Friday, May 9, 2014

Hudud Dilaksana Keberkatan Hidup Dirasa

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ


Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.


Sidang Jumaat yang dihormati sekalian


Firman Allah dalam ayat 49 surah al-Maidah :
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّـهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ


Maksudnya :Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.


Islam merupakan agama yang menjadi sistem hidup yang banyak menekankan berkaitan keadilan dalam mengatur kehidupan sesuai dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri dan juga makhluk sejagat. Sistem Islam yang sempurna yang meliputi seluruh aspek kehidupan tanpa terhad kepada ibadat khusus seperti solat, puasa, haji sahaja malah merangkumi aspek sosial, politik, perundangan, ekonomi dan sebagainya.

Amat beruntung bagi umat Islam yang mampu melaksanakan tuntutan agama dalam kehidupan seharian. Dalam masa yang sama amat rugi manusia yang lebih rela bertuhankan hawa nafsu sehingga mengenepikan perintah dan larangan Allah. Umat yang tunduk patuh kepada panduan al-Quran dan sunnah pasti Berjaya dunia dan akhirat manakala manusia yang merasa dirinya lebih hebat daripada Allah dan Rasul pasti hina dan terseksa dunia akhirat. Hamba Allah sanggup mengorbankan keinginan nafsu demi memenuhi tuntutan wahyu sedangkan hamba Syaitan sanggup melawan Allah demi memuaskan kehendak hawa nafsu.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,


Firman Allah dalam ayat 135 surah an-Nisa’ :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّـهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ ۚ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّـهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا ۚ وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا


Maksudnya :Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan


Pada hari ini kita banyak bercakap berkaitan isu Aqidah termasuk masalah murtad dan tidak ketinggalan umat Islam yang terlibat dengan ajaran sesat seperti rasul Melayu, Tuhan Harun dan sebagainya. Begitu juga masalah zina di mana bulan lepas Timbalan Menteri Dalam Negeri melaporkan di Parlimen bagaimana hampir 90 peratus kes jenayah rogol membabitkan remaja bawah umur 16 tahun dengan majoriti membabitkan orang Melayu untuk tahun 2012 dan 2013. Itu belum dikira dengan puluhan ribu anak luar nikah dan sentiasa penuhnya pusat pemulihan. Begitu juga kes pembunuhan, rompakan bersenjata, ragut dan seribu macam kes jenayah yang berlaku bagaikan tidak mahu surut. 

Umat Islam sentiasa ditekan berkaitan dosa pahala, halal haram, Syurga Neraka dan kehidupan dunia ini tidak berakhir setakat lubang kubur malah akan dihisab serta menerima pembalasan di akhirat nanti. Oleh itu dalam menghukumkan pesalah mestilah mengikut hukuman yang telah ditetapkan oleh agama bukannya mengikut hawa nafsu kerana kita bukan pencipta manusia sebaliknya kita hanya manusia yang lemah yang diciptakan oleh Allah yang wajib menguruskan dunia berdasarkan agama bukannya menguruskan agama mengikut hawa nafsu yang tamakkan dunia.


Sidang Jumaat yang diberkati Allah,


Firman Allah dalam ayat 38 surah al-Maidah :
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ


Maksudnya : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Akhir-akhir ini hampir setiap hari media massa melaporkan berkenaan isu hukum Hudud samada menyokong atau menentang. Secara asasnya, hukuman jenayah Islam terbahagi kepada 3 iaitu hudud, qisas dan takzir. Hudud berasal daripada perkataan ‘hadd’ yang bererti larangan. Hukuman hudud ditentukan oleh syarak yang mana ia tidak boleh ditambah mahupun dikurangkan hukumannya. 

Jenayah yang dikenakan hukuman hudud iaitu zina, tuduhan zina, mencuri, meminum minuman memabukkan, merompak dan murtad. Bagaimanapun, perlu difahami hukuman tidak dikenakan dengan sewenang-wenangnya kerana pemakaian hukuman hudud berdasarkan pendakwaan dan pembuktian yang digariskan mengikut setiap kesalahan jenayah. 

Pembuktian hudud sangat ketat dengan mengambil kira kriteria saksi, bilangan saksi dan aspek lain sehingga boleh membuktikan sesuatu jenayah itu berlaku. Jika pembuktian berjaya dilakukan tanpa sebarang keraguan dan setelah disabitkan kesalahan, hukuman hendaklah dilaksanakan. 

Namun harus diingat, pembuktian hendaklah melampaui keraguan yang munasabah bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam menjatuhkan hukuman. Jika ada keraguan, kemungkinan hukuman yang akan dijatuhkan bukan hudud tetapi hukuman takzir. Rasulullah SAW telah bersabda bahawa: “Hudud tertolak dengan ada syubhah atau keraguan.”


Perkara biasa bila orang Islam menyokong hudud, luar biasa bila orang kafir sokong hudud dan amat luar biasa bila orang Islam sendiri tolak hudud. Alasan orang kafir banyak berkisar tentang hudud bercanggah dengan perlembagaan Negara sedangkan orang Islam sendiri lebih berani tolak Hudud antara alasan terbaru agak tidak adil apabila pencuri Islam dikerat tangan sedangkan pencuri kafir hanya dipenjara sahaja.

Orang ini sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan biadap jika mahu makan sup tangan datanglah ke Kelantan. Malah alasan Perdana Menteri bahawa banyak halangan dari sudut teknikal dan kefahaman menyebabkan hudud tidak dapat dilaksana sedangkan usaha dalam mengurang atau menghilangkan halangan itu serta memberi kefahaman kepada rakyat tidak dijalankan secara serius. 

Apa yang lebih malang rakyat disaji dengan perkara yang membangkitkan nafsu untuk berzina dan sebagainya. Lebih malang lagi sekiranya hudud ditakuti kerana bimbang cukai arak dan judi yang menjadi antara pendapatan terbesar Negara akan terjejas. Begitu juga rompakan terhadap wang rakyat akan tersekat dengan pelaksanaan hudud. 

Dengan kata mudah hanya penzina, pencuri, perompak, peminum arak yang takut kepada hudud. Mengapa kita yang tidak terlibat dengan perkara jenayah ini perlu takut kepada Hudud. Hanya iman kepada keadilan hukum Allah yang mampu memberi jawapan samada kita mahu atau tidak kepada Hudud

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,


Firman Allah dalam ayat 94-95 surah al-Kahfi :
قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا ﴿٩٤﴾ قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا


Maksudnya : Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” (94) Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh


Setiap kali berada pada hari atau malam Jumaat maka kita disunatkan untuk membaca surah al-Kahfi. Dalam surah ini banyak dikisahkan tentang beberapa kisah teladan sebagai rujukan dan ikutan sepanjang zaman. 

Antaranya berkenaan penduduk sebuah kampung yang meminta pertolongan Raja Zulqarnain yang beriman dan adil yang menguasai Timur dan Barat daripada serangan Yakjuj dan Makjuj. Apabila penduduk ini mahu membayar kharaj atau cukai bagi membina kota atau benteng daripada ancaman kaum yang jahat itu namun ditolak oleh Raja Zulqarnain atas alasan baginda hanya mahu pertolongan dalam bentuk tenaga manusia sahaja bukannya kewangan kerana telah memiliki kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah.

Inilah antara contoh keadilan pemimpin Islam yang memberi khidmat dengan saksama sehingga harta kekayaan Negara bukan setakat berpusing di kalangan orang kaya dan kroni sahaja malah dirasai oleh seluruh rakyat jelata. Malah pemimpin Islam banyak bergantung kepada hasil bumi yang dikurniakan oleh Allah seperti pertanian, minyak, emas dan lain-lain, zakat daripada umat Islam manakala orang bukan Islam dikenakan jizyah untuk menjaga keselamatan dan kharaj atau cukai yang tidak diwajibkan mengikut syarak untuk memberi khidmat kepada orang bukan Islam.

Pernah berlaku dalam sejarah apabila Abu Ubaidah yang dilantik oleh Khalifah Umar al-Khottab sebagai Gabenor membatalkan kutipan jizyah daripada orang bukan Islam di wilayahnya atas alasan tidak mampu memberi jaminan keselamatan sehingga orang bukan Islam terkejut dengan keadilan Islam yang tidak pernah merasai semasa berada di bawah kerajaan Kristian Rom. Ini membawa kepada ramai yang memeluk Islam bila melihat keindahan Islam


Oleh itu kita minta agar bebanan cukai GST yang bakal dilaksanakan tahun hadapan tidak menambah penderitaan yang sedia ditanggung oleh rakyat miskin dan sederhana. Begitu juga kehadiran Presiden Amerika Syarikat Barack esok ke Negara ini tidak menjadi suatu tekanan kepada pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang merupakan penjajahan baru terhadap Negara.

Penderitaan berganda kepada rakyat terus bertambah dengan sikap boros dalam belanja seperti cadangan untuk membawa masuk pasangan Panda dari China yang menelan RM 25 juta dan juga projek pembinaan Menara Warisan Merdeka yang bernilai RM5 bilion sedangkan keperluan tidak seberapa dan kesan negatif yang lebih banyak. Ibnu Khaldun dalam al-Muqaddimah menyatakan antara punca kehancuran sebuah Negara akibat projek mewah yang membazir yang menyebabkan kadar cukai dinaikkan sehingga membebankan rakyat bagi memenuhi nafsu serakah pemimpin. Ingat sebelum kena, sekat sebelum melarat. Jadilah rakyat yang peka bukannya manusia yang boleh ditipu sepanjang masa. Jadilah rakyat bermaklumat bukan ibarat katak di bawah tempurung

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ


 العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments:

Post a Comment