Monday, October 24, 2011

SEIKHLAS KELAPA TUA



Allah Taala tidak memandang ibadah dan amal yang banyak. Tapi yang kholisnya. Allah Taala tidak berbangga pengorbanan dan perjuangan yang banyak . Tapi yang murni lagi ikhlas. Buatlah, walaupun sedikit tapi sempurna dan ikhlas. Itulah yang Allah redha. Apa erti banyak, tidak sempurna dan tidak ikhlas. Allah tolak sahaja. Bahkan akan dilempar ke muka kita. Beribadahlah dengan jiwa yang selamat. Berkorbanlah dengan hati yang murni. Berjuanglah dengan hati yang ikhlas. Kerana yang menerimanya Allah Taala. Yang akan memberi pahalanya Dia juga. Bukan manusia. Periksalah hati selalu. Sudahkah selamat, sudahkah murni, sudahkah ikhlas?

Kelapa tua. Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup manusia. Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan orang. Kelapa tua tidak pernah menjadi topic perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.

Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak mempedulikannya. Dia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.

Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokoknya sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok macam
tu.

Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah. Waduh! Kalau calang-calang buah, boleh berkecai. Kalau kepala orang, boleh bersepai otak.

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyakkoyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk.Proses ini bukan sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya.Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang tinggal.

Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersembur dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti.

Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang di bakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah
isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.

Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu, diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau hendak dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian ia ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.
Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga terkeluar minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak ke seluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya:
“Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?”
Orang di dapur hanya menjawab, “Gulai ikan bawal.”
Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama.
Orang kata, “Oh! Sedap gulai ni.”
“Oh! Sedap ikan bawal ni.”
Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa yang ambil kira atau ambil peduli.Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan untuk dikenang atau untuk mendapat nama, tapi untuk ta’abbud kepada Tuhan. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tapi ada dalam perhatian Tuhan!

 
 

KENAPA SELAMA INI SOLAT TIDAK MENDIDIK KITA?


Bersungguh-sungguhlah beramal ibadah. Laksanakan secara istiqamah setiap masa. Kemudian koreksilah ibadah di mana kekurangannya. Kemudian lupakan sahaja. Bersungguh-sungguhlah meninggalkan dosa. Muhasabahlah diri setiap masa tentang dosa. Kemudian rasakan diri kita berdosa. Begitulah sifat seorang hamba. Pandang kecillah dengan ibadah kita. Kerana masuk ke Syurga itu dengan rahmat-Nya. Pandang besarlah dengan dosa kita. Agar kita takut membuatnya. Dan masuk ke Neraka dengan keadilan-Nya. Panjatkanlah doa selalu kepada-Nya. Pintalah taufiq dan hidayah dari-Nya. Kerana itulah jalan kepada-Nya. Kita hamba, haraplah selalu kepada-Nya. Dan baik sangka kepada-Nya.

Di dalam sejarah tamadun manusia, ada bangsa-bangsa yang telah menempa sejarah yang agung. Bangsa-bangsa itu dianggap agung kerana kedudukan dan martabat mereka yang jauh lebih tinggi dari bangsa-bangsa lain yang sezaman dengan mereka.

Mereka itu agung kerana mereka:
1. Bangsa yang berjiwa besar
2. Berwibawa
3. Bertamadun
4. Disegani
5. Dihormati
6. Maju
7. Mengatur
8. Banyak memberi khidmat kepada bangsa lain

Bangsa-bangsa yang lemah dan mundur mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat negatif yang menyebabkan mereka itu tidak boleh maju dan ketinggalan dari bangsa-bangsa lain. Di antara ciri-ciri dan sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut:
 
1. Pemalas
2. Berjiwa kecil
3. Penakut
4. Suka meminta-minta (bantuan dan subsidi)
5. Lemah jiwa. Mudah putus asa dan kecewa
6. Tidak ada keyakinan diri
7. Tidak ada cita-cita untuk bangsanya. Mereka hanya ada cita-cita peribadi, untuk hidup senang dan untuk makan sendiri sama ada pemimpin dan orang besarnya ataupun rakyatnya.

Bangsa-bangsa yang kuat dan agung pula mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang jauh berbeza. Mereka sebaliknya mempunyai berbagai-bagai sifat positif yang dapat memberi kekuatan kepada mereka. Sifat-sifat itu termasuklah:
 
1. Rajin
2. Berjiwa besar
3. Berani
4. Tidak suka meminta-minta dan sangat berdikari
5. Kuat jiwa. Tidak mudah putus asa atau kecewa
6. Yakin diri
7. Ada cita-cita untuk bangsanya, sama ada cita-cita itu pada pemimpin, pada orang besarnya atau pada rakyatnya.

Di samping sifat-sifat di atas, ada lagi sifat-sifat positif yang sangat meneguhkan dan menguatkan peribadi mereka. Ini termasuklah sifat-sifat:
1. Berdisiplin
2. Sabar

Agungnya peribadi itu pula dapat dilihat pada:
1. Akhlaknya
2. Imannya
3. Keyakinannya
4. Disiplin hidupnya
5. Kebersihan hatinya
6. Jauhnya mereka daripada melakukan maksiat dan dosa
7. Kemas syariatnya

Bukan mudah untuk mengubah bangsa yang lemah dan mundur supaya menjadi bangsa yang kuat dan agung. Segala ciri dan sifat-sifat mereka itu perlu diubah. Sifat pemalas mesti diubah menjadi rajin. Jiwa yang kecil mesti diubah menjadi jiwa yang besar. Sifat suka meminta-minta dan sentiasa mengharapkan bantuan dan subsidi, mesti dikikis dan dibuang. Mesti ditanam dengan sifat berdikari. Jiwa yang lemah mesti dikuatkan. Tidak boleh mudah kecewa dan berputus asa. Sifat penakut mesti ditukar kepada sifat berani. Mereka mesti kuat keyakinan. Cita-cita bangsa perlu ditanam di dalam hati sanubari setiap anak bangsa. Sifat suka mementingkan diri dan bekerja hanya untuk kesenangan diri sendiri mesti dihapuskan.

Ini sesuai dengan firman Allah SWT: Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri (hati atau jiwa) mereka.” (Ar Ra’d: 11)

BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN

Solat atau sembahyang itu, Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kekuasaan-Nya. Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.

Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.

PENDIDIKAN ITU MELALUI IBADAH

Untuk mendapatkan sifat-sifat yang agung ini bukanlah sesuatu yang senang. Perlu ada pemimpin yang mendidik ke arah itu. Kalau tidak ada pemimpin yang mendidik, ia mustahil boleh berlaku.

Pemimpin itu pula tidak boleh sebarang atau calang-calang pemimpin.Pemimpin yang hendak menjadikan bangsanya kuat dan agung mestilah mempunyai segala ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung itu pada dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, bagaimana dia hendak mendidik bangsanya supaya mempunyai ketujuh-tujuh ciri dan sifat yang agung tadi. Dia mesti mempunyai mandat dari Tuhan. Dia juga mesti mampu mendidik hati-hati manusia sepertimana para nabi dan rasul mendidik. Dia mesti faham perjalanan hati dan roh manusia. Dia mestilah orang yang sangat bertaqwa dan mempunyai wibawa yang tinggi. Manusia mudah memberi hati, mencintai dan taat kepadanya.

Pendidikan bangsa mestilah melalui ibadah. Itulah sebabnya Tuhan memerintahkan kita supaya beribadah kepada-Nya sama ada ibadah pokok mahupun ibadah sampingan atau sunat. Kalau ibadah yang Tuhan perintahkan itu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh maka dari situ akan lahirlah kekuatan sesuatu bangsa. Ibadah pokok atau ibadah asas ialah solat atau sembahyang lima waktu. Ibadah-ibadah lain adalah sampingan atau sunat. Ibadah pokok atau ibadah asas mesti ada. Ia menjadi syarat. Kalau ibadah pokok atau asas ini tidak cukup untuk memberi kekuatan, ia boleh ditampung dan dicukupkan oleh ibadah-ibadah sampingan yang lain.

Kekuatan yang timbul atau yang boleh diperolehi dari setiap ibadah itu pula tertakluk dan berkait rapat dengan tiga perkara iaitu:
1. Ilmu
2. Kefahaman
3. Penghayatan

Setiap ibadah yang dibuat mesti mempunyai ketiga-tiga perkara ini. Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu kita tidak tahu cara yang sebenar untuk beribadah dan ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang dibuat tanpa ilmu. Kefahaman lebih penting. Faham itulah hikmahnya. Faham itu ialah ilmu dalam ilmu. Sebab itulah ada Hadis yang mengatakan: “Barangsiapa yang hendak dijadikan baik, maka dia diberi faham tentang agama.” (Riwayat Muawiyah)

Dalam doa pun selalu kita minta kepada Tuhan begini:
Maksudnya: “Ya Tuhanku, berikanlah aku ilmu dan rezekikanlah aku kefahaman.”
 
Kemuncak daripada ilmu dan faham itulah penghayatan. Penghayatan itu ialah apabila ilmu dan kefahaman itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita. Apabila sesuatu ibadah itu ada ilmunya, difaham dan dihayati maka akan jadilah ibadah itu satu sumber kekuatan.

KENAPA SELAMA INI IBADAH TIDAK MENDIDIK KITA

1. Ibadah tanpa penghayatan tidak memberi kesan
Kita diberi ilmu tentang ibadah, sama ada ibadah asas mahupun ibadah sunat, hanya setakat yang bersangkut paut dengan hukum-hakam iaitu tentang syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Oleh itu dalam beribadah, itulah yang kita jaga iaitu syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Tidak lebih dari itu. Dalam solat, itulah juga empat perkara yang ditekankan. Begitu juga dalam ibadah puasa dan haji. Ilmu lain termasuk falsafahnya tidak diajar. Kefahaman dan penghayatan pun tidak diajarkan. Kalau begitu keadaannya bagaimanalah ibadah itu dapat dihayati.

Kalau ibadah penting seperti solat yang menjadi tiang agama dan ibu segala ibadah pun hanya diajar syarat, rukun, sah dan batalnya sahaja tetapi ilmu falsafah, kefahaman dan penghayatannya tidak diajar, maka rugi sungguhlah kita.

Fenomena ini sudah berlaku selama tujuh ratus tahun semenjak jatuhnya empayar Islam. Ilmu ibadah yang kita belajar selama ini sangat terbatas. Ilmu ibadah yang diajar tidak langsung menyentuh tentang roh ibadah atau hikmah dalam ibadah. Sebab itu kita lihat, orang yang banyak ibadah dan banyak bersolat pun, ianya tidak memberi apa-apa kesan pada diri dan hati mereka. Akhlak mereka tidak banyak berubah. Bahkan orang yang banyak ibadah menjadi lebih beku, tidak aktif, tidak produktif dan sangat pasif.

Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Barangsiapa yang sembahyangnya tidak dapat mencegahnya daripada maksiat dan kemungkaran maka tidak bertambah dekat dia dengan Allah, melainkan bertambah jauh daripada Allah.” (Riwayat At Tabrani)
Ibadah tanpa penghayatan dan penjiwaan ini tidak memberi apa-apa kekuatan. Ibadah seperti ini tidak dapat melahirkan bangsa yang kuat dan yang mempunyai peribadi yang agung. Dalam perintah Tuhan supaya kita beribadah itu terkandung ubat untuk bagaimana kita boleh melahirkan bangsa yang gagah dan agung, yang dapat menguasai dunia. Tetapi disebabkan ibadah kita itu hanya ibadah lahir, tidak ada jiwa, tidak ada roh dan tidak dihayati, kita bersolat atau tidak bersolat, kita ibadah atau tidak ibadah, sama sahaja kesannya kepada kita.

2. Tidak ada ilmu tentang Tuhan
Solat atau sembahyang itu, di antara tujuannya ialah untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Bukan untuk mengajar manusia tentang Tuhan tetapi untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Manusia sepatutnya sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang. Cuma, manusia atau insan itu sifatnya adalah pelupa. Walaupun manusia ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang tetapi mereka tetap akan lupa. Itulah sifat manusia. Istilah insan adalah dari istilah ins dalam bahasa Arab yang maksudnya pelupa.
Solat atau sembahyang akan hanya memberi kesan pada orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Maka dalam sembahyang, dia hanya diingat-ingatkan dan disedarkan lagi. Lima kali sehari semalam, Allah ingat-ingatkan dia tentang Tuhan untuk menampung sifat pelupanya itu supaya dia jangan terus lupa. Itulah rahmat dan kasih sayang Tuhan.

Sembahyang hanya boleh menyedarkan orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Tetapi bagi kebanyakan umat Islam, di luar sembahyang dan dalam kehidupan seharian, mereka memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan. Kalau di luar sembahyang sudah jahil, tidak ada ilmu dan tidak faham, bagaimana untuk mengingat Tuhan dalam sembahyang. Bagaimana dapat mengingat perkara yang kita tidak pernah tahu dan tidak pernah faham. Ini perkara mustahil. Orang yang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan sangat susah untuk disedarkan. Orang macam ini, sembahyang tidak ada makna baginya. Terpekik terlolong dalam sembahyang pun tidak jadi apa-apa. Dia tidak ubah seperti orang gila.

Inilah juga sebab kenapa ibadah terutama solat atau sembahyang itu tidak mendidik kita. Umat Islam rata-rata memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan dan sifat-sifat Tuhan. Sembahyang tidak membawa mereka kepada Tuhan. Jauh sekali mengingatkan mereka tentang Tuhan

Golongan lalai tak cukup masa

Oleh Ashraf Muslim

BH2011/10/24

Perancangan penting pastikan kerja dilakukan sempurna

 
TIDAK cukup masa. Rasanya setiap hari kita mendengar keluhan ini kerana 24 jam sehari tidak mencukupi untuk melakukan pelbagai perkara menyebabkan ada antara kita terpaksa menggunakan waktu malam semata-mata menyambung tugas pada siang hari.
Sebenarnya, perkara itu sudah diingatkan kepada kita melalui firman Allah yang bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar.” (Surah Al-‘Asr, ayat 1-3)
"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar." (Surah Al-‘Asr, ayat 1-3)
 
Apabila dinilai semula ingatan ini, jelaslah bukan masa tidak mencukupi tetapi kelemahan kita membiarkan masa berlalu tanpa dimanfaatkan sepenuhnya. Tidak percaya, cuba kita senaraikan aktiviti dilakukan dalam sehari dan masa diambil melakukannya.

Pasti kita akan berjumpa dengan saat-saat dibazirkan tanpa sedar sedangkan jika dimanfaatkan, perjalanan 24 jam sehari sudah memadai atau sekurang-kurangnya berupaya memenuhi keperluan harian.

Tempoh masa untuk melakukan kerja di pejabat contohnya, digunakan dengan berbual, sementara masa satu jam dihadkan bagi makan tengah hari serta solat dipanjangkan hingga dua jam.

Sebab itulah kita selalu mengeluh, tidak cukup masa. Padahal, sudah diingatkan kita akan rugi jika tidak bijak mengatur masa.
Justeru, apabila melihat remaja kita yang duduk bersembang di kedai makan atau melepak di pusat beli-belah, andaian boleh dibuat banyaknya masa mereka hingga boleh duduk lama-lama di sana.

Dalam dunia yang sangat pantas ini, manusia berlumba dengan masa. Banyak cabaran semasa menjadikan kita ditinggalkan masa seperti kesesakan lalu lintas, perkhidmatan awam tidak berkesan, perkhidmatan kaunter lambat dan macam-macam cabaran lagi.

Semua itu menuntut kebijaksanaan merancang supaya masa diperuntukkan tidak dipersiakan seterusnya menjadikan kita golongan rugi. Tetapi, manusia hanya merancang tetapi Allah yang menentukan.

Sekurang-kurangnya kita merancang dengan mengambil kira semua aspek dan apabila berlaku tidak seperti dirancang, rasanya kita boleh berpuas hati dan reda ketentuan Allah. Itu akan menjadi positif jika kita melihat ia sebagai ujian terhadap kesabaran berlumba dengan masa.

Ketentuan itu juga sepatutnya membuka dimensi pemikiran bahawa perancangan kita tidak boleh mengatasi rancangan Allah. Mungkin pada hemat kita apa yang dirancang itu baik tetapi Allah lebih mengetahui. Di sinilah kesabaran kita diuji dan ilmu kita juga diuji.

Perkataan sesuai bagi situasi sebegini ialah muhasabah iaitu apakah kita sudah membuat perancangan yang teliti. Justeru, kesudahan tidak seperti dirancang adalah kesempatan untuk kita melakukan bedah siasat dan melakukan penambahbaikan pada masa depan.

Mengejar masa juga bukan bermakna mengorbankan tuntutan jiwa yang memerlukan rehat kerana badan serta minda kita juga perlu direhatkan. Oleh itu, jadual di pejabat, sekolah, universiti dan rumah, diperuntukkan masa untuk rehat.

Bagaimana kita memanfaatkan masa rehat itu pula perlu dinilai semula. Bagi yang bercuti hujung minggu, pasti seronok dapat meluangkan masa bersama keluarga untuk melakukan aktiviti bersama.

Tidak dinafikan, timbul pula perbahasan antara kualiti masa atau kuantiti masa. Jika hendak didebatkan, tidak akan berjumpa titik pertemuannya. Terpulang kepada kedudukan serta keperluan bagi merencana yang terbaik untuk menghabiskan waktu rehat kita.

Keseimbangan penting untuk kita membuat perancangan berpandukan keutamaan. Pastinya, keutamaan kita ialah mengejar kebaikan di dunia serta memperoleh kebahagiaan di akhirat. Bercerita mengenai masa, marilah kita renungkan hadis ini.

Abdullah bin Umar berkata, Rasulullah SAW memegang bahuku seraya berkata: “Jadikanlah diri kamu di atas muka bumi ini sebagai seorang perantau atau pengembara. Ibnu Umar berkata: Apabila kamu berada pada waktu petang, jangan kamu tunggu menjelang waktu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, jangan kamu tunggu menjelang petang. Gunakanlah peluang beramal ketika kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan ketika hidup untuk persediaan matimu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sunday, October 23, 2011

Hidup sebuah misteri, kembara

Saya sedang berada di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford (OCIS). Hadir ke sini di bawah program visiting research scholar (sarjana penyelidik pelawat) selama sepuluh bulan.

Saya pernah datang ke sini dulu sekadar melawat kawan-kawan. Tidak sangka pula, ada peluang datang pula untuk buat kajian di sini dengan agak lama, berserta sedikit elaun yang diberikan oleh British Council.

former perlis mufti asri zainul abidin oxfordSaya tinggalkan Malaysia dalam keadaan ramai yang menasihati bahawa sekarang bukan masa yang sesuai. Kebanyakan alasan mereka; pilihan raya sudah dekat. Duta British juga kata begitu kepada saya.

Padahal, saya seperti rakyat marhaen yang lain tidak terlibat dengan pilihan raya melainkan sekadar seorang pengundi biasa. Itu bukan alasan yang kukuh. Saya ingin terus mengembara selagi mampu. Mengutip bekalan selagi ada upaya membawanya.

Merentasi denai dan lurah. Mendaki gunung dan cuba menggapai awan, jika diizinkan Allah. Biarlah apa tafsiran orang terhadap kehidupan kita, selagi insan berpaksikan Tuhan, dia akan melihat keindahan dimensi hidup dalam pelbagai spectra dan rupa.

Ini tulisan pertama saya di sini. Saya belum mahu mula. Saya hanya mahu meletakkan satu mukadimah yang boleh kita kongsi bersama mengenai kehidupan. Sesuatu yang kita semua alami dan rasai.

Allah menyuruh kita mengawal diri sendiri dan membetulkan keadaan dengan kadar kemampuan dan ruang yang kita miliki. Namun, tiada siapa dalam kalangan makhluk yang dapat memastikan episod-episod dalam perjalanan hidup.

Misteri kehidupan


Ya, hidup penuh keajaiban. Penuh misteri yang tersimpan di sisi Ilahi. Ada perkara yang insan jangka dan sangka, ia tidak berlaku. Ada perkara yang tidak diduga ia menjelma dalam pelbagai rupa dan warna. Tiada siapa boleh menyatakan yang dia menguasai perjalanan kehidupannya. Tidak! Sama sekali tidak!

Dia mungkin menguasai dirinya bukan perjalanan hidupnya. Dalam alam ini yang penuh dengan pelbagai watak, episod, musim dan rasa, maka tiada siapa yang berkuasa melainkan Allah. Manusia merancang dan mengatur. Ada kala rancangan itu berjaya, ada kala gagal, ada kala berubah arah dan pelbagai lagi.

Dunia ini bukan kita saja yang menghuninya; insan lain, alam sekeliling dan segala yang wujud. Semuanya mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Kadang-kala agenda itu bersaing dengan hasrat kita. Mungkin kita menang, atau kalah. Atau tiada siapa yang mendapatnya. Atau semua mendapat ruang dan peruntukan masing-masing.

Itulah kehidupan. Sebab itu kita disuruh bertawakkal iaitu setelah berusaha semampunya hendaklah berserah pasrah dan menggantungkan segala doa dan harapan kepada-Nya.

Firman Allah (maksudnya): "...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari masalahnya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang dia tidak sangka.

"Dan sesiapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah itu baginya (untuk menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala urusanNya. Allah telahpun menentukan kadar bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Talaq: 2-3).
Kudrat Tuhan
Ya, sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah sebagai pengatur urusannya. Ketika menyerah pasrah dirinya kepada Allah, insan mungkin mempunyai pelbagai bayangan bagaimana kehendak atau hajatnya akan tercapai.

Namun kuasa, kudrat dan kehendak Allah merentasi segala bayangan dan igauan insani.

Dalam menunai hasrat seseorang insan, Allah kadang-kala takdirkan pelbagai kejadian dan episod hidup agar insan belajar, mendapat ganjaran pahala, menemui pelbagai hikmat dan menjadi hamba yang lebih bersyukur dan akur dengan keagungan-Nya.

Cara sesuatu hasrat itu muncul dan menjelma juga, tidak semestinya sama. Pelbagai warna dan rupa. Mungkin insan ingin sesuatu, Allah gantikan yang lain yang lebih baik daripadanya.

Mungkin insan tidak tahu kejelekan di sebalik sesuatu yang indah pada matanya sehingga dia mengidamnya.

Apabila insan menyerah diri kepada Tuhan dengan jiwa yang luhur dan akur, Allah akan memberikan ganti yang lain, yang mungkin insan kurang suka, tapi itu lebih baik untuknya.

Demikian Allah menegaskan (maksudnya):"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya". (Surah al-Baqarah: 216).
Hanya pada tangan-Nya kekuasaan mutlak terhadap perjalanan alam ini. Jika Dia mahu memberikan sesuatu, tiada siapa yang dapat menghalang-Nya. Jika Dia mahu menghalang sesuatu, tiada siapa yang memberikannya.

Dia Maha Berkuasa menghadirkan hajat seseorang insan dalam pelbagai bentuk dan rupa, jalan yang disangka dan yang tidak diduga.

Dia Maha Mengetahui apa yang terselit dalam benak insani ketika seseorang itu mengadu kepada-Nya. Padahal kadang-kala insan itu sendiri alpa dan lupa hasratnya yang sebenar.

Allah mungkin menunaikan hasrat yang tersirat walaupun tidak dalam gambaran yang tersemat. segalanya atas rahsia alam atau hikmat kehidupan yang Allah Maha Tahu.

Apa yang penting Allah tidak mensia-siakan hamba yang bertawakal kepada-Nya. Percaya, jika kita serahkan jiwa raga dengan penuh pasrah kepada Allah, harinya akan menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. Kebahagiaan itu jika Allah berikan tiada siapa yang dapat merampasnya dalam dada kita, sekalipun tubuh diluka dan dipenjara.

Sengsara jika Allah campakkan kepada kita, tiada harta yang dapat menghalangnya, tiada wanita yang dapat menceriakannya dan kuasa yang dapat menangkisnya. Percayalah, dan berjalanlah atas keimanan itu menelusuri diari kehidupan ini.
Hidup ini kembara
Setiap insan mengembara di mayapada ini. Samada dia pernah keluar dari daerahnya ataupun tidak. Dia bagaikan pengembara. Perjalanan diari hidupnya sendiri yang bermula dari hari dilahirkan sehingga menemui kematian. Berjumpa dengan pelbagai watak dan bertemu dengan pelbagai episod dalam hayatnya.

Dalam menelusuri rantai-rantai hari yang datang pergi, insan disuruh mengabdikan diri kepada Ilahi. Melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang. Insan itu insan. Akan ada episod duka, salah, silap dan episod suka, benar dan tepat.

former perlis mufti asri zainul abidin oxfordAda kala dosa, ada kala pahala. Itulah insan. Namun, dalam kembaranya hendaklah dia pastikan kesilapan akan diikuti dengan pembetulan, dosa diikuti dengan istighfar dan taubat. Pastikan kebaikan yang mengusai dirinya, sementara kejahatan sesuatu yang asing dan terpencil.

Pastikan dalam kembara hidup ini dia tidak membawa beban yang menyukar dia pulang ke pangkuan Tuhan.

Sabda Nabi SAW: "Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya". (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Walaupun hidup menyerupai sebuah kembara, insan disuruh pula untuk mengembara melihat alam ciptaan Allah. Mengambil iktibar dari pelbagai kejadian dan peristiwa.

Begitu banyak ayat dalam al-Quran, Allah menyebut "Tidakkah kamu lihat?!" dan "berjalanlah kamu di bumi".

Pelbagai perkara al-Quran menyuruh kita lihat; gunung-ganang, peristiwa lampau dan lain-lain. Demikian dalam riwayat al-Bukhari bagaimana Jabir bin ‘Abdillah menyembara selama sebulan untuk mendapat sebuah hadis sahaja daripada Abdullah bin Unais.
Maka saya terus mengembara lagi dan mengulangi ungkapan Abu Firas al-‘Amiri yang dikenali dengan Majd al-‘Arab:

"Berpisahlah, nescaya kau dapati ganti orang yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Singa jika tidak meninggalkan hutannya, tidak akan garang. Anak patah jika tidak meninggalkan busarnya tidak akan mengena sasaran". (Fawat al-Fawayat 3/87, Beirut: Dar al-Sadir).

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis.

Saturday, October 22, 2011

Doa Pelembut Hati Anak

Doa Pelembut Hati Anak
Posted on Friday, October 21 @ 13:00:00 PDT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Tazkirah
Oleh: papabran

"Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku..

Dunia semakin menggila, hati rasa takut dgn pelbagai perkara yg tdk masuk di akal.. Benak semakin membeku bila akal mati, manusia mula di kuasai syaitan & iblis laknatullah.. Allah Hu Akbar, benar bagai kata mendidik anak bukan satu perkara yg mudah.. Jika anak yg terhasil 10 org sekalipun belum tentu kesemunya menjadi..

Itu kalau kena pada cara didikan ibu bapa Insyallah anak akan jadi sebaik2 umat, jika sebaliknya umat bakal bertambah pasti rosak & binasa.. Mohonlah pada Tuhan wahai ibu & bapa agar anak2 kita terpeliharan dari kebesaran Tuhan & jauhi diri dari melakukan kejahatan.. Semoga lampiran doa yg Suri petik dari majalah ilmiah ini manfaat buat semua..

Bacalah surah Al-Hasyr ayat 21 yg bermaksud:

"Kalau sekiranya Kami menurunkan AL-Quran ini kpd sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah-belah disebabkan takut kpd Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu kami buat utk manusia supaya mereka berfikir."

Kemudian diikuti dgn bacaan surah Thaaha, ayat 1-6 yg bermaksud:

"Thahaa. Kami menurunkan Al-Quran ini kpdmu agar kamu menjadi susah. Sebaliknya sebagai peringatan bagi org yg takut kpd Allah. Iaitu diturunkan dari Allah yg menciptakan bumi dan langit yg tinggi. Iaitu Tuhan yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas Arasy. Kepunyaannyalah semua yg ada di langit, di bumi di antara keduanya dan semua yg berada di bawh tanah."

Selepas itu bacalah juga surah Al-Fatihah, ayat Kursi, Surah Al-Ikhlas, Kafirun, An- Nas & akhir sekali, ditutup dgn doa.. "Ya Allah, Kau lembutkanlah hati anakku, hatiku sebagaimana Kau melembutkan besi Nabi Daud."

P/s: Sebaik2nya lakukan sewaktu anak anda tidur.. Insyallah sgl pesanan & doa akan di degarinya nanti.. Insyallah..."

Persatuan k'tangan akademik UIA bela Aziz Bari

Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PKA UIAM) hari ini menyatakan sokongannya terhadap Prof Abdul Aziz Bari dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang murabbi dan sarjana Perlembagaan Malaysia.


"Kami berasa terkilan atas campurtangan pihak luar ke atas
sistem pendidikan di negara ini yang sepatutnya bebas dan bersifat professional.

"Tohmahan serta tekanan yang tidak berasaskan ilmu yang dilemparkan kepada Prof Abdul Aziz Bari hanya membuang masa dan merendahkan status negara di mata dunia," tegas PKA UIAM dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, katanya, Prof Abdul Aziz sepatutnya diberi penghargaan kerana berjaya membuat satu negara berfikir dan memberi reaksi di dalam pelbagai cara. Beliau bagaimanapun tidak harus dihukum kerana reaksi pihak ketiga ini.

Berikut adalah kenyataan penuh:

Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PKA UIAM) ingin menyatakan sokongannya terhadap Professor Abdul Aziz Bari di dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang murabbi dan sarjana Perlembagaan Malaysia.
Kami berasa terkilan atas campurtangan pihak luar ke atas
sistem pendidikan di negara ini yang sepatutnya bebas dan bersifat professional.

Tohmahan serta tekanan yang tidak berasaskan ilmu yang dilemparkan kepada Professor Abdul Aziz Bari hanya membuang masa dan merendahkan status negara di mata dunia.

Professor Abdul Aziz Bari adalah seorang yang berwibawa
dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau. Ini adalah seperti yang dinyatakan didalam Al-Quran:

Surah al-Anbiya’ (21:7): “Kami tiada mengutus rasul-rasul sebelum kamu, melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui”

Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya memberi beliau ruang untuk berdebat secara lebih terbuka kerana proses konstruktif sebegini akan meningkatkan tahap pemikiran masyarakat di negara tercinta ini. Peringatan ini jelas berkait rapat dengan ayat Al-Quran dalam Surah al-Baqarah (2:111):

“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanya angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".

Professor Abdul Aziz Bari sepatutnya diberi penghargaan kerana berjaya membuat satu negara berfikir dan memberi reaksi di dalam pelbagai cara. Beliau bagaimanapun tidak harus dihukum kerana reaksi pihak ketiga ini.

Sebagai seorang ahli akademik, Professor Abdul Aziz Bari berhak menyatakan pendapat seperti yang telah dilakukannya. Ini adalah sebahagian dari kebebasan akademik yang dipunyai oleh setiap ahli akademik.

Mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik ini.

Kami tidak mahu tindakan ini kelak dijadikan satu 'precedence' pada masa akan datang kerana ia boleh menyekat sumbangan intelektual dari ahli akademik terhadap isu-isu kenegaraan sama ada yang dianggap sensitif atau sebaliknya.

Sebarang tafsiran dan pandangan yang dibuat dari hasil kepakaran seseorang ahli akademik sewajarnya disambut secara lapang dada oleh mana-mana pihak.

Kritikan inteletek adalah sangat penting di dalam dunia akademik kerana dengannya budaya keilmuan di sesebuah universiti itu boleh berkembang dan menyumbang sesuatu kepada pembangunan anak bangsa dan negara

Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui peruntukan dalam “Recommendation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel” yang dihasilkan melalui persidangan UNESCO pada 11 November 1997, seperti dalam Artikel 26 dan 27 yang berbunyi:

“the right to contribute to social change through freely expressing their opinion of state policies and of policies affecting higher education”.

PKA UIAM menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati kebebasan akademik. Keprihatinan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam perkara ini amat perlu untuk memertabatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi antarabangsa dengan universiti-universitinya
bertaraf dunia Komen CgsyedNegara ini jadi tidak bertamadun dan undur kebelakang disebabkan oleh ahli-ahli politik yang tidak bermaruah, suka melompat, ada kepentingan diri, serta kakitangan yang dinaikkan pangkat bukan kerana ilmu, kecekapan, kebolehan ataupun amanah serta bertanggungjawab tetapi  kerana sanggup menjadi barua dan orang suruhan orang politik yang berkepentingan, walaupun tindakan itu itu dianggap ketinggalan zaman dan bercanggah dengan agama.Malulah sebuah institusi ilmu antarabangsa tetapi pemimpin sudah jadi seperti lembu yang dicucuk hidungnya. Sungguh aib. Inilah yang sering berlaku di negara ini kerana kepentingan perut, kepentingan harta benda mengatasi akal yang waras.


Friday, October 21, 2011

7 perkara tak boleh diubah dalam hidup

Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

DALAM hidup ini ada tujuh hal yang tidak boleh kita ubah iaitu:

Jenis kelamin dan jantina
Memang boleh buat pembedahan untuk mengubah kelamin. Tetapi tidak mampu mengubah roh (spirit) orang berkenaan. Terimalah dirimu, sama ada engkau wanita atau lelaki.

Orang tua
Kamu mesti menghormati ibu bapa apa cara sekalipun! Jika orang tuamu seorang pemabuk, kaki judi atau pelacur, hormati mereka! jika tidak situasi itu bakal terjadi dalam kehidupan kamu kelak. Nasihat dan teguran memang tidak boleh berhenti.


 

Hari kelahiran

Sudah ditetapkan Allah, sebelum dunia dijadikan kita tidak boleh memilih tarikh lahir kita.
Ia memang sudah ditentukan dan jangan sesekali kita menyesalinya.


Bentuk Fizikal

Jika anda mempunyai rambut keriting, terima sajalah. Jika hidung kamu kurang menarik atau kulit sawa matang terimalah seadanya. Memang kita lihat ramai orang ingin mengubah bentuk wajahnya, sama ada memancungkan hidung atau alis matanya dicukur habis tetapi tetap kelihatan aneh dan tidak semula jadi.

Masa lalu

Ini juga sudah ditetapkan Allah. Jangan menyesali masa yang sudah berlalu melainkan untuk menjadikannya sebagai pengajaran.

Justeru, ‘berdamailah’ dengan masa lalu demi membina masa depan.

Kedudukan dalam keluarga

Kedudukan kita sebagai anak bongsu, sulung, atau tengah, tidak boleh diubah dan terimalah seadanya.

Suku bangsa

Jangan sekali menyesal menjadi orang Melayu, Jawa atau Cina. Sebenarnya perkara yang kita boleh dan mampu ubah adalah cara kita berfikir. Jika berubah maka berubahlah hidup kita.

Ada lima resipi untuk melakukan perubahan diri antaranya:
·  Mulalah berubah supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga lebih yakin dengan diri anda.

Tidak mungkin jika kita mahu mengajak orang lain berubah padahal diri sendiri masih berada pada takuk lama.

·  Lakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan, sememangnya sukar untuk terus melakukan perubahan dalam masa yang singkat atau dalam tempoh sekelip mata.

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah kita dapat berubah seperti yang diinginkan. Walaupun perlahan, kita pasti dapat mengalami perubahan besar dalam diri.

·  Lakukan perubahan pada masa sekarang. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lama. Ini kerana semakin lama kita bertangguh, ia menjadi semakin melarat dan susah untuk melakukannya.

Perkara kecil jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa depan.

·  Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Kita perlu memaksa diri untuk berubah dengan sepenuh hati.

Jika diri kita tidak dipaksa seolah-olah memanjakan diri untuk berubah. Nafsu kita juga menjadi semakin degil jika tidak dipaksa.

Kawal nafsu dan jangan biarkan ia mengawal diri kita.

·  Apabila kita sudah berjaya melakukan perubahan diri, kita perlu mengulangi perubahan itu hingga ia sebati dengan diri kita.

Jika perubahan itu hanya dibiarkan begitu saja, kita hanya berjaya untuk berubah seketika saja dan selepas itu kembali ke takuk lama.

Jangan sia-siakan perubahan dan perlu sentiasa melakukannya.