Friday, October 21, 2011

7 perkara tak boleh diubah dalam hidup

Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

DALAM hidup ini ada tujuh hal yang tidak boleh kita ubah iaitu:

Jenis kelamin dan jantina
Memang boleh buat pembedahan untuk mengubah kelamin. Tetapi tidak mampu mengubah roh (spirit) orang berkenaan. Terimalah dirimu, sama ada engkau wanita atau lelaki.

Orang tua
Kamu mesti menghormati ibu bapa apa cara sekalipun! Jika orang tuamu seorang pemabuk, kaki judi atau pelacur, hormati mereka! jika tidak situasi itu bakal terjadi dalam kehidupan kamu kelak. Nasihat dan teguran memang tidak boleh berhenti.


 

Hari kelahiran

Sudah ditetapkan Allah, sebelum dunia dijadikan kita tidak boleh memilih tarikh lahir kita.
Ia memang sudah ditentukan dan jangan sesekali kita menyesalinya.


Bentuk Fizikal

Jika anda mempunyai rambut keriting, terima sajalah. Jika hidung kamu kurang menarik atau kulit sawa matang terimalah seadanya. Memang kita lihat ramai orang ingin mengubah bentuk wajahnya, sama ada memancungkan hidung atau alis matanya dicukur habis tetapi tetap kelihatan aneh dan tidak semula jadi.

Masa lalu

Ini juga sudah ditetapkan Allah. Jangan menyesali masa yang sudah berlalu melainkan untuk menjadikannya sebagai pengajaran.

Justeru, ‘berdamailah’ dengan masa lalu demi membina masa depan.

Kedudukan dalam keluarga

Kedudukan kita sebagai anak bongsu, sulung, atau tengah, tidak boleh diubah dan terimalah seadanya.

Suku bangsa

Jangan sekali menyesal menjadi orang Melayu, Jawa atau Cina. Sebenarnya perkara yang kita boleh dan mampu ubah adalah cara kita berfikir. Jika berubah maka berubahlah hidup kita.

Ada lima resipi untuk melakukan perubahan diri antaranya:
·  Mulalah berubah supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga lebih yakin dengan diri anda.

Tidak mungkin jika kita mahu mengajak orang lain berubah padahal diri sendiri masih berada pada takuk lama.

·  Lakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan, sememangnya sukar untuk terus melakukan perubahan dalam masa yang singkat atau dalam tempoh sekelip mata.

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah kita dapat berubah seperti yang diinginkan. Walaupun perlahan, kita pasti dapat mengalami perubahan besar dalam diri.

·  Lakukan perubahan pada masa sekarang. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lama. Ini kerana semakin lama kita bertangguh, ia menjadi semakin melarat dan susah untuk melakukannya.

Perkara kecil jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa depan.

·  Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Kita perlu memaksa diri untuk berubah dengan sepenuh hati.

Jika diri kita tidak dipaksa seolah-olah memanjakan diri untuk berubah. Nafsu kita juga menjadi semakin degil jika tidak dipaksa.

Kawal nafsu dan jangan biarkan ia mengawal diri kita.

·  Apabila kita sudah berjaya melakukan perubahan diri, kita perlu mengulangi perubahan itu hingga ia sebati dengan diri kita.

Jika perubahan itu hanya dibiarkan begitu saja, kita hanya berjaya untuk berubah seketika saja dan selepas itu kembali ke takuk lama.

Jangan sia-siakan perubahan dan perlu sentiasa melakukannya.

Thursday, October 20, 2011

Tangani segera masalah lulusan matrikulasi elak lebih ramai tercicir ke IPTA

Minda Pengarang: BH 2011/10/20

BERITA eksklusif muka depan akhbar ini kelmarin melaporkan mengenai kehampaan pelajar lepasan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran yang gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), walaupun mencapai kelayakan yang diperlukan. Menurut laporan itu, 28 peratus daripada pelajar lepasan matrikulasi yang mencapai kelayakan minimum tidak mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke IPTA. 

Ini bermakna hampir 12,000 pelajar yang kebanyakannya daripada aliran sains dan sebelum ini mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berada dalam keadaan terumbang-ambing menantikan nasib selanjutnya. Sekilas pandang, masalah ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang tidak harus berlaku. Persoalan yang timbul, apakah pihak bertanggungjawab terhadap pengambilan pelajar matrikulasi dan pengambilan pelajar ke IPTA tidak terlebih dulu menyelaraskan pengambilan pelajar agar tidak timbul soal limpahan pelajar ini. 

Timbul persoalan kenapa selepas setahun setengah mengikuti pengajian pada peringkat matrikulasi, baru pelajar ini mendapati mereka tidak mempunyai tempat di IPTA? Kita yakin kedua-dua kementerian terbabit dalam isu ini, iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah duduk semeja dan membincangkan soal penyelarasan pengambilan masing-masing. Namun pihak terbabit tidak pernah menjanjikan setiap pelajar yang lulus akan mendapat tempat untuk mengikuti kursus pilihan mereka di IPTA.

Seperti dijelaskan Kementerian Pengajian Tinggi, antara punca pelajar ini tercicir ialah mereka tersalah pilih atau memilih kursus kritikal. Apabila memilih kursus kritikal ini, lepasan matrikulasi ini terpaksa pula bersaing dengan pelajar lepasan program asasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma untuk mendapat tempat di IPTA. 


Sudah tentu persaingan bagi kursus seperti ini sengit dan mereka yang gagal dipilih harus menerima hakikat tempat ditawarkan terhad. Kegagalan untuk mendapat tempat tidak bermakna program matrikulasi dikendalikan Kementerian Pelajaran gagal sepenuhnya. 
Kita juga tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi demi masa depan pelajar terbabit khususnya Melayu, kedua-dua kementerian wajar menangani masalah ini dengan segera bagi mengelak lebih ramai pelajar Melayu tercicir peluang meneruskan pengajian ke IPTA. 

Meskipun demikian, mengikut perangkaan bagi setiap seorang lepasan matrikulasi yang gagal mendapat tempat, hampir tiga yang lain berjaya. Antara yang gagal mendapat tempat pula ada juga menolak tawaran ke IPTA berikutan tidak bersetuju dengan kursus ditawarkan. Ini bermakna jumlah yang layak dan benar-benar tidak mendapat tempat sebenarnya tidaklah sebesar digambarkan. Apa pun, seperti kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pelajar terbabit masih boleh membuat rayuan, selain menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS )

Sunday, October 16, 2011

Siapa kita?

Posted on Friday, October 14 @ 08:14:27 PDT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Rencah Blog Picture2U


Sultan Brunei dengan hukum Hudud. Anda siapa? Duit tak ada pun nak berlagak!!



Kalau nak berlagak buat dunia sendiri, buatlah udara sendiri..

http://kide-picture2u.blogspot.com

Monday, October 10, 2011

Penyakit ujian untuk perbaiki diri, kenali erti hidup

Sokongan bantu pesakit berubah
Oleh Ashraf Muslim

2011/10/10

Penyakit ujian untuk perbaiki diri, kenali erti hidup

SESI merawat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah menemukan saya dengan pelbagai latar belakang manusia serta permasalahan dihadapi mereka banyak mengajar serta memberi kesedaran ada sebab kenapa Allah merencanakan kehidupan kita sebegitu.

Seorang pesakit memohon bantuan menghilangkan ketagihan dadah yang dideritai sejak 10 tahun lalu. Ditanya kenapa tiba-tiba ingin berubah, beliau yang berumur awal 30-an, menegaskan kasihankan ibu yang sudah tua dan tidak berdaya. Hidup tidak keruan menguatkan hatinya mendapatkan bantuan.
 
Penyakit atau musibah daripada Allah hanyalah medium untuk menyedarkan kita kesilapan yang dilakukan dan mengambil langkah terbaik menghadapinya, bukan terus melakukan kesilapan sama. Jangan salahkan sesiapa di atas perkara tidak baik yang menimpa kita

Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan ada kesilapan itu berulang walaupun hati sedar apa yang dilakukan salah bukan saja di sisi undang-undang malah ajaran agama, kerana menyebabkan kerosakan kepada diri sendiri.

Apa yang penting, kita masih diberi hidayah untuk berubah dan membetulkan kesilapan. Tidak kira apa juga alasannya, kesempatan diberikan perlu direbut kerana kita tidak tahu bila lagi kesedaran akan datang jika saat itu gagal dimanfaatkan.

Pesakit tadi pernah dipenjara disebabkan kesalahan dadah tetapi membanggakan dia memilih untuk menghentikan penyakit dihidapi. Memang naluri anak muda, suka mencuba perkara dilarang walaupun asalnya mereka tahu kesan akibat tindakan itu.

Sokongan penting untuk membantu ahli keluarga berdepan masalah. Jangan kerana dia mencari penyakit, kita biarkan dia sendirian mencari penawar. Menjadi kewajipan keluarga membantu saudara mereka yang terjerumus dengan penagihan dadah.
 

Kesudian ibu menerima walaupun banyak kali anak mencuri duitnya untuk mendapatkan bekalan dadah akhirnya menyedarkan anak dosa dilakukan dan menguatkan tekad untuk berubah. Inilah rencana Allah dan ada sebab mengapa hamba-Nya diberikan pelbagai ujian.

Begitu juga pasangan homoseksual yang datang mencari penawar virus HIV yang menyerang tubuh mereka akibat terjerumus dalam hubungan dilarang agama. Walaupun hakikatnya tahu HIV tiada penawar, tetapi ia tidak menghalang mereka berusaha.

Selepas mengetahui kesan akibat daripada perbuatan menyalahi agama itu, mereka mengambil keputusan kembali kepada agama. Selalu kita berkata, biar lambat ja-ngan tidak berubah langsung. Sebenarnya kita tidak pernah terlambat kerana selagi kita berpeluang mengubah keadaan, itulah masa disediakan untuk kita.

Mereka berusaha mencari ubat kepada penyakit yang dihadapi ialah kerana mereka memikirkan masa depan. Remaja atau golongan muda sering dikaitkan dengan sikap terburu-buru apabila membuat keputusan dan terlalu mengikut hati menyebabkan mereka tersalah langkah.

Penyakit atau musibah daripada Allah hanyalah medium untuk menyedarkan kita kesilapan yang dilakukan dan mengambil langkah terbaik menghadapinya, bukan terus melakukan kesilapan sama. Jangan salahkan sesiapa di atas perkara tidak baik menimpa kita.

Perjalanan hidup dilalui kita atau orang lain ada tujuannya. Allah menjadikan manusia berbeza latar belakang, corak pemikiran serta kurniaan nikmat. Kenapa wujudnya perbezaan ialah supaya kita saling belajar dan berfikir.

Jangan sekali-kali menyalahkan Allah, keadaan atau orang lain di atas perbuatan kita dan jangan sekali-kali mudah berserah atau berputus harap. Naluri itu hanyalah ujian dan bagaimana kita berdepan dengannya, itulah gunanya akal fikiran yang hanya manusia memilikinya.

Oleh itu, apa juga keadaan yang kita atau orang lain lalui, ada tujuannya iaitu supaya kita berfikir bukan hanya berserah kepada takdir. Seperti yang saya selalu pesan kepada mereka yang datang mendapatkan rawatan, Allah menguji hamba-Nya kerana kasih sayang-Nya kepada hamba itu.

Justeru, dalam kita berusaha mendapatkan kasih sayang Allah untuk menyembuhkan penyakit yang dihidapi, hendaklah banyak bersabar, berusaha serta tidak putus berdoa. Kesilapan bukan bermakna kita tidak disayangi tetapi itu adalah sebab untuk membolehkan kita mengerti erti hidup. Semoga kita mengambil iktibar dan berusaha memperbaiki diri.

(Ayat penenang hati untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan. Surah Ar-Rahman, ayat 21 hingga 60 (dibaca pada sebelah malam) dan surah Yasin, ayat 72 hingga 80 (dibaca pada waktu siang). Baca surah ini dan kemudian berdoa kepada Allah
)

Thursday, October 6, 2011

HATI EMAS

Ramai orang yang punya akal tetapi malangnya ‘tidak berakal’. Maksudnya, mereka tidak menggunakan akal untuk berfikir. Padahal fikir itu ialah pelita bagi hati. Justeru di dalam Al Quran Allah sering mengingatkan manusia agar selalu berfikir, menggunakan akal untuk tadabbur akan ayat-ayatNya dan mengambil ibrah daripada segala kisah yang daripada Al Quran.

Malangnya, sedikit sekali ‘orang yang berakal’ walaupun ramai yang mempunyai akal. Hingga dengan itu ramai manusia yang tidak terasa kebesaran Allah, terlindung oleh keegoaan dirinya. Tidak mahu bersyukur kepada Allah kerana terhijab oleh kudrat dirinya.  
Itu sekadar renungan awal. Seperti mana ada orang yang punya akal tetapi tidak berakal, maka begitulah ramai ‘orang agama’ tetapi tidak beragama. Maksudnya, dia punya latar belakang pendidikan agama – mahir dengan segala wahyu dan sabda, tetapi segala-galanya tidak memberi impak kepada perilaku dan akhlaknya.

Kita sering bertemu dengan orang yang sedemikian. Kita kagum dengan latar belakang kelulusannya, cakap-cakapnya, malah kekadang ceramah-ceramah serta kuliahnya tetapi apabila kita mula mendekatinya… hati kita tertanya-tanya, apakah ini teladan beragama yang sebenarnya?
Kekadang kita terkesima dengan individu-individu yang sederhana dan latar belakang pendidikan agamanya sangat minimum (bukan tidak ada langsung), tetapi lebih warak, istiqamah dan jujur dalam pergaulan. Dia tidak ‘berminyak air’. Apa yang dipaparkannya di hadapan dan di belakang orang sama.

Saya kagum dengan beberapa orang individu yang saya kenali dalam kehidupan ini yang begitu teliti dengan makanan yang hendak diambilnya, wang yang pernah dia berhutang, komen yang hendak dilontarkannya kepada seseorang, sangat menjaga lidah dan tawaduk dalam pergaulan.
Ilmu agamanya tidak tinggi tetapi apa yang ada itu benar-benar diamalkan dan membekas (memberi impak) kepada peribadinya. Ilmu yang banyak tentulah penting. Tetapi bukan semua orang berkesempatan dan punya peluang untuk belajar di peringkat sarjana, master mahupun doktor apatah lagi profesor.

Ramai yang hanya di tahap ‘lepas fardu Ain’… Namun Allah Maha Penyayang, kekadang ada manusia yang diberi ‘hati yang bercahaya’ berbanding ‘otak yang bergeliga’, hingga dengan itu sedikit ilmu yang ada mampu dimanfaatkan seoptimumnya.

Sepanjang kembara dalam usia mencecah 50 tahun, saya temui figur-figur yang bercakap bukan dari kepalanya, tetapi dari hati. Orang yang begini bercakap tulus dan telus. Tanpa bunga-bunga kata, tanpa kilasan bahasa. Cakapnya sungguh bersahaja.

Kekadang dia tidak punya kelulusan atau jawatan yang tinggi. Namun body language – bahasa badannya (yang lebih jujur dan asli) – memancarkan cahaya keyakinan, keikhlasan dan kematangan. Jika orang lain hanya menyampaikan ilmu, tetapi dia menyampaikan hikmah. Pada saya mereka inilah ‘orang-orang kecil’ yang begitu besar dalam arena pendidikan.

Memang ada ilmu yang tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Guru yang sebegini selalunya bukan mengajar dengan huruf dan angka tetapi dengan gerak hati dan rasa. Mereka hanya mengamalkan apa yang mereka tahu. Dan ‘murid-murid’ tidak rasminya belajar daripada teladan yang dapat dilihat. Bukan dengan mendengar, menulis atau membaca. Dewan kuliahnya luas, seluas bidang kehidupan. Ketika para profesor atau doktor mendefinasikan, mencirikan dan mengupas ilmu rumah tangga secara ilmiah, mereka secara ‘simple’ menyampaikan ilmu itu secara amaliah.
Rajin-rajinkanlah menajam pandangan mata hati untuk mencari orang yang begini. Kehidupan mereka adakalanya sungguh sederhana tetapi sangat bahagia. Kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan mereka. Orang sibuk membeli katil dan tilam empuk, mereka puas dengan tidur yang lena. Orang lain sibuk dengan makanan lazat dan berzat, resipi itu dan ini, mereka makan seadanya tetapi sungguh berselera. Mereka punya ‘harta’ yang tidak akan dapat dirompak. Mereka juga punya kekayaan yang tidak mengundang caci-maki dan hasad dengki manusia.

Mereka ini bukan selebriti yang tersohor atau produk program realiti agama yang semakin banyak ketika ini. Mereka ini terselit di tengah-tengah masyarakat tanpa ‘glamour’ dan gelaran. Mereka juga tidak diuar-uarkan dalam kitaran strategi promosi dunia pasaran kontemporari yang bernuansa Islam .Tegasnya,  mereka ini  tidak ada nilai komersial – tidak , cukup pakej, kata orang sekarang. Mereka ini hanya produk ‘universiti kehidupan’ – yang mendapat ijazah melalui mehnah dan mujahadah. Ya Allah, temukan kami dengan orang ini, manalah tahu mereka itulah pewaris hati Uwais Al Qarni yang doanya mustajab dan kata-katanya mujarab untuk merawat mazmumah yang masih bersarang dalam jiwa ini.

Sahabat-sahabat ku (pengunjung gentarasa), kekadang terlalu banyak untuk ditulis sehingga tidak mampu dituang oleh kata-kata dan bahasa. Makna kadang-kadang tercari-cari kata-kata kerana sering diungkapkan sesuatu yang indah hanya dapat dirasa tetapi sukar untuk diungkapkan. Ya, tiada kata secantik bahasa… untuk mengungkapkan segala perasaan. Namun, keindahan itu bukan hanya untuk dirasa, tetapi untuk dijelmakan dalam bentuk perbuatan dan tindakan. Ya Allah, jangan jadikan kami orang yang terhijab oleh rasa-rasa yang tidak keruan, disangka kebenaran rupa-rupanya bisikan syaitan!

Untuk mu sahabat-sahabatku, aku tinggalkan sedikit catatan… di nota hati yang ‘bergenta’ beberapa minggu yang lalu. Ini adalah kesah protes hatiku terhadap orang agama yang tidak beragama. Yang tanpa sedar mereka (atau kita juga?) telah menjadi umpama ulu kapak (yang terbuat dari kayu)  untuk menebang kayu. Pinta dijauhkan agar janganlah ‘orang agama’ menjadi fitnah terhadap agama.

Namun, aku tidak mahu mencoret kisah marah. Justeru, menyedari bahawa diri ini juga acap kali  terperangkap dalam tipuan yang sama. Lalu kupintal-pintal rasa marah menjadi kisah kagum, harmoni bernada muhasabah. Ya, akhirnya ku coretkan catatan ini. Cuma kisah sekeping hati..          

HATI SEORANG PEMANDU TEKSI…

Aku melihat dirinya sangat sederhana. Seorang pemandu teksi yang acap kali singgah untuk solat Subuh di masjid berhampiran dengan rumah ku. Kekadang aku berpapasan dengannya lewat solat Asar – jika kebetulan pulang awal dari kerja. Wajahnya jernih walaupun jelas telah berusia. Umurnya, sekitar 65 tahun, mungkin.
“Kenapa masih bekerja Pak cik?”
“Kenapa? Pak Cik dah nampak tua?” tanyanya kembali.
Aku tersenyum. Senang dengan kemesraannya.
“Anak-anak masih kecil?” tanyaku lagi, mencungkil sebab sebenar dia masih bekerja walaupun selayaknya pada usia begitu dia berehat.
“Ah, Pak Cik dah bercucu. Alhamdulillah anak-anak semuanya dah bekerja. Ada juga yang berniaga,” kilas Pak cik itu bersahaja.
“Kenapa Pak cik masih bekerja?” tanyaku lagi sambil memegang bahunya mesra.
“Bukankah bekerja itu satu ibadah? Ibadah mana ada pencen,”jawabnya pendek.

Aku terdiam. Inilah inti pati kuliah ‘Penghayatan Kerja Sebagai Satu Ibadah’ yang selalu aku sampaikan dalam program-program latihan dan ceramah. Terasa malu, aku yang selalu menyampaikan ilmu tetapi Pak Cik ini yang menghayati dan mengamalkannya. Ya, kalau kita bekerja kerana ganjaran dan imbuhan, kita akan berhenti sebaik sahaja kita mendapatnya. Tetapi kalau kita bekerja kerana Allah, atas dasar ibadah, kita akan terus bekerja walaupun telah mendapat imbuhan. Selagi ada tenaga. Walaupun aku kira Pak cik ini telah mendapat bantuan daripada anak-anaknya tetapi dia tetap bekerja kerana dia bekerja bukan kerana wang. Dia bekerja kerana Allah.
“Pak Cik gembira dengan kerja ni?”
“Gembira. Pak Cik tak ada kepandaian lain. Inilah sahaja kepandaian Pak Cik. Bawa teksi. Dengan cara inilah sahaja Pak cik memberi khidmat kepada manusia lain,” akuinya terus-terang. Hebat, inilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah s.a.w. yang selalu disampaikan oleh para ustaz,  sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain.
“Awal Pak Cik dah keluar? Lepas Subuh terus bekerja?”
“Pagi-pagi ni murah rezeki. Pak Cik suka mula awal tetapi habis awal. Malam boleh tumpukan kerja lain.”
“Malam pun Pak Cik kerja juga?”
“Bukan kerja… Pak cik ikut kuliah-kuliah agama, belajar tajwid semula dan kadangkala ikut dalam majlis zikir. Itulah kerja Pak Cik yang dah berumur ni.”

Subhanallah, sekali lagi Pak Cik ini mengamalkan apa yang disebut dalam Al Quran ‘fa iza faraghta fan sab’ – maka apabila engkau telah selesai (dari satu urusan) tetaplah bekerja keras (untuk urusan lain), maksudnya selesai satu ibadah, kita sambung terus dengan ibadah yang lain pula. Tidak ada istilah rehat yang hakiki di dunia. Kita beribadah ‘around the clock’ – sepanjang waktu. Rehat hanya di syurga.
“Pak Cik dulu mengaji agama di mana?” aku terus mencungkil.
“Pak cik tak pernah mengaji agama secara rasmi. Dulu sekolah kebangsaan sahaja. Apa yang Pak cik dapat hasil mendengar sahaja. Mengaji dengar-dengar, kata orang. Kadangkala di masjid, di surau, dalam radio atau melalui perbualan-perbualan biasa.”
“Apa yang Pak Cik cari  semasa mengaji secara dengar-dengar tu?”
“Pak Cik pegang satu sahaja, bila dapat kita terus amal. Baru ilmu tu berkat.”

Aku senyum. Memang luar biasa Pak Cik yang kelihatan biasa-biasa ini. Aku mendapat berita Pak Cik ini pernah memulangkan wang berjumlah RM 5 ribu yang tertinggal oleh penumpang dalam teksinya. Pernah juga dia bergelut dengan lelaki yang cuba merompak teksinya. Keberanian, kejujuran dan istiqamahnya menjaga solat jemaah sangat aku kagumi.
“Sekarang ni mudah dapat pelanggan?”
“Ada kala mudah, ada kalanya payah. Tak menentu. Sekarang ni susah nak jangka.”
“Kalau pelanggan tidak da bagaimana?”
“Tu, CD kuliah-kuliah agama. Pak Cik habiskan masa dengan dengar kuliah agama. Kalau letih mendengar Pak Cik cubalah zikir sedikit-sedikit. Rezeki tetap ada. Tidak dalam bentuk duit, kita dapat dalam bentuk ilmu.”
“Pak Cik sihat? Tak da sakit-sakit?”
“Sakit tu mesti ada. Badan dah tua. Lenguh-lenguh, sakit urat. Tetapi yang berat-berat tu tak adalah. Alhamdulillah.”
“Pak Cik makan makanan tambahan? Food supplement?” jolok aku.
“Tak da. Pak Cik cuma jaga makan dan joging. Tubuh kita ni bukan kita punya… kena jaga baik-baik.”
“Eh, Pak Cik, sepatutnya yang kita punyalah kita kena jaga baik-baik.”
“Tak tahulah Pak Cik. Tapi Pak Cik anggap tubuh kita ini amanah Allah. Bila amanah, kita perlulah jaga baik-baik.”

Terkedu aku dengan jawapan itu. Dalam hati aku mengagumi orang seperti Pak Cik ini. Orang tua yang ‘simple’, tenang dan punya prinsip yang tepat dan jelas dalam hidup. Dia bukan sahaja memandu teksi tetapi dia benar-benar memandu kehidupannya. Individu yang dianggap marhaen ini rupanya punya ‘hati emas’. Isi cakap dan sikapnya semuanya Al Quran dan Al Hadis, walaupun dia tidak petah menuturkan ayat Al Quran dan lafaz hadis. Sesungguhnya, dia jauh lebih baik daripada para ustaz mahupun orang yang digelar alim, yang mulutnya berbuih dengan ayat Quran dan Al hadis tetapi praktik, hati budi serta gaya hidupnya berbeza dengan ayat Quran dan Al hadis yang menjadi perhiasan lidahnya!.

Kisah Pak Cik pemandu teksi ini mengingatkan aku kepada budak gembala kambing yang diuji oleh Amirul Mukminin Sayidina Umar Al Khattab di tengah padang pasir. Apabila Sayidina Umar mengatakan bahawa tuan punya kambing tidak akan tahu jika budak gembala itu menjual seekor kambing secara senyap-senyap, budak itu lantas berkata, “kalau begitu di mana Allah?”

Begitu juga dengan kisah seorang gadis yang tidak mahu mencampurkan air ke dalam susu yang dijualnya walaupun disuruh oleh ibunya berbuat demikian.
“Kita tidak boleh mencampurkan susu ini dengan air ibu. Amirul Mukminin Sayidina Umar telah melarang perbuatan ini.”
“Ah, kita di dalam rumah kita. Bukankah ini waktu malam? Umar tidak akan tahu,” balas ibunya.
“Tapi Tuhan Umar tahu! Allah tahu ibu.”

Kata-kata budak gembala kambing, “kalau begitu di mana Allah?”  dan gadis penjual susu, “tetapi Tuhan Umar tahu,” sesungguhnya bukan Al Quran dan bukan hadis tetapi rohnya, isinya dan mesejnya sejajar dengan Al Quran dan hadis. Itulah natijah pemikiran dan jiwa yang telah dibentuk oleh iman, lafaz kebenaran boleh jadi diluahkan dalam bahasa pertuturan yang biasa-biasa sahaja tetapi jika dicari dalil dan hujahnya dalam Hadis dan Al Quran, pasti ditemui.

Kembali kepada cerita Pak Cik pemandu teksi yang menjadi teman bual aku di serambi masjid selepas sama-sama mengerjakan solat Asar tadi.
“Pak Cik, apa yang paling susah sewaktu bekerja sebagai pemandu teksi ni?”
“Nak balas kejahatan dengan satu kebaikan. Itu yang paling susah. Pelanggan maki kita, kita balas dengan senyum. Orang herdik kita, kita minta maaf. Orang cuba tipu kita, kita mengelak dengan baik.”
“Mengapa begitu Pak Cik?”

Dia terdiam. Setelah merenung agak panjang beliau berkata,  “ itulah ujian yang menentukan kita ikhlas atau tidak… Kalau kita buat kerana Allah, Insya-Allah, kita boleh balas kejahatan dengan kebaikan. Atau sekurang-kurangnya tidak membalas. Kita diam sahaja..”
Sekali lagi Pak Cik pemandu teksi ini telah menuturkan hikmah yang pernah disampaikan oleh Sayidina Ali. “Tanda ikhlas itu…, kata Sayidina Ali, “ialah apabila pujian tidak menyebabkan kau menambah amal. Dan kejian manusia tidak menyebabkan kau mengurangkannya. Di hadapan dan di belakang manusia, ibadah mu tetap sama.”

Dan sesungguhnya itulah juga inti pati ayat Al Quran, surah Fussilat: 34 yang bermaksud, “ tolaklah kejahatan yang ditujukan kepada mu dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berbuat demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

Setelah bersalaman, Pak Cik pemandu teksi itu menuju teksinya.
“Ada janji dengan pelanggan. Assalamualaikum,” katanya, terus memandu teksinya dengan ceria. Aku? Aku terus duduk di tangga masjid sambil menghitung diri. Bolehkah aku meneladaninya? Bolehkah aku membalas kejahatan dengan satu kebaikan? Atau aku akan terus sibuk mencari dalil dan fakta untuk bahan tulisan atau ceramah sedangkan ada insan lain yang jauh lebih ikhlas telah mengamalkannya dalam kehidupan? Ya, alangkah dungunya kita kalau hanya sibuk menghafal nama makanan sedangkan orang lain telah memakannya? Begitulah perumpamaannya…


Komen Cgsyed
Saya seronok dan bersetuju dengan isu yang dibangjitkan oleh penulis. Memang saya sering berhadapan dengan orang-orang yang tinggi dan hebat latar belakang pengajian agamanya tetapi sedhh apabila melihat tingkahlaku, pandangan dan sikapnya terhadap agama itu sendiri.

Jika penulis tidak bersetuju saya akan keluarkan balik artikel ini daripada blog ini.

Wednesday, October 5, 2011

ALHAMDULILLAH, TERIMA KASIH ALLAH


Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana mulai jam 3.15 petang ini saya telah mendapat gelaran yang ditunggu-tunggu selama ini, setelah usia menjangkau 58 tahun barulah dapat gelaran Datuk bukan daripada Sultan atau Agung tetapi anugerah daripada Allah.

Alhamdulillah, saya bersyukur walaupun dia berada beribu batu jauh dari ayah dan ibu (di Perth), anak sulong saya Syed Ahmad Khairi telah bergelar ayah mulai jam 3.15 petang ini. Semuanya telah selamat, dengan izin Allah. Mulai petang semalam setelah menerima panggilan telepon darinya, isterinya Sara masuk hospital kerana sudah ada tanda-tanda sakit untuk melahirkan. Selepas 48 jam kemudian barulah anaknya yang pertama dan cucu saya yang pertama dilahirkan ke dunia ini untuk melaksanakan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah Allah.

Alhamdulillah, sesungguhnya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang dan Maha Pemurah. Saya bersyukur dan terasa malu kepada Allah kerana terlalu banyak nikmat dan anugerah yang dikurniakan kepada kami sekeluarga sepanjang hayat kami. Malu kerana berbanding dengan kepatuhan dan ketaatan kami tidak seberapa.Inilah yang dikatakan Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Apa yang terkeluar dari lidah anak sulong kami ialah “Terima kasih umi kerana melahirkannya”. Dan dia insaf kerana sepanjang masa isterinya sakit untuk bersalin dia bersama isterinya melihat dengan mata kepalanya betapa sakit dan susahnya untuk melahirkan anak. Mungkin keinsafan timbul betapa seksanya seorang ibu sewaktu melahirkan anak. Itulah sebabnya anak-anak tak boleh derhaka kepada ibu, syurga terletak di bawah tapak kaki ibu.

Bagus juga ada peraturan baru ini, suami boleh berada  disamping isteri sewaktu hendak bersalin. Sekurang-kurangnya mengajar sisuami betapa susah dan seksanya melahirkan anak. Zaman saya baru-baru kahwin dulu orang lelaki tidak dibenarkan masuk ke bilik bersalin, tapi sekarang dah boleh, malangnya isteri saya dah tak mahu bersalin lagi !!!

Dua hari lepas, saya menerima berita gembira yang ditunggu-tunggu selama ini, anak perempuan saya yang kedua mendapat tawaran sebagai pensyarah UITM. 

Alhamdulillah, inilah yang dikatakan anugerah berganda dalam masa beberapa hari ini. Mudah-mudahan saya tidak lalai dan lupa diri dengan pelbagai anugerah dan nikmat yang dikurniakan. Terima kasih Allah, sesungguhnya hamba bersyukur di atas segala nikmat yang tidak putus-putus dikurniakan sepanjang tahun ini.

Tuesday, October 4, 2011

Tanda-Tanda AWAL KANSER Yang Tak Pernah Di EndahKan!

Tanda-Tanda AWAL KANSER Yang Tak Pernah Di EndahKan!
Posted on Monday, October 03 @ 14:00:00 PDT
Artikel
Oleh: setisab

"

Malaysian Health Journal (cancer / kanser) Biasanya pesakit kanser hanya menyedari dia mengidap kanser bila penyakitnya sudah pada peringkat 4. Dan, selalunya keadaan ini dianggap sudah terlalu lewat. 
 
Sebenarnya. dari peringkat awal kanser menyerang tubuh kita, tanda-tanda penyakit ini sudah ada tetapi kita sering mengandaikan yang tanda-tanda itu sebagai 'Tidak apa-apa', cuma sakit biasa sahaja. Kita pun mengambil langkah 'bijak' kita sendiri iaitu menelan panadol atau membeli ubat di farmasi.

Adakah anda pernah membuat pemeriksaan tahunan seperti ujian colonoscopies atau ujian PSA? Tentu ramai yang menggelengkan kepala. Tidak mengapa kerana meskipun penting, setakat membuat ujian seperti itu belum tentu dapat melindungi anda daripada kanser. 

Anda tentu tidak mahu menyertai barisan pesakit kanser yang terlambat menyedari, bukan? Jadi, perhatikan perkara-perkara berikut. Mungkinkah ia merupakan penggera awal, notis pemberitahuan bahawa sel-sel kanser sedang mula bertapak dalam tubuh anda?
 
1. Sakit perut atau senak perut.
Salah satu tanda-tanda awal penyakit kanser kolon ialah berulangkali mendapat / mengalami sakit perut tanpa sebab. 

2. Sakit yang seperti sesuatu menusuk masuk ke pankreas mungkin tanda kanser pankreas

3. Perut kejang dan sakit perut berterusan.
Petanda kepada kanser hati, mungkin juga leukimia kerana pada ketika ini, limpa sedang dibesarkan, menekan-nekan sebelah kiri perut yang sedikit rendah. 

Nampaknya, sakit perut bukan perkara yang boleh diambil ringan. Jadi, jika anda mengalami sakit perut dan ia bukan berpunca akibat tersalah makan atau bukan masalah pencernaan, jumpalah doktor anda, mintalah dia arahkan pemeriksaan menyeluruh dan buatlah 'ultrasound'

4. "Asid perut" kronik atau rasa perut penuh selepas makan yang sedikit.
Tanda awal yang paling lazim untuk kanser perut adalah kesakitan di bahagian abdomen atas atau pertengahan perut. Anda merasa bagaikan perut anda dipenuhi gas dan selalu rasa pedih hulu hati. Ia mungkin terjadi selepas anda makan dan rasa kenyang biarpun anda baru makan sedikit sahaja. Oleh kerana rasa sakit ini boleh dihilangkan jika anda makan ubat mengandungi antasid, anda mungkin mengabaikan sahaja kesakitan itu.

Sakit yang tidak diketahui puncanya atau sakit di sebelah kanan yang lebih rendah boleh menjadi tanda awal kanser hati, yang dikenali sebagai salah satu "pembunuh senyap." Perasaan kenyang selepas hidangan yang kecil adalah tanda biasa kanser hati juga. 

Jika anda mempunyai serangan kerap asid perut, sakit perut yang tidak dapat dijelaskan, atau perasaan penuh selepas makan walaupun anda makan kurang daripada biasa, hubungi doktor anda. 

5. Kehilangan berat badan.
Anda seorang yang tidak aktif, nak bergerakpun malas tetapi tetiba berat badan anda turun tanpa dapat dijelaskan, ketahuilah bahawa inilah petanda awal kanser kolon. Kehilangan berat badan yang tidak dapat dijelaskan boleh juga menjadi tanda kanser yang merebak ke hati, memberi kesan kepada selera anda dan keupayaan badan anda untuk membersihkan sendiri sisa. 

4. Jaundis / demam kuning.
Barah pankreas, satu lagi salah satu "pembunuh senyap," sering ditemui apabila seseorang mengidap jaundis. Jaundis adalah kuning kulit atau kuning kornea mata, tetapi air kencing menjadi lebih gelap daripada biasa yang bukan disebabkan dehidrasi, najis berwarna merah tanah liat malah penyakit kuning juga boleh menyebabkan kegatalan akibat garam hempedu yang terlepas memasuki aliran darah. Sesetengah orang yang mengidap barah pankreas mengatakan, mereka perasan kulit mereka rasa gatal sebelum mereka menyedari bahawa mereka mengidap jaundis. 

5. Berdehit atau sesak nafas.
Sesak nafas, sakit dada, atau darah keluar bersama air ludah adalah tanda-tanda kanser testis yang sudah merebak ke paru-paru. 

6. Batuk yang kronik atau sakit dada.
Beberapa jenis kanser, termasuk tumor, leukemia dan kanser paru-paru, boleh menyebabkan gejala yang meniru batuk atau bronkitis yang teruk. 

Satu cara untuk memastikan apakah anda mengidap kanser atau tidak.
Gejala-gejala itu berterusan, atau tanda-tanda itu hilang sekejap kemudian datang semula berulang-ulang. Sesetengah pesakit kanser paru-paru memberitahu yang sakit dada dialami itu menjalar hingga ke bahu atau ke bawah lengan. 

7. Kerap demam atau terkena jangkitan. 
Ini boleh menjadi tanda-tanda leukemia, kanser sel darah yang bermula dalam sum-sum tulang. Leukemia menyebabkan sum-sum tulang menghasilkan sel darah putih yang tidak normal, yang mengerumuni sel darah putih yang sihat, mengurangkan daya tahan / keupayaan melawan jangkitan kuman. Doktor kadang-kadang mengesan leukemia di kalangan orang dewasa yang lebih tua hanya selepas pesakit telah beberapa kali mengadu demam, sakit, dan simptom seperti selesema dalam tempoh masa yang panjang. 

8. Kesukaran menelan.
Yang sering dikaitkan dengan kanser esophageal atau tekak, kesukaran menelan kadang-kadang salah satu daripada tanda-tanda awal kanser paru-paru juga. Lelaki yang didiagnosis dengan kanser esophageal mengalami rasa sakit ketika menelan makanan/minuman. Kadang-kadang anda rasa ada sesuatu tersekat di kerongkong. Dapatkan nasihat doktor kerana pada saat ini mungkin esofagus anda sudah menjadi sempit atau ada tumor dalam kerongkong. 

9. Gastroesophageal penyakit refluks (GERD) - satu keadaan di mana asid perut naik ke dalam esofagus, menyebabkan pedih hulu hati dan rasa berasid di tekak - boleh mencetuskan satu keadaan yang dikenali sebagai esofagus Barrett, yang boleh menjadi penyebab kanser esophageal.

10. Bengkak muka
Sesetengah pesakit dengan kanser paru-paru lmengalami keadaan bengkak atau kemerahan di muka. Ini terjadi kerana sel tumor kecil menghalang saluran darah di dada, mencegah darah daripada mengalir dengan bebas daripada kepala dan muka. 

11. Nodus limfa yang bengkak di kawasan-kawasan leher, ketiak, atau pangkal paha (ketulan)
Pembesaran limfa di leher atau ketiak kadang-kadang ialah tanda tiroid, kanser otak atau kanser tekak. Bengkak yang tidak menyakitkan pada leher, ketiak, atau pangkal paha ialah juga tanda awal leukemia. 

12. Lebam Teruk atau pendarahan yang tidak berhenti
Gejala tidak normal pada platelet dan sel darah merah, boleh menjadi tanda-tanda leukemia. Tanda-tandanya ialah gusi berdarah semasa menggosok gigi dan lebam di tempat-tempat seperti jari dan tangan. Ini kerana sel-sel leukimia mengerumuni sel-sel darah merah dan platelet lalu merosakkan keupayaan darah untuk membawa oksigen dan beku. 

13. Lemah dan letih
Sering merasa lemah, tak larat, letih adalah gejala bagi kebanyakan penyakit kanser yang tidak disedari sama sekali. Jadi jika anda berasa letih tanpa sebab sehingga susah hendak tidur, segeralah berjumpa doktor.

14. Pendarahan rektum atau darah dalam najis.
"Saya fikir ia buasir" adalah satu kenyataan yang paling biasa doktor mendengar apabila mendiagnosis kanser kolorektal. 

15. Sembelit, cirit-birit, dan perubahan dalam najis semua boleh menjadi tanda-tanda kanser. 
Seperti dengan banyak gejala kanser lain, cara untuk memberitahu jika ini adalah perkara yang membimbangkan ialah jika ia berlaku pada lebih daripada beberapa hari tanpa sebab yang jelas, seperti flu atau keracunan makanan. 

Orang yang didiagnosis mengidap kanser kolon sering memberitahu bahawa mereka lebih kerap membuang air besar dan masih tidak merasa lawas. 

Salah satu tanda-tanda awal kanser pankreas adalah najis berminyak, besar tetapi lebih pucat daripada biasa dan berbau sangat busuk kerana badan tidak menyerap makanan seperti sepatutnya. 

16. Sukar membuang air kecil
Tanda-tanda awal kanser prostat ialah anda tidak boleh kencing walaupun anda berasa hendak kencing .Bila sudah kencing pula anda susah hendak berhenti. 

17. Rasa sakit atau pedih semasa membuang air kecil. 
Gejala ini juga boleh menunjukkan jangkitan saluran kencing atau penyakit kelamin, sudah tentu, tetapi dalam hal mana-mana waran perjalanan serta-merta kepada doktor. Gejala ini sering digabungkan dengan perasaan bahawa anda perlu pergi lebih kerap, terutamanya pada waktu malam. Gejala-gejala ini yang sama juga boleh menunjukkan keradangan atau jangkitan pada prostat atau hiperplasia benign prostatic, nama apa yang berlaku apabila prostat membesar lebih besar dan menyekat aliran air kencing. Walau bagaimanapun, anda perlu mendaftar keluar untuk memberitahu perbezaan. 

18. Kencing berdarah dan darah dalam air mani. Adalah tanda bahaya kanser prostat. 

19. Masalah ereksi. 
Sukar mendapat atau mengekalkan ereksi adalah juga tanda anda mengidap kanser prostat.

20. Sakit pada pangkal paha, pinggul, atau abdomen
Satu tanda lain kanser prostat ialah lelaki kerap sakit di bahagian pinggang, peha, atau bahagian paling rendah di belakang. 

Kanser prostat yang telah merebak ke nodus limfa merupakan ketidakselesaan dalam pelvis atau bengkak di kaki. 

21. Bengkak buah zakar.
Ketulan yang menunjukkan kanser testis tidak langsung menyakitkan. Ia juga biasa bagi testis membesar atau membengkak. 

22. Sakit belakang yang tidak diketahui puncanya.
Sakit belakang boleh bermakna segala macam perkara. Sakit di belakang pinggang dan lebih rendah boleh menjadi tanda kanser prostat, manakala kesakitan di bahagian belakang atas tanda kanser paru-paru. Sakit di bahagian abdomen atas dan belakang adalah salah satu daripada beberapa tanda-tanda awal kanser pankreas. 

23. Puting tetek yang bersisik atau dan mengeluarkan cairan
Lelaki juga boleh mendapat kanser payudara, ya! Merekamengalami satu keadaan yang dipanggil gynecomastia, ada ketulan benigna di kawasan puting. Kanser payudara biasanya dikesan sebagai ketulan, tetapi jika ia merebak ke dalam, ia juga boleh menyebabkan sakit dada. 

Tanda-tanda lain kanser payudara termasuk tompok-tompok merah, bersisik, atau kulit lekuk atau perubahan pada puting seperti membelok masuk atau kebocoran bendalir. 

24. Kanser kulit merujuk kepada kesakitan kulit atau kulit yang tidak sembuh, menjadi berkerak, atau berdarah dengan mudah. Kebanyakan kita tahu bagaimana tahi lalat mungkin menunjukkan anda ada kanser kulit tetapi cari juga tanda-tanda lain seperti ketulan kecil yang berlilin atau sisik kering.

Biasakan diri anda dengan pelbagai jenis kanser kulit - melanoma, sel basal karsinoma dan karsinoma sel skuamus - dan berhati-hati memeriksa kulit di seluruh tubuh untuk pertumbuhan yang kelihatan ganjil atau bintik. 

25. Perubahan pada kuku.
Perubahan yang tidak dapat dijelaskan pada kuku boleh menjadi tanda beberapa jenis kanser. Coretan coklat atau hitam atau titik di bawah kuku boleh menunjukkan kanser kulit. 

Jika ada pembesaran hujung jari, dengan bahagian hujung kuku melengkung ke bawah boleh menjadi tanda kanser paru-paru.

JIKA ADA MANA-MANA TANDA DIATAS, SEGERALAH BERJUMPA PAKAR PERUBATAN. JANGAN TUNGGU LAGI!

Sumber: Malaysia Health Journal