Ulama
terkenal, Sheikh Hamza Yusuf Hanson yang juga pengasas Institut Zaytuna di
Amerika Syarikat memuji umat Islam di Malaysia kerana masih memiliki identiti
yang kukuh dan terus mempertahankan manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah dengan
berpegang teguh kepada mazhab Imam Shafie dalam fekah, Abu'l Hasan al-Asha'ari
dalam akidah dan tasauf Imam al-Ghazali.
Bagi
beliau, umat Islam Malaysia
belum dirosakkan oleh anasir luar seperti negara Islam lain yang terpengaruh
dengan pasca modernisme. Beliau menyeru supaya dipertahankan tradisi ini
daripada ancaman yang salah dan tidak menepati sunah.
Katanya,
mustahil ajaran Islam perlu dibuat kajian semula setelah melalui zaman yang
begitu lama dan proses saringan yang ketat oleh ratusan ulama muktabar
sepanjang zaman. Justeru, beliau menyeru umat Islam benar-benar mengenali
siapakah sebenarnya Ahlul Sunnah wal Jamaah dan ciri-cirinya.
"Ini kerana ramai yang mendakwa mereka adalah kumpulan selamat (firqah
najiah) dan Ahlul Sunnah Wal Jamaah sedangkan sebenarnya tidak," katanya
dalam temubual eksklusif bersama deejay Mazlina Ismail di IKIMfm, Khamis lalu.
Ulama paling berpengaruh di
Barat
Sheikh
Hamza yang disenaraikan sebagai ulama paling berpengaruh di dunia Barat oleh
Prof John Esposito dalam bukunya, The 500 Most Influential Muslims datang ke
Malaysia atas undangan Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS)
dan Al-Naqiy Solutions.
Beliau
berpandangan apa sahaja masalah yang berlaku dalam alam ini berpunca daripada
krisis ilmu pengetahuan yang menjadi masalah pokok kepada krisis lain, sama ada
ekonomi atau politik, manakala yang lain hanyalah simptom kepada penyakit
sebenar yang dihadapi.
Katanya,
penulis terkenal Amerika Syarikat, Mark Twain yang pernah melawat Palestin dan
Florence Nightingale yang pernah tinggal hampir dua tahun di Mesir serta Turki
tidak pernah menganggap umat Islam sebagai pengganas atau berpandangan jahat terhadap
Islam.
Sebaliknya,
mereka memuji umat Islam dan agama Islam. Oleh itu, bagaimana mungkin orang
yang hidup lebih 100 tahun dahulu boleh melihat Islam itu positif, sedangkan
hari ini tiada langsung kebaikan mengenai Islam dan itulah yang dikatakan krisis
ilmu pengetahuan.
Kejahilan biasa, kejahilan
berganda
Beliau
turut mengungkapkan pandangan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas
yang membicarakan berhubung 'kejahilan biasa' dan 'kejahilan berganda'.
"Anak-anak
biasanya tergolong dalam jahil biasa dan ini lambang keikhlasan serta kejujuran
terhadap keilmuan yang dimiliki. Hari ini ramai yang jahil, namun berlagak alim
dan mempunyai ilmu pengetahuan, inilah yang dikatakan jahil berganda,"
katanya.
"Penyakit
ini apabila ramai yang mendakwa mengaku mengetahui sesuatu, tetapi sebenarnya
kosong tidak mengetahui apa-apa. Ulama kita mengajar supaya kita mengungkapkan
aku tidak tahu jika kita tidak tahu kerana itu adalah sebahagian daripada
ilmu," katanya.
Ini
berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berdusta
dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu. Ini halal dan ini haram,
untuk mengadakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang yang
berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya." (Surah al-Nahl, ayat 116)
Kejahilan
sombong ialah merasakan mengetahui sesuatu perkara lalu memberi pelbagai
komentar dan pandangan pada hal mereka jahil sebenarnya. Perlakuan sebegini
berbahaya untuk masyarakat awam dan akan mengelirukan mereka.
Sahabat
Baginda SAW menolak untuk memberi pandangan kerana merasakan tidak layak serta
ia suatu yang berat dan mereka amat takut akan dipertanggungjawabkan di akhirat
kelak. Hari ini ramai yang menulis kosong tanpa ilmu di media sosial.
Hakikatnya,
mereka ini tidak akan terlepas daripada hukuman Allah SWT atas pandangan mereka
menyelewengkan dan menyesatkan masyarakat.
Sheikh
Hamza menyeru supaya perbezaan pendapat yang wujud dalam masyarakat ditangani
dengan cermat, halus, tanpa mewujudkan perpecahan dan pergeseran sesama umat
Islam.
Katanya,
ada ketikanya sesuatu amalan itu mungkin ada hujah atau dalil lebih kuat untuk
tidak melakukannya, tetapi jika masyarakat sudah terbiasa dengan amalan yang
hujahnya tidak begitu kuat dan demi menjamin perpaduan, lebih baik ia diamalkan
bagi mengelakkan pergeseran.
"Ini
antara pandangan ulama mazhab Maliki. Apa yang berbahaya apabila kita merasakan
dan mendakwa hanya Islam yang kita fahami sahaja betul sedangkan Islam orang
lain semuanya salah belaka. Tidak salah untuk kita meyakini yang kita fahami
itu benar, namun untuk menafikan orang lain juga mungkin benar adalah satu
sikap yang angkuh," katanya.
Bersyukur dengan nikmat
Sehubungan
itu, Sheikh Hamza meminta umat Islam di Malaysia bersyukur atas segala nikmat
yang dianugerahkan Allah SWT kerana berdasarkan pengalaman mengembara ke banyak
negara Islam, negara ini jauh lebih baik daripada banyak negara di dunia.
Katanya,
majoriti rakyat di Syria, Libya, Iraq yang sedang bergolak sekarang ini
mengatakan mereka lebih rela kembali hidup di zaman pemerintahan Saddam Hussein
atau Muammar Gaddafi yang lebih aman berbanding hari ini.
"Mana-mana
kerajaan pasti ada kelemahannya, tetapi rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan
keamanan dan kemakmuran yang dinikmati supaya Allah SWT terus menambahkan lagi
nikmat yang lain. Pada masa sama, terus berusaha
memperbaiki keadaan yang ada," katanya.
Mengakhiri perbualan, Sheikh Hamza dengan perasaan sebak
sambil menitiskan air mata menyatakan kesedihan kerana umat Islam hari ini
sudah hilang adab dan meminta supaya mereka menghayati sabda Nabi Muhammad SAW:
"Sesungguhnya aku telah diadabkan oleh Tuhanku dan Dia memperelokkan
adabku."
* Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad - Penulis ialah Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman
Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment