Tuesday, May 17, 2011

SELAMAT HARI GURU


Kau Adi Guru

anak-anak menjerit

pelajar nakal
murid-murid bising
kau tegur, bimbing dan ajar
penuh sabar, ikhlas dan senyum
kuntum bibir lebar
dan rasa sayang di hati…
kerana…
kau lah guru…

murid mengantuk

main di barisan belakang
mencemuh teguranmu
abai nasihatmu
terkadang menentangmu
kau tetap nasihati, dekati
belaikata dan bimbing
penuh hikmah tanpa marah
malah cerna kasihsayang
luhur hati
oh… hebatnya
kerana kaulah guru…

pelajar buat salah

besar dan buruk tingkahlaku
didenda engkar disiplin
terkenal rosak akhlak
tapi kau tetap dekati
dan… kaunseling
tanpa lalai ingati selalu
semua murid itu
dengan hati ceria
tanpa rasa benci
malah didoakan
dan belaian jiwa…
kerana kau lah guru

bila ibu bapa sergah

marah guru dan sekolah
sokong anak buta tuli
kata seranah caci
kau tetap terima saja
tanpa bantah kata
cuma jawab hikmah
lembut gigi dari lidah
tinggi sopan mu
kerana… kau lah guru

bila pelajar dapat anugerah

cemerlang tinggi markah
ibubapa kata ini lah anakku
inilah hasil didikkan ku
laungkan sirna anaknya
tanpa sedar jasa gurunya
tapi kau doa syukur
berbunga hati murid tersohor
tanpa rasa kecewa hati
kerana tidak dihargai
itulah kau… guru

suatu hari suatu masa

jumpa murid dan keluarga berjaya
dia tak kenal dirimu guru
engkau tegur manis selalu
tanpa rasa gundah
lupakan jasa jerih silam
itu amanah tak perlu ulang
engkau buat kerana Allah
didik manusia jadi khalifah
itulah tugasmu… guru

terkadang jua engkau jumpa

murid tua tegur salam mesra
telah lupa tapi murid kisahkan
betapa dulu engkau beri didikan
oh… kagum akan adab muridmu
engkau sebak sayu dirgahayu
tapi tetap kata itu semua
adalah kecil belaka
cikgu cuma bimbing sekelumit
sebagai ajaran ilmu yang sedikit
oh… guru..
sungguh tinggi jiwa nurani
hebat budimu dan merendah diri
kerana…
kau lah adi guru..

adi guru yang sebenar…


Ibni Khalid Jurait

Monday, May 16, 2011

Guru kena angkat martabat pendidikan lahir insan kamil


Oleh Nazri Hussein

BH
2011/05/16

TANGGUNGJAWAB guru menyebar ilmu serta pembentuk akhlak dan moral pelajar diiktiraf oleh Allah SWT sebagai golongan mulia dalam masyarakat yang menyumbang terhadap pembangunan generasi akan datang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)
Menjadi seorang pendidik yang setiap saat dan ketika berkhidmat menyalurkan ilmu pengetahuan supaya generasi yang ada hari ini memiliki kecelikan akal, berkebolehan, berdaya kreatif serta mempunyai sahsiah peribadi yang ulung bukan suatu tugas mudah.

Ia memerlukan komitmen yang tinggi dan hakikat ini menjadi cabaran kepada guru merealisasikan hasrat membina negara bangsa yang bukan saja maju tetapi juga teguh akal budi menjulang peradaban bangsa.

Malah, guru yang cemerlang dan berkualiti akan sentiasa menekankan persoalan adab dan perilaku anak muridnya kerana matlamat akhirnya adalah ingin melahirkan insan berketrampilan dan bertakwa kepada Allah SWT.


Rasulullah SAW adalah contoh muaddib atau guru terbaik untuk dijadikan ikutan dan teladan kerana pada diri Baginda terhimpun akhlak baik dan kemuliaan dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik.” (Hadis Riwayat Muslim)


Sempena Hari Guru hari ini, wajarlah golongan guru menyahut cabaran mengangkat martabat pendidikan dengan cara menunaikan amanah penuh ikhlas mentarbiah anak bangsa supaya lahir insan kamil yang luhur akal budi serta berpengetahuan tinggi memakmurkan negara.

Bagi pelajar dan masyarakat pula, hargailah pengorbanan guru serta elakkan suasana yang boleh mencetuskan ketegangan dalam hubungan antara guru, murid dan masyarakat. Sikap menghormati guru dapat mengeratkan hubungan guru, murid, ibu bapa dan masyarakat.

Banyak juga laporan tidak elok yang didengar mengenai tindakan guru terhadap murid serta perilaku negatif guru terhadap murid. Semua itu mesti ada puncanya, sama ada daripada pelajar sendiri atau kelemahan guru menerapkan nilai mulia dalam diri mereka.

Justeru, apabila guru sudah berusaha sedaya mungkin menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas, pelajar pula perlu ikhlas menuntut ilmu kerana dengan cara itu akan memudahkan proses pembelajaran.

Ada kalanya, guru sudah melakukan yang terbaik namun, hasilnya masih tidak kelihatan. Oleh itu untuk melihat kejayaan, gabungan kerja keras guru dan murid, disokong pula oleh ibu bapa adalah sangat diharapkan.

Jangan terlalu mudah menuding jari kerana adalah lebih baik kita bersama mencari di mana kelemahan untuk diperbaiki. Cabaran hidup hari ini bukan berkisar di sekolah saja tetapi membabitkan semua aspek kehidupan.

Guru teruskan perjuangan menabur ilmu dan anak murid berusaha menimba pengetahuan di bawah bimbingan guru sementara ibu bapa hendaklah memantau perkembangan pendidikan. Apabila semua berfungsi dengan baik, cabaran mendepani sistem pendidikan akan dapat diatasi

Peluang bertandang jangan dilepaskan begitu saja


Oleh Ashraf Muslim

BH 2011/05/16

Setiap perubahan dilakukan ke arah kebaikan pasti dapat ganjaran daripada Allah

ALHAMDULILLAH dengan izin Allah SWT, diberi lagi kesempatan untuk saya berkongsi bicara dengan pembaca semua. Banyak nikmat Allah SWT yang kita peroleh, sayangnya sering kali kita lupa untuk bersyukur, apa lagi mengucapkan terima kasih.

Mana tidaknya, semua nikmat itu antaranya dikecapi sebaik terbuka mata di dunia ini menyebabkan lupa untuk mengiktiraf udara yang disedut, kemampuan melihat keindahan sekeliling serta kesempurnaan fizikal sebagai anugerah perlu disyukuri sentiasa.

Itu belum lagi nikmat rezeki, kesihatan serta kebahagiaan melimpah-ruah yang menghias kehidupan. Bukan tidak ada ruang dan peluang, tetapi entah kenapa, agak sukar untuk mengucapkan: “Ya Allah, terima kasih.”

Kali ini saya tertarik untuk berbicara mengenai peluang kerana saya yakin kita pernah dan masih diberi peluang. Cuma, adakah kita memanfaatkan peluang itu atau tidak. Mungkin kita boleh bersama bermuhasabah.


Saya diberi peluang untuk menunaikan umrah pada September tahun lalu. Kini, dengan inisiatif Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, kami berusaha membuka peluang kepada saudara lain yang berhajat menunaikan umrah dan melakukan proses rawatan di sana.


InsyaAllah, mengikut perancangan, program menunaikan umrah sambil menjalani rawatan anjuran Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah akan dilaksanakan pada Jun depan.

Mengimbau pengalaman pertama menunaikan umrah, sebenarnya niat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci sudah lama tersimpan, tetapi ketika itu niat tinggal niat. Mungkin juga niat tidak disertakan dengan kesungguhan.

Selepas bertemu dengan Pengasas Pusat Rawatan Al-Hidayah, Haji Lokman, yang menasihatkan saya menunaikan umrah selain memperbanyakkan solat hajat dan taubat, saya memasang tekad menjadi tetamu Allah SWT dan semuanya bermula pada Februari 2009.


Sebenarnya banyak dugaan yang saya tempuh sebelum menjejakkan kaki ke tanah haram. Namun, berbekalkan azam, saya melakukan perubahan sedikit demi sedikit.


Hidup artis bukan ada gaji bulan yang tetap dan untuk menyediakan jumlah wang yang banyak dalam tempoh singkat, pada masa sama kos kehidupan semasa, agak perit juga. Duit masuk tetapi selalunya yang keluar lebih banyak daripada yang masuk.


Apabila hendak buat pasport di pejabat Imigresen, timbul pula masalah disenarai hitam kerana masih berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Gagah jugalah hendak menyelesaikan jumlah pinjaman mencecah belasan ribu itu.


Tetapi, jika kena gaya usahanya dan bantuan Maha Berkuasa, dapat juga masalah diatasi. Justeru, walaupun pelbagai halangan terpaksa ditempuh, hendaklah dihadapi dengan sabar, reda, usaha dan bertawakal kepada Allah SWT.

Dua bulan sebelum tarikh berangkat, saya mendekatkan diri kepada Allah SWT. Banyak perkara yang sebelum itu saya buat, cuba ditinggalkan. Saya berhenti merokok. Maklumlah, sebagai anak muda yang tidak dapat lari daripada suka berhibur, saya membataskan diri.

Ada yang tidak berapa suka dengan perubahan saya itu tetapi bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera. Tekad saya untuk melakukan transformasi diri, itu yang saya lakukan.

Alhamdulillah, Ramadan 2009 dapat juga saya menunaikan umrah dan menjalankan ibadat puasa bersama tetamu Allah SWT yang lain. Pastinya peluang itu saya manfaatkan sebaiknya.

Oleh itu, apabila peluang tiba, jangan berpaling lagi. Rebut cepat kerana kita tidak tahu apakah peluang akan bertandang lagi selepas kita melepaskannya.
Jangan menunggu peluang kerana kita juga berkemampuan mencipta peluang.

Selepas menunaikan umrah, banyak pula watak ustaz yang ditawarkan hingga ada pengarah ‘menyimpan’ watak itu untuk saya kerana berpandangan saya lebih sesuai membawakan watak ustaz termasuk Ustaz Amirul, hingga ada yang memanggil saya dengan nama itu.

Itu juga peluang atau lebih tepat lagi, rezeki yang datang apabila kita yakin janji Allah SWT bahawa setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan malah, lebih daripada yang kita jangkakan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(Surah At-Talaq, ayat 3)

Sunday, May 15, 2011

Mufti Perlis: Pihak berkuasa syarak jangan jadi ‘penonton’

May 15, 2011
KUALA LUMPUR, 15 Mei — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menggesa pihak berkuasa syarak agar tidak hanya menjadi ‘fence sitter’ atau penonton sama seperti rakyat biasa dalam menyelesaikan isu berkaitan dengan video seks yang didedahkan trio “Datuk T” Mac lalu.
Juanda berkata, kesemua pihak yang bertanggungjawab dalam soal penguatkuasaan undang-undang - penguatkuasa syariah, pendakwa syarie dan mahkamah syariah - bertanggungjawab di hadapan undang-undang dan Allah s.w.t atas akujanji dan sumpah setia jawatan mereka untuk menguatkuasakan undang-undang syarak.
Oleh itu kata Juanda (gambar), jika ada pihak yang bersalah atas jenayah zina atau qazaf, maka jatuhkan hukuman sama ada dalam bentuk hudud ataupun takzir.
“Kegagalan mengambil tindakan adalah salah di segi undang-undang dan berdosa di segi agama kerana khianat atas akujanji mereka.
“Ambillah tindakan segera kerana isu ini sudah lama merosakkan imej umat Islam, merendahkan moral masyarakat dan memperlekehkan undang-undang negara,” kata beliau dalam satu kenyataan mengulas perkembangan semasa kes video seks yang si pelakunya didakwa Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar telah pun menafikan dakwaan dibuat oleh trio “Datuk T”.
Selain aduan polis dibuat Anwar, laporan qazaf juga dibuat oleh beberapa pihak terhadap “Datuk T”.
Sehubungan itu Juanda menambah, jangan kerana akibat kelalaian mengendalikan isu ini nanti, kelak ia menjadi “paku terakhir yang dipahat” oleh umat Islam ke atas “keranda” institusi perundangan syarak.
Juanda juga mendakwa imej undang-undang syarak di Malaysia sudah cukup tercalar akibat tidak ada ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang syarak dalam isu video ini.
“Pihak penguat kuasa syariah, pendakwa syarie dan mahkamah syariah bertanggungjawab menjaga akhlak serta memelihara moral umat Islam.
“Video seks adalah salah dari segi agama dan undang-undang. Mereka wajib menjalankan tugas hisbah dalam sebuah negara Islam,” katanya.
Mufti itu juga menambah, mereka wajib menjalankan tugas “amar makruf nahi munkar” agar wujud masyarakat yang berakhlak dan bermoral, bukannya membiarkan mana-mana pihak sesuka hati melakukan maksiat, berzina dan seterusnya merakam dan mengedarkan perbuatan yang amat jijik dari segi agama dan moral ini.
“Tidak ada mana-mana agama dan sistem moral yang membenarkan manusia berzina, merakamkannya dan mengedarkannya untuk tontonan umum,” katanya lagi.
Kata Juanda, jika ada pihak yang bersalah atas jenayah zina atau qazaf, maka jatuhkan hukuman sama ada dalam bentuk hudud ataupun takzir.
“... kalau ada pihak yang diaibkan, maka bersihkan imej mereka melalui pelaksanaan qazaf dan kalau ada pihak yang tidak bersalah, maka bebaskan mereka. Inilah keadilan Islam untuk semua, tanpa memilih kedudukan mereka,” katanya lagi.
“Ini semua adalah tanggungjawab kita kepada negara dan agama. Rakyat sedang menilai dan memerhatikan pihak penguatkuasa syariah, pendakwa syarie dan mahkamah syariah, sejauhmana mereka bertindak bagi membuktikan undang-undang adalah untuk semua dan tidak bersifat memilih bulu dalam tindakan yang diambil.
“Kita semua wajib memelihara imej agama, negara dan undang-undang kita,” katanya merujuk kepada laporan media bahawa rakaman video seks itu yang dipertontonkan kepada media pada 21 Mac lalu adalah tulen.
“... maka sepatutnya pihak polis, penguatkuasa syariah, pendakwa syarie dan mahkamah syariah Wilayah Persekutuan tempat perkara ini berlaku mengambil tindakan segera dan tegas kerana ini adalah perbuatan jenayah syarak yang amat nyata,” jelas beliau.
Juanda menambah, pelaksanaan sama ada hukum hudud, qazaf atau takzir boleh difikirkan oleh penguat kuasa syariah dan mahkamah syariah.
“Penguatkuasa syariah, pendakwa syarie dan mahkamah syariah mesti tegas dan cepat bertindak kerana isu ini sudah lama meresahkan umat Islam,” kata Juanda

Wednesday, May 11, 2011

Penawar khusus dalam ayat suci




“SERATUS peratus menggunakan ayat-ayat suci al-Quran. Perubatan ini tidak menggunakan sebarang perantara seperti jin, syaitan, makhluk halus atau khadam,” tegas lelaki berwajah serius di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu Gombak, Selangor itu.
Namun, dia tenang dan mesra menerangkan konsep rawatan di premis yang dipenuhi orang ramai tersebut. Dalam pemerhatian Kosmo!, orang yang datang ke tempat itu sedang sabar menunggu giliran bertemu ahli terapi di pusat itu bagi sesi rawatan dan perubatan masing-masing.


“Ramai yang bertanya berkenaan hal-hal di sebalik cara rawatan. Sesungguhnya saya memang tidak berminat atau berhajat untuk berdamping dengan ‘benda-benda’ halus. Banyak masalah kalau berdamping dengan benda-benda yang ghaib ini,” tegas Perunding Kesihatan dan Terapis yang juga Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid.
Menurutnya, dalam Islam, komponen yang paling penting untuk berubat cara Islam adalah dengan memanfaatkan ayat suci al-Quran yang disertai dengan doa.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Haji Lokman, 52, berkata rangkaian ayat al-Quran yang berbeza-beza boleh digunakan bagi mengubati jenis-jenis penyakit tertentu.
Sudah berpengalaman lebih 12 tahun dalam bidang rawatan Islam, Lokman mengakui tidak pernah berguru dan tidak ada orang yang mengajarnya. Katanya, ilmu perubatan itu dianugerahkan oleh Allah SWT kepada dirinya.
Di pusat rawatan itu, kehadiran ratusan pesakit dalam sehari adalah perkara biasa. Tanpa membuat temu janji lebih awal, mungkin seseorang pesakit perlu menunggu lama.
Lokman berkongsi cerita, ketika dia berusia 40 tahun, dirinya terdetik untuk mencari sesuatu untuk mendekatkan diri dengan Allah. Pada ketika itu, dia banyak melakukan ibadah-ibadah sunat seperti puasa sunat, solat tahajud, solat taubat, membaca al-Quran setiap hari dan sentiasa berzikir.
“Paling jelas, setiap kali saya balik dari menunaikan ibadah haji atau umrah, ada merasakan peningkatan di dalam diri saya dari segi keimanan dan ilmu perubatan ini,” ujarnya jujur.
Jenis penyakit

JUMLAH pesakit yang berkunjung ke Al-Hidayah terlalu ramai pada hujung minggu hinggakan ada yang terpaksa pulang.


Menurut Lokman, di Al-Hidayah, para pesakit yang datang berjumpanya terdiri daripada 40 peratus pesakit kanser, 30 peratus sakit jantung, darah tinggi, urat saraf, sakit tulang belakang hepatitis dan 30 peratus yang mengalami gangguan sihir, santau rasuk, susuk serta saka.
Berdasarkan pengalaman bapa kepada lima orang anak itu, sesetengah pesakit yang datang tidak mengetahui penyakit yang dihidapi walaupun sudah menjalani rawatan di hospital. Hal itu memerlukannya mengenal pasti simptom penyakit menggunakan ilmu yang dianugerahkan Allah kepadanya.
“Kalau di hospital, doktor akan kenal pasti dengan menggunakan mesin dan peralatan canggih yang lain. Saya tidak menafikan kebolehan alat itu. Tetapi kadangkala, ada sesetengah penyakit yang tidak boleh dikenal pasti menggunakan mesin,” ujarnya yang memberi contoh sakit gangguan seperti sihir, iblis, jin atau lain-lain.
Bagi sakit fizikal pula, pesakit akan diperiksa dengan prosedur khas. Sekiranya pesakit itu menghidap barah, Lokman akan menerangkan kepada pesakit itu mengenai organ yang terjejas atau dijangkiti virus.
Sekali lagi menafikan penggunaan sebarang mantera, jampi serapah, tangkal mahupun buah limau seperti yang digunakan oleh bomoh atau dukun tertentu, anugerah yang dimilikinya itu adalah untuk membantu masalah kesihatan saudara seIslam yang meminta pertolongannya.
“Pernah juga pesakit bukan Islam datang berjumpa saya. Bukan tidak boleh, tetapi rawatan menjadi lebih mudah bagi pesakit Islam kerana mereka sendiri perlu membaca ayat al-Quran, memahami maksudnya, berdoa dan yakin kepada Allah.
“Mereka juga dinasihatkan untuk berwuduk, menutup aurat (bertelekung bagi pesakit wanita) dan ditemani ahli keluarga atau rakan.
Tambahnya, jika pesakit Islam itu tidak lancar membaca al-Quran, mereka boleh mengikut bacaan ibu, bapa, suami atau isteri dan juga melalui bantuan audio bacaan al-Quran.
Begitupun, para pesakit yang diberikan surah-surah untuk dibaca perlu membacanya dalam bahasa Arab. Jika membaca terjemahan ayat tersebut, ia tidak akan memberi kesan. Itulah kehebatan ayat al-Quran.
Lulusan University of New Haven, Connecticut dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) itu juga merendah diri dengan mengakui dirinya sekadar manusia biasa yang tidak mempunyai latar pendidikan dalam aliran keagamaan.
Lokman yang telah meninggalkan kerjaya selama 15 tahun di Suruhanjaya Sekuriti itu memberitahu, keikhlasan membantu orang yang memerlukan adalah sangat penting. Sama seperti orang lain, dia juga mencari rahmat dan keberkatan daripada Allah.
“Biarlah amalan itu kecil dan sedikit. Paling mustahak adalah ia perlu dilakukan secara berterusan dan bukan hanya sesekali atau mengikut mood,” katanya yang sebelum ini hanya merawat pesakit pada waktu malam hingga menyebabkan dia perlu berjaga sehingga pukul 4 atau 5 pagi.
Transformasi diri

RUANG rawatan yang bersih, tersusun dan terbuka di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.


Dalam pada itu, tugas Lokman di pusat rawatan itu turut dibantu pelakon Mohd. Ashraf Muslim, 30, dan Zulhaidi Ahmad, 38, yang telah dilatih menjadi perunding kesihatan dan juga pakar terapi.
Mengimbas kembali transformasi diri daripada seorang pelakon kepada pengamal perubatan Islam, Ashraf mengakui proses itu bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ia satu penghijrahan diri, semua orang kena lalui. Proses perubahan itu menjadikan saya lebih kuat dan lebih arif memikirkan antara perkara salah dan betul. Walaupun sebelum ini saya ada duit, kerja, kereta, rumah dan kawan-kawan tetapi hati saya terasa kosong.
“Sampailah saya berjumpa Lokman ketika menemani adik saya berubat di tempat ini. Dia yang menasihatkan saya mendekatkan diri dengan Tuhan dengan sembahyang sunat taubat, sunat hajat dan pergi menunaikan umrah.
Menurut Ashraf, sekembalinya dari menunaikan umrah, dia berasa gembira dan tenang. Sejak itu dia mula dilatih untuk menjadi ahli terapi di Al-Hidayah.
Sementara itu, Zulhaidi pula sebelum ini, dia pernah membawa ayahnya, Ahmad Omar, 62, untuk berubat secara Islam selepas rawatan di hospital tidak lagi memberikan khabar gembira.
“Sejak 20 tahun lalu, ayah saya menghidap penyakit kencing manis. Kemudian selepas menjalani diagnosis susulan, buah pinggangnya pula didapati rosak. Jadi ayah perlu melakukan dialisis, tetapi doktor memberitahu proses itu boleh menjadikan jantungnya lemah. Jika diabaikan pula, buah pinggang akan bertambah rosak,” ujarnya.
Bimbang berlaku rantaian komplikasi seterusnya, Zulhaidi membawa ayahnya bertemu Lokman.
“Selepas berjumpa dan mendapat rawatan menggunakan surah-surah khusus, keadaan ayah saya bertambah baik. Doktor di Institut Jantung Negara (IJN) juga terkejut apabila mendapati hasil ujian pemeriksaan kesihatan ayah menunjukkan dia semakin pulih,” katanya yang nekad berhenti kerja sebagai Pengurus Senior bahagian teknologi maklumat (ICT) di sebuah syarikat swasta untuk berkhidmat di klinik Lokman.
Lulusan Teknologi Maklumat dari Universiti of Rhode Island, Amerika Syarikat itu kemudiannya mendalami ilmu agama dan berkhidmat bersama Lokman demi membantu merawat saudara Islam yang lain.
“Asalnya saya pun tidak lancar membaca Al-Quran dan tidak mempunyai kefahaman yang tinggi mengenai kandungannya, tetapi Alhamdullillah selepas belajar dengan ayah saya dan Lokman, saya kini boleh membantu orang lain,” katanya yang mengakui kehidupannya kini lebih tenteram.
Tempat terbuka

AYAT-AYAT al-Quran mempunyai ‘khasiat’ istimewa dalam penyembuhan penyakit.


Dalam pada itu, menurut pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah, cara perubatan Islam yang sebenar seharusnya menggunakan ayat al-Quran sepenuhnya serta bahan-bahan yang tidak syirik seperti akar kayu dan buah-buahan daripada kayu seperti habatus sawda.
Tambah beliau, penggunaan bunga dan limau nipis juga tidak salah sekiranya ia diperlukan untuk sesetengah jenis penyakit.
Walau bagaimanapun beliau berkata, penggunaan bahan tersebut hanya sebagai sampingan kerana ayat al-Quran yang telah diturunkan Allah SWT dalam kitab suci adalah penawar terbaik.
Selain itu, rawatan yang dilakukan itu mestilah di tempat terbuka dan di hadapan orang ramai untuk mengelakkan timbulnya fitnah atau syak wasangka.
Mohd. Daud turut menerangkan bahawa ahli terapi cara Islam juga dibolehkan memegang pesakit bagi sesetengah penyakit yang memerlukan sentuhan seperti untuk mengenal pasti penyakit atau dirasuk jin. Dalam kes seperti itu, ahli terapi perlu memegang pesakit untuk menarik jin itu keluar tetapi dengan izin muhrim bagi pesakit perempuan.
Terang Mohd. Daud, firman Allah dalam surah al-Isra ayat 84 hingga 88 memberi maksud bahawa al-Quran bukanlah sekadar petunjuk dalam merencanakan kehidupan yang diredai malah turut menjadi penyembuh pelbagai penyakit manusia.

Sunday, May 1, 2011

isu mubahalah

Sumpah laknat: Fahami bila harus digunakan

Posted on Saturday, April 30 @ 23:00:00 PDT
Dilulus untuk paparan oleh teori

Berita
Oleh Dr Dzul

Penjelasan ini juga kepada Mamat dan 2kali5, yang membuat komen di blog saya.
Anda berdua perlu dengar jawapan dari ulama Umno dulu kalau nak faham tentang "Sumpah Mubahalah"  yang disebut oleh 2-kali5 ayat 61 dari Surah Ali-Imran, bahkan ayat-ayat sebelumnya yakni 58-60.


Kalau tak ada dah ulama dari Umno yang boleh jawab tolong tanya dari ulama yang benar-benar ulama seperti Mufti Perlis atau bekas Mufti Perlis.


Kalau tak dapat juga dari sumber mereka, baru saya rasa terpanggil untuk mendidik kamu berdua tentang "Sumpah Mubalahah".
Paling penting ialah Kena faham sunguh-sungguh (i) bila dan (ii) atas sebab apa, sumpah Mubahalah ini boleh digunakan.

Dalam jenis pertikaian yang bagaimanakah "Sumpah Mubahalah" di haruskan bahkan mungkin sebagaimana satu cara dan kaedah "muktamad" bagi menyelesaikan pertikaian dan dakwaan yang saling bertentangan antara dua (2) kelompok seperti yang menjadi sebab Asbab AnNuzul - atau sebab diturunkan penerangan dan kaedah yang diberi Allah SWT bagi menyelesaikan dakwaan antara kaum seorang pendita dari kaum Najran (Kristian) yang mengaku lebih awal lagi Islam dari RasulAllah dan sahabat-sahabat Baginda.

Lalu disyari'atkan oleh Allah SWT ketika itu untuk kedua-dua pihak memanggil anak-anak, isteri-isteri dan diri-diri mereka sendiri, kedua-dua pihak melakukan Sumpah Mubalahah kerana pertikaian ahlil baatil (golongan yang sesat yang berdebat dengan Nabi ini) hanya akan berterusan (kerana kedegilan mereka) dan hanya dapat ditenangkan dengan kedua pihak saling bersumpah.

Dalam Asbab Nuzul tadi, oleh kerana bila ahlil baatil (golongan yang sesat) ingin terus menerus berdebat dengan Nabi walaupun hujjah mereka telah dipatahkan semuanya, Islam mengharuskan MUBAHALAH ini demi menyelesaikan itu perdebatan mereka dengan menyerahkan kepada ALLAH SWT untuk menimpa azab kepada pihak yang menipu.

(dapat diputuskan dan dimuktamadkan secara begitu kerana tidak ada nas (nusus) dan kaedah lain bagi memuktamadkan pertikaian tersebut dan ruang penghakiman mengikut lunas-lunas Syari'at.

Maka apabila anda faham apa itu sumpah MUBAHALAH, maka anda akan tahu bahawa sumpah mubahalah dalam mensabitkan kesalahan JENAYAH adalah suatu yang BID'AH dan tidak ada dalam ISLAM dan tidak diperakui pun di mahkamah syariah negara kita.

Mubahalah adalah dalam PERDEBATAN ILMU!! dan bukan pertuduhan JENAYAH.

Dalam Jenayah Islam, hanya satu cara, Nabi SAW bersabda 'Bagi pihak yang menuduh DATANGKAN bukti, dan bagi yang tertuduh menafikannya dengan sumpah.

Juga ada pandangan yang mengatakan MUBAHALAH hanya berlaku antara orang Islam dan bukan Islam.

Namun dalam pertuduhan yang dibuat oleh 3 peribadi yang menggelarkan diri mereka itu Datuk T (ada yang kata Trio atau Tipu atau Temberang), tuduhan JENAYAH dibuat terhadap seorang lain dan pertuduhan ini juga melibatkan salah satu daripada MAQASID ISLAM yang lima, iaitu 'Penjagaan Maruah'.

Seharusnya mereka mengikut hukum syara' dengan menyokong pertuduhan mereka dengan BUKTI. Ini yang dituntut Islam. Setiap pertuduhan haruslah dengan bukti kerana hikmah yang sangat besar disebalik itu.

Jika Islam memberi ruang kepada mereka yang menuduh  (terutama) Jenayah dengan hanya sekadar bersumpah, umat Islam akan hancur lebur dan kacau bilau dengan semua pihak yang bergaduh akan mula menuduh jenayah zina, liwat dsb dengan hanya bersumpah.

Ini salah faham yang sangat besar yang perlu diperjelaskan. Majoriti ulama keseluruhannya bersetuju bahawa dalam kes jenayah, pertuduhan hanya dengan bukti dan jika MALAH dalam KES pertuduhan zina, ada implikasi yang sangat besar jika mereka tiada bukti.

Mereka yang menuduh boleh sabit dengan kesalahan jenayah QAZAF!!! di Mahkamah Syariah.Sebenarnya, kes ini sekaligus telah membabitkan lontaran tuduhan zina terhadap seorang peribadi Muslim yang berkeluarga (muhsanat) dan memberi erti telah menginvokasi dosa dan JENAYAH  'Qazaf' (yang dibolehkan mereka dirotan 80 kali!) andainya peribadi Trio terbabit tidak mendatangkan bukti yang dituntut Syar'iat Allah SWT yang telah pun diqanunkan menjadi undang-undang Islam (Surah AnNur:4) yakni 4 saksi.

Sumpah Mubalahah bagi menyelesaikan masalah ini sesungguhnya memang tidak boleh digunakan kerana tiada asas dalam nas dan boleh menimbulkan kacau bilau (chaos) dalam masyarakat umat Islam.

Hanya dengan cara penghakiman dan pembuktian di mahkamah syariah sahaja dibolehkan pertuduhan sebegini dibuat.

Trio ini harus ke mahkamah kalau benar-benar ada bukti kerana tidak cukup dengan ke masjid, bersembahyang sunat dan bersumpah di hadapan kamera.

Masyarakat juga harus diperjelaskan bahawa Mubahalah tidak boleh digunakan dalam kes Jenayah khususnya.

Sumpah laknat: Fahami bila harus digunakan

Tambahan :
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” [Al Hujuraat:6]