Friday, April 11, 2014

JANGAN LELONG MURAH NAMA NABI SAW

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Saya tertarik dengan twitter Imam dan khatib Masjidil Haram al-Syeikh Su’uud al-Syuraim yang menyebut: (terjemahan) “dakwaan bermimpi Nabi s.a.w menyuruh membunuh banyak nyawa adalah satu kejahatan yang nyata”.
Beliau mungkin menjawab satu ucapan seorang tokoh agama di Mesir dalam videonya yang mendakwa bahawa beliau bermimpi berjumpa dan Nabi s.a.w menyuruh membunuh penunjuk perasaan yang membantah kerajaan tentera.
Salahguna
Demikian nama Nabi s.a.w sering digunakan untuk pelbagai kepentingan. Oleh kerana nama baginda begitu laku maka ramai yang cuba mengambil kesempatan untuk pelbagai kepentingan diri dan puak. Mendakwa mimpi berjumpa Nabi, di samping untuk kepentingan tertentu, ia juga bertujuan untuk menunjukkan diri kepada orang ramai bahawa diri yang bermimpi itu sangat istimewa. Inilah yang cuba ditonjolkan oleh sesetengah guru agama dalam membina pengaruhnya dalam masyarakat. Hal ini berbeza dengan golongan salaf terdahulu yang sentiasa merendah diri dalam memperkatakan tentang kedudukan mereka di sisi Allah S.W.T
Imam Ahlus Sunnah wal Jama’ah al-Imam Ahmad bin Hanbal yang merupakan sarjana hadis yang agung ketika seseorang berkata kepadanya:
“Ibu saya telah bermimpi bagi engkau syurga”. Jawab al-Imam Ahmad: “Wahai saudara! Dahulu Sahl bin Salamah telah diberitahu perkara yang sebegini kemudian dia melakukan menumpahkan darah manusia”. Kata Ahmad bin Hanbal lagi: “Mimpi itu mengembirakan orang mukmin, bukan memperdayakannya”. (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 11/227. Beirut: Muassasah ar-Risalah).
Dusta
Namun apabila agama menjadi bahan untuk kepentingan diri, maka mimpi dijadikan hujah, sedangkan nas yang terang diketepikan. Betapa banyak nas yang Nabi s.a.w melarang kezaliman, kesombongan, mengambil kesempatan atas harta orang ramai dengan menggunakan nama agama dan lain-lain penyalahgunaan dan penindasan. Masakan Nabi s.a.w muncul dalam mimpi seseorang yang akhirnya mencetus kesemua hal itu. Masakan Allah mengiktiraf insan tertentu dengan diberikan kurniaan bermimpi Nabi s.a.w sedangkan dia akhirnya membuat perkara yang dilarang oleh Nabi s.a.w.
Sesiapa yang mendakwa bermimpi Nabi s.a.w dengan satu mesej yang menyanggahi ajaran Nabi s.a.w, dia sebenarnya berbohong. Jika pun dia bermimpi, itu sebenarnya syaitan yang menyerupai orang lain, lalu kerana dia tidak kenal Nabi s.a.w maka dia menyangka itu baginda. Syaitan tidak boleh menyerupai Nabi s.a.w tetapi boleh menyerupai orang lain dan yang tidak tahu menyangka itu Nabi s.a.w. Syaitan boleh menipu sesiapa sahaja sekalipun yang berserban besar.
Jumpa Nabi
Hari ini ramai yang membuat pelbagai majlis atas nama Nabi Muhammad s.a.w. Pada asasnya mengingati Nabi s.a.w dalam usaha mengamalkan ajaran baginda memanglah sesuatu yang baik. Bernasyid dan berqasidah untuk hiburan hati juga tidak salah. Memuja dan memuji Nabi s.a.w dalam puisi dan syair juga baik. Namun, jika Nabi s.a.w itu sekadar satu upacara dalam menaikkan golongan tertentu ataupun mengaut keuntungan tertentu maka itu tidak akan membawa masyarakat kepada Nabi s.a.w.
Ada pula yang mendakwa kononnya Nabi s.a.w itu hadir ke dalam majlis mereka secara jaga atau yaqazah. Ada yang melambai kononnya Nabi s.a.w itu hadir. Sekadar lambai suka-suka maka itu sekadar hiburan. Namun apabila melibatkan dakwaan tertentu berkaitan agama maka itu perlukan dalil syarak. Takrif sahabat Nabi s.a.w di sisi Ahli Hadis ialah ‘sesiapa yang berjumpa dengan Nabi s.a.w, beriman dengan baginda dan mati dalam iman’. Soalannya, apakah mereka yang berjumpa Nabi s.a.w dalam majlis-majlis di Malaysia ini telah menjadi sahabat Nabi s.a.w sehingga mereka ini nanti kita sebut selepas nama mereka radiyalLahu ‘anhu. Dakwaan yang seperti ini mempunyai kesan yang bukan mudah. Jika kita masih ingat dahulu Ashaari Muhammad pengasas Pertubuhan al-Arqam yang membawa ajaran sesat yang berasaskan mimpi dan pertemuannya secara yaqazah (jaga) dengan Nabi s.a.w. Akhirnya pelbagai dakwaan pelik dikeluarkannya dengan bersandar kepada dialognya dengan Nabi s.a.w. yang dia dakwa itu.
Para sahabat Nabi s.a.w telah menghadapi pelbagai krisis dan masalah. Mereka tidak pernah menggunakan mimpi berjumpa Nabi s.a.w dalam pertikaian antara mereka. Tidak pernah ‘Ali ataupun ‘Aishah ataupun al-Zubair ataupun Talhah dalam krisis antara mereka yang telah membawa kepada penumpahan darah itu mendakwa bermimpi berjumpa Nabi s.a.w dalam menentu kebenaran. Padahal mereka lebih perlukan dan lebih layak untuk bermimpi berjumpa baginda. Maka, kita kena ingat apa yang Nabi s.a.w ingatkan kita:
“Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (Riwayat Muslim).
Cinta
Ramai orang suka menyandarkan diri mereka kepada Nabi s.a.w dengan dakwaan mereka keluarga Nabi s.a.w ataupun pencinta keluarga Nabi s.a.w. Paling hebat dalam hal ini golongan Syiah dan mereka yang mendekati jalan yang diambil oleh Syiah.
Kita tidak boleh nafikan bahawa kita semua dituntut menyayangi keluarga Nabi s.a.w (Ahlul Bait). Saban hari kita bersalawat buat mereka. Namun, bukan semua Ahlul Bait itu mendapat kemuliaan Allah. Hanya Ahlul Bait yang mengikuti jejak langkah Nabi s.a.w sahaja. Iman bukan warisan keturunan. Anak Nabi Nuh a.s. menjadi penderhaka kepada beliau. Maka tidak mustahil ada keturunan Nabi Muhammad s.a.w juga yang tidak mengikuti jalan baginda. Perkataan ‘habib’ dan ‘sayyid’ bukan jaminan seseorang itu berada atas jalan Nabi s.a.w. Nabi s.a.w pernah menegaskan:
“Sesungguhnya binasa mereka yang sebelum kamu kerana mereka itu apabila seorang yang dianggap ‘mulia’ dalam kalangan mereka mencuri dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah mencuri, mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Nafi
Dalam keghairahan mendakwa sebagai pengikut Nabi s.a.w ataupun pencinta Nabi s.a.w, kita janganlah lupa bahawa dalam hadis banyak golongan yang Nabi s.a.w tidak mengaku mereka sebagai pengikut baginda. Mendakwa itu mudah, tetapi untuk mendapat pengiktirafan dari baginda s.a.w memerlukan usaha kita semua agar berada atas panduan baginda.
Antara golongan yang Nabi s.a.w tidak mengaku sebagai pengikut baginda ialah golongan menipu umat Islam terutama dari segi harta benda. Suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda:
“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).
Pencinta dan keluarga Nabi s.a.w tidak boleh bersama dengan penipuan. Nabi s.a.w tidak mengaku sebagai pengikut baginda. Bahkan pencinta wajar tegas dalam memperkatakan kebenaran. Sesiapa yang menipu hakikat dan menyelewengkan kebenaran maka dia tidak diiktiraf sebagai pengikut Nabi s.a.w. Sabda Nabi:
“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmii. Berstatus sahih.

Moga kita semua sayangkan Nabi s.a.w. Berusaha mengikuti jalan Nabi s.a.w. Menggalakkan orang ramai ke arah cinta Nabi s.a.w dengan pelbagai pendekatan. Namun, jangan murah-murah lelong nama Nabi s.a.w untuk kepentingan yang tidak diiktiraf oleh Nabi s.a.w!!!

No comments:

Post a Comment