Sunday, March 18, 2012

Tugas kepemimpinan berat, tidak patut dikejar


Oleh Mohd Shukri Hanapi bhagama@bharian.com.my
2012/03/18

Wajib bersikap adil pikul tanggungjawab dan amanah, elak berhukum ikut hawa nafsu

KEPEMIMPINAN adalah peranan sosial seseorang pemimpin dalam pergaulannya dengan orang ramai dalam masyarakat atau kelompok pim-pinannya. Peranan ini menjadikan seseorang pemimpin itu mampu mempengaruhi orang lain dan membimbing mereka ke arah mencapai cita-cita kelompok atau masyarakat berkenaan.

Sebenarnya kepemimpinan itu adalah peranan semua orang. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW dijelaskan bahawa setiap orang adalah pemimpin yang berfungsi dalam lingkungan kepemimpinan masing-masing.

Dalam skop lebih luas, kita boleh lihat hakikat seseorang individu dalam ayat al-Quran yang membicarakan soal kesanggupan manusia memikul amanah kepemimpinan di muka bumi (khilafat Allah fi al-Ard).

Allah SWT berfirman bermaksud “Sesungguhnya kami menawarkan amanah itu kepada langit, bumi dan bukit-bukau tetapi semuanya enggan memikulnya dan merasa khuatir akan mengkhianatinya. Lalu ia dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (Surah al-Ahzab ayat 72)


Ayat ini menggambarkan tugas kepemimpinan sebagai khilafah Allah SWT di bumi ini adalah satu amanah amat besar yang tidak sanggup dipikul oleh bumi sendiri. Begitu juga dengan langit dan gunung-ganang.


Meskipun dalam beberapa ayat lain Allah SWT menyifatkan manusia itu sebagai makhluk istimewa tetapi dalam ayat ini Allah menyifatkan mereka sebagai menzalimi diri dan jahil.
Ini menyebab-kan mereka sanggup memikul amanah sangat berat dan paling mencabar itu.
Atas dasar inilah, barangkali apabila Allah SWT memaklumkan bahawa Dia akan menjadikan manusia sebagai pemimpin atau khalifah Allah di bumi, maka malaikat terus bertindak mempersoalkan kemampuan manusia itu.

Allah SWT berfirman bermaksud “Apabila Tuhanmu berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi itu khalifah. Mereka berkata Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di situ orang yang akan membuat kerosakan padanya dan akan menumpahkan darah, padahal kamilah yang sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah Ali Imran ayat 30)

Maksudnya, malaikat sangat meragui kemampuan manusia untuk menjadi pemimpin atau khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Sebabnya ialah mereka mempunyai kecenderungan buruk yang berasaskan hawa nafsu. Malah Allah SWT juga tidak menafikan kebenaran keraguan malaikat itu. Cuma Allah SWT menjelaskan ada tujuan lain lebih besar di sebalik penugasan itu. Dalam ayat lain, Allah SWT menjelaskan tujuan besar yang dimaksudkan itu ialah memakmurkan dunia ini.

Jelasnya, dalam konteks yang luas ini, kepemimpinan adalah amanah amat sukar untuk dilaksanakan dengan penuh jujur. Bagaimanapun ia satu kewajipan yang terpaksa dipikul oleh manusia memandangkan ada tujuan lebih besar di sebaliknya, iaitu memakmurkan bumi.

Dalam pengertiannya ringkas, amanah boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Satu istilah lain yang memberi erti yang bertentangan penuh dengannya ialah khianat.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis mengenai orang munafik. Apabila diamanahkan, dia berkhianat. Dalam bahasa Melayu khianat ini biasa juga disebut sebagai pecah amanah.

Konsep amanah sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan ini, boleh juga difahami daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibn Umar ra, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepemimpinan nya. Ketua adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Kaum lelaki pemimpin kepada keluarganya dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Perempuan adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan akan ditanya kepemimpinannya.

(Orang suruhan) adalah pemimpin (penjaga) hartanya dan dia juga akan ditanya mengenai penjagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin yang akan ditanya kepemimpinannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Layaknya kepemimpinan itu ialah satu beban yang dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin dalam segala hal yang berhubung dengannya.

Mengikut pandangan Islam, kepemimpinan itu bukan satu kedudukan yang perlu dikejar. Sebaliknya, kalau boleh perlu dielakkan. Nabi sendiri pernah menolak permintaan bapa saudaranya al-Abbas ra supaya dilantik menjadi gabenor di sebuah wilayah.

Malah Baginda pernah berkata kepada sahabat rapat baginda, Abu Zar mengenai kepemimpinan dengan berkata ia adalah satu amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan.

Perkara yang paling membimbangkan dalam memikul amanah dan tanggungjawab ini ialah wujudnya sikap tidak adil dan membuat keputusan berasakan hawa nafsu. Nabi Daud sendiri pernah diperingatkan oleh Allah SWT mengenai penyelewengan besar ketika melantik beliau menjadi Nabi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai Daud! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil. Janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Surah Sad ayat 26)

Dalam satu ayat lain, Allah SWT juga menghubungkan soal amanah ini dengan menghukum dan membuat keputusan secara adil. Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya; dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkan dengan adil.” (Surah al-Nisa’ ayat 58)

Bagaimanapun, kepemimpinan itu sendiri amat penting sekali pada pandangan Islam. Kerana itulah Islam mewajibkan supaya institusi kepemimpinan itu ditegakkan baik dalam skop yang besar seperti khalifah yang bererti kepemimpinan negara atau dalam skop lebih kecil, yang semuanya boleh digolongkan dalam konsep ulu al-Amr.

Malah, Rasulullah SAW berpesan kalau dalam sesuatu perjalanan atau perkumpulan itu adalah lebih daripada seorang, maka salah seorang mesti dilantik sebagai pemimpin.


Penulis berkhidmat dengan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Hukum fiqah fleksibel, beri keringanan pesakit tunai solat


Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar 2012/03/18

SOLAT tiang agama dan sesiapa yang tidak menunaikannya diibaratkan sebagai meruntuhkan agamanya. Rasulullah SAW sangat menitik beratkan aspek solat malah sehingga saat terakhir hayat Baginda pesanan agar umatnya bersolat masih bermain di bibirnya yang mulia itu.

Dalam apa keadaan sekalipun, solat tidak boleh sama sekali dilekakan termasuklah tatkala kita dilanda penyakit pada anggota tubuh badan. Namun, kajian sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang mendapati hanya 15 peratus saja pesakit Muslim yang menunaikan solat ketika terlantar di hospital sangat mengejutkan kita semua.

Islam memudahkan umatnya dalam mengerjakan sesuatu yang disyariatkan. Begitu juga dalam hal solat. Misalnya untuk berwuduk yang dikirakan oleh sesetengah pesakit mendatangkan kesulitan, maka Islam memberikan keringanannya.

Tetapi kena ingat bahawa selagai seseorang pesakit itu masih mampu berwuduk, maka hendaklah berwuduk sebagaimana kaedah biasa.

Tetapi dalam kes di mana pesakit sudah tidak mampu untuk membasih anggota badannya ketika berwuduk, maka cukuplah sekadar dia mengusapnya walaupun dengan menggunakan sehelai kain basah.


Hal bertepatan dengan pesanan Rasulullah SAW yang menyatakan, ‘apabila kamu sekalian aku perintahkan, maka kerjakanlah mengikut kemampuanmu.’


Dalam kes pesakit tidak boleh menggunakan air, kaedah bertayamum perlu digunakan. Ada pula sesetengah kes tertentu, pesakit mengeluarkan darah tidak henti-henti sehingakan sukar untuk berwuduk atau bertayamum.

Bagaimana halnya dengan masalah sebegini? Darah yang mengalir tidaklah membatalkan wuduk kecuali darah yang keluar melalui dua jalan, dubur dan kubul. Selainnya pengaliran darah tidak membatalkan sama sekali wuduk sama ada darah itu dalam kuantiti sedikit ataupun banyak.

Begitulah keringanan yang diberikan kepada pesakit agar urusan solatnya tidak terhalang disebabkan sesuatu penyakit yang menimpa.


Dalam situasi lain, terdapat sesetengah pesakit mengalami kesukaran untuk menunaikan solat kerana dikatakan air kencingnya sentiasa menitis tanpa dapat disekat. Ulama berijmak bahawa dalam kes seperti ini, seseorang seharusnya meneruskan solat selepas berwuduk atau bertayamum meskipun air kencingnya menitis-nitis kerana dalam keadaan penyakit seumpama ini dianggap tidak membatalkan wuduk.


Malah dalam permasalahan ketika mendirikan solat, Islam begitu mengambil kira kedudukan kesihatan seseorang umatnya.
Langsung tidak memberi beban kerana ada kaedah tersendiri dalam pelaksanaannya.

Pesakit yang sudah tidak mampu berdiri seperti orang biasa yang sihat, boleh bersolat dengan duduk. Jika secara duduk tidak mampu, harusnya dia solat dengan berbaring. Dalam sesetengah keadaan berbaring pun masih sukar untuk mengangkat atau menggerakkan anggota tubuh, maka tiada jalan lain lagi kecuali dengan menggerak-gerakkan saja anggota badan untuk bersolat.

Malah seandainya menggerakkan anggota badan pun sudah tidak berupaya dilakukan, Islam membenarkan jalan terakhir, iaitu dengan isyarat di hati.

Begitulah tingginya kedudukan solat dalam Islam sehingga dalam situasi apapun, ia tetap mesti ditunaikan apabila tiba waktunya. Betapa indahnya Islam memberikan kaedah untuk mempermudahkan umatnya agar dalam situasi apapun, dia mampu melaksanakannya.

Sepatutnya ketika kita sedang ditimpa kesulitan akibat sesuatu penyakit, hati dan jiwa kita semakin mengingati kepada kematian. Dengan ingat kepada mati, kita menjadi semakin bertekun untuk mendirikan solat.

Kesedaran dan keinsafan mesti tinggi bahawa apabila kita meninggal dunia, kemudian disemadikan di liang kubur, Malaikat Munkar dan Nakir akan mengajukan enam soalan yang antaranyanya ialah mengenai solat dan kiblat kehidupan.

Jadi, bagaimana kita mampu menjawab seandainya solat diabaikan ketika hidup. Apakah kita hendak menyatakan kita tidak bersolat lantaran ditimpa penyakit dan terlantar tidak dapat berwuduk dan bersolat sedangkan kaedah begitu fleksibel diberikan untuk pesakit atau mereka dalam keadaan uzur.

Kata Dr Abdullah al-Qarni, tokoh ulama dan penulis Arab yang terkemuka bahawa solat diwajibkan ke atas semua peringkat Muslim yang baligh lelaki dan perempuan, merdeka dan hamba, orang kaya dan miskin, orang bermukim dan bermusafir, orang sihat atau sakit, selama ia masih berakal. Dan ia tidak begitu bagi ibadat lain.

Dalam isu terdapat ramainya pesakit yang dikatakan liat untuk mendirikan solat ketika berada di hospital, adalah wajar pihak terbabit bertindak secara proaktif berganding bahu untuk memberikan kesedaran dan seterusnya menyalurkan pengetahuan sebenar agar mereka faham mengenai keringanan kaedah dalam solat.

Pihak berkenaan khususnya berkaitan dengan hal ehwal Islam juga wajar turun padang meninjau dalam usaha memantapkan pemahaman kepada pesakit. Pegawai agama mungkin sangat sesuai ditempatkan di hospital secara berkala kerana dengan pendekatan seperti ini akan mampu memberikan kesedaran dan kefahaman kepada pesakit berhubung kewajipan solat hatta dalam situasi yang uzur.

Saturday, March 17, 2012

SECEBIS KISAH ORANG BERILMU…


Sungguh saya terkesima dengan kesederhanaannya. Pengajarannya sungguh bersahaja tetapi berwibawa. Dalam kuliah selepas Subuh itu, dia merujuk kepada kitab kuning – Muniyatul Musolli, karangkan Syeikh Daud Al Fatani. Dia bukan ustaz yang popular, pun bukan ilmuwan selebriti yang sering muncul di kaca TV. Dia hanya imam biasa, bergamis dan berserban seadanya. Namun dia punya suara yang merdu dan bacaan qiraat yang sangat mantap. Rela mengajar, walaupun dengan bilangan murid yang paling minima!

Saya masih ingat analoginya, “lampu isyarat sudah hijau, tetapi kereta di hadapan kita masih tidak bergerak-gerak. Kita hendak marah dengan kelembapannya. Tetapi sebaik sahaja kita melihat pada kereta itu tertera tanda L, kita jadi sejuk dan memaafkan. Oh, dia masih belajar memandu…”

Dia menyambung, “maka begitulah kita harapkan semasa belajar ini. Kita harapkan Allah ampunkan kita jika kita berterusan belajar. Ibadah kita banyak lagi kecacatan dan kekurangannya, tetapi apabila kita berterusan belajar, semoga Allah memaafkan kita. Contohnya, solat yang kita dirikan selama ini, siapa yang berani menjamin semuanya sudah sempurna? Semuanya sudah tepat seperti solat nabi? Tidak ada siapa yang berani. Lalu apa jalan keluarnya? Ya, dengan berterusan belajar. Insya-Allah, Tuhan akan ampunkan kita sekiranya kita masih belajar solat.”     

Benarlah, seorang dikira sampai ke tahap ilmu yang sempurna apabila dia terus belajar. Rasa tidak berilmu ialah sifat utama orang berilmu. Semakin kita belajar, terasa semakin banyak perkara yang tidak kita ketahui. Inilah sifat sejati orang berilmu. Lihatlah imam-imam besar bertahap mujtahid yang berterusan belajar tepat seperti yang sering diungkapkan, tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad.

Walau sebanyak mana pun ilmu yang telah digali oleh manusia, hakikatnya masih sekelumit dibandingkan dengan ilmu Allah yang melangit. Justeru, sebanyak mana pun dan setinggi mana pun ilmu yang dimiliki seseorang, dia sewajarnya terus merendahkan diri kepada Allah. Di antara tanda orang yang merendah diri dengan Allah itu, dia juga akan merendah diri sesama manusia. Justeru, jika terdapat ahli ilmu yang sombong, dia hakikatnya bukan ilmuwan tetapi hanya seorang hina dari kelas bawahan!

Bergaullah dengan ahli ilmu yang sebenar, kita akan terasa tenang dengan kerendahan hatinya. Tutur kata dan tingkah lakunya sangat menyenangkan. Semakin tinggi penghormatan yang diberikan oleh manusia kepadanya, semakin tinggi pula penghormatannya kepada manusia lain. Ketangkasannya dalam berfikir disepadukan dengan kelembutan hatinya dalam berzikir.

Kini semakin ramai orang yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi dan kepetahan berkata-kata yang sangat memukau. Namun, kita masih kekurangan orang yang mempunyai ketinggian budi dan kehalusan pekerti. Oleh kerana itu para ilmuwan kini kebanyakannya hanya mampu mengumpulkan peminat, bukan pengikut. Kata-katanya hanya menjadi hiburan penyedap pendengaran, kurang diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan yang membawa penyelesaian.

Betapa Tok guru dahulu, hidupnya sederhana tetapi terlalu kaya dengan karisma dan wibawa. Orang sanggup mati kerananya. Kata-katanya diikuti dari hati, bukan sekadar ambil hati. Apa rahsianya? People dont care how much you know, untill they know how much you care – manusia tidak peduli sejauh mana pengetahuan anda, sehingga mereka tahu sejauh mana anda ambil peduli!

Ya, ulama-ulama dahulu bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi yang paling utama mereka mewarisi ‘hati’ para nabi. Sifat-sifat mahmudahnya begitu ketara. Jika mereka berbicara, pasti disebut kelebihan-kelebihan guru-guru mereka sebelumnya. Jatuh pena di tangan, tidak akan diletakannya di atas kitab atau Al Quran. Jangan ada sesuatu yang diletakkan lebih tinggi daripada Al Quran dan Al Hadis… Bukan sahaja di dalam hati, bahkan daripada segi kedudukan fizikalnya.

Sering kali mereka menjawab ‘wallahuaklam’ pada soalan-soalan yang diajukan. Mereka tidak berlagak seperti manusia serba tahu. Mereka boleh bertukar posisi, bertindak sebagai murid yang banyak mendengar apabila dirasakan orang yang dihadapinya lebih mengetahui. Bukan mudah menjadi ‘pendengar’ ketika selalu berperanan sebagai ‘penutur’ tetapi kerana sifat tawaduk mereka, para ulama silam sanggup kelihatan bodoh daripada terus berlagak pandai dan memandai-mandai.

Sesungguhnya, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Biarpun mungkin tidak punya peminat, tetapi pengikut yang setia tetap ada. Jiwa sufi yang tersemat di dalam diri menyebabkan mereka kaya di dalam kesederhanaannya. Mereka itulah murabbi sejati, sekalipun bukan seorang selebriti.

Guru yang mengajar kitab kuning, yang saya ceritakan pada awal tulisan ini hanya menaiki motosikal… tetapi sungguh, saya jarang memandang wajahnya melainkan di situ ada senyuman!

Mensyukuri nikmat menambah lagi rezeki


Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sekiranya kamu mensyukuri nikmat yang ada, nescaya Aku (Allah) menambah nikmat bagimu.”

Ini kerana Allah menciptakan nikmat dan memberikannya kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Walaupun seluruh kata pujian dan kesyukuran kita lafazkan untuk memuji-Nya, pasti tidak setanding apa yang Allah kurniakan kepada kita.

Dalam soal rezeki manusia selalunya berasa bimbang nikmat yang belum mereka miliki, namun sepatutnya perlu risaukan nikmat sedia ada dan belum disyukuri.
 
Memikirkan bagaimana untuk mensyukuri itu sebenarnya menambahkan lagi rezeki. Lumrah hidup ini sebenarnya tidak boleh bersendirian. 

Kita memerlukan bantuan orang lain. Contohnya, pelajar memerlukan guru untuk mendapatkan ilmu. Begitu juga untuk mendapatkan pakaian kita perlu penjahit, penenun dan penanam kapas. Bagi mendapatkan khidmat nasihat kesihatan, kita memerlukan doktor atau pegawai kesihatan.
Oleh itu, cuba kita renungkan kebaikan orang di sekeliling yang banyak berjasa kepada kita. Jika hendak jadi orang yang bersyukur maka perlu membalas kebaikan orang lain.

Anak yang sering mengingati jasa ibu bapa pasti timbul keinginan untuk berbudi kembali serta menghormati kedua-dua insan yang mereka sayangi itu.

Kebaikan itulah pembuka dan kunci kepada nikmat lain daripada yang Maha Kuasa. Maka orang paling beruntung adalah orang yang hatinya dipenuhi rasa syukur.

Lihat saja nikmat pancaindera yang ada pada kita.Bayangkan, jika kita kehilangan nikmat melihat (mata), ketika itu barulah kita menghargai apa yang dikurniakan selama ini. Jika jatuh ditimpa penyakit, ketika itu baru teringat alangkah besarnya nikmat ketika sihat. Cuma kita kurang menyedarinya dan tidak mensyukurinya.

Nikmat yang besar sebenarnya bermula daripada nikmat yang kecil. Oleh itu, jangan risau dengan nikmat yang belum kita miliki, sebaliknya risaukan nikmat yang kita sudah ada tetapi belum disyukuri.

Fikirkan bagaimana kita mensyukuri apa yang kita nikmati. Rasa kesyukuran mengundang nikmat berikutnya. Kadangkala ada manusia apabila mendapat kenikmatan berbentuk kedudukan atau harta, mereka berasa bangga dan mempamerkannya di sana sini.

Mungkin kerana terlupa semua itu pemberian Allah. Bagaimana kita mahu menjadi orang yang bersyukur? Orang yang bersyukur adalah apabila dapat kesenangan, kejayaan atau kenikmatan, pertamanya dia berfikir semua itu kurniaan Allah, lalu menggunakan segala kenikmatan itu pada jalan benar supaya mendapat keberkatannya.

Dijaganya nikmat mata untuk melihat yang baik-baik saja, nikmat telinga untuk mendengar yang bermanfaat, nikmat tangan untuk mengambil haknya saja, nikmat kaki pula untuk melangkah ke jalan kebaikan.

Jauhilah daripada menyalah guna nikmat yang ada dan gunakan semuanya untuk mendapat keberkatan serta menambah pahala.

Selain bersyukur pada Allah, kita perlu mengucapkan syukur kepada manusia yang menjadi jalan kita mendapat nikmat. Contohnya, anak perlu berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapanya kerana anak yang tahu bersyukur pasti membalas budi, membuatkan hidup mendapat keberkatan.

Begitu juga kehidupan suami isteri, mereka perlulah sama-sama memikirkan kebaikan suami atau isteri, jangan hanya melihat kekurangan masing-masing.

Sebenarnya, dengan mengenang kebaikan seseorang itulah satu cara kita mensyukuri nikmat Allah. Cara mensyukuri nikmat Allah juga adalah memperlihatkan nikmat yang sudah dikurniakan kepada kita, tetapi perlu berhati-hati supaya terhindar daripada niat untuk mendapat pujian.

Betulkan niat kerana kita yakin semua nikmat yang kita terima datang daripada Allah dan hanya Allah yang patut mendapat pujian.

Jika kita yakin semua yang kita miliki adalah milik Allah nescaya hati kita berasa tenang, tidak sombong, sentiasa bersyukur selalu serta tidak berdengki dengan nikmat yang dikurniakan kepada orang lain.

Fahami doa minta Allah tunjukkan jalan lurus

Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

DOA kadang-kadang minta lain tapi buat lain malah ada juga bertentangan dengan apa yang kita minta tapi kita sebut ‘aamiin’.

Bila imam baca doa kita di belakang main sebut saja, aamiin tapi tak tahu dan tak faham apa yang imam baca. Doa sebenarnya permintaan, kalau kita meminta sesuatu kita mesti faham, barulah masuk ke hati dan sedar apa yang kita minta.

Bila faham semasa berdoa sangat menolong kita mencarinya selepas berdoa dalam kehidupan seharian. Kalau main minta atau main angkat tangan saja sedangkan tak faham apa-apa boleh dianggap bermain-main dengan doa.

Sudah puluhan tahun kita meminta perkara sama tapi tak dapat-dapat. Sebenarnya bukan Allah tak perkenankan tapi kita sendiri yang hanya pandai minta tetapi tak pandai cari.

Minta tapi tak cari sama seperti berangan-angan. Antara yang kita mesti minta setiap hari sebanyak 17 kali sehari semalam ialah ‘ihdinassiratal mustaqim’ ataupun maksudnya ‘ tunjukilah kami jalan yang lurus.’

Besarnya doa ini, kita diwajibkan membacanya setiap kali di dalam sembahyang sebanyak 17 kali sehari. Doa ini tidak didahulukan melainkan selepas kita memuji Allah dahulu bahawa segala pujian itu meliputi pada-Nya dan Dia adalah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Besarnya juga doa ini ia tidak didahulukan melainkan kita berikrar mengaku sebenar-benarnya hanya Allah, Tuhan yang kita sembah dan tempat kita meminta pertolongan.

Setiap hari minta ‘jalan yang lurus’. Tahukah kita apa jalan yang lurus itu? kalau tak tahu kena belajarlah sebab jalan yang lurus itu sangat penting.

Sesetengah remaja hanya tahu jalan betul, jumpa jalan betul terus merempit. Orang Palestin mati di jalan Allah kita mati jalan raya.

Kalau kita perhatikan sebaik sahaja kita meminta jalan yang lurus, ‘ihdinassiratal mustaqim’ Allah mentafsirkan jalan lurus itu Tuhan terangkan jalan yang Allah sudah berikan nikmat-Nya kepada orang-orang yang terdahulu.

Siapakah orang-orang ini? Mereka adalah rasul, nabi, sahabat-sahabat dan aulia’. Mereka kekasih Allah, Tuhan yang menganugerahkan nikmat besar kepada mereka.

Nikmat pula ialah nikmat iman, Islam dan ihsan. Hanya dengan jalan iman, Islam dan ihsan, barulah kita dapat mengikut jalan yang lurus, jalan yang sama dilalui oleh kekasih Allah iaitu rasul, nabi dan wali Allah.

Mereka melalui jalan itu dan Allah tunjukkan jalannya. Maka yang kita minta itu adalah untuk mengikut jalan seperti mereka supaya kita benar-benar sampai kepada Allah.

Jalan yang lurus itulah yang akan sampai kepada Allah. Selain itu, ada juga jalan tetapi tidak sampai kepada Allah. Allah terangkan lagi dalam surah Al-Fatihah, minta dijauhkan kita daripada dua jalan yang tidak sampai kepada Allah iaitu jalan orang yang Allah murkai dan jalan orang-orang yang sesat.

Jalan orang yang Allah murkai adalah jalan orang-orang yang tidak percaya Tuhan seperti Namrud dan Firaun.

Mereka menolak Allah dan mereka adalah orang yang mendapat laknat Allah.

Jalan orang yang sesat pula ialah seperti Yahudi dan Nasrani (kristian). Walaupun mereka percaya Tuhan, tetapi jalan yang mereka lalui bertentangan dengan kehendak Tuhan.

Justeru, mereka tidak akan sampai kepada Tuhan. Orang yang boleh sampai kepada Tuhan adalah orang yang mengikuti jalan lurus. Jalan itu ditempuh oleh rasul, nabi, sahabat, tabiin dan wali Allah sebelum ini. Maka, kita mengharapkan belas kasihan supaya Allah tunjukkan kita jalan yang sampai kepada-Nya.

Dinyatakan tadi jalan itu adalah iman, Islam dan ihsan. Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Tuhan kepada kita jika kita mendapatkannya. Namun, ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita.

Barulah kita mendapat jalan yang lurus.

Kalau sekadar slogan atau cakap-cakap saja, itu dikira belum dapat lagi.
 
Cubalah muhasabah diri kita sejauh mana kita bersungguh-sungguh ketika berkomunikasi dengan Allah. Paling kurang ayat al-Fatihah yang kita baca seharian, antara faham, kehendak dan realiti biarlah selari seiring dan sejalan.

Fahamilah, hayatilah, amalkanlah serta perjuangkanlah!

Prasangka buruk makan diri

Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

HATI manusia tidak dapat dikawal untuk mereka fikir, kata dan tuduh apa saja. Itu semua di luar jangkaan kita. Ilmu dan kehendak mereka itu kemudian akan menghasilkan tindakan dan pelbagai tindak-tanduk.

Jika baik hati mereka, maka baiklah cakap mereka, baiklah layanan dan sangkaan mereka. Tetapi jika hati kotor, apa lagi tindakan akan diterjemahkan segala hitam yang bersarang di hati itu.

Sebenarnya yang mengukur baik dan buruk seseorang bukannya manusia kerana mereka tidak mempunyai kuasa melakukannya. Yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita ialah Allah. Dialah yang menilai kebaikan kita, memberi rezeki serta memberi kehidupan kepada kita.
Manusia memang suka bersangka-sangka. Apa lagi sangkaan yang buruk. Hati, akal dan mata selalunya tidak seiring.
Mata melihat, otak memproses manakala hati mentafsir. Contohnya, jika hati yang berbaur dosa dan dengki akan mentafsir kecantikan seseorang, dia akan kata perempuan itu memakai susuk.

Demikian juga apabila bercakap banyak dikata hendak tunjuk pandai. Apabila diam tidak bercakap pula dikatanya sombong. Memang manusia punya hak untuk bersangka. Jika yang baik punya sangka empunya diri yang untung. Hati tenang, minda damai, jiwa harmoni, disenangi dan mudah mendapat kawan.

Jika sangkaan itu buruk, jiwa pastinya akan sengsara. Banyak fikir mengenai orang, darah pun naik. Pendek kata semua tidak kena.

Sebab semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir, sedangkan diri sendiri tidak difikirkan. Tabiat bersangka buruk terkena pada semua golongan tidak kira orang tua dengan cara dan kepakarannya manakala orang muda dengan kehangatannya.

Jika kita hendak layan semua sangka buruk orang dan semua hati kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita.

Lihatlah kisah dan sejarah Luqman al-Hakim dengan anaknya yang menaiki seekor keldai. Dalam perjalanan orang kata: “Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian keldai tu.” Selepas itu, Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik dari bawah. Orang kata juga: “Ada ke patut bapa biarkan anaknya menarik dari bawah.”

Kemudian mereka bertukar posisi lain pula, anak naik keldai manakala Luqman pula yang tarik dari bawah.  Orang mengata juga, anak macam itu buat ayahnya macam hamba. Justeru, cara terbaik ialah merawat kembali penyakit buruk sangka.

Berubahlah dengan memperbaiki diri sendiri. Membaiki diri bersungguh-sungguh dengan membersihkan hati daripada sifat keji (mazmumah) kepada sifat terpuji (mahmudah).

Perhatikan juga siapa kawan di sekeliling kita. Adakah kawan kita itu mendorong ke arah kebaikan atau keburukan?

Jika kita dapat menewaskan nafsu jahat dalam diri sendiri, nescaya kemenangan hidup pasti berpihak kepada diri kita. Proses berubah jadi baik mungkin tidak semudah disangka, namun sekiranya hati dan akal sudah bertekad dan ada kesungguhan, Allah pasti permudahkan jalannya.

Ruang untuk perbaiki diri sentiasa ada dan terbuka. Justeru, tepuk dada tanya diri. Mahu berubah atau tidak?


Beberapa cadangan diutarakan, antaranya:
·  Berbaik sangka dengan semua orang. Tafsirkan segala yang kita lihat secara positif.
·  Tanamkan rasa takut pada kemurkaan dan azab Allah apabila anda berprasangka buruk.
·  Sucikan hati dengan banyakkan berzikir.
·  Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.
·  Luangkan masa untuk banyak melakukan muhasabah diri.

Friday, March 16, 2012

Kehidupan lebih bernilai jika pandai urus masa

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
bhagama@bharian.com.my  2012/03/16

BIJAK pandai ada menyatakan, masa itu emas. Sejak zaman dulu manusia mengakui bahawa emas adalah sesuatu yang begitu berharga dan bernilai. Memiliki emas sama ada sebagai harta atau barang perhiasan juga membanggakan diri.

Melihat pada mahalnya nilai emas di pasaran dan sukar pula untuk memperolehnya tanpa ikhtiar dan usaha, maka nilaiannya disandarkan kepada masa. Walaupun emas tetap mahalnya, namun jika dibandingkan dengan masa, nilainya sama sekali tidak dapat disamakan dengan harta benda dan wang ringgit, kerana masa tidak boleh ditukar ganti atau boleh dibeli dan dikembali jika ia sudah berlalu.

Hukama’ pula mengibaratkan masa sebagai pedang. Sekiranya kita manusia tidak berusaha untuk mendahuluinya dalam maksud mengejar kepentingan dunia dan akhirat pada setiap masa, maka masa pasti akan mendahului kita, yakni kita akan mengalami kerugian besar kerana membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan perkara bermanfaat.
Masa cukup berharga kepada manusia. Bagi mereka yang mempunyai kerjaya, masa sudah tentu memainkan peranan penting kerana setiap saat yang dilalui, akan ada tugasan dan urusan yang harus diselesaikan mengikut kerjaya masing-masing.

Majikan umpamanya akan menilai keberkesanan tugasan pekerjanya dengan memperuntukkan tempoh dan waktu tertentu untuk mereka menyiapkan sebarang tugasan, apabila ia dapat disiapkan pada masa dan tempoh seperti yang telah ditetapkan, maka pekerja sebeginilah yang benar-benar memahami dan menghayati betapa pentingnya mengikut ketetapan masa.

Islam mengajar manusia cara dan kaedah menjaga dan mengurus masa dengan baik dan berkesan mengikut kehendak syariat. Di antara kaedahnya ialah:

* Membuat perancangan teliti - Setiap pekerjaan sudah pasti akan dilaksanakan mengikut masa tertentu sama ada masa harian, mingguan, bulanan, tahunan dan sebagainya. Justeru itu, penjadualan adalah sesuatu yang mustahak.
Jadual hendaklah disediakan dengan kemas dan rapi bagi mengelakkan berlakunya sebarang pembaziran masa. Tempoh penyiapan masa sesuatu kerja hendaklah ditetapkan tempoh tertentu bagi menentukan proses penyiapannya, untuk mengelakkan ia menjadi kerja tertangguh dan tidak sistematik.

Nabi Allah Ibrahim sendiri umpamanya menyediakan jadual khusus dalam waktu hidupnya seharian sebagaimana berikut:
  • Waktu untuk bermunajat (berzikir) kepada Allah.
  • Waktu untuk bermuhasabah mengenai diri sendiri.
  • Waktu untuk berfikir mengenai ciptaan Allah.
  • Waktu untuk keperluan hidupnya seperti makan dan minum.
* Sentiasa menepati masa – Sebagai umat Islam yang sentiasa inginkan kemajuan diri sendiri, masyarakat, bangsa dan negara, maka hendaklah menjadi orang yang sentiasa menepati masa sebagaimana ditetapkan untuk mengelak daripada timbulnya hal negatif yang lain akibat daripada kecuaian kita mematuhi ketepatan masa. Sebuah kata-kata hikmat menyatakan: ‘Jangan tangguh kerja hari ini sehingga hari esok’.

* Jangan membazir masa – Orang yang benar-benar menghargai masa sentiasa memenuhi masa hidupnya dengan melakukan perkara bermanfaat untuk dirinya dan orang lain dengan mengelakkan diri daripada terbabit dengan pekerjaan makruh, apatah lagi yang haram dan maksiat.

* Menjaga kualiti masa – Kualiti masa bagi seseorang tentunya berbeza-beza mengikut keupayaan, persepsi dan kemampuannya mengisi masa dalam kehidupan seharian. Namun begitu Islam menyusunnya mengikut batas tertentu yang pasti sesuai dan perlu diambil perhatian semua umat muslimin.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: ‘Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa mudamu sebelum tua, masa senangmu sebelum susah dan masa hidupmu sebelum mati.’

* Berlumba-lumba meningkatkan kualiti dan produktiviti. Berdasarkan hadis di atas juga maka manusia amat dituntut untuk menghasilkan sesuatu bermutu apabila sudah nekad melakukan sesuatu tugasan pada masa hidup, senang, sihat dan dalam usia muda dengan tenaga yang masih kuat, maka berusahalah untuk menghasilkan sesuatu natijah atau hasil yang benar-benar mampu untuk dibangga oleh orang lain.

Firman Allah dalam surah al-Maidah bermaksud: ‘Hendaklah kamu berlumba-lumba melakukan kebaikan.’ Rasulullah SAW pula bersabda: ‘Sesungguhnya Allah kasih kepada seseorang di antara kamu apabila bekerja sentiasa meningkatkan mutu kerjayanya.’

* Beristiqamah dalam melakukan kerja – Kekuatan untuk mengekalkan semangat dan usaha untuk beristiqamah apabila diberi tugasan untuk melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri atau dengan arahan dan menganggap apa yang sedang dilakukan itu adalah ibadat kepada Allah Taala. Firman Allah dalam surah al-Syirhi bermaksud: “Maka apabila kamu selesai (daripada sesuatu urusan), kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh (urusan) lain. Dan hanya kepada Tuhan-Mu hendaknya kamu berharap.”

* Martabat manusia dinilai dengan masa – sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik manusia yang panjang umurnya dan baik pula pekerjaannya, manakala sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya tetapi buruk pula amalannya”

Thursday, March 15, 2012

TERAPI DENGAN UMRAH BERSAMA HAJI LOKMAN (2)


”Dan Kami turunkan dari Al Quran (sesuatu yang menjadi penawar) dan rahmat bagi orang yang beriman (Al Isra; 82)
”Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.” (Asy Syu’ara :80.

”Berubatlah kalian wahai hamba Allah sebab sungguh Allah tidak menurunkan  (suatu) penyakit kecuali Dia juga menjadikan ubat (penawar) baginya. (Hadis riwayat Abu Daud An Nasai, At Tirmidzi dan Ibnu Majah diriwayatkan dari Usamah bin Syuraik.)

Ada beberapa ahli rombongan kami yang merupakan pesakit kanser ’stage 4”, stroke, gangguan, masalah kesuburan, tekanan, masaalah keluarga dan  beberapa jenis penyakit  kronik.

Alhamdulillah, bila berada di tanah suci Madinah dan Mekah, keberkatan tanah suci tersebut merupakan sebahagian besar daripada penyembuhan yang Allah sediakan. Tambahan pula tempat suci, doa mudah di makbulkan, ada beberapa tempat yang menjadi rebutan para pengunjung untuk berdoa dan solat hajat seperti di Raudah, depan Makam Rasululllah saw, di hadapan Kaabah, dalam Masjidil Haram, di hadapan pintu Kaabah dan banyak lagi tempat yang mustajab untuk berdoa.

Maanakala air yang terbaik di dunia yang disediakan oleh Allah ada di Madinah dan Mekah iaitu air zam-zam, sesuai dengan satu kisah oleh Ad Daruudqudhni dan Hakim meriwayatkan dari hadis Ibnu Abbas bahawa Rasulullah saw bersabda;

”Air zan-zam bermanfaat sesuai dengan niat orang yang meminumnya. Bila kamu meminumnya (dengan  niat) untuk mencari kesembuhan, Allah akan menyembuhkannya. Bila kamu meminumnya (dengan niat) agar kamu kenyang, Allah akan membuatkanmu kenyang . Dan bila engkau minum (dengan niat) untuk menghilangkan dahaga, Allah pun akan menghilangkan dahagamu. Ia adalah hentakan sayap malaikat Jibril dan air minum Nabi Ismail”.

Al Hakim menambah apabila beliau minum air zam-zam beliau berdoa ”Ya Allah sungguh aku memohon kepadamu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang lapang dan kesembuhan daripada segala penyakit”.

Semua keistemewaan ini mampu menjadi penyembuh segala aneka penyakit. Yang pastinya Allahlah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Seperti yang dipesan oleh Tuan Haji Lokman sewaktu malam akhir sebelum kami berangkat balik. Dalam sesi penilaian umrah, beliau menyatakan bahawa kaedah yang beliau gunakan adalah mudah iaitu melalui DOA dan Baca Quran. Pesakit perlu menumpukan seluruh perhatian (fokus) kepada permohonan atau doa kepada Allah swt. Kerana Allah yang memberi penyakit dan Allahlah yang menyembuhkannya. Yang pentingnya pesakit perlu menggantungkan harapan 100% kepada pertolongan Allah, bukan, pertolongan lain.

 Apabila bersama ahli rombongan umrah ini, saya rasa terharu dan bersyukur kepada Allah kerana Allah tidak menguji saya seberat pesakit yang bersama dalam rombongan ini. Di sini saya ketemu dengan  suami yang begitu prihatin terhadap isteri yang mengidap kanser, penyabar, bertanggungjawab, sanggup menerima leteran dan rengusan sang isteri yang kurang sihat. Terpaksa menolak kerusi roda setiap waktu ke masjid. Begitu juga sewaktu menunaikan umrah. Betapa sabarnya suami yang prihatin. Ada juga anak yang terpaksa berkorban perasaan demi menjaga hati ibu. Anak yang merindui kasih seorang ayah yang prihatin. Semuanya terdapat dalam rombongan kami.

Ini semua saya temui sewaktu sesi rawatan di hotel di Madinah, sempat juga memberi kaunseling keluarga kepada yang sakit serta berkonflik dalam keluarga. Subhanallah. Sambil ketawa Haji Lokman mengajak saya untuk berkerja di Klinik Hidayah Kuala Lumpur untuk mengendalikan keluarga yang perlukan kaunseling keluarga. Saya ketawa, kerana belum bersedia lagi.

Bila menyentuh soal penyakit, boleh jadi penyakit sebagai ujian dan cubaan bagi seseroang. Untuk menguji sejauhmana keyakinan, keredhaan. kesabaran  dan kesanggupan dalam menerima hal-hal yang tidak disukainya.

Boleh jadi penyakit itu diturunkan untuk menyucikan diri kita daripada  dosa-dosa, sebagaimana disebutkan dalan sebuah atsar ”Sesungguhnya  apabila Allah mencintai seorang  hamba, Dia pasti mengujinya sampai ia (hamba) menemuiNya tanpa membawa suatu kesalahan.”

Boleh jadi juga penyakit itu sebagai tambahan pahala baginya dan darjatnyanya akan diangkat bila dia bersabar dan redha menerima ujian. Ia akan memperolehi pahala yang tidak terhingga dari sisi Allah.

Wednesday, March 14, 2012

TERAPI DENGAN UMRAH BERSAMA HAJI LOKMAN



Alhamdulillah, petang ini saya selamat sampai di Kuala Ibai dengan Mara Liner. Berhenti depan Masjid Terapung. Isteri tercinta datang mengambil saya.

Syukur kepada Allah, setelah dijemput oleh Allah ke Baitullah selama 13 hari 12 malam, saya di hantar pulang oleh Allah dengan selamat. Nikmat mana lagi yang saya nak nafikan. Tidak terlintas difikiran saya, sebelum ini saya akan ke Mekah pada awal tahun ini. Sebabnya pada tahun lepas, dah dua kali saya pergi umrah.

Benarlah kata Allah, jika Aku(Allah)  kata jadi, jadilah. Ada orang dah naik kapal terbang di KLIA, dah nak terbang, tiba-tiba berlaku kerosakan pada kapal terbang, sebahagian penumpang diminta secara sukarela turun, kerana kapal terbang mengalami masalah teknikal. Hampir 38 orang penumpang terpaksa naik kapal terbang lain. Ini diceritakan sendiri oleh seorang ahli rombongan umrah yang saya temui di hotel di Mekah. Beliau menceritakan peristiwa tersebut.

Saya yakin, jika Allah takdirkan sesuatu, pasti berlaku, samaada kita suka atau tak suka, samada kita rancang atau tak rancang, samaada kita bersedia atau tidak bersedia. Allah Yang Maha Berkuasa. Kun Fa Yakun !

Rombongan kami terdiri daripada 44 orang ahli jemaah, tiga orang berkerusi roda. Tuan Haji Lokman Abd Hamid, pengasas Pusat Rawatan Al Hidayah, mengetuai rombongan tersebut, saya selaku pembantu beliau. Walaupun baru dua minggu beliau menjalani pembedahan di bahagian lutut, tetapi semangat dan keinginan beliau untuk menziarahi Madinah dan Mekah, tidak menghalang beliau turut serta.

Terapi melalui umrah ini merupakan sesi kedua, selepas dilaksanakan pada tahun lepas dalam bulan Jun. Saya pun turut serta pada tahun lepas dengan peserta hampir 90 orang. Alhamdulillah, apa yang dirancang oleh Hají Lokman dapat dilaksanakan. Dengan bantuan Mahathir (kaki tangan Klinik Al Hidayah), sesi rawatan dibuat dua kali di hotel di Madinah, kemudian empat kali rawatan dilaksanakan di Mekah. Dua kali di hotel dan dua kali di Dataran berhadapan Kaabah. Sungguh luar biasa.Selesai sahaja rawatan di hadapan Kaabah, pesakit dibawa tawaf sunat yang dipimpin sendiri oleh Tuan Haji Lokman. Kami berserta pesakit sempat berdoa dihadapan pintu kaabah, kemudian solat hajat di dalam kawasan Hijir Ismail.

Tiada kata, tiada ucapan, tiada ungkapan yang mampu diucapkan, hanyalah rasa bersyukur, bertuah kerana ramai di kalangan kami, sebelum ini,  tidak  berani untuk rapat berhampiran pintu kaabah (Multazam).Tetapi pada malam rawatan di dataran perkara ini dapat dilakukan dengan bimbingan dan pimpinan Tuan Haji Lokman. Seorang Datin ahli rombongan kami melahirkan rasa terharu kerana beliau telah lebih sepuluh kali mengerjakan umrah tetapi tak pernah berani untuk rapat ke depan pintu kaabah, dan pada malam itu beliau mampu solat hampir dengan pintu kaabah. Alhamdulillah.

Kita sambung lagi, mata dah mengantuk ni,..