Friday, May 9, 2014

Bersyukur dengan anugerahNya

NORHAYATI SUFIRA IBRAHIM
9 Mei 2014
·  SELAIN  udara, air adalah antara anugerah ALLAH paling berharga kepada setiap kehidupan. Sedangkan haiwan dan tumbuh-tumbuhan memerlukan air untuk hidup, apatah lagi manusia. Hari ini kita diuji dengan air.


Pertama, sumber air dicemari, akibat daripadanya sebahagian penduduk Selangor terutama di Balakong dan Kuala Langat tidak mendapat bekalan air selama hampir sebulan.


Tidak lama kemudian paras empangan-empangan utama susut dan Selangor mengalami kekurangan air mentah untuk dirawat sehingga menyebabkan catuan terpaksa dilaksanakan. Dari peringkat satu, masuk peringkat kedua, ketiga dan hinggalah ke peringkat keempat catuan diteruskan.

Lebih 6 juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur menerima catuan; dua hari ada air, dua hari tak ada air. 

Peringkat awal apabila catuan dimulakan adalah kerana musim kemarau yang berpanjangan. Pada masa itu ramailah memohon kepada ALLAH agar menurunkan hujan.Pihak berkuasa pula sibuk dengan projek pembenihan hujan. Atas kehendak ALLAH, hujan mula membasahi bumi Selangor yang selama ini kontang.

Hujan diterima sebagai rahmat yang bakal menamatkan episod catuan air yang menyusahkan hidup semua orang. Bukan lagi bergantung dengan pembenihan hujan, hampir setiap petang ALLAH turunkan hujan di bumi Selangor sehingga ada sesetengah kawasan mengalami banjir kilat.

Bagaimanapun Jabatan Meteorologi menjangkakan cuaca panas dan kering bakal melanda bermula Mei hingga September. Bagaimana dengan sambutan perayaan? Ramadan dan hari raya? Semuanya bermain di fikiran kebanyakan rakyat Selangor.

Ada mencadangkan pasal air bawah tanah, Horas, pembenihan hujan oleh The Royal Rainmaking Technology dari Thailand, pengepaman air dari lombong ke sungai dan empangan, ambil air Sungai Bernam dan macam-macam lagi teori dan perancangan. Pada yang kurang faham dengar saja lah, sebab mungkin ada hasilnya.

Cuma ada sedikit lucu apabila pada masa ini telinga kita seolah-olah disumbatkan dengan macam-macam perancangan yang tidak ubah seperti cuba-cuba atau try and error yang cuba dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Manalah tahu berhasil.

Macam main pondok-pondok rasanya bila hari-hari dengar perancangan yang macam-macam diumumkan. Apa jadi dengan perancangan sebelum ini?

Air lombong, air bawah tanah, air dari Tasik Kenyir, membran dan macam-macam yang pernah disebut? Mana hasilnya dan apa yang mereka dah lakukan?

Paling rakyat tak boleh lupa ialah apabila beberapa pemimpin kerajaan negeri Selangor membawa wartawan meninjau ke empangan-empangan dan dengan bangga mengatakan empangan penuh, sungai penuh, Selangor banyak air mentah dan air cukup sehingga tahun 2019.

Hari ini apa dah jadi? Baharu nak sedar pentingnya Langat Dua dan bekalan air mentah dari Sungai Semantan Pahang?

Difahamkan sepatutnya Loji Langat Dua siap sepenuhnya Mei 2014, sama dengan siapnya terowong dari Pahang ke Selangor. Kalaulah semua itu dah siap, rasanya rakyat Selangor tidaklah sesukar sekarang. ALLAH dah sebut, manusia hanya merancang tetapi  ALLAH adalah sebaik-baik perancang.

Tapi kalau kita tidak merancang kita lebih teruk lagi. Langat Dua dah dirancang sebegitu rupa kerana telah dijangkakan masalah air akan berlaku. Namun kita angkuh dengan anugerah ALLAH seolah-olah sekali ALLAH beri tidak akan ditarik balik. Kita tidak bersyukur.

Kita angkuh dengan sedikit anugerah air yang ALLAH beri.  Sungai tak dijaga, pencemaran berlaku, salah siapa? Bila ALLAH tarik balik nikmat air ini akibat keangkuhan kita, siapa nak kita persalahkan? Orang ramai, operator loji, syarikat pengagihan air seperti Syabas, Exco berkenaan, menteri berkenaan atau siapa?

Sebab itu ALLAH selalu ingatkan, bersyukurlah dengan anugerahNya, nescaya ALLAH akan tambah nikmatNya.

Kita seolah-olah kufur nikmat. Macam orang kaya yang bangga dengan harta kekayaannya, sekali ALLAH tarik balik sekejap dah habis, mungkin melalui kecurian, kebakaran atau apa sahaja yang ALLAH mahu.

Begitulah dengan air, kita pernah angkuh dengan air yang kita ada, sekarang ALLAH nak tunjuk supaya kita beringat! Wallahualam.

Norhayati Sufira Ibrahim
Kuala Selangor

No comments:

Post a Comment