Friday, September 9, 2011

Mat Indera jadi modal politik


Kalaulah Mat Indera (al-Fatihah untuk Allahyar­ham) masih hidup, dia mungkin terkejut kerana tidak sangka dirinya jadi kontroversi selepas lebih 60 tahun peristiwa Bukit Kepong.

Siapa sangka, isu Mat Indera berlarutan begitu lama. Sejak ceramah Mat Sabu di Tasek Gelugor pada 21 Ogos, dan jadi berita muka depan akhbar seminggu kemudian, ia terus jadi sebutan hingga hari ini.
Mat Sabu sendiri tidak menyangka ceramahnya itu akan jadi berita besar.

Dalam reaksi awal kepada wartawan, dia mengaku lupa apa yang dia sendiri katakan mengenai Mat Indera dalam ceramah itu. Hanya setelah isu itu meletup, barulah Mat Sabu cari buku ‘Pengukir Nama Johor’ yang antara lain, menceritakan mengenai Mat Indera. Mat Sabu juga mengaku lupa akan rujukan yang dibacanya sebelum itu.

Besarnya cerita Mat Indera - berdasarkan saiz dan tempoh liputan - mengalahkan banyak isu-isu lain. Ruang yang diberi seolah-olah ia terlalu penting bagi semua rakyat Malaysia.

Ia bukan sahaja menggegarkan pejabat syarikat akhbar, malahan meja ahli akademik. Bukan itu sahaja, pejabat menteri turut digoncang apabila Pas mahu kerajaan tubuhkan Jawatankuasa Kabinet untuk menulis semula sejarah negara.

Dalam kata lain, mereka tidak mahu Mat Indera yang diangkat sebagai hero oleh Timbalan Presiden Pas itu terus dianggap pengkhianat tetapi pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Apakah jika gesaan itu dipenuhi, sejarah baru ditulis, mereka akan berpuas hati jika Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang diiktiraf dalam buku sejarah hari ini, terus diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan? Ataupun mereka mahu tokoh-tokoh itu dilabel sebagai tali barut Inggeris sebagaimana disebut Mat Sabu?

Jika tidak, apakah selepas itu akan ada gesaan supaya ditubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang baru untuk menulis sejarah Malaysia yang lebih baru sebagaimana dikehendaki Pas, termasuk melabel Yusof Rono & Rakan-rakan, sebagai petualang?

Yang tinggal tidak bergegar hanya istana raja-raja Melayu. Harapnya ia akan terus kekal begitu. Jangan pula raja-raja turut diheret sama untuk mengiya atau menidakkan Mat Indera. Cukuplah!

Pada malam raya kedua lalu, sedang enak menghirup susu lembu di Restoran Pokok Ceri depan hospital lama Alor Setar, saya ditanya mengenai ceramah Mat Sabu di Tasek Gelugor.

“AHHHHHHHH!!! Mat Indera lagi!” saya memberontak dalam hati. Namun demi menjaga semangat maaf zahir batin, pemberontakan itu saya telan jauh ke dasar perut. Madah berhelahnya cukup dengan kata-kata: “Oh! Isu tu aku ,’follow’ gitu-gitu ja, sama macam apa yang hangpa baca dalam surat habaq!”

Meskipun demikian bodoh alasan yang saya berikan, dan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang wartawan, lantaklah. Saya terpaksa kerana terlalu letih melayan isu itu yang subjek tunggalnya seorang manusia yang sudah lama meninggal.

Bagi saya, apa yang dikata oleh Mat Sabu, itu pandangannya sendiri. Kita masing-masing ada persepsi. Dan ini negara demokrasi, maka setiap orang bebas miliki persepsi.

Banyak daripada catatan sejarah negara, termasuk yang sudah diakademikkan, dan digazetkan sebagai dokumen sejarah arus perdana, adalah daripada kajian ahli sejarah zaman kolonial, yang bermakna kita mewarisi maklumat sejarah negara kita daripada perspektif kolonial.

Itulah data yang kita terima sebagai dokumen sejarah tanah air kita. Saya tidak bermaksud kesemuanya namun ada sesetengah asas maklumat yang kita pegang diwarisi daripada penjajah, terutama W G Shellabear , seorang misioner Kristian.

Pada fahaman saya, tentu ada sedikit sebanyak kepentingan gerakan Shellabear dititipkan pada apa yang ditinggalkannya, tambahan pula pejuang Melayu pada zaman pramerdeka rata-ratanya alim ulama (baca: musuh Shellabear) termasuk Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh, Kiyai Haji Salleh, Tok Gajah malah Mat Indera sendiri. Setuju ataupun tidak, ini kita harus akui.

Saya tidak setuju anggota polis Rumah Pasung Bukit Kepong dan keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi subuh 23 Februari 1950 itu dihina sebagai tali barut Inggeris,. Itu keterlaluan, namun berpada-padalah kita untuk melayan perbezaan pendapat dalam isu ini.

Tidak perlulah kita cabar mencabar mengajak debat sehingga menghina sesama sendiri, apa lagi ia berlaku pada minggu Aidilfitri. Begitu kuatnya kepentingan politik sehingga kita tinggalkan apa yang diajar oleh agama.

Mengapa orang kita begitu bersungguh-sungguh berniaga buluh kasap sedangkan yang masuk hanya angin, yang keluar pula hanya asap?

Ya, saya akui banyak mendengar dan membaca hal kebaikan Mat Indera terutama mengenai dekatnya dia dengan agama malah bergelar al hafiz. Tetapi tidak mustahil dalam hidup sesiapa juga pun, kecuali nabi yang kamil, ada sisi gelapnya yang tersendiri. Saya kata tidak mustahil, bukan menuduhnya secara mutlak!

Siapa lagi yang tinggal sebagai saksi hidup untuk membuktikan siapa Mat Indera yang sebenar? Melainkan masing-masing hanya boleh bertegang urat membawa cerita ‘hearsay’ (dengar cakap). Maklumat ‘hearsay’ tidak boleh jadi bukti sama ada untuk mengiya atau menafikan.

Akhirnya kita terpaksa akur, isu ini telah benar-benar jadi isu politik. Mat Indera ataupun keluarganya tidak akan mendapat apa-apa di kesudahannya, manakala waris mereka yang terkorban di Bukit Kepong, akan berdarah semula luka lama mereka. Itu sahaja.

Orang politik akan mendapat sedikit nama kerana berani mencabar atau menyahut cabaran lawan masing-masing. Yang ke bawah sedikit tingkatannya, mendapat peluang untuk ditepuk belakang kerana berani membela bos mereka.

Inilah sebenarnya permainan politik, dan meletusnya isu Mat Indera, kita dapat melihat dengan lebih jelas wajah mereka yang berkepentingan ini. Sesudah 54 tahun merdeka, kita masih berbalah mengenai siapa pejuang, siapa petualang.

Inilah yang dikehendaki penjajah meskipun pada zahirnya mereka sudah lama keluar dari tanah air kita. Mereka tinggalkan isu untuk kita terus berbalah dan ternyata, hingga kini kita masih seperti bidak-bidak di papan catur kuasa asing. Dan mereka yang paling mudah makan umpan ini adalah politikus yang oportunis, sanggup buat apa sahaja untuk dapat nama dan undi.

Jika Somalia dianggap negara kelima paling berbahaya di dunia, Malaysia pula mungkin antara negara yang teratas dalam senarai adu domba politiknya. Mungkin!

Apakah kita tidak terfikir dengan berterusannya permainan seperti ini ataupun jika menjadi lebih dahsyat lagi suatu hari nanti, mungkin negara kita juga akan jadi seperti Somalia. Mungkin!


Thursday, September 8, 2011

Syarikat konsesi tol catat keuntungan 13 billion


8 September 2011 | 2:49 pm

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Syarikat-syarikat konsesi yang mengendalikan 27 lebuh raya di seluruh negara mengutip tol sebanyak RM37.7 bilion sehingga tahun ini berbanding kos untuk membina lebuh raya tersebut yang hanya RM26.4 bilion.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu, berdasarkan jumlah tersebut, syarikat-syarikat lebuh raya itu mendapat keuntungan sebanyak RM13 bilion sehingga sekarang.

“Bagaimanapun walaupun syarikat konsesi itu mencatatkan keuntungan, mereka masih mendapat bayaran pampasan daripada kerajaan kerana tidak menaikan tol sebanyak RM2.1 bilion.
“Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) misalnya dibina dengan kos RM5.9 bilion tetapi berjaya mengutip tol sebanyak RM23.9 bilion sehingga sekarang dan ditambah pula kerajaan membayar pampasan kepada syarikat konsesi sebanyak RM735.2 milion,” katanya dalam sidang media di sini.

Katanya, jumlah kutipan tol syarikat konsesi itu berdasarkan kepada jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Yong Khoon Seng.

Tegasnya, ini bermakna syarikat konsesi ini pada dasarnya telah berjaya mengutip pelaburan yang dibuat dan telah mendapat keuntungan berbilion-bilion ringgit tetapi masih terus memeras duit dari rakyat dengan terus mengutip tol.

Tambah Guan Eng, syarikat-syarikat konsesi ini akan terus mengutip tol seperti PLUS dimana kontrak konsesi sehingga tahun 2039


Komen Cgsyed

Tak ada ke rasa kasihan belas untuk beri sedekah kepada rakyat Malaysia yang menggunakan lebuh raya dengan mengurangkan bayaran tol. Berapa juta agaknya ahli lembaga pengarah syarikat konsesi lebuhraya? Inilah kejayaan perswastaan yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir. Yang kaya bertambah, yang miskin bertambah papa kedana.

35 Petua Pelajar Cemerlang dari Dr Fadzilah Kamsah

 
Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:
  1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
  2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
    • kita ingat 10% apa yang dibaca
    • kita ingat 20% apa yang didengar
    • kita ingat 50% apa yang didengar & dilihat
    • kita ingat 70% apa yang dicakapkan
    • kita ingat 90% setelah dipraktikkan
  3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
  4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).
    ...Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya....
  5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
    • pastikan cahaya adalah terang
    • kurangkan gangguan bunyi
    • tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
    • tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
    • kerusi dan meja menghadap kiblat
    • jangan lupa untuk senyum
  6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
  7. Mengulang kaji menggunakan kaedah 'output learning' iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
  8. Tahu teknik merangsang memori:
    • memasukkan maklumat dalam memori (registration)
    • menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
    • mengingat kembali (recall)
    • menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
  9. Sentiasa awal dan mendahului:
    • persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
    • pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
    • belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
    • untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
  10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
  11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
    • duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
    • memberikan tumpuan sepanuhnya
    • menggunakan jari telunjuk untuk membaca
    • menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
  12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
  13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
  14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
  15. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
  16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
  17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
  18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
  19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
  20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
  21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
  22. Tahu petua mengulang kaji:
    • cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
    • siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
    • duduk tegak dikerusi yang selesa
    • baca doa penerang hati
    • baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
    • fikir dan ingat kembali isi utama
    • catat/lakar
    • semak semula ketepatan maklumat
    • ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
    • buat rumusan
    • jawab soalan
    • tampal maklumat yang rumit di dinding
    • baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
  23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
  24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
    • jangan makan kepala ikan
    • jangan makan organ dalaman
    • jangan minum semasa makan
    • jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
    • jangan melihat kemaluan
    • jangan melihat buih
    • jangan membaca nama pada batu nisan
    • banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
    • banyakkan makan kismis, kurma dan madu
    • banyakkan makan kekacang
    • pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
    • jangan makan sehingga terlalu kenyang
    • jangan kencing berdiri
  25. Tahu kemahiran mengingat:
    • tampal nota-nota penting di dinding
    • tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
    • gunakan kaedah akronim
    • reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
    • pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
  26. Cekap mengatur jadual belajar:
    • mempunyai jadual belajar
    • patuh kepada jadual
    • buat jadual yang boleh diikuti
  27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
  28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
  29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
  30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
  31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
  32. Pelbagaikan tempat belajar.
  33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
  34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
  35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
    • taat kepada Allah
    • mendirikan sembahyang
    • menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
    • hormati & sayangi guru
    • bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
    • suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
    • membantu rakan yang memerlukan
    • berdoa dan bersyukur kepada Allah
    • sentiasa bertawakal
    • mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat. :)

Tuesday, September 6, 2011

Kerajaan Rasuah, tidak amanah

29 August 2011 | 4:29 pm

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mempertahankan kenyataannya bahawa perpecahan Melayu dan Islam di negara ini disebabkan kelemahan kerajaan, yang berpunca dari amalan rasuah dan tidak amanah.
 
“Rasuah ini siapa pun akan marah. Sebab itu saya katakan yang lemah ialah kerajaan kerana rasuah dan tidak amanah. Dari situlah wujudnya kacau bilau dalam  negara,” katanya ketika dihubungi portal KeadilanDaily

Bercakap dalam satu forum di Shah Alam baru-baru ini, Harussani mengeluarkan kenyataan bahawa beliau ada mengingatkan Perdana Menteri, Najib Razak tentang kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah.

Malah beliau turut mendedahkan pernah menasihatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak memecat timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan liwat tanpa mengemukakan empat saksi.

Ia katanya, bagi mengelakkan perpecahan di kalangan orang Melayu-Islam.

Namun Mufti paling kanan di Malaysia dan  pernah diberi gelaran sebagai ulama Pro Umno ini berkata, nasihat itu,tidak dihiraukan Mahathir.

Malah beliau turut memberi tiga nasihat kepada bekas Perdana Menteri selepas Mahathir,  Tun Abdullah Ahmad Badawi , namun kesemuanya ditolak.

Ketika ditanya kenapa beliau kini dilihat berani mengkritik kerajaan, Harussani berkata, ia adalah menjadi kewajipan setiap mufti untuk menegur pemerintah.

“Kalau tak berani tegur, jangan jadi mufti. Sebab akhirnya nanti, di belakang-belakang (kerajaan) pun, kita akan kritik juga,”

“Sudah 54 tahun negara merdeka, tapi kedudukan ekonomi orang Melayu dan orang Islam masih ketinggalan. Ada pula yang salah anggap dengan apa yang saya katakan. Inilah dia masalahnya pemimpin-pemimpin Melayu,” katanya lagi.

Mufti yang dilihat lantang dalam isu Melayu-Islam itu menambah, kedudukan setiap rakyat di negara ini akan terbela dan terpelihara sekiranya semua pihak kembali kepada perlembagaan.

“Semua akan terbela jika semua faham dengan perlembagaan. Tak perlulah sampai nak diada-adakan perlembagaan yang baru. Untuk negara ini, kalau kita kembali kepada perlembagaan, semua akan selamat,” kata beliau.


Kemerdekaan Yang Sebenar

1 September 2011 | 2:16 pm

Oleh Profesor Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

KEMERDEKAAN yang sebenar adalah apabila insan dapat membebaskan diri dari menjadi hamba sesama makhluk kepada penghambaan diri hanya kepada Tuhan segala makhluk.

Tidak ada kemerdekaan mutlak dalam kehidupan insan. Jika insan berjiwa hamba atau menghina diri sesama mereka, maka dia tidak akan lagi menjadi hamba yang sebenar kepada Allah, Tuhan segala ciptaan yang wujud. Jika insan benar-benar menjadi hamba yang penuh ikhlas akidahnya kepada Allah, maka dia akan berjaya membebaskan diri dari cengkaman perhambaan sesama makhluk. Dalam erti kata lain, jika insan benar-benar tulus akidahnya, maka merdekalah dirinya dari kerendahan perasaan dan penghinaan jiwa terhadap selain Allah. Begitulah sebaliknya. Tiada insan yang merdeka mutlak dalam hidupnya. Hingga mereka yang mendakwa tidak mempercayai Tuhan dan bebas dari sebarang peraturan manusia pun, mereka tetap menjadi hamba nafsu dan pemikiran sesat yang akhirnya merobohkan nilai keinsanan mereka yang sebenar.

Lihatlah apa yang berlaku kepada penganut ajaran dan blok komunis. Akhirnya Lenin dan Karl Mark menjadi tuhan baru dalam kehidupan mereka. Firman Allah dalam surah al- Jathiyyah ayat 23 (maksudnya): Maka tidakkah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan ditutupi pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak insaf?

Sebab itulah, apabila tentera Islam memasuki sesebuah negara maka itu tidak dinamakan dengan penaklukan atau penjajahan. Sebaliknya dipanggil al-Fath iaitu pembukaan seperti Fath al-Makkah yang bermaksud Pembukaan Mekah. Maka gerakan umat Islam pada zaman kegemilangannya apabila memasuki sesebuah wilayah dinamakan al-Futuhat al-Islamiyyah iaitu pembukaan-pembukaan Islami. Ini bermaksud kedatangan umat Islam kepada sesuatu wilayah atau negara bertujuan memberikan kemerdekaan jiwa dari penindasan, kehinaan, kekejaman kepada satu sistem yang adil, yang berteraskan akidah yang benar. Jika hal itu tidak berlaku, maka bererti penaklukan atau penjajahan telah dilakukan. Ini menafikan tabiat Islam yang tulen, kerana Islam bukan agama yang diutuskan untuk menjajah orang lain, sebaliknya peranan umat ini adalah membebaskan kehidupan manusia keseluruhannya dari perhambaan sesama mereka, kepada mendaulatkan sistem Allah yang adil untuk semua. Inilah yang ditegaskan oleh Rib’i bin ‘Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: “Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.” (lihat: Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/413).

Misi inilah yang cuba dilaksanakan oleh umat Islam pada zaman kegemilangannya. Maka apabila umat Islam menguasai dunia pada zaman tersebut mereka membina jiwa yang merdeka dan pembangunan tamadun untuk dikongsi oleh semua. Di bawah panji-panji Islam kaum Muslimin Arab telah berjaya membawa obor gemilang kepada manusia sejagat. Empayar Islam berkembang, bernaung di bawahnya manusia tanpa mengira bangsa dan agama, keadilan untuk semua. Tanyalah orang-orang Yahudi, bilakah penulisan ilmu mereka berkembang? Tidak lain hanyalah pada zaman mereka hidup di bawah kerajaan Islam di Baghdad. Padahal sebelum itu mereka sentiasa ditindas oleh berbagai-bagai puak dan agama. Namun mereka bangsa yang melupai jasa. Tanyalah kepada agama-agama lain, pernahkah mereka diburu dan dibunuh secara kejam di bawah pentadbiran yang menjadikan Islam sebagai terasnya? Malangnya, umat Islam sentiasa mempunyai pengalaman diburu dan dibunuh secara rakus di bawah sistem kuasa yang mengambil agama selain Islam sebagai pegangan.

Adapun umat Islam sesama mereka, tanpa mengira bangsa yang penting al-ukhuwah al-Islamiyyah iaitu persaudaraan Islam, mereka berkongsi ketamadunan yang agung. Sehinggakan lahirnya tokoh-tokoh besar yang bukan Arab ketika pemerintahan umat Islam berada di tangan yang berbangsa Arab. Di dalam bidang hadis yang merupakan sumber agung Islam umpamanya; al-Imam al-Bukhari iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail (wafat 256H), pengarang Sahih al-Bukhari bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Bukhara, Ukzbek. Al-Imam Abu Isa, Muhammad bin Saurah al-Tirmizi (wafat 297H), pengarang Sunan al-Tirmizi juga bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Tirmiz. Pengarang Sunan Abi Daud, Sulaiman bin al-Asy‘ath al- Sajistan (wafat 275H) juga bukan seorang Arab. Berasal dari Sajastan. Demikian pengarang Sunan al-Nasai Ahmad bin ‘Ali bin Syu‘aib al-Nasai (wafat 303H) juga bukan Arab. Berasal dari Nasa, salah satu negeri di Khurasan. Begitu juga pengarang Sunan Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwaini (wafat 279H), bukan Arab, berasal dari Qazwain. Adapun al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (wafat 261H), pengarang Sahih Muslim, para pengkaji berbeza pendapat sama ada beliau seorang Arab atau tidak. Ramai yang menyatakan beliau juga bukan seorang Arab. Walaupun mereka semua bukan Arab tetapi Islam menjadikan mereka tokoh-tokoh hadis umat, kedudukan yang begitu tinggi yang diiktiraf oleh Arab dan bukan Arab. Dalam politik, Salahuddin al-Ayubi (wafat 589H) juga bukan seorang Arab. Dia berbangsa Kurdi. Namun dia berjaya menjadi sultan yang disayangi Arab dan bukan Arab. Dia berjaya mentadbir kerajaan Islam pada zamannya sehingga berjaya mengembalikan al-Masjid al-Aqsa.

Namun apabila umat Islam gagal menunaikan misi ini, mereka menjadi umat yang amat hina. Bayangkan, bagaimana mungkin Belanda yang kecil boleh menyeberangi lautan yang luas lalu menjajah Indonesia yang besar? Begitu juga Portugis yang datang begitu jauh dengan beberapa kapal mampu menjajah Melaka. Demikian tentu lebih dahsyat halnya di negara-negara Arab. Satu umat yang pernah membina tamadun gemilang akhirnya bertukar menjadi bangsa yang dijajah dan melutut hina di hadapan penjajahan. Aduhai, benarlah dikau Wahai Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab, ungkapan keramatmu ketika pembukaan Masjid al-Aqsa: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah.” (Riwayat ini sanadnya dinilai sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi, lihat: Al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Namun dengan kurniaan Allah, penjajah kebanyakannya telah keluar dari bumi umat Islam. Itu pun setelah mereka merampas hasilnya dan memerah keringat dan darah umat ini. Mungkin kesan ajaran Islam, menyebabkan umat ini tidak dapat menerima kelangsungan penjajahan. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat: 75 (maksudnya): Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak- kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh. Kata al-Qurtubiy (wafat 671H): “Allah menggesa untuk berjihad bertujuan menyelamatkan golongan yang ditindas (Muslimin) oleh kuffar musyrikin yang menyeksa mereka dengan seburuk-buruk seksaan dan memfitnah agama mereka. Maka Allah Taala mewajibkan jihad untuk menegakkan kalimah-Nya, memenangkan agama-Nya dan menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang lemah.” (al- Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/279, Beirut: Dar al-Fikr).

Sama ada disebabkan kesedaran agama atau politik, kebangkitan menentang penjajahan berlaku hampir seluruh negara-negara yang dijajah. Namun, keluarnya penjajah dari sesebuah wilayah tidaklah bererti berakhirnya penjajahan dalam segenap aspek. Bangsa yang dijajah, jika gagal menegakkan identiti murni sendiri, mereka akan sangat terkesan dengan bangsa yang pernah menjajah mereka. Penjajah keluar meninggalkan tanah air, namun bangsa yang lemah selalu memandang tinggi dan ingin bersama bangsa yang lebih gagah dan hebat. Atau, manusia apabila tertindas, ada yang hanya memikirkan kepentingan diri, bukan umatnya. Maka tidak hairan jika kita melihat ramai yang sanggup menjadi talibarut bagi setiap penjajah. Merekalah yang membawa misi dan polisi penjajahan. Sebab itu jika kita berjaya mempertahan identiti diri, kita akan merdeka sekalipun bumi terjajah. Dalam sejarah Islam, bangsa Mongol yang menjajah umat Islam bertukar menjadi Muslim. Walaupun ada kekurangannya, namun ia adalah lambang tidak tumpasnya umat yang dijajah sekalipun kekuatan ketenteraan gugur dan hancur.

Bercakap soal kerendahan harga diri, umpamanya kita temui sesetengah orang Melayu yang hanya beberapa tahun berada di negeri ‘orang putih’ mendakwa kononnya dia sudah kurang mampu bercakap Melayu. Bahkan saya pernah menemui pensyarah di universiti saya bertugas yang menyatakan beliau sukar bercakap Melayu kerana setahun setengah berada di England dan bapa angkatnya ‘orang putih’. Dia kononnya lupa bahasa yang dia hidup lebih 20 tahun dengannya dan bahasa bapa sebenarnya yang menjaganya sejak kecil. Namun demikianlah contoh kehinaan jiwa. Isu sebenarnya, bangsa yang lemah berasa bangga jika mereka berjaya menjadi sebahagian dari bangsa yang kuat. Jika ‘mamat Bangla’ yang datang beberapa bulan boleh bercakap Melayu, adakah kerana beberapa potongan keju lidah Melayu menjadi kaku?
Jelas, bukan soal bahasa sebenarnya, tapi soal kerendahan jiwa dan kegagalan memerdekakan perasaan. Justeru dalam dunia tanpa sempadan, penjajahan tidak semestinya memerlukan tentera dan peralatan perang, sebaliknya kekuatan identiti dan propaganda. Demikian pemikiran Hollywood berjaya menjajah anak-anak muda kita. Dunia ini sebenarnya dalam banyak hal terus dijajah oleh propaganda Barat melalui media, kuasa ekonomi dan ketidak- merdekaan jiwa bangsa-bangsa lain.

Justeru bagi umat Islam, membina identiti Muslim dan jiwa yang merdeka adalah amat mustahak sebagai lambang kemerdekaan. Bukan kita tidak boleh mengambil manfaat dari Barat, namun identiti Islam mesti dipelihara. Saya amat bergembira apabila Tun Ahmad Fairuz mencadangkan supaya undang-undang Inggeris Common Law diganti dengan undang-undang yang berasal dari tanah air di sini serta yang sesuai dengan syariah. Hal ini disokong pula oleh Peguam Negara dan pimpinan kerajaan. Ini adalah perlambangan jiwa yang merdeka dan kembali kepada identiti asal. Namun hasrat itu mesti terus berkobar, bukan sekadar berita akhbar sahaja.

Makna kemerdekaan yang seperti ini perlulah sentiasa diterapkan. Sambutan kemerdekaan memang baik. Namun ciri-ciri sambutan itu bagi seorang Muslim hendaklah beridentitikan Islam. Sebab itu saya amat tidak bergembira dengan sebuah iklan televisyen yang menampilkan tabik hormat kepada Tugu Negara. Walaupun itu bukan satu penyembahan, namun ajaran Islam amat sensitif kepada sebarang unsur seumpama itu dan budaya berkenaan pun bukan dari kita, bahkan warisan penjajahan.

Bergembira menyambut kemerdekaan agar kita tahu bersyukur, tidaklah salah. Demikian juga kita boleh berhibur dengan aturan yang diizinkan syarak. Namun sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan. Janganlah anak-anak muda berkumpul dan melaung kemerdekaan bukan kerana jiwa yang merdeka, tetapi sekadar acara tanpa menghayati makna. Gaya dan cara mereka hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka dari cengkaman penjajahan manusia kepada tauhid yang luhur. Kita amat tidak dapat menerima pelaksanaan perkara-perkara agama tanpa memahami dalil dan maknanya. Tentu sekali kita juga tidak dapat menerima mereka yang menyambut kemerdekaan tapi kontang dari penghayatan sebagai umat yang merdeka. Perhimpunan anak muda semperna kemerdekaan jika hanya untuk melihat hiburan di atas pentas semata, tentu tidak mencapai matlamatnya. Sebaliknya, mereka hendaklah berhimpun bagi menggambar kecintaan yang jujur kepada negara yang telah memberikan perlindungan kepada rakyat, agama dan kehormatan diri. Bukan sekadar acara tahunan. Setelah memahami hakikat ini, maka laungkanlah Merdeka! Merdeka! Merdeka!

* Dipetik daripada portal DrMaza.com

Monday, September 5, 2011

Jiwa baru selepas proses madrasah Ramadan


ALHAMDULILLAH, dapat lagi kita merayakan Aidilfitri yang mulia. Kali ini semuanya baru; pakaian baru, rumah baru tetapi yang lebih penting ialah jiwa baru selepas melalui proses tarbiah daripada madrasah Ramadan lalu
.
Semoga puasa, sedekah, solat sunat Tarawih, bacaan al-Quran kita berjaya menjadi perisai kepada hati yang keras ini daripada sebarang bentuk musibah dan bahaya.
Sebagai muhasabah dalam merayakan Lebaran ini, kejayaan puasa kita sebenarnya diukur selepas kita melewati bulan Ramadan. Ada orang sepanjang Ramadan pergi ke masjid dan surau, tetapi selesai Ramadan, perkara itu tidak lagi dilakukan maka itu namanya ‘hamba Ramadan’ bukannya hamba Allah.

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan. “Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan” maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim.


Pergi masjid bukan ikut selera kita atau melihat orang ramai ke sana kita pun pergi. Kenapa kita hanya bersemangat pada bulan Ramadan? Oleh itu, marilah kita jadikan semangat serta kesungguhan di bulan Ramadan sebagai ‘percikan’ bagi meneruskan kerajinan pada 11 bulan mendatang.

Dalam suasana berhari raya di mana rumah terbuka sedang rancak di sana sini janganlah pula rumah Allah tertutup. Pada Syawal ini juga disediakan ‘pakej’ pahala pelengkap kepada puasa Ramadan.

Pakej ini menggambarkan kelebihan umat Muhammad s.a.w, iaitu boleh mendapat kelebihan seolah-olah berpuasa setahun. Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya. “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang masa. (Hadis riwayat Imam Muslim).

Hadis berkenaan menjelaskan kepada kita bahawa berpuasa pada bulan Ramadan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam pada bulan Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa, iaitu selama satu tahun.

Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardu.

Menurut hukum fiqah, kita boleh memulakan puasa enam pada mana-mana hari sepanjang Syawal sama ada secara berterusan atau berselang seli.

Namun, afdalnya ialah pada hari kedua Syawal dan dilakukan secara berterusan sehingga hari ketujuh. Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadan, puasa enam memberi peluang kepada mereka untuk menggantikannya di samping mendapat pahala puasa sunat.

Rasulullah s.a.w mensyaratkan `berpuasa Ramadan’ terlebih dulu, kemudian barulah mengiringinya dengan enam hari pada Syawal. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada terlebih dulu kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah sunat yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan.

Berikut beberapa panduan kekal amalan baik selepas Ramadan antaranya:

  Cuba mencari pertolongan Allah untuk membimbing anda berada di jalan lurus dan tetap teguh di landasan kebenaran. Mengenai perkara ini elok diperhatikan ayat 8 Surah Ali-Imran, maksudnya: (Mereka berdoa dengan berkata): Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.
  Tekun mengerjakan ibadat (wajib) dengan penuh tanggungjawab.
  Rajin mengerjakan ibadat sunat dan menjadikannya kebiasaan walaupun sedikit. Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Amalan terbaik kepada Allah ialah yang berterusan, walaupun ia sedikit.”
  Baca al-Quran yang dipelajari ketika mengerjakan solat dan amalkan membacanya sekerap yang boleh.
  Banyak berzikir (mengingati Allah) dan memohon keampunan daripada Allah. Amalan ini mungkin nampak kecil, tetapi jika selalu diamalkan, ia akan meningkatkan keimanan dan memberikan kekuatan kepada jiwa.
  Berwaspada terhadap setiap perkara yang boleh memesongkan hati daripada jalan kebenaran.
  Paling penting ialah taubat, iaitu menyesal atas kesalahan lalu kepada Allah dan bertekad tidak akan menyimpang daripada landasan kebenaran lagi. Allah suka apabila hamba-Nya kembali kepada-Nya dengan taubat yang sebenar-benarnya
                                                                                                                                

Takwa penentu kejayaan dunia, akhirat

CEPATNYA masa berlalu, kini kita berada di akhir Ramadan. Sudahkah kita mendapat takwa sebagaimana tujuan difardukan berpuasa.

Allah s.w.t menolong kita mendapat takwa dengan mengikat syaitan. Allah tolong lagi dengan suruh kita berpuasa supaya nafsu dapat dikalahkan, Allah gandakan amalan kita supaya lagi cepat kita dengan takwa, Allah turunkan pula al-Quran supaya ada dibaca dan dijadikan panduan.

Al-Quran diturunkan pada lailatulqadar supaya bertambah mudah dapat takwa malah yang bagusnya ada juga yang bertanya apa itu takwa?

Betul juga dengan soalan itu. Takwa bukan sekadar melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah s.w.t Orang melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan tidak selalu berdasarkan takwa.


Mereka taat mungkin kerana ada sebab lain seperti menginginkan upah, pujian dan inginkan pengaruh. Mereka juga meninggalkan yang dilarang kerana ingin menjaga nama baik, takut dihukum, takut dihina dan takut diasingkan.

Begitulah apabila maksud takwa di salah erti dan disempitkan. Takwa berasal dari kata waqa-yaqi-wiqayah yang ertinya memelihara.

Hujahnya, daripada surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara kamu dan keluargamu dari api neraka”.

Dalam al-Quran, Allah menyeru dengan kalimat ittaqu atau yattaqi. Tambahan huruf pada asal kata waqa membawa perubahan makna.

Takwa adalah aset yang amat penting untuk dunia dan akhirat. Kemenangan, kejayaan dan keselamatan di dunia dan akhirat ditentukan oleh takwa.

Jadi, takwa itu sangat mahal, justeru banyaklah perkara yang perlu kita ketahui. Kalau di dunia ini banyak perkara yang hendak cari, takwa adalah pencarian yang diutamakan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Hendaklah kamu menambah bekalan. Maka sesungguhnya, sebaik-baik bekalan itu adalah sifat takwa.” (Surah Al Baqarah ayat 197).

Di dalam ayat di atas, sifat takwa sebagai bekalan itu tidak dikhususkan untuk bekalan akhirat tetapi dunia juga.

Tapi ramai muallim dan tok guru menghuraikan sifat takwa itu sebagai bekalan di hari akhirat semata-mata. Walaupun akhirat itu yang terpenting tetapi banyak dalil yang membuktikan bahawa takwa itu juga bekalan untuk dunia.

Di antara dalil sifat takwa itu bekalan untuk akhirat adalah seperti firman Allah s.w.t:

1. “Akan tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya bagi mereka Syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal dari sisi Allah.” (Surah Ali Imran ayat 198).

2. “Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu. Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan
melipatgandakan pahala bagi
nya.” (Surah at-Thalaq ayat 5).

3. “Kehidupan dunia kelihatan indah bagi orang kafir sehingga mereka memandang rendah kepada orang beriman, tetapi orang yang bertakwa adalah lebih tinggi daripada mereka di hari kiamat.” (Surah al-Baqarah ayat 212).

4. “Jika penduduk satu kampung beriman dan bertakwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Surah al-A’raf ayat 96).

5. “Akan Aku wariskan bumi ini kepada orang-orang yang soleh (bertakwa).” (Surah al-Anbiya ayat 105).

6. “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya.” (Surah at-Thalaq ayat 2-3).

7. “Bertakwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.”
(Surah al-Baqarah ayat 282).

Takwa adalah modal paling besar dan senjata paling ampuh bagi orang mukmin di dunia. Kalau tidak ada takwa, mungkin Allah bantu juga seperti Allah bantu orang-orang kafir.

Ertinya dapat bantuan dan pertolongan atas dasar istidraj iaitu atas dasar kutukan dan kemurkaan Tuhan. Tuhan beri dengan tidak reda. Atas kejayaan itu, mereka menjadi sombong dan angkuh dan akan melakukan maksiat di atas muka bumi.

Orang Mukmin diberi kemena
ngan dan kejayaan atas dasar takwa. Ramadan, al-Quran, puasa, Tarawih, qiamullail, sedekah, lapar, ingat mati, taubat, doa adalah pakej takwa.

Ya Allah, senaraikan kami dalam kumpulan muttaqin bagi Ramadan kali ini.
InsyaAllah

oleh Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

APA YANG CANTIKNYA BUDAYA RAMADHAN DI MEKAH DAN MADINAH




Berpuasa Ramadhan di Bandar suci Madinah dan Mekah memang sukar dilupakan. Saya bersyukur kerana dipilih oleh Allah swt untuk melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan di bumi yang Allah gandakan pahala solatnya sehingga 100,000 kali ganda? (Mekah)

Bukan mudah untuk menggerakkan hati kita kalau Allah tidak gerakkan. Jika nak difikir ramai lagi orang yang berkemampuan dan mempunyai wang yang banyak mampu ke Mekah. Tetapi itulah salah satu hasrat saya apabila bersara ialah sebahagian wang ganjaran perlu disalurkan untuk menunaikan umrah di bulan Ramadhan. Alhamdulillah Allah makbulkan keinginan saya.

Budaya orang Arab yang bersikap pemurah paling ketara berlaku di musim Ramadhan. Ada sahaja yang akan menghulurkan makanan seperti kurma, roti, air mineral kepada sesiapa sahaja yang menuju ke masjid untuk berbuka. Hatta tisu pun ada yang ingin menghulurkannya.

Setiap petang bila hampir maghrib saya bersama Zulhaidi (rakan seblik) tanpa sebarang bekalan menuju ke masjid Nabi. Kami lewat masuk masjid. Hari pertama kami berbuka dalam keadaan berdiri, kerana tiada ruang langsung untuk duduk. Ahli jemaah terlalu padat. Saya tidak begitu penting bahan untuk berbuka yang penting ialah dapat solat Maghrib berjemaah dalam Masjid Nabi saw. Jika di luar masjid banyak ruang yang mampu kita tumpang untuk berbuka puasa. Tetapi saya terfikir setelah sekian jauh kita datang, tiba-tiba hanya solat di luar masjid sahaja. Saya rasa itu tidak wajar. Jadi kami bertekad untuk masuk ke dalam masjid. Biarpun hanya di belakang sahaja, yang penting dapat solat dalam Masjid. Begitu juga hari kedua kami hanya mampu duduk di tepi tong air zam-zam di bahagian belakang, tetapi dapat solat Maghrib dalam masjid. Kurma dan air zam-zam jadi bahan berbuka puasa. Seperti biasa selepas solat Maghrib kami bergegas balik ke hotel untuk makan berat sebelum solat Isyak dan Terawih. Waktunya dilewatkan sedikit.

Istemewanya hotel kami menginap tidak jauh dari Masjid Nabi saw tak sampai 5 minit kita dah boleh sampai ke perkarangan masjid. Alhamdulillah. Terima kasih kepada Travel agen Andulusia.

Suatu kawasan yang sering menjadi tumpuan ahli jemaah ialah kawasan Raudah. Biasanya ahli jemaah akan berebut-rebut malahan bergaduh untuk masuk ke kawasan Raudah. Alhamdulillah saya sering dapat duduk dan solat Dhuha di Raudah. Ada kaedah dan caranya. Apabila solat subuh saya sering ke bahagian hadapan berhampiran dengan kawasan Raudah. Perlu masuk awal waktu sebaiknya 1 jam sebelum subuh. Selepas solat subuh ahli jemaah akan berpusu-pusu, berebut-rebut untuk masuk ke kawasan Raudah. Apa yang saya lakukan ialah duduk mengaji di kawasan lantai yang berhampiran dengan Raudah, semakin cerah semakin kurang ahli jemaah. Manakala kawasan tersebut sudah di sekat oleh petugas (kakitangan) masjid sebaik sahaja selesai solat subuh. Semakin lama semakin kuranglah ahli jemaah, dan akhirnya saya mampu masuk ke kawasan Raudah dengan mudah. Alhamdulillah tiga hari berada di Madinah, 3 hari saya dapat duduk dan bersolat sunat dalam kawasan Raudah. Syukur Alhamdulillah.

Pada hari ketiga kami akan ke Mekah. Terasa sayu meninggalkan bumi Madinah yang terdapat jasad Rasululullah saw. Setelah melakukan ziarah wida Makam Nabi saw (selamat tinggal) selepas solat jamak taqdim zohor dan asar, bas kami akan berangkat jam 2.00 petang. Tetapi apa yang berlaku sehingga jam 5.00 petang barulah bas muncul. Skrip wakil pengurusan Andulusia sama seperti mana-mana agensi yang pernah saya ikuti iaitu ”Sabar” kita hanya merancang Allah yang menentukannya. Tanah suci ini banyak cubaan, banyakkan berdoa”

Pada saya skrip yang standard ini lebih merupakan helah bela diri daripada kelemahan pengurusan travel agent. Walaupun kita akur, tetapi kadang-kadang terfikir juga dibenak saya kenapa setiap kali berlaku sesuatu halangan atau rancangan yang tidak menepati waktu yang dijanjikan kita sering menyerahkan kepada Allah? Dan selepas ini banyak lagi skrip seumpama ini akan diguna pakai oleh pihak pengurusan Andulusia untuk menutup kelemahan pengurusan mereka.

Begitu jugalah yang berlaku di Lapangan  Terbang Madinah sewaktu mula kami sampai, ada petugas yang boleh bersembang, merokok, minum air dan macam-macam lagi kelakuan yang kita fikir tidak wajar dilakukan dalam keadaan orang ramai sedang beratur menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan imigresen. Adakah Islam mengajar umatnya kerja leceh, tidak menepati waktu, tidak ada sisitem? Saya kira Islam tidak demikian rupa. Roh solat dan siyam (puasa) tidak mengalir kepada kerja buat mereka. Sebabnya saya fikir hikmah solat mengajar kita mesti fokus kepada kerja buat, tidak buang masa, berdisiplin, amanah, cekap dan menepati masa. Ini tidak berlaku di kalangan kakitangan aiport yang kebanyakannya berketurunan Arab.

Saya teringat kata seorang teman saya. roh Islam ada di Jepun dan Korea di mana umat Islam minoriti  di sana. ..................... (sambung lagi)