Friday, July 29, 2011

Ramadhan: Memenuhi Fitrah Manusia



Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat   
 
" Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." - Surah al-Baqarah, ayat 183.
 
Memahami tujuan hidup

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapi di antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa sebarang masalah akan dirujuk kepada pawang atau bomoh.

Selalu juga berlaku, sebahagian atau segelintir orang mengambil langkah penyelesaian kepada pelbagai masalah itu dengan cara mengadu kepada kuasa lain selain Allah SWT. Cara itu adalah khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua itu menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara fitrahnya, manusia perlu kepada Tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapa yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya Tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui Tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan jasad manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Dengan kata lain, manusia diseru agar mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Pengabdian kepada Allah SWT merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Pencipta.

Al-Quran panduan hidup

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut tujuan tanah, air, api, dan udara atau sebagainya adalah berguna kepada manusia. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, siapakah yang dapat menjelaskan tujuan hidup jika tidak Allah SWT sendiri?

Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya mereka yang berpengetahuan tentangnya.

Demikianlah tujuan hidup manusia. Mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia, iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah (para rasul) yang ditugaskan untuk memandu manusia, bagaimana hidup ini perlu diselaraskan menurut kehendak Allah SWT.

Justeru jurupandu kepada umat ini ialah para ambiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berpandukan al-Quran.

Sehubungan itu, bersempena menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak kali ini (1431H), maka seluruh kehidupan ini hendaklah mengambil pengajaran darinya. Antaranya mengambil ingatan sebaiknya kerana bulan Ramadhan merupakan bulan penurunan al-Qur an. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas sepertimana firman Allah SWT:

" Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)."
- Surah al-Baqarah, ayat 185.

Puasa memenuhi fitrah manusia


Justeru, antara keberkatan utama bulan Ramadhan adalah difardhukan ibadat puasa sepertimana difardhukan ke atas umat terdahulu. Namun, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain juga merupakan keperluan bagi fitrah manusia. Jika sekalipun agama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas dirinya untuk berpuasa kerana banyak manfaat daripadanya, termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, maka lebih perlulah puasa ditunaikan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan.

Salah satu manfaat besar puasa ialah dapat membukti sejauh mana tanda taat dan tunduknya manusia kepada tuhannya. Manusia selaku hamba Allah, sanggup bersusah payah (dengan berpuasa), demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk menjaga anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita mengutamakan ibadat sepanjang Ramadhan ini, sanggup kita bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Dari sinilah, hati kita perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati yang memenuhi tuntutan takwa kepada Allah SWT.

Ingatlah, hilangnya keyakinan terhadap Allah, maka akan hilanglah roh dari ibadat puasa tersebut. Hilangnya roh ibadat puasa itu, maka akan menghilangkan pula ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang berpuasa. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

"Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat
apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam."
- Riwayat Ibnu Majah.

Semoga kita semua dapat memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT di sepanjang Ramadhan. Malah, semua ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita, bukan hanya ketika bulan Ramadhan. Harapan kita, agar bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan al-Quran sebagai usaha kita memenuhi apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. InsyaAllah, Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas

Thursday, July 28, 2011

SELAMAT BERSARA HAJI KAMARUDDIN CHIK

SELAMAT BERSARA HAJI KAMARUDDIN CHIK
PENOLONG KANAN KOKURIKULUM SKSS1

Selamat Bersara Tuan Haji Kamaruddin Chik Penolong Kanan Kokurikulum, Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu. SKSS1 kehilangan seorang tenaga penting khusus dalam pembangunan kokurikulum sekolah dan juga PIBG.

Rakan sejawat sewaktu mula bertugas di Sekolah Menengah Tun Telanai, Kuala Terengganu pada tahun 1980 hingga 1986. Kemudian diketemukan pula sewaktu bertugas di SKSS1 pada Ogos 2008 hingga saat akhir saya bersara pada akhir tahun 2010. Rakan sejawat yang banyak membantu dan melaksanakan tugas dan amanah sewaktu saya mengetuai SKSS1. Seorang yang sangat komited terhadap tugas dan tanggungjawab. Sentiasa membantu, memberi pandangan dan yang paling hebat Hj Din mampu mempengaruhi guru-guru untuk melaksanakan sesuatu tugas dan tanggungjawab bagi melaksanakan sesuatu aktiviti kokurikulum atau apa sahaja tugasan yang diamanahkan kepadanya. Saya bangga punyai rakan sejawat yang semikian rupa, semuga segala kerja buat yang telah dilaksanakan sepanjang kariernya mendapat ganjaran daripada Allah.

Selamat Bersara, semuga Allah merahmati kita bersama.

Tuesday, July 26, 2011

Warkah buat saudaraku anggota polis


Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Malaysiakini Jul 26, 11

Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu,

Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja.


Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.


Saudaraku anggota polis,


Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas.


Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Cegah kemungkaran

Saudaraku anggota polis,


Tugas seorang anggota polis - sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu 'Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran'.

Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu 'Mencegah Kemungkaran'. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum.

Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya): “Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Nabi s.a.w pula bersabda: “Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.

Bahaya kuasa

Saudaraku anggota polis,

Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya.

Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya.

Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.

Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara.

Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri.
Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.

Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan.

Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Doa orang dizalimi
Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi SAW: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Dalam riwayat Ahmad yang lain: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Saudaraku anggota polis,

Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu.

Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa.

Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya 'apakah salah saya?'. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.

Saudaraku anggota polis,

Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan.

Tunggu balasan

Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya): “Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).

Saudaraku anggota polis,

Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil.
Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya.

Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w: "Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk" (Riwayat Muslim).

Sabda baginda juga: "Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat).

Arahan atasan

Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat al-Bukhari).

Saudaraku anggota polis,

Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan 'atasan'. Maka, mungkin ada yang berkata 'kami hanya menjalankan tugas'.

Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu 'Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik.

Kata 'Umar bin Hubairah: “Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama?

Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.

Wahai 'Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit.

Tanggungjawab kepada Allah

Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid. Wahai 'Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat.

Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai 'Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor 'Umar bin Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa 'Ibrah al-Yaqzan)

Saudaraku anggota polis,

Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat.

Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.

Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.

Saudaraku anggota polis,

Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak.
Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil
.
Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!

Dua punca krisis bahasa Melayu, ‘sebentar naik, sebentar turun’


Oleh G Manimaran
July 25, 2011

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Sikap menganggap bahasa Melayu bahasa yang “belum maju” berbanding bahasa-bahasa lain termasuk bahasa Inggeris merupakan punca asas ia berhadapan dengan “krisis martabat”, kata tokoh bahasa Datuk Dr Hassan Ahmad.

Beliau yang juga bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, ia merupakan salah satu daripada dua punca utama bahasa Melayu berhadapan dengan situasi “tidak tetap, tidak stabil sehingga kemajuannya tidak menentu, sebentar naik, sebentar turun, akhirnya berlaku semacam krisis martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.”

“Ada dua sebab... pertama, sikap yang salah terhadap bahasa Melayu, sikap menganggap bahawa bahasa Melayu adalah bahasa yang ‘belum maju’ berbanding, misalnya dengan bahasa Inggeris oleh yang demikian bahasa Inggeris hendaklah digunakan sebagai bahasa kemajuan negara ini manakala bahasa Melayu bolehlah terus digunakan dalam urusan biasa pentadbiran kerajaan atau sebagai ‘bahasa perpaduan’,” kata beliau.

Sebab kedua, menurut Hassan ialah pendidikan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan nampaknya tidak berjaya melahirkan generasi warga Malaysia yang lahir selepas Merdeka yang mempunyai komitmen dan keyakinan yang tinggi untuk terus menggunakan bahasa ini dengan betul, baik dan bermutu tinggi sebagai alat pembangunan negara.

“Setelah lebih 50 tahun bahasa ini diajarkan di sekolah sebagai bahasa yang wajib kita perhatikan rata-rata penggunaan bahasa ini dalam komunikasi awam, dalam sektor-sektor profesional dan dalam sektor swasta tidak sahaja tidak meluas bahkan mutu penggunaannya nampaknya kian buruk.

“Merebaknya fenomena ‘bahasa Melayu rojak’ dalam kalangan pengguna bahasa ini dalam hampir semua sektor dan golongan menunjukkan bahawa pendidikan dalam bahasa kebangsaan tidak mencapai kejayaan yang boleh kita banggakan,” kata beliau lagi.
Justeru tegas Hassan, fenomena ‘bahasa rojak’ ini juga berlaku kerana pendidikan bahasa kebangsaan tidak berlaku atau tidak dilanjutkan ke dalam masyarakat, ke dalam institusi-institusi awam atau ke dalam sektor awam.

“Pendidikan itu tamat di sekolah sahaja,” katanya lagi.
Malah menurut beliau, “perlu diingatkan bahawa kecekapan dan keluasan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai alat komunikasi kebangsaan merupakan faktor penting yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan dasar bahasa kebangsaan di negara ini.”
Beliau menyatakan demikian dalam kertas kerjanya bertajuk “Dasar Bahasa Kebangsaan Di Malaysia: Melihat Semula Peranannya Sebagai Alat Perpaduan dan Kemajuan Negara” pada ceramah anjuran bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan DBP di Seremban hari ini.

Malah kata Hassan, tidak banyak orang Melayu dan bukan Melayu, termasuk para menteri dan pegawai tinggi kerajaan yang mengetahui atau sedar secara ‘terdidik’ bahawa bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang cukup maju di dunia sejak sekurang-kurangnya abad ke-14.

“Oleh sebab mereka tidak mempunyai pengetahuan itu maka akal dan emosi mereka dipengaruhi kepercayaan bahawa mulai tahun 1957 bahasa ini perlu ‘dibina’ semula (seolah-olah seperti rumah lama yang sudah runtuh) dan perlu ‘dimajukan’ supaya mencapai taraf sebagai ‘bahasa maju’. Kepercayaan ini nampaknya kekal sampai ke hari ini,” katanya lagi.

Jelas beliau, sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan atau bahasa urusan kerajaan lama sebelum dasar itu digubal pada1957.

Katanya, pada abad ke-15 atau ke-16, bahasa Melayu mulai berkembang sebagai lingua franca kerajaan, lingua franca ilmu dan kesusasteraan tinggi di seluruh rantau ini, merentas sempadan geografi dan segala tembok etnik dan bahasa-bahasa etnik yang lain sehingga akhirnya dalam awal abad ke-20 bahasa ini menjadi bahasa pemersatuan kawasan, yang kini disebut Indonesia.

“Dalam tahun 1945, Sukarno, orang Jawa, dan rakan-rakan seperjuangannya mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa nasional negara republik Indonesia, tidak bahasa Jawa atau bahasa-bahasa lain yang jauh lebih besar jumlah penutur aslinya daripada jumlah penutur asli bahasa Melayu di Indonesia.

“Hari ini bahasa Melayu (termasuk bahasa Indonesia) merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang kelima besarnya di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta (ada yang berkata hampir 300 juta) orang di serata dunia, khususnya di kawsan induknya iaitu kawasan Malaysia-Indonesia-Brunei-Patani (dan selatan Filipina),” katanya.
Oleh itu kata beliau, penting juga diingatkan bahawa bahasa Islam yang terbesar di dunia bukan bahasa Arab atau bahasa Parsi tetapi bahasa Melayu.

“Bahasa ilmu atau bahasa pengajian tinggi yang terbesar di rantau ini bukan bahasa lain, bukan bahasa Inggeris, tetapi bahasa Melayu-bahasa Indonesia.

“Di seluruh rantau ini terdapat lebih kurang 3,000 institusi pengajian tinggi yang hampir semuanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Jumlah buku ilmu yang terbanyak di rantau ini ialah buku dan pelbagai penerbitan ilmiah dan bukan ilmiah dalam bahasa Melayu,” katanya lagi.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dua-punca-krisis-bahasa-melayu-sebentar-naik-sebentar-turun/

Nazrin : Raja perlu penasihat berani nyata kebenaran

Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah bertitah adalah amat penting Raja-Raja disembah maklumkan secara berterus terang mengenai cerita sebenar dan sama sekali tidak dipagari oleh mereka yang berkepentingan diri sehingga Raja tergamak diperalatkan.

judges conference 090408 raja nazrin
"Raja wajib memiliki kumpulan penasihat yang jujur lagi ikhlas, kumpulan penasihat yang peka kepada denyut jantung dan denyut nadi warga, kumpulan penasihat yang tegas lagi berani menyatakan yang benar," titah baginda dalam Wacana Ilmu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bertema "Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Warga" di Shah Alam hari ini.

Menurut Raja Nazrin Shah (
kiri), Raja sendiri hendaklah bersedia menerima hakikat dan kenyataan, betapa pahit dan berat sekalipun, kerana keadilan tidak mungkin dapat ditegakkan tanpa kebenaran.

Baginda bertitah bahawa Raja tidak dapat berperanan secara bermakna sekiranya Raja sentiasa dilukiskan dengan sebaik-baik gambaran.


"Ia bukan sahaja melukiskan gambaran palsu tetapi telah tidak bersifat adil kepada Raja, menidakkan hak Raja menyempurnakan tanggungjawab secara saksama untuk membolehkan peranan Raja diterima baik oleh warga," titah baginda.

Baginda bertitah adalah benar persaingan politik semakin sengit dan juga benar isu agama dan isu kaum amat sensitif tetapi persaingan politik hanyalah mengambil kesempatan memperjudikan isu agama dan isu kaum serta mengeksploitasi sentimen ketidakpuasan hati rakyat yang lebih rencam.


bersih rally july 9 crowd face-off with police 1"Dalam setiap perselisihan dan dalam segala perbalahan tidak mungkin satu pihak betul semua dan tidak mungkin satu pihak salah semua tetapi kaedah mencari kemenangan mutlak dan kaedah mahu menjatuhkan lawan telah mengetepikan elemen adab, elemen adat, elemen moral dan elemen agama," titah Raja Nazrin.

Baginda bimbang jika suhu politik semakin panas, impian untuk membina perpaduan akan menemui mimpi ngeri yang sangat menakutkan. 


Institusi berwibawa

Oleh itu baginda bertitah perlu ada institusi yang berwibawa untuk menurunkan suhu politik yang semakin panas, institusi yang kekal berkecuali dan institusi yang dapat diterima untuk membantu menenangkan suasana.


Raja Nazrin bertitah untuk itu amatlah penting dipastikan Raja kekal dalam disiplin yang berada di atas polemik politik tetapi Raja juga ada amanah, ada tanggungjawab untuk memastikan negara aman dan warga hidup secara rukun secara damai.


NONE"Tetapi Raja tidak memiliki lampu ajaib yang boleh memupuk perpaduan dalam sekelip mata apatah lagi jika suasana sudah terlalu berkecamuk," titah baginda.

Menurut Raja Nazrin, sebaik peranan kepada Raja adalah untuk memberi nasihat secara tertutup kepada pelbagai instrumen negara mengenai tanggungjawab masing-masing supaya Raja tidak disalahtafsir mencampuri secara langsung urus tadbir negara.

Baginda bertitah bahawa perpaduan tidak akan berjaya dipupuk dalam situasi politik yang tidak stabil dan tidak matang selepas pilihan raya umum ke-12 di mana perlu ada penerimaan kepada realiti dan pemahaman bahawa tuntutan melakukan perubahan kepada yang lebih baik adalah lumrah alam.


"Perpaduan memerlukan kesediaan melakukan pengorbanan, menerima kekalahan dengan reda dan merayakan kemenangan dengan keinsafan," titah baginda.

majlis raja raja rulers council 300609Raja Nazrin Shah juga bertitah bahawa dalam dinamik politik yang sedang berlaku, adalah bertambah penting Raja selaku tonggak kestabilan dan payung penyatuan rakyat, bersifat berkecuali supaya semasa berlakunya krisis, Raja berupaya memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak.

"Payung kedaulatan negara ini (Raja) jangan sama sekali dirosakkan, jangan sama sekali ditiriskan, jangan hanya dicari bila panas terlalu terik atau hujan sudah turun.


"Payung negara ini adalah lambang kedaulatan warga, lambang kedaulatan negara, memberi teduh di hari panas, menangkis air di hari hujan," titah baginda.


- Bernama

Thursday, July 21, 2011

TAWARAN ISTEMEWA DARIPADA ALLAH SWT - RAMADHAN

Khutbah Rasulullah Menyambut Ramadhan

Selain memerintah shaum(berpuasa), dalam menyambut menjelang bulan Ramadhan, Rasulullah selalu memberikan beberapa nasehat dan pesan-pesan. Inilah ‘azimat’ Nabi tatkala memasuki Ramadhan.

Wahai manusia! Sungguh telah datang pada kalian bulan Allah dengan membawa berkah rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia disisi Allah. Hari-harinya adalah hari-hari yang paling utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. Jam demi jamnya adalah jam-jam yang paling utama.

Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tamu Allah dan dimuliakan oleh-NYA. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu ibadah, amal-amalmu diterima dan doa-doamu diijabah. Bermohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan shiyam dan membaca Kitab-Nya.

Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini. Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu di hari kiamat. Bersedekahlah kepada kaum fuqara dan masakin. Muliakanlah orang tuamu, sayangilah yang muda, sambungkanlah tali persaudaraanmu, jaga lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal kamu memandangnya dan pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu mendengarnya. Kasihilah anak-anak yatim, niscaya dikasihi manusia anak-anak yatimmu. Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu shalatmu karena itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih; Dia menjawab mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyambut mereka ketika mereka memanggil-Nya dan mengabulkan doa mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.

Wahai manusia! Sesungguhnya diri-dirimu tergadai karena amal-amalmu, maka bebaskanlah dengan istighfar. Punggung-punggungmu berat karena beban (dosa) mu, maka ringankanlah dengan memperpanjang sujudmu.

Ketahuilah! Allah ta’ala bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahwa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang shalat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Rabb al-alamin.

Wahai manusia! Barang siapa di antaramu memberi buka kepada orang-orang mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang budak dan dia diberi ampunan atas dosa-dosa yang lalu. (Sahabat-sahabat lain bertanya: “Ya Rasulullah! Tidaklah kami semua mampu berbuat demikian.”

Rasulullah meneruskan: “Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air.”

Wahai manusia! Siapa yang membaguskan akhlaknya di bulan ini ia akan berhasil melewati sirathol mustaqim pada hari ketika kai-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan pekerjaan orang-orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari kiamat. Barangsiapa menahan kejelekannya di bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barang siapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakanya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barang siapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturahmi) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barang siapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa melakukan shalat sunat di bulan ini, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Barangsiapa melakukan shalat fardu baginya ganjaran seperti melakukan 70 shalat fardu di bulan lain. Barangsiapa memperbanyak shalawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa di bulan ini membaca satu ayat Al-Quran, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Quran pada bulan-bulan yang lain.

Wahai manusia! Sesungguhnya pintu-pintu surga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak pernah menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu. Setan-setan terbelenggu, maka mintalah agar ia tak lagi pernah menguasaimu. Amirul mukminin k.w. berkata: “Aku berdiri dan berkata: “Ya Rasulullah! Apa amal yang paling utama di bulan ini?” Jawab Nabi: “Ya Abal Hasan! Amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah”.

Wahai manusia! sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang senantiasa besar lagi penuh keberkahan, yaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu fardhu, dan qiyam di malam harinya suatu tathawwu’.”

“Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardhu di dalam bulan yang lain.”

“Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu adalah pahalanya surga. Ramadhan itu adalah bulan memberi pertolongan ( syahrul muwasah ) dan bulan Allah memberikan rizqi kepada mukmin di dalamnya.”

“Barangsiapa memberikan makanan berbuka seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikitpun berkurang.”

Para sahabat berkata, “Ya Rasulullah, tidaklah semua kami memiliki makanan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa. Maka bersabdalah Rasulullah saw, “Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi sebutir kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu.”

“Dialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya ampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka. Barangsiapa meringankan beban dari budak sahaya (termasuk di sini para pembantu rumah) niscaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka.”

“Oleh karena itu banyakkanlah yang empat perkara di bulan Ramadhan; dua perkara untuk mendatangkan keridhaan Tuhanmu, dan dua perkara lagi kamu sangat menghajatinya.”

“Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya bahwa tidak ada Tuhan selain Allah dan mohon ampun kepada-Nya . Dua perkara yang kamu sangat memerlukannya ialah mohon surga dan perlindungan dari neraka.”

“Barangsiapa memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, niscaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam-Ku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam surga.” (HR. Ibnu Huzaimah).

Tuesday, July 19, 2011

Antara kebersihan dan kekotoran

oleh NURUL IZZAH
7/19/2011 7:31:31 AM
Membaca nukilan terbaru Sasterawan Negara, A Samad Said bertajuk Bersih, Bersih ... Kasih, Kasih! mengingatkan saya perkataan ini simbol amat menakutkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan jentera-jentera yang digunakan untuk menekan serta menakutkan rakyat.

Bersih 2.0 melambangkan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil merupakan perkataan sangat dibenci kalangan pemimpin-pemimpin negara sehingga sesiapa memakai baju kuning bersimbolkan perkataan itu ditangkap dan sehingga kini masih lagi ditangkap walaupun perhimpunan Bersih 2.0 telah berakhir seminggu lepas.
Saya percaya yang menakutkan mereka bukan simbol itu, tetapi lapan perkara yang dituntut oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, iaitu;

Bersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, guna dakwat kekal, akses media bebas dan adil, masa berkempen minimum 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.


Ia seperti dinukilkan oleh Pak Samad dalam puisinya itu;
“Kelompok kuasawan tertentu itu bersungguh-sungguh menghalang, menghadang, mengekang dan memalang upacara penyampaian Memo Bersih.

“Hanya Tig saja tampaknya tidak henti-henti mendecipkan—menceritakan—tentang bagaimana ribuan manusia yang disengkang datang ke tempat perhimpunan itu.

“Gas pemedih mata dan pancutan air menyeksa menyambut aliran manusia. Kelompok kuasawan terpilih benci mendengar lirik senandung “Bersih” dinyanyikan seharmoninya.” Penjelasan dapat dikatakan, pemimpin-pemimpin kerajaan sememangnya takut dengan tuntutan-tuntutan bersih ini kerana mereka telah bergelumang dengan kekotoran pilihan raya sejak berabad lamanya.

Sehingga kini, tidak ada satu usaha dilunaskan demi melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut; sebaliknya apa dilakukan ialah terus dengan propaganda jahat terhadap Bersih 2.0 untuk menolak tuntutan-tuntutan tersebut daripada dilaksanakan.


Namun ketika pemimpin-pemimpin ini ketakutan, rakyat menjadi mangsa hilang ketakutan mereka kepada pemimpin-pemimpin yang kotor ini. Ketakutan pemimpin-pemimpin ini dengan bertindak tidak rasional terhadap Bersih dan lapan tuntutan dikemukakan, membuka mata rakyat untuk menuntut pelaksanaan tuntutan tersebut.

Semua perkara ini tidak mungkin dicapai dalam sekelip mata sekiranya pemimpin-pemimpin ini bertindak secara tidak rasional, tidak menutup Kuala Lumpur dengan sekatan-sekatan jalan raya di seluruh jalan utama sehinggakan Kuala Lumpur lengang dari kenderaan. Ia juga tidak mungkin berlaku jika polis dan FRU bertindak menembak peluru gas pemedih mata secara terus dan tidak menuruti prosedur kepada rakyat yang berhimpun sehingga mencederakan ramai dan mengakibatkan kemalangan jiwa Arwah Baharuddin Ahmad!

Kejayaan untuk menyedarkan rakyat betapa kotornya pilihan raya tidak akan dicapai sekiranya pemimpin-pemimpin ini tidak mengambil tindakan terhadap pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang buat tuntutan itu.

Tidak ramai rakyat akan menyedari hak-hak mereka dalam pilihan raya sekiranya pemimpin-pemimpin ini tidak terlalu takut kepada warna kuning yang mempunyai simbol Bersih 2.0. Seperti puisi Pak Samad;

“Senja itu masyarakat hewan berkumpul lagi untuk menilai dan menafsir tindakan manusia dalam Peristiwa 9 Julai itu.
“Merjah tidak faham mengapa kelompok kuasawan “terpilih” begitu cemburu terhadap upaya memperbaik iklim demokrasi. Demokrasi rupa-rupanya ingin dikacip kepaknya agar tidak dapat terbang bebas.

“Sebaik khalayak hewan penuh, Merjah pun bersyarah: “Hari ini kita belajar tentang kemurnian gerakan Bersih.”

Kini kebangkitan untuk pilihan raya yang bersih dan adil tidak lagi boleh disekat-sekat, ia telah bersemadi di sanubari rakyat walaupun ramai tidak menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0. Sambutan kuning semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di United Kingdom jelas membuktikan, kerajaan tidak punya pilihan lain kecuali laksanakan segala tuntutan Bersih 2.0. Ayuh, maju terus!

KOMEN CGSYED

Kalaulah Najib dan pengikutnya berfikiran bahawa peserta Bersih 2.0 adalah golongan pengganas, pelampau, komunis ? atau apa saja yang terlintas dalam fikiran mereka, sudah tentulah tidak boleh dipertikai. 

TETAPI APA KATA NAJIB, RATU ELIZBETH BEKAS PEMERINTAH / PENJAJAH JUGA MERESTUI RAKYAT (BERSIH 2.0) DENGAN MEMAKAI BAJU KUNING. KALAULAH POK LEH, POK NGOH ORANG KAMPUNG BERFIKIRAN SEPERTI PENYOKONG BERSIH, MUNGKIN KITA RASA TAK KENA, TAPI RATU ELIZABETH JUGA MENYOKONG BERSIH. MANA PERGINYA RASIONAL PENYOKONG NAJIB? SEHINGGAKAN WARNA KUNING JADI SATU KEGELISAHAN DAN KESALAHAN. BETAPA TIDAK WARASNYA MANUSIA YANG BERFIKIRAN SEDEMIKIAN RUPA.


DYMM Seri Paduka sanggup menemui 3 orang wakitl Pertubuhan Haram Bersih 2.0 ?. Apa rasionalnya PM yang diperkenankan perlantikannya oleh DYMM tak sanggup berunding dengan wakil Bersih 2.0.?
Tepuk dada tanyalah iman.