Mereka paling mencegah kezaliman raja
Sinar Harian 5 Julai 2012
‘Mereka paling mencegah kezaliman raja-raja’ adalah perkataan sahabah
Nabi s.a.w ‘Amr bin al-‘As ketika mengulas tentang kelebihan bangsa Rome
ataupun bangsa Eropah ini. Saya teringatkan perkataannya apabila tiga
hari lepas (Selasa 3 Julai) saya terbaca dalam Akhbar Daily Mirror
kritikan dan pendedahan mengenai belanja perjalanan keluarga DiRaja
Britain. Dengan tajuk ‘Royal Family’s travel bill set rise higher’.
Setiap anggota keluarga yang berbelanja dengan wang Negara didedahkan.
Perjalanan mereka dan berapa wang negara yang telah digunakan seorang
demi seorang. Antaranya Daily Mirror laporkan: “July 2011 Prince William
and Kate spent £54,410 returning from LA with their staff of seven
after touring Canada and California. A source said they paid business
class fares for first class flights”.
Banyak lagi pendedahan yang dibuat sebagai bantahan ke atas keluarga
Diraja itu menggunakan wang awam. Walaupun kadangkala yang digunakan itu
kelihatan tidaklah begitu besar. Peningkatan belanja Queen Elizabeth
juga dipertikaikan. Padahal jika kita teliti Queen British itu membayar
cukai harta seperti rakyat yang lain. Namun, sikap adil dan demokratik
membolehkan rakyat mengetahui dan menyemak sesiapa sahaja yang terbabit
dalam salahguna wang awam. Laporan itu menyimpulkan “The figures mean
she (The Queen) costs the British population 52p per head, excluding the
cost of her security and police protection”.
Walaupun kadangkala difikir jumlahnya tidaklah banyak dibandingkan
kekayaan mereka dan jasa keluarga Diraja Britain dalam sejarah
kemakmuran negara mereka. Namun, demikianlah sikap rakyat yang tidak
feudal dan merdeka jiwa mereka. Mereka berhak mengetahui bagaimana wang
negara mereka dibelanjakan. Maka jangan hairan jika mereka sentiasa
lebih baik dari segi hak rakyat dan pengurusan dana awam negara.
Kebebasan akhbar juga tidak dihalang dalam membuat laporan yang seperti
itu. Malanglah, jika ada negara di dunia ini yang begitu meniru gaya
baju dan style British dalam upacara rasmi tetapi tidak memberikan hak
bersuara kepada rakyat seperti yang British berikan pada rakyatnya.
Bangsa Eropah
Hal inilah yang mengingatkan saya kepada ulasan sahabat Nabi s.a.w
iaitu ‘Amr bin al-‘As apabila mendengar seorang sahabat yang lain iaitu
al-Mustawrid al-Qurasyi meriwayat sabda Nabi s.a.w “Berlakunya Kiamat
dan Rom merupakan manusia terbanyak” (Riwayat Muslim). Maksudnya,
sehingga berlaku Kiamat, bangsa Eropah akan kekal dengan jumlah dan
kekuatan mereka. Rom ataupun bangsa roman adalah bangsa Eropah hari ini.
Mendengarkan hadis tersebut, ‘Amru bin al-‘As sebagai seorang yang
berpengalaman dengan pelbagai bangsa pada zaman tersebut mengulas dengan
berkata kepada al-Mustawrid: “Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya
pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun
(forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit
selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat;
Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah
kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka
golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”.
Dalam ucapan ‘Amr bin al-‘As, tergambar bahawa beberapa ciri penting
untuk menjadi satu masyarakat ataupun negara yang kuat. Pertamanya,
kebijaksaan politik dalam menangani krisis. Kedua, kemampuan untuk
bangkit setelah jatuh dalam kegawatan. Ketiga, kekuatan ketenteraan.
Keempat, kebajikan rakyat. Kelima, keadilan siasat yang menghalang
segala kezaliman terutama kezaliman golongan penguasa.
Merenung hadis dan ucapan ‘Amr bin al-‘As ini, dapat kita lihat
kekuatan dalam kehidupan masyarakat Barat ini sekalipun banyak perkara
yang kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka. Ciri-ciri kebaikan dan
kekuatan yang disebutkan ‘Amr bin al-‘As dapat kita lihat dalam
pengurusan mereka yang lebih baik dibandingkan masyarakat lain termasuk
masyarakat muslim hari ini. Sikap mereka dalam mencegah kezaliman
penguasa lebih baik dari masyarakat lain yang feudal. Royal Family
mereka sekalipun berjasa dalam sejarah, namun hari ini tidak dibiarkan
bertindak tanpa boleh dipertikaikan. Dengan itu masyarakat mereka hidup
dengan penuh keyakinan terhadap hak dan suara mereka. lihatlah di dunia
Islam apabila ada golongan bangsawan yang boleh mengaut segala kekayaan
minyak, balak, gas, tanah dan segala harta awam rakyat tanpa siapa boleh
mempertikaikan. Bahkan yang mempertikai pula yang dihukum. Padahal jasa
golongan bangsawan negara-negara orang muslim sukar hendak disenaraikan
dalam sejarahnya dibanding monarki British.
Agamawan Sengat
Malang sekali, muncul pula golongan agama yang samada jahat, ataupun
jahil terhadap maksud agama dalam membebaskan manusia dari penghambaan
zahir dan batin kepada menjadi hamba ALLAH yang merdeka jiwanya. Lahir
golongan literalist yang meletakkan nas-nas agama secara terpisah dan
sengat dari maksud keseluruhan agama ini sehingga mendiam kezaliman
penguasa dan membantah suara rakyat yang ditindas. Mereka inilah yang
berfatwa mempertahankan Muammar Qadafi, Hosni Mubarak dan regim yang
masih hidup iaitu Bashar al-Asad. Mereka sibuk menghalang rakyat
bersuara, tetapi tidak sibuk ‘berforum, berwacana, ataupun berseminar’
menghalang penguasa merakusi hak rakyat. Mereka mendakwa ini pegangan
salaf (generasi awal Islam), seakan golongan salaf itu banteng kepada
regim-regim yang zalim. Merekalah yang sebenarnya menghina dan berdusta
atas nama salafussalih. Mereka lupa, bahawa Muawiyah bin Abi Sufyan
sekalipun memberi ruang membantah dan bersuara kepada rakyat.
Dalam riwayat at-Tabarani, dengan sanad yang hasan: “Muawiyah bin Abi
Sufyan r.a (khalifah ketika itu) menaiki mimbar pada hari Jumaat, dia
berkata dalam khutbahnya: “Harta ini (kerajaan) adalah harta kami, dan
harta fai (yang diperolehi melalui peperangan) juga harta kami. Kami
berikan kepada sesiapa yang kami mahu, dan kami tidak berikan kepada
sesiapa yang kami mahu”. Tiada seorang pun yang menjawabnya.
Apabila tiba jumaat yang kedua, dia mengucapkan perkara yang sama.
Tiada siapa pun menjawabnya. Pada jumaat yang ketiga dia berkata perkara
yang sama, lalu seorang lelaki yang hadir dalam masjid itu bangun dan
berkata: “Sama sekali tidak! Harta ini adalah harta kami (rakyat) dan
fai ini adalah fai kami (rakyat). Sesiapa yang menghalang antaranya
dengan kami, kami hukumnya dengan pedang-pedang kami”.
Apabila selesai solat, Muawiyat memerintahkan lelaki itu berjumpa
dengannya. Orang ramai berkata: “Habislah dia”. Kemudian orangramai
masuk dan mendapati dia duduk bersama Muawiyah di atas tempat duduknya.
Muawiyah berkata kepada orang ramai: “Dia ini telah menghidupkanku
(memberikan kebahagian), semoga ALLAH menghidupkannya. Aku mendengar
Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka
itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke
dalam neraka seperti kera terjun”.
Kata Muawiyah: Aku bercakap pada jumaat pertama, tiada siapa pun
menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian
pada jumaat yang kedua, tiada siapapun menjawabku, maka aku pun berkata:
“Aku termasuk dalam kalangan mereka”. Aku bercakap pada jumaat ketiga
lelaki ini bangun menjawabku. Dia hidupkan (bahagiakan) daku, semoga
ALLAH menghidupkannya”.
Dunia bergembira dengan kemenangan Presiden Mesir yang baru Dr Muhammad
Mursi. Saya mengikuti ucapan demi ucapannya. Ucapannya melambang nilai
Islam yang ada dalam dirinya. Islam itu asas pemikirannya. Saya tidak
mengharapkan banyak, saya harap beliau menghidupkan demokrasi seperti
yang dijanjikan. Memberikan hak rakyat dan membahagikan kekayaan negara
secara betul. Menghidupkan negara yang tersusun dan berperaturan. Bebas
dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Jika itu dapat dilakukan, Mesir
yang terkenal dengan negara serabut dan tidak berperaturan itu akan
dapat dibangunkan semula. Umat Islam sekian lama menderita kerana
kegagalan pengurusan negara mereka. Masa untuk berubah dengan
menyingkirkan setiap golongan yang korupsi dan penyokong pemikiran
feudal dari masyarakat Muslim.
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis dan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford
www.sinarharian.com.my
tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang
diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan
tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami
No comments:
Post a Comment