Monday, July 4, 2011

Niat ikhlas tunai umrah beri kekuatan berdepan dugaan Oleh Ashraf Muslim


BH2011/07/04

Kepayahan jadi iktibar jangan ambil mudah kesihatan diri

PENGALAMAN menunaikan umrah bersama 90 jemaah yang mengikuti rombongan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah meninggalkan kesan mendalam kepada saya dan kakitangan Al-Hidayah kerana banyak kenangan manis dilalui selama 10 hari berada di Tanah Suci.

Walaupun membawa 54 pesakit termasuk mereka yang kronik, perjalanan ibadah umrah dan sesi rawatan berjalan lancar dengan bantuan Allah serta semangat, juga kesabaran setiap jemaah berdepan dugaan yang datang.

Bukan mudah untuk pesakit kanser yang mengalami kepayahan berjalan melakukan tawaf tujuh pusingan mengelilingi Kaabah tetapi berbekalkan semangat serta dorongan, walaupun kaki melangkah setapak demi setapak, rukun umrah itu berjaya dilaksanakan juga.

Pastinya, kepayahan dilalui memerlukan kesabaran kerana tanpa kekuatan jiwa, sukar untuk berdepan ujian walaupun sekecil-kecil dugaan, apatah lagi bagi pesakit yang sedang bertarung dengan penyakit dihadapi.

Justeru, menyedari keperitan terpaksa ditanggung mereka, kita perlu mengambil iktibar. Jangan ambil mudah kesihatan diberi Allah, sebaliknya hendaklah dipelihara dan sentiasa bersyukur dengan nikmat kesihatan ini.

Melihat kejayaan serta semangat mereka, hati berasa sebak bercampur gembira melihat kegigihan mereka menyelesaikan rukun umrah dengan doa dikurniakan ibadah yang mabrur. Inilah hadiah paling bermakna kerana walaupun susah, perasaan putus asa tidak ada dalam kamus hidup mereka.
Itulah untungnya jika kita menetapkan niat yang betul apabila menyahut jemputan Allah untuk bertamu di Tanah Haram yang menjadi idaman umat Islam kerana masih ada terus memendam rasa hajat masih tidak kesampaian.

Sehingga kini, emosi saya masih terkesan dengan setiap peristiwa berlaku di Makkah dan Madinah kerana kembara kami di dua kota suci untuk mendekatkan diri kepada Allah dan pada masa membawa hajat supaya dimakbulkan.

Memang ada kejutan tidak terduga apabila jemaah hilang sekejap, ada yang kehilangan beg, semasa datang sihat tetapi setiba di Madinah mengalami batuk dan ada juga tersasar niat asal setiba di Makkah. Syukur kepada Allah, semuanya dapat diatasi.

Ini pengalaman pertama saya membawa pesakit menunaikan umrah sambil membuat rawatan di Tanah Suci. Jika dulu saya datang ada yang membimbing, tetapi kali ini saya yang menjadi pembimbing kepada kumpulan umrah kami.

Saya tidak pernah menolak kerusi roda tetapi tidak keberatan menolak kerusi roda kali ini kerana sukar untuk saya jelaskan perasaan dapat membantu jemaah menyelesaikan setiap rukun umrah yang tertanggung atas mereka.

Ada yang semangat semakin menurun tetapi melihat kakitangan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang bersungguh-sungguh dan tidak kenal penat memberi bantuan, sokongan serta dorongan, keyakinan mereka datang kembali.

Seorang pesakit kanser yang susah payah menunaikan umrah yang pertama, bersyukur dengan rahmat Allah kerana dikurniakan tenaga luar biasa untuk menunaikan umrah yang kedua dan seterusnya.

Oleh itu, jangan sekali-kali mempertikaikan kekuasaan Allah kerana Dia Yang Maha Berkuasa dan Maha Memberi Rahmat kepada sesiapa dikehendaki-Nya.

Satu yang saya sering ingatkan kepada diri saya dan jemaah ialah supaya menjaga kata-kata serta tingkah laku ketika berada di Tanah Haram selain menetapkan niat asal mereka datang.

Matlamatnya, supaya mereka fokus dengan apa yang ingin dilakukan iaitu menunaikan ibadat umrah untuk meningkatkan keimanan kepada Allah sambil bermohon supaya segala kesakitan dan penderitaan ditanggung disembuhkan atau dikurangkan deritanya.

Sepanjang berada di Tanah Suci, kami melakukan rawatan di depan Kaabah dan bilik penginapan. Jemaah sentiasa diingatkan supaya tidak jemu berdoa untuk menyuarakan hajat mereka kepada Allah.

Alangkah sedih dan rugi nya, jika peluang menjadi tetamu Allah dipersia-siakan. Semoga kita semua tidak tergolong dalam golongan mereka yang rugi.

ANTARA IMAM MUDA DENGAN INDAH WATER



Semalam Imam Muda telah dinobatkan. Bertuah sungguh ibu dan ayah yang melahirkan anak-anak seumpama imam muda. Jika ramai lagi ibu-ibu dan keluarga Muslim yang berjaya melahirkan dan membesarkan anak-anak seumpama imam muda, InsyaAllah Negara Malaysia satu hari nanti akan menjadi sebuah Negara yang diberkati Allah. Tahniah Astro Oasis yang menerbitkan program ini.

Mudah-mudahan ini merupakan satu amal solih yang akan diberi ganjaran kepada pereka, idea dan segala orang yang terlibat dalam mengurus dan mengendalikannya sehingga menjadi program yang sungguh memberi kesan kepada setiap ibu dan ayah yang inginkan anak-anak yang solih.

Mengapa ?  kerana pesan Rasulullah saw, apabila mati sahaja anak Adam maka terputuslah segala amalanya kecuali tiga perkara iaitu, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan DOA ANAK YANG SOLEH kepada kedua ibubapanya.

Malangnya tidak banyak program seumpama ini diketengahkan berbanding dengan program yang lebih menjurus untuk menaikan nafsu dan syahwat terutama untuk golongan muda. Lambakan filem dari Indonesia yang mirip budaya orang Kristian terutama darisegi pakaian dan pergaulan, walaupun cuba ditonjolkan cirri-ciri agama, tetapi ternyata unsur-unsur Kristianisasi secara halus dipaparkan untuk tontonan masyarakat Melayu Islam.

Kisah-kisah khurafat dan mengagungkan makhluk halus seperti jin dan syaitan mendapat tempat di panggung-panggung wayang dan kaca TV. Ke mana agaknya hala tuju pemikiran masyarakat Melayu Islam hendak di bawa?

Apa kata para mufti, mengapa mereka diam membisu seribu bahasa, tetapi bila isu berkaitan dengan usaha untuk menegur pemerintah yang ada, maka sepantas kilat para alim ulama akan mengeluarkan fatwa. Habis semua mimbar jumaat , kuliah agama di masjid digunakan untuk menfatwakan bahawa BERSIH itu haram. Walhal peristiwa itu hanya sekedar untuk menyampaikan hasrat murni rakyat (memorandum) yang rasa kurang senang dengan kaedah dan tatacara pemilihan yang banyak berlaku penyelewengan. Adakah usaha untuk menegur pemerintah secara aman dituduh sebagai komunis atau apa sahaja gelaran ikut sedap hati pemerintah.

Kenapa soal fitnah, soal video lucah, soal rasuah, soal salahguna kuasa, tidak diambil peduli malahan tiada sebarang fatwa, malahan kuliah agama dimasjid dan surau tak pernah sentuhpun soal ini. Memang berjayalah dasar colonial dahulu yang memisahkan agama daripada pemerintahan.

Minggu lepas saya terdengar rancangan Pondok Warisan dalam Radio Ikim. Rancangan tersebut mentafsirkan kitab tua tulisan Sheikh Daud Patani berkaitan dengan keberkatan sesebuah negeri.

":Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya" (Al A;raf  96).

Apa yang saya dengar penulis kitab menyentuh beberapa peristiwa di mana pemerintah waktu itu cuba mengambi hak rakyat dan akibatnya Allah menghilamgkan keberkatan negeri tersebut. Ada satu peristiwa seekor unta yang banyak mengeluarkan susu milik seorang rakyat, tiba-tiba pemerintah negeri tersebut ingin mengambil hak rakyat tersebut, maka dengan takdir Allah, unta tersebut tidak mengeluarkan lagi susu.

Begitu juga kisah seorang pemimpin yang ingin merampas pokok kurma yang hasilnya luar biasa banyak, tetapi apabila diambil oleh pemimpin negeri tersebut, pokok kurma tersebut tidak lagi mengeluarkan hasil buahnya seperti sebelum itu. Begitu juga kisah sebuah teluk yang dipenuhi dengan ikan dan sehingga boleh diambil dengan tangan, tetapi kemudian apabila pemerintah melarang rakyat mengambil ikan di teluk tersebut maka, selepas itu teluk tersebut tiada ikan lagi yang datang ke teluk tersebut.

Inilah antara ciri-ciri negara yang dirahmati dan diberkati apabila pemerintahnya adil. Tetapi apa yang berlaku di setengah-setengah negara Islam, pemerintah merampas dan mengambil hak rakyat sesuka hati, maka negara tersebut sudah hilang keberkatannya. Semuanya naik harga.

Pagi ini, saya ke pejabat Suruhanjaya Pengurusan Air Negara di Bangunan Bank Islam, bertanyakan hal mengapa pelan rumah saya tidak diluluskan. (Jabatan yang lain telahpun mengeluarkan surat kelulusan. Maknanya pelan tersebut menepati piawaian pembinaan sebuah rumah kekal.) Jawapannya mengikut akta yang baru dikuatkuasakan, setiap pelan bangunan yang perlu kelulusan Indah Water perlu membayar RM120 bagi setiap meter isipadu. Dan bagi rumah setingkat lima bilik saya perlu menjelaskan bayaran RM600.00 Walaupun darisegi teknikal pelan tersebut boleh diluluskan tetapi selagi bayaran RM600.00 tidak dijelaskan maka pelan tersebut tidak akan diluluskan. Inilah slogan Rakyat Diutamakan.

Saya dimaklumkan oleh kakitangan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara ini adalah bayaran untuk tabungan akan datang bagi membiayai pembinaan  sistem pembentungan. Pengguna / rakyat diminta menanggung kos yang belumpun kita rasai / nikmati. Sungguh Tidak Adil. Peraturan seumpama ini akan mengakibatkan kos pembinaan rumah melambung tinggi. Apalah nasib kepada rakyat yang belum pun ada rumah, mereka dipaksa menanggung kos yang tidak pasti mereka terima.

Saya sudah duduk rumah di Kuala Ibai lebih daripada 10 tahun, belum pernah sekalipun Indah Water datang menyedut najis, tetapi setiap bulan saya kena bayar bil Indah Water. Ini semua lebih menguntungkan korporat// sistem penswastaan.

Belum lagi menyebut insuran kereta yang naik 200 hingga 300 peratus. Kesian pemilik motosikal atau kereta yang berusia lebih sepuluh tahun kena ambil insuran first party. Mahal Insuran lagi daripada harga kereta atau motosikal yang berusia lebih sepuluh tahun. Semua mengayakan ahli korporat.

MUHASABAH


Tiupan Mei itu datang lagi
meniti roda musim mengharum kasturi
semerbak mewangi
gelar guru dipuja puji
diratib penjaja bunga kaki lima
hingga ke pasar raya dan gedung terkemuka
mendayu suara di mimbar nan mulia
hingga ke gema lisan menteri nan perkasa

Berbunga hati para guru
di mukanya bondongan murid mengunjuk hormat kasih
jernih air wajah menyimbah senyum bersih
silih berganti menghulur ucap;
Selamat Hari Guru
yaumul muallimin

Guru,
Gelar keramat mendamba makrifat
gelorakah jiwa melihat
saban minggu anak muda mermaharajalela di jalanraya
stau saban hari di dada media
ada gadis bawah usia membuang bayi suci dosa
hasil kandungan dan noda durjana
sedangkan mereka janaan didik kita jua.

Guru,
gelar keramat mendamba haikikat
hitungan jemaah muda surau masjid nan tenat
tingkah songsang budaya longkangan kian meningkat
tiada silu halal haram tenjang aurat
sedangkan mereka janaan didik kita yang sarat teori dan firasat.

Guru,
gelar keramat mendamba bisik kalbu
masih kuluskah panggilan keramat cikgu
masih utuhkah selempang GURU bersilang di bahu
jika setiap jaya yang diburu
sejumlah fulus sedia menunggu ....

Guru,
gelar keramat mendamba visi ukhrawi
ingati pada hujung hidup ini
ternganga kematian yang pasti
menunggu setia neraca bicara
penentu nikmat atau sengsara !


Guru,
gelar keramat mendamba muhasabah
aqidah, syariah dan akhlak pengukur langkah
apakah kita angkatan nasrallah
ataukah cuma gerombolan pemikul lelah ¡

MUHASABAH
MUHASABAH
MUHASABAH

(Berburu kepadang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi (SN Usman Awang)

Nukilan
Haji Sidek bin Besar
Guru Besar, SK Sultan Sulaiman 2, Kuala Terengganu

Dideklamasi pafa Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Terengganu pada 23 Jun 2011 di Dewan Besar SMK Dato Razali, Kuala Terengganu.

Monday, June 27, 2011

UMRAH DAN HAJI SETIAP HARI


Alhamdulillah, Allah telah memberi rezeki kepada saya kerana dapat menunaikan umrah pada 11 hingga 22 Jun lalu. Terima kasih Tuan Hj Lokman Abd Hamid dan adik Ashraf Muslim kerana bermurah hati membiayai saya.
Sekembali daripada Umrah, Allah kurniakan kesihatan yang baik dan anak-anak dan isteri juga sihat walafiat. Syukur kepada Allah yang banyak mengurniakan nikmat setelah bersara.

Cuma pada kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan dan sahabat handai yang belum berkemampuan untuk menunaikan umrah atau Haji samada disebabkan masalah kewangan ataupun kesihatan. Ataupun ada juga yang sudah ada kemampuan tetapi tidak tergerak untuk menjejaki kaki ke dua tanah suci;  Mekah dan Madinah.

Apa yang menariknya dalam buku Misteri Panjang Umur karya Muhamad bin Ibrahim Al Nu'aim penterjemahnya Muhammad Zuhri, Al Hidayah Publication mendedahkan beberapa rahsia yang sepatutnya direbut bersama oleh umat Islam khususnya.

Apa yang menariknya ialah beberapa amalan yang disyorkan oleh penulis mampu meraih pahala yang begitu besar dan hebat. Sebagai tatapan kita bersama suka saya petik beberapa amalan yang mudah dan tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak tetapi mampu menyaingi kerja buat amalan yang kita terpaksa bebelanja besar seperti Haji dan Umrah. Bukan bererti tidak perlu tunaikan Haji dan Umrah, tetapi mereka yang terhalang kerana masalah kewangan dan kesihatan, mampu beramal dengan memperoleh ganjaran pahala yang besar. Malangnya tidak begitu dipedulikan oleh Umat Islam.

Dalam Faridh Al Qadir, al Manawi menyebutkan sabda Rasulullah s.a.w. Barangsiapa pergi untuk melakukan solat berjemaah, maka solatnya itu sama seperti mengerjakan ibadah haji”

Orang yang membiasakan dirinya berwuduk di rumah kemudian ke masjid untuk solat berjemaah 5 waktu sehari mengharapkan pahala akan ditulis baginya pahala 5 kali haji sehari.

Dalam setahun 5 waktu x 360 hari = 1800 (30 tahun) berapa hajikah telah kita lakukan? (Buku Misteri Panjang Umur ms. 72-73)

Daripada Abu Umamah (r.a) bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya; “Barangsiapa berjalan (ke masjid) untuk mengerjakan solat fardhu berjemaah, maka solatnya sama dengan melaksanakan ibadah haji. Barangsiapa pergi mengerjakan solat sunat (dhuha) di masjid, maka solanya itu sama dengan mengerjakan ibadah “umrah"Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Fath al Rabbani (2/12). Abu Daud (2/263) Ia dinilai sahih menurut Al Albani dalam sahih al-Jami no.6556

Daripada Uthman bin Affan (r.a) bahawa Rasulullah s.aw. Bersabda “Barangsiapa mengerjakan solat Isyak berjemaah, maka dia sama seperti mengerjakan solat selama setengah malam dan barangsiapa mengerjakan solat Isyak dan subuh berjemaah, maka dia sama seperti mengerjakan solat sepanjang malam” Diriwiyatkan oleh Abu Dawud (2/261) al Tirmidzi (2/22) Ia dinilai sahih oleh Al Albani dalam Shahih al Jami’ no.6342. 

Begitu juga dengan amalan mengkahtamkan al Quran setiap hari. Memang logiknya kita tidak mampu berbuat demikian, tetapi amalan membaca surah Al Ikhlas menyamai pahala membaca satu pertiga al Quran manakala membaca surah Al Kafirun sama seperti membaca satu perempat daripada Al Quran.

Berada di dalam bas, menunggu giliran di klinik, atau menunggu anak dalam kereta waktu balik dari sekolah atau tusyen, mampu untuk kita baca surah al Ikhlas lebih daripada 3 kali. Berbanding dengan setengah golongan berlumba-lumba membaca al Quran tanpa mengira tajwid, kerana inginkan cepat khatam. semua hukum dilanggar. Maka cacat cederalah bacaan kita. 
Biar sedikit tetapi berterusan. Marilah kita beramal sebelum ajal memanggil.
*

Saturday, June 25, 2011

110 guru Terengganu ke Australia, Korea Selatan



Ahmad Razif Abdul Rahman menyampaikan anugerah Tokoh Guru Cemerlang kepada Syed Othman Syed Hassan (kanan) sempena sambutan Hari Guru di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 23 Jun - Kerajaan negeri akan menghantar 110 orang guru ke luar negara selama seminggu bagi mendalami ilmu berkaitan pengurusan sekolah pada Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, seramai 60 orang guru sekolah menengah ke Australia dan selebihnya guru sekolah rendah ke Korea Selatan.

Menurutnya, program itu bagi mendedahkan warga pendidik berkaitan pentadbiran sekolah berprestasi tinggi dan pembangunan kelas maya di negara berkenaan.
"Lawatan itu merupakan insentif kerjaan negeri kepada warga pendidik di negeri ini yang sentiasa berkerja keras untuk meningkatkan prestasi pembelajaran murid," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Razali, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan dan Akademik, Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Zuber Embong.
Jumlah itu tidak termasuk 12 warga pendidik yang bakal dihantar mengikuti kursus khas di University of Connecticut, Amerika Syarikat bermula 10 hingga 15 Julai ini.

Ahmad Razif berkata, program penghantaran guru ke negara itu merupakan usaha penambahbaikan kerajaan negeri dalam menjayakan program 'Terengganu Anjung Ilmu'.

Sementara itu, katanya, seramai 3,300 orang guru tahun enam di negeri itu bakal menerima pembahagian komputer riba percuma pada pertengahan Ogos depan.

"Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM4 juta untuk tujuan itu. Ia sebagai motivasi kepada guru-guru yang selama ini begitu banyak berusaha untuk meningkatkan pencapaian pelajar.
"Sebelum ini, kita membelanjakan hampir RM1.3 juta untuk membekalkan 800 buah komputer riba kepada guru-guru sebagai penghargaan dan pengiktirafan buat mereka," katanya.

Pada majlis tersebut, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Syed Othman Syed Hassan yang telah bersara tahun lalu menerima anugerah Tokoh Guru Cemerlang peringkat Daerah Kuala Terengganu.

Di atas ketokohan dan jasanya dalam dunia pendidikan, Syed Othman menerima cenderamata, sijil, sepasang persalinan baju Melayu, wang tunai RM500 daripada Pejabat Pelajaran Daerah dan RM2,000 daripada Ahmad Razif.

Friday, June 24, 2011

ALHAMDULILLAH- TERIMA KASIH ALLAH

Sesungguhnya tidak disangka tahun 2011 merupakan Tahun Anugerah bagi diri saya. Saya bersyukur kerana Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang memberi terlalu banyak nikmat yang tidak pernah tergambar dalam pemikiran saya selama ini.

Apa tidaknya,, baru balik daripada menunaikan Umrah selama 11 hari yang ditaja dan dibiayai oleh Tuan Haji Lokman Abd Hamid, Pengasas Perubatan Islam Al Hidayah daripada 11 hingga 22 Jun 2011. Pada 23 Jun 2011, kemarin saya menerima lagi rezeki dari Allah, iaitu dianugerah sebagai Tokoh Guru Daerah Kuala Terengganu 2011. Jumlah saguhati yang disediakan oleh PPD sebanyak RM500 tetapi YB Ahmad Razif menambah sebanyak RM2000.00 lagi Rasanya  anugerah ini ada lagi orang lain yang lebih layak, tetapi  inilah takdir yang Allah telah tetapkan untuk saya.

Beberapa hari sebelum menunaikan umrah, saya menerima bayaran saguhati  "New Deal" (Baiah) kerana kecemerlangan UPSR 2010 sewaktu menjadi Guru Besar di SKSS1.  Terima kasih kepada semua guru dan kakitangan SKSS1 yang telah banyak membantu saya sewaktu melaksanakan tanggungjawab sebagai GB di SKSS1 selama 2 tahun 6 bulan.

Alhamdulillah, saya rasa rezeki saya bagi tahun 2011 ini Allah lipat gandakan. Syukur.Semuga dengan anugerah yang bertali arus ini tidak melalaikan saya daripada bertambah syukur dan taat kepada Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Terima kasih kepada Jawatankuasa Sambutan Hari Guru Daerah Kuala Terengganu 2011 yang telah memilih saya sebagai Tokoh Guru Daerah KT 2011. Walaupun saya difahamakan bahawa ada beberapa orang bekas  pengetua dan Guru Besar juga guru-guru yang telah bersara dicalonkan. Mereka bersetuju untuk memilih saya. Alhamdulillah.

Sewaktu majlis tersebut berlangsung saya terkedu dan tersentuh dengan deklamasi sajak, rakan saya Cikgu Hj Sidek Besar dengan tajuk "Muhasabah". Haji Sidek memang hebat, suaranya, intonasi dan gaya persembahan yang sungguh menyentuh perasaan sebagai seorang pendidik. Saya hubungi belaiu pagi ini untuk meminta salinan sajak berkenaan untuk tatapan semua guru dan juga pemimpin. InsyaAllah dua tiga hari lagi saya akan paparkan.

Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada rakan seperjuangan saya yang telah membantu saya dalam mengendalikan Majlis Guru Besar DAerah Kuala Terengganu seterusnya Majlis Guru Besar Negeri Terengganu iaitu Tuan Haji Yusof b Abd Karim dan YM Che Ku Alam dan Che Ku Ali. Cik Hajah Roshayate, setiausaha yang sangat komited terhadap amanah dalam MGB KT.

Tidak lupa juga kepada semua rakan Guru Besar Daerah Kuala Terengganu khasnya dan negeri amnya. Terima kasih di atas pengiktirafan yang diberi. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik saudara-saudara sekelian.(Gambar akan menyusul kemudian)

Wednesday, June 8, 2011

Bagaimana Melayari Internet dengan Kebersamaan Allah



Internet merupakan senjata bermata dua, satu pendekatan yang mempunyai dua wajah yang bertentangan; dalamnya ada unsur peruntuh dan membina, memati dan menghidup, petunjuk hidayah dan godaan. Dan cara bagaimana ia digunakan adalah garis pemisah antara keduannya. Saya harap tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa internet mempunyai daya tarikan, keberkesanan, mudah dicapai, dilayari dan bersifat intraktif yang menjadikan ia alat terkini dari segi kesan dan ruang cakupan. 

Ia melitupi bola bumi tanpa sekatan dan tandingan. Ia boleh dijadikan mimbar untuk orang Islam menegakkan hujjah keatas manusia dengan menyebarkan Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada seluruh manusia diseluruh pelusuk alam.

Benarlah seperti firman Allah taala yang bermaksud: Supaya tidak menjadi hujjah manusia terhadap Allah selepas kedatangan rasul-rasul.(an Nisa’ 165)
 

Dan firman maksudnya: dan begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi keatas kamu.(al Baqarah 143).

Walaubagaimana pun kita sepatutnya mengetahui bahawa internet dipenuhi dengan segala jenis unsur yang rosak dan merosakkan dan syaitan jin dan manusia memuatkan rangkaian ini dengan berjuta-juta laman yang canggih dan cekap dengan seni mempedaya dan menyesatkan satu perkara yang tidak diterima akal dan sukar digambarkan.


Satu kajian yang disiarkan oleh majalah Time menunjukkan bahawa bilangan laman seks mencecah angka 650 juta laman pada tahun 1998 dan dianggarkan akan sampai 8 bilion pada tahun 2002. Salah satu laman ini memiliki 300,000 gambar lucah dan telah dihantar sebanyak lebih satu bilion kali???.

Manakala dari sudut perniagaan, satu kajian menunjukan bahawa sejumlah pembelian bahan lucah melalui internet mencecah 18 bilion dolar. Ini mendorong pengkaji Steve Waters berkata dalam komentarnya terhadap betapa besarnya bencana ini: “biasanya pelayaran internet bermula dengan cuba-cuba, kemudian ia berlarutan menjadi penagihan dan disertai dengan kesudahan yang sangat merbahaya”.

Semua itu perlu diletakkan dalam perkiraan apabila berbicara tentang internet, melayarinya dan berintraksi dengannya.

1. Sesaorang yang ingin melayari internet wajar membersihkan niat dengan betul dengan menetapkan terlebih dahulu tujuan sebelum memasukinya
.
2. Mereka yang melayari internet sebagai alat untuk berhibur akan lupa diri dan tanpa disedari terheret ke pada kamatianya dalam keadaan ia tidak menyedarinya.
 

3. Kemudian duduk dihadapan internet dalam tempoh yang lama akan mensia-siakan pusingan hidup seluruhnya. Mereka akan mengabaikan tugas dan tuntutan untuk mendapat kebahagiaan didunia dan akhirat. Inilah kerugian yang nyata. Disamping ia juga akan menyebabkan kehilangan daya tumpuan dan menyebabkan akal bercelaru.
 

Adapun apabila kita melayari gelombang internet yang ganas dalam laut yang gelap dan dalam keadaan ditemani Allah bererti kita hidup dengan kebersamaan ini dalam setiap suasana, urusan, kondisi dan setiap masa.

Rasa kebersamaan ini bukan suatu yang boleh dipinjam-pinjam atau direka-reka… kerana itu, ia bukan datang dan pergi sebaliknya satu keadaan yang tetap terus berkembang tanpa kurang atau surut.
Merialisasikan kebersamaan ini sesaorang perlu mengekang nafsunya daripada hawa dan penyesatannya. Hawa harus ditolak dan nafsu sepatutnya dibimbing untuk menaiki tangga kesempurnaan, meninggalkan kealpaan, mengalahkan waswas dan mengatasi ajakan-ajakan syahwat. Kemudian dengan memelihara keberterusan “muraqabah” dan “muhasabah” serta mengekang nafsu dengan keazaman dan dipaksa dengan pekerti dan akhlak yang mulia, apa lagi dizaman yang penuh dengan fitnah dan keajaiban ini.

Seperti yang pernah diberi amaran dan ingatan oleh Rasulullah s.a.w secara khusus mengenai zaman tersebut dimana orang yang siuman menjadi bingun, perkara makruf menjadi mungkar dan mungkar menjadi makruf sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan malam yang gelap, fitnah seperti kepulan asap, dalam situasi itu hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka, mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi antara mereka ada puak yang menjual akhlak dan agama mereka dengan habuan dunia.(hadis riwayat Ahmad)

Kita berdoa kepada Allah supaya memberikan kita kesihatan dan berterusan dalam keadaan afiat serta bersyukur dengan afiat tersebut. Kita mohon dari Allah kebaikan masa dan kebaikan mereka yang hidup pada zaman ini. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan zaman dan kejahatan mereka yang hidup pada zaman ini. Allah maafkanlah kami, ampunkanlah kami, perelokkan kesudahan kami dan pastikan pada waktu kematian kami, kami sedang melakukan kebaikan dan amal soleh. Amin ya rabba al alamin
Sumber : http://pondoktauhid.blogspot.com