingatkan kita supaya sentiasa menjaga maruah orang lain seperti dalam firman-Nya di dalam surah Al-Hujurat ayat 12, bermaksud: “… dan jangan kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan jangan sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain.

“Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

Kerana itu, jika kita lihat sistem perundangan Islam, kita dapati Islam memelihara maruah pengikutnya. Sebagai contoh, sebelum menjatuhkan hukuman sebatan 100 kali terhadap penzina (belum berkahwin), beberapa syarat wajib perlu dipatuhi. Antaranya, si pengadu hendaklah membawa empat saksi yang adil, yang melihat dengan mata sendiri dan saksi itu hendaklah bukan daripada kalangan fasik.

Jika gagal, hukum sebatan 100 kali itu akan ditukar kepada hukuman lebih ringan jika perlakuan zina itu dapat dibuktikan dengan cara lain. Begitu juga dengan si penuduh, jika gagal membuktikan pertuduhan dan didapati hanya berbohong, hukuman 80 kali sebatan akan dijatuhkan ke atasnya.

Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 4, bermaksud: “Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat saksi, sebatlah mereka dengan 80 kali sebatan dan jangan kamu menerima penyaksiannya itu selama-lamanya, kerana mereka itulah orang fasik.”

Itu antara contoh bagaimana Islam menitikberatkan soal maruah setiap penganutnya. Diletakkan syarat dan hukum ketat supaya maruah seseorang itu tidak dipersenda atau digadaikan dengan sewenang-wenangnya.

Contohilah akhlak Nabi SAW ketika menerima perkhabaran bahawa Ikrimah, anak kepada Abu Jahal, yang mahu memeluk Islam. Baginda berpesan kepada sahabat supaya jangan ditanya mengenai bapanya atau keluarganya (Abu Jahal) kerana bimbang dia malu. Sebaliknya, raikan dia sebagai saudara baru di dalam Islam.

Bagaimanapun, ramai daripada kita tidak menyedari perkara ini. Ada saja gosip mahu dikongsi bersama rakan atau jiran. Walaupun kadangkala apa digosip itu benar, tetap menjadi kewajipan kita memelihara aib seseorang. Sebuah hadis menyatakan: “Siapa yang menutup aib seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba- Nya itu menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Semoga Allah menutup keaiban kita, terutama ketika di padang Mahsyar nanti.

Mohd Hassan Adli Yahaya
hassan.adli@imhassan.my

Sepuluh pintu beri ruang syaitan menguasai manusia

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
BH 2012/02/29

ALLAH SWT berfirman bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.” (Surah an-Nisa, ayat 120-121).

Ayat ini jelas menerangkan kepada manusia antara sikap jahat syaitan terhadap manusia iaitu membisik ke dalam hati kita angan-angan kosong seperti menyangka sudah memiliki pahala yang banyak menerusi amalan yang dilakukan lalu manusia pun berfikir ‘aku layak mendiami syurga’ tanpa perlu meningkatkan lagi amalan.

Punca mengapa manusia mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan ini ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.

Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada ketika kita sedar atau tidak, sebenarnya ia menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri.

Apabila syaitan sudah menjadi raja di dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa juga perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat dan waktu akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan merayap menguasai tunjang di dalam badan manusia.

Pada ketika itu, syaitan berlumba-lumba untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati itu dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah.
 
Namun, beruntunglah manusia yang berupaya menangkis godaan itu. Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu iaitu:


  • Pertama – melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat ini mudah tersemai dan subur dalam diri manusia. Ia berpunca sikap ego manusia yang mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.
  • Kedua – melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah. Ia seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak (benar).
  • Ketiga – melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang berasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan nikmat yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur.” (Surah an-Nahl, ayat 23)
  • Keempat – sifat khianat. Khianat yang dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.
  • Kelima – sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Junjungan Rasulullah selalu menasihati sahabat menjauhkan diri daripada menjadi golongan keempat ini kerana ia dibenci Allah
  • Keenam – melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu seperti api memakan kayu yang kering.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
  • Ketujuh – melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua, orang yang berilmu dan imam (pemimpin) yang adil.” (Riwayat Muslim).
  • Kelapan – melalui sifat ‘ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang saja.” (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)
  • Kesembilan – melalui sifat suka berangan-angan. Islam agama yang menentang sifat malas. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia.
  • Ke-10 - melalui sifat buruk sangka. Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang rosak dirinya.” (Riwayat Muslim)

Friday, February 24, 2012

Kehebatan ilmu, keberanian si buta

Tazkirah Remaja
Bersama Datuk Mohd.Zawawi Yusoh

SIAPA tidak kenal dengan seorang sahabat yang sangat berani walaupun tidak boleh melihat? Beliau digelar Ibnu Ummi Maktum atau nama sebenarnya Abdullah bin Qais bin Zaidah bin Al-Asham. Beliau anak daripada seorang ibu bernama ‘Atikah yang biasa dipanggil Ummi Maktum. Abdullah ibnu Ummi Maktum termasuk salah seorang yang mula memeluk Islam.

Beliau juga antara tujuh orang yang berani menampakkan ke Islamannya di Makkah.
 
Beliau merasakan ajaran Islam menjadikan hatinya bersih, walaupun matanya tidak dapat melihat.

Itu adalah nikmat besar yang dikurniakan Allah kepadanya. Abdullah ibnu Ummi Maktum memiliki ilmu dan adab istimewa yang dianugerahkan Allah kepadanya, menggantikan kebutaan matanya sebagai cahaya dalam pandangan dan pancaran hati.

Beliau memang tidak dapat melihat, tetapi dapat melihat menggunakan mata hatinya. Hatinya dapat mengetahui apa yang tersembunyi. Beliau berhijrah ke Madinah pada pasca perang Badar dan menjadi muazzin kedua Rasulullah s.a.w selepas Bilal bin Rabah.

Rasulullah menunjuk Abdullah ibnu Ummi Maktum sebagai penggantinya untuk mengimamkan solat umat Islam di Madinah ketika Rasulullah pergi ke medan perang.


Ibnu Ummi Maktum seorang sahabat Rasulullah yang mendapat teguran daripada Allah s.w.t. Satu hari beliau mendatangi Rasulullah untuk mempelajari al-Quran. Ketika itu, Rasulullah sedang berbicara dengan tiga orang Quraisy, mengajak mereka memeluk Islam. Lalu Rasulullah berpaling muka terhadap Ibnu Ummi Maktum.


Kemudian turunlah firman Allah yang bermaksud: “Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling. Kerana Telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali dia ingin membersihkan dirinya (daripada dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya?
Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup. Maka kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia tidak membersihkan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran). Sedang ia takut kepada (Allah). Maka kamu mengabaikannya.” (Surah Al-a’la ayat 1-10).

Walaupun buta, Ibnu Ummi Maktum memiliki naluri yang sangat peka untuk mengetahui waktu. Setiap menjelang fajar, dengan perasaan jiwa yang segar dia keluar dari rumahnya, dengan bergantung pada tongkatnya atau lengan salah seorang Muslimin untuk mengumandangkan azan di masjid.

Beliau berganti-ganti azan dengan Bilal bin Rabah. Apabila Bilal mengambil giliran menjadi tukang azan, maka Abdullah ibnu Ummi Maktum yang iqamah.

Pada waktu fajar Bilal mengumandangkan azan untuk mengejutkan kaum Muslimin di sepertiga malamnya. Sedangkan Abdullah ibnu Ummi Maktum mengumandangkan azan pada waktu Subuh. Oleh kerana itu, Rasulullah menetapkan azan Abdullah ibnu Ummi Maktum sebagai sandaran habisnya waktu sahur.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Makan dan minumlah kalian hingga Ibnu Ummi Maktum mengumandangkan azan...”  Abdullah ibnu Ummi Maktum adalah orang yang sangat mulia kerana dua wahyu yang diturunkan Allah berkaitan dengan beliau.

Yang pertama adalah teguran terhadap Rasulullah yang ada dalam surat ‘Abasa dan yang kedua mengenai ketentuan berperang bagi orang yang mampu dan berhalangan dalam berperang.

Beliau memiliki hasrat yang besar untuk ikut berperang di jalan Allah walaupun matanya buta. Imam bukhari mengatakan dalam tafsir Ibnu Katsir juz 5 ketika turun firman Allah surat An-Nisaa’ ayat 95 yang bermaksud: “Tidaklah sama antara orang yang beriman yang duduk (tidak ikut berperang)...”.

Rasulullah memanggil Zaid bin Tsabit untuk menulisnya. Kemudian datanglah Ibnu Ummi Maktum yang mengadukan mengenai keadaan dirinya yang tidak dapat melihat.

Kemudian turun firman Allah yang bermaksud: “Kecuali yang mempunyai uzur...”
Walaupun ayat itu sudah diturunkan, beliau masih tetap memiliki hasrat yang tinggi untuk syahid di jalan Allah.  Akhirnya Allah mendengar doa beliau untuk berjihad dan menjadi orang buta pertama mengikuti perang dalam sejarah Islam iaitu perang Al-Qadisiyah. Ketika itu beliau membawa panji berwarna hitam sambil mengenakan perisai dan maju ke medan perang.

Abdullah ibnu Ummi Maktum adalah orang yang taat beribadah. Buktinya, beliau tetap mentaati perintah Allah dan Rasulullah untuk solat berjemaah di masjid walaupun beliau tidak boleh melihat.

Berbeza dengan Muslim hari ini, walaupun diberi penglihatan yang sempurna oleh Allah namun mereka tidak pernah solat berjemaah di masjid. Bukan saja tidak solat berjemaah di masjid, malah ada yang meninggalkan solat fardu. Kisah Ibnu Ummi Maktum memberi banyak pelajaran berharga kepada kita.

Beliau selalu bersyukur kepada Allah walaupun tidak diberi penglihatan. Berbeza dengan kita yang kadang-kadang mengeluh mata terlalu sepet atau terlalu besar.

Padahal kita masih diberi kesempatan daripada Allah untuk melihat dan menikmati keindahan alam menghijau. Beliau juga tetap ingin ikut berperang walaupun matanya buta. Semoga kita dapat meneladani sikap beliau yang tawaduk dan ketaatannya dalam beribadah. Paling penting adalah meneladani sikap beliau yang selalu bersyukur walaupun memiliki kekurangan.

Kenapa pula kita sering memperhatikan kekurangan dalam diri kita? Kekurangan yang sedikit lebih diperhatikan daripada kelebihan yang melimpah ruah.

Allah menciptakan segala sesuatu dengan sempurna dan sesuai dengan diri kita. Hanya saja kita lebih sering ber-suuzhon (buruk sangka) kepada Allah daripada ber-husnuzhon (berbaik sangka).

Orang yang ditakdirkan Allah s.w.t tidak boleh melihat bukanlah orang yang paling menderita di dunia ini kerana boleh jadi Allah menyelamatkannya mereka dari melakukan maksiat mata apabila diberi penglihatan

 

Sifat pemaaf mampu elak perpecahan


PEMAAF antara sifat luhur yang perlu ada dalam diri setiap Muslim. Banyak ayat al-Quran dan hadis. menekankan keutamaan sifat itu. Ia juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132).
Diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf.

Bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi?

Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.

Kadang kala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu.  Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekali pun. Punca itu boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.

Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri. Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar.

Jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan hingga melakukan pembunuhan.

Sebagaimana yang kita dengar pelbagai kes tidak masuk akal berakhir dengan tragedi pembunuhan menyayat hati.

Sebagai makhluk yang lemah dan sentiasa melakukan kesilapan, berdoalah kepada Allah supaya hati kita sentiasa dilembutkan serta dipermudahkan untuk menghulurkan kemaafan sekali pun kita berada di pihak yang benar.

Apa yang mendukacitakan, ramai kalangan isteri atau suami, ibu atau bapa terlalu berat untuk memaafkan kesilapan pasangannya dan kesalahan anak-anak mereka.

Mereka memiliki sifat keras hati dan tidak mahu mengalah apabila berada dalam situasi genting. Malah, ada yang sanggup bersumpah untuk tidak mengampunkan dosa dan kekhilafan sekali pun diminta berkali-kali.

Sikap negatif seumpama itu jika dibiarkan berleluasa dalam keluarga hanya membawa kepada pecah-belah dan anak-anak menjadi mangsa perceraian.

Rasulullah adalah contoh terbaik kerana sifat terpuji terserlah pada diri Baginda yang tidak pernah menunjukkan rasa marah hatta jauh sekali menyimpan perasaan dendam dalam hati.

Biar pun pelbagai cara dilakukan orang kafir dan Yahudi yang mengguris perasaan Baginda. Antara kisah paling masyhur berkenaan sifat mulia Baginda adalah diracun seorang perempuan Yahudi.

Walaupun sahabat iaitu Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing diberikan perempuan itu.

Namun Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya malah berdoa kepada Allah supaya diberi petunjuk dan hidayah hingga akhirnya beliau memeluk agama Islam.

Saidatina Aisyah berkata: “Rasulullah tidak pernah memukul sesiapapun, baik kepada isteri Baginda mahu pun pembantu Baginda, kecuali ketika berperang di jalan Allah. Dan Baginda tidak pernah membalas sedikit pun kepada sesiapa yang menyakiti hatinya, kecuali dalam perkara larangan Allah.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Anas menceritakan: “Ketika saya tengah berjalan bersama Rasulullah dan pada ketika itu baginda tengah mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: ‘Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun memakbulkan permintaan orang itu.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih).

Tiada ubat paling mujarab merawat penyakit hati melainkan dengan berlapang dada, memberi kemaafan secara ikhlas dan mengembalikan ketenteraman, ketenangan serta menambahkan khusyuk ketika beribadat.

Orang yang mudah memaafkan kesalahan orang lain, yakin dan percaya bahawa setiap keterlanjuran yang berlaku adalah ujian Allah. Mereka tidak terbelenggu dengan rasa marah berpanjangan. Pemaaf adalah mereka yang mulia di dunia dan akhirat.

Dahsyatnya Doa Seorang Ibu !!!


Satu ceramah bertajuk “Dasyatnya Doa Seorang Ibu” oleh Ustaz Abdullah Mahmud, bekas ustz ATM sungguh menarik dan jarang kita dengar. So kepada semua pengalamat luangkan sedikit masa berharga dengan membaca sedutan ceramah istemewa ini untuk kita sama2 hayati dan amalkan sekadar mampu. Di takdirkan anda malas juga nak baca, saya harap bacalah juga pada bahagian yang ada tanda **** ..
Ibu Kita dan Kita Sebagai Ibu
  • Lapangnya masa kita ada kaitan dengan keberkatan hidup kita. Kita adalah di bawah siksa Allah bilamasa ada masa untuk buat benda tak baik tapi takdak masa nak buat yang baik.
  •  Jika kita tak pernah kecukupan duit maksudnya kita disiksa Allah.
  •  *** Setitik air mata ibu jatuh, 10 kebajikan anak hilang so ibu2 jangan jatuh air mata ye and anak jangan bagi ibu jatuh air mata. Menangis kerana anak berjaya dan bukan sedih kerana angkara anak.
  •  Kalau balik tengah malam, buka lampu tengok dan tatap muka ibu, sebab wajah orang tidur akan menampakkan segalanya.
  •  Ada 3 mata yang tak dijilat api neraka.
  1.  Melihat kaabah sehingga menitis air mata.
  2.  Membaca quran sehingga menitis air mata.
  3.  Memandang wajah ibu yg sedar tidur / sedar hingga berlinang air mata.
  • 3 orang yg kita kena tengok dan selalu pandang dalam hidup, tengok masa tidor!
  1.  Anak.
  2.  Ibu.
  3.  Suami.
Sebagai Selingan Kata ustaz lagi, kalau kita ada perselisih faham dgn suami sampai nak bercerai, tgk lah muka laki kita tika dia tidor – kalau masih terbit perasan kasih, sayang, cinta, rindu atau simpati, janganlah bercerai tapi jika tiada timbul rasa itu semua – maksudnya jodoh dah memang takde, boleh proceed apa yang patut.. J
  •  Orang yang selalu menatap dan memandang ibunya takkan menangis di hari kematian ibunya… kira menangis dalam hati je..Bagi siapa yg masih ada ibu, pandang lah ibumu selalu.
  •  Adalah menjadi satu dosa jika kita mengguna jari telunjuk untuk menujukkan sesuatu pada ibu.
  •  Kalau ada niat yang baik teruskan lah.. Allah akan bersama kita.
  •  Kalau tak mampu lakukan sesuatu, pasang niat pun mencukupi e.g. tak mampu tolong org, niat nak tolong pun dah memadai.
  •  *** Kalau kita tak mampu letakkan diri kita di tempat yang terbaik, Allah akan letakkan kita di tempat terbaik dengan syarat letakan ibu kita di tempat yang terbaik terlebih dulu.
  •  Ada kaedah yang mana kita boleh minta pada Allah, “ungkit” kebaikan yang menimpa dengan tujuan untuk makbulkan doa kita. Kaedah tu dipanggil “wasilah amal” .
  1.  “Ya Allah semalam aku sudah bersedekah sebanyak RM1, kalau itu satu kebaikan jadikanlah ia penyebab makbulnya doaku ini”.
  2. *** Paling banyak buat baik dengan ibu kita, lagi mustajab. Makna dia wasilah amal ni sangat berkesan kalau yg dituntut tadi adalah hal yang berkaitan kebaikan yang dibuat kepada ibu kita.
  •  Antara lain yang boleh dituntut adalah apabila kita ditimpa sakit/musibah.
  •  Kalau ditimpa sakit, baca laa Innalillahiwainnaillaihirojjiun,,, lps tu bicaralah dengan Allah..
  1.  “Ya Allah, berilah pahala besar untuk sakit yang aku tanggung ini” .
  2. “Ya Allah, bagilah aku keampunan dosa atas sakit ku ini” .
  3. Even suapkan anak pun kita boleh tuntut, apatah lagi sedekah kepada ibu dan orang yang memerlukkan.
  •  *** Barang siapa yang tidak mendoakan ibu selepas sembahyang buat ibu yang sudah meninggal maka dikira diaanak derhaka walaupun pada waktu ibunya hidup dia tak pernah menderhaka. Maksudnya jika ibu masih hidup atau telah tiada, selepas setiap solat kita mesti doakannya!
  •  Doa orang yang masih hidup makbul untuk orang yang hidup dan mati. Jadi doakan ibu kita jika ianya telah tiada.
  •  *** Doa orang yang mati makbul untuk orang yang masih hidup.
  1.  Masa ni ustaz tu bagi contoh sadis sket..sedeh gak laa.. pi ke pusara mak kita cakap..“Mak, esok anak saya nak kawin, kalau mak ada tentu mak bahagia tengok cucu mak kawinkan” atau “bapa saya nak kawin esok, kalau bapa ada, pasti bapa akan gembira tengok sayakan..” Ustaz kata luahkan kepada ibu/bapa yang telah tiada kerana mereka mendengar dan mereka boleh mendoakan kita dari sana .
  •  Bila lalu kubur, perlahankan dan beri salam! Mereka akan doakan kita “berkatilah si A ini” dan jika tak bagi salam, mereka akan kata “celakahlah orang ini” Jadi, jangan lupa bagi salam pd merika.
  •  Tanda tanda siksa Allah atas muka bumi ni antara lain simpan harta sampai mati tak pernah keluarkan zakat.
  •  Sesiapa yang bersedekah selalu, takkan miskin orang itu selamanya..
  •  Bila nak berbelanja @ shopping always spare duit untuk sedekah kerana dalam duit kita tu ada hak org susah. Jadi bila orang buta datang masa makan, bagi laa duit sebab kita nak cari org susah untuk sedekah dah amat susah masa sekrg and takde masa jadi Allah hantarkan org2 susah ini untuk kita dapatkan pahala!.
  •  *** Jika mak kita sudah meninggal dan semasa hayatnya kita ada peruntukkan wang untuk dia, bila mak kita dah takde teruskan memberi peruntukkan tu sebagai sedekah. Jangan kurangkan peruntukkan!! “Ya Allah, aku sedekahkan bagi pihak ibuku, semoga pahala sedekah ni sampai kepada ibuku”. Itu yang yang buat ibu kita bahagia di sana .
  •  Kalau kita susah nak bersedekah, bayangkan wajah ibu kita baru kita ringan tangan nak bersedekah.
  •  *** Allah panjangkanlah usia ibu bapaku supaya dia sakit dan nyanyuk..ini bertujuan memberi syurga pada anak2nya. Doa ini bukan bermaksud minta merika sakit or nyanyok..ironinya keadaan demikian membolehkan anak2 berebut mahu menjaga merika disaat merika dlm keuzuran itu sbb balasannya adalah syurga. Jadi kalau tahu ibu/bapa sakit, berebutlah menjaga ibu/bapa kita. Besar sangat pahalanya.
  •  Allah kalau boleh taknak kita masuk neraka jadi Allah takkan matikan seseorang dalam keadaan kotor dan berdosa jadi dia bagi kita sakit/malu/miskin untuk membersihkan kita sebelum dia mengambil kita.
Selalu Bergaduh Dengan Ibu
  •  Jika ada antara kita yang selalu bergaduh dengan ibu, ada kemungkinan kita diganggu saka.
  1.  Antara ganguan saka, selalu mimpi bayi/budak. Dukung bayi, susu bayi or selalu mimpi jatuh dari tempat tinggi/ selalu sakit tulang belakang/ tulang belakang bengkok/ rasa mengantuk selepas asar.
  2.  Saka dipindahkan melalui Kasih sayang/ Harta pusaka, walaupun sebiji pinggan / Amalan / Sentuhan. 
     Symptom terkena saka:  
  1. Tak boleh tidor lena tapi bila dekat azan subuh, senang lena.
Bila dah peringakat teruk, di usia tua kita, tgh malam selalu lapar.
Susah nak dapat anak, senang gugur.
Ada rasa kelibat orang lalu.
Yang lagi parah, saka bersetubuh dgn kita, mengandung tapi anak hilang dalam kandungan jadi bila nak beintim, bercakap laa sedikit kerana saka menyerupai suami kita dan dia datang dalam keadaan diam.
Cara hilangkan saka, Zikir “Laillahaillalah” 700,000 sampai habis, insyallah saka akan cair dan keluar dari badan.
  •  Antara penyakit saka adalah breast cancer, cancer rahim and cancer tulang.
  •  3 penyakit yang tiada ubat yang penyakitnya adalah datang dari syaitan adalah cancer, aids and leukemia.
  •  Kalau ibu kita sakit cancer dan dia tak mampu berzikir, kita tolong zikirkan.
  •  Kalau ada penyakit was was, bacalah surah al-ikhlas.. “Qulhuwallahuahad…” 1000x sehari.
Anak Lari Dari Rumah
  •  Kalau anak lari dari rumah, gantungkan bajunya dihanger dan anginkan dan hadiahkan surah al-ikhlas setiap hari.
  •  Masa lauangan azan yang pertama, panggilah nama anak kita, insyallah akan sampai panggilan kita kepadanya.
Anak Degil
  •  *** Bila anak dah tidor, duduk di hujung kepala pangil ROH ANAK
 Wahai roh anakku “nama anak”, jadilah kamu roh yang baik, roh yang bertimbang rasa pada ibu dan bapa, roh yang taat pada Allah, roh yang sayang sesama manusia. Respon dari org yang dah try sungguh menakjubkan setakat ni alhamdullilah kebanyakannya menjadi. Contoh kalu kita nak anak senang bangun ke sekolah.. just try and see

‘Rugi tidak berkhidmat kepada ibu bapa’

Harian Metro 24/2/2012

JOHOR BAHRU: “Anak yang sanggup menjaga ibu bapanya akan memperoleh ‘bonus’ daripada Allah dengan syarat ikhlas melakukannya,” kata Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsuddin, semalam.

Beliau mengulas tindakan lima beradik yang didakwa enggan memelihara bapa mereka, sebaliknya harta pusaka peninggalan warga emas berkenaan yang lebih dikejar. Menurutnya, ujian menjaga ibu bapa pada penghujung usia mereka begitu besar dan menuntut banyak kesabaran.

“Mereka yang diuji Allah ketika memelihara orang tuanya perlu sedar dugaan itu didatangkan hanya bagi memberi peluang merasai kenikmatan yang tidak diperoleh berbanding mereka yang tidak diuji.

“Rugi jika ada anak tidak mengambil peluang berkhidmat pada saat akhir kehidupan ibu bapanya. Ini kerana menjaga golongan itu bukan perkara mudah dan banyak dugaan.

“Oleh itu, sesiapa yang bersabar ketika menjaga orang tuanya pasti menerima pahala besar,” katanya.

Menurutnya, hingga kini, tiada peruntukan undang-undang bagi menghukum anak yang tidak mahu menjaga ibu bapa masing-masing, tetapi dari segi syariat perlakuan seperti itu perlu dihindari.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, perlakuan mengabaikan ibu bapa tidak seharusnya berlaku terutama dalam kalangan umat Islam. “Dalam Islam, walaupun sibuk dengan rutin harian, tanggungjawab menjaga ibu bapa terletak di bahu anak tidak kira sama ada warga emas itu berharta atau sebaliknya,” katanya.

Dahsyatnya Doa Ibu

Dipetik dari: Syamsuddin Noor, (2011). Dahsyatnya Doa Ibu. Selangor: PTS Millenia Sdn Bhd.

Juraij Difitnah Akibat Menderhaka Pada Ibu

JuraiJ adalah seorang rahib yang terkenal dengan ketekunannya beribadah.  Juraij memiliki sebuah biara di mana dia menghabiskan waktunya beribadah. Biaranya itu berdekatan dengan tempat para penggembala membawa haiwan ternakan mereka. Jadi ramai penggembala yang berteduh di biaranya.

Setiap hari Juraij berada dalam biaranya bagi beribadah kepada Allah. Wajahnya memancarkan cahaya imannya. Kemasyhuran Juraij sebagai ahli ibadah sampai ke istana. Sudah menjadi sunnah Allah, Allah menciptakan manusia berpasangan. Ada langit dan bumi. Ada orang baik dan ada orang jahat. Ada ahli ibadah dan ada ahli maksiat.

Pada Suatu hari, ibu Juraij datang ke biaranya kerana hendak, bertemu dengannya. Apabila ibunya sampai di hadapan biaranya, dia pun memanggil-manggil anaknya. Pada waktu itu, Juraij sedang solat dengan khusyuk. Dia menjadi bingung dan berkata dalam hatinya, “Ya Tuhanku, adakah aku perlu menjawab panggilan ibuku ataupun meneruskan solatku?” Akhirnya, Juraij meneruskan solatnya dan tidak menjawab panggillan ibunya walaupun solat yang sedang dikerjakannya itu adalah solat sunat. Selepas menunggu beberapa lama dan Juraij tetap tidak menyahut panggilannya, ibu Juraij pun pulang.

Tidak lama selepas itu, ibu Juraij datang semula dan memanggil-manggilnya lagi, “Wahai Juraij, di manakah engkau anakku?” Pada waktu itu, Juraij masih bersolat dan dia tetap meneruskan solatnya. Apabila anaknya tidak menjawab panggilannya yang berkali-kali, ibu Juraij pulang semula,

Namun tidak lama selepas itu, ibu Juraij datang sekali lagi dan memanggil-manggilnya dengan suara yang keras, ‘Juraij! Juraij! Di mana engkau? Ini ibumu, datanglah ke sini sebentar!’ Juraij masih lagi bersolat dan dia kebingungan sama ada hendak menjawab panggilan ibunya ataupun meneruskan solat. Oleh kerana solatnya hampir selesai, Juraij meneruskan solatnya.

Selepas tiga kali ibunya datang dan memanggilnya, Juraij tetap tidak menjawab panggilannya. Ibunya marah dan terlanjur mengutuk Juraij dengan berkata, “Wahai Juraij, semoga Allah tidak mencabut nyawamu sebelum engkau melihat wajah seorang pelacur!” Demikianlah kata-kata ibu Juraij yang pulang dengan perasaan marah dan sedih.

Peristiwa itu membawa malapetaka kepada Juraij. Kutukan ibunya membuka pintu langit. Lohmahfuz bergetar dan kalam Allah mencatat kutukan ibunya itu. Allah pun murka kepada Juraij. Para malaikat yang berada di biara Juraij meninggalkan biaranya kerana kemurkaan Allah.

Selepas beberapa ketika, Juraij lupa pada peristiwa itu. Begitu juga ibunya yang tidak lagi marah kepada Juraij. Juraij meneruskan kehidupannya seperti biasa dengan beribadah di biaranya.

Pada suatu hari, datang seorang wanita cantik dari sebuah rumah pelacuran ke biara Juraij. Niatnya hendak menggoda Juraij kerana dia mendengar kehebatan Juraij sebagai ahli ibadah. Dia berjalan mundar-mandir di sekeliling biara Juraij. Tidak jauh dari situ, ada seorang penggembala sedang berteduh.

Wanita itu masuk ke dalam biara dan melihat Juraij sedang asyik berzikir menyebut nama Tuhannya. Wanita itu duduk bersimpuh di hadapan Juraij dan berkata, “Wahai Juraij, berhentilah berzikir sebentar. Marilah berbual-bual denganku”, Juraij tidak mempedulikannya dan terus berzikir.

Wanita itu tidak berputus asa malah bertekad hendak menggoncang iman Juraij. Dia membuka bajunya di hadapan Juraij dan memujuk rayu Juraij supaya berseronok dengannya. Juraij tetap tidak menghiraukannya malah dia lebih kuat berrzikir. Wanita itu dengan perasaan marah meninggalkan Juraij sambil mencari jalan bagaimana hendak mengaibkan Juraij. Di luar biara, dia terlihat penggembala yang sedang berehat dan dia mendapat akal. Dia menggoda lelaki itu sama seperti dia menggoda Juraij dan akhirnya berlakulah perbuatan terkutuk antara mereka. Wanita itu sengaja melakukannya kerana dia mempunyai rancangan jahat bagi membinasakan Juraij.

Lebih kurang setahun selepas kejadian itu, wanita itu pergi ke istana sambil mendukung bayinya. Dia mengadu kepada raja, “Wahai raja junjunganku, aku diperkosa hingga melahirkan seorang anak”.
Rajapun bertanya, “Siapakah bapa anak ini?”
Wanita itu menjawab, “Juraij adalah bapanya”.
Raja bertanya lagi, “Maksudmu, Juraij yang memiliki biara itu?”
” Benar wahai raja”. Wanita itu menjawab.

Mendengarkan kata-kata wanita itu, raja menjadi murka dan memerintahkan tenteranya menangkap Juraij yang terkenal sebagai orang soleh di negeri itu. Juraij ditangkap, diikat dan dibawa mengadap raja. Ramai pelacur yang datang ke istana kerana mahu melihat Juraij ditangkap. Namun Juraij kelihatan tenang dan tersenyum hingga semua orang yang melihatnya kehairanan. Raja kemudian memerintahkan biara milik Juraij dimusnahkan.

Kemudian raja berkata kepadanya, “Wahai Juraij, engkau adalah ahli ibadah tetapi perbuatanmu sungguh keji. Wanita ini datang menghadapku dan mengaku melahirkan anakmu. Adakah kata-katanya itu benar?”

Dengan tenang, Juraij menoleh ke arah wanita itu dan bertanya, “Adakah benar aku pernah menggaulimu?”
“Ya, benar”, jawab pelacur itu dengan tegas.
Juraij bertanya lagi, “Di manakah anak itu sekarang?”
Wanita itu berkata, “Dia ada di dalam buaian itu”.
Juraij menghampiri bayi yang tidak berdosa itu dan bertanya, “Siapakah ayahmu?”

Tiba-tiba bayi itu menjawab, “Dia penggembala lembu”. “Tuanku dan sekalian yang hadir, wanita ini berbohong!” kata Juraij.
Semua orang yang hadir terperanjat dan kagum menyaksikan kejadian yang aneh itu. Mereka juga berasa bersalah kerana menuduh Juraij tanpa usul periksa, terutamanya raja. Dengan rasa malu dan menyesal, raja berkata, “Wahai Juraij, aku bina semula biaramu dengan emas:’

Juraij menjawab, “Tidak perlu”.
Raja berkata lagi, “Bagaimana sekiranya aku membinanya dengan perak?”

Sekali lagi Juraij menjawab, “Tidak perlu”.
Jadi, apakah yang perlu aku lakukan?” tanya raja. Juraij menjawab, “Binalah ia seperti sediakala”.

Dengan demikian, raja pun memerintahkan orang ramai membina semula biara Juraij seperti asal. Kemudian raja bertanya kepada Juraij, “Mengapa kamu menerima semua tuduhan itu dengan tenang, bahkan kamu tersenyum menghadapi pelacur itu?”

Juraij menjawab, “Pada waktu itu aku menyedari, Allah mengabulkan doa ibuku”. Lantas, Juraij menceritakan kepada raja apa yang berlaku.

Kisah ini terkandung dalam satu hadis pada muka surat 511 di dalam Kitab Sahih Muslim terbitan Beirut, Lebanon. Hadis itu sahih dan kisah Juraij benar-benar terjadi. Kisah ini menjadi renungan dan pengajaran bagi semua orang kerana ia membuktikan betapa mustajabnya doa ibu.

Antara pengajaran daripada kisah Juraij adalah:

1. Menjawab panggilan ibu adalah wajib dan lebih penting daripada mengerjakan solat sunat.
2. Ibu perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata yang tidak baik kepada anaknya.
3. Apabila timbul sesuatu masalah, kita perlu memeriksa ataupun menyiasatnya terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman

Thursday, February 23, 2012

Musim Mencium Tangan


Posted on Wednesday, February 22 @ 16:47:01 PST
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu
Oleh Keris Silau

Bila habis musim raja sehari
Tiba pula musim buang undi
Maka banyak lawatan menteri
Terutama hari minggu atau hari cuti

Banyak sekolah dan pejabat nak dirasmi
Kemudian buat perhimpunan cikgucikgi
Beri kata dua jangan lupa undi kami
Macam kata PM i help you you help me
Diguna jentera gomen atas nama tugas rasmi
Polis trafik eskot dari petang hingga awal pagi

Semua turun dari KSU hingga ke DG
Termasuk ketua pemuda dan puteri
Maka kita tengok ada yang cium tangan dan jari
Geli tengok berahim cium tangan Bik Mommy
Semua tu kerja wa ampu sana wa ampu sini

Cogankata yang dipopular oleh Kulim punya MP
Silap haribulan dia pun ikut jejak brahim Ali
Atau mungkin juga join kelab kayu Jati
Yang diasaskan oleh Mantan Bakal MB
Kuasa ketiga yang bakal berkubur nanti

Maka ramailah yang buat temu janji
Berjela-jela tunjuk PM dia punya CV
Winnable candidate yang sedang dicari

Maka ramai juga berebut-rebut ambik hati
Bukan ambik hati PM tapi hati Bik Mommy
Yang baru dapat title Dr dari Curtin University
Selain Cincin dan Birkin kini Curtin jadi koleksi
You all jangan jeles dan dengki
Ini semua duit I dari tabung sendiri
Saya menabung sejak saya kecil lagi

Inilah politik namanya kata Dr. Asri
Politik fitnah memfitnah dengki mendengki
Memperbodohkan pemikiran rakyat masakini
Yang boleh memikir lebih baik dari pak menteri
Dari merampok perbendaharaan dan KWSP
Tanpa ada akauntabiliti dan tranparensi
Ramai menyeleweng sikit saja disoal MACC
Lihat saja apa yang berlaku kepada NFC
Hidup kaya raya anak-anak laki-bini
Jangan lupa bail-out syarikat MISC
Projek mega hanya milik segelintir kroni
Harta kekayaan bukan yang ku cari
Hanya molek untuk dibaca puisi
Tapi kereta mewah Ferrari dan Buggati
Memenuhi parkir di residensi pak menteri

Bila pilihanraya sudah menghampiri
Bergegas turun ke setiap konstituensi
Duduk bersila mendekati para pengundi
Sembelih lembu buat jamuan kenduri
Kemudian RM500 dihulur menyeringai gigi
Seolah-olah duit itu dia yang bagi
Tak apalah ambil lah walaupun hasil judi
Halalan toyibban fatwa siTan Sri
Tapi apabila datang hari mengundi
Jangan lupa pak ABU sedara-sedari.

Keris Silau
22 Februari 2012

Monday, February 20, 2012

Surat terbuka untuk Hasan Ali

Wartawan Sinar Harian
10 Februari 2012
Hasan Ali
Assalammuallaikum wbt.

YB Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang saya hormati,

 Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Datuk merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Datuk juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Datuk sekeluarga.

Secara ikhlas, saya mula mengkagumi Datuk sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Datuk menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Datuk mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan.


Kesedaran bahawa apa Da­tuk lem­parkan kepada mantan parti Datuk sendiri, iaitu Pas di dalam kenyataan-kenyataan Datuk di media dan juga lewat ceramah-ceramah yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.


Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Datuk untuk menilai beberapa kenyataan dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya.


Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang dipikul dan bukannya sebagai ahli politik.


Saya bukanlah ahli parti Pas, yang tampil membela parti dari serangan Datuk. Maka saya bertegas menyatakan apa yang ditulis ini hanyalah semata-mata pandangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Datuk mahupun kepada parti yang memecat Datuk.

 Saya kira Datuk mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat.

Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti dianalisis pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan perkongsian kuasa dan juga pengaruh rakyat melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.

 Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat segar ialah kemampuan gerakan-gera­kan tersebut untuk menawarkan apa diperlu­an oleh rakyat dan sesebuah negara di dalam pendekatan mereka.

Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti.


Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik ‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya. Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah dilakukan Taliban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka.


Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator.


Perkara ini telah membuatkan ramai pengkaji Barat mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).

 Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian.

Wacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan Pas yang Datuk pernah sertai dahulu.


Gelombang ini sekali gus melenyapkan pengaruh model Iran.

 Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan.

Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan.


Menurut kajian saya ke atas wacana baru Pas, terutamanya melalui konsep ‘Negara Berkebajikan’, Pas juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Datuk merasakan pendekatan baru Pas ini bermakna Pas telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Datuk tersilap. Perubahan pada Pas bukanlah kerja parasit sepertimana yang didakwa, tetapi ianya merupakan satu dinamisme tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang matang.


Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada Pas, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit.


Timbul dilema di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideologi gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit?


Apakah mungkin Datuk ingin mengatakan Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?

 Yakinlah Datuk, sepertimana gerakan-gerakan tersebut berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihan raya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, Pas juga sedang meniti langkah tersebut.

Inilah yang ditakuti oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN). Pihak lawan tidak mahukan Pas mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu Pas kekal sebagai parti kampung milik pak lebai dan pak haji.


Pihak lawan juga tidak mahu Pas bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa Pas dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang.


Malang sekali apabila Datuk pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada Pas.


Lebih malang lagi kini Datuk menjadi suara pihak lawan untuk memaksa Pas kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang dipolitikkan Umno dan BN.

 Saya yakin, di dalam Pas masih terdapat segelintir yang termakan umpan Datuk lantas mempercayai kewujudan parasit.

Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Datuk untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya.


Melalui pengamatan saya, Pas akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka. Seperkara yang perlu Datuk ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Datuk tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.

 Apabila melihat kepada isu ‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen ‘Negara Berkebajikan’ Pas dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati Pas ternyata senada dengan mereka yang telah berjaya di negara masing-masing.

Saya berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ merupakan satu langkah drastik Pas di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada.


Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara Berkebajikan’ yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti Pas.


Jelas sekali Pas sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif Datuk, malah dipandang sinis.

 Melihat kepada isu hudud yang Datuk anggap telah ditinggalkan Pas, saya kira itu juga agak kurang tepat.

Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat Pas dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan Pas yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai.


Pendekatan diplomasi Pas ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme Pas dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten Pas inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong Pas’.

 Akhir kata, jika Datuk benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Datuk lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Datuk.

Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Datuk untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Datuk miliki.


Mungkin juga Datuk boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran.


Jika dulu mungkin Datuk sibuk dengan tugas exco, kini Datuk lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Datuk yang ingin menjaga aqidah itu.


Saya kira Datuk juga boleh berdakwah di Hard Rock CafƩ menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock CafƩ tidak akan menghalang kerja murni Datuk itu.


Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Datuk untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Datuk kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal.


Saya amat meyakini, jika Datuk berdakwah seperti itu, Datuk akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang sebenar!’.

Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Pemimpin tak berjaya bentuk sahsiah isteri, didik anak

NORJIMI AZMI LATIF
20 Februari 2012
Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
KUALA LUMPUR – Cendekiawan Islam, Profesor Madya Dr Ridhuan Tee Abdullah kecewa dengan pemimpin yang ada sekarang kerana tidak berjaya membentuk sahsiah suami dan isteri dengan ajaran Islam sebenarnya.

Tanpa merujuk kepada tokoh itu sama ada daripada kerajaan atau pembangkang, kata Ridhuan Tee, pemimpin ini tidak boleh dijadikan role model kepada generasi akan datang.

“Sekiranya ahli keluarga sendiri tidak menutup aurat misalnya, bagaimana dia hendak memim­pin negara dan menyuruh orang lain berbuat demikian. Begitu juga anak-anak mereka perlu terlebih dahulu dijaga kerana ini memberi imej kepada pemimpin berkenaan.

“Manakala bagi wanita bergelar isteri yang menerajui parti politik dan sesebuah pertubuhan, sekiranya mereka tidak boleh menegur suami sendiri, saya rasa ia juga memang pelik,” katanya semasa membentangkan kertas kerja berjudul 1Malaysia dan Penghayatan Islam sempena Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012, semalam.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional berkata, seseorang pemimpin perlu utamakan agenda bangsa dan negara, namun sekiranya si isteri dan anak-anak kepada pemim­pin hidup bermewah, perkara ini menunjukkan­ ada tidak kena.

Beliau berkata, tidak kena jika rakyat disuruh berjimat sedangkan isteri sendiri atau suami tidak berbuat sedemikian.

Ditanya sama ada menegur peribadi pemimpin dikatakan satu kesalahan, katanya, dalam Islam, ia digalakkan dan apa dilakukan pemimpin itu menjadi perbualan.

Malah, kata Ridhuan Tee, menegur keluarga pemimpin tidak melanggar hak asasi manusia kerana sekiranya ia dibiarkan, lama-kelamaan pemim­pin itu menjadi sasaran musuh politik dan beliau tidak mahu berlaku.

“Begitu juga jika isteri atau suami mengetahui ahli keluarga­ mereka melakukan maksiat dan perbuatan tidak bermoral, mereka perlu menegur, bukannya mempertahankan apa yang dilakukan itu.

“Mesej saya cukup jelas. Kita tidak sepatutnya menegak benang basah dan mempertahankan yang salah. Inilah yang berlaku dalam dunia politik sekarang,” katanya.

Katanya, pemimpin itu tidak perlu bercakap mengenai integriti dan memberi nasihat kepada orang lain sekiranya diri sendiri tidak betul dan perbuatan itu tidak selamanya boleh menyelamatkan dirinya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kam

Sunday, February 19, 2012

Atas nama Tuhan & agama

 
Sepanjang sejarah manusia, nama Tuhan sering dijadikan alat dalam mencapai tujuan atau kepentingan peribadi ataupun puak. Sedangkan ia sepatutnya menjadi nama sakti dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan, malangnya digunakan untuk menegakkan kebatilan dan menghapuskan kebenaran.

Perlambangan agama yang sepatutnya membela kekudusan ajaran Tuhan, sering kali digunakan untuk membiakkan kehendak syaitan dan hasrat nafsu serakah manusia. Maka tidak hairan jika kita melihat nama Tuhan sering dipergunakan oleh orang politik, ahli perniagaan, bomoh, ustaz, penjenayah, perasuah dan segala jenis ‘manusia' yang berkepentingan.

Dalil-dalil diputar dan dipusing agar dapat menjelma dalam rupa reka kehendak yang berbicara. Ia bukan hanya berlaku dalam kalangan umat Islam, sebaliknya dalam semua agama. Dalam sejarah Yahudi dan Kristian berlaku dengan begitu dahsyat.

Martin Luther yang mengasaskan Mazhab Prostestan telah membangkitkan isu ini dalam Kristian. Beliau katanya ingin membela ajaran Tuhan. Malangnya, betapa ramai pengikutnya yang dibakar oleh gereja Katolik, juga atas nama Tuhan.

Sokong rejim


Hitler juga mendapat sokongan sebahagian gereja di Jerman. Kedua aliran yang bertentangan - Katolik dan Protestan - menyokong tindakan beliau terhadap Yahudi atas nama Tuhan. Demikian Assad di Syria yang membunuh rakyat sejak sekian lama. Begitulah juga regim-regim yang lain.

Pakaian dan bahasa agama juga digunakan untuk menghiasi amalan salah atau penyalahgunaan nama Tuhan. Jika orang seperti Hitler dan Assad mampu mendapat restu golongan agama, maka tidak pelik jika ada dalam dunia ini ada mufti atau syeikh yang sanggup memuja-memuji pemerintah atau raja atau sultan dalam khutbah Jumaat dengan perhiasaan kata yang berlebihan.

Doa bertujuan mengampu disusun khas untuk penguasa, sultan dan raja serta keturunannya sekalipun mereka itu perasuah, perembat harta rakyat, bermewahan dengan istana, kereta dan harta sedangkan rakyat bawahan menderita airmata. Doa untuk rakyat yang miskin hanya secebis.

Sebaliknya berlimpahan doa untuk penguasa, raja dan sultan dengan perhiasaan kata puja dan puji seakan mereka lebih tinggi dari para nabi. Khutbah Jumaat yang menjadi tempat umat memuja dan pemuji Tuhan, bertukar pada bahagian doanya sebagai ampuan memuja dan memuji kerajaan dan sultan.

Hal ini bukan sangat dengan pemintaan penguasa atau raja, tetapi ‘sang berjubah agama' yang mempunyai agenda hidupnya yang tersendiri. Inilah yang berlaku di seluruh dunia ‘berjubah agama' tapi bertujuan sebaliknya.

Orang-orang agama ini mendapat gaji dan berjubah yang jauh lebih hebat dari segala ulama yang terbilang dahulu, tetapi sekadar berperanan untuk membaca doa yang puitis untuk sang singgahsana dan mengeluarkan fatwa yang meredhakan penguasa dan raja.

Kegerunan mereka kepada hilang jawatan lebih hebat dari kegerunan mereka membohongi hukum Tuhan.

Sebab itu, ramai panguasa, raja dan sultan dalam dunia dan sepanjang sejarah sekalipun buruk tingkah laku dan ketamakan harta serta kezaliman mereka terhadap hak rakyat, terus merasa selesa kerana ada yang berlidah dan berjubah agama yang membodeknya.

Syurga seakan sudah tempah untuknya, neraka pula seakan sudah tertutup rapat baginya sekalipun dia tidak menunaikan hak rakyat dan memakan harta secara haram.

Pisahkan agama


Firman Allah: (maksudnya) "Dan apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah memerintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya? Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil, dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan wajah kamu (kepada Allah) pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan menyeru-Nya dengan mengikhlaskan agama kamu kepadaNYA semata-mata, sebagaimana DIA telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya). Sebahagian (manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan sebahagian lagi berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sSesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka bahawa mereka berada dalam petunjuk". (Surah al-A'raf, 28-30).

Seperti yang saya pernah catatkan bahawa saya tidak menyokong pemisahan agama dari politik, tetapi saya menyokong memisahkan agama dari penyalahgunaan golongan politik.

Lebih elok politik yang berpisah dari agama dibandingkan politik yang mempergunakan agama. Saya inshaAllah akan bahaskan tentang secular state dalam tulisan yang akan datang.

Mimpi nabi


Sebab itu amatlah berbahaya apabila agama itu telah menjadi senjata mereka yang pandai berbicara untuk kepentingan kuasa dan diri. Hakikat Tuhan akan disalahertikan oleh manusia.

Ajaran kebenaran akan dipandang serong. Manusia akan kecewa dengan ajaran Tuhan yang dianggap tidak memenuhi panduan keadilan dan rahmat. Sebab itu agama Islam ini tertegak atas fakta dan hujah. Bukan khayalan dan mimpi.

Jika kita masih ingat bagaimana pengasas ajaran al-Arqam semasa masih hidup membuat pelbagai dakwaan. Ketika itu ada imam masjid tertentu mendakwa bahawa dia berjumpa Nabi SAW dalam mimpinya membenarkan ajaran Ashaari Muhammad. Ramai yang terpengaruh dengan mimpi tersebut.

Itu bukan kali pertama, bahkan sudah puluhan kisah setiap kali ada yang mendakwa menjadi Mahdi, ada sahaja orang yang bermimpi berjumpa Nabi SAW dan mengakuinya. Ini termasuk kisah Mahdi di Sudan yang jauh lebih berjaya dari Ashaari Arqam.

Ada pula yang mengeluarkan dalil bahawa Nabi s.a.w telah bersabda:

"Sesiapa yang melihatku dalam tidur sesungguhnya dia benar-benar melihatku, kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku." (Riwayat Muslim).

Ya, syaitan memang tidak boleh menyerupai Nabi s.a.w, namun syaitan boleh menyerupai orang lain dan seseorang yang tidak pernah melihat Nabi s.a.w menyangka itu Nabi s.a.w. Tipuan syaitan sangat licik.

Dalam kitab Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, apa yang disebut oleh tabi'in agung lagi pakar mimpi dalam sejarah Islam, al-Imam Muhammad bin Sirin (meninggal 110H) menafsirkan hadis ini bahawa ia bermaksud ‘jika seseorang melihat Nabi s.a.w dalam rupanya yang asal'.

Ertinya dia mesti mengenali hakikat rupa Nabi s.a.w. Apabila ada orang mendakwa bahawa dia melihat Nabi s.a.w, Muhammad bin Sirin meminta supaya dia menceritakan ciri-ciri Nabi s.a.w yang dia lihat dalam mimpinya.

Apabila dia menceritakannya, beliau menjawab: ‘engkau tidak melihatnya'. Ibn ‘Abbas juga menyelidiki seseorang yang mendakwa bahawa dia bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. Beliau bertanya sifatnya, orang itu menjawab seperti Saidina Hasan bin ‘Ali. Ibn ‘Abbas mengakuinya.

Itu jika orang tersebut tidak berbohong. Namun, bagaimana pula jika dia berbohong tentang apa yang dilihatnya?. Maka mimpi tidak boleh menjadi hujah dalam agama ini. Ia boleh menjadi isyarat untuk urusan peribadi seseorang, namun bukan syariat yang diamalkan.

Saya masih ingat kisah Presiden sebuah negara ‘bernama agama' yang menceritakan beliau dilindungi cahaya suci seperti para imam mazhabnya ketika berada di PBB. Demikian juga saya masih ingat semasa Gulf Waryang pertama, ketika itu saya belajar di Jordan. Sokongan rakyat Jordan kepada Saddam Hussain begitu kuat.

Ramai juga tokoh agama yang membaca hadis-hadis Nabi SAW dan menyatakan bahawa Saddam Hussain itu penyelamat umat yang dimaksudkan oleh Nabi SAW Saya masih ingat guru-guru hadis yang saya hadiri kuliah mereka membantah penyalahgunaan hadis tersebut.

Baru-baru ini pun ada tokoh agama dalam parti politik tanah air yang mendakwa pemimpinnya sebagai lelaki yang dijanjikan Nabi SAW untuk membebaskan al-Aqsa. Demikianlah agama menjadi mainan mereka yang berkepentingan.

Sebab itu, agama mesti bebas dari ini semua. Semua kita wajar bimbang terhadap diri sendiri dan juga umat ini dengan amaran Nabi SAW: "Apa yang paling aku takut terhadap kamu ialah orang munafik yang petah lidahnya" (Riwayat Ahmad, sahih).

Saya juga lucu apabila ada seseorang berceramah tentang perjuangan murninya setelah dia dipecat ialah membela Islam, Melayu dan raja. Sedangkan Melayu tidak semestinya selari dengan Islam, demikian juga raja.

Jika Islam itu diyakini syumul, membela Islam bererti terbela segala bangsa, raja dan rakyat. Namun, apabila Islam dipergunakan, bahasa Islam dinodai untuk tujuan tersendiri, hanya satu bangsa diperjuangkan dan raja sahaja yang dibela. Bagaimana dengan rakyat bawahan seperti kita? Demikian agama sering menjadi mangsa
.
PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.