Sunday, June 30, 2013

Membanteras Rasuah Itu Kerja Susah, Kerana Terpaksa Melawan Diri Sendiri

Aspan Alias
Rasuah itu satu jenayah sangat besar dalam kehidupan seseorang tidak kira disisi masyarakat, kerajaan dan lebih-lebih lagi disisi agama suci kita. Rasuah merupakan jenayah yang paling awal dilakukan oleh manusia dan jika boleh dianggapkan sebagai budaya ia adalah budaya yang tertua didunia ini
Rasuah amat dibenci oleh agama kita kerana rasuah itu boleh menjatuhkan tamadun manusia dan sesebuah negara. Itu sebabnya agama kita menganggap rasuah itu adalah satu dosa besar yang disamakan sebagai seorang yang memakan daging saudaranya sendiri. Tetapi dalam sistem masyarakat negara yang rasuah, kegiatan buruk ini kadangkala dibanggakan oleh sipelakunya.
Apabila rasuah sudah menjadi budaya seluruh manusia yang ada di dalam sistem itu akan terlibat dengan rasuah itu samada secara ‘direct’ atau ‘indirect’ dan tidak ada sesiapa yang boleh membetulkan persepsi rasuah itu dengan mudah tanpa mendapat tentangan dari masyarakat yang menerimanya sebagai budaya tadi. Memerangi rasuah ini lebih hebat dari menghadapi peperangan dua wilayah yang mempunyai kekuatan ketenteraan yang besar.
Perjuangan menentang rasuah ini adalah seperti anggota-anggota tentera yang menghadapi serangan musuh dari luar. Sebelum memenangi peperangan itu ramai yang terkorban dan mati begitu sahaja ditengah medan perjuangan itu. Rasuah lebih hebat lagi dari peperangan Khandak kerana ia melibatkan peperangan melawan nafsu sendiri. Melawan nafsu sendiri itu adalah peperangan yang terhebat besarnya kerana ia terpaksa dilakukan sepanjang hayat kita. Dalam perjuangan rasuah ini ia akan menjatuhkan ramai pemimpin yang baik yang tidak terlibat bersama dengan budaya ini.


Di dalam peperangan Khandak dahulu, Saidina Ali karammallah huwajhah telah bertanya kepada rasulullah apakah peperangan yang lebih besar dari peperangan Khandak yang baru sahaja selesai dengan kemenangan tentera Islam dalam bulan ramadhan itu. Islam yang hampir tewas akhirnya memenangi peperangan itu. Rasulullah menjawab peperangan yang paling besar ialah memerangi diri sendiri, yang membawa maksud memerangi nafsu syahwat sendiri.
Justeru melawan dan berperang dengan rasuah ini adalah peperangan yang sangat besar dan hebat kerana ia merupakan peperangan melawan nafsu yang cenderung untuk melakukan kejahatan termasuk rasuah. Jika kita tidak mempunyai kekuatan batin, mental serta keteguhan agama yang tinggi dan kuat nescaya perjuangan itu akan terhenti ditengah jalan sahaja.
Apabila satu-satu negara yang rasuah sudah menjadi budaya rakyatnya, ia amat sukar untuk diperbaiki. Sebagai contoh yang senang, jika seseorang yang dianiaya oleh pihak sesiapa, pihak Polis adalah tempatnya kita mengadu untuk mempertahankan diri kita.
Tetapi dalam sebuah negara yang rasuah pihak Polis ini belum tentu lagi berkemampuan untuk memberikan perlindungan kepada pihak yang teraniaya tadi jika elemen rasuah sudah menjalar kedalam Jabatan Polis itu. Pihak Polis mungkin menutup kes-kes seperti ini kerana ada elemen yang mampu untuk menukar sikap Polis terhadap pengadu itu, iaitu rasuah.
Kita boleh membawa sesuatu kes penganiayaan itu kepada mahkamah. Mahkamah juga belum tentu boleh menjadi tempat perlindungan bagi rakyat yang teraniaya tadi jika budaya rasuah juga telah meresap kedalam Badan Kehakiman itu. Selalunya sistem yng telah tercemar dengan rasuah itu tidak mudah dapat diperbetulkan kerana dalam kesemua institusi demokrasi yang wujud itu dilacurkan oleh pimpinan  politik yang berkuasa dan rasuah itu tadi.
Jika negara yang mengakui sebagai sebuah negara demokrasi sekali pun, jika rasuah menjadi budayanya maka demokrasi itu sendiri tidak akan terlaksana dengan betul. Pimpinan yang rasuah dan gila kuasa akan menjahanamkan sistem pengasingan kuasa yang selalunya wujud dalam sesebuah negara demokrasi itu tadi. Mereka yang berkuasa yang rasuah tidak mungkin mampu untuk membuat keputusan dengan baik dan betul.
Di negara kita pengasingan kuasa diantara ‘judiciary’, legislatif dan eksekutif itu sudah mula dilacurkan pada pertengahan tahun lapan puluhan dahulu. Politik dan eksekutif telah melacurkan sistem pengasingan kuasa itu. Tidak payah kita ulas apa kah yang saya maksudkan itu kerana blog ini sarat dengan ulasan itu sejak wujudnya blog ini. Sampai kehari ini keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi yang dilaksanakan dinegara ini dipersoalkan oleh mereka.
Apabila sistem itu sudah penuh dengan rasuah, semua pihak terlibat dengan rasuah dan yang bercakap menentang rasuah itu juga dilaungkan oleh mereka yang rasuah maka tidak mungkin penyakit dan budaya hina ini  akan dapat diperbaiki. Masing-masing mempertahankan tindakan pihak yang lain yang rasuah kerana semuanya terlibat secara terus atau secara ‘indirect’.
Maka dalam sistem yang sarat dengan rasuah itu, ia juga akan melibatkan perkara-perkara lain. Ia secara ‘head-on’ dengan memfitnah agamanya sendiri, memfitnah adat dan adabnya sendiri dan akhirnya ia kehilangan identiti mereka sendiri. Agamanya akan terfitnah dengan sendirinya kerana Islam tidak pernah membenarkan rasuah dilakukan oleh umatnya lebih-lebih lagi pemimpinnya.
Islam difitnah oleh umatnya sendiri kerana orang Islam sepatutnya teguh kerohaniannya dan tidak mudah terliur dengan wang ringgit secara haram itu. Apabila seseorang dan kumpulan atau kerajaan itu dipersepsikan sebagai rasuah, dengan sendirinya ia membayangkan yang mereka tidak menghormati agamanya sendiri, maka tidak hairan jika Islam dipandang sebagai agama yang tidak baik pada mereka yang bukan Islam. Selagi Islam itu tidak di’addin’kan sebagaimana yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin kita selama ini selagi itulah negara tidak akan mendapat rahmat dan akan tetap berada ditahap dan situasi sekarang ini.
Maka jangan kita mengelak dari melakukan perubahan itu, tetapi perubahan itu wajar dilakukan oleh pimpinan yang mempunyai moral kepimpinan yang baik. Jika yang hendak melakukan perubahan itu tidak selesai masalah moral dan peribadi mereka ia tidak akan membawa makna kepada perubahan yang dilakukan itu.
Elakkan dari menggantikan pimpinan yang ada dengan orang yang belum selesai masalah moral yang mereka hadapi. Mereka yang sedang menghadapi isu moral serta kekurangan peribadinya, ia tidak boleh dibenarkan memimpin dan mereka yang seperti ini elok duduk bersama dibawah ini dengan orang seperti saya sahaja.
Mari kita hanya jadi penyokong setia kepada pimpinan yang jujur untuk melakukan perubahan itu.  Tidak payah hendak menjadi pemimpin, kerana ia akan hanya membantutkan usaha untuk melakukan perubahan bagi negara yang ketandusan kepimpinan ini.

No comments:

Post a Comment