Tuesday, July 9, 2013

Stres dan Kanser

Oleh Hj Lokman Abd Hamid 

ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji. Saya selalu mendengar sesi temubual Tuan Haji melalui program Melayu di Radio SBS (Special Broadcasting Services). Dalam program minggu lalu, Tuan Haji ada menceritakan berkenaan perubatan al-Quran dalam merawati penyakit kanser dan saya tertarik dengan kenyataan Tuan Haji bagaimana stress salah satu penyebab kanser. Saya mengidap kanser paru-paru, tahap empat, sejak tiga tahun lepas. Saya telah menjalani kimoterapi sebanyak 18 kali. Bolehkah Tuan Haji terangkan bagaimana seseorang itu boleh mendapat kanser? Saya ingin tahu apa kaitan antara stres dengan kanser. Apa ayat yang boleh saya amal untuk mengurangkan stress dan juga mengubati penyakit kanser saya. Terima kasih.

Puan Lily, Sydney, Australia
Jawapan:
Alhamdulilah syukur kepada Allah SWT dengan keizinan-Nya, saya dapat menyebarkan mukjizat al-Quran kepada penduduk Islam di Australia, melalui program Melayu di Radio SBS setiap Rabu petang. Program ini khas untuk masyarakat Melayu di Australia. Program wawancara ini dikendalikan oleh pengacara dan juga penerbitnya, Zaini Ahmad dari ibu pejabat stesen Radio SBS di Melbourne, Australia.

Seminggu sekali Zaini akan menemubual saya secara lintas lansung melalui telefon dari Melbourne dalam isu berkaitan perubatan Islam. Ada masanya pendengar sendiri menelefon melalui program ini dan mengemukakan soalan kepada saya. Mereka yang menelefon bukan sahaja masyarakat Melayu menetap di Melbourne atau Sydney, malah dari seluruh Australia. Soalan yang dikemukakan selalunya mengenai gangguan seperti saka dan sihir. Kesimpulannya gangguan bukan sahaja berleluasa di Malaysia tetapi ia popular di Australia.

Merujuk kembali kepada SMS yang saya terima dari Puan Lily, dengan rezeki Allah beri, saya dijemput oleh Puan Lily untuk datang ke Sydney pada hari Ahad lalu untuk membuat rawatan. Tiba di Sydney, cuaca sangat sejuk sebab musim sejuk di benua selatan. Walaupun sudah banyak kali saya ke Sydney atas urusan kerja semasa saya bertugas dengan Syarikat Shell dan dengan badan berkanun Suruhanjaya Sekuriti dahulu, ini kali pertama saya ke sana atas undangan pesakit. Ramai masyarakat Melayu di Sydney yang terdiri daripada pelajar dan penduduk yang berhijrah.

Saya tidak berhenti bersyukur kepada Illahi atas undangan yang Allah beri. Kali ini saya datang bukan atas urusan duniawi tetapi untuk berdakwah berkenaan mukjizat al-Quran dalam aspek perubatan dan menolong merawat pesakit Islam di benua Down Under. Sesungguhnya menyampaikan mukjizat al-Quran adalah satu bentuk dakwah, hukumnya fardu kifayah. Dari Abdullah bin Amr r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sampaikan dari ku walau hanya satu ayat". (Hadith Riwayat Bukhari)

Berbalik kepada penyakit yang dihadapi Puan Lily, beliau menghadapi sejenis penyakit kanser paru-paru - Non Small Cell Lung Cancer. Terdapat ketumbuhan sebesar 19 mm di sebelah kanan paru-parunya. Sakit kanser paru-paru jenis ini tidak menunjukkan simtom kanser paru-paru biasa seperti batuk perpanjangan, batuk berdarah, sesak nafas, sakit dada, cepat letih, hilang selera makan dan penurunan berat badan mendadak. Beliau mendapat tahu mengenai kanser ini apabila beliau merasa kelenjar pada leher bengkak. Selepas membuat pemeriksaan doktor dan imbas CT, didapati kanser itu telah merebak ke bahagian kelenjar pada dada sebelah kiri dan kanan.

Puan Lily telah menjalani proses kimoterapi sebanyak 20 kali di hospital Sydney bermula awal tahun 2011. Tetapi sel kanser dalam tubuh beliau tidak memberi tindak balas positif kepada kimoterapi walaupun doktor telah menukar ubat kimoterapi sebanyak empat kali. Malah sejak dua bulan lalu, sel kanser itu telah merebak ke bahagian tulang rusuk dan tulang belakang. Beliau sekarang sedang menjalani rawatan radioterapi untuk mengawal sel-sel kanser di bahagian tulang belakang daripada merebak ke tempat lain.

Ramai pesakit beranggapan proses kimoterapi dan radioterapi boleh menyembuhkan kanser. Anggapan ini tidak benar terutama jika tahap kanser sudah sampai tahap tiga dan empat. Dalam pengalaman saya mengubati kanser, ada pesakit kanser tahap satu, setelah menjalani proses pembedahan seperti mastectomy atau lumpectomy, dan selepas menjalani rawatan kimoterapi dan selang beberapa tahun, mereka mendapat relapse atau kanser berulang. Ini membuktikan proses kimoterapi dan radioterapi hanya boleh melambatkan sel kanser daripada merebak, dan bukan mematikannya.

Saya sering ditanya oleh pesakit kenapa mereka dapat kanser dan kenapa ahli keluarga mereka yang lain tidak dapat. Ada yang bertanya kenapa pesakit lain boleh sembuh tetapi diri mereka masih bertarung dengan kanser. Memang benar kita kena patuh dengan takdir Illahi. Segala musibah yang Allah turunkan ada hikmahnya. Kita kena bersabar atas segala ujian yang Allah beri. Sebab Allah sayang kepada kita sebab itulah dia menguji kita. Sekiranya kita sabar dan lulus ujian Allah, mungkin Dia akan naikkan darjat kita di akhirat nanti.
Untuk pengetahuan semua, setiap tubuh badan manusia mempunyai sel kanser. Sel kanser ini adalakanya hanya diam dan tidak merbahaya kepada tubuh seseorang. Tetapi kadang-kala sel kanser itu akan menjadi abnormal dan membiak menjadi satu ketumbuhan yang dipanggil tumour. Sel-sel tadi perlu membiak berjuta-juta sel untuk menjadi satu tumor yang besar.

Proses pembesaran tumor ini memakan masa lama, kadang-kala bertahun-tahun. Ramai di antara pesakit tidak tahu ada ketumbuhan dalam badan mereka sehinggalah ketumbuhan itu sudah menjadi kanser. Kadang-kadang tumour itu hanya tumour benign iaitu tidak berbahaya dan tidak merebak ke anggota badan lain. Tumour yang merebak ke lokasi anggota lain dipanggil tumour malignan. Ia sangat berbahaya dan dipanggil kanser.

Stres dan anxiety

Sekiranya tubuh seseorang itu sihat dan mempunyai sistem daya pertahanan diri (immune system) yang kuat dengan sendirinya sel kanser yang abnormal dan membiak itu, akan dimatikan oleh antibodi sistem pertahanan dalam tubuh seseorang. Ini akan berlaku tanpa kita sedari. Kanser akan terjadi apabila sistem pertahanan seseorang lemah dan gagal mengawal pembiakan sel kanser dalam tubuh.

Sistem pertahanan diri akan menjadi lemah jika kita tidak menjaga kesihatan dengan baik. Untuk menjadikan tubuh badan sihat, kita mesti melakukan gaya hidup sihat seperti:

Makan makanan seimbang
Cukup rehat dan cukup tidur
Selalu melakukan aktiviti senaman
Hidup dalam persekitaran udara bersih dan segar
Tidak terdedah kepada bahan kimia yang mengakibatkan kanser
Tidak merokok
Tidak minum alkohol
Kurangkan stres

Yang paling penting kita sebagai umat Islam melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah pinta. Perbanyakkan solat dan selalu berzikir mengingati Allah. Semua ini ada ditulis di dalam al-Quran dan hadis. Jika kita lakukan apa yang Allah suruh, Insya-Allah tubuh badan kita akan sihat dan stres boleh dikawal dan sistem imun kita jadi kuat. Insya-Allah kita boleh mencegah diri kita daripada kanser.

Stres dan anxiety adalah salah satu penyebab kanser. Stres adalah tekanan emosi apabila kita di dalam keadaan tertekan dari segi emosi, mental atau fizikal. Dalam hidup, kita tidak boleh lari daripada stres. Kita dikelilingi pelbagai jenis stres seperti kerja, keluarga, persekitaran, kesesakan jalan-raya, anak-anak akan mengambil peperiksaan, suami curang dan sebagainya.

Anxiety pula ialah perasaan bimbang, runsing, risau, takut dan memikirkan perkara-perkara negatif. Jadi stres dan anxiety yang berterusan boleh mendorong kepada seseorang itu untuk senang untuk mendapat penyakit kanser.

Bila kita stres atau mempunyai anxiety yang tinggi, metabolism kita akan dengan sendirinya meningkat dan degupan jantung akan menjadi lebih laju daripada biasa. Bila ini berlaku, dengan sendirinya tubuh akan mengeluarkan lebih banyak karbon dioksida dalam darah. Karbon dioksida adalah berasid dan ini akan membuat tubuh kita lebih berasid. Sel kanser akan cepat membiak dalam persekitaran tubuh berasid.

Apa yang mustahak ialah kita mesti tahu bagaimana untuk mengawal dan mengurus stres. Banyak kaedah moden yang kita tahu untuk mengawal stres tapi kaedah dalam Islam sungguh mudah. Lakukan solat, berzikir, baca al-Quran dan berdoa pada Allah. Insya-Allah ini adalah terapi mengawal stres paling berkesan.

Surah untuk mengawal stres dan mententeramkan jiwa:

Surah Muhammad dari ayat 21 hingga 32
Surah Toha dari ayat 120 hingga 135
Surah permulaan untuk menangani masalah kanser:
Surah Al Mukminun dari ayat 91 hingga 100
Surah Al Hajj dari ayat 31 hingga 55
Surah Hud dari ayat 60 hingga 80
Surah An Nahli dari ayat 90 hingga 110

Ada sebanyak 60 lebih rangkaian ayat yang saya telah kenalpasti untuk mengubati pelbagai jenis kanser. Semua ini terdapat di dalam buku saya yang bertajuk "Perubatan Al Quran Rawatan Kanser" terbitan Must Read Publication yang ada di dalam pasaran sejak bulan Mac 2013. Buku ini boleh dibeli di klinik saya di Setiawangsa atau di kedai-kedai buku utama.

Ingin juga saya berkongsi cerita semasa saya mengubat di Sydney minggu lepas. Semasa saya di rumah Puan Lily, saya terpandang beberapa keratan artikel saya di akhbar Mingguan Malaysia yang dikirim oleh keluarga Puan Lily dari Malaysia. Alhamdulillah syukur kepada Allah, rupa-rupanya artikel saya jauh menjelajahi bumi Allah ini. Terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia kerana memberi peluang untuk saya berdakwah melalui media ini


Monday, July 8, 2013

10 Persediaan Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Oleh Ustaz Mohd Saufi bin Jusoh
Imam Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu.


1. Berdoalah agar Allah SWT memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan dalam keadaan sihat wal afiat. Dengan keadaan sihat, kita dapat melaksanakan ibadah secara maksima di bulan itu; baik puasa, solat, tilawah al-Quran dan zikir. Dari Anas bin Malik RA berkata, bahawa Rasulullah SAW apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa,
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان، وبلغنا رمضان

Ertinya : Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. [HR Ahmad dan at-Tabrani]

Para salafus-soleh selalu memohon kepada Allah agar diberikan kurnia bulan Ramadhan dan berdoa agar Allah menerima amal mereka. Bila telah masuk awal Ramadhan, mereka berdoa kepada Allah,

الله أكبر، اللهم أهله علينا بالأمن والإيمان والسلامة والإسلام والتوفيق لما تحبه وترضاه
Ertinya : Ya Allah, kurniakan kepada kami pada bulan ini keamanan, keimanan, keselamatan dan keIslaman, dan berikan kepada kami taufiq agar mampu melakukan amalan yang Engkau cintai dan redhai.

2. Bersyukurlah dan pujian kepada Allah atas kurniaan Ramadhan yang kembali diberikan kepada kita. Al-Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Adzkar berkata, “Dianjurkan bagi setiap orang yang mendapat kebaikan dan diangkat dari dirinya keburukan untuk bersujud kepada Allah sebagai tanda syukur dan memuji Allah dengan pujian yang sesuai dengan keagungannya.”

Dan di antara nikmat terbesar yang diberikan Allah kepada seseorang hamba adalah ketika dia diberikan kemampuan untuk melakukan ibadah dan ketaatan. Maka, ketika Ramadhan telah tiba dan kita dalam keadaan sihat wal afiat, kita harus bersyukur dengan memuji Allah sebagai bentuk kesyukuran.

3. Bergembiralah dengan kedatangan bulan Ramadhan. Rasulullah SAW selalu memberikan khabar gembira kepada para sahabat setiap kali datang bulan Ramadhan,
     “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah mewajibkan kepada kamu untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.” [HR Ahmad]

Para salafus-soleh sangat memperhatikan bulan Ramadhan. Mereka sangat gembira dengan kedatangannya. Tidak ada kegembiraan yang paling besar selain kedatangan bulan Ramadhan kerana bulan itu bulan penuh kebaikan dan turunnya rahmat.

4. Rancanglah agenda kegiatan untuk mendapatkan manfaat sebesar mungkin dari bulan Ramadhan. Ramadhan sangat singkat. Kerana itu, isi setiap detiknya dengan amalan yang berharga yang dapat membersihkan diri dan mendekatkan diri kepada Allah.

5. Bertekadlah mengisi waktu-waktu Ramadhan dengan ketaatan. Barangsiapa jujur kepada Allah, maka Allah akan membantunya dalam melaksanakan agenda-agendanya dan memudahkannya melaksanakan perkara-perkara kebaikan.
  “Tetapi jikalau mereka benar terhadap Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka.” [Surah Muhamad, ayat 21]

6. Pelajarilah hukum-hakam semua amalan ibadah di bulan Ramadhan. Wajib bagi setiap mukmin beribadah dengan dilandasi ilmu. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadhan datang agar puasa kita benar dan diterima oleh Allah.
    “Tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui,” [Surah al-Anbiyaa’, ayat 7]

7. Sambut Ramadhan dengan tekad meninggalkan dosa dan tabiat buruk. Bertaubatlah secara benar dari segala dosa dan kesalahan. Ramadhan adalah bulan taubat.

"Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” [Surah an-Nur, ayat 31]

8. Siapkan jiwa dan ruhiyah kita dengan bacaan yang mendukung proses Tazkiyyatun-nafs. Hadiri majlis ilmu yang membahaskan tentang keutamaan, hukum dan hikmah puasa. Sehinggalah secara mental kita siap untuk melaksanakan ketaatan pada bulan Ramadhan.

9. Siapkan diri untuk berdakwah di bulan Ramadhan dengan membuat catatan kecil untuk solat terawih serta selepas solat Subuh dan Zohor, memberikan buku saku atau lebaran yang berisi nasihat dan keutamaan puasa.

10. Sambutlah Ramadhan dengan membuka lembaran baru yang bersih. Kepada Allah, dengan Taubat Nasuha. Kepada Rasulul lah SAW dengan melanjutkan risalah dakwahnya dan men jalankan sunnah-sunnahnya. Kepada orang tua, isteri, anak dan kaum kerabat, dengan mempererat hubungan silaturrahim. Kepada masyarakat, dengan menjadi orang yang paling bermanfaat bagi mereka. Sebab, manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.

: tokuban78’s.wordpress.com

Amalan Mendekatkan Diri Kepada Khalik dan Makhluk

Abu Bakr Al Warraq menjelaskan amalan yang mendekatkan kepada Khalik dan Makhluk.


MUHAMMAD BIN HAMID bertanya kepada Abu Bakr Al Warraq,”Beri tahu saya hal yang mendekatkanku kepada Allah dan mendekatkanku kepada manusia”.

Abu Bakr Al Warraq pun menjawab,”Adapun hal yang mendekatkan engkau kepada Allah adalah meminta kepada-Nya. Adapun hal yang mendekatkan engkau kepada manusia adalah meninggalkan meminta kepada mereka”. (4/145,146)

Nasib Dunia Seperti Makanan

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى جَعَلَ مَا يَخْرُجُ مِنَ ابْنِ آدَمَ مَثَلاً لِلدُّنْيَا-الطبراني


Artinya: Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda,”Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menjadikan apa yang keluar dari (badan) anak Adam sebagai permisalan terhadap dunia.” (Ath Thabarani, dishahihkan oleh Al Hafidz As Suyuthi)

Al Allamah Al Munawi menjelaskan bahwa maksud dari “apa yang keluar dari anak  Adam” adalah air kencing dan najis.

Sedangan Az Zamakhsyari sendiri menjelaskan makna hadits ini, bahwa makanan meskipun manusia berpayah-payah dalam mengolahnya hingga bentuknya bermacam-macam dan menggugah selera, namun semua jenis makanan itu akhirnya berubah menjadi hal yang menjijikkan, demikian pula nasib dunia yang penuh dengan hal yang menggiurkan ini.

Maka Al Munawi menyimpulkan bahwa syahwat manusia terhadap dunia seperti syahwat manusia terhadap makanan yang akan sirna setelah makanan itu berada dalam perut. Demikian pula syahwat terhadap dunia, ia akan berubah menjadi hal yang dibenci dan menjijikan ketika seorang berada dalam proses kematian.

Selaras dengan hadits di atas, suatu saat seorang shufi  berkata kepada para sahabat mereka,”Mari kita bertolak, agar aku memperlihatkan kepada kalian apa itu dunia.” Saat mereka sampai di sebuah tempat pembuangan sampah, shufi itu berkata,”Lihatlah, buah-buahan kalian, ayam-ayam kalian dan manisan-manisan kalian.” (lihat, Faidh Al Qadir,) 

Khutbah Nabi Muhammad s.a.w. Menyambut Ramadhan


"Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah mewajibkan kepadamu puasa-Nya. Didalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaithan. Padanya ada suatu malam yang terlebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu, maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan."
"Telah datang kepadamu bulan Ramadhan penghulu segala bulan, maka "Selamat datanglah" kepadanya."
 
Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang senantiasa besar lagi penuh keberkatan, bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu kewajiban, dan qiam dimalam harinya suatu tatawwu'.

Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan didalamnya samalah dia dengan orang yang menunaikan sesuatu fardhu didalam bulan yang lainnya. Barangsiapa menunaikan sesuatu fardhu dalam bulan Ramadhan samalah dia dengan orang yang mengerjakan tujuh puluh fardhu dibulan lainnya. Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu pahalanya adalah surga. Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertulungan dan bulan Allah memberikan rezeki kepada mukmin didalamnya.

Barangsiapa memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, yang demikian itu adalah pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti yang diperoleh orang yang berpuasa. Allah memberikan pahala itu kepada orang yang memberikan walaupun sebutir korma, atau seteguk air, atau sehirup susu. Dialah bulan yang permulaannya Rahmah, pertengahannya ampunan, dan akhirnya kemerdekaan dari neraka. Barangsiapa yang meringankan beban seseorang (yang membantunya) niscaya Allah mengampuni dosanya. Oleh itu banyakkanlah yang empat perkara dibulan Ramadhan.


Dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhanmu dan dua perkara lagi kamu sangat menghajatinya. Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan mohon ampun kepada-Nya.

Dua perkara yang kamu sangat memerlukannya ialah mohon surga dan perlindungan dari neraka. Barangsiapa memberi minum orang yang berpuasa, niscaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk kedalam surga."


(H.R.Ibnu Khuzaimah)

Tuesday, July 2, 2013

Kesan sakit belakang

Haji Lokman Abd Hamid

Soalan : ASSALAMUALIKUM Tuan Haji. Saya sudah 6 t
ahun mengalami penyakit slipped disc. Kesan sakit ini membuat saya sukar untuk berdiri dan duduk lama. Disebabkan ini saya kerap mengambil cuti sakit sehingga menganggu prestasi kerja saya. Saya juga terpaksa solat duduk di atas kerusi. Saya telah menjalani fisioterapi dan setakat ini sakitnya telah berkurangan namun saya tidak boleh melakukan kerja lasak dan berat. Pihak hospital mencadangkan saya untuk melakukan pembedahan namun saya tidak berani mengambil risiko yang tinggi memandangkan usia saya dan juga penyakit kencing manis yang saya alami sekarang. Bolehkah saya mohon jasa baik tuan untuk mendapatkan rawatan untuk penyakit Slipped Disc dengan menggunakan rawatan AlQuran? Terima kasih.
Mohd Shukri Kuantan

Jawapan:

Tulang belakang manusia terdiri daripada 24 tulang individu yang dipanggil vertebra yang disusun di atas satu sama lain. Di antara setiap tulang belakang terdapat perlindungan, pad bulat rawan (tisu perantara) yang dipanggil cakera. Cakera ini mempunyai gentian lembut, bahan seperti gel di dalamnya yang membantu untuk mengurangkan geseran di antara vertebra apabila berlaku pergerakan. Di dalam cakera ini terdapat saraf tunjang yang sangat sensitif dan ia melalui tengah-tengah ruang vertebra. Ia mengandungi sel-sel saraf yang menghubungkan otak ke semua bahagian anggota badan.

Slipped disc berlaku apabila bulatan tisu penghubung di sekitar cakera rosak. Ini menyebabkan bahagian lembut, seperti gel bahagian cakera membengkak dan menonjol keluar. Tidak jelas apa yang menyebabkan tisu penghubung untuk pecah. Walau bagaimanapun, penyusutan cakera sering berlaku hasil daripada peningkatan usia.

Dalam pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat pesakit tulang belakang, terdapat kes-kes yang melibatkan elemen gangguan makhluk halus atau serangan jin yang menyebabkan masalah sekatan pada sistem saraf sehingga berlakunya kebas-kebas tangan dan kaki, sakit belakang hingga ke kaki. Jadi, pesakit perlu dahulu berjumpa dengan perawat-perawat kami untuk mengenal pasti samaada penyakit yang dialami disebabkan oleh gangguan atau masalah fizikal.

Tanda-tanda awal slipped disk

Tanda-tanda awal adalah seperti berikut:
Sakit di belakang, leher, atau bahagian bawah badan.
Kadang-kadang, seseorang yang mengalami slipped disc berasa kebas di bahagian-bahagian badan yang atas dan di bawah kawasan yang terjejas (secara umum, di kawasan yang dikawal oleh saraf tertentu). Secara beransur-ansur ini boleh membawa kepada keadaan lumpuh.

Dalam beberapa kes, bahagian bawah badan berasa lemah, dan ia menjadi sukar untuk pesakit berdiri.

Penderitaan individu juga mungkin mengalami perasaan kurang selesa, gatal di kawasan kemaluan.

Individu juga mungkin mengalami sakit semasa bersin, batuk, berjalan, dan lainlain.

Gejala yang perlu diberi perhatian dengan segera:

Kelemahan sensasi atau berasa kebas di satu atau kedua-dua anggota badan yang lebih rendah.

Kehilangan ketangkasan dalam satu atau kedua-dua kaki.
Sakit belakang yang teruk dengan kesan darah dalam air kencing.

Sakit berdenyut pada bahagian dalam paha;
Sakit belakang yang bertambah teruk walaupun dalam keadaan berehat berbanding apabila anda bergerak.

Kelemahan berpanjangan dengan sensasi cucukan walaupun dalam keadaan berehat.
Lemah tenaga batin atau sukar untuk bersama.
Kesan yang berterusan boleh membawa kepada pesakit menjadi lumpuh (paralyse).

Kehadiran tanda-tanda yang disenaraikan di atas tidak semestinya bermakna anda mempunyai masalah slipped disc, walau bagaimanpun gejala-gejala ini perlu diberi perhatian serius dan berjumpalah doktor atau datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Adalah lebih baik sekiranya pesakit datang berjumpa dengan perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus dan bolehlah dirawat dan diberi ayat-ayat al-Quran yang boleh merawat gangguan tersebut. Ini kerana terdapat banyak kes-kes di mana pesakit yang telah pergi ke hospital dan menjalani beberapa ujian termasuklah ujian darah yang menunjukkan keadaan komponen darah pada paras normal, tekanan darah yang normal dan tiada sekatan dalam saluran darah. Pemeriksaan MRI, CT Scan dan X-Ray pula menunjukkan tulang, cakera dan sendi tidak menekan saraf tetapi pesakit mengalami tanda-tanda sakit saraf. Dalam kes-kes seperti ini besar kemungkinan pesakit menghadapi masalah gangguan seperti gangguan saka, sihir atau kerasukan.

Rawatan moden

Dalam kebanyakan kes, slipped disc akhirnya akan mengecut kembali secara spontan.

Kesakitan biasanya akan berkurangan apabila cakera berhenti menekan pada saraf yang terjejas. Selalunya pihak hospital akan memberi ubat penahan sakit sebagai permulaan rawatan.

Selain itu, fisioterapi boleh membantu anda untuk mempercepatkan proses penyembuhan.

Fisioterapis akan melatih dan mengajar jenis-jenis senaman yang bersesuaian untuk anda lakukan. Sebaiknya senaman itu dilakukan setiap hari untuk keputusan yang lebih baik dan ianya boleh dilakukan di rumah juga.

Anda juga boleh berunding dengan pengamal osteopath, atau chiropractor untuk merawat keadaan ini. Kedua-dua kiropraktik dan osteopati menggunakan terapi manual, iaitu, manipulasi otot dan tulang melalui urutan dan teknik manual yang lain.

Pembedahan mungkin perlu jika rawatan lain tidak membuahkan hasil yang diharapkan, atau telah gagal untuk memperbaiki keadaan.

Rawatan penyakit slipped disc dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit slipped disc akan diberi ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat tersebut adalah:

1. Surah Qaff ayat 16 hingga 45.
2. Surah Mukminun ayat 60 hingga 80.
3. Surah Shod ayat 34 hingga 61.
4. Surah Al-Ahqaaf ayat 21 hingga 28.
5. Surah Adz-Dzariyaat ayat 31 hingga 60.

Cara amalan ayat-ayat al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Qaff tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Mukminun tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah SWT untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang berikutnya.

Selain dari amalan ayat-ayat al-Quran, kami juga menggunakan teknik menekan di tempat-tempat tulang belakang yang bermasalah. Selalunya pesakit akan merasa sedikit tidak selesa bila tempat yang bermasalah itu disentuh oleh perawat kami.

Adalah lebih baik sekiranya pesakit dan keluarga datang untuk berjumpa dengan perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus dan bolehlah dirawat dan diberi ayat-ayat al-Quran yang lain yang boleh merawat gangguan tersebut.

Dalam sebuah hadis sahih daripada Safiyah r.a. dijelaskan bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: “Sesungguhnya iblis dan syaitan itu berlari dalam tubuh anak Adam menuruti pembuluh (saluran) darah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)."

Penutup
Dalam pengalaman kami merawat pesakit slipped disc, ada di antara mereka yang menunjukkan banyak perubahan yang positif dari fizikal dan spiritual. Dari segi fizikal ramai yang memakai tongkat atau dengan berkerusi roda bila kali pertama datang berubat dan dengan kuasa dan izinNya ramai yang boleh berjalan tanpa memakai tongkat atau berkerusi roda setelah beberapa kali mendapat rawatan. Ada yang cepat sembuh dan ada yang lambat. Terpulang kepada yang Maha Esa untuk menyembuhkanNya kerana sebagai manusia kita perlu berikhtiar. Walaupun ada yang masih rasa sakit, tapi jiwa lebih tenang dan redho.

Dari Jabir Bin Abdullah radhiallahu’ anhu, bahawa, “Setiap penyakit pasti memiliki ubat. Bila sesuatu ubat bertepatan dengan penyakitnya maka dia akan sembuh dengan seizin Allah ‘azza wa jalla." (HR. Muslim) InsyaAllah, dengan izin & kuasa Allah Yang Maha Penyayang, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah boleh membantu anda yang mempunyai masalah cakera slipped disc ini.

Sunday, June 30, 2013

Membanteras Rasuah Itu Kerja Susah, Kerana Terpaksa Melawan Diri Sendiri

Aspan Alias
Rasuah itu satu jenayah sangat besar dalam kehidupan seseorang tidak kira disisi masyarakat, kerajaan dan lebih-lebih lagi disisi agama suci kita. Rasuah merupakan jenayah yang paling awal dilakukan oleh manusia dan jika boleh dianggapkan sebagai budaya ia adalah budaya yang tertua didunia ini
Rasuah amat dibenci oleh agama kita kerana rasuah itu boleh menjatuhkan tamadun manusia dan sesebuah negara. Itu sebabnya agama kita menganggap rasuah itu adalah satu dosa besar yang disamakan sebagai seorang yang memakan daging saudaranya sendiri. Tetapi dalam sistem masyarakat negara yang rasuah, kegiatan buruk ini kadangkala dibanggakan oleh sipelakunya.
Apabila rasuah sudah menjadi budaya seluruh manusia yang ada di dalam sistem itu akan terlibat dengan rasuah itu samada secara ‘direct’ atau ‘indirect’ dan tidak ada sesiapa yang boleh membetulkan persepsi rasuah itu dengan mudah tanpa mendapat tentangan dari masyarakat yang menerimanya sebagai budaya tadi. Memerangi rasuah ini lebih hebat dari menghadapi peperangan dua wilayah yang mempunyai kekuatan ketenteraan yang besar.
Perjuangan menentang rasuah ini adalah seperti anggota-anggota tentera yang menghadapi serangan musuh dari luar. Sebelum memenangi peperangan itu ramai yang terkorban dan mati begitu sahaja ditengah medan perjuangan itu. Rasuah lebih hebat lagi dari peperangan Khandak kerana ia melibatkan peperangan melawan nafsu sendiri. Melawan nafsu sendiri itu adalah peperangan yang terhebat besarnya kerana ia terpaksa dilakukan sepanjang hayat kita. Dalam perjuangan rasuah ini ia akan menjatuhkan ramai pemimpin yang baik yang tidak terlibat bersama dengan budaya ini.


Di dalam peperangan Khandak dahulu, Saidina Ali karammallah huwajhah telah bertanya kepada rasulullah apakah peperangan yang lebih besar dari peperangan Khandak yang baru sahaja selesai dengan kemenangan tentera Islam dalam bulan ramadhan itu. Islam yang hampir tewas akhirnya memenangi peperangan itu. Rasulullah menjawab peperangan yang paling besar ialah memerangi diri sendiri, yang membawa maksud memerangi nafsu syahwat sendiri.
Justeru melawan dan berperang dengan rasuah ini adalah peperangan yang sangat besar dan hebat kerana ia merupakan peperangan melawan nafsu yang cenderung untuk melakukan kejahatan termasuk rasuah. Jika kita tidak mempunyai kekuatan batin, mental serta keteguhan agama yang tinggi dan kuat nescaya perjuangan itu akan terhenti ditengah jalan sahaja.
Apabila satu-satu negara yang rasuah sudah menjadi budaya rakyatnya, ia amat sukar untuk diperbaiki. Sebagai contoh yang senang, jika seseorang yang dianiaya oleh pihak sesiapa, pihak Polis adalah tempatnya kita mengadu untuk mempertahankan diri kita.
Tetapi dalam sebuah negara yang rasuah pihak Polis ini belum tentu lagi berkemampuan untuk memberikan perlindungan kepada pihak yang teraniaya tadi jika elemen rasuah sudah menjalar kedalam Jabatan Polis itu. Pihak Polis mungkin menutup kes-kes seperti ini kerana ada elemen yang mampu untuk menukar sikap Polis terhadap pengadu itu, iaitu rasuah.
Kita boleh membawa sesuatu kes penganiayaan itu kepada mahkamah. Mahkamah juga belum tentu boleh menjadi tempat perlindungan bagi rakyat yang teraniaya tadi jika budaya rasuah juga telah meresap kedalam Badan Kehakiman itu. Selalunya sistem yng telah tercemar dengan rasuah itu tidak mudah dapat diperbetulkan kerana dalam kesemua institusi demokrasi yang wujud itu dilacurkan oleh pimpinan  politik yang berkuasa dan rasuah itu tadi.
Jika negara yang mengakui sebagai sebuah negara demokrasi sekali pun, jika rasuah menjadi budayanya maka demokrasi itu sendiri tidak akan terlaksana dengan betul. Pimpinan yang rasuah dan gila kuasa akan menjahanamkan sistem pengasingan kuasa yang selalunya wujud dalam sesebuah negara demokrasi itu tadi. Mereka yang berkuasa yang rasuah tidak mungkin mampu untuk membuat keputusan dengan baik dan betul.
Di negara kita pengasingan kuasa diantara ‘judiciary’, legislatif dan eksekutif itu sudah mula dilacurkan pada pertengahan tahun lapan puluhan dahulu. Politik dan eksekutif telah melacurkan sistem pengasingan kuasa itu. Tidak payah kita ulas apa kah yang saya maksudkan itu kerana blog ini sarat dengan ulasan itu sejak wujudnya blog ini. Sampai kehari ini keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi yang dilaksanakan dinegara ini dipersoalkan oleh mereka.
Apabila sistem itu sudah penuh dengan rasuah, semua pihak terlibat dengan rasuah dan yang bercakap menentang rasuah itu juga dilaungkan oleh mereka yang rasuah maka tidak mungkin penyakit dan budaya hina ini  akan dapat diperbaiki. Masing-masing mempertahankan tindakan pihak yang lain yang rasuah kerana semuanya terlibat secara terus atau secara ‘indirect’.
Maka dalam sistem yang sarat dengan rasuah itu, ia juga akan melibatkan perkara-perkara lain. Ia secara ‘head-on’ dengan memfitnah agamanya sendiri, memfitnah adat dan adabnya sendiri dan akhirnya ia kehilangan identiti mereka sendiri. Agamanya akan terfitnah dengan sendirinya kerana Islam tidak pernah membenarkan rasuah dilakukan oleh umatnya lebih-lebih lagi pemimpinnya.
Islam difitnah oleh umatnya sendiri kerana orang Islam sepatutnya teguh kerohaniannya dan tidak mudah terliur dengan wang ringgit secara haram itu. Apabila seseorang dan kumpulan atau kerajaan itu dipersepsikan sebagai rasuah, dengan sendirinya ia membayangkan yang mereka tidak menghormati agamanya sendiri, maka tidak hairan jika Islam dipandang sebagai agama yang tidak baik pada mereka yang bukan Islam. Selagi Islam itu tidak di’addin’kan sebagaimana yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin kita selama ini selagi itulah negara tidak akan mendapat rahmat dan akan tetap berada ditahap dan situasi sekarang ini.
Maka jangan kita mengelak dari melakukan perubahan itu, tetapi perubahan itu wajar dilakukan oleh pimpinan yang mempunyai moral kepimpinan yang baik. Jika yang hendak melakukan perubahan itu tidak selesai masalah moral dan peribadi mereka ia tidak akan membawa makna kepada perubahan yang dilakukan itu.
Elakkan dari menggantikan pimpinan yang ada dengan orang yang belum selesai masalah moral yang mereka hadapi. Mereka yang sedang menghadapi isu moral serta kekurangan peribadinya, ia tidak boleh dibenarkan memimpin dan mereka yang seperti ini elok duduk bersama dibawah ini dengan orang seperti saya sahaja.
Mari kita hanya jadi penyokong setia kepada pimpinan yang jujur untuk melakukan perubahan itu.  Tidak payah hendak menjadi pemimpin, kerana ia akan hanya membantutkan usaha untuk melakukan perubahan bagi negara yang ketandusan kepimpinan ini.