Sunday, July 15, 2012



Kanak-Kanak Buta Fasih 4 Bahasa

Posted on the July 14th, 2012 

Jika Allah berkehendakkan sesuatu kepada makhluk penciptaNya, Dia akan berikan. Satu kisah di mana seorang budak perempuan buta yang fasih dalam empat bahasa menjadi jurubahasa termuda yang bekerja di Parlimen Eropah. Apa yang luar biasanya kanak-kanak tersebut baru berusia 10 tahun. Alexia Sloane, dari Cambridge hilang penglihatannya semasa berusia dua tahun selepas didiagnoskan menghidapi barah otak ketika bercuti di Perancis.

Walaupun cacat, budak perempuan ini cemerlang dalam bahasa. Pada usia 10 tahun dia fasih dalam bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Mandarin. Kini Sloane sedang mempelajari bahasa Jerman.
 
Alexia memenuhi impiannya untuk bekerja sebagai jurubahasa selepas Ahli Parlimen Eropah Timur England, Robert Sturdy menjemputnya ke Parlimen Eropah di Brussels.
“Terdapat syarat umur minima untuk memasuki Parlimen Eropah iaitu 14 tahun. Jadi untuk Alexia menterjemah di sana pada usia 10 tahun adalah menakjubkan,” kata Isabelle, ibu kepada Alexia.

http://www.harian-metro-online.com/page/2

Kewajipan mentauhidkan Allah
MUHAMMAD ASRIE SOBRI
Sinar Harian 14 Julai 2012
Ucapan Syahadah seorang Muslim mengandungi ikrar dan pengakuan terhadap ketunggalan ALLAH SWT sebagai ILAH yakni yang berhak disembah dan ditaati dengan sepenuh kecintaan,
pengharapan, ketakutan, ketundukan, dan kepatuhan.

Demikian pula Syahadah bahawa Muhammad adalah Rasul ALLAH membawa maksud segala hukum-hakam dan syariat daripada ALLAH SWT adalah apa yang disampaikan dan diajarkan Baginda SAW sebagai Rasul (Utusan) ALLAH SWT.

Tiada yang berhak diikuti dan ditaati secara mutlak dalam kalangan makhluk kecuali Rasulullah SAW kerana Baginda tidak bercakap melainkan dengan wahyu daripada ALLAH.

Firman ALLAH SWT dalam Surah Ali Imran ayat ke-32: Maksudnya: “Katakanlah (wahai Rasul): Taatlah kamu kepada ALLAH dan Rasul-Nya, maka sesiapa yang berpaling (enggan mentaati ALLAH dan Rasul-Nya) maka sesungguhnya ALLAH tidak mencintai orang yang kafir”.

Kata Imam Abdul Rahman bin Nasir al- Sa’di RH (w.1376 H) dalam Tafsir beliau:

“Ini adalah perintah ALLAH kepada hamba-Nya dengan perintah yang paling umum iaitulah supaya mentaati (mematuhi)-Nya dan Rasul- Nya yang mana termasuk dalamnya Iman dan Tauhid dan apa yang menjadi cabangnya daripada amalan dan perkataan yang zahir dan batin, bahkan termasuk (dalam erti kata) mentaati-Nya dan mentaati Rasul-Nya adalah menjauhi apa yang dilarang kerana menjauhi perkara yang dilarang sebagai satu kepatuhan kepada perintah ALLAH adalah ketaatan kepada-Nya. Maka sesiapa yang mentaati ALLAH dan Rasul-Nya maka mereka itulah orang yang berjaya. (Maka sesiapa yang berpaling) yakni: berpaling daripada mentaati ALLAH dan Rasul-Nya maka tiada lagi di sana untuk dirujuk keadaannya melainkan sebagai suatu kekufuran dan mentaati Syaitan yang derhaka.” (Taisir al-Karim al-Mannan, m.s128).

Firman ALLAH SWT dalam Surah al- Ahzab ayat ke-36, yang bermaksud:

“Dan tidaklah patut bagi seorang mukmin dan tidak pula bagi seorang Mukminat jika ALLAH dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu keputusan lalu mereka mempunyai pilihan (selain daripada hukum ALLAH dan Rasul) dalam urusan mereka, sesiapa yang menderhaka kepada ALLAH dan Rasul-Nya maka dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”.

Kata al-Hafiz Ibn Katsir r.h (w.774 H) dalam Tafsir beliau: “Maka ayat ini adalah umum dalam semua urusan, iaitu apabila ALLAH dan Rasul-Nya telah memutuskan suatu hukum maka tiada lagi hak bagi sesiapa pun menyelisihkannya dan tiada lagi pilihan lain, tiada lagi pendapat dan perkataan (selainnya)”. (Tafsir al-Quran al-Azim, 6/423)

Mempertuhankan orang agama

Demikian juga terdapat ayat yang mencela perbuatan mengambil hukum dan menjadikan hukum makhluk mendahului hukum ALLAH dan Rasul-Nya. ALLAH menamakan mereka yang  melakukan perkara ini sebagai syirik:


Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Mereka mengambil ulama mereka dan ahli ibadat mereka sebagai tuhan selain ALLAH demikian juga mereka menjadikan al-Masih anak Maryam (sebagai Tuhan selain ALLAH) sedangkan mereka tidak diperintahkan melainkan hanya untuk beribadat kepada Ilah (sembahan) yang satu, Tiada sembahan yang berhak disembah selain Dia Maha Suci Dia daripada apa yang mereka sekutukan”. (Surah At-Taubah : 31)


Perbuatan kaum Yahudi dan Nasrani menyembah ulama mereka dan ahli ibadat ditafsirkan Rasulullah SAW dalam hadis berikut: Daripada ‘Adi bin Hatim RA kata beliau: “Aku datang kepada Rasulullah SAW (untuk memeluk Islam) sedangkan di leher ku ada Salib daripada emas seraya Baginda bersabda: “Wahai ‘Adi, buanglah berhala ini daripada leher mu”. Kata Adi: Maka aku membuangnya. Aku mendekat kepada baginda sedangkan Baginda membaca Surah al-Baraah/At-Taubah lalu Baginda membaca ayat ini (ayat 31). Kata ‘Adi: Aku berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami tidaklah menyembah mereka”.

Lantas kata Baginda: “Bukankah mereka mengharamkan apa yang ALLAH halalkan lalu kamu turut mengharamkannya, mereka menghalalkan apa yang ALLAH haramkan lalu kamu turut menghalalkannya?” Kata ‘Adi: Jawab ku: Bahkan (demikianlah yang kami lakukan).

Sabda Baginda SAW: “Itulah bentuk peribadatan terhadap mereka”. (Riwayat At- Tarmidzi, al-Tabrani) Ayat celaan ini menunjukkan bahawa perbuatan menjadikan selain ALLAH dan Rasulullah SAW sebagai pembuat hukum dan mengikut hukum selain daripada apa yang ALLAH dan Rasul-Nya sudah tetapkan adalah maksiat dan boleh membawa pelakunya kepada syirik jika diyakini makhluk itu mempunyai kedudukan yang setara dengan ALLAH dalam menghalalkan dan mengharamkan sesuatu perkara.
Namun, keadaan Umat Islam hari ini menzahirkan bahawa mereka semakin jauh daripada hukum ALLAH dan Rasul-Nya, mereka menjadikan makhluk sebagai sumber hukum dan meninggalkan wahyu ALLAH di belakang.

Hal ini dapat kita lihat dalam beberapa fenomena seperti sikap Taklid Buta dan Fanatik Mazhab yang dicela dalam Syariat Islam sebagaimana kata Imam al-Syafii RA: “Kaum Muslimin telah bersepakat bahawa wajib atas sesiapa yang jelas baginya Sunnah Rasulullah SAW maka tidak boleh baginya untuk meninggalkannya kerana perkataan sesiapa pun daripada manusia lain”. (I’lam al- Muwaqqi’ien, Ibn al-Qayyim, 1/6).

Bahkan yang wajib atas orang yang beriman adalah mengikut dalil yang sahih dan jelas daripada al-Quran dan Sunnah atas kefahaman Salafus Soleh walaupun ia berlawanan dengan mazhab dan pendapat tokoh yang mereka ikuti.

Hukum makhluk


Demikian juga aliran pemikiran yang menyeru kepada kepercayaan bahawa hak mengharamkan sesuatu dan menghalalkannya berada secara mutlak di tangan makhluk dan kuasa membuat

undang-undang secara mutlak berada di tangan makhluk, tidak terikat dengan hukumhakam syariat Islam seperti aliran demokrasi, liberal, kapitalisme dan sosialisme.

Kepercayaan yang terkandung dalam aliran tersebut boleh menjadikan orang yang mempercayainya kufur dan terkeluar daripada Islam kerana percaya bahawa ada kuasa lain yang setanding dengan ALLAH SWT dalam menetapkan perundangan dan syariat.

Segala kemunduran dan kelemahan yang menimpa umat Islam pada masa kini adalah kerana mereka jauh daripada petunjuk wahyu dan panduan Rabbani maka tidak dapat tidak ubat bagi segala penyakit umat ini hendaklah mereka kembali kepada agama mereka secara sempurna baik rakyat mahupun pemerintah, tua mahupun muda, lelaki mahupun wanita.

Ingatlah nasihat emas Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab RA kepada kita: “Adalah kita suatu ketika dahulu kaum yang paling hina kemudian ALLAH muliakan kita dengan Islam maka jika kita hendak mencari kemuliaan dengan selain yang ALLAH telah muliakan kita dengannya (Islam) maka kita akan dihinakan oleh ALLAH”. (Riwayat al- Hakim dalam al-Mustadrak).

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Mereka mengangkat pendeta dan alim ulamanya menjadi tuhan, selain daripada ALLAH, begitu juga Al Masih anak Maryam, sedang mereka tiada disuruh, melainkan supaya menyembah Tuhan yang Esa, tiada Tuhan kecuali Dia. Maha Suci Tuhan daripada apa yang mereka persekutukan." (Surah At- Taubah : 31)

Muhammad Asrie Sobri ialah Pengerusi Kelab Sekretariat iLMU Cawangan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.

Thursday, July 12, 2012

Tuesday, July 10, 2012

NEGARA CINTA

oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

08 Jul 2012
 
Muslim sangat sinonim dengan cinta. Bukankah cinta itu lahir di syurga dan diwariskan kepada kita oleh Nabi Adam as dan Siti Hawa?

Cinta itu sumber kekuatan untuk memperjuangkan iman dan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat bahkan ke seluruh dunia. Cinta itu kuasa kerana ia terletak di dalam hati – raja yang paling berkuasa dalam kerajaan diri manusia.

Jika cintakan sesuatu, seluruh tenaga dan upaya akan ditumpukan untuk mencapai sesuatu yang dicintai itu.

Oleh kerana itu kita perlu berhati-hati kita mencintai dan dicintai. Kita perlu berhati-hati memilih kepada siapa yang hendak kita cintai. Pepatah Arab menyatakan, seseorang akan menjadi hamba kepada apa yang dicintainya. Cinta itu juga ‘buta’. Buta pada penderitaan demi merebut reda yang dicintainya. Syukur, jika hati kita mencintai Allah, kita akan menjadi hamba Allah dan diperhambakan kearah iman dan Islam. Alangkah ruginya, jika di hati kita bertakhta cinta musuh Allah, maka kita akan menjadi hamba kepadanya dan akan diperhambakan ke arah kejahatan dan kemungkaran.

Kata sesetengah orang, “hidupku untuk cinta.” Tetapi cinta kepada siapa? Jawabnya, pasti cinta kepada Allah. Firman Allah:   “Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat dzalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal).(2:165)”

Cinta Allah itu sumber segala kekuatan, kekayaan, ketenangan dan kejayaan. Manusia yang bercinta dengan Allah yang Maha Kaya (Al Ghani), akan mendapat kekayaaan jiwa yang tiada tandingannya. Manusia yang paling kuat ialah manusia yang mencintai Allah yang Maha Perkasa (Al Qawiy). Manusia yang jahil dan serba tidak tahu akan menjadi insan yang bijaksana  apabila berhubung cinta dengan Allah Yang Maha Berilmu (Alim).
Manusia yang cinta Allah punya kekuatan dan ketenangan untuk menghadapi kehidupan. Hidup mereka tidak akan diganggu gugat oleh rasa takut dan dukacita.  Firman Allah:“… kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa yang engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.Surah Al-Ahzaab, Ayat 51

Namun cinta kepada Allah tidak mungkin dicapai tanpa melalui cinta Rasulullah saw. Jika cinta Allah itu tujuan, maka cinta kepada Rasulullah itu adalah jalan. Tujuan tidak akan tercapai tanpa mengikut jalan yang betul. Ini ditegaskan sendiri oleh Allah melalui firmanNya: Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(3:31)

Seorang Arab Badwi  datang bertemu Rasulullah saw lantas bertanya, “bila berlaku Kiamat?” Rasulullah saw bertanya semula, “apa yang telah kau sediakan untuk menghadapinya?” Orang Arab Badwi itu menjawab, “aku menyediakannya dengan hati yang sangat cinta kepada engkau ya Rasulullah.” Rasulullah menjawab, “seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya di akhirat.”  Ketika mendengar jawapan Rasulullah itu, para sahabat Rasulullah sangat gembira. Malah ada kalangan mereka yang merasa seolah-olah hari itu adalah hari raya. Ini kerana mereka merasakan dengan ‘bermodalkan’ cinta… mereka boleh dikurniakan syurga!

Justeru kita perlu benar-benar mengenali Rasulullah saw melalui sirah dan sunnahnya. Tidak cukup hanya mengetahui dengan cara belajar, tetapi kita perlu mengenalinya dengan hatidengan cuba mempraktikan segala sunnahnya dalam reality kehidupan. Jika Rasulullah bersamaku, bagaimanakah rasa, kata dan tindakannya ketika berdepan dengan suasana ini? Begitulah, rasa hati yang seharusnya ada dalam hati kita sekiranya ingin benar-benar mengenali Rasulullah saw.

Sesungguhnya, mengetahui itu dengan akal, tetapi mengenali itu dengan hati. Mungkin telah banyak yang kita baca dari sirah Rasulullah, tetapi sejauhmana pula apa yang kita baca itu  meresap ke ke dalam hati untuk dirasai. Dengan cuba menteladani Rasulullah saw pada setiap masa, barulah kita diberi hidayah oleh Allah untuk benar-benar mengenali seterusnya mencintai  Rasulullah.

Setelah mencintai Allah dan RasulNya, kepada siapa lagi perlu kita cinta? Ya, kita boleh mencintai sesiapa dan apa sahaja dengan syarat niatnya kerana mencintai Allah. Dalam konteks ini Rasulullah saw telah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini: “ya Allah berikanlah cintaMu kepada ku, jadikanlah orang yang mencintaiMu mencintaiku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanmu.” 

Cinta  Allah itu sumber cinta semua dan segalanya. Justeru cintakan Allah, maka Rasulullah mampu mencintai isteri, anak-anak, cucu-cucu, menantu, sahabat-sahabat malah seluruh umatnya.  Rasulullah saw berkata kepada seorang sahabatnya, Muaz bin Jabal: “Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: ” Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untk memperbaiki ibadah kepada-Mu.”

Jika Rasulullah mencintai Muaz kerana Allah, maka kita juga mesti mencintai orang lain kerana Allah. Mencintai seseorang kerana Allah dan RasulNya, juga dikira mencintai Allah. Namun, adalam apa jua keadaan sekalipun  kecintaan kepada makhluk tidak boleh melebihi cinta kita kepada Allah dan RasulNya. Firman Allah: ”Jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, istri-istri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.(9:24)”

Cinta kepada manusia kerana Allah adalah cinta yang suci. Cinta itulah yang menyatu dua hati dengan mantap dan serasi. Cinta itulah yang menyatukan kaum Muhajiri dan Ansat. Firman Allah: “Dan orang-orang yang telah menempati Kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. ”.(59:8-10)

Sejarah menunjukan bagaimana Rasulullah saw telah mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar dengan cinta Allah. Hasilnya? Persaudaraan antara kedua golongan ini sangat luar biasa kukuhnya. Saad bin Rabi’ Al Ansari (Ansar) telah berkata kepada saudaranya Abdul Rahman bin Auf (muhajirin), “ Sungguh aku adalah orang yang paling kaya di antara kaum Ansar. Aku berniat membahagi harta ku menjadi dua bahagian, untukku dan untuk mu. Aku juga mempunyai dua orang isteri, ambillah yang lebih kau sukai. Sebutkan namanya pada ku, nanti ku talaknya. Jika masa idahnya telah habis, nikahilah dia.” Abdul Rahman menjawab,” semoga Allah memberkati keluarga dan harta mu. Mana pasar kalian? “Dia lalu menunjukkan pasar. Abdul rahman berdagang, berusaha, menikah dan akhirnya menjadi salah seorang terkaya di Madinah. (Riwayat  Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah).

Bermula detik itu kota Madinah dipenuh oleh cahaya cinta – cinta  Allah, cinta Rasullullah dan sesama Islam. Justeru, Rasulullah saw menegaskan bahawa mukmin sejati yang layak ke syurga ialah mereka yang mencintai saudara Islamnya. Rasulullah s.a.w menegaskan: “Demi zat yang diri ku ditangan-Nya, kamu tidak masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak beriman sehingga kamu saling mencintai. Mahukah kamu ku tunjukkan sesuatu yang membuat kamu saling mencintai? Sebarkanlah salam antara kamu.”    Rasulullah saw bersabda lagi: “ Cintailah manusia seperti kamu mencintai diri mu sendiri, maka kamu menjadi muslim.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengapakah cinta Allah boleh menyatukan manusia? Ini kerana manusia yang cinta Allah mampu melawan hawa nafsunya yang terlalu mementingkan diri. Sifat takbur, sombong, angkuh, tamak, hasad dengki, pemarah adalah punca kepada perpecahan.  Tanpa cinta Allah tidak akan ada kasih-sayang sesama manusia.

Firman Allah:“Engkau tidak akan menemukan satu kaum pun yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian menjalinkan hubungan kasih dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul, meskipun orang itu ayah mereka atau anak mereka atau saudara mereka atau keluarga mereka.” Al-Mujadalah: 22.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:“Tidak sempuma iman seseorang kamu hingga dia mengasihi saudara Islamnya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Inilah kerangka asas  bagaimana usaha ke arah mengujudkan sebuah ‘negara cinta’. Apabila semua hati dipenuhi oleh cinta Allah dan setiap diri menegakkan syariat-Nya, maka kehidupan rakyat dalam sebuah negara akan dihiasi oleh akhlak Islamiah.

Cinta kepada Allah dan cinta sesama manusia akan menyebabkan si kaya bersyukur, yang miskin bersabar, suami menyayang, isteri setia, anak-anak taat, majikan adil dan pekerja yang rajin. Bila kadar cinta dan kasih sayang meningkat dalam sesebuah negara, insya-Allah kadar jenayah, penceraian, rasuah, gejala sosial akan menurun dengan sendirinya. Mana mungkin itu berlaku sekiranya orang Islam mencintai saudara Islamnya seperti mencintai dirinya sendiri?

Marilah kita membina ‘negara cinta’ – negara di mana kita saling  menabur bakti dan manfaat sesama kita. Di negara ini kita akan membina sikap saling hormat-menghormati, menghargai, bantu-membantu dan saling berkasih sayang. Sabda Rasulullah: “Orang mukmin itu ialah yang selamat orang lain daripada lisan dan tindakannya.”

Biarlah negara itu menjadi bayangan syurga yang mana setiap rakyat tidak kira Islam atau pun bukan Islam dapat menikmati ‘rahmat untuk sekalian alam’ selaras misi kedatangan Nabi Muhammad saw. Ya, ‘negara cinta’ seperti yang pernah tertegak di Madinah Al Munawwarah pada zaman Rasulullah saw dan para sahabatnya.

Perjalanan untuk menujunya bermula dengan pembinaan cinta Allah di dalam diri, kemudian keluarga. Firman Allah:
“Selamatkan diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.”
Ungkapan yang terkenal: “tegakkan Islam dalam dirimu nescaya tegak Islam dalam negaramu.” Membina cinta Allah dalam diri dan keluarga  adalah satu tapak dalam perjalanan yang panjang itu. Mariah kita melangkah, kerana Allah menilai setiap usaha sebaik sahaja kita memulakan perjalanan… Insya-Allah, Allah akan kurniakan kita kebahagiaan kerana sesungguhnya, kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan tetapi di sepanjang jalan.

Jalan menuju negara cinta dimulakan dengan membina cinta di dalam diri dan  keluarga!

Hamba Allah yang daif,

Friday, July 6, 2012


DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

Mereka paling mencegah kezaliman raja
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Sinar Harian 5 Julai 2012
‘Mereka paling mencegah kezaliman raja-raja’ adalah perkataan sahabah Nabi s.a.w ‘Amr bin al-‘As ketika mengulas tentang kelebihan bangsa Rome ataupun bangsa Eropah ini. Saya teringatkan perkataannya apabila tiga hari lepas (Selasa 3 Julai) saya terbaca dalam Akhbar Daily Mirror kritikan dan pendedahan mengenai belanja perjalanan keluarga DiRaja Britain. Dengan tajuk ‘Royal Family’s travel bill set rise higher’. Setiap anggota keluarga yang berbelanja dengan wang Negara didedahkan. Perjalanan mereka dan berapa wang negara yang telah digunakan seorang demi seorang. Antaranya Daily Mirror laporkan: “July 2011 Prince William and Kate spent £54,410 returning from LA with their staff of seven after touring Canada and California. A source said they paid business class fares for first class flights”.

Banyak lagi pendedahan yang dibuat sebagai bantahan ke atas keluarga Diraja itu menggunakan wang awam. Walaupun kadangkala yang digunakan itu kelihatan tidaklah begitu besar. Peningkatan belanja Queen Elizabeth juga dipertikaikan. Padahal jika kita teliti Queen British itu membayar cukai harta seperti rakyat yang lain. Namun, sikap adil dan demokratik membolehkan rakyat mengetahui dan menyemak sesiapa sahaja yang terbabit dalam salahguna wang awam. Laporan itu menyimpulkan “The figures mean she (The Queen) costs the British population 52p per head, excluding the cost of her security and police protection”.

Walaupun kadangkala difikir jumlahnya tidaklah banyak dibandingkan kekayaan mereka dan jasa keluarga Diraja Britain dalam sejarah kemakmuran negara mereka. Namun, demikianlah sikap rakyat yang tidak feudal dan merdeka jiwa mereka. Mereka berhak mengetahui bagaimana wang negara mereka dibelanjakan. Maka jangan hairan jika mereka sentiasa lebih baik dari segi hak rakyat dan pengurusan dana awam negara. Kebebasan akhbar juga tidak dihalang dalam membuat laporan yang seperti itu. Malanglah, jika ada negara di dunia ini yang begitu meniru gaya baju dan style British dalam upacara rasmi tetapi tidak memberikan hak bersuara kepada rakyat seperti yang British berikan pada rakyatnya.
 
Bangsa Eropah

Hal inilah yang mengingatkan saya kepada ulasan sahabat Nabi s.a.w iaitu ‘Amr bin al-‘As apabila mendengar seorang sahabat yang lain iaitu al-Mustawrid al-Qurasyi meriwayat sabda Nabi s.a.w “Berlakunya Kiamat dan Rom merupakan manusia terbanyak” (Riwayat Muslim). Maksudnya, sehingga berlaku Kiamat, bangsa Eropah akan kekal dengan jumlah dan kekuatan mereka. Rom ataupun bangsa roman adalah bangsa Eropah hari ini. Mendengarkan hadis tersebut, ‘Amru bin al-‘As sebagai seorang yang berpengalaman dengan pelbagai bangsa pada zaman tersebut mengulas dengan berkata kepada al-Mustawrid: “Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”.

Dalam ucapan ‘Amr bin al-‘As, tergambar bahawa beberapa ciri penting untuk menjadi satu masyarakat ataupun negara yang kuat. Pertamanya, kebijaksaan politik dalam menangani krisis. Kedua, kemampuan untuk bangkit setelah jatuh dalam kegawatan. Ketiga, kekuatan ketenteraan. Keempat, kebajikan rakyat. Kelima, keadilan siasat yang menghalang segala kezaliman terutama kezaliman golongan penguasa.

Merenung hadis dan ucapan ‘Amr bin al-‘As ini, dapat kita lihat kekuatan dalam kehidupan masyarakat Barat ini sekalipun banyak perkara yang kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka. Ciri-ciri kebaikan dan kekuatan yang disebutkan ‘Amr bin al-‘As dapat kita lihat dalam pengurusan mereka yang lebih baik dibandingkan masyarakat lain termasuk masyarakat muslim hari ini. Sikap mereka dalam mencegah kezaliman penguasa lebih baik dari masyarakat lain yang feudal. Royal Family mereka sekalipun berjasa dalam sejarah, namun hari ini tidak dibiarkan bertindak tanpa boleh dipertikaikan. Dengan itu masyarakat mereka hidup dengan penuh keyakinan terhadap hak dan suara mereka. lihatlah di dunia Islam apabila ada golongan bangsawan yang boleh mengaut segala kekayaan minyak, balak, gas, tanah dan segala harta awam rakyat tanpa siapa boleh mempertikaikan. Bahkan yang mempertikai pula yang dihukum. Padahal jasa golongan bangsawan negara-negara orang muslim sukar hendak disenaraikan dalam sejarahnya dibanding monarki British.
 
Agamawan Sengat

Malang sekali, muncul pula golongan agama yang samada jahat, ataupun jahil terhadap maksud agama dalam membebaskan manusia dari penghambaan zahir dan batin kepada menjadi hamba ALLAH yang merdeka jiwanya. Lahir golongan literalist yang meletakkan nas-nas agama secara terpisah dan sengat dari maksud keseluruhan agama ini sehingga mendiam kezaliman penguasa dan membantah suara rakyat yang ditindas. Mereka inilah yang berfatwa mempertahankan Muammar Qadafi, Hosni Mubarak dan regim yang masih hidup iaitu Bashar al-Asad. Mereka sibuk menghalang rakyat bersuara, tetapi tidak sibuk ‘berforum, berwacana, ataupun berseminar’ menghalang penguasa merakusi hak rakyat. Mereka mendakwa ini pegangan salaf (generasi awal Islam), seakan golongan salaf itu banteng kepada regim-regim yang zalim. Merekalah yang sebenarnya menghina dan berdusta atas nama salafussalih. Mereka lupa, bahawa Muawiyah bin Abi Sufyan sekalipun memberi ruang membantah dan bersuara kepada rakyat.

Dalam riwayat at-Tabarani, dengan sanad yang hasan: “Muawiyah bin Abi Sufyan r.a (khalifah ketika itu) menaiki mimbar pada hari Jumaat, dia berkata dalam khutbahnya: “Harta ini (kerajaan) adalah harta kami, dan harta fai (yang diperolehi melalui peperangan) juga harta kami. Kami berikan kepada sesiapa yang kami mahu, dan kami tidak berikan kepada sesiapa yang kami mahu”. Tiada seorang pun yang menjawabnya.

Apabila tiba jumaat yang kedua, dia mengucapkan perkara yang sama. Tiada siapa pun menjawabnya. Pada jumaat yang ketiga dia berkata perkara yang sama, lalu seorang lelaki yang hadir dalam masjid itu bangun dan berkata: “Sama sekali tidak! Harta ini adalah harta kami (rakyat) dan fai ini adalah fai kami (rakyat). Sesiapa yang menghalang antaranya dengan kami, kami hukumnya dengan pedang-pedang kami”.

Apabila selesai solat, Muawiyat memerintahkan lelaki itu berjumpa dengannya. Orang ramai berkata: “Habislah dia”. Kemudian orangramai masuk dan mendapati dia duduk bersama Muawiyah di atas tempat duduknya. Muawiyah berkata kepada orang ramai: “Dia ini telah menghidupkanku (memberikan kebahagian), semoga ALLAH menghidupkannya. Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun”.

Kata Muawiyah: Aku bercakap pada jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian pada jumaat yang kedua, tiada siapapun menjawabku, maka aku pun berkata: “Aku termasuk dalam kalangan mereka”. Aku bercakap pada jumaat ketiga lelaki ini bangun menjawabku. Dia hidupkan (bahagiakan) daku, semoga ALLAH menghidupkannya”.

Dunia bergembira dengan kemenangan Presiden Mesir yang baru Dr Muhammad Mursi. Saya mengikuti ucapan demi ucapannya. Ucapannya melambang nilai Islam yang ada dalam dirinya. Islam itu asas pemikirannya. Saya tidak mengharapkan banyak, saya harap beliau menghidupkan demokrasi seperti yang dijanjikan. Memberikan hak rakyat dan membahagikan kekayaan negara secara betul. Menghidupkan negara yang tersusun dan berperaturan. Bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Jika itu dapat dilakukan, Mesir yang terkenal dengan negara serabut dan tidak berperaturan itu akan dapat dibangunkan semula. Umat Islam sekian lama menderita kerana kegagalan pengurusan negara mereka. Masa untuk berubah dengan menyingkirkan setiap golongan yang korupsi dan penyokong pemikiran feudal dari masyarakat Muslim.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis dan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Thursday, July 5, 2012


AIR ASIA CHEKIK DARAH !!!

Minggu lepas saya ke Kuching Sarawak menziarahi anak saya yang baru dua bulan bertugas di Hospital Umum Sarawak. Pengalaman kali ini menaiki pesawat Air Asia sungguh mengganggu perasaan saya. Tak pernah saya berasa tertekan dan marah-marah dengan sistem Air Asia yang pada saya “cekik darah” dan mengambil kesempatan di atas kealpaan penumpang. Pada saya walaupun Air Asia punyai prinsip sesiapa sahaja boleh terbang (everybody can fly) tetapi punyai “hidden agenda” iaitu fikirkan apa sahaja cara untuk dapatkan untung daripada penumpang.(Ini pendapat peribadi saya).

Pada 28 Jun lepas saya menaiki pesawat Air Asia dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur jam 8.20 pagi. Saya dan isteri sampai di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu jam 7.30 pagi. Saya beratur dihadapan kaunter tiket Air Asia mulai jam 7.30 pagi untuk check in. Dihahadapan saya ada tiga orang penumpang yang sedang berurusan untuk daftar masuk. Malangnya masa untuk mereka ini terlalu lama, kemungkinan kerana barangan (luggage) mereka melebihi had dan perlu bayaran tambahan. Selesai sahaja mereka daftar masuk, giliran saya untuk check inn dan petugas di kaunter itu meletakkan label kaunter ditutup, tetapi dia masih meneruskan tugasnya, dan bila saya menyerahkan kad pengenalan saya untuk dapatkan pas masuk, saya dikehendaki membayar RM10.00 seorang kerana lewat daftar masuk, walhal saya telah berdiri beratur lebih sepuluh minit.

Saya menjelaskan bahawa saya dah lama beratur, kenapa perlu bayar, katanya saya lewat check inn. Secara paksa rela saya dan beberapa orang lagi penumpang yang lain kena bayar RM10.00 untuk dapatkan bording pass.

Dan yang paling menyedihkan saya ialah reket badminton anak saya yang beratnya tak sampai 300 gm terpaksa dimasukkan ke dalam luggage di Kuala Lumpur untuk terbang ke Kuching. Yang peliknya sewaktu kami menaiki kapal terbang dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur dizinkan saya membawanya naik ke tempat duduk tanpa perlu masuk ke tempat luggage. Petugas Air Asia di LCCT KL mengenakan tambang RM50.00 bagi sebatang reket badminton yang beratnya sama dengan sebuah buku yang tebalnya 400 muka surat. PELIK dan AJAIB.

Sewaktu balik dari Kuching ke KL sekali lagi kami diminta membayar RM10.00 seorang untuk dapatkan bording pas. Walaupun saya telahpun suruh anak saya di KT mendaftar (check inn online) tetapi kami tidak print pula bording pass. Jadi untuk dapatkan bording pass yang telah dicheck in online perlu bayar RM10.00 seorang. Saya cuba juga lihat melalui mesin automatic di Aiport untuk dapatkan bording pas, tak boleh kerana saya telah check inn melalui online. LAGI PELIK DAN AJAIB.

Kesimpulan yang boleh saya buat daripada peristiwa pahit ini ialah;

  1. Air Asia Penerbangan Murah hanya pada gimiknya sahaja, tetapi hati-hati mereka akan kaut keuntungan melalui pelbagai cara daripada penumpang. Menahan lukah di pergentingan, mencari keuntungan dengan mencekik darah penumpang.
  2. Dahulu setiap penumpang dibenarkan membawa barangan tidak lebih 15 kg. Seorang tetapi sekarang hanya 7 kg. Seorang.
  3. Benarlah tohmahan MP dari Sabah yang menuduh CEO Air Asia penipu.
  4. Bagitu juga saya pernah menginap di TUNE Hotel di KL dekat Maju Junction satu ketika dulu. Biliknya dalam internet nampak luas dan selesa, tapi bila nak check inn, tuala kena sewa, aircon kena bayar, parking kereta kena bayar, biliknya pun sempit nak solatpun payah. Bila dicampur semua charge itu rasanya lebih murah duduk di Grand Continental.
  5. Hati-hatilah bila nak naik Air Asia, dulu mungkin murah tapi sekarang kenalah hati-hati.
  6. Cadangan saya pihak berkuasa kenalah tengok sikit apa yang telah dibuat oleh Air Asia. Tapi ini mungkin mustahil sebab puak-puak pemerintah ini tak naik kapal terbang murah ini, mereka naik Business Class MAS. Sekali-sekali tengoklah kerenah Air Asia yang mencari keuntungan daripada rakyat golongan berpendatan rendah ini.  

Alangkah indah jika umat Islam di Malaysia juga begini (gambar)

http://naimnikmat.blogspot.com, 05 Jul 2012
https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-snc7/s480x480/487369_260358324073201_832069030_n.jpg

Apabila seruan azan dilaungkan mereka segera solat berjemaah ditengah-tengah pusat membeli belah. Jika setiap ummat Islam boleh buat begini ketahuilah kemenangan Islam makin hampir.....