Oleh
Zaharuddin Abd
Rahman
www.zaharuddin.net
Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau
sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang
terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut
dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif
‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah
r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang
mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa
meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala
ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan
umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1) Makan
dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima
Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa
uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia
dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang
membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi,
hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban
menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith,
Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah
ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan
sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya,
individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan
kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda.
"Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di
hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam.
(Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih
mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur
dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi
kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu
terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.
Firman
Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu
bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر
الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada
Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling
didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan
selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi &
Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)
4) Tidak
menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar.
Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam
yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan
sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering'
pastinya.
5) Tidak
mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu
kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan
tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat,
teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang
mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
6) Menunaikan
solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka
kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu (
samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya
atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang
ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya
sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
7) Bermalasan
dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan,
kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi
pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan
bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.
8) Memperbanyakkan
tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam
As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa
itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi,
6/291)
9) Menganggap
waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak
sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh
beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia
bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu,
janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak
dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu
penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md
‘Uqlah, hlm 278)
10) Wanita
berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata
apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki
dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid
di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah
lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
11) Memasuki
Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada
terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta
secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti
ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama
dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk
mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi
besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ
يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ
حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya : menyebut
tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal
rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit
: Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram
dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka
bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ;
hadis sohih)
Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa
sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya
haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu
bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba
yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.
12) Tidak
memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis
kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة
المظلوم
Ertinya
: "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil,
individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat
At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain
itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya
: "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir
berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753,
Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Sekian
Zaharuddin
Abd Rahman
No comments:
Post a Comment