Saturday, September 10, 2011

Setuju Kenyataan Zainal Kling: Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah British !

Posted on Friday, September 09 @ 12:30:00 PDT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Berita Oleh: edyesdotcom

"Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British. Bukan Profesor Zainal Kling sahaja yang bersetuju dengan hakikat ini. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana bangsa kita dan Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Kita cuma dijadikan rakan dan diberikan Tuan oleh British untuk mengusahakan Tanah Melayu beberapa ratus tahun lamanya. Kita harus bangga dan merasa hebat dengan pencapaian kita, tidak pernah dijajah British.

Hebatnya Tanah Melayu, apabila rakyatnya berganding bahu dengan kerajaan British membangunkan negeri-negeri di Tanah Melayu. Jangan sekali-kali kita meragui sejarah kehebatan melayu. Mari renung kembali bagaimana kedudukan orang melayu ketika zaman British datang melawat suatu ketika dahulu.

Segala cukai yang dibayar kepada pentadbiran British itu adalah hadiah dan sedekah, setelah berasa sangat terhutang budi kepada British yang sanggup datang dari jauh ke Tanah Melayu demi untuk hidup bersama dengan orang melayu. Segala tanah ladang dan estet yang diusahakan oleh British dengan memasukkan orang-orang India itu adalah sa-buah usahasama yang sangat menguntungkan.

Beruntungnya Tanah Melayu, tidak pernah dijajah British malah menjadi rakan kongsi 'melangsaikan' segala hasil hutan, segala hasil ladang, segala hasil padi dan apa jua usahasama dikongsi sama-rata. Segala kekayaan hasil perniagaan dalam negeri di Tanah Melayu dibahagikan sama-rata, separuh untuk Queen of England, separuh lagi untuk raja-raja melayu. Untuk rakyat pula, akan mendapat suku daripada separuh punya separuh dibahagi dengan separuh.

Sungguh mewah hidup kita ketika era 'perkongsian' dengan British. Setiap kali tiba musim perayaan, rakyat akan berpesta bersama-sama dengan pegawai British dan tenteranya. Ia termasuklah tentera gurkha dan Fiji. Kita saling ziarah menziarahi, rumah terbuka di sini dan sana. Tentera British yang ada dalam negara adalah untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara dari dicerobohi penjajah lain. Mereka tidak jajah, cuma jaga sahaja.

Orang melayu menjadi kerani dalam pejabat pemerintahan British, bergaji besar berumah bungalow. Maksudnya berumah bungalow itu ialah, orang melayu menjadi orang gaji, menjadi drebar, tukang kebun dan tukang pencacai najis kepada pegawai British di kebanyakkan rumah-rumah bungalow. Negeri Tanah Melayu ini melayu yang punya, tetapi hebat kerana boleh dikongsi bersama British hinggakan kita memanggil mereka sebagai Tuan, sambil berdiri tegak dan menunduk hormat. Baiknya orang melayu kita, kaya dengan budi bahasa.

Ketika Jepun menyerang Tanah Melayu, tentera British bermati-matian mempertahankan Tanah Melayu. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa demi Tanah Melayu sehingga amat payah bagi pihak Jepun untuk menjajah, opss maksudnya menjadi rakan kongsi di Tanah Melayu. Orang melayu ketika itu juga membantah kemasukkan Jepun walaupun adanya slogan asia untuk asia, kerana orang melayu di zaman itu rupa wajahnya tidak seperti orang asia tetapi pan-europian-asia.

Ketika Jepun tewas di Tanah Melayu, orang-orang melayu begitu merindui kehadiran British dan tenteranya lalu mengalu-alukan kedatangan semula British ke Tanah Melayu. Orang melayu dan Tanah Melayu tanpa kehadiran British bagaikan polong tak bertuan. Panggilan Tuan ke atas pegawai British begitu mengasyikkan sekali.

Oleh kerana baiknya rakyat Tanah Melayu terhadap British sepanjang lawatan mereka selama beberapa ratus, maka British menghadiahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu melalui sekumpulan elit melayu bangsawan yang taraf kehidupannya hampir setaraf dengan British. Biasanya negara yang diberi kemerdekaan adalah negara yang telah dijajah, tetapi Tanah Melayu cukup istimewa di mata British. Kemerdekaan yang diberi kepada Tanah Melayu adalah di atas dasar 'you help me, I help you'.

Tanah Melayu akhirnya merdeka dan menjadi satu-satunya negara yang merdeka tanpa penjajahan. Lebih istimewa, Tanah Melayu yang akhirnya membentuk negara Malaysia telah dijemput menyertai negara-negara Komanwel. Mengapa istimewa? Kerana semua negara yang menyertai negara-negara Komanwel adalah merupakan negara bekas jajahan British, kecuali Malaysia.

Sebagai tanda terima kasih Malaysia ke atas British kerana meluangkan masa yang begitu lama berkhidmat di negara kita, maka segala undang-undang dan perlembagaan negara dibangunkan mengikut acuan British termasuklah menjaga semua kepentingan-kepentingan British. Ia berlanjutan hingga ke hari ini apabila masih banyak harta dan kekayaan dalam negara ini milik British dan bangsa asing.

Sehubungan itu, janganlah kita menyorokkan fakta penting betapa negara kita tidak pernah dijajah oleh British, malah diberi layanan yang cukup istimewa. Setiap rakyat yang hidup ketika British menumpang-tadbir negeri Tanah Melayu akan berasakan kehidupan ketika itu sangat baik biarpun berbanding hari ini kerana ketika itu kita mempunyai Tuan. Melayu yang punya Tuan adalah melayu hebat.

Sesungguhnya fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik. Malaysia Boleh!


Edyes @ edyesdotcom
satira kebangsaan "


Komen Cgsyed
Sungguh malang sekali saya pernah menjadi guru sejarah di sekolah menengah hampir 20 tahun dan mengajar kepada anak murid saya mengikut buku teks KPM bahawa Tanah Melayu adalah tanah jajahan British. Rupa-rupanya saya telah menipu anak murid saya selama lebih 20 tahun dan guru-guru sejarah yang saya belajar selama ini mengajar saya bahawa Tanah Melayu telah dijajah oleh British turut menipu? Apa boleh buat demi kepentingan segelintir ahli-ahli politik dan professor kangkung dan longkang yang ingin bertuankan mereka yang hipokrit dan menipu rakyat bahawa kita telah sambut merdeka 54 tahun. Siapakah agaknya PENDUSTA DAN PEMBOHONG tepuk dada tanyalah iman. 
Mereka ini fikir rakyat Malaysia ini semua bahlol dan tolol sehingga sanggup memutar belitkan fakta sejarah demi kepentingan segelintir manusia yang tamak kuasa dan harta.

Friday, September 9, 2011

Merdeka jiwa dan negara rayakan kemenangan

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 123 surah al-Baqarah :
وَاتَّقُوا يَوْمًا لَّا تَجْزِي نَفْسٌ عَن نَّفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا تَنفَعُهَا شَفَاعَةٌ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ
Maksudnya : Dan takutlah kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).

Suasana sambutan hari raya masih begitu terasa dengan pelbagai cara sambutannya termasuk rumah terbuka silih berganti bagi meraikan anugerah hari raya oleh Allah setelah sebulan melalui ujian hawa nafsu dalam tarbiah Ramadhan. Ketika menyambut ketibaan Syawal maka marilah kita sama-sama menghitung diri samada tarbiah sebulan Ramadhan telah mampu menundukkan hawa nafsu atau kita yang semakin tunduk pada hawa nafsu dan syaitan. Bagaimana dengan solat jemaah dan masjid semakin meriah atau kembali lengang kosong. Bagaimana dengan zikrullah dan amalan sunat yang lain semakin bertambah atau ditinggal terus. Bagaimana kita dengan al-Quran samada semakin rapat atau sudah disimpan dan dilupakan. Bagaimana dengan makan minum kita samada berhati-hati dengan menjaga halal haram dan tidak berlebihan atau lebih suka melempias nafsu makan hingga melebihi had dan membazir. Adakah kita layak melaungkan takbir kemenangan dengan kedatangan Syawal sedangkan kita tewas pada hawa nafsu dan syaitan terutama ketika menyambut hari raya. Ini jauh bezanya dengan pejuang Islam dahulu yang bukan sahaja berjaya menewaskan hawa nafsu malah berjaya mengalahkan musuh di medan perang seperti dalam peperangan  Ahzab, Hunain yang berlaku dalam bulan Syawal.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sebagai meneruskan usaha dalam melahirkan kita sebagai hamba Allah yang taat sepanjang tahun bukan setakat menjadi hamba Ramadhan yang baik pada bulan Ramadhan sahaja maka marilah kita sama-sama menunaikan puasa sunat 6 hari bulan Syawal. Sama-samalah kita merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ  – رواه مسلم
Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا – رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka sejauh 70 tahun perjalanan”

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :
قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ
Maksudnya : Raja perempuan itu ( Ratu Balqis) berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan

Sesuai dengan sambutan hari raya pada tahun ini dalam susana sambutan hari Kemerdekaan negara kali ke-54 maka marilah kita sama-sama melihat perbezaan ketara antara 2 golongan yang menyambut 2 perayaan ini di mana orang yang berjaya dalam tarbiah Ramadhan akan menyambut hari raya penuh kesyukuran dengan memperbanyakkan amal ibadat sedangkan golongan yang gagal dalam tarbiah Ramadhan biasanya akan memenuhi hari raya mereka dengan maksiat. 

Golongan yang betul-betul menghayati  erti kemerdekaan maka mereka terus bersemangat untuk mengisikan kemerdekaan dengan Islam sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Rub’i bin Umair ketika menjawab pertanyaan Rustam panglima Parsi ketika berlakunya peperangan al-Qadisiah : “ Allah telah mengutuskan kami untuk memerdekakan sesiapa yang dikehendaki dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah yang Esa. Dan memerdekakan manusia daripada kesempitan dunia kepada lapang dan luasnya akhirat dan daripada belenggu kezaliman agama lain yang sesat kepada keadilan Islam”. 

Manakala golongan yang kedua dan gagal dalam menyambut kemerdekaan ialah golongan yang hanya mendabik dada seronok sambut merdeka dengan cara hiburan penjajah, berpakaian dan bergaul bebas seperti penjajah, mengagungkan pemikiran dan sistem perundangan penjajah. Golongan ini hanya tahu melaungkan kalimah merdeka sedangkan dirinya terus dijajah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Penjajahan sesebuah bangsa dan negara kebanyakannya membawa suatu perubahan yang besar kepada rakyat dan keadaan negara yang terjajah. Kebiasaannya setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3G yang menjadi matlamat utama penjajahan iaitu
 
[1] God iaitu Tuhan atau agama penjajah, 
[2]  Glory iaitu kemasyhuran dengan kejayaan penjajahan yang dilakukan dan
[3]  Gold iaitu mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan. Kedatangan Portugis ke Tanah Melayu dengan runtuhnya Empayar Kesultanan Melayu memulakan era penjajahan di negara kita. Penjahan kuffar ini bukan sahaja mengubah system politik, sosial dan ekonomi Islam kepada system ciptaan manusia malah penjajah turut berjaya melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah melalui system pendidikan yang begitu memberi kesan besar hingga hari ini. 

Penulisan sejarah yang diajar di sekolah dan universiti tidak banyak menyentuh berkenaan matlamat menghancurkan Islam melalui penjajahan sebaliknya lebih banyak disentuh hanya untuk mengaut emas dan rempah sahaja. Malah peranan ulama’ dan pejuang kemerdekaan yang betul-betul melawan penjajah digelapkan sebaliknya anak buah penjajah Bristish diagung-agungkan. 

Malah akhir-akhir ini suara marah kepada komunis begitu kuat bergema sedangkan cara pemikiran komunis terus subur antaranya menganggap agama sebagai candu masyarakat iaitu merbahaya dan boleh memundurkan negara jika agama dipegang kemas oleh rakyat. Golongan ini begitu takut jika rakyat kembali kepada Islam yang boleh menggugat kuasa mereka.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Kebanyakan Negara umat Islam yang sudah merdeka tetapi terus dipenjara. Mereka bangun melaungkan bahawa mereka telah bebas sedangkan mereka terus diberkas. Benarlah kata-kata seorang tokoh Islam bahawa kita tidak sepatutnya bergembira dengan kembalinya penjajah ke Negara mereka sebaliknya kita sepatutnya bergembira bila pemikiran, roh dan undang-undang penjajah hilang daripada terus membelenggu umat Islam dan Negara kita.  

Kita dapat saksi sendiri walau pun sudah 54 tahun kita merdeka namun penjajahan musuh Islam terus berlangsung tanpa tentangan malah dialu-alukan terutama  melalui Propaganda Yahudi yang dinamakan senjata 5S. Senjata 5S yang dimaksudkan ialah
 
[1] Song iaitu hiburan yang melalaikan yang menghancurkan akhlak umat Islam termasuk ketika menyambut hari raya dan merdeka. Cara hidup bebas daripada pegangan agama merupakan antara senjata paling licik sebagaimana yang pernah disebut oleh Zwimmer : Kita telah berjaya melahirkan di Negara Islam generasi belia yang tidak mengetahui hubungannya dengan Allah malah tidak ingin untuk mengetahuinya. Kita berjaya mengeluarkan orang Islam daripada Islam walau pun tidak memeluk Kristian seterusnya kita akan lahirkan generasi yang diingini oleh penjajah iaitu tidak lagi mempedulikan isu besar sekeliling mereka sebaliknya lebih suka berehat dan malas serta matlamat hidup mereka hanya untuk memenuhi nafsu syahwat semata-mata

[2] Spirit iaitu mabuk arak dan dadah sehingga Negara kita sampai hari ini gagal membersihkan nama sebagai Negara pengguna arak nombor 10 paling tinggi di dunia malah apa yang terbaru bila cadangan penjualan Esso Malaysia Berhad (ESSO) dan syarikat-syarikat berkaitannya kepada sebuah syarikat arak dari Filipina 
 
[3] Sex iaitu meluasnya zina sehingga baru-baru ini akhbar memuatkan berita bagaimana sekolah mengandung di Melaka perlu tambah bangunan kerana semakin ramai mereka yang mengandung luar nikah ingin memasukinya. Islam sentiasa mengarahkan umatnya agar menutup pintu zina termasuk melalui pergaulan bebas

Amaran nabi saw dalam suatu hadis yang diriwayat oleh Tirmizi:
لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لا تَحِلُّ لَهُ
Maksudnya : Lebih baik seorang daripada kamu menikam kepalanya sendiri dengan jarum besi daripada dia menyentuh perempuan yang tiada halal baginya

[4] Sport iaitu sukan sehingga yang gila sukan tanpa rasa salah meninggalkan solat malah Negara mengiktiraf Israel kerana sukan. Senjata yahudi ke-
 
[5]  Smoke iaitu amalan merokok kerana kebanyakan syarikat rokok milik yahudi sedangkan yahudi begitu bersungguh melarang penganutnya daripada merokok ketika mereka menggalakkan orang lain untuk cepat mati dengan amalan merokok disamping menambah keuntungan dengan hasil jualan rokok.
            
Oleh itu sempena berada pada hari mulia dan bulan yang mulia marilah kita sama-sama memerdekakan diri kita daripada menjadi hamba kepada hawa nafsu dan syaitan serta musuh Islam. Biarlah takbir yang kita laungkan menyambut kemenangan menjadi hamba Allah bukan kembali menjadi hamba hawa nafsu dan syaitan. 
Biarlah laungkan merdeka yang kita laungkan menyambut kemenangan dalam menghalau system dan pemikiran penjajah keluar dari diri dan Negara tercinta bukan mulut kata benci penjajah sedangkan tindakan terus memuja penjajah. Islamkanlah sambutan hari raya kita. Islamkanlah sambutan hari merdeka Negara kita. Islamlah kita dalam semua cara hidup barulah kita Berjaya dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 97-98 surah al-A’araf :
أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ ﴿٩٧﴾أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ
Maksudnya : Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Mat Indera jadi modal politik


Kalaulah Mat Indera (al-Fatihah untuk Allahyar­ham) masih hidup, dia mungkin terkejut kerana tidak sangka dirinya jadi kontroversi selepas lebih 60 tahun peristiwa Bukit Kepong.

Siapa sangka, isu Mat Indera berlarutan begitu lama. Sejak ceramah Mat Sabu di Tasek Gelugor pada 21 Ogos, dan jadi berita muka depan akhbar seminggu kemudian, ia terus jadi sebutan hingga hari ini.
Mat Sabu sendiri tidak menyangka ceramahnya itu akan jadi berita besar.

Dalam reaksi awal kepada wartawan, dia mengaku lupa apa yang dia sendiri katakan mengenai Mat Indera dalam ceramah itu. Hanya setelah isu itu meletup, barulah Mat Sabu cari buku ‘Pengukir Nama Johor’ yang antara lain, menceritakan mengenai Mat Indera. Mat Sabu juga mengaku lupa akan rujukan yang dibacanya sebelum itu.

Besarnya cerita Mat Indera - berdasarkan saiz dan tempoh liputan - mengalahkan banyak isu-isu lain. Ruang yang diberi seolah-olah ia terlalu penting bagi semua rakyat Malaysia.

Ia bukan sahaja menggegarkan pejabat syarikat akhbar, malahan meja ahli akademik. Bukan itu sahaja, pejabat menteri turut digoncang apabila Pas mahu kerajaan tubuhkan Jawatankuasa Kabinet untuk menulis semula sejarah negara.

Dalam kata lain, mereka tidak mahu Mat Indera yang diangkat sebagai hero oleh Timbalan Presiden Pas itu terus dianggap pengkhianat tetapi pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Apakah jika gesaan itu dipenuhi, sejarah baru ditulis, mereka akan berpuas hati jika Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang diiktiraf dalam buku sejarah hari ini, terus diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan? Ataupun mereka mahu tokoh-tokoh itu dilabel sebagai tali barut Inggeris sebagaimana disebut Mat Sabu?

Jika tidak, apakah selepas itu akan ada gesaan supaya ditubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang baru untuk menulis sejarah Malaysia yang lebih baru sebagaimana dikehendaki Pas, termasuk melabel Yusof Rono & Rakan-rakan, sebagai petualang?

Yang tinggal tidak bergegar hanya istana raja-raja Melayu. Harapnya ia akan terus kekal begitu. Jangan pula raja-raja turut diheret sama untuk mengiya atau menidakkan Mat Indera. Cukuplah!

Pada malam raya kedua lalu, sedang enak menghirup susu lembu di Restoran Pokok Ceri depan hospital lama Alor Setar, saya ditanya mengenai ceramah Mat Sabu di Tasek Gelugor.

“AHHHHHHHH!!! Mat Indera lagi!” saya memberontak dalam hati. Namun demi menjaga semangat maaf zahir batin, pemberontakan itu saya telan jauh ke dasar perut. Madah berhelahnya cukup dengan kata-kata: “Oh! Isu tu aku ,’follow’ gitu-gitu ja, sama macam apa yang hangpa baca dalam surat habaq!”

Meskipun demikian bodoh alasan yang saya berikan, dan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang wartawan, lantaklah. Saya terpaksa kerana terlalu letih melayan isu itu yang subjek tunggalnya seorang manusia yang sudah lama meninggal.

Bagi saya, apa yang dikata oleh Mat Sabu, itu pandangannya sendiri. Kita masing-masing ada persepsi. Dan ini negara demokrasi, maka setiap orang bebas miliki persepsi.

Banyak daripada catatan sejarah negara, termasuk yang sudah diakademikkan, dan digazetkan sebagai dokumen sejarah arus perdana, adalah daripada kajian ahli sejarah zaman kolonial, yang bermakna kita mewarisi maklumat sejarah negara kita daripada perspektif kolonial.

Itulah data yang kita terima sebagai dokumen sejarah tanah air kita. Saya tidak bermaksud kesemuanya namun ada sesetengah asas maklumat yang kita pegang diwarisi daripada penjajah, terutama W G Shellabear , seorang misioner Kristian.

Pada fahaman saya, tentu ada sedikit sebanyak kepentingan gerakan Shellabear dititipkan pada apa yang ditinggalkannya, tambahan pula pejuang Melayu pada zaman pramerdeka rata-ratanya alim ulama (baca: musuh Shellabear) termasuk Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh, Kiyai Haji Salleh, Tok Gajah malah Mat Indera sendiri. Setuju ataupun tidak, ini kita harus akui.

Saya tidak setuju anggota polis Rumah Pasung Bukit Kepong dan keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi subuh 23 Februari 1950 itu dihina sebagai tali barut Inggeris,. Itu keterlaluan, namun berpada-padalah kita untuk melayan perbezaan pendapat dalam isu ini.

Tidak perlulah kita cabar mencabar mengajak debat sehingga menghina sesama sendiri, apa lagi ia berlaku pada minggu Aidilfitri. Begitu kuatnya kepentingan politik sehingga kita tinggalkan apa yang diajar oleh agama.

Mengapa orang kita begitu bersungguh-sungguh berniaga buluh kasap sedangkan yang masuk hanya angin, yang keluar pula hanya asap?

Ya, saya akui banyak mendengar dan membaca hal kebaikan Mat Indera terutama mengenai dekatnya dia dengan agama malah bergelar al hafiz. Tetapi tidak mustahil dalam hidup sesiapa juga pun, kecuali nabi yang kamil, ada sisi gelapnya yang tersendiri. Saya kata tidak mustahil, bukan menuduhnya secara mutlak!

Siapa lagi yang tinggal sebagai saksi hidup untuk membuktikan siapa Mat Indera yang sebenar? Melainkan masing-masing hanya boleh bertegang urat membawa cerita ‘hearsay’ (dengar cakap). Maklumat ‘hearsay’ tidak boleh jadi bukti sama ada untuk mengiya atau menafikan.

Akhirnya kita terpaksa akur, isu ini telah benar-benar jadi isu politik. Mat Indera ataupun keluarganya tidak akan mendapat apa-apa di kesudahannya, manakala waris mereka yang terkorban di Bukit Kepong, akan berdarah semula luka lama mereka. Itu sahaja.

Orang politik akan mendapat sedikit nama kerana berani mencabar atau menyahut cabaran lawan masing-masing. Yang ke bawah sedikit tingkatannya, mendapat peluang untuk ditepuk belakang kerana berani membela bos mereka.

Inilah sebenarnya permainan politik, dan meletusnya isu Mat Indera, kita dapat melihat dengan lebih jelas wajah mereka yang berkepentingan ini. Sesudah 54 tahun merdeka, kita masih berbalah mengenai siapa pejuang, siapa petualang.

Inilah yang dikehendaki penjajah meskipun pada zahirnya mereka sudah lama keluar dari tanah air kita. Mereka tinggalkan isu untuk kita terus berbalah dan ternyata, hingga kini kita masih seperti bidak-bidak di papan catur kuasa asing. Dan mereka yang paling mudah makan umpan ini adalah politikus yang oportunis, sanggup buat apa sahaja untuk dapat nama dan undi.

Jika Somalia dianggap negara kelima paling berbahaya di dunia, Malaysia pula mungkin antara negara yang teratas dalam senarai adu domba politiknya. Mungkin!

Apakah kita tidak terfikir dengan berterusannya permainan seperti ini ataupun jika menjadi lebih dahsyat lagi suatu hari nanti, mungkin negara kita juga akan jadi seperti Somalia. Mungkin!


Thursday, September 8, 2011

Syarikat konsesi tol catat keuntungan 13 billion


8 September 2011 | 2:49 pm

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Syarikat-syarikat konsesi yang mengendalikan 27 lebuh raya di seluruh negara mengutip tol sebanyak RM37.7 bilion sehingga tahun ini berbanding kos untuk membina lebuh raya tersebut yang hanya RM26.4 bilion.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu, berdasarkan jumlah tersebut, syarikat-syarikat lebuh raya itu mendapat keuntungan sebanyak RM13 bilion sehingga sekarang.

“Bagaimanapun walaupun syarikat konsesi itu mencatatkan keuntungan, mereka masih mendapat bayaran pampasan daripada kerajaan kerana tidak menaikan tol sebanyak RM2.1 bilion.
“Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) misalnya dibina dengan kos RM5.9 bilion tetapi berjaya mengutip tol sebanyak RM23.9 bilion sehingga sekarang dan ditambah pula kerajaan membayar pampasan kepada syarikat konsesi sebanyak RM735.2 milion,” katanya dalam sidang media di sini.

Katanya, jumlah kutipan tol syarikat konsesi itu berdasarkan kepada jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Yong Khoon Seng.

Tegasnya, ini bermakna syarikat konsesi ini pada dasarnya telah berjaya mengutip pelaburan yang dibuat dan telah mendapat keuntungan berbilion-bilion ringgit tetapi masih terus memeras duit dari rakyat dengan terus mengutip tol.

Tambah Guan Eng, syarikat-syarikat konsesi ini akan terus mengutip tol seperti PLUS dimana kontrak konsesi sehingga tahun 2039


Komen Cgsyed

Tak ada ke rasa kasihan belas untuk beri sedekah kepada rakyat Malaysia yang menggunakan lebuh raya dengan mengurangkan bayaran tol. Berapa juta agaknya ahli lembaga pengarah syarikat konsesi lebuhraya? Inilah kejayaan perswastaan yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir. Yang kaya bertambah, yang miskin bertambah papa kedana.

35 Petua Pelajar Cemerlang dari Dr Fadzilah Kamsah

 
Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:
  1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
  2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
    • kita ingat 10% apa yang dibaca
    • kita ingat 20% apa yang didengar
    • kita ingat 50% apa yang didengar & dilihat
    • kita ingat 70% apa yang dicakapkan
    • kita ingat 90% setelah dipraktikkan
  3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
  4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).
    ...Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya....
  5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
    • pastikan cahaya adalah terang
    • kurangkan gangguan bunyi
    • tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
    • tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
    • kerusi dan meja menghadap kiblat
    • jangan lupa untuk senyum
  6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
  7. Mengulang kaji menggunakan kaedah 'output learning' iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
  8. Tahu teknik merangsang memori:
    • memasukkan maklumat dalam memori (registration)
    • menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
    • mengingat kembali (recall)
    • menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
  9. Sentiasa awal dan mendahului:
    • persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
    • pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
    • belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
    • untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
  10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
  11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
    • duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
    • memberikan tumpuan sepanuhnya
    • menggunakan jari telunjuk untuk membaca
    • menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
  12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
  13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
  14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
  15. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
  16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
  17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
  18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
  19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
  20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
  21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
  22. Tahu petua mengulang kaji:
    • cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
    • siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
    • duduk tegak dikerusi yang selesa
    • baca doa penerang hati
    • baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
    • fikir dan ingat kembali isi utama
    • catat/lakar
    • semak semula ketepatan maklumat
    • ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
    • buat rumusan
    • jawab soalan
    • tampal maklumat yang rumit di dinding
    • baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
  23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
  24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
    • jangan makan kepala ikan
    • jangan makan organ dalaman
    • jangan minum semasa makan
    • jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
    • jangan melihat kemaluan
    • jangan melihat buih
    • jangan membaca nama pada batu nisan
    • banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
    • banyakkan makan kismis, kurma dan madu
    • banyakkan makan kekacang
    • pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
    • jangan makan sehingga terlalu kenyang
    • jangan kencing berdiri
  25. Tahu kemahiran mengingat:
    • tampal nota-nota penting di dinding
    • tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
    • gunakan kaedah akronim
    • reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
    • pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
  26. Cekap mengatur jadual belajar:
    • mempunyai jadual belajar
    • patuh kepada jadual
    • buat jadual yang boleh diikuti
  27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
  28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
  29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
  30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
  31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
  32. Pelbagaikan tempat belajar.
  33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
  34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
  35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
    • taat kepada Allah
    • mendirikan sembahyang
    • menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
    • hormati & sayangi guru
    • bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
    • suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
    • membantu rakan yang memerlukan
    • berdoa dan bersyukur kepada Allah
    • sentiasa bertawakal
    • mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat. :)

Tuesday, September 6, 2011

Kerajaan Rasuah, tidak amanah

29 August 2011 | 4:29 pm

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mempertahankan kenyataannya bahawa perpecahan Melayu dan Islam di negara ini disebabkan kelemahan kerajaan, yang berpunca dari amalan rasuah dan tidak amanah.
 
“Rasuah ini siapa pun akan marah. Sebab itu saya katakan yang lemah ialah kerajaan kerana rasuah dan tidak amanah. Dari situlah wujudnya kacau bilau dalam  negara,” katanya ketika dihubungi portal KeadilanDaily

Bercakap dalam satu forum di Shah Alam baru-baru ini, Harussani mengeluarkan kenyataan bahawa beliau ada mengingatkan Perdana Menteri, Najib Razak tentang kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah.

Malah beliau turut mendedahkan pernah menasihatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak memecat timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan liwat tanpa mengemukakan empat saksi.

Ia katanya, bagi mengelakkan perpecahan di kalangan orang Melayu-Islam.

Namun Mufti paling kanan di Malaysia dan  pernah diberi gelaran sebagai ulama Pro Umno ini berkata, nasihat itu,tidak dihiraukan Mahathir.

Malah beliau turut memberi tiga nasihat kepada bekas Perdana Menteri selepas Mahathir,  Tun Abdullah Ahmad Badawi , namun kesemuanya ditolak.

Ketika ditanya kenapa beliau kini dilihat berani mengkritik kerajaan, Harussani berkata, ia adalah menjadi kewajipan setiap mufti untuk menegur pemerintah.

“Kalau tak berani tegur, jangan jadi mufti. Sebab akhirnya nanti, di belakang-belakang (kerajaan) pun, kita akan kritik juga,”

“Sudah 54 tahun negara merdeka, tapi kedudukan ekonomi orang Melayu dan orang Islam masih ketinggalan. Ada pula yang salah anggap dengan apa yang saya katakan. Inilah dia masalahnya pemimpin-pemimpin Melayu,” katanya lagi.

Mufti yang dilihat lantang dalam isu Melayu-Islam itu menambah, kedudukan setiap rakyat di negara ini akan terbela dan terpelihara sekiranya semua pihak kembali kepada perlembagaan.

“Semua akan terbela jika semua faham dengan perlembagaan. Tak perlulah sampai nak diada-adakan perlembagaan yang baru. Untuk negara ini, kalau kita kembali kepada perlembagaan, semua akan selamat,” kata beliau.


Kemerdekaan Yang Sebenar

1 September 2011 | 2:16 pm

Oleh Profesor Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

KEMERDEKAAN yang sebenar adalah apabila insan dapat membebaskan diri dari menjadi hamba sesama makhluk kepada penghambaan diri hanya kepada Tuhan segala makhluk.

Tidak ada kemerdekaan mutlak dalam kehidupan insan. Jika insan berjiwa hamba atau menghina diri sesama mereka, maka dia tidak akan lagi menjadi hamba yang sebenar kepada Allah, Tuhan segala ciptaan yang wujud. Jika insan benar-benar menjadi hamba yang penuh ikhlas akidahnya kepada Allah, maka dia akan berjaya membebaskan diri dari cengkaman perhambaan sesama makhluk. Dalam erti kata lain, jika insan benar-benar tulus akidahnya, maka merdekalah dirinya dari kerendahan perasaan dan penghinaan jiwa terhadap selain Allah. Begitulah sebaliknya. Tiada insan yang merdeka mutlak dalam hidupnya. Hingga mereka yang mendakwa tidak mempercayai Tuhan dan bebas dari sebarang peraturan manusia pun, mereka tetap menjadi hamba nafsu dan pemikiran sesat yang akhirnya merobohkan nilai keinsanan mereka yang sebenar.

Lihatlah apa yang berlaku kepada penganut ajaran dan blok komunis. Akhirnya Lenin dan Karl Mark menjadi tuhan baru dalam kehidupan mereka. Firman Allah dalam surah al- Jathiyyah ayat 23 (maksudnya): Maka tidakkah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan ditutupi pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak insaf?

Sebab itulah, apabila tentera Islam memasuki sesebuah negara maka itu tidak dinamakan dengan penaklukan atau penjajahan. Sebaliknya dipanggil al-Fath iaitu pembukaan seperti Fath al-Makkah yang bermaksud Pembukaan Mekah. Maka gerakan umat Islam pada zaman kegemilangannya apabila memasuki sesebuah wilayah dinamakan al-Futuhat al-Islamiyyah iaitu pembukaan-pembukaan Islami. Ini bermaksud kedatangan umat Islam kepada sesuatu wilayah atau negara bertujuan memberikan kemerdekaan jiwa dari penindasan, kehinaan, kekejaman kepada satu sistem yang adil, yang berteraskan akidah yang benar. Jika hal itu tidak berlaku, maka bererti penaklukan atau penjajahan telah dilakukan. Ini menafikan tabiat Islam yang tulen, kerana Islam bukan agama yang diutuskan untuk menjajah orang lain, sebaliknya peranan umat ini adalah membebaskan kehidupan manusia keseluruhannya dari perhambaan sesama mereka, kepada mendaulatkan sistem Allah yang adil untuk semua. Inilah yang ditegaskan oleh Rib’i bin ‘Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: “Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.” (lihat: Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/413).

Misi inilah yang cuba dilaksanakan oleh umat Islam pada zaman kegemilangannya. Maka apabila umat Islam menguasai dunia pada zaman tersebut mereka membina jiwa yang merdeka dan pembangunan tamadun untuk dikongsi oleh semua. Di bawah panji-panji Islam kaum Muslimin Arab telah berjaya membawa obor gemilang kepada manusia sejagat. Empayar Islam berkembang, bernaung di bawahnya manusia tanpa mengira bangsa dan agama, keadilan untuk semua. Tanyalah orang-orang Yahudi, bilakah penulisan ilmu mereka berkembang? Tidak lain hanyalah pada zaman mereka hidup di bawah kerajaan Islam di Baghdad. Padahal sebelum itu mereka sentiasa ditindas oleh berbagai-bagai puak dan agama. Namun mereka bangsa yang melupai jasa. Tanyalah kepada agama-agama lain, pernahkah mereka diburu dan dibunuh secara kejam di bawah pentadbiran yang menjadikan Islam sebagai terasnya? Malangnya, umat Islam sentiasa mempunyai pengalaman diburu dan dibunuh secara rakus di bawah sistem kuasa yang mengambil agama selain Islam sebagai pegangan.

Adapun umat Islam sesama mereka, tanpa mengira bangsa yang penting al-ukhuwah al-Islamiyyah iaitu persaudaraan Islam, mereka berkongsi ketamadunan yang agung. Sehinggakan lahirnya tokoh-tokoh besar yang bukan Arab ketika pemerintahan umat Islam berada di tangan yang berbangsa Arab. Di dalam bidang hadis yang merupakan sumber agung Islam umpamanya; al-Imam al-Bukhari iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail (wafat 256H), pengarang Sahih al-Bukhari bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Bukhara, Ukzbek. Al-Imam Abu Isa, Muhammad bin Saurah al-Tirmizi (wafat 297H), pengarang Sunan al-Tirmizi juga bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Tirmiz. Pengarang Sunan Abi Daud, Sulaiman bin al-Asy‘ath al- Sajistan (wafat 275H) juga bukan seorang Arab. Berasal dari Sajastan. Demikian pengarang Sunan al-Nasai Ahmad bin ‘Ali bin Syu‘aib al-Nasai (wafat 303H) juga bukan Arab. Berasal dari Nasa, salah satu negeri di Khurasan. Begitu juga pengarang Sunan Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwaini (wafat 279H), bukan Arab, berasal dari Qazwain. Adapun al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (wafat 261H), pengarang Sahih Muslim, para pengkaji berbeza pendapat sama ada beliau seorang Arab atau tidak. Ramai yang menyatakan beliau juga bukan seorang Arab. Walaupun mereka semua bukan Arab tetapi Islam menjadikan mereka tokoh-tokoh hadis umat, kedudukan yang begitu tinggi yang diiktiraf oleh Arab dan bukan Arab. Dalam politik, Salahuddin al-Ayubi (wafat 589H) juga bukan seorang Arab. Dia berbangsa Kurdi. Namun dia berjaya menjadi sultan yang disayangi Arab dan bukan Arab. Dia berjaya mentadbir kerajaan Islam pada zamannya sehingga berjaya mengembalikan al-Masjid al-Aqsa.

Namun apabila umat Islam gagal menunaikan misi ini, mereka menjadi umat yang amat hina. Bayangkan, bagaimana mungkin Belanda yang kecil boleh menyeberangi lautan yang luas lalu menjajah Indonesia yang besar? Begitu juga Portugis yang datang begitu jauh dengan beberapa kapal mampu menjajah Melaka. Demikian tentu lebih dahsyat halnya di negara-negara Arab. Satu umat yang pernah membina tamadun gemilang akhirnya bertukar menjadi bangsa yang dijajah dan melutut hina di hadapan penjajahan. Aduhai, benarlah dikau Wahai Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab, ungkapan keramatmu ketika pembukaan Masjid al-Aqsa: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah.” (Riwayat ini sanadnya dinilai sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi, lihat: Al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Namun dengan kurniaan Allah, penjajah kebanyakannya telah keluar dari bumi umat Islam. Itu pun setelah mereka merampas hasilnya dan memerah keringat dan darah umat ini. Mungkin kesan ajaran Islam, menyebabkan umat ini tidak dapat menerima kelangsungan penjajahan. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat: 75 (maksudnya): Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak- kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh. Kata al-Qurtubiy (wafat 671H): “Allah menggesa untuk berjihad bertujuan menyelamatkan golongan yang ditindas (Muslimin) oleh kuffar musyrikin yang menyeksa mereka dengan seburuk-buruk seksaan dan memfitnah agama mereka. Maka Allah Taala mewajibkan jihad untuk menegakkan kalimah-Nya, memenangkan agama-Nya dan menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang lemah.” (al- Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/279, Beirut: Dar al-Fikr).

Sama ada disebabkan kesedaran agama atau politik, kebangkitan menentang penjajahan berlaku hampir seluruh negara-negara yang dijajah. Namun, keluarnya penjajah dari sesebuah wilayah tidaklah bererti berakhirnya penjajahan dalam segenap aspek. Bangsa yang dijajah, jika gagal menegakkan identiti murni sendiri, mereka akan sangat terkesan dengan bangsa yang pernah menjajah mereka. Penjajah keluar meninggalkan tanah air, namun bangsa yang lemah selalu memandang tinggi dan ingin bersama bangsa yang lebih gagah dan hebat. Atau, manusia apabila tertindas, ada yang hanya memikirkan kepentingan diri, bukan umatnya. Maka tidak hairan jika kita melihat ramai yang sanggup menjadi talibarut bagi setiap penjajah. Merekalah yang membawa misi dan polisi penjajahan. Sebab itu jika kita berjaya mempertahan identiti diri, kita akan merdeka sekalipun bumi terjajah. Dalam sejarah Islam, bangsa Mongol yang menjajah umat Islam bertukar menjadi Muslim. Walaupun ada kekurangannya, namun ia adalah lambang tidak tumpasnya umat yang dijajah sekalipun kekuatan ketenteraan gugur dan hancur.

Bercakap soal kerendahan harga diri, umpamanya kita temui sesetengah orang Melayu yang hanya beberapa tahun berada di negeri ‘orang putih’ mendakwa kononnya dia sudah kurang mampu bercakap Melayu. Bahkan saya pernah menemui pensyarah di universiti saya bertugas yang menyatakan beliau sukar bercakap Melayu kerana setahun setengah berada di England dan bapa angkatnya ‘orang putih’. Dia kononnya lupa bahasa yang dia hidup lebih 20 tahun dengannya dan bahasa bapa sebenarnya yang menjaganya sejak kecil. Namun demikianlah contoh kehinaan jiwa. Isu sebenarnya, bangsa yang lemah berasa bangga jika mereka berjaya menjadi sebahagian dari bangsa yang kuat. Jika ‘mamat Bangla’ yang datang beberapa bulan boleh bercakap Melayu, adakah kerana beberapa potongan keju lidah Melayu menjadi kaku?
Jelas, bukan soal bahasa sebenarnya, tapi soal kerendahan jiwa dan kegagalan memerdekakan perasaan. Justeru dalam dunia tanpa sempadan, penjajahan tidak semestinya memerlukan tentera dan peralatan perang, sebaliknya kekuatan identiti dan propaganda. Demikian pemikiran Hollywood berjaya menjajah anak-anak muda kita. Dunia ini sebenarnya dalam banyak hal terus dijajah oleh propaganda Barat melalui media, kuasa ekonomi dan ketidak- merdekaan jiwa bangsa-bangsa lain.

Justeru bagi umat Islam, membina identiti Muslim dan jiwa yang merdeka adalah amat mustahak sebagai lambang kemerdekaan. Bukan kita tidak boleh mengambil manfaat dari Barat, namun identiti Islam mesti dipelihara. Saya amat bergembira apabila Tun Ahmad Fairuz mencadangkan supaya undang-undang Inggeris Common Law diganti dengan undang-undang yang berasal dari tanah air di sini serta yang sesuai dengan syariah. Hal ini disokong pula oleh Peguam Negara dan pimpinan kerajaan. Ini adalah perlambangan jiwa yang merdeka dan kembali kepada identiti asal. Namun hasrat itu mesti terus berkobar, bukan sekadar berita akhbar sahaja.

Makna kemerdekaan yang seperti ini perlulah sentiasa diterapkan. Sambutan kemerdekaan memang baik. Namun ciri-ciri sambutan itu bagi seorang Muslim hendaklah beridentitikan Islam. Sebab itu saya amat tidak bergembira dengan sebuah iklan televisyen yang menampilkan tabik hormat kepada Tugu Negara. Walaupun itu bukan satu penyembahan, namun ajaran Islam amat sensitif kepada sebarang unsur seumpama itu dan budaya berkenaan pun bukan dari kita, bahkan warisan penjajahan.

Bergembira menyambut kemerdekaan agar kita tahu bersyukur, tidaklah salah. Demikian juga kita boleh berhibur dengan aturan yang diizinkan syarak. Namun sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan. Janganlah anak-anak muda berkumpul dan melaung kemerdekaan bukan kerana jiwa yang merdeka, tetapi sekadar acara tanpa menghayati makna. Gaya dan cara mereka hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka dari cengkaman penjajahan manusia kepada tauhid yang luhur. Kita amat tidak dapat menerima pelaksanaan perkara-perkara agama tanpa memahami dalil dan maknanya. Tentu sekali kita juga tidak dapat menerima mereka yang menyambut kemerdekaan tapi kontang dari penghayatan sebagai umat yang merdeka. Perhimpunan anak muda semperna kemerdekaan jika hanya untuk melihat hiburan di atas pentas semata, tentu tidak mencapai matlamatnya. Sebaliknya, mereka hendaklah berhimpun bagi menggambar kecintaan yang jujur kepada negara yang telah memberikan perlindungan kepada rakyat, agama dan kehormatan diri. Bukan sekadar acara tahunan. Setelah memahami hakikat ini, maka laungkanlah Merdeka! Merdeka! Merdeka!

* Dipetik daripada portal DrMaza.com