Cg Syed

Wednesday, May 15, 2013


Antara ilusi dan harapan
    Hishamuddin Rais

Ilusi bermakna angan-angan. Malah tidak ada perkataan yang cukup tepat untuk menerangkan makna perkataan ilusi ini. Angan-angan Mat Jenin pun memiliki asas kerana ketika Mat Jenin berangan-angan dia sebenarnya sedang membuat sesuatu yang positif - memanjat pokok kelapa - untuk membuat modal berniaga. Ilusi tidak memiliki asas. Justeru, lebih tepat kalau saya katakan ilusi ini angan-angan karut lagi marut.

Harapan juga boleh bertukar menjadi ilusi jika harapan tidak dibantu dengan usaha dan kerja. Mengharapkan sesuatu tetapi tidak melakukan apa-apa ialah ilusi. Ini samalah seperti kisah Pak Lebai yang heboh berlabun hendak ke Mekah tapi bukan sahaja pasprot belum dilamar, malah gambar kad pengenalan pun belum diambil.

Apa yang menarik ialah ilusi dan harapan ini boleh berlaku atau dilakukan tanpa pelaburan atau kerja keras. Ilusi boleh dipasang luas tanpa modal. Mengharap tanpa bergerak. Pada hemat saya pada tanggal 5 Mei 2013 yang lalu kita melihat ilusi dan harapan terbarai.

Saya tidak mahu menulis "kan aku dah cakap" atau "orang cakap hang tak dengar" tetapi apa yang sahih PRU13 ini telah memecahkan ilusi dan harapan anak semua bangsa yang ramai. PRU13 yang baru berlalu telah membuktikan bahawa apa yang telah tulis selama ini bukan tohmah, bukan fitnah bukan kesah dongeng tetapi telah menjadi fakta.

Babak-babak ang berlaku pada Ahad 5 Mei 2013 semuanya telah saya tulis. Malah hampir dua tahun - berpuluh-puluh kali saya telah menulis dan menerangkan secara jujur bahawa pilihan raya yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di Malaysia ini adalah satu penipuan. Saya juga secara hitam putih telah menulis tanpa segan tanpa silu untuk membuktikan kepada anak semua bangsa bahawa SPR ini adalah budak suruhan setia United Malays National Organisation.

Saya juga telah menulis berpuluh kali menerangkan bahawa TUGAS asas SPR ialah untuk memastikan United Malays National Organisation menang atau sentiasa menang. Tugas ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara, dengan kerjasama Mahkamah, dengan kerjasama Peguam Negara, dengan kerjasama PDRM dan dan dan berpuluh belas jabatan kerajaan.

Ketua Jabatan dan Pegawai tinggi dalam lembaga-lembaga ini dipilih bukan kerana mereka berilmu, bukan kerana mereka sosok yang jujur tetapi kerana mereka akan taat setia dengan Ketuanan Melayu. Mereka memiliki kepentingan ekonomi untuk memastikan gerombolan Ketuanan Melayu menang. Jika gerombolan ini tewas maka benggolan-benggolan yang hidup mewah ini akan kekeringan mata pencarian. Malah ramai antara mereka akan didakwa dan besar kemungkinan banyak yang akan dipenjara.

Justeru, kita melihat tugas menipu ini telah dilakukan dengan jayanya oleh SPR dalam PRU13 yang baru selesai 5 hari dahulu. Justeru, saya merasa bangga kerana saya telah mengumpulkan semua tulisan tentang penipuan SPR ini kedalam sebuah buku - Tipu Pilihan Raya Turun Jalan Raya. Dalam buku ini saya telah menulis secara terperinci tentang cara dan teknik penipuan yang telah dirancang.

Wong Tuck ketua Himpunan Hijau di Bentong telah ditipu dengan teknik lampu padam. Calon PKR di Tanah Merah, Nik Mahmud telah ditipu kerana Borang 14 dan Pacaba dibeli. Bangla datang mengundi. Mat Indonesia datang mengundi. Peti undi bertukar. Peti undi masuk lambat. Peti undi jatuh dari helikopter. Borang 14 tidak sampai. Borang 14 tidak ditanda tangan. Undi rosak lebih banyak dari undi menang. Pengiraan cara tipu. Semua perkara dan tekbik penipuan ini telah saya tulis. Semuanya telah saya huraikan. Malah buku saya itu akan menjadi rujukan bagaimana warga Malaysia anak semua bangsa telah ditipu berkali-kali dalam pilihan raya.

Saya juga telah menulis dan menerangkan bahawa dalam Dunia Ketiga - pilihan raya belum pernah dapat mengubah kerajaan. Dalam Dunia Ketiga jika pilihan raya boleh mengubah apa-apa telah lama pilihan raya diharamkan. Dalam Dunia Ketiga kerajaan berubah kerana rampasan kuasa tentera. Berubah kerana pemberontakan bersenjata oleh orang ramai. Para diktaktor yang zalim dan ganas diburu lari oleh gerakan massa oleh anak muda dan belajar.

Untuk penjelasan - Dunia Pertama ini maknanya ialah Amerika Syarikat. Dunia Kedua ialah Eropah Barat. Dunia Ketiga ialah negara-negara Asia, Afrika dan Amerika Latin. Maka Malaysia termasuk dalam kategori Dunia Ketiga. Justeru di mana-mana pun dalam Dunia Ketiga ini watak pilihan Raya tidak pernah berubah.

Suharto dari Jakarta , Marcos dari Manila, Pak Chung Hee dari Korea Selatan, Mubarak dari Mesir, Zia Ul Haq dari Pakistan, Zainal Abidin dari Tunisia - adalah contoh-contoh terbaik bagaimana kerajaan pimpinan mereka hanya dapat diubah melalui gerakan massa. Apabila rakyat turun ke jalan raya maka barulah para diktator ini dihumbankan. Pilihan raya tidak pernah berjaya mengalah para diktator ini.

Kenapa tidak dapat dikalahkan? Jawabnya senang sahaja. SPR Mubarak, SPR Marcos, SPR Suharto - telah bekerja siang dan malam untuk memastikan ‘bos' mereka terus memegang kuasa. SPR di Kenya ke, di Colombia ke, di Mexico ke - semua sama. Menjalankan pilihan raya dengan menipu.

Sejarah membuktikan bagaimana gerakan massa - anak muda, pelajar dan warga kota - turun ke jalan raya dan menghalau Marcos, menghalau Suharto, menghalau Zainalk Abdin. Sesudah Marcos dihalau, sesudah Suharto di halau, sesudah Pak Chung Hee di halau - barulah satu pilihan raya baru dijalankan. Sebuah lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas diwujudkan. SPR baru ini dinobatkan untuk mengendalikan satu pemilihan yang baru. Ini berlaku di Mesir sekarang. Ini tekah berlaku di Filipina. Di Indonesia pilihan raya mereka Jurdil - jujur, bebas dan adil.

Hakikatnya, untuk kita di Malaysia ini, selagi SPR yang dipilih oleh United Malays National Organisation wujud selagi itu penipuan berlaku. Selagi SPR ini wujud - sampai kiamat pun - Pakatan Rakyat atau apa apa sahaja parti politik tidak akan dapat mengalahkan United Malays National Organsiation.

Saya telah menulis dan menerangkan bahawa yang dilawan oleh penyokong Pakatan Rakyat bukan parti United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya dalam Barisan Nasional. Parti Ketuanan Melayu ini telah lama ‘kaput'. Yang dilawan dan ditentang oleh Pakatan Rakyat adalah jentera daulah. SPR hanya yang jelas dilihat. Ada JPN, ada PDRM, ada MKN, SKMM, SPRM dan dan dan. Semua lembaga ini bersekongkol untuk mewujudkan satu sistem penipuan.

Ada sistem penipuan yang diwujudkan secara berselindung dengan Undang-Undang Kecil Pilihanraya. Ada penipuan yang dirancang tanpa berselindung. Yang berselindung dengan undang-undang ini contohnya seperti Pengundi Awal. Menggunakan dakwat kekal. Menggunakan Borang 14. Yang tidak berselindung ialah membawa Mat Bangla datang mengundi. Atau Orang Burma menjaga Pekan kawasan Najib Razak. Atau memastikan tentera mengundi United Malays National Organisation.

Dakwat kekal terbukti satu penipuan yang terang-terang. Tetapi di belakang semua ini ialah sistem Pengundi Awal. Dari sistem inilah mencurah-curah masuk kertas undi yang memenangkan United Malays National Organisation.
Rasa saya kita tidak guna terus memperkatakan hal penipuan ini. Penipuan telah jelas. Saya rasa tidak ada lagi para pembaca yang akan memiliki ilusi bahawa ada kemungkinan untuk Pakatan Rakyat menang dalam PRU14. Pada 5 Mei 2013 semua ilusi ini pecah berderai. Justeru kuliah 5 Mei wajib dijadikan kuliah politik untuk kita mendewasa.

Lalu timbul persoalan hakiki: Apa yang wajib dilakukan sekarang? Pertama orang ramai wajib sedar bahawa kerajaan Najib Rosmah ini adalah kerajaan haram. Kerajaan ini tidak ada sokongan rakyat. Undi popular - undi terbanyak - dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Justeru orang ramai - anak semua bangsa - tidak perlu menerima kemenangan United Malays National Organisation. Orang ramai tidak perlu tunduk dan bertaat setia kepada Najib dan Rosmah. Dua manusia ini tidak memiliki apa-apa kelayakan untuk memimpin.

Tidak cukup dengan ini sahaja, lebih dari 150,000 anak semua bangsa telah turun ke jalan raya. Mereka berhimpun di Stadium Kelana Jaya. Gerakan massa seperti ini ini wajib diteruskan. Johor dan Pulau Pinang mengadakan perhimpunan yang sama. Setiap kota wajib mengadakan tunjuk perasaan yang sama. Penolakan orang ramai terhadap keputusan pilihan raya ini wajib dikekalkan.

Tidak menerima keputusan PRU13 adalah tepat. Penolakan ini wajib terus diperhangatkan. Bara kemarahan ini wajib terus dikipas. Ini untuk memastikan kuliah politik pada 5 Mei 2013 akan terus segar. Cerita-cerita karut untuk membawa kes ini ke mahkamah juga wajib dijadikan kuliah. SPR dan benggolan dari Ketuanan Melayu sedang meloncat-loncat mengarahkan Pakatan Rakyat atau yang tak puasa hati untuk membawa kes ‘penipuan' ke mahkamah.

Apa maknanya ini? Kenapa digalakkan bawa ke mahkamah? Jawapan cukup senang. Bila kes dibawa ke mahkamah maka akan padamlah kemarahan rakyat. Kes dibawa ke mahkamah akan sekali lagi menimbulkan ilusi bahawa mahkamah itu boleh menentukan. Rubbish. Hukum politiknya amat senang. Apa yang disukai oleh musuh ertinya itu jalan salah. Apa yang dilarang oleh musuh itu jalan betul. Mahkamah ini juga adalah sebahagian dari sistem yang bersekongkol dengan SPR. Justeru, kes ke mahkamah wajib dijadikan satu lagi kuliah politik bahawa mahkamah adalah alat yang sama seperti SPR.

Mahkamah ini hanya kilang membuat ilusi. Untuk memadamkan ilusi ini anak semua bangsa wajib meneruskan gerakan jalan raya. Ilusi akan diganti dengan perbuatan bukan dengan harapan. Tidak ada sesiapa dalam dunia ini akan mengagihkan Kuasa dan Kebebasan. Kuasa dan Kebebasan hanya dapat dirampas dengan Perlawanan. Berlawanlah untuk memadamkan semua ilusi. Hanya dengan melawan baru tercapai kemenangan.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Posted by SYED OTHMAN at 12:26 PM No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Tuesday, May 14, 2013


Masalah pembelajaran anak

Bersama Haji Lokman Abdul Hamid
TANYA apa saja mengenai pelbagai masalah berkaitan penyakit fizikal atau spiritual.
Sebarang soalan boleh e-mel ke lokman.alhidayah@gmail.com
www.alhidayah-medic.com

Soalan:
ASSALAMUALAIKUM Haji Lokman. Boleh berikan ayat-ayat Al-Quran untuk menggalakkan anak rajin belajar dan tidak degil?
Syed Othman, Kuala Terengganu

Jawapan:

Terima kasih di atas soalan yang amat popular di kalangan ibubapa yang berkunjung ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

Anak adalah amanah Allah. Ibubapa bertanggungjawab mendidik agar mereka sedar mereka khalifah Allah di muka bumi. Ilmu pengetahuan tinggi tanpa akhlak baik, seolah-olah melahirkan anak yang cacat. Kini ibu bapa, guru dan masyarakat terlalu fokus kepada keputusan peperiksaan cemerlang dan mengabaikan didikan akhlak dan sahsiah diri.

Ibubapa sanggup berbelanja besar menghantar anak ke tuisyen terutama yang bakal menghadapi peperiksaan utama. Malangnya mata pelajaran Al Quran, fardu ain, akhlak dan sahsiah diri kurang diberi perhatian. Kini, terbukti anak cemerlang dalam peperiksaan datang daripada sekolah yang menekankan pendidikan Al Quran dan Agama Islam.

Contoh yang boleh dijadikan iktibar seperti kisah kejayaan Adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan yang mendapat 20A dalam peperiksaan SPM beberapa tahun lalu. Beliau hanya anak nelayan dalam keluarga miskin, tetapi mampu cemerlang.

Kita harus sedar dan faham, didikan anak sebagai Muslim sejati memerlukan perhatian daripada aspek jasmani dan rohani. Makanan jasmani dapat disediakan. Bagaimana dengan makanan rohani seperti solat, bacaan Al Quran dan makanan bersih lagi halal? Adakah kita mengambil berat persoalan penting ini?

Anak-anak yang menjadikan rutin membaca Al Quran setiap hari dan sentiasa mendirikan solat, lazimnya hati mereka lembut dan mudah mendengar kata.

Ini sesuai dengan maksud firman Allah; "Dan kami turunkan sebahagian dari Al-Quran (ayat-ayat) sebagai penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Isra - 18)"

Perkara yang kita sering lupa selaku ibu bapa ialah matlamat mencari ilmu. Kita sering mengingatkan anak-anak rajin belajar supaya bila dewasa, ada ijazah bagi mencari pekerjaan. Tujuan belajar untuk habuan keduniaan, bukannya satu ibadah.

Kita fikir kalau gagal peperiksaan, gelap masa depan. Sedangkan, tujuan menuntut ilmu ialah mematuhi perintah Allah. Rasulullah saw pernah berpesan lebih kurang bermaksud, jika hendak senang di dunia atau akhirat perlu menuntut ilmu.

Kisah Luqman Al Hakim dalam Al-Quran sangat jelas dijadikan panduan dan pengajaran dalam pendidikan. Al-Quran menghidangkan petua dan wasiat bagaimana Luqman mendidik anaknya dalam Surah Luqman dalam ayat 13 hingga 19.

Kita perlu mengenali Luqman supaya kita boleh mencontohinya. Bagaimana Luqman Al-Hakim mencapai makam mulia?

Menurut Imam Ibnu Jarir daripada Amru Ibnu Qais, seorang lelaki pernah menyoal Luqman mengenai perkara itu.
Luqman menjawab: “Semua adalah kehendak Ilahi. Bagaimanapun, aku sentiasa menunaikan amanah yang dibebankan ke atas diriku. Aku juga sentiasa bercakap benar dan aku menjauhi setiap perkara yang tidak mendatangkan faedah bagiku."

Ramai ibu bapa tidak mengetahui bahawa ‘wasiat’ Luqman kepada anaknya adalah teknik khusus mendidik anak. Jika teknik ini diamati lalu dipraktikkan dalam kehidupan seharian, nescaya lahir anak Muslim beriman dan bertakwa kepada Allah. Masalah malas, tidak fokus kepada pelajaran atau melawan ibu bapa mampu diatasi.

Cuba kita renungkan intisari ayat 13 hingga 19 surah Lukman;

13. “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

Pertama, kita perlu tanamkan sifat tidak syirik kepada Allah kerana ia perbuatan zalim, maksudnya meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Contohnya, tujuan belajar bukan untuk dapat kerja tetapi patuh perintah Allah.

Orang yang semakin tinggi ilmunya, sepatutnya makin takut kepada Allah. Bukan semakin ingkar dan derhaka kepada Allah.

14. "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."

Kedua, anak-anak perlu dididik supaya taat dan hormat kedua ibubapa, rasa terhutang budi kepada ibu bapa, menyedarkan mereka bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Reda Allah bergantung kepada reda ibu bapa.

15. "Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan."

Patuh kepada ibu bapa kepada perkara tidak bercanggah dengan perintah Allah.

16. "(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi."

Anak-anak perlu sentiasa diingatkan, apa sahaja yang mereka fikirkan, lakukan semuanya diketahui Allah dan akan dibalas oleh Allah di akhirat kelak.

17. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya."

Solat wajib didirikan, tidak kira dalam apa keadaan. Mengapa perlu solat? Kerana Allah berjanji solat mampu mencegah daripada melakukan perkara tidak baik.
Contohnya sikap malas belajar, adalah perkara keji dan mungkar. Solat sukar dilaksanakan pada awalnya, tetapi jika dilatih, ia menjadi mudah. Itulah sebabnya Rasulullah saw berpesan. “Suruhlah anak-anak mendirikan solat sewaktu berumur tujuh tahun dan rotanlah sewaktu berumur 10 tahun, jika meninggalkan solat."

Sikap sabar perlu ditekankan dari awal. Anak-anak perlu dilatih agar tidak semua keinginan mereka mesti dipenuhi.

18. "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."

Anak perlu dididik mempunyai hati kasih belas dan sentiasa ingin membantu. Sikap pemurah, tidak kedekut, suka berkongsi ilmu dan mengajar rakan yang lemah dalam mata pelajaran perlu ditanam kerana Allah suka orang yang pandai mengajar mereka.

19. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".
Ibubapa perlu memberi contoh komunikasi berkesan. Cara berinteraksi dengan anak perlu sopan, tertib dan tidak menengking.

Saidina Ali berpesan, jika percakapan datang dari hati yang ikhlas ia akan sampai ke dalam hati, tetapi jika percakapan datang dari lidah maka ia akan masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tiada kesan positif.

Penutup

Sebelum menyuruh anak-anak rajin solat dan baca Al Quran, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik.
Mungkin kita terlalu sibuk, tetapi dengan kemudahan teknologi maklumat, terlalu banyak kemudahan yang Allah sediakan untuk kita menggunakannya.

Berikut adalah ayat Al Quran yang boleh dijadikan amalan harian agar hati anak lapang dan mudah belajar;

Surah Yassin ayat 72 hingga 83
Surah Ar Rahman ayat 21 hingga 60

Anak harus dibimbing untuk amalkan ayat tersebut setiap hari dan masa terluang.

Paling penting, iringi bacaan dengan doa kepada Allah supaya dikurniakan hati dan minda lebih fokus kepada pelajaran.

InsyaAllah, Allah sentiasa mendengar dan memerhati setiap usaha dan doa hambaNya yang tekun berusaha. Jangan berdoa tanpa usaha.


Artikel Penuh: 
http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130512/ba_01/Masalah-pembelajaran-anak#ixzz2TDsgjZOk 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Posted by SYED OTHMAN at 8:53 AM No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Monday, May 13, 2013


Amalan Sepanjang Bulan Rejab


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Umat Islam digalakkan beribadat sebanyak mungkin dalam bulan Rejab sebagai satu latihan sebelum mereka menghadapi bulan Ramadan kerana pada bulan ini Allah SWT banyak memberikan Rahmat-Nya.
Ia adalah permulaan bulan mulia dan bagi mempertingkatkan ibadat dan ketaqwaan, terutama melipat-gandakan amal soleh seperti istighfar dan puasa sunat. Rasulullah SAW bersabda: “Kembalilah kepada tuhan kamu dengan keampunan daripada dosa-dosa kamu dan hindarilah perbuatan maksiat dalam bulan mulia, iaitu Rejab.”
Rejab sebagai bulan penebus dosa serta menambah ganjaran pahala juga mempunyai banyak kelebihan dan bermanfaat. Beberapa amalan yang baik dilakukan dalam bulan Rejab ialah:
  • Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun
  • Meneguhkan jiwa dan keimanan dengan memperbanyak bacaan al-Quran.
  • Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan beristighfar dan zikir
  • Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat, puasa dan bersedekah
  • Mohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya
  • Menginsafkan diri dengan membaca atau mendengar peristiwa Israk dan Mikraj, kisah teladan perjuangan Rasulullah dan sirah Islam lain.
Dari  Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda: “ Sesiapa membaca kalimah berikut, pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan di antara waktu Zuhur dengan Asar; nescaya disuruh dua malaikat untuk menghapuskan surat kejahatan.”
 .
اَسْتَغْفِرُاللهَ الْعَظِيْمُ الَّدِىْ لآ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ وَاَتُوْبُ اِلَيْهِ تَوْبَةَ عَبْدٍ ظَالِمٍ لاَ يَمْلِكُ لِنَفْسِهِ ضَرًّا وَلاَ نَفْعًا وَلاَ مَوْتًا وَلاَ حَيَاةً وَلاَ نُشُوْرًا.
Daku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus! Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tiada menguasai akan dirinya dan tidak mampu membuat, menolak mudharat dan manfaat serta tidak dapat menguasai kematian, hidup dan kebangkitan.
AMALAN MALAM REJAB
  1. Solat sunat Tahajud 2, 8 atau 12 rakaat.
  2. Solat sunat Tasbih, Taubat dan sunat witir.
  3. Beristighfar 70 kali, 100 kali atau lebih..
  4. Berdoa.
  5. Memohon keampunan diri dan ibu bapa.
  6. Berselawat, berzikir dan bertasbih sehingga fajar subuh.

MALAM 27 REJAB

Beramallah bersungguh-sungguh dengan berjaga sepanjang malam bagi melakukan ibadah solat-solat sunat, beristighfar, bertahmid, berzikir, bertasbih, berselawat dan berdoa. Bersahurlah sebagai persediaan puasa pada siangnya dan amal ibadat yang lain.
Sekiranya tidak dapat diamalkan setiap hari dan malamnya pada bulan Rejab, maka amalkanlah pada hari Isnin, Khamis  dan Jumaat. Jika tidak dapat lakukan kesemuanya, janganlah tinggalkan semuanya.

 AMALAN BULAN REJAB

1. Bersolat
  1. Solat-solat sunat mengiringi solat fardhu.
  2. Solat sunat Israk, solat sunat Dhuha dan solat sunat Taasbih.
2. Bertaubat
Bertaubat dan berdoa mohon keampunan agar diterima amalan ibadat, minta selamat dunia dan akhirat, minta dilimpahi rahmat, minta dilepaskan daripada azab-Nya di akhirat dan mohon dimasukkan ke syurga.
Dalam Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa-dosa orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Sekiranya ditambah dengan berpuasa Rejab wajib baginya;
    1. diampunkan dosanya yang lalu.
    2. dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
    3. terlepas dari dahaga di hari kiamat.
3. Berzikir ~ Tahlil, Takbir dan Istighfar selepas Solat Fardhu Subuh dan Asar 
4. Tiga Tasbih; Setiap satu, 100 kali :
5. Tasbih Pada Setiap Sepuluh Hari Rejab :
6. Istighfar Tauhid; 1 ~ 30 Rejab :
7. Berselawat : 
8. Beristighfar Pagi dan Petang :-
9.  Membaca surah Al-Ikhlas sekurang-kurangnya  11 kali setiap hari.
10.  Membaca Al-Quran.

ISTIGHFAR

Rasulullah saw menganjurkan umatnya agar memperbanyakkan istighfar. Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka. Dan banyakkanlah beristighfar pada Rejab kerana pada setiap saat dalamnya Allah menyelamatkan seorang daripada api neraka.
1.  Penghulu Istighfar adalah di antara istighfar  yang diamalkan Baginda sepanjang Rejab:
2.  Istighfar paling baik dalam bulan Rejab:

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
Artikel Berkaitan:
 Doa Rejab  (Klik Di Sini) 
  1. Zikir Rejab  (Klik Di Sini) 
  2. Puasa Rejab  (Klik Di Sini) 
  3. Bulan Rejab Datang Lagi    (Klik Di Sini) 
  4. Kelebihan Bulan Rejab  (Klik Di Sini) 

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

http://shafiqolbu.wordpress.com/2011/06/05/amalan-sepanjang-bulan-rejab/

Posted by SYED OTHMAN at 9:12 AM No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Teras tuntut Najib perjelas kenyataan Ahmad Said

Harakahdaily,
12 Mei 2013


KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) kesal Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyatakan tidak ada pembangunan perumahan mampu milik  disediakan di kawasan BN kalah.


Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ini bermakna Ahmad bukan menjadi MB kepada hampir 48.48% rakyat Trengganu yang telah menolak BN.

Katanya, bermakna juga Ahmad seolah-olah mengatakankan hanya separuh sahaja Trengganu yang akan dibangunkan iaitu di kawasan yang BN menang sahaja.

Malah beliau mengumumkan Kerajaan Negeri Terengganu tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang BN kalah dalam pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas.


Ahmad dilaporkan berkata rakyat di kawasan Parlimen dan Dun berkenaan perlu meminta bantuan daripada wakil rakyat yang mereka pilih.

“Inilah sikap pemimpin BN yang bebal dengan rakyat yang menolak BN. Sikap yang sama juga dizahirkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Sri Ali Rustam apabila kalah di Parlimen Bukit Katil yang merakamkan kekesalan kepada rakyat yang menolak beliau dalam PRU13.

“Kami sangat kesal dengan sikap bebal yang jelas menunjukkan bahawa sebenarnya BNlah yang tidak boleh menerima kekalahan lalu rakyat menjadi mangsa,” ujar Mohd Azmi dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sikap mendera rakyat apabila tidak menyokong BN semacam menjadi sebati dalam pemikiran politik pemimpin BN.

Jelas sekali, katanya sikap tidak demokratik malah sangat berbau politik tidak berrtamadun ini terserlah apabila seorang MB yang baru mengangkat sumpah akan berkhidmat kepada seluruh rakyat di hadapan Sultan tiba-tiba mangatakan "pembangunan akan diteruskan seperti yang telah dijanjikan, namun pembinaan rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan Dun yang kita (BN) kalah, kita akan bina di kawasan yang dimenangi BN".

Ini, katanya bermakna lafaz sumpah perlantikan MB untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat yang terkandung dalam lafaz angkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu adalah suatu pembohongan dan pengkhianatan bukan sahaja menyalahi Perlembagaan negeri malah mengkhianati Sultan sendiri.

Menurutnya, ini adalah pengkhianatan kepada janji yang pertama dilafazkan oleh seorang MB yang merasa terancam apabila hampir separuh rakyat Terengganu yang mengundi pada PRU13 menolak BN.

“Perdana Menteri harus menjelaskan adakah ini dasar pembangunan yang akan dilaksanakan di negeri-negeri yang diperintah oleh BN,” katanya.


Tambahnya, sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin BN ini menandakan natijah dari keputusan PRU13 telah menonjolkan pendirian dendam kepada rakyat.

“Kami mendesak samada PM memperbetulkan sikap Ahmad Said ini dan mengarahkan kenyataan itu ditarik balik atau mengesahkan bahawa inilah sikap yang diamal oleh semua pemimpin BN di negeri yang ditadbir oleh BN.

“Berdalih bahawa kenyataan Ahmad Said disalahfahami dan diputar belit tidak akan menyelesaikan isu ini selagi pendirian yang jelas dari PM tidak dikeluarkan,” katanya lagi


Posted by SYED OTHMAN at 8:57 AM No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest
Boleh berjaya walau tak cemerlang
REJAL ARBEE

BANYAK akhbar memberi tumpuan kepada calon yang mendapat 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu.

Ia dipaparkan di muka depan kebanyakan akhbar arus perdana, dan dinyatakan 15,793 calon tahun lalu mendapat gred A bagi semua mata pelajaran diambil, meningkat 0.13 peratus berbanding 15,079 calon pada 2011.

Penulis bukan hendak mempersoalkan tumpuan akhbar kepada keputusan cemerlang ini, tetapi ia hendaklah tidak menjadi suatu yang dimegahkan dalam mana pelajar lain juga mendapat keputusan baik atau lulus.

Apa perlu dipertimbangkan juga ialah kedudukan murid-murid yang gagal dalam peperiksaan itu, termasuk yang hanya memperoleh kelulusan ‘borderline’.

Apakah mereka ini harus diabaikan sahaja untuk berusaha sendiri menghadapi masa depan yang tidak menentu atau apakah tidak boleh dilakukan usaha untuk memberi mereka ini peluang kedua bagi mencapai kejayaan.

Mereka ini juga adalah rakyat yang boleh memberi sumbangan berguna kepada negara sekiranya diberi bimbingan baik. Maka itu usaha perlu diberikan kepada mereka yang tercicir ini.

Pelbagai usaha boleh difikirkan supaya aset muda-mudi yang gagal atau lulus tahap biasa ini tidak terus menghadapi kegagalan dalam kehidupan hingga akan membebankan keluarga dan akhirnya negara sendiri.

Memang murid yang mencapai tahap kecemerlangan patut diberi pengiktirafan. Tentunya ibu bapa, sekolah dan guru-guru berbangga dengan pencapaian tersebut.

Dalam mengiktiraf pelajar-pelajar demikian, keputusan baik dalam peperiksaan tidak harus dianggap satu-satunya pengukur terhadap kecemerlangan pelajar.

Banyak lagi pencapaian lain perlu mendapat perhatian seperti berakhlak mulia walaupun pencapaian di bidang ini sukar diberikan markah secara objektifnya.

 Apa pun salah satu tujuan persekolahan mengikut apa yang ditetapkan Kementerian Pelajaran, selain berusaha melahirkan suatu bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu ialah juga untuk melahirkan pelajar beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.

Falsafah pendidikan seperti diterapkan kementerian tidak ada cacat celanya kerana sememangnya usaha untuk memperkembangkan potensi individu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berasaskan kepercayaan kepada Tuhan diterima ramai.

Juga tiada kekurangan dengan matlamat melahirkan rakyat berilmu, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berupaya mencapai kesejahteraan diri bagi menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara.

Persoalannya apakah hasrat ini dapat diterapkan ke dalam sanubari semua murid setelah meninggalkan dunia persekolahan? Kiranya wujud sebilangan besar di antara mereka yang masih tidak dapat memenuhi kehendak itu tentunya ada kekurangan dalam usaha sekolah melaksanakan apa telah ditetapkan itu, kalau pun tidak dianggap suatu kegagalan.

Malangnya buat masa ini belum ada sebarang usaha untuk menilai tahap pencapaian itu atau diwujudkan suatu sistem untuk mengukur tahap pencapaian yang subjektif demikian ini. Mungkin kini sudah tiba masanya Jabatan Pelajaran memikir bagaimana pencapaian perkara subjektif demikian boleh diukur.

Sememangnya akhlak mulia dan keterampilan sesetengah lulusan sekolah kelihatan tidak menyenangkan dan perlu dibaiki. Benar usaha memupuk akhlak mulia bukan tanggungjawab sekolah dan guru sahaja. Tidak kurang penting adalah peranan ibu bapa dan penjaga untuk membimbing anak-anak mereka mencapai matlamat dikehendaki.  

Akhbar sendiri juga berperanan membantu usaha demikian supaya tidak lagi akan wujud cerita-cerita menyayat hati bagaimana bayi hasil keterlanjuran seseorang murid dibuang dalam tandas atau tong sampah. Dan dalam pada itu yang menghadapi padah tindakan hasil keterlanjuran itu ialah murid perempuan yang sudah pun menghadapi trauma perlu pula menghadapi tuduhan membunuh.

Padahal mereka ini telah mengambil keputusan nekad demikian kerana sudah buntu pemikiran sebab tiada tempat mengadu dan terpaksa menghadapi tekanan emosi dan kepahitan. Mereka ini sebenarnya memerlukan bimbingan untuk mengubah sikap supaya insaf dengan perlakuan terlampau mereka itu, bukannya menghadapi kemungkinan dihukum bunuh


Posted by SYED OTHMAN at 8:42 AM No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Kemurungan

Hj Lokman Abd Hamid - Alhidayahmedic

Soalan:


ASSALAMUALAIKUM Haji Lokman. Anak saya mengalami kemurungan teruk sejak tiga bulan lepas, dia tidak mahu solat, tidak keluar rumah dan selalu marah. Dia tidak mahu jumpa doktor atau ustaz yang kami bawa untuk berubat. Bolehkah tuan haji membantu anak saya? Terima kasih. - Encik Syahid, Johor Bahru

Jawapan:
Kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah sering bertemu pesakit kemurungan klinikal atau ‘clinical depression. Ada pesakit murung bertahun lamanya dan ada yang baru mendapat tahu perasaan sedih dialami bukan perasaan sedih biasa.

Terdapat pelbagai punca kemurungan, antaranya faktor luaran yang sangat besar seperti kematian suami atau ahli keluarga tersayang sehingga perkara yang mungkin remeh pada orang lain seperti gagal mendapat semua A dalam peperiksaan.

Saya pernah berjumpa pesakit murung selepas melahirkan anak sehingga si ibu tidak mahu melihat bayinya kerana merasa tidak mampu menjadi ibu terbaik.

Kita harus tahu membezakan kemurungan klinikal dengan perasaan sedih biasa. Perasaan sedih berpanjangan boleh membawa kepada kemurungan klinikal tetapi bersedih atau murung disebabkan sesuatu tidak semestinya kemurungan klinikal.

Perasaan sedih adalah normal bagi semua orang. Cuma, kita harus mengawal perasaan tersebut daripada mengawal dan menjejaskan pemikiran serta kehidupan kita.

Anggaplah perkara yang menyedihkan merupakan ujian Allah, seperti firman-Nya di dalam surah Al-Ankabut ayat 2 hingga 3; “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ’Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

Kemurungan tidak mengenal usia, jantina, bangsa, agama dan status sosioekonomi dan boleh menyerang sesiapa sahaja.

Menurut Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006, daripada 14,000 peserta yang mengalami masalah kesihatan mental, didapati 20 peratus adalah kanak-kanak dan hanya 11 peratus dewasa.

Anggaran kasar Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati daripada 10 orang penduduk Malaysia, seorang mempunyai penyakit mental. Majoriti pesakit mental di Malaysia terdiri daripada kemurungan klinikal.

Dari segi pecahan jantina, penyakit kemurungan adalah ketiga tertinggi di kalangan wanita manakala bagi lelaki, kemurungan adalah kesepuluh tertinggi daripada semua jenis penyakit.

Penyakit kemurungan klinikal kerap berlaku di seluruh dunia dan menurut World Health Organization (WHO), jumlah pesakit kemurungan klinikal akan bertambah dari tahun ke tahun, tidak kira sama ada negara maju dan membangun seperti Malaysia.

WHO mendakwa penyakit mental lebih banyak menimpa manusia berbanding hipertensi dan kencing manis! Kemurungan juga punca utama kes bunuh diri seluruh dunia. Apa yang merisaukan WHO, jumlah kematian akibat bunuh diri jauh lebih tinggi daripada jumlah kematian akibat batuk kering (Tuberculosis) di rantau Asia Pasifik.

Punca kemurungan

Antara punca kemurungan:

1. Masalah keluarga kronik menyebabkan ahli keluarga tertekan, tersisih dan kurang mendapat kasih sayang secukupnya.

2. Masalah rumah tangga contohnya suami curang terhadap isteri atau penceraian.

3. Faktor genetik atau keturunan di mana ada ahli keluarga mengalami masalah kesihatan mental.

4. Kehilangan sesuatu atau seseorang yang sangat rapat dan disayangi hingga pesakit sentiasa teringat atau terbayang. Selalunya kehilangan terjadi tanpa disangka.

5. Perubahan keadaan sekeliling yang drastik dan sangat berbeza dengan cara hidup dahulu, terutama perubahan berlaku tanpa sokongan ahli keluarga atau rakan rapat.

6. Perasaan rendah diri keterlaluan hingga mereka tidak yakin untuk melakukan sesuatu.

7. Masalah yang terlalu berat untuk dipikul dan diselesaikan boleh menyebabkan seseorang terjerumus ke masalah kemurungan seperti bankrup atau muflis.

Aspek biologi

Kajian mendapati ada beza pada otak mereka yang disahkan mengalami kemurungan klinikal dengan mereka yang tidak. Perbezaan utama adalah saiz hippocampus, iaitu satu bahagian kecil otak manusia yang sangat penting untuk menyimpan memori.

Saiz hippocampus pada pesakit didapati lebih kecil berbanding mereka yang tidak pernah murung. 'Hippocampus' kecil bermakna kurang reseptor hormon serotonin - hormon yang diperlukan sebagai 'ubat penenang' semulajadi. Kebanyakan ubat kemurungan klinikal bertindak meninggikan jumlah serotonin di dalam otak.

Tanda kemurungan

Selalunya, tanda kemurungan disedari apabila masalahnya sudah lama dan menjejaskan kehidupan. Hampir semua pesakit mengalami masalah mood rendah hampir setiap masa.

Pesakit hilang minat atau tidak seronok melakukan hobi atau perkara digemari. Mereka lebih suka menyendiri tanpa melakukan apa-apa dan tidur sepanjang hari.

Ahli keluarga mendapati pesakit tidak mahu menguruskan diri, selalu cemas tanpa sebab (anxiety), tidak selesa di khalayak ramai, mudah marah, rasa bersalah tidak bertempat, gelisah dan tidak berupaya mengubah keadaan diri. Mereka mengalami penurunan (atau penambahan) berat badan, selalu sakit, selera makan meningkat (atau menurun) dan sentiasa penat.

Jika tidak mendapat bantuan, dikhuatiri pesakit mula mempunyai perasaan mencederakan diri atau lebih serius, mempunyai rancangan membunuh diri.

Rawatan moden

Menurut Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), rawatan sewajarnya membantu hampir 85 peratus pesakit kemurungan klinikal.

Setelah pesakit disahkan kemurungan klinikal, mereka diberi rawatan seperti kaunseling, terapi atau pengambilan ubat anti-kemurungan berterusan.

Selalunya pesakit bergantung kepada ubat anti-kemurungan sepanjang hayat. Malah, ramai pesakit memerlukan gabungan rawatan kaunseling, terapi dan ubat anti-kemurungan untuk hidup normal.

Rawatan tidak berkesan jika ahli keluarga dan sahabat tidak memberi sokongan. Ahli keluarga dan sahabat harus memantau keadaan pesakit bagi menunjukkan pesakit disayangi dan diperlukan.

Di dalam Al-Quran ada suruhan Allah untuk menyayangi insan lain. Firman Allah dalam surah Al-Qashash ayat 77; “Dan sayangilah manusia sebagaimana Allah sayang kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat bencana di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat bencana."

Rawat guna Al-Quran

Daripada pengalaman saya, ramai pesakit kemurungan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengalami perubahan positif ketara selepas menerapkan rawatan menggunakan ayat suci Al-Quran.

Firman Allah dalam surah Al-A’raaf ayat 204; “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat."

Pesakit yang mengamalkan pembacaan ayat Al-Quran secara konsisten setiap hari mendapati pemikiran dan perasan mereka lebih positif dan tenang. Dengan izin Allah ramai pesakit telah dikurangkan dos ubat dan ada yang tidak perlu mengambil ubat.

Selain itu, ada kemurungan disebabkan gangguan makhluk halus sama ada saka atau melalui sihir. Gangguan ini seringkali mempengaruhi pemikiran dan perasaan pesakit hingga mereka sangat tertekan, sedih dan merasakan diri tidak berguna dan menyusahkan orang lain.

Apabila pesakit terpengaruh dengan gangguan makhluk halus, berlaku kemurungan teruk dan perubahan personaliti. Setiap pesakit yang datang, akan diperiksa terlebih dahulu jika ada gangguan makhluk halus.

Perawat akan mengeluarkan gangguan jika ada dan memberikan ayat untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:

Surah Muhammad ayat 21 hingga 32
Surah Thahaa ayat 120 hingga 135
Surah Az Zumaar ayat 59 hingga 75
Surah An Nahli ayat 81 hingga 89

Kaedahnya, pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali pada malam dan surah kedua tiga kali pada siang.

Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas itu, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan dengan surah seterusnya.

Pesakit harus ingat bahawa penyembuhan hanya dengan izin Allah. Oleh itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah.

Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman; “….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."

Kesimpulannya, jika rakan atau ahli keluarga menghadapi kemurungan, jangan pandang remeh. Jangan buat persepsi negatif.

Mereka yang merasa dirinya mungkin mengalami kemurungan, carilah bantuan dan ingat akan firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 139: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman"


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130505/kn_03/Kemurungan#ixzz2T7vJhtFT 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Posted by SYED OTHMAN at 8:16 AM No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Sunday, May 12, 2013


Ibu segala tipu

A Samad Said,
11 Mei 2013


Dengan sanubari sequdus hasrat
lelangkah yang luhur sepadu hajat
kita berhimpun sepenuh harapan
sedia tentang inti kemungkaran.

Awalnya segala tersenyum ilham
cuaca dan hajat akrab bersalam.
Kita memangkahnya secekal kalbu
rindu memahat sejarah yang syahdu.

Iklim yang gusar tetiba meledak
ketika kendera menyusup rahsia,
dan demokrasi sengaja dikocak
sebijak helah sekejam pendera.

Kertas undi yang terkumpul berbalam
sopan dan segan diusik khayalan,
sebaik senja disenyumi malam
sesenyapnya bermula pencemaran.

Malam debaran tersentap amarah,
cahaya bulan dikoyak-koyaknya,
rahsia gelap memulai dosanya,
berterbanganlah undi yang ditambah.

Kita berhimpun di padang sejarah
demi melawan kemungkaran baru;
demokrasi wajar dipelihara
daripada ibu segala tipu.

Sasterawan Negara
A Samad Said,
Himpunan ‘Suara Rakyat Suara Keramat’,
Kelana Jaya,
8 Mei 2013


Posted by SYED OTHMAN at 9:48 AM No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest
Newer Posts Older Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)

Erti Kebaikan

Sampaikan Ilmu Yang Sesuai Dengan Pendengarnya

Daripada Sahal Bin Said r.a berkata:Rasulullah s.a.w bersabda: ³Kebaikan itu laksana beberapa gudang. Dan bagi gudang-gudang itu ada anak kuncinya. Maka untung sekali bagi seseorang hamba yang telah dijadikan Allah sebagai anak kunci bagi kebaikan, penutup bagi kejahatan. Dan celaka bagi seorang hamba yang menjadi anak kunci bagi kejahatan, penutup bagi kebaikan´.

Hadis Riwayat Ibnu Majah




Brochure Maahad Tahfiz Al Hidayah

Brochure Maahad Tahfiz Al Hidayah

Maahad Tahfiz Al Quran Al Hidayah

Maahad Tahfiz Al Quran Al Hidayah

About Me

SYED OTHMAN
Kuala Terengganu, Terengganu
Pesara Guru Terlibat dengan Pusat Rawatan Islam Al Hidayah
View my complete profile

Feedjit

Followers

ANDA ADALAH PENGUNJUNG YANG KE...

tomcat hosting | diseño logotipo

Blog Archive

  • ▼  2016 (2)
    • ▼  February (1)
      • Koleksi Hadis Nabi
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (3)
    • ►  March (2)
    • ►  February (1)
  • ►  2014 (112)
    • ►  December (2)
    • ►  November (9)
    • ►  October (20)
    • ►  September (2)
    • ►  August (6)
    • ►  July (6)
    • ►  June (4)
    • ►  May (4)
    • ►  April (9)
    • ►  March (23)
    • ►  February (16)
    • ►  January (11)
  • ►  2013 (306)
    • ►  December (18)
    • ►  November (10)
    • ►  October (25)
    • ►  September (13)
    • ►  August (10)
    • ►  July (21)
    • ►  June (28)
    • ►  May (34)
    • ►  April (38)
    • ►  March (33)
    • ►  February (23)
    • ►  January (53)
  • ►  2012 (299)
    • ►  December (32)
    • ►  November (41)
    • ►  October (30)
    • ►  September (15)
    • ►  August (36)
    • ►  July (30)
    • ►  June (14)
    • ►  May (30)
    • ►  April (28)
    • ►  March (11)
    • ►  February (20)
    • ►  January (12)
  • ►  2011 (211)
    • ►  December (17)
    • ►  November (8)
    • ►  October (18)
    • ►  September (26)
    • ►  August (24)
    • ►  July (15)
    • ►  June (4)
    • ►  May (19)
    • ►  April (13)
    • ►  March (16)
    • ►  February (28)
    • ►  January (23)
  • ►  2010 (62)
    • ►  December (34)
    • ►  November (24)
    • ►  October (4)

Pautan

  • Alhiidayah medic
  • Hj Lokman Abdul Hamid - Terapi Penawar
  • SK Sultan Sulaiman 1


Opick-ubat Hati

Pages

  • Home
  • Cg Syed
Simple theme. Theme images by luoman. Powered by Blogger.