Monday, May 30, 2011

Kematian yang mulia

Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

MEMANG amat tersentuh dan mengalir air mata ketika melihat jenazah adik-adik kecil yang dipanggil Pemiliknya. Mereka dikebumikan serentak dalam satu lahad.

Takziah kepada keluarga mangsa semoga tabah menghadapi ujian kehilangan yang tersayang. Al-Imam Qurtubi pernah merakamkan hadis nabi yang bermaksud, mati mengejut bagi orang yang baik adalah nikmat manakala mati mengejut bagi yang zalim dan jahat adalah azab.

Memang sedih apabila dengar berita kematian, tapi bagi yang tahu kategori kematian, ada anugerah di sebalik itu iaitu mati syahid. Bagi keluarga yang sedang bersedih dengan tragedi terbabit, sedikit hiburan dari tulisan kali ini.

Ini kerana di sana ada satu senarai pakej kematian yang sangat mulia iaitu husnul khatimah atau mati syahid terutama di senarai yang ke lapan dan kesembilan dalam tulisan ini.

Pertama: Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “(Barang siapa yang ucapan terakhirnya Laa ilaaha illallah maka dia masuk syurga).” (Hadis Hasan)

Kedua: Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a: Dari Buraidah bin Khusaib r.a (bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk seorang sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba keningnya berkeringat maka dia berkata: Allahu Akbar, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Kematian seorang mukmin disertai keringat di keningnya). (Hadis Sahih)


Ketiga: Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w (tidaklah seorang Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah melindunginya daripada seksa kubur).


Keempat: Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana ertinya: (Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang janganlah mereka takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah dan kurnia-Nya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman). (Surah Ali Imran ayat 169-171)


Rasulullah s.a.w bersabda: “(Orang yang syahid mendapatkan enam perkara: Diampuni dosanya sejak titisan darahnya yang pertama, diperlihatkan tempatnya dalam syurga, dijauhkan dari seksa kubur, diberi keamanan dari goncangan yang dahsyat di hari kiamat, dipakaikan mahkota keimanan, dinikahkan dengan bidadari syurga, diizinkan memberi syafaat bagi tujuh puluh anggota keluarganya.”


Kelima: Mereka yang meninggal ketika berjuang di jalan Allah (bukan terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w: “(Apa yang kalian nilai sebagai syahid antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah siapa yang terbunuh di jalan Allah maka dia syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya syuhada’ umatku sedikit ). Mereka berkata: Lalu siapa mereka Ya Rasulullah?


Baginda berkata: (Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang yang tenggelam syahid).”


Keenam: Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda: (Wabak taun adalah kesyahidan bagi setiap Muslim).


Ketujuh: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di atas.

Kelapan dan kesembilan: Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena runtuhan berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: (Syuhada ada lima: yang mati kerana wabak taun, kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah).

Kesepuluh: Mereka yang matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan anaknya: Dari Ubadah bin Shamit r. a bahawa Rasulullah s.a.w menjenguk Abdullah bin Rawahah dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata: Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku? Mereka berkata: Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan tali arinya ke syurga).

Kesebelas dan kedua belas: Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak panas yang menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang terkait yang paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’: (Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak tha’un syahid, yang tenggelam syahid, yang mati kerana sakit bengkak yang panas pada selaput dada syahid, yang sakit perut syahid, yang mati terbakar syahid, yang mati terkena runtuhan syahid, dan wanita yang mati setelah melahirkan syahid).

Ketiga belas: Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit perut syahid). (Hadis Hasan)

Keempat belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas. Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh) maka dia syahid).

Kelima belas dan keenam belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana darahnya syahid).

Ketujuh belas: Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga di perbatasan)
di jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan qiyamul lail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan di amankan dari fitnah).

Kelapan belas: Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang mengucapkan: Laa ilaaha illallah mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang bersedekah dengan satu sedekah mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga).

Kesembilan belas: Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat kepadanya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Penghulu para Syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi penguasa yang zalim lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang dari yang mungkar lalu dia dibunuhnya) Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya dan Al Khatib.

Sama-samalah kita berdoa agar kita sama termasuk dalam senarai di atas. Amin Ya Rabbal ‘aalamin

Sunday, May 29, 2011

MENGAPA orang sekarang lebih banyak yang mengalami gangguan jiwa

Amal doa pagi, petang atasi masalah jiwa
BH2011/05/15 Ustaz Zahazan

MENGAPA orang sekarang lebih banyak yang mengalami gangguan jiwa daripada orang dulu, sedangkan mereka sudah memiliki harta yang banyak. Ada yang mengatakan mereka sudah memiliki segala-galanya, namun jiwa terasa kosong. Boleh ustaz jelaskan.

FIRDAUS,
Kuala Lumpur.


Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah waba’d.


Imam Muhammad Mutawalli Asy-Sya’rawi menjelaskan dalam kitab beliau Anta Tas’alu wa Islaamu Yujiibu seperti berikut: “Orang beriman menghadapi tiap persoalan kehidupan dunia dengan memohon pertolongan Allah dan bertawakal kepada-Nya. Apabila ia gagal mencapai apa yang dicita-cita, ia tidak susah hati dan bersedih meskipun ia sedar bahawa kegagalan itu adalah kerana persediaan yang kurang sempurna.


Orang yang tidak beriman bergantung nasib dalam usahanya kepada kesempurnaan persediaan. Apabila gagal, dia gelisah, fikirannya terganggu, hatinya risau, takut yang menyebabkan sakit jiwa dan akhirnya bunuh diri.
Keadaan seperti ini banyak kita jumpa di negara maju bukan Islam. Negara seperti ini ramai rakyatnya terkena gangguan jiwa.

Lalu orang pun bertanya mengapakah di negara maju berlaku ramai yang menghidap gangguan jiwa? Bukankah yang sepatutnya kena adalah masyarakat di negara yang sedang berkembang atau negara yang mundur?

Mereka iaitu orang yang mengabdikan diri dengan ilmu pengetahuan dan membuang agama dari diri. Apabila keimanan lenyap dari jiwa manusia, akan lenyaplah ketenangan, ketenteraman, kebahagiaan dan rasa reda.

Apabila jiwa kosong dari iman, lalu ia terjun ke dalam perjuangan hidup untuk memiliki kekuasaan dan ia gagal, maka mudah saja ia terkena gangguan jiwa dan menjadi gila. Seorang Muslim yang tidak memiliki iman yang kuat, mudah terkena penyakit itu. Dalam kesibukannya ia lupa kepada Allah SWT lalu Allah SWT pun melupakannya.


Yang dikerjakan dan diusahakannya hanyalah mengumpul harta dan hidup mewah. Apabila lupa itu dibiar berlarutan tanpa cuba diatasi, ia akan membawa kepada kufur akan nikmat Allah, lalu ia akan lupa diri, hilang kebahagiaan atau mudah sakit jiwa.


Nabi SAW menyuruh umatnya agar mengamalkan doa pagi dan petang bagi mengatasi masalah jiwa, antaranya seperti diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a iaitu:

“Allahumma inni a’uzubika minal hammi walhazan. Wa’a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal wa’a’uzubika minal jubni wal bukhli, wa ‘a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijaal (yang bermaksud: Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang dan penindasan orang).”

Kedua, hendaklah mendekati al-Quran dengan membaca, memahami dan berusaha mengamalkannya dalam kehidupan nescaya anda akan menemui kebahagiaan bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat.

Al-Quran adalah penyembuh yang paling berkesan mengubat penyakit jiwa seperti firman-Nya dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud: “Wahai umat manusia!
Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.”
Demikianlah, wallahua’lam

Saturday, May 28, 2011

Ingatkan kematian boleh elak daripada melakukan kemungkaran


BH2011/05/28

DARIPADA Nawwas bin Sam'an al-Anshari, katanya, aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai erti kebajikan dan dosa. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Kebajikan itu ialah budi pekerti yang indah. Sedangkan dosa adalah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, padahal engkau sendiri segan jika perbuatanmu itu diketahui oleh orang lain."

Kebajikan adalah nilai luhur daripada kehidupan sedangkan dosa bagaikan titik hitam yang merosakkan pandangan. Namun ada kala disebabkan nafsu, iman menjadi buta sehingga seseorang itu cinta kepada dosa dan menganggap segala sesuatu itu adalah wajar belaka.

Islam tidak memandang manusia bagaikan malaikat tanpa kesalahan dan dosa seperti mana Islam tidak membiarkan manusia berputus asa daripada memohon keampunan Allah, biar betapa besar pun dosa yang sudah dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Setiap anak Adam pernah berbuat kesalahan/dosa dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa adalah mereka yang bertaubat (daripada kesalahan itu).

Manusia tidak akan sedar dirinya menanggung dosa kecuali orang salih yang sentiasa mengingati mati sedangkan mati itu tidak mengenal ketika dan usia seseorang.

Oleh itu kita dituntut supaya sentiasa beristighfar dan bersifat dengan sifat mahmudah serta malu untuk melakukan perbuatan yang dilarang sehingga mencemarkan maruah diri, keluarga, agama, bangsa dan negara. (Hadis riwayat Muslim)


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Kenapa Melayu terus jadi hamba dadah?


Oleh Mahfar Ali
bhnews@bharian.com.my
2011/05/28

Masyarakat patut bantu pihak berkuasa pastikan negara bersih penagih

KES penyalahgunaan dadah di kalangan orang Melayu semakin membimbangkan. Sehinggakan seorang hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, baru-baru ini, melahirkan kesedihannya apabila melihat banyak kes dadah di negara ini membabitkan orang muda berketurunan Melayu dan beragama Islam. Hakim Datuk Abd Rahim Uda menegaskan orang Melayu dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam. “Masalahnya kita orang Islam, tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya,” katanya ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun, Fazizol Mohd Razali, 25, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang.

Apa yang diluahkan Hakim Abd Rahim seharusnya mendapat perhatian serius seluruh masyarakat Melayu. Malah, kita patut berasa bimbang kerana berdasarkan perangkaan, remaja dan belia Melayu adalah golongan paling ramai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Mengikut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK), etnik Melayu adalah penagih paling ramai dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu(2010),
iaitu 9,734 orang (80.59 peratus),
berbanding Cina sebanyak 1,096 orang (9.07 peratus),
India 926 orang (7.67 peratus),
pribumi Sabah 238 orang (1.97 peratus),
pribumi Sarawak 29 orang (0.24 peratus) dan
etnik lain 56 (0.46 peratus).

Keseluruhannya, penagih yang dikesan dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan sebanyak 361.91 peratus berbanding tempoh sama pada 2009.

Menurut statistik Bukit Aman pula, 222 rakyat Malaysia berketurunan Melayu kini ditahan di penjara luar negara kerana kesalahan dadah sama ada dijadikan keldai dadah atau secara sedar. Dari sini, timbul persoalan mengapa orang Melayu mudah terpengaruh dan terjebak dalam kes penyalahgunaan dadah?

Dalam perbualan dengan Presiden Pengasih Malaysia, Datuk Yunus Fathi, beliau mengemukakan beberapa faktor, termasuk berkait dengan soal budaya, perilaku, latar belakang keluarga dan tempat tinggal, pendidikan serta pengaruh luar.

“Taraf pendidikan orang Melayu pula secara umumnya masih rendah dan yang terbabit dalam dadah kebanyakannya daripada keluarga miskin. Selain itu, sistem kekeluargaan yang dulunya kuat, kini semakin rapuh menyebabkan anak terbiar dan tidak diberi perhatian,” katanya yang pernah menjadi penagih sebelum mengasaskan Pengasih – badan yang dianggotai bekas penagih dadah.


Sememangnya mengikut statistik ADK, majoriti penagih yang dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu menunjukkan 8,492 orang (78.40 peratus) adalah mereka yang sekurang-kurangnya mempunyai tahap pendidikan tamat Tingkatan Tiga, iaitu mempunyai sijil LCE/SRP/PMR. Bilangan penagih tertinggi juga dikesan pada mereka yang mempunyai sijil pada peringkat LCE/SRP/PMR, iaitu seramai 4,069 orang (37.56 peratus).


Persoalannya, kenapa kes penyalahgunaan dadah terus meningkat sedangkan banyak program dianjurkan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengekang gejala ini? Malah, pelbagai undang-undang digubal dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap kesalahan dadah, termasuk hukuman mati mandatori. Penguatkuasaan juga diperhebatkan dan mengikut statistik, rampasan beberapa jenis dadah, seperti heroin, ecstasy, candu dan kokain menunjukkan peningkatan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu. Namun, di sebalik kejayaan ini, isu dadah terus menghantui kita.

Sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, penagih baru yang dikesan berjumlah 8,984 orang, meningkat 507.44 peratus berbanding 1,479 orang dalam tempoh sama tahun lalu, manakala penagih berulang seramai 3,095 orang, meningkat 172.45 peratus berbanding 1,136 tahun sebelumnya.
“Kita semua berisiko dan yang tidak mempunyai kekuatan diri lebih berisiko tinggi untuk mudah terjebak dalam penyalahgunaan dadah. Sebab itu, kempen kena bermula dari rumah dengan menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak mengenai bahaya dadah. Kita juga kena banyakkan aktiviti bagi meningkatkan jati diri serta pembangunan intelektual dan rohaniah anak. Malah, mengikut satu kajian, anak yang selalu bersukan bersama ibu bapa didapati jarang terbabit dalam dadah. Peranan pertubuhan komuniti seperti PIBG, JKK kampung, jawatankuasa kariah surau atau masjid juga penting bagi membantu memerangi gejala dadah,” katanya.

Mesej ini sepatutnya membuka mata seluruh masyarakat agar bersama-sama membantu pihak berkuasa membanteras kes penyalahgunaan dadah. Kita percaya rakyat sedar kes penyalahgunaan dadah ini serius, tetapi ramai yang cuma mengeluh, tetapi tidak membantu. Kita tidak boleh lagi melihat dan membiarkan saja apa yang berlaku di sekeliling kita. Mungkin ramai tidak ambil peduli kerana menganggap itu bukan masalah mereka atau tidak membabitkan anak atau ahli keluarga mereka. Barangkali ramai juga tahu anak jiran kita mengambil dadah, tetapi kita buat tak tahu kerana tidak mahu dianggap mencampuri hal orang lain. Ini bukan soal hendak jaga tepi kain orang, tetapi membabitkan masa depan generasi kita.
Bersamalah membanteras dadah

Tuesday, May 24, 2011

Andai Sultan Melaka memerintah

oleh NURUL IZZAH
Sinar Harian 5/24/2011 9:24:39 AM
Menyingkap kembali sejarah saya tertanya apakah mungkin budaya politik negara dan nasib rakyat dibawah pemerintahan seorang raja yang mulia lagi beriman dan budiman?

Sekiranya Sultan Melaka memerintah, mungkinkah rasuah dibenarkan sehingga sebuah istana yang bermula dengan kos RM400 juta dijangka melebihi RM1 bilion? Apa pula dengan ketirisan ekonomi berjumlah RM28 bilion setahun berterusan sehingga hanya kelompok elit yang bertambah kaya manakala rakyat jelata terus melata berkais pagi makan pagi?

Kalau Sultan Melaka memerintah, mungkinkah laksamana angkatan laut akan membeli kelengkapan perang, termasuk kapal yang mampu timbul atau yang sengaja tenggelam dengan harga berpatutan tanpa komisen beratus juta ringgit kepada seorang baginda yang hanya pada nama dan bukan pada takhta? Bagaimana pula dengan perbelanjaan lain negara, adakah ia secara berhemah dan bijaksana atau boros membazir tanpa penghujung? Adakah jalan keretapi akan dibina dengan harga berlipat ganda dari biasa ibarat landasan bersalut emas?

Sekiranya Sultan Melaka memerintah, adakah hulubalang dan pahlawan penjaga keamanan akan mempertahankan rakyat atau menangkap lalu dikurung dan dipukul rakyat jelata tanpa sebab dan bicara kerana memelihara kepentingan puak tertentu. Janganlah penjaga aman cepat menahan reman rakyat yang mungkin di’Kugankan’ atau di’Aminulrasyidkan’ atau di’Beng Hockan’ atau di’Sarbanikan’ tanpa saksi, warna kulit, umur dan hayat. Adakah begitu murah dijual janji ikrar sumpah pahlawan untuk beberapa keping emas atau kepingan timah tanda gelaran disemat di dada baju?

Kalau Sultan Melaka memerintah, adakah rakyat dibiarkan menanggung beban hidup melampau tanpa subsidi hasil khazanah negara yang sememangnya mencukupi jika tidak diboroskan atau dikalihkan untuk projek-projek mewah maha membazir? Harga barang naik termasuk gula melaka tetapi subsidi korporat besar dikurangkan dengan begitu perlahan sehinggakan sang siput dinobatkan juara pertandingan lari merentas desa?

Kalau Sultan Melaka memerintah, adakah tanah jajahan Pulau Batu Putih, Blok L dan M atau sumber air mentah diserahkan tanpa sebarang suara pahlawan berteriak marah atau keris keramat dihunus berani melainkan di perhimpunan agung para lanun buat tontonan dicermin sendiri?

Sekiranya Sultan Melaka memerintah, adakah tata susila bangsa dan agama yang mencerminkan nilai-nilai murni sejagat menjadi pencorak budaya dan amalan rakyat?

Adakah baginda sanggup melihat martabat qazaf direndahkan dengan hanya lafaz sumpah buat selindung fitnah mengorbankan syariah akibat kerenah tiga sekawan yang buta hukum tetapi celik konspirasi berbayar demi mengaut untung sementara duniawai tetapi mengecap kerugian kekal ukhrawi?

Adakah baginda akan berjuang memperkasakan perlembagaan mensejahterakan rakyat atau berdiam saja apabila lanun politik memperkosakan janji kemerdekaan hak rakyat? Di manakah Sultan Melaka atau pemerintah Melayu yang akan membela rakyat secara jujur?

Itulah dia seribu kemungkinan perjalanan sejarah yang menjadi tanda tanya kerana tidak lama lagi kita rakyat semua dapat membuat pilihan menentukan masa depan negara dan mencorak sejarah kita sendiri yang lebih baik, lebih makmur dan lebih saksama di peti undi, itupun kalau tidak dirompak lanun politik.
Marilah kita belajar dari sejarah untuk mencipta sejarah lebih gemilang kerana sudah tiba masanya kita laksanakan reformasi politik secara berkesan dan menyeluruh

Arak punca pelbagai kerosakan manusia

ISLAM mengharamkan meminum arak sejak 14 abad lalu. Orang Arab jahiliyah sebelum kedatangan Islam adalah peminum arak yang cukup dahsyat.

Mereka menganggap arak sebagai sejenis minuman yang memberikan keseronokan hidup di samping meletakkan arak sebagai hidangan biasa yang berkhasiat untuk menjaga kesihatan.
Ada segelintir umat Arab jahiliyah yang baru memeluk Islam cuba mempengaruhi Rasulullah s.a.w. dengan mengatakan mereka meminum arak dan memberikannya kepada orang lain hanya sebagai penawar dan ubat.

Rasulullah s.a.w. segera menyanggah anggapan itu dengan bersabda: “Ia bukan ubat, bahkan arak sebenarnya adalah punca kepada penyakit.” (Riwayat Muslim)

Islam pada awalnya membasmi kepercayaan karut yang sudah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Arab jahiliyah sebagaimana kata-kata Aisyah, isteri Rasulullah yang dipetik oleh Imam Bukhari: “Sekiranya al-Quran mula-mula memberitahu orang Arab agar jangan meminum khamar (arak) dan tidak berjudi serta melakukan perzinaan, mereka akan berkata: “Tidak, kami tidak akan patuh.”

“Cerita kehidupan selepas mati, mengenai syurga dan tamannya yang indah bagi sesiapa yang patuh serta seksaan api neraka bagi yang ingkar hingga hati menjadi lembut, selepas itu diperintahkan berhenti daripada meminum khamar, melakukan perzinaan dan berjudi, maka mereka mematuhinya.”

Walaupun begitu, arak tidak terus dilarang serta-merta. Ia mengambil tempoh tiga tahun untuk pengharaman arak secara keseluruhannya.

Orang Islam mula bertanyakan mengenai perihal arak sebagaimana dinyatakan al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai khamar dan judi. Katakanlah pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

Ayat ini memberi kesedaran dan keinsafan kepada orang yang kuat iman dan beramal salih untuk terus meninggalkan arak dan judi. Bagaimanapun, larangan ke atas arak tidak dinyatakan dengan jelas.
Perintah lain yang diturunkan adalah dalam peristiwa seorang sahabat bersolat dalam keadaan mabuk dan melakukan kesilapan besar ketika membaca ayat suci al-Quran. Peristiwa ini diceritakan al-Quran melalui surah an-Nisa’ ayat 43 yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk…”

Larangan ini sangat mustahak kerana tabiat mabuk diperkatakan buat pertama kali bersama sembahyang yang difardukan pada waktu tertentu dalam sehari, iaitu bermula solat Subuh hingga Isyak.
Ini menimbulkan konflik antara perintah baru dengan adat resam orang Arab jahiliyah yang meminum arak pada awal pagi dan permulaan malam.

Perjuangan melawan hawa nafsu bagi mengekang tabiat meminum arak menagih kesabaran dan ketabahan oleh peminumnya.
Pada peringkat awal untuk menghilangkan ketagihan, peminum arak yang aktif mungkin terkena ‘sawan’ atau tabiat meracau yang berpanjangan.

Perintah akhir larangan meminum arak diturunkan dalam satu majlis jamuan membabitkan orang Muhajirin dan Ansar iaitu arak menjadi satu daripada bahan hidangan.

Apabila ramai yang mabuk, mereka mula bermegah-megah dan kemudian bergaduh sesama sendiri dengan melontar ketulan-ketulan tulang yang terdapat dalam hidangan makanan.

Apabila mabuk hilang, mereka mula menyesal, insaf dan merasa berdosa atas tindakan itu.

Pada waktu itulah, al-Quran menyatakan bahawa judi dan khamar adalah dilarang kepada semua umat Islam sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud: “…Syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum arak dan berjudi dan menghalang kamu daripada mengingati Allah dan solat, maka berhentilah kamu (daripada melakukan perbuatan itu).”

Anas bin Malik disebut sebagai menyatakan: “Apabila khamar (arak) dilarang, orang Arab masih menyukainya dan ada yang amat sukar untuk mematuhinya. Tetapi akhirnya mereka berjaya mematuhi perintah Allah dengan setiap daripada peminum arak akan membawa arak dari rumah masing-masing ke jalan raya dan membuangkannya. Jalan dan lorong di Madinah dipenuhi dengan bau arak selama beberapa hari.”

Sejak peristiwa itu hingga ke saat ini, orang Islam di seluruh dunia adalah orang yang paling kurang berdepan dengan masalah ketagihan arak.

Sudah jelas bahawa sesetengah jenayah dalam masyarakat hari ini antara lain berpunca daripada arak.

Kajian ilmiah sama ada dari segi sains, psikologi dan kemasyarakatan menunjukkan bahaya arak.

Al-Quran awal-awal lagi memberi amaran bahawa mudarat arak lebih banyak daripada manfaatnya sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”
Keburukan adalah lebih besar daripada kebaikan antaranya:
·  
 Apabila diminum dengan banyak, arak boleh merosakkan selaput lendir perut dan menjadi racun yang masuk meresap dengan cepat ke dalam bahagian tubuh manusia terutama sekali jantung dan buah pinggang.
·   
Meminum dengan banyaknya boleh menjadikan seseorang itu mendapat sesak nafas yang membawa kepada alat pernafasan terganggu.
·   
Juga boleh menyebabkan kematian mengejut akibat kuat tekanan alkohol dalam arak itu kepada hati dan jantung.
·   
Meminumnya ketika perut kosong atau sebelum makan pagi boleh menyebabkan berlakunya barah dalam perut.

Profesor AJ Arberry pula mengatakan: “Peminum arak menghadapi bahaya penyakit darah beku dan pembekuan air hempedu, malah mereka akan merepek seperti orang gila dan mudah sekali mendapat penyakit ahmar atau lumpuh.

“Selain itu, seorang yang mabuk akibat arak akan hilang pertimbangan akalnya. Secara tidak sedar dia membuka rahsia keburukan dirinya sendiri kepada orang lain.”

Profesor Muhammad Farid Wejdi, penyusun Ensiklopedia Islam menjelaskan: “Tidak pernah manusia menerima pukulan yang paling hebat seperti pukulan arak. Orang yang terkorban juga ramai disebabkan oleh arak.

“Jikalau dibanci orang sakit dalam hospital di seluruh dunia, nescaya yang paling ramai ialah penghidap penyakit gila dan penyakit urat saraf yang disebabkan arak. Orang yang menderita kesakitan urat saraf, kesakitan pundi-pundi makanan, kesakitan tali perut adalah disebabkan arak.”

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Malaysia cipta rekod, 10 tertinggi di dunia minum arak

Posted on Sunday, May 22 @ 22:00:00 PDT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh: amkns

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke 10 tertinggi di dunia dalam jumlah pengambilan atau minum arak oleh rakyatnya. Rakyat negara ini membelanjakan RM1.5 bilion untuk arak setahun. Ini adalah perkara yang amat serius tetapi tidak diambil berat oleh banyak pihak untuk membendungnya, demikian laporan akhbar The Star 23 Mei 2011 (Utusan Malaysia tak berminat ulas isu ini agaknya)

Monday May 23, 2011
Malaysia ranked world’s 10th largest consumer of alcohol
By CHRISTINA TAN
chris@thestar.com.my

KUALA LUMPUR: Malaysia has been named by the World Health Organisation (WHO) as the world’s 10th largest consumer of alcohol despite its small population and size.

Statistics by the international body this year also showed that Malaysians spent over US$500mil (RM1.5bil) on alcohol with a per capita consumption of seven litres.

Beer consumption in Malaysia is 11 litres per capita.

Deputy Women, Family and Community Development Minister Heng Seai Kie said the problem of alcohol consumption in the country was getting serious.

“Alcohol is not only causing a lot of health issues but is also contributing to a significant number of accidents,” she said here yesterday.

Heng was speaking to reporters after launching booklets and seminars on “Promote Healthy lifestyle: Reduce Alcohol Harm” organised by the Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) and supported by IOGT International, a worldwide community of non-governmental organisations, and the National Association of the Prevention of Drug Abuse (Pemadam).

She said the ministry, through the National Population and Family Development Board, would hold a campaign to create awareness on the danger of alcohol abuse.

She said 10 seminars would be held nationwide this year.

They would be conducted in Mandarin, Malay, English and Tamil and were aimed mostly at those from the Chinese and Indian communities, which had a high alcohol abuse rate.

“The public has to understand that alcohol is not part of our culture and it will bring harm if it is abused,” she said.

Earlier, in his speech, KLSCAH secretary-general Yong Yew Wei said the Road Safety Council estimated that drinking and driving caused 30% of road accidents nationwide, with 38% of these resulting in fatalities.

“A study also shows that absenteeism from workplace among alcoholics is 16 times higher than others,” he said, adding that non-governmental bodies played a vital role in promoting a healthy lifestyle.


Source: www.thestar.com.my