Saturday, July 20, 2013

Kesilapan Kerap Muslim Dalam Bulan Ramadhan


Oleh
 Zaharuddin  Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)


2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.
Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya :  menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman


Kerasukan Di Bulan Ramadhan

Oleh Haji Lokman Abd Hamid

 

Soalan

Salam Tuan Haji, saya Azman dari Segamat Johor. Persoalan saya ialah, apakah gangguan syaitan boleh terjadi dibulan Ramadan yang mulia ini? Ini kerana saya melihat sendiri bagaimana adik perempuan saya mengalami kerasukan, menjerit dan mengilai-ngilai terutama pada ketika tengah malam. Sedangkan kita sekarang berada di bulan Ramadan? Apa yang saya tahu, iblis dan syaitan dirantai ketika bulan puasa ini. Mohon pencerahan daripada Tuan berkaitan perihal ini. Terima kasih dan selamat menjalani ibadah puasa.


Jawapan

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan Ramadan yang penuh barakah ini. Bulan yang Allah sediakan begitu banyak pahala untuk direbut umat Islam melalui setiap ibadat, sehingga Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud:
“Tidur bagi orang yang berpuasa itu adalah ibadat, manakala diamnya adalah bertasbih.” - HR al-Baihaqi

Betapa besarnya kelebihan Ramadan sehinggakan  tidur pun dianggap ibadat. Pada bulan inilah diturunkan satu malam yang istimewa iaitu Lailatulqadar. Malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan dan digandakan pahala amalan pada malam tersebut.

Puasa memiliki banyak hikmah dan manfaat untuk tubuh, ketenangan jiwa dan kecantikan. Semasa berpuasa, organ-organ tubuh dapat beristirehat. Puasa juga boleh mengeluarkan kotoran, toksin atau racun dari dalam tubuh, meremajakan sel-sel tubuh dan menggantikan sel-sel tubuh yang sudah rosak dengan yang baru. Dengan berpuasa juga dapat memperbaiki fungsi hormon, menjadikan kulit sihat dan meningkatkan daya tahan tubuh secara semulajadi.

Di bulan ini juga Allah SWT menurunkan petunjuk bagi manusia, iaitu al-Quran. Kita digalak memperbanyakkan serta menggandakan bacaan al-Quran berserta maksudnya pada bulan mulia ini. Pada bulan inilah pintu langit akan dibuka seluas-luasnya bagi memberi peluang kepada umat Islam memohon ampun dan memanjatkan doa, paling penting kegembiraan orang yang berpuasa dengan ikhlas pada Ramadan kerana berpuasa dapat menghalang manusia daripada melakukan kejahatan.

Syaitan juga tidak dapat menghasut manusia pada Ramadan. Namun persoalannya ialah, bagaimana dibulan yang penuh kemuliaan ini masih berlaku kes-kes kerasukan? Sedangkan dalam hadis Nabi SAW ada bersabda:
 “Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai / dibelenggu para syaitan.” - HR al-Bukhari dan Muslim

Pengalaman saya di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah selama 10 tahun dalam menangani kes-kes kerasukan mendapati ketika bulan Ramadhan kejadian rasuk kerap berlaku. Malah terdapat kerasukan dimana pesakit bertindak sangat agresif sedangkan pada ketika itu pesakit berpuasa!


Kerasukan

Di rencana saya yang lepas,  saya ada menyentuh mengenai isu kerasukan atau histeria. Dari aspek perubatan moden, hysteria atau kerasukan  adalah disebabkan oleh gangguan mental seseorang atau dipanggil "mental disability'' yang akhirnya membawa kepada halusinasi atau ''halusination''. Mereka yang mengalami histeria sering kehilangan kawalan diri yang melampau dan keadaan ini akan membuat pesakit akan menjerit, meracau dan ada juga yang boleh bertindak  ganas.

Daripada perspektif perubatan Islam, kerasukan dikaitkan dengan keadaan seseorang yang mengalami gangguan jin atau iblis. Menurut pengalaman pesakit yang pernah dirawat kerasukan, mereka ternampak pelbagai perkara yang menakutkan hinggalah mereka tidak sedarkan diri dan meracau-racau. Ada juga yang mendakwa mereka berasa sejuk dan panas pada bahagian badan, fikiran bercelaru, hati menjadi tidak keruan yang akhirnya membawa kepada tidak sedarkan diri dan seterusnya dirasuk.


Hakikat Penciptaan Jin

Bagi menjelaskan perkara yang berkaitan dengan kejadian gangguan kerasukan ini. Eloklah kita menyelusuri hakikat penciptaan jin serta sejarah kejadiannya.

Kewujudan jin adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan kerana ia juga termasuk makhluk ciptaan Allah SWT. Tujuan penciptaannya juga adalah sama sebagaimana tujuan penciptaan manusia iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
“dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku” - Surah Az-Zariyat:56

Bersandarkan kepada Al-Quran dan Hadis-hadis Nabi SAW menyatakan beberapa jenis jin yang bertebaran di muka bumi ini iaitu Iblis merupakan ketua atau bapa kepada seluruh jin dan syaitan As-Syaitan iaitu syaitan-syaitan yang membisikkan kejahatan Al-Maraddah membisikkan perasaan agar manusia merasa ragu-ragu atau was-was
·     Al-‘Afrit melaksanakan tipu daya
·     Al-A’waan merupakan pelayan-pelayan
·     At-Tayaruun iaitu jin-jin yang berterbangan
·     Al-Ghawaasuun jin-jin yang tinggal di dalam air
·    At-Tawaabi iaitu kuncu-kuncu atau pengikut-pengikut setia
·    Al-Qurana iaitu pengawan-pengawan
·    Al-Ummaar iaitu pemakmur

Daripada jenis-jenis tersebut,ada dikalangannya yang beriman dan taat kepada perintah Allah malahan tidak melakukan sebarang kejahatan khususnya kepada manusia.
“Dan sesungguhnya diantara kami ada yang soleh dan diantara kami ada pula yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza" - Surah Al-Jinn:11

Jika sekiranya golongan jin ini mentaati Allah SWT, maka mereka akan diberi ganjaran di akhirat kelak. Begitulah sebaliknya jika mereka yang ingkar maka selayaknya balasan azab yang pedih menanti di hari pembalasan.   
“Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, daripada jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongan sendiri); hinggalah apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat kali ganda daripada (azab) neraka”. Allah berfirman:”Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui.” - Surah al-A’raf:38

Menurut Syeikh Jadul Haq (bekas Syeikh Al-Azhar), Iblis adalah 'abu syaitan' (bapa syaitan). Jika malaikat adalah tentera Allah yang mengajak kebaikan, iblis dan syaitan adalah sebaliknya. Mereka adalah musuh Allah yang menyeru ke arah kejahatan dan kerosakkan. Syaitan ialah golongan yang angkuh dan derhaka dari alam jin. Mereka adalah dari kalangan jin juga.


Sejarah Iblis

Firman Allah SWT:
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:   Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin…” - Surah al-Kahfi: 50

Iblis turut dikenali dengan nama Azazil. Sebelum penciptaan Nabi Adam a.s. Azazil merupakan imam kepada para malaikat. Riwayat menceritakan malaikat Israfil melihat yang tersurat di Loh Mahfuz ada tercatat:
“Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya kerana satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga hari Kiamat”.

Menangislah Israfil kerana bimbang makhluk yang tersurat di Luh Mahfuz itu adalah dirinya. kemudian diberitakan kepada para malaikat, menangislah sekelian malaikat kerana takut dan bimbang nasib mereka. Lalu kesemua malaikat datang menemui Azazil yang menjadi imam kepada para malaikat, agar Azazil mendoakan keselamatan dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat.  Azazil pun mendoakan kepada seluruh malaikat dengan doa :
“Ya Allah, Janganlah ENGKAU murka terhadap mereka (para malaikat)”

Malangnya, Azazil lupa untuk mendoakan keselamatan untuk dirinya. 
Ketika Allah menciptakan Nabi Adam a.s., dan memerintahkan malaikat untuk sujud hormat kepada Nabi Adam. 
Maka para malaikat sujud tunduk kepada perintah Allah melainkan Iblis. Dia menolak, kerana merasakan bahawa dirinya lebih baik dari pada Adam.

Bukan sahaja dia enggan sujud, malah sombong dan menjawab kepada Allah :- 
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujud melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada makhluk yang Engkau ciptakan dari tanah?”. - Surah al-Isra’:61

Keengganan sujud ini berpunca dari hasad dengki Azazil, yang irihati apabila Allah hendak melantik nabi Adam sebagai khalifah di bumi. Maka Azazil dihalau keluar dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis. Apabila Iblis diturunkan ke bumi, dia berjanji akan menyesatkan manusia serta keturunannya. Firman Allah SWT: 

Dia (Iblis) berkata: “Khabarkanlah kepadaku, inikah orang yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, pasti aku akan sesatkan  keturunannya, kecuali sebahagian kecil”. - Surah al-Isra’:62

Iblis telah berjanji untuk menyesatkan anak cucu Adam. Justeru, gangguan daripada Iblis dan tentera-tenteranya akan terus berkesinambungan sehinggalah ke hari kiamat kelak. Maka mohonlah perlindungan daripada Allah taala agar kita terhindar daripada kejahatan dan gangguan mereka.


Syaitan yang Dirantai

Dari sudut pandangan Islam, para Ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan maksud hadis tentang syaitan yang dirantai ketika bulan Ramadhan.

Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Halimiy yang dimaksudkan dengan syaitan yang dirantai itu ialah para syaitan tidak dapat menggoda umat Islam sepertimana di luar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam melaksanakan ibadah berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat. Di bulan ini juga umat islam sibuk dengan aktiviti-aktiviti kerohanian seperti membaca al-Quran dan berzikir.

Menurut pendapat Imam Nawawi Rahimahullah di dalam syarahnya menyebut bahawa ianya hanyalah satu ‘majaz’ atau kiasan untuk menunjukkan betapa syaitan sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya seperti biasa. Ini kerana, puasa yang dilakukan oleh orang-orang Islam akan menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama ini. Oleh kerana itu, syaitan tidak dapat menjalankan tugasnya dan keadaan ini menyebabkan dirinya bagaikan di'rantai'. Namun beliau tidak menolak bahawa syaitan benar-benar dirantai.

Menurut pandangan Imam As-Syafie pula, “hanya jin dan syaitan yang bengis sahaja dibelenggu, manakala yang lain masih bebas , kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan Ramadhan”.

Kesimpulan daripada pendapat-pendapat tersebut, jin dan syaitan masih lagi dapat mengganggu manusia dibulan ramadhan ini. Keteguhan iman serta amalan ibadah seseorang yang sebenarnya dapat membelenggu jin, menghindari daripada hasutan kejahatan serta tipu dayanya.


Penutup

Puasa adalah suatu ibadat ‘tazkiyah al-nafs’, iaitu proses penyucian jiwa dan nurani daripada segala penyakit rohani. Ia dapat meningkatkan nilai taqwa di sisi Allah SWT. Nilai ketaqwaan inilah yang dapat menghindarkan kita daripada gangguan makhluk-makhluk halus. Apabila kita berpuasa jiwa kita menjadi kuat sehingga dapat menakluk nafsu. Ini adalah kerana apabila lemah kekuatan badan, kita dapat mengawal lidah, hati (fikiran) dan anggota-anggota tubuh badan kita dari melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat. Puasa memiliki fungsi untuk menghidupkan hati atau jiwa yang lemah diperkudakan nafsu. Kerana nafsu merupakan sasaran syaitan yang ampuh dalam usaha merosak dan menyesatkan umat manusia.

Berikut surah-surah amalan bagi mengelakkan diri dari gangguan kerasukan:-
·  Surah Al Baqarah ayat 165 hingga 186
·  Surah Al A’raaf ayat 146 hingga 159
    Surah Al Baqarah ayat 244 hingga 255
·  Surah Al Mukminun ayat 105 hingga 118

Jadikanlah Ramadan sebagai bulan untuk meningkatkan amal ibadah kita kepada Allah SWT dan istiqamah dilakukan dibulan-bulan yang lain juga. Begitu pula dengan amalan berpuasa, jadi ia sebagai rutin hidup kita. Selain dapat mengamalkan sunnah, kita juga dapat memelihara kesihatan tubuh badan kita daripada pelbagai jenis penyakit dan terhindar dari kerasukan! Insya-Allah

Monday, July 15, 2013

Mengumpat, buat maksiat hilang pahala puasa

Daripada Abu Hurairah, katanya Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga saja didapatinya.” (Riwayat al-Bukhari) 

Orang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapan yang tidak baik) dan masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala puasa oleh Allah selain mendapat lapar serta dahaga saja. 
Puasa yang paling bernilai di sisi Allah SWT ialah puasa orang yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat serta dosa di samping menambahkan amal ibadat sepanjang berpuasa. 

Maka amat malang dan rugi bagi orang berpuasa, tetapi masih mengeluarkan perkataan kotor memaki hamun. Ia tidak mendapat apa-apa kelebihan atau pahala di sisi Allah SWT bahkan mendapat dosa pula. 

Larangan bertengkar, maki hamun 
Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa hari ini.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
Orang berpuasa hendaklah banyak bersabar dalam menerima dugaan dan ujian daripada Allah SWT. Jika mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang, maka hendaklah ia berkata aku berpuasa. 

Untuk mengelak daripada melakukan perkara yang akan merosakkan pahala puasa, maka kita digalakkan banyak beristighfar kepada Allah, berzikir, membaca al-Quran dan berselawat kepada Nabi. 

Rasulullah SAW bersabda: “Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.” (Riwayat Ibnu Majah) 
Setiap Muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah itu tidak menjadi perbuatan sia-sia. 

Kemanisan nikmat puasa 
Mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya dituntut agama, mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa, malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung. 
Ramadan adalah bulan awalnya dijanjikan keampunan (maghfirah), pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Oleh itu, kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melakukan amalan baik dan menjauhi sifat keji serta mungkar.

Rawatan Ketagihan Dadah

Oleh Haji Lokman Abd Hamid


ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji. Saya Izzati, ibu tunggal, mempunyai seorang anak lelaki berumur 20 tahun mengalami masalah ketagihan dadah.Anak saya terjebak dalam penagihan dadah jenis syabu lebih kurang dua tahun lepas. Saya sudah banyak berikhtiar cara perubatan moden dan tradisional, namun belum jumpa penyelesaian.
Saya mohon jika pihak Pusat Rawatan Islam Al Hidayah dapat membantu memberikan ayat al-Quran yang boleh memulihkan anak saya dari masalah ketagihan najis dadah ini.

Jawapan

Waalaikumsalam. Di sini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada pembaca Mingguan Malaysia.

Bersama-samalah kita merebut ganjaran gandaan pahala di bulan Ramadhan. Semoga kita sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang-Nya.

Saya ingin memohon maaf kepada pembaca yang mengirimkan e-mel tetapi masih belum sempat dibalas. Saya akan cuba membalas e-mel pertanyaan yang dihantar. Insya-Allah.

Terima kasih Puan Izzati atas soalan diberikan. Masalah penyalahgunaan dadah adalah gejala sosial yang sukar dibendung.

Dadah diistilahkan sebagai bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dari segi rohani (mental), jasmani (fizikal) dan emosi serta tingkah laku pengguna.
Antara jenis dadah yang dikenalpasti ialah heroin, morfin, ganja, kokain, kanabis, dan dadah sintetik seperti syabu atau Amphetamine Type Stimulant (ATS).

Statistik Mengikut statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), secara purata seramai 620 penagih baru dan 360 penagih berulang dikesan setiap bulan.

Jika dibandingkan statistik penagihan mengikut umur bagi bulan Januari hingga Mac 2013, golongan belia paling ramai terdedah (77 peratus) berbanding dewasa (23 peratus).
Dalam kes anak Puan Izzati, pengambilan dadah jenis 'ice', dikenali sebagai syabu atau 'meth' (singkatan nama saintifik Methamphetamine) popular di kalangan belia.
Senario di Malaysia menunjukkan peratusan penyalahgunaan dadah jenis sintetik menunjukkan peningkatan.

Hukum dan larangan pengambilan dadah jelas haram berdasarkan dalil yang dikiaskan kepada arak. Dalam al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman bersandarkan keterangan nas (al-Quran dan Hadis) kerana ia termasuk dalam pengertian umum benda memabukkan, menghilangkan akal dan mempunyai alasan hukum sama.
Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan……" (Surah Al-Baqarah : 195)

Tindakbalas Kesan keseronokan akibat syabu menyebabkan individu mengambil dadah berterusan. Ini dipercayai akibat rangsangan terhadap 'Dopamine' iaitu penghantar neuron ke otak yang bersifat perangsang. Syabu perlu diambil berterusan bagi merangsang 'Dopamine'. Syabu tidak perlu diambil setiap hari berbanding heroin dan morfin.

Jika penagih berhenti mengambil syabu, kadar 'Dopamine' dalam otak berkurangan hingga mencetuskan pelbagai masalah kesihatan dan mental. Penagih syabu yang ingin meninggalkan ketagihan tidak ada jalan singkat dan mudah.

Pengaruh Syabu l Mental dan emosi

Kesannya mungkin gila akibat halusinasi dan delusi hingga mampu membunuh diri, gelisah, cepat marah, gementar, bingung, fikiran terganggu dan ganas. Prasangka buruk, mendengar bisikan, sentiasa ketakutan seperti ada orang mengejar dan mengintip. Pada dos tinggi menaikkan suhu badan kepada tahap berbahaya, mengakibatkan sawan dan maut.

Fizikal
Pengguna tidak tidur selama tiga hingga 15 hari, hilang selera makan, berat badan turun, berpeluh, pucat, abaikan kesihatan, berparut, luka di badan, kudis akibat menggaru untuk menghapus bayangan serangga, kurang daya tahan penyakit.

Pengalaman Ini kisah benar mengenai pesakit bernama Farid (bukan nama sebenar) berusia 27 tahun. Dia telah dibekalkan pengetahuan dan ilmu agama cukup, hingga menjejakkan kaki ke universiti dan bergelar graduan.

Kehancuran hidup Farid bermula apabila dia belajar menghisap rokok semasa di pusat pengajian tinggi bertujuan menghilangkan tekanan belajar.

Mulanya, Farid teragak-agak untuk mengambil estacy, tetapi dengan pujukan kawan pil ini hanya memberi mood berparti.
Keinginan berhibur membuatkan Farid dan kawannya mencari jalan bergembira dengan mengadakan house party lebih privacy dan di sini beliau mula mengenali dadah syabu.

Ketika ini dia menyesal kerana terpaksa berperang dengan ketagihan. Selama lima tahun menagih dan Farid menipu ibubapa untuk mendapatkan duit.

Lama-kelamaan tembelang Farid pecah. Semua rakan dan sanak saudara menjauhinya. Dia dibuang kerja. Farid kemudian tinggal bersama-sama ibunya yang terpaksa menghadapi sikap Farid yang menipu dan mencuri dan boleh dikatakan semua orang membencinya.

Akhirnya, ibunya ke pusat rawatan kami di Setiawangsa untuk rawatan tanpa Farid. Ibunya yakin janji Allah bahawa penawar segala penyakit adalah al-Quran. Atas doa seorang ibu, pada bulan ke lima, Farid datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah dengan rela hati untuk memulihkan diri dengan penuh keazaman ingin bertaubat dan berhenti menagih.

Firman Allah: "Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Az-Zumar: 53)

Menurut ibu Farid, sewaktu mengamalkan surah amalan, sikap Farid mula berubah dari agresif kepada lebih tenang hingga terfikir untuk berubat dan memulihkan dirinya.
Alhamdulillah, Farid sudah 80 peratus pulih, dia bersungguh-sungguh bertaubat tidak akan mengulangi kesilapan lampaunya.

Firman Allah: "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al Baqarah: 222)

Farid telah memulakan kehidupan baru. Dia mula bekerja dan masih datang ke pusat rawatan dan beramal dengan surah al-Quran yang diberi.

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" (Surah At Tahrim: 8).

Ini adalah perintah tegas dari Allah dalam Al Quran kepada manusia untuk melakukan taubat nasuha.

Antara surah surah amalan:-
Surah At Taubah (Ayat 28 hingga ayat 36)
Surah At Taubah (Ayat 60 hingga ayat 70)
Surah Hijr (Ayat 66 hingga ayat 99)
Surah Al Hajj (Ayat 40 hingga ayat 55)

Sebaiknya puan bawa anak ke Pusat Rawatan kami bagi menjalani sesi rawatan dan kaunseling. Saya dan perawat lain bersedia memberikan kerjasama. InsyaAllah, kita bersama-sama berusaha dan bertawakal agar ketagihan anak puan dapat di atasi.

Cara rawatan di sini hanya bergantung 100 peratus kepada ayat al-Quran bersesuaian kepada pesakit dan penyakit yang dialami.

Saturday, July 13, 2013

Ramadhan, bulan membentuk generasi furqan

oleh YB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat


Ramadhan: bulan membentuk generasi furqan

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: 

"..Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan juga menjadi furqan (menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah).." (Surah al-Baqarah : ayat 185).

Alhamdulillah, kita dipanjangkan nyawa oleh Allah SWT untuk terus bertemu dengan Ramadhan tahun 1434 Hijrah ini. Sesungguhnya nikmat kehidupan dan nyawa yang berpanjangan ini merupakan nikmat yang sangat besar yang diberikan oleh Allah SWT sebagai ujian kepada manusia. Hanya manusia yang beruntung sahaja yang akan menggunakan kesempatan yang diberikan ini untuk melakukan amal soleh agar ia menjadi bekal yang terbaik untuk di bawa ke hadapan Allah SWT.

Ramadhan ialah bulan yang penuh dengan kemuliaan. Ia bukan sekadar mengandungi ibadat puasa sahaja bahkan juga kelebihan-kelebihan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain. Justeru, seringkali saya mengulangi agar jangan disebut Ramadhan ini sebagai bulan puasa, kerana sebutan tersebut seolah-olah hanya mengiktiraf puasa sahaja sebagai intipati terpenting di dalam Ramadhan. Padahal di dalamnya terkandung juga kelebihan ibadat yang lain yang dilakukan oleh Rasulullah SAW seperti membaca al-Quran, tarawih, infaq dan sebagainya.

Antara yang utama di dalam bulan ini ialah peristiwa penurunan al-Quran. Ia dicatatkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185 dan dinyatakan bahawa tujuan penurunan kitab ini ialah untuk menjadi petunjuk kepada manusia, mengandungi keterangan dan juga sebagai furqan.

Furqan bermaksud pembeza di antara hak dan yang batil. Ia bermaksud al-Quran ialah satu garis lurus yang menjadi kayu ukur untuk mengira betul salahnya perbuatan manusia. Jika selari dengan kayu ukur ini, betullah ia dan begitu juga jika sebaliknya. Furqan tidak mungkin salah kerana jika kayu ukur itu sendiri belot dan bengkok, ia bukan lagi menjadi furqan.

Ramadhan sewajarnya membentuk generasi furqan iaitu generasi yang boleh membezakan di antara yang haq dan yang batil. Jika visi Ramadhan ini berjaya dilaksanakan, nescaya tidak akan ada di kalangan masyarakat umat Islam yang terpingga-pingga di tengah terang untuk mencari jalan yang benar.

Pada tahun ini, kita menyambut Ramadhan dalam suasana yang bercampur-campur. Di peringkat antarabangsa kita menyaksikan pergolakan di Mesir hasil daripada perancangan jahat Amerika dan sekutu-sekutunya. Pada saat saya menulis perutusan ini, sudah berpuluh-puluh rakyat Mesir yang terkorban di muncung senjata tentera di atas nama keamanan. Inilah dia demokrasi ala Barat yang hanya terlaksana jika kemenangan memihak kepada mereka. Adapun apabila mereka sendiri sudah lemas di dalam laut demokrasi, tangan mereka yang terkapai-kapai akan berusaha mencari pelampung penyelamat meskipun terpaksa menebuk perahu orang lain.

Sayangnya di Mesir yang bersemadi di buminya puluhan ambiya', masih ada yang tidak tahu membezakan yang benar dan yang salah. Masih ada segelintir yang bersorak gembira apabila kerajaan pilihan rakyat digulingkan secara haram oleh waris diktator. Di sinilah keperluan wujudnya usaha membina generasi furqan. Kegagalan membina generasi furqan akan menatijahkan bermaharajalela kerajaan sekular. Namun, saya sangat optimis, kebangkitan rakyat di Mesir tidak sama sekali membiarkan era diktator berulang kembali di Lembah Nil ini.

Inilah juga yang berlaku di Syria, puluhan ribu yang terkorban di tangan tentera kerajaan zalim dan berterusan di bulan Ramadhan al-Mubarak ini menarik-narik tangan kita untuk terus menadah tangan ke langit memohon nusrah daripada Allah SWT. Sungguh, rintihan dan air mata yang jatuh kerana saudara seagama dianiaya pastinya akan dinilai oleh Allah SWT rabbul jalil.

Insya-allah, Ramadhan ini akan menyemarakkan usaha kita mendaulatkan al-Quran yang bersifat furqan di samping menghadam sifat ini di dalam sanubari masyarakat. Di mana-mana sahaja akan sentiasa berlaku pertembungan haq dan batil, dan di situlah akan timbulnya furqan untuk menjadi kayu ukur yang jelas dan nyata. Tidak hanya di Mesir dan Syria, bahkan juga di Malaysia atau lebih khusus di Kuala Besut nanti.

Bagi kita yang berada di dalam Parti Islam Semalaysia (PAS), kita teruskan dengan misi kita. Bergeraklah terus ke hadapan. Melangkahlah dengan penuh yakin di samping sentiasa mendamping diri dengan Allah SWT.

Di garisan yang terakhir, hanya perjuangan yang benar di sisi syariat dan ikhlas di benak hati sahaja yang mampu menggapai baton kemenangan!

Salam Ramadhan.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)