Wednesday, May 2, 2012

Ziarah Orang Sakit

Semalam petang saya ke tingkat 7 Hospital Kuala Terengganu menziarahi rakan sekerja dan ahli jemaah masjid Terapung, Tuan Haji Salleh Ibrahim. Beliau dimasukkan ke hospital hampir seminggu kerana masalah denyutan jantung yang terlalu perlahan.

Alhamdulillah sewaktu bertemu semalam keadaannya sihat dan boleh berbual dengan rancak. Katanya, esok beliau akan dibedah untuk proses memasukkan bateri ke dalam tubuhnya bagi membantu menstabilkan perjalanan jantung beliau. Sewaktu saya menulis ini mungkin beliau sedang dibedah ataupun mungkin telah selesai. Mengikut katanya proses pembedahan itu memakan masa selama dua jam sahaja. Mudah-mudahan Allah selamatkan beliau menjalani pembedahan.

Tahu tak berapa kos bateri tersebut ? ............. RM 22.000.00. Cuma untungnya beliau ialah bekas kakitangan kerajaan dan segala kos itu akan dibiayai oleh kerajaan. Cuma perlu dahulukan duit sendiri untuk mempercepatkan proses pembedahan. Pembedahan itu akan dijalankan di Hospital NUr Zahirah Kuala Terengganu. (Hebat Terengganu kita).

Dalam dua tiga bulan ini saya telah beberapa kali ke hospital, menziarahi rakan dan taulan yang sedang menjalani rawatan. Alhamdulillah, bila menziarahi rakan-rakan yang terlantar di hosital, sedikit sebanyak menimbulkan rasa keinsafan betapa beruntungnya saya, dan amat-amat bersyukur kerana Allah tidak menguji saya dengan penyakit yang seberat ditanggung oleh orang lain.

Baru-baru ini bekas guru saya, sewaktu berada dalam majlis persaraan rakan sejawat saya Tuan Haji Yusof Karim di SKSS1, beliau heran kerana katanya, saya kelihatan muda setelah bersara. Bukan main senyum lebar saya, tetapi dalam hati rasa bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan kesihatan kepada saya. Beliau betranyakan apa resepinya. Saya kata tiada resepi, tetapi mungkin kerana banyak rehat, tak banyak perkara hendak difikirkan,  ada masa untuk cycling, tanggungjawab memikul amanah sekolah telah tiada lagi, dan banyak baca al Quran mungkin itulah agaknya resepinya. Tetapi yang saya rasa bersyukur dan yakin ialah kesihatan kita ini adalah rezeki yang Allah kurnia. Jika Dia (Allah) hendak tarik balik, dalam sekelip mata, kita boleh jatuh sakit.

Saya terfikir juga, bagi orang yang ada kemampuan darisegi kewangan, mungkin masalah menukar bateri jantung, atau apa sahaja kos perubatan, mereka boleh hadapi dan selesaikan. Tapi apa agaknya yang mampu dilakukan oleh mereka yang tiada pendapatan tetap, bukan kakitangan tangan kerajaan atau swasta, macam mana mereka hendak atasi masalah tersebut. 

Itulah hikmah dan kekayaan Allah swt, orang miskin, ikut cara orang miskin, orang kaya pula ikut kemampuan dan cara orang kaya. Munkin sakit orang miskin tak sama dengan sakit orang kaya agaknya.

Walau bagaimanapun saya yakin dan percaya pesan Rasulullah saw, ingat lima perkara sebelum datang lima perkara, hidup sebelum mati, kaya sebelum miskin, senang sebelum susah, muda sebelum tua, sihat sebelum sakit. Sebagai penutup celoteh saya pagi ini, suka saya mencadangkan kepada rakan-rakan yang sedang bertugas ataupun telah bersara ataupun yang terlalu sibuk dengan urusan dunia, peuntukanlah masa anda untuk sentiasa mengingati Allah dalam duduk, dalam berjalan, berjoging ataupun sewaktu terbaring di atas katil hospital atau dimana sahaja kita berada, berzikirlah kepada Allah, bacalah Al Quran, mudah-mudahan segala perkara yang menyebabkan kita tertekan (stress), Allah akan tolong ringankan. Dan untuk tatapan bersama kita renungkan artikel di bawah ini.

Zikir terapi ajaib ubat kegersangan hati, roh insan
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin


ZIKIR mempunyai kedudukan sangat istimewa kerana ibadah ini digalakkan Islam sebagai satu bentuk amal ibadah yang menunjukkan sifat tunduk serta patuh sepenuhnya kepada Allah, disertai pula rasa kasih, reda dan yakin kepada-Nya.

Mukmin yang sentiasa mengamalkan zikir akan dapat merasai kesannya seperti ketenangan jiwa. Firman Allah yang bermaksud: (Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang dan tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Rad, ayat 28)



Dalam kehidupan, kita sering berdepan pelbagai cabaran dan dugaan sehingga ada ketikanya membawa kepada keresahan jiwa. Justeru, dengan sentiasa mengamalkan ibadah zikir, ia ibarat terapi ajaib yang menyembuhkan keresahan jiwa manusia.

Namun, penyerapan roh zikrullah tidak datang kepada pengamalnya jika hati tidak bersama tatkala berzikir. Ketenangan hati orang mukmin terhasil daripada zikrullah adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh hati yang diselaputi kemanisan iman.

Selain itu, mukmin yang sentiasa berzikir akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Ini janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya serta orang perempuan yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar. (Surah al-Ahzaab, ayat 35)

Walaupun zikir amalan yang mudah dilakukan, tetapi menjadi berat untuk dibiasakan. Antara penghalang kepada seseorang untuk membiasakan lidah berzikir ialah disebabkan dosa yang dilakukan.

Apabila daki dosa tertampal pada hati, ia terhijab untuk menggerakkan seseorang berzikir. Faktor lain, seseorang itu dibelenggu sifat mazmumah seperti hasad dengki, suka mengumpat dan sebagainya. Sifat keji seperti ini juga akan menghijab hati untuk berzikir.

Ibnu Taimiyah berkata, keperluan hati terhadap zikir umpama keperluan ikan terhadap air. Cuba bayangkan, bagaimana keadaan ikan jika kita keluarkan dari air.

Al-Imam Syamsuddin Ibnu Qayyim mengatakan: Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.

Demikian penting dan tingginya kedudukan zikir kepada seseorang mukmin. Kita seharusnya berpegang kepada prinsip hidup, tidak sempurna hari tanpa zikir. Inilah yang seharusnya kita didik supaya lidah dan hati sentiasa berzikir kepada Allah.

Ibnu Masud ada mengatakan, sesungguhnya aku bertasbih beberapa kali itu lebih aku sukai daripada aku menderma beberapa dinar dalam jumlah yang sama di jalan Allah. Zikir berkhasiat pula sebagai ubat bagi kekerasan hati.

Dikisahkan bahawa ada seseorang bertanya kepada Hasan al-Basri: Ya Abu Said, aku ingin mengadu kepada tuan, mengapa hati aku ini menjadi keras begini? Lantas kata Hasan: Lunakkanlah hatimu itu dengan zikir.

Kedudukan tinggi amalan berzikir turut digambarkan dalam kisah seorang bertanya kepada Salman al-Farisi: Amal apakah yang paling utama? Kemudian dijawab Salman: Tidakkah engkau pernah membaca ayat, Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaannya) daripada ibadah yang lain. (Surah Al-Ankabut ayat 45)

Abdullah bin Masud pernah berkata: Sesungguhnya sebuah gunung menyeru gunung yang lainnya dengan namanya dan bertanya, apakah hari ini ada orang yang lalui di atasmu dan menyebut Allah (berzikir)? Maka apabila gunung itu menjawab, ya, maka ia akan gembira.

Demikian juga riwayat yang mengatakan Abdullah bin Abbas pernah berkata: Tidak ada sebuah lembah yang di atasnya disebut nama Allah kecuali ia akan merasa bangga atas lembah yang berada di sekelilingnya, ia merasa gembira dengan zikir yang diucapkan itu. Kegembiraan itu juga turut dirasai oleh tujuh lapis di bawah lembah itu.

Begitulah gambaran jelas menunjukkan betapa amalan zikir mempunyai keistimewaan besar yang seharusnya menjadi amalan rebutan setiap mukmin untuk mencapai keredaan Allah dan menikmati ketenangan hidup

Bagaimana Melayari Internet Dengan Kebersamaan Allah

Tulisan Ustaz Dr Fathi Yakan
 
Dr Fathi Yakan adalah seorang ulamak dan pendakwah yang dikenali. Beliau adalah antara pelopor pergerakan Islam dalam tahun 50-an, berkelulusan PhD dalam bidang Bahasa Arab dan Pengajian Islam. Dr Fathi Yakan telah mengarang lebih dari 35 buah buku, sebahagian besarnya telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.

Internet merupakan senjata bermata dua, satu pendekatan yang mempunyai dua wajah yang bertentangan; dalamnya ada unsur peruntuh dan membina, memati dan menghidup, petunjuk hidayah dan godaan. Dan cara bagaimana ia digunakan adalah garis pemisah antara keduannya.

Saya harap tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa internet mempunyai daya tarikan, keberkesanan, mudah dicapai, dilayari dan bersifat interaktif yang menjadikan ia alat terkini dari segi kesan dan ruang cakupan. Ia melitupi bola bumi tanpa sekatan dan tandingan. Ia boleh dijadikan mimbar untuk orang Islam menegakkan hujjah keatas manusia dengan menyebarkan Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada seluruh manusia diseluruh pelusuk alam.

Benarlah seperti firman Allah taala yang bermaksud:
“Supaya tidak menjadi hujjah manusia terhadap Allah selepas kedatangan rasul-rasul.”
  (an Nisa’ 165)

Dan firman maksudnya:
“..dan begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi keatas kamu.”
(al Baqarah 143)

Walaubagaimana pun kita sepatutnya mengetahui bahawa internet dipenuhi dengan segala jenis unsur yang rosak dan merosakkan dan syaitan jin dan manusia memuatkan rangkaian ini dengan berjuta-juta laman yang canggih dan cekap dengan seni mempedaya dan menyesatkan satu perkara yang tidak diterima akal dan sukar digambarkan.

Satu kajian yang disiarkan oleh majalah Time menunjukkan bahawa bilangan laman seks mencecah angka 650 juta laman pada tahun 1998 dan dianggarkan akan sampai 8 bilion pada tahun 2002. Salah satu laman ini memiliki 300,000 gambar lucah dan telah dihantar sebanyak lebih satu bilion kali.

Manakala dari sudut perniagaan, satu kajian menunjukan bahawa sejumlah pembelian bahan lucah melalui internet mencecah 18 bilion dolar. Ini mendorong pengkaji Steve Waters berkata dalam komentarnya terhadap betapa besarnya bencana ini: “biasanya pelayaran internet bermula dengan cuba-cuba, kemudian ia berlarutan menjadi penagihan dan disertai dengan kesudahan yang sangat merbahaya”.

Semua itu perlu diletakkan dalam perkiraan apabila berbicara tentang internet, melayarinya dan berintraksi dengannya.

Sesaorang yang ingin melayari internet wajar membersihkan niat dengan betul dengan menetapkan terlebih dahulu tujuan sebelum memasukinya.

Mereka yang melayari internet sebagai alat untuk berhibur akan lupa diri dan tanpa disedari terheret ke pada kamatianya dalam keadaan ia tidak menyedarinya.

Kemudian duduk dihadapan internet dalam tempoh yang lama akan mensia-siakan pusingan hidup seluruhnya. Mereka akan mengabaikan tugas dan tuntutan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Inilah kerugian yang nyata.
 
Disamping ia juga akan menyebabkan kehilangan daya tumpuan dan menyebabkan akal bercelaru. Adapun apabila kita melayari gelombang internet yang ganas dalam laut yang gelap dan dalam keadaan ditemani Allah bererti kita hidup dengan kebersamaan ini dalam setiap suasana, urusan, kondisi dan setiap masa.

Rasa kebersamaan ini bukan suatu yang boleh dipinjam-pinjam atau direka-reka… kerana itu, ia bukan datang dan pergi sebaliknya satu keadaan yang tetap terus berkembang tanpa kurang atau surut.

Merealisasikan kebersamaan ini seseorang perlu mengekang nafsunya daripada hawa dan penyesatannya. Hawa harus ditolak dan nafsu sepatutnya dibimbing untuk menaiki tangga kesempurnaan, meninggalkan kealpaan, mengalahkan waswas dan mengatasi ajakan-ajakan syahwat. Kemudian dengan memelihara keberterusan “muraqabah” dan “muhasabah” serta mengekang nafsu dengan keazaman dan dipaksa dengan pekerti dan akhlak yang mulia, apa lagi dizaman yang penuh dengan fitnah dan keajaiban ini.

Seperti yang pernah diberi amaran dan ingatan oleh Rasulullah s.a.w secara khusus mengenai zaman tersebut di mana orang yang siuman menjadi bingun, perkara makruf menjadi mungkar dan mungkar menjadi makruf sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan malam yang gelap, fitnah seperti kepulan asap, dalam situasi itu hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka, mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi antara mereka ada puak yang menjual akhlak dan agama mereka dengan habuan dunia.”
(hadis riwayat Ahmad)

Kita berdoa kepada Allah supaya memberikan kita kesihatan dan berterusan dalam keadaan afiat serta bersyukur dengan afiat tersebut. Kita mohon dari Allah kebaikan masa dan kebaikan mereka yang hidup pada zaman ini. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan zaman dan kejahatan mereka yang hidup pada zaman ini. Allah maafkanlah kami, ampunkanlah kami, perelokkan kesudahan kami dan pastikan pada waktu kematian kami, kami sedang melakukan kebaikan dan amal soleh.
Amin ya Rabba al-Alamin.
Sumber: www.haluan.org.my

Tuesday, May 1, 2012

Nada Ash-Shubhi

Merekalah Mutiara di Dunia

Oleh: Nada Ash-Shubhi
Kirim Print
dakwatuna.com – Anak adalah metamorfosis dari darah dan daging sang ibu, yang lahir dari sebuah kesepakatan. Cinta ini adalah campuran darah dan ruh. Ketika seorang ibu menatap anaknya yang sedang tertidur lelap, ia akan berkata di akar hatinya: itu darahnya, itu ruhnya! Tapi ketika ia memandang anaknya sedang merangkak dan belajar berjalan, ia akan berkata di dasar jiwanya: itu hidupnya, itu harapannya, itu masa depannya! Itu silsilah yang menyambung kehadirannya sebagai peserta alam raya.” (Anis Matta)

Saat dua insan yang telah Allah tentukan untuk menjadi satu, maka saat itu pula kehidupan demi kehidupan terlahir. Membuat kesepakatan untuk membangun peradaban bersama-sama. Menghimpun jiwa yang terpisah menjadi satu keluarga utuh. Orang tua yang kita kenal dengan kata ayah dan ibu. Merupakan metamorfosa dari generasi ke generasi yang melahirkan generasi selanjutnya. Ayah dari ayahnya dan ibu dari ibunya, anak dari orang tuanya dan orang tua dari anaknya. Ada kedudukan yang sangat besar dan mulia yang Allah berikan kepada keduanya.

“Dan hendaklah berbuat baik kepada ibu-bapak. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah “wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil” (QS. Al Isra: 23-24)

Teringat sebuah kisah tentang sepohon apel dan seorang anak yang setiap hari mereka menghabiskan waktu untuk bermain bersama. Saat itu anak itu masih sangat lucu-lucunya dan senang akan tantangan. Kemudian anak kecil itu bermain dengan sepohon apel. 

Waktu demi waktu mereka lalui hingga suatu ketika anak itu tumbuh menjadi seorang anak dewasa. Anak itu kemudian menghilang dari pandangan pohon apel, pohon apel merasa merindukan anak itu. Lambat laun anak itu kembali ke sana, pohon itu merasa senang “ayo kita bermain lagi” ucap si pohon. “aku sedang sedih” sahut si anak dewasa itu dengan muka murung. “aku sedang membutuhkan uang. Kemudian si pohon apel menjawab “saya tidak punya uang, tapi kamu bisa ambil semua buah apelku dan kamu jual, itu akan memberikan kamu uang. “benarkah?” si anak dewasa itu menyahut dengan girang. Kemudian si anak itupun memetik buah-buah apel yang ada. Semenjak itu anak tadi menghilang kembali dari pandangan si pohon apel. Pohon apel merasa sedih kembali. 

Beberapa waktu anak itu kembali datang dengan keluhan yang berbeda yaitu dia ingin membuat rumah, hingga singkat cerita si pohon apel mempersilakan si anak untuk menebang dahan dan batangnya untuk dibuatkan rumah. Pun hal sama dilakukan si anak, setelah mendapatkan yang diinginkan ia pergi dan menghilang. Akan tetapi ia selalu datang kembali ke pohon apel, hingga ia menebang batangnya yang tersisa untuk membuat perahu pelayaran. Pergi dan datang seiringan waktu hingga ia merasa lelah dan tua. Datang kepada pohon apel. Sambil berkata “saya sudah tua dan ingin beristirahat”. Si pohon apel pun yang tersisa akarnya itu mempersilakan anak tadi istirahat di akarnya.

Kisah ini ibarat orang tua kita yang tidak pernah mengeluhkan kondisinya untuk kebahagiaan dan kebutuhan sang anak, bahkan mereka rela dirinya harus mengorbankan apa yang mereka punya. Hingga waktu mempersilakan untuk beristirahat. Sangat sedih sekali sekiranya kita hanya menjadikan orang tua kita sebagai alat pemenuh kebutuhan saja, saat butuh kita datang dan saat tidak terlalu butuh kita pergi. Mari kita jaga orang tua kita. Karena sungguh syurga itu ada di telapak kaki orang tua (ibu).

Wallahu’alam

Sumber: http://www.dakwatuna.com/2012/05/20086/merekalah-mutiara-di-dunia/#ixzz1tdD4WIVC

Sunday, April 29, 2012

ABIM UCAP TAHNIAH KEJAYAAN BERSIH 3.0

Harakahdaily, 29 Apr 2012

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengucapkan tahniah di atas kejayaan rakyat Malaysia menganjurkan perhimpunan Berrsih 3.0 semalam.

Menilai kepada jumlah kehadiran orang di samping rangkaian protes serupa yang dianjurkan di seluruh dunia, Abim beranggapan ia memberikan isyarat jelas bahawa rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa yang mahukan sistem pilihanraya yang telus serta tidak diragui integritinya diamalkan di negara yang tercinta ini.

Demikian kata Amidi Abdul Manan, Presiden Abim dalam satu kenyataannya selepas perhimpunan Bersih 3.0 semalam.

Dalam hal ini, katanya, Abim mengimbau semula pelbagai rungutan serta kekhuatiran yang diutarakan oleh rakyat berhubung dengan isu ini, seperti kewujudan nama pengundi yang meragukan (pengundi hantu), integriti saluran undi POS, akses saksama kepada media untuk semua parti politik, dan integriti serta kedudukan institusi-institusi awam selaku badan yang bebas dari pengaruh partisan mana-mana kelompok politik di samping amalan politik kotor dan rasuah yang sering diperkatakan di peringkat akar umbi.
"Semoga penganjuran perhimpunan aman ini akan menggerakkan perubahan drastic serta agresif dan komprehensif terhadap tatacara pengendalian pilihanraya yang telus serta tidak diragui integritinya.


"Sesungguhnya penglibatan serta pandangan yang dikemukakan  oleh rakyat adalah bukti kematangan masyarakat sivil wujud di negara ini, dan sekaligus merupakan bench mark utama terhadap kualiti sumber daya insan yang ada di negara ini," kata beliau dalam kenyataannya.

Menurut beliau, dari konteks umat Islam selaku teras peneraju politik di negara ini, Islam menganjurkan integriti serta ketelusan merupakan esensi penting yang ditekankan dalam kehidupan seseorang Muslim.

"Islam menganjurkan setiap amalan serta pekerjaan dilaksanakan dengan jujur serta ikhlas untuk imbalan berbentuk keberkatan serta keredhaan dari Allah s.w.t.

"Keberkatan serta keredhaan dari Allah s.w.t hanya boleh dicapai seandainya teras utama ajaran Islam yang menganjurkan amanah, keikhlasan serta kejujuran  diamalkan di pelbagai peringkat," tegas beliau.

Bagi beliau, kemuafakatan atau konsensus  dalam Islam boleh dirangka melalui kepelbagaian pandangan dan pendapat yang diuruskan dengan hikmah serta harmoni.

Pengendalian pilihanraya yang telus serta tidak diragui integriti tatacara penganjurannya merupakan esensi penting untuk mendapatkan permuafakatan serta konsensus secara berkat serta diredhai Allah yang akan meresap jauh dalam denyut nadi serta amalan rakyat. Natijahnya, pembentukan Negara Barakah yang merangkumi esensi keberkatan dan keredhaan illahi dapat direalisasikan.

"Di akhir kalam ini, Abim ingin merakamkan ucapan tahniah atas partisipasi rakyat Malaysia dalam perhimpunan aman Bersih 3.0 ini," katanya

Friday, April 27, 2012

Bersih 3.0: Cerita yang mesti dibaca

Tuan Ibrahim Tuan Man, 27 Apr 2012


Ini hanya cerita rekaan....

Situasi 1:


Ada sebuah rumah terbakar. Rumah terbakar tu ada manusia. Tidak pasti agamanya apa, amalannya apa, bangsanya apa.

Seorang bukan Islam bergegas cuba menyelamatkan mereka dan memadam api. Dia menjerit-jerit suruh orang ramai datang bersama selamatkan orang. Orang ramai pun datang, dia bagaikan ketua, sambil mengarah dan merisikokan nyawa utk menyelamatkan mereka yang terperangkap.

Tiba-tiba ada seorang Muslim yang berfahaman asabiah datang :


"Mengapa kamu semua terlibat dalam misi menyelamat yang diketuai oleh seorang yang minum arak? Tahukah siapa yang kamu hendak selamatkan? Mereka mungkin bukan orang kita...."

Seorang yang Muslim yang faham agama berkata :


"Selamatkan orang dulu. Manusia yang terperangkap itu ciptaan Allah juga. Matlamat kita membantu di sini untuk menyelamatkan nyawa, bukan bersama untuk menyokong orang minum arak? Apa gunanya orang yang tidak minum arak tapi tidak tahu membantu orang yang dalam kesusahan?”


Situasi 2:


Ada satu perlawanan bola, antara dua pasukan, team A dan team B. Team A adalah campuran antara orang Islam (majoriti) dan bukan Islam. Team B adalah orang Islam.

Selama 4 dekad, team A yang kaya dan selalu menang - walaupun diketuai orang Islam, mereka sanggup menang dengan cara merasuah pengadil, menindas team B dengan menghalang peruntukan yang sepatutnya sampai ke team B, yang semuanya Islam.

Walaupun tewas, miskin, team B tetap wujud tetap melawan team A.

Selama ini, penonton ditindas kerana membeli tiket menyaksikan perlawanan bola sepak berat sebelah yang memihak pada team A.

Team B sedar, bahawa ia perlukan bantuan utk menewaskan team A yang bermain secara kotor. Team B mula bergabung dengan pihak lain termasuk bukan Islam dan bekas pemain team A yang turut inginkan satu perlawanan yang adil untuk melawan team A.

Team A mula mengalami kekalahan, dulu daripada 14 perlawanan, team A tewas satu. Kini, team A kalah 5 daripada 14 perlawanan kpd team B walaupun dengan penipuan.

Orang yang berfahaman asabiah penyokong team A berkata:

"Mengapa team B sanggup bekerjasama dengan orang bukan Islam utk mengalahkan team A yang diketuai orang Islam. Mengapa team B tak nak bekerjasama dengan team A? Jika team B bekerjasama dengan team A, makan orang bukan Islam dalam team B tak boleh menang."

Orang ini terlupa bahawa walhal dalam team A, selama 4 dekad, mereka bekerjasama dengan orang bukan Islam untuk menang team B dengan cara kotor.

Orang yang betul memahami agama pula berkata:

"Kita bekerjasama atas sifat tahaluf siyasi - utk menentang ketidakadilan, ketidaksamaan dan kezaliman team A utk kekal kemenangan. Penonton selama ini ditindas, kerana mereka sebagai pembeli tiket tidak dapat menyaksikan satu pertandingan adil selama ini. Bukan soal menang atau kalah, soalnya ialah penonton mesti dapat melihat dua pasukan yang sama kuat bersaing dengan adil utk memajukan sukan bola utk negara.

Masa team A menang 4 dekad, tak terfikir pun nak bergabung dengan team B. Bergabung antara team A dan team B pula tidak betul, kerana team B yang mempertahankan prinsip keadilan selama ini akan bersekongkol dengan team A yang ingin menang dengan cara yang kotor. Takkan team B nak bersekongkol dengan orang yang menindas. Bila team A mula menang balik, apakah mereka masih perlukan team B?

Team B hanyalah sekadar utk menghilangkan saingan pd team A supaya team A boleh kekal juara."

Kini, wujud pula satu kumpulan C, yang cuba menghalau pengadil yang dibeli. Seperti situasi 1, team A yang ingin mempertahankan pengadilnya, menuduh team B bersekongkol dengan team C yang diketuai bangsa dan amalan berlainan utk menindas team A.

Bagaimanakah misi menukarkan pengadil, memastikan perlawanan bola lebih adil boleh dilihat sebagai satu tindakan menindas dan mencabar team A?

----------------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat

Thursday, April 26, 2012


Mendisiplinkan amal buat insan
CIKGU SIDEK BABA
 
26 April 2012

Disiplin amal buat mempunyai kaitan apa yang ada dalam fikiran dan hati. Sekiranya faktor hati bercanggah dengan faktor fikir amalan menjadi pincang. Oleh itu amat penting faktor fikir dan zikir menemui titik temu serasi supaya pemikiran yang lahir, jelas dan berwibawa. Darinya memandu amal buat yang baik dan menjadi sumber contoh.

Sumber contoh adalah sesuatu yang penting bagi kehidupan manusia. Manusia memiliki kualiti manusiawi untuk dicontohi dan mencontohi orang lain. Seorang ibu dan bapa sering dijadikan contoh oleh anak-anak pada awal umur. Di sekolah guru-guru dirujuk sebagai sumber contoh. Contoh baik menyebabkan anak-anak membentuk watak yang baik apabila remaja dan dewasa nanti.

Contoh dalam bentuk amal buat adalah sesuatu yang boleh memberi kesan kepada anak-anak. Amal buat adalah cerminan watak dan tabiat seseorang. Sekiranya ada kejernihan pada fikir dan zikir serta ada kemurnian pada hati dan jiwa, selalunya ia memberikan cerminan telus pada orang lain.

Tradisi Islam, qudwah atau contoh teladan itu menjadi sesuatu yang amat utama dalam proses mendidik seseorang. Rasulullah SAW umpamanya memiliki qudwah hasanah atau pekerti terbaik dan mengalami tarbiah Rabbaniyyah atau asuhan Ilahi menerusi petunjuk dan pedoman al-Quran sehingga akhlak Nabi dihubungkan sebagai akhlak al-Quran oleh isterinya Aishah.

Baik percakapan Nabi, perbuatan, amalan, dakwah dan jihad Nabi tercermin dalam Sunnah dan Sirahnya. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran yang terkait dengan aqidah, ibadah, syariah dan akhlak umpamanya menjadi sumber rujukan dan amalan umat Islam.

Tetapi tidak semua orang bernasib baik menerima asuhan dan didikan terbaik daripada ibu bapa, guru-guru mahupun pemimpin dalam masyarakat. Apabila asuhan dan didikan yang baik tidak berlaku, terjadilah kepincangan terhadap amal buat manusia. Ramai kedapatan manusia sedar di pertengahan usia hidupnya atau di hujung jalan hidupnya atau tidak menerima langsung contoh kebaikan lalu tersesat sepanjang hidupnya.

Amat penting proses didik berlaku sejak dalam perut ibu lagi, lahir hari pertama diazan dan diqamahkan, sampai ke tahap mumaiyiz hingga ke akil baligh merupakan tahap kritikal dalam kehidupan seseorang. Jika pengisian dan pengalaman yang fitrah diberi, anak-anak bakal menjadi remaja dan dewasa berwibawa, ibarat ikan di air masin. Semasin mana sekitarnya, dagingnya tetap tawar. Anak ini bakal subur dan teguh dengan jati diri yang baik.

Ada kalangan umat, produktiviti rohaniahnya tinggi; solat, qiyam dan tahajudnya hebat, tetapi kehebatan itu tidak terpancar dalam amal buat dan disiplin bekerjanya. Agama yang dilihat secara spiritual bukannya amal buat yang baik dalam kehidupan. Akhirnya produktiviti amaliah menjadi rendah.

Seorang sarjana Islam terkenal dari Mesir - Muhammad Abduh ketika melawat Perancis suatu ketika dulu berasa amat kagum dengan etika dan budaya orang-orang Perancis yang berdisiplin, menghormati waktu, suka berbincang, menjaga kebersihan, melakukan penyelidikan dan menghasilkan karya-karya.

Sekembalinya ke Kaherah, Mesir beliau membuat kenyataan begini, aku melihat terdapatnya amal Islam di Perancis walaupun tidak terlihat orang-orang Islam di sana. Aku mendapati ramai orang Islam di sini, tetapi tidak melihat amal Islami berlaku di sini.

Menariknya kenyataan ini ialah orang-orang Perancis melaksanakan amal buat Islami dalam cara hidupnya, tetapi orang-orang Islam di Mesir yang tahu Islam tidak mengamalkannya dalam budaya hidup. Hal ini berlaku di mana-mana dalam bumi Islam kini. Umatnya berpecah dan saling bercanggah. Hanya nampak kesalahan orang lain, tetapi tidak menyedari dirinya tidak menyumbang apa-apa untuk Islam. Islam hanya dilihat secara slogan tetapi tidak mampu berfikir dan bertindak strategik untuk meleraikan masalah.

Sering nostalgik tentang kejayaan silam Islam tetapi tidak reflektif terhadap membangun agenda masa kini dan masa depan. Ini menyebabkan satu sisi mempunyai cita-cita besar untuk Islam dan dalam sisi yang lain selesa sebagai pengguna kepada kekuatan orang lain.

Oleh itu amat penting amal buat umat Islam tidak saja rohaniah sifatnya, tetapi amaliah bentuknya. Gandingan kekuatan iman dan ilmu dengan perancangan strategik yang mampu mengimbangi idealisme dan realiti, bakal memberi jawapan terhadap amal buat Islami yang mampu merubah zaman dan menghadapi cabaran lingkungan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Monday, April 23, 2012


Sesiapa yang inginkan kemenangan dunia dan akhirat, janganlah dibiarkan masa berlalu dengan penuh kerugian. Jadikan setiap nafasmu nafas ibadah.

Wahai saudaraku,
 
Setelah engkau memiliki ilmu tiadalah lagi perkara yang penting melainkan beramal dengan ilmu, berilmu tanpa amal adalah binasa. Janganlah engkau berpaling lagi ke belakang, terus sucikan dirimu untuk menghampiri Tuhanmu sehingga terbuka cahaya hatimu dengan ilmu terus dariNya tanpa perantaraan. Hatimu akan bersinar dengan cahaya makrifat dan engkau memiliki harta yang amat bernilai, harta yang tiada dijual dimaya ini, tiada dimiliki oleh para jutawan dan para raja, harta yang menyebabkan engkau sentiasa tenang dan tiada mengharapkan apa bantuan dari sekelilingmu. Engkau akan diangkat menjadi kekasihNya sehinga segala hajatmu akan dipenuhi, engkau akan dijagaNya sehingga sesesiapa yang menyakitimu akan diisytihar perang ke atasnya. Tiadalah kejayaan yang hakiki melainkan berada dalam taman keredhaan takdirNya, hati yang terang menatap rahsiaNya, hati yang asyik dengan Asma’Nya, hati yang fana dengan kewujudanNya.

Wahai saudaraku,

Apabila engkau benar-benar beramal dan bersungguh bermujahadah dengan penuh keikhlasan, engkau akan dikasihiNya sehingga akan dilimpahkan ke dalam hatimu rahsia di sebalik rahsia. Engkau akan diperlihat hakikat di sebalik syariat, engkau mengenal dirimu dengan pengenalan yang hakiki, bukan diatas hafalan ilmu semata-mata tetapi dengan dzauk dan Penglihatan. Hatimu diberiNya Nur sehingga dengan Nur tersebut akan dapat menyaksikan Rahsia DiriNya. Engkau mencapai makrifat denganNya bukan dengan Guru manusia, Dia sendiri yang akan membisikkan pada sirrmu bahawa “ANA AL-HAQ”, maka tenggelamlah engkau dalam makrifat sehingga engkau tiada melihat tiada segala sesuatu melainkan Ia. Engkau akan melihat bahawa tiada suatu gerak melainkan gerak dariNya, tiada suatu yang maujud melainkan disana ada wujudNya, engkau akan memahami firmanNya; “Di mana kamu hadap disitulah wajah Allah”, “Wahai manusia, sesungguhnya kamu adalah fakir disisi Allah”, “Di mana kamu berada disitulah Ia berada” dengan kefahaman yang tiada dimiliki oleh orang biasa.

Tafsiran syariat adalah pembukaan sedangkan pentafsiran hakikat dengan dzauk dan pandangan. Tiada akan sama seorang yang melihat permukaan laut dengan mereka yang menyelam ke dasar laut. Tiada sama mereka yang mengenal diriNya pada permukaan zahir dengan mereka yang menyelam ke dalam lautan rahsia diri. Tiada akan sama dengan seorang yang belajar mengenal Tuhan dengan Guru manusia dengan mereka yang mengenal Tuhan dengan Tuhan sendiri. Tiada akan sama mereka yang mengucap La ilaha illaLlah di alam syariat dengan mereka yang mengucapnya di alam hakikat. Tidak akan sama huruf, kalimah dan bunyinya pada alam syariat dengan alam hakikat, tiada akan sama kenikmatan atau kepedihan di alam nyata ini dengan alam hakikat, tiada akan sama orang yang mati hatinya dengan orang yang hatinya sentiasa hidup dan asyik dengan Tuhan dan inilah yang mesti difahami sebagaimana firman Allah “Tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tiada ilmu,” “Tiada akan sama orang ahli syurga dengan ahli neraka”.

Wahai para Salik,

Jika engkau bersungguh-sungguh mengamalkan zikir di bawah bimbingan Guru yang telah terbuka baginya rahsia segala alam sehingga telah mencapai kesempurnaan makrifat, engkau akan merasakan perubahan pada rohanimu. Ruhmu akan melalui pendakian dari hati yang lalai kepada hati yang hidup mengingati Allah, dari hati yang hidup mendaki kepada hati yang asyik, kemudian mendaki pula kepada hati yang fana dan kemudian mendaki pula (kepada) meminum rahsia makrifat di alam yang tinggi. Nabi saw telah melakukan israk mikraj, membuka dan membelah langit bagi umatnya kepada Tuhannya.

Janganlah menjadi manusia yang bodoh dan lalai, pintu yang yang terbuka perlulah dilalui. Nabi dipimpin oleh malaikat Jibrail menujuNya dan engkau memerlukan Mursyid yang memimpin tanganmu dengan kasih sayang menuju TuhanMu. Kamu dibawa ke alam peleburan diri sehingga tiada kamu temui sesiapapun disitu melainkan DIA SAJA YANG WUJUD. Engkau akan memahami kalimah la ilaha illaLlah wahdahu laa syarikaalah dengan kefahaman yang terkunci lisanmu hendak dinyatakan. Engkau juga akan memahami beberapa ramai orang yang tidak mencapai kesempurnaan maqam ini tersilap tafsirannya sehingga ada yang mengaku dirinya Tuhan, mengaku dirinya jelmaam Tuhan, mengaku dirinya dan Tuhan bersatu sehingga ada dikalangan mereka yang meninggalkan syariat. Mereka tiada dibuka rahsia dengan sempurna atau pandangan makrifat mereka diserta dengan syaitan atau Jin. Mereka cuba bercakap ilmu para sufi namun mereka gagal dalam menyelami rahsia “ADAM” dan“ MUHAMMAD”. Mereka juga gagal memahami rahsia mufaraqah sebagaimana terpisahnya air laut dengan air sungai atau terpisahnya api dengan asap.

Wahai saudaraku,

Berjalanlah dirimu kepada Tuhan dengan berpakaian syariat, tarekah, hakikat dan makrifat. Syariat itu adalah pakaian Nabi, tarekah itu adalah perjalanan Nabi, hakikat itu adalah batin Nabi dan makrifat itu adalah rahsia Nabi. Berpakaian syariat sahaja tanpa hakikat adalah fasik, hakikat sahaja tanpa syariat adalah zindik. Seorang yang berada di alam syariat sahaja adalah masih tertipu kerana apa yang dilihat dan didengar oleh syariat tidak menjamin akan kebenaran hakikat, justeru itu seseorang perlu menyelami lautan hakikat dan tiada cara untuk menghubungkan antara ilmu syariat dan ilmu hakikat melainkan berilmu dan mengamalkan tarekah. Apabila dadamu benar-benar memiliki rahsia ilmu para auliya, engkau akan memahami kenapakah mereka itu amat kuat takut pada Allah, amat kuat berpegang pada syariat, amat wara’ dalam setiap pekerjaan, amat zuhud pada dunia, amat redha dengan takdir Allah, amat kuat ibadahnya, amat baik akhlak jiwanya, amat kuat tawakalnya, amat tinggi syukurnya dan amat tinggi cintanya pada Allah dan Rasul. Mereka memiliki penglihatan yang tidak dapat dilihat oleh mata biasa, ia adalah Nur yang dicampakkan ke dalam dada oleh Tuhannya sehingga tembus penglihatannya pada alam rahsia dan FANA dan BAQA ia dengan kekasihnya. Fahamilah ia rahsia cahaya di sebalik cahaya. Berbahagialah mereka yang mencapainya dan merekalah yang sebenarnya telah mencapai kejayaan hakiki baik dunia atau akhirat.

WaLlahu ‘alam.

Dipetik daripada "Kitab Pendakian Salik Menuju Allah" karangan Syeikh Tokku Ibrahim Mohamad