Kenapa
tiba-tiba sahaja remaja bertindak ganas. Sanggup memukul dan membuli kawan
sendiri. Dan sekali lagi… masyrakat kembali heboh, kenapa remaja kita jadi
begini? Kita mesti cari puncanya hingga ke akar umbi! Begitu, selalunya slogan
kedengaran apabila isu itu hangat diperkatakan.
Walau hasrat itu kelihatan semacam
terlewat, tetapi lebih baik daripada tidak memulakan langsung. Apakah kita akan
senyap kembali bila masa berlalu (walaupun isu itu belum selesai)… dan ‘sure’
heboh bila berlaku tragedi baru yang lebih terkini dan sensasi?
Tidak terlalu sukar untuk mencari
punca gengsterisme. Ia berpunca
dari kekacauan dalaman. Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Di dalam hati anak manusia ada seketul daging, jika baik daging itu
baiklah seluruh anggota badan, jika jahat hati itu maka jahatlah seluruh
anggota badan. Ketahuilah daging itu ialah hati.”
Jika hati telah jahat, maka itulah yang menimbulkan perbuatan-perbuatan
ganas. Inilah akar semua kejahatan termasuk gengsterisme. Hati jahat kerana
dihinggapi penyakit-penyakit hati (mazmumah). Antara penyakit-penyakit hati itu
ialah ego, marah, geram, dendam, hasad, cemburu dan lain-lain.
Hakikat ini bertepatan dengan kajian ilmu psikologi. Menurut pakar
psikologi perlakuan manusia ditentukan oleh ‘personal belief system’nya –
sistem keyakinan peribadi yang berada di dalam jiwanya. Sistem keyakinan ini
pada asasnya mengandungi prinsip-prinsip tentang ketuhanan, kebenaran, kebaikan
atau apa sahaja bentuk kepercayaan samada yang bersumberkan fitrah tabi’enya
semata-mata atau apa yang diperolehinya daripada ajaran dan pendidikan. Keyakinan
ini kemudiannya membentuk pandangan alamnya (world-view) tentang hidup
dan kehidupan. Atau dalam istilah yang lain inilah juga yang dinamakan
paradigma, persepsi (tanggapan) atau set minda (mind-set).
Keyakinan tentang adanya Tuhan
misalnya, akan membentuk pandangan alam yang menyebabkan seseorang individu akan
melihat kehidupan ini dengan rasa ‘conciousness of the Creator’ – kesedaran ada
Tuhan yang Maha Pencipta. Individu ini akan berfikir, menilai, menyaring serta
membuat tanggapan berdasarkan apa yang diyakininya berdasarkan prinsip
keyakinan dan set mindanya. Pandangan alam ini kemudiannya membentuk asas nilai
dalam diri. Pendekkata ia akan meletakkan ‘nilai’ sesuatu perkara, benda,
peristiwa, kejadian pada neraca timbangan asas nilaiannya itu. Apa yang
bernilai, akan cuba diperolehi, sokong, sayang atau laksanakan. Manakala
sesuatu yang dirasakan tidak bernilai akan ditinggalkan, dibantah, dibenci dan
ditinggalkannya.
Daripada asas nilai inilah terbentuknya konsep ‘pain and pleasure’ yang
selalu dikatakan oleh pakar-pakar psikologi. Atau dalam istilah Islamnya –
khauf (takut) dan raja’ (pengharapan). Apa yang dirasakan sebagai ‘pleasure’
akan dibuat, sebalik yang dianggap ‘pain’ akan ditinggalkan. Lama kelamaan asas
nilai ini akan membentuk siri tindakan yang dilazimi dari sesama ke semasa. Akhirnya,
terbentuklah sikap atau tabiat. Sikap atau tabiat ialah tenaga penggerak yang
menjadi sumber pembentukan tingkahlaku. Maka ketika inilah lahirnya perbuatan,
samada positif atau negatif. Dan pada ketika ini barulah terserlah kebaikan
atau ‘tembelang’ seseorang. Maknanya, ibu segala perlakuan jenayah adalah
sistem keyakinan yang salah atau rapuh, yang menyebabkan terbentuknya paradigma
atau ‘pandangan alam’ yang serong, dan ini menghasilkan asas nilai yang salah,
yang akhirnya terbentuklah sikap negatif yang melahirkan perlakuan jenayah.
Sekarang kita dapat bayangkan betapa satu perlakuan jenayah itu
sebenarnya menerusi beberapa ‘proses’ atau tahap sebelum ia terhasil. Dan kita
sebenarnya punya banyak peluang dan kesempatan untuk mencegah perlakuan itu
pada tahap-tahap tertentu sebelum ia beralih ke tahap yang sukar diatasi. Ertinya,
kita mesti bermula daripada usaha menanamkan keyakinan, pandangan alam, asas
nilai dan pembentukan sikap. Dan saya ingin tegaskan lagi, semua ini melibatkan
proses pendidikan samada secara formal atau informal.
Walaupun pada zahirnya gengsterisme berkisar pada persoalan sosial dan
keselamatan, namun akar masalah itu berpunca daripada soal pendidikan. Justeru,
penyelesaian masalah tingkah laku manusia perlu ditangani dengan menerusi kaedah
yang bersifat ‘dari dalam ke luar’ (inside-out) bukan ‘dari luar ke dalam’
(outside-in). Berani saya katakan, pendekatan penyelesaian gengsterisme
kini kurang atau gagal melihat secara tersirat tentang sesuatu pemasalahan.
Berdepan dengan masalah ini kebanyakan kita hanya melihat yang hal-hal
yang bersifat tersurat. Fokus kita hanya terbatas untuk menangani
‘presenting problem’ yang bersifat luaran. Jarang kita mahu menyelam untuk
mencari hakikat atau ‘the real problem’ yang bersifat dalaman. Akibatnya, jalan
penyelesaian yang kita pilih selalunya terfokus kepada soal-soal ‘kulit’ yang
bersifat ritual dan slogan, bukan lagi kepada soal isi atau ‘substance’ sesuatu
permasalahan.
Bagaimana seharusnya masalah dalaman ini ditangani? Perlu diingat bahawa
terbentuknya individu yang baik bergantung kepada bentuk pendidikan yang
diberikan. Jika tepat sistem pendidikan yang diberi maka baiklah manusia yang
dihasilkan. Dan begitulah sebaliknya. Jadi masalah gengsterisme sebenarnya
bukanlah masalah sosial, tetapi ia adalah masalah pendidikan. Dalam konteks ini
institusi yang paling penting dinilai dan dikoreksi dengan teliti ialah
sekolah.
Ya, setiap sekolah memang bercita-cita melahirkan pelajar yang cemerlang
akademik dan akhlak. Malangnya, kekadang motto seperti ‘ke arah melahirkan
pelajar bestari dan berdedikasi’ hanya tinggal slogan. Mengapa? Perlu diingat,
bahawa memberi pelajaran dan pendidikan adalah dua perkara berbeza. Mungkin
pelajar-pelajar berjaya menimba pelajaran. Memberi pelajaran melibatkan
proses menyampaikan ilmu. Tetapi mendidik adalah satu perkara yang lain.
Kekadang proses pembelajaran tercapai tetapi proses pendidikan agak terabai. Pencapaian
pelajaran boleh diukur menerusi prestasi dalam peperiksaan tetapi kejayaan
pendidikan jauh lebih kompleks dan abstraks.
Ukuran tuntas atau tidaknya proses pendidikan itu ialah tahap akhlak
seseorang pelajar. Bagaimana akhlak perlajarnya? Oleh itu para guru dan
ibu-bapa yang merupakan pendidik dalam ‘institusi’ pendidikan yang bernama
sekolah dan rumah-tangga harus sama-sama bermuhasabah. Misalnya, apakah
pelajar-pelajar mereka hanya mendapat pelajaran atau pada masa yang sama turut
juga mendapat pendidikan? Jika sekolah hanya sekadar gelanggang menimba ilmu,
ya… pencapaian akademik pelajar kita sangat membanggakan. Pencapaian dalam
UPSR, SPM, STPM nampaknya semakin meningkat. Namun bagaimana sekolah sebagai
tempat menimba asuhan, tunjuk ajar yang baik dan didikan akhlak?
Dalam
pendidikan, faktor yang paling utama ialah pendidik. Kenapa kita gunakan istilah pendidik, bukan pengajar? Ramai orang tersilap, mengatakan bahawa pendidik dan pengajar itu sama… Jika
kita sudah ada pengajar, maka dengan sendirinya kita sudah ada pendidik. Banyak
bezanya antara pendidik dengan pengajar. Pengajar menyampaikan ilmu kepada anak
muridnya. Dia mengajar ilmu-ilmu tertentu samada ilmu agama ataupun akademik.
Matlamat utama pengajar ialah agar ilmu yang diberikan itu dapat difahami dan
‘dituang’ semula semasa peperiksaan. Ertinya, berlaku perpindahan ilmu dari
akal ke akal – yakni dari akal pengajar kepada akal murid dan akhirnya murid
meluahkan semula ilmu itu di atas kertas peperiksaan.
Pendidik lebih dari itu. Justeru dia
berperanan mendidik jiwa muridnya. Supaya jiwa muridnya terkesan oleh ilmu yang
diberikan, yang kemudianya ilmu itu dihayati, diyakini dan kemudiannya
diamalkan maka tugas pendidik lebih ‘advance’ daripada pengajar. Dia perlu
memastikan sesuatu ilmu itu dihayati sekaligus membentuk keperibadian, sikap
dan tabiat anak muridnya. Jika tugas pengajar banyak berlegar ‘di akal’ tetapi
tugas pendidik pula adalah ‘di hati’ – punca segala perlakuan manusia!
Pendidik memastikan dalam jiwa anak
muridnya timbul kemahuan sedangkan pengajar hanya berperanan supaya timbul
pengetahuan. Kekuatan ‘kemahuan’ sebenarnya mengatasi ‘pengetahuan’. Katalah
murid telah diajar tentang sifat-sifat sabar, dia tahu apa cirinya, apa
kategori sabar, apa unsur-unsur yang membawa kepada sifat sabar… Tetapi hanya
dengan itu mampukah ia bersabar apabila berdepan dengan sesuatu yang mencabar
kesabarannya?
Tugas ini adalah tugas pendidik,
justeru hanya pendidik punya kemampuan untuk memastikan ilmu yang ada itu dapat
diamalkan. Cabaran utama dalam sistem pendidikan secara umumnya ialah
kadangkala kita mampu memberi ilmu sebanyak-banyaknya, tetapi gagal dalam
memberi didikan setepat-tepatnya. Justeru, yang penting sekarang ialah
bagaimana kita mampu melahirkan ramai pendidik bukan sekadar meramaikan
pengajar atau menambah bilangan IPTA atau IPTS. Ya, mungkin ini cabaran
baru buat negara, bagaimana melahirkan lebih ramai pendidik!
sumber : Genta Rasa - Ustaz Pahrol Mohd Juoi
sumber : Genta Rasa - Ustaz Pahrol Mohd Juoi
No comments:
Post a Comment