Oleh Hj Lokman Abd Hamid
ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji. Saya selalu mendengar sesi temubual Tuan Haji melalui program Melayu di Radio SBS (Special Broadcasting Services). Dalam program minggu lalu, Tuan Haji ada menceritakan berkenaan perubatan al-Quran dalam merawati penyakit kanser dan saya tertarik dengan kenyataan Tuan Haji bagaimana stress salah satu penyebab kanser. Saya mengidap kanser paru-paru, tahap empat, sejak tiga tahun lepas. Saya telah menjalani kimoterapi sebanyak 18 kali. Bolehkah Tuan Haji terangkan bagaimana seseorang itu boleh mendapat kanser? Saya ingin tahu apa kaitan antara stres dengan kanser. Apa ayat yang boleh saya amal untuk mengurangkan stress dan juga mengubati penyakit kanser saya. Terima kasih.
Puan Lily, Sydney , Australia
Jawapan:
Alhamdulilah syukur kepada
Allah SWT dengan keizinan-Nya, saya dapat menyebarkan mukjizat al-Quran kepada
penduduk Islam di Australia, melalui program Melayu di Radio SBS setiap Rabu
petang. Program ini khas untuk masyarakat Melayu di Australia. Program
wawancara ini dikendalikan oleh pengacara dan juga penerbitnya, Zaini Ahmad
dari ibu pejabat stesen Radio SBS di Melbourne, Australia .
Seminggu sekali Zaini akan
menemubual saya secara lintas lansung melalui telefon dari Melbourne dalam isu berkaitan perubatan
Islam. Ada
masanya pendengar sendiri menelefon melalui program ini dan mengemukakan soalan
kepada saya. Mereka yang menelefon bukan sahaja masyarakat Melayu menetap di
Melbourne atau Sydney , malah dari seluruh Australia .
Soalan yang dikemukakan selalunya mengenai gangguan seperti saka dan sihir.
Kesimpulannya gangguan bukan sahaja berleluasa di Malaysia
tetapi ia popular di Australia .
Merujuk kembali kepada SMS
yang saya terima dari Puan Lily, dengan rezeki Allah beri, saya dijemput oleh
Puan Lily untuk datang ke Sydney pada hari Ahad lalu untuk membuat rawatan.
Tiba di Sydney, cuaca sangat sejuk sebab musim sejuk di benua selatan. Walaupun
sudah banyak kali saya ke Sydney atas urusan
kerja semasa saya bertugas dengan Syarikat Shell dan dengan badan berkanun
Suruhanjaya Sekuriti dahulu, ini kali pertama saya ke sana atas undangan pesakit. Ramai masyarakat
Melayu di Sydney yang terdiri daripada pelajar dan penduduk yang berhijrah.
Saya tidak berhenti
bersyukur kepada Illahi atas undangan yang Allah beri. Kali ini saya datang bukan
atas urusan duniawi tetapi untuk berdakwah berkenaan mukjizat al-Quran dalam
aspek perubatan dan menolong merawat pesakit Islam di benua Down Under. Sesungguhnya
menyampaikan mukjizat al-Quran adalah satu bentuk dakwah, hukumnya fardu
kifayah. Dari Abdullah bin Amr r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sampaikan
dari ku walau hanya satu ayat". (Hadith Riwayat Bukhari)
Berbalik kepada penyakit
yang dihadapi Puan Lily, beliau menghadapi sejenis penyakit kanser paru-paru - Non Small Cell Lung Cancer. Terdapat
ketumbuhan sebesar 19 mm di sebelah kanan paru-parunya. Sakit kanser paru-paru
jenis ini tidak menunjukkan simtom kanser paru-paru biasa seperti batuk
perpanjangan, batuk berdarah, sesak nafas, sakit dada, cepat letih, hilang
selera makan dan penurunan berat badan mendadak. Beliau mendapat tahu mengenai
kanser ini apabila beliau merasa kelenjar pada leher bengkak. Selepas membuat
pemeriksaan doktor dan imbas CT, didapati kanser itu telah merebak ke bahagian
kelenjar pada dada sebelah kiri dan kanan.
Puan Lily telah menjalani
proses kimoterapi sebanyak 20 kali di hospital Sydney bermula awal tahun 2011. Tetapi sel
kanser dalam tubuh beliau tidak memberi tindak balas positif kepada kimoterapi
walaupun doktor telah menukar ubat kimoterapi sebanyak empat kali. Malah sejak
dua bulan lalu, sel kanser itu telah merebak ke bahagian tulang rusuk dan
tulang belakang. Beliau sekarang sedang menjalani rawatan radioterapi untuk
mengawal sel-sel kanser di bahagian tulang belakang daripada merebak ke tempat
lain.
Ramai pesakit beranggapan
proses kimoterapi dan radioterapi boleh menyembuhkan kanser. Anggapan ini tidak
benar terutama jika tahap kanser sudah sampai tahap tiga dan empat. Dalam
pengalaman saya mengubati kanser, ada pesakit kanser tahap satu, setelah menjalani
proses pembedahan seperti mastectomy atau lumpectomy,
dan selepas menjalani rawatan kimoterapi dan selang beberapa tahun, mereka
mendapat relapse atau kanser berulang. Ini membuktikan
proses kimoterapi dan radioterapi hanya boleh melambatkan sel kanser daripada
merebak, dan bukan mematikannya.
Saya sering ditanya oleh
pesakit kenapa mereka dapat kanser dan kenapa ahli keluarga mereka yang lain
tidak dapat. Ada
yang bertanya kenapa pesakit lain boleh sembuh tetapi diri mereka masih
bertarung dengan kanser. Memang benar kita kena patuh dengan takdir Illahi.
Segala musibah yang Allah turunkan ada hikmahnya. Kita kena bersabar atas
segala ujian yang Allah beri. Sebab Allah sayang kepada kita sebab itulah dia
menguji kita. Sekiranya kita sabar dan lulus ujian Allah, mungkin Dia akan
naikkan darjat kita di akhirat nanti.
Untuk pengetahuan semua,
setiap tubuh badan manusia mempunyai sel kanser. Sel kanser ini adalakanya
hanya diam dan tidak merbahaya kepada tubuh seseorang. Tetapi kadang-kala sel
kanser itu akan menjadi abnormal dan membiak menjadi satu ketumbuhan yang
dipanggil tumour. Sel-sel tadi perlu membiak berjuta-juta sel untuk menjadi
satu tumor yang besar.
Proses pembesaran tumor ini
memakan masa lama, kadang-kala bertahun-tahun. Ramai di antara pesakit tidak
tahu ada ketumbuhan dalam badan mereka sehinggalah ketumbuhan itu sudah menjadi
kanser. Kadang-kadang tumour itu hanya tumour benign iaitu tidak berbahaya dan
tidak merebak ke anggota badan lain. Tumour yang merebak ke lokasi anggota lain
dipanggil tumour malignan. Ia sangat berbahaya dan dipanggil kanser.
Sekiranya
tubuh seseorang itu sihat dan mempunyai sistem daya pertahanan diri (immune
system) yang kuat dengan sendirinya sel kanser yang abnormal dan membiak
itu, akan dimatikan oleh antibodi sistem pertahanan dalam tubuh seseorang. Ini
akan berlaku tanpa kita sedari. Kanser akan terjadi apabila sistem pertahanan
seseorang lemah dan gagal mengawal pembiakan sel kanser dalam tubuh.
Sistem pertahanan diri akan menjadi lemah jika kita tidak menjaga kesihatan
dengan baik. Untuk menjadikan tubuh badan sihat, kita mesti melakukan gaya
hidup sihat seperti:
Makan makanan seimbang
Cukup rehat dan cukup tidur
Selalu melakukan aktiviti senaman
Hidup dalam persekitaran udara bersih dan segar
Tidak terdedah kepada bahan kimia yang mengakibatkan kanser
Tidak merokok
Tidak minum alkohol
Kurangkan stres
Yang paling penting kita sebagai umat Islam melakukan apa yang Allah suruh
dan meninggalkan apa yang Allah pinta. Perbanyakkan solat dan selalu berzikir
mengingati Allah. Semua ini ada ditulis di dalam al-Quran dan hadis. Jika kita
lakukan apa yang Allah suruh, Insya-Allah tubuh badan kita akan sihat dan stres
boleh dikawal dan sistem imun kita jadi kuat. Insya-Allah kita boleh mencegah
diri kita daripada kanser.
Stres dan anxiety adalah salah satu penyebab kanser. Stres
adalah tekanan emosi apabila kita di dalam keadaan tertekan dari segi emosi,
mental atau fizikal. Dalam hidup, kita tidak boleh lari daripada stres. Kita
dikelilingi pelbagai jenis stres seperti kerja, keluarga, persekitaran,
kesesakan jalan-raya, anak-anak akan mengambil peperiksaan, suami curang dan
sebagainya.
Anxiety pula ialah perasaan bimbang, runsing, risau, takut dan memikirkan
perkara-perkara negatif. Jadi stres dan anxiety yang berterusan boleh mendorong
kepada seseorang itu untuk senang untuk mendapat penyakit kanser.
Bila kita stres atau mempunyai anxiety yang tinggi, metabolism kita akan
dengan sendirinya meningkat dan degupan jantung akan menjadi lebih laju daripada
biasa. Bila ini berlaku, dengan sendirinya tubuh akan mengeluarkan lebih banyak
karbon dioksida dalam darah. Karbon dioksida adalah berasid dan ini akan
membuat tubuh kita lebih berasid. Sel kanser akan cepat membiak dalam
persekitaran tubuh berasid.
Apa yang mustahak ialah kita mesti tahu bagaimana untuk mengawal dan
mengurus stres. Banyak kaedah moden yang kita tahu untuk mengawal stres tapi
kaedah dalam Islam sungguh mudah. Lakukan solat, berzikir, baca al-Quran dan
berdoa pada Allah. Insya-Allah ini adalah terapi mengawal stres paling
berkesan.
Surah untuk mengawal stres dan mententeramkan jiwa:
Surah Muhammad dari ayat 21 hingga 32
Surah Toha dari ayat 120 hingga 135
Surah permulaan untuk menangani masalah kanser:
Surah Al Mukminun dari ayat 91 hingga 100
Surah Al Hajj dari ayat 31 hingga 55
Surah Hud dari ayat 60 hingga 80
Surah An Nahli dari ayat 90 hingga 110
Ada sebanyak 60 lebih rangkaian ayat yang saya telah kenalpasti untuk
mengubati pelbagai jenis kanser. Semua ini terdapat di dalam buku saya yang
bertajuk "Perubatan Al Quran Rawatan Kanser" terbitan Must
Read Publication yang ada di dalam pasaran sejak bulan Mac 2013. Buku ini boleh
dibeli di klinik saya di Setiawangsa atau di kedai-kedai buku utama.
Ingin juga saya berkongsi cerita semasa saya mengubat di Sydney minggu
lepas. Semasa saya di rumah Puan Lily, saya terpandang beberapa keratan artikel
saya di akhbar Mingguan
Malaysia yang dikirim oleh
keluarga Puan Lily dari Malaysia. Alhamdulillah syukur kepada Allah,
rupa-rupanya artikel saya jauh menjelajahi bumi Allah ini. Terima kasih kepada
pihak Utusan Malaysia kerana memberi peluang untuk saya
berdakwah melalui media ini
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130707/kn_05/Stres-dan-kanser#ixzz2YWv7NjKy ©
Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment