BANYAK akhbar memberi tumpuan kepada calon yang mendapat
10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu.
Ia dipaparkan di
muka depan kebanyakan akhbar arus perdana, dan dinyatakan 15,793 calon tahun
lalu mendapat gred A bagi semua mata pelajaran diambil, meningkat 0.13 peratus
berbanding 15,079 calon pada 2011.
Penulis bukan
hendak mempersoalkan tumpuan akhbar kepada keputusan cemerlang ini, tetapi ia
hendaklah tidak menjadi suatu yang dimegahkan dalam mana pelajar lain juga
mendapat keputusan baik atau lulus.
Apa perlu
dipertimbangkan juga ialah kedudukan murid-murid yang gagal dalam peperiksaan
itu, termasuk yang hanya memperoleh kelulusan ‘borderline’.
Apakah mereka ini
harus diabaikan sahaja untuk berusaha sendiri menghadapi masa depan yang tidak
menentu atau apakah tidak boleh dilakukan usaha untuk memberi mereka ini
peluang kedua bagi mencapai kejayaan.
Mereka ini juga
adalah rakyat yang boleh memberi sumbangan berguna kepada negara sekiranya
diberi bimbingan baik. Maka itu usaha perlu diberikan kepada mereka yang
tercicir ini.
Pelbagai usaha
boleh difikirkan supaya aset muda-mudi yang gagal atau lulus tahap biasa ini
tidak terus menghadapi kegagalan dalam kehidupan hingga akan membebankan
keluarga dan akhirnya negara sendiri.
Memang murid yang mencapai
tahap kecemerlangan patut diberi pengiktirafan. Tentunya ibu bapa, sekolah dan
guru-guru berbangga dengan pencapaian tersebut.
Dalam mengiktiraf
pelajar-pelajar demikian, keputusan baik dalam peperiksaan tidak harus dianggap
satu-satunya pengukur terhadap kecemerlangan pelajar.
Banyak lagi
pencapaian lain perlu mendapat perhatian seperti berakhlak mulia walaupun
pencapaian di bidang ini sukar diberikan markah secara objektifnya.
Apa pun salah
satu tujuan persekolahan mengikut apa yang ditetapkan Kementerian Pelajaran,
selain berusaha melahirkan suatu bangsa Malaysia yang taat setia dan
bersatu padu ialah juga untuk melahirkan pelajar
beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.
Falsafah pendidikan
seperti diterapkan kementerian tidak ada cacat celanya kerana sememangnya usaha
untuk memperkembangkan potensi individu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berasaskan kepercayaan
kepada Tuhan diterima ramai.
Juga tiada
kekurangan dengan matlamat melahirkan rakyat berilmu, berketerampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berupaya mencapai kesejahteraan diri bagi
menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara.
Persoalannya apakah
hasrat ini dapat diterapkan ke dalam sanubari semua murid setelah meninggalkan
dunia persekolahan? Kiranya wujud sebilangan besar di antara mereka yang masih
tidak dapat memenuhi kehendak itu tentunya ada kekurangan dalam usaha sekolah
melaksanakan apa telah ditetapkan itu, kalau pun tidak dianggap suatu kegagalan.
Malangnya buat masa
ini belum ada sebarang usaha untuk menilai tahap pencapaian itu atau diwujudkan
suatu sistem untuk mengukur tahap pencapaian yang subjektif demikian ini.
Mungkin kini sudah tiba masanya Jabatan Pelajaran memikir bagaimana pencapaian
perkara subjektif demikian boleh diukur.
Sememangnya akhlak
mulia dan keterampilan sesetengah lulusan sekolah kelihatan tidak menyenangkan
dan perlu dibaiki. Benar usaha memupuk akhlak mulia bukan tanggungjawab sekolah
dan guru sahaja. Tidak kurang penting adalah peranan ibu bapa dan penjaga untuk
membimbing anak-anak mereka mencapai matlamat dikehendaki.
Akhbar sendiri juga
berperanan membantu usaha demikian supaya tidak lagi akan wujud cerita-cerita
menyayat hati bagaimana bayi hasil keterlanjuran seseorang murid dibuang dalam
tandas atau tong sampah. Dan dalam pada itu yang menghadapi padah tindakan
hasil keterlanjuran itu ialah murid perempuan yang sudah pun menghadapi trauma
perlu pula menghadapi tuduhan membunuh.
Padahal mereka ini
telah mengambil keputusan nekad demikian kerana sudah buntu pemikiran sebab
tiada tempat mengadu dan terpaksa menghadapi tekanan emosi dan kepahitan.
Mereka ini sebenarnya memerlukan bimbingan untuk mengubah sikap supaya insaf
dengan perlakuan terlampau mereka itu, bukannya menghadapi kemungkinan dihukum
bunuh
No comments:
Post a Comment