PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL
ABIDIN
20 Jun 2014
/ 1 >
PADA tahun
2011, bulan Disember, semasa menyampaikan ucapan di Oxford ,
sempena 400 Bible King James, Perdana Menteri UK David Cameron menyebut: “UK is a
Christian country and we should not be afraid to say so”.
Sekali pun dalam penghayatan politik UK ,
elemen agama Kristian kelihatan amat lemah sehingga David Cameron itu sendiri
turut menyokong hak berkahwin golongan gay yang ternyata bercanggah dengan
pegangan agama Kristian, namun beliau tetap mengaku inilai agama bagi negara UK .
Polemik
beragama
Semasa kecil, saya masih ingat bagaimana kami di sekolah agama sering dibawa
berbincang apakah Malaysia
sebuah negara Islam ataupun negara kafir sekular? Pada umumnya kami semua
difahamkan Malaysia
ini sebuah negara sekular. Itulah sifat Malaysia berdasarkan ceramah
politik yang kami dengar.
Kepercayaan seperti itu masih dianuti oleh ramai golongan yang dikatakan
‘beragama’ dalam negara ini.
Mereka melabelkan negara ini sebagai negara kafir atau pun sekular. Dulu ia berlegar dalam kalangan mereka yang minat agama
Islam.
Hari ini keadaan berubah apabila bukan Islam juga mendakwa hal yang sama, cuma
dengan tujuan yang berbeza.
Jika dahulu dakwaan itu bertujuan membangkit semangat agar Islam itu lebih
ditekankan pelaksanaannya di Malaysia, kini tujuannya agar elemen Islam itu
tidak patut ditekankan dalam pentadbiran Malaysia kerana itu bercanggah dengan
sifat negara ini.
Sebelum saya bahaskan tentang sekularisme dalam kerangka kefahaman yang
sepatutnya, artikel ringkas kali ini akan bincangkan dulu apakah itu negara
Islam?
Penjajahan
dunia Islam
Seperti yang pernah saya sebutkan, apabila jatuh khalifah di Turki dan Kuasa
Barat menjajah dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad
membebaskan tanah air Islam berkembang.
Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini
tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku fikah lama.
Apa yang wujud adalah nation state atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan
tersendiri.
Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah daulah
islamiyyah (Islamic state atau negara Islam).
Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan
selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum
ini.
Dahulu yang ada dalam fikah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah
Dar al-Islam iaitu wilayah Islam. Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh
umat Islam dan zahir syiar Islam.
Sementara Dar al-Harb atau disebut juga Dar al-Kufr merujuk kepada wilayah yang
dikuasai oleh bukan Muslim dan bermusuhan dengan Dar al-Islam.
Ketiga, Dar al-Mu’ahadah iaitu negara bukan Muslim yang membuat perjanjian
dengan umat Islam. Dalam erti kata lain nilaian terhadap sesebuah wilayah atau
negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut, dan
wujudnya syiar Islam.
Tariq Ramadan dalam To Be A European Muslim menganggap pembahagian ini sebagai
old concepts yang tidak berasaskan al-Quran dan al-Sunnah, sebaliknya ia
cetusan ulama di zaman tersebut disebabkan persekitaran politik yang wujud pada
tiga kurun pertama dalam sejarah Islam (lihat: Tariq Ramadan, To Be A European
Muslim, UK: Islamic Foundation 2002,pg 123-131 ).
Tariq mungkin terpengaruh kepada apa yang disebut oleh Dr Wahbah al-Zuhaili
dalam Aathar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami. Manakala Dr Wahbah al-Zuhaili
terkesan dengan apa yang disebut oleh al-Syeikh Abu Zahrah dalam Al-‘Alaqah
al-Duwliahfil al-Islam.
Sementara Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Jihad mempertahankan pembahagian
tersebut dengan menyatakan pembahagian itu berasaskan al-Quran dan al-Sunnah
serta sesuatu yang mantiqi (logical). (Lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad,
Cairo: Maktabah Wahbah 2009. Ms 882-888).
Ciri
Dar al-Islam
Jadi, jika kita rujuk kepada kitab fikah terdahulu, secara ringkasnya, Dar
al-Islam mempunyai tiga ciri utama; pertama; kekuasaan politik berada di tangan
kaum Muslimin sekalipun majoriti rakyat bukan Muslim.
Kedua; zahir padanya hukum dan syiar Islam sekalipun tidak sempurna ataupun
sebahagian sahaja seperti hukum hakam kekeluargaan Islam.
Zahir syiar seperti azan, Jumaat, jemaah solat, Ramadan dan lain-lain.
Ketiga; kaum Muslimin aman beramal dengan agama mereka sementara ahl-zimmah
(rakyat non-muslim) aman berdasarkan perjanjian mereka. (Dr Yusuf Al-Qaradawi,
Fiqh al-Jihad, 2/889. Kaherah: Maktabah Wahbah)
Adapun soal sejauh manakah komitmen Islam seseorang pemerintah itu, ia
diuruskan umat Islam di bawah tanggung jawab menasihati pemerintah iaitu amar
makruf dan nahi mungkar.
Apabila negara-negara membentuk nation state, pemerintah Muslim ramai mewarisi
atau meneladani penjajah dalam menguruskan negara, maka istilah daulah
Islamiyyah atau pun Islamic state ataupun negara Islam muncul dan dikembangkan.
Namun, istilah ini kelihatan akhirnya agak sukar untuk mendefinisikan. Ini
disebabkan negara baharu yang dibentuk selepas penjajahan masih lagi mengikut
acuan penjajah namun pemerintahannya berada di tangan umat Islam.
Sebagai bantahan, ada mereka melabelkan negara yang diperintah oleh umat Islam
pasca penjajah sebagai ‘negara kafir’.
Ertinya, mereka melabelkan Dar Islam yang diistilah oleh Sarjana Fikah silam
sebagai Dar al-Kufr atau Dar al-Harb yang diperangi atau dimusuhi.
Ini disebabkan kecelaruan identiti negara Islam yang baru muncul dan penilaian
siasah umat Islam itu sendiri yang masih di peringkat awal.
Dalam kalangan pengkaji dan sarjana seperti Fazlur Rahman menganggap adaptasi
ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam
sejarah awal krisis antara umat Islam. (Sila lihat: Fazlur Rahman, Revival And
Reform in Islam 33-43, England: Oneworld Publications)
Cari
definisi
Mencari definisi yang tersendiri bagi istilah daulah Islamiyyah memang agak
sukar disebabkan kitab-kitab fikah lama tidak menggunakan istilah tersebut dan
sudah pasti tiada takrifan baginya.
Jika memakai pentafsiran silam dar al-Islam yang memberi maksud wilayah yang
dikuasai oleh umat Islam, maka hendaklah diiktiraf negara-negara umat Islam
sekarang adalah daulah Islamiyyah.
Maka, ada pula yang enggan pengiktirafan itu dibuat disebabkan zahirnya
unsur-unsur yang bercanggahan dengan Islam.
Jika dipakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara
yang zahir padanya syiar Islam seperti azan, solat dan amalan-amalan Islam yang
lain, sudah pasti kebanyakan negara umat Islam hari ini diiktiraf sebagai
daulah Islamiyyah.
Ada yang agak tegas enggan juga mengiktiraf hal itu. Lalu ada yang menyatakan
negara Islam atau daulah Islamiyyah itu adalah negara yang sempurna
perlaksanaan Islamnya. Jika takrif ini dipakai, sudah pasti tidak ditemui dalam
sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja, selepas al-Khaulafa
al-Rasyidin.
Akhirnya, ada yang seakan menetapkan negara Islam adalah negara yang
melaksanakan hudud. Lalu wujud dalam kalangan umat Islam yang apabila disebut
negara Islam terbayang kepada mereka ‘pencuri dipotong tangan’, penzina disebat
atau direjam dengan batu, peminum arak disebat dan seterusnya.
Wajah negara Islam atau negara yang ditegakkan oleh Rasulullah SAW itu
terbelenggu dengan gambaran darah, kesakitan, tangisan dan wajah bengis para
pemimpinnya.
Hakikatnya, jika menurut takrifan fikah, negara Malaysia adalah dar al-Islam
seperti yang ditakrifkan oleh ulama silam. Bahkan berasas fikah ini, Dr Yusuf
al-Qaradawi juga menyimpulkan keseluruhan negara umat Islam yang wujud pada
hari ini adalah dar al-Islam.
Sementara kesemua negara bukan dar al-Islam yang berada di bawah Bangsa-Bangsa
Bersatu adalah dar al-‘Ahd termasuk Amerika. Hanya dikategorikan sebagai dar
al-Harb pada masa ini ialah negara zionis Israel disebabkan kerana permusuhan
yang zahir dan berterusan dengan umat Islam. (lihat: Al-Qaradawi, Fiqh
al-Jihad, ms 888-908. Kaherah: Maktabah Wahbah)
Inti pati
terpenting
Apa pun sebenarnya, perbalahan pasal takrif ini kadang-kala lebih banyak
membuang masa daripada realiti yang patut kita tangani. Negara seperti Malaysia
tidak akan masuk syurga ataupun neraka. Mereka yang akan dihadapkan di mahkamah
Masyar di hadapan ALLAH pada hari kiamat ialah mereka yang menguruskan negara
atas apa nama sekalipun.
Jika mereka amanah dan adil seperti yang ALLAH perintahkan mereka akan selamat.
Jika mereka khianat dan zalim mereka tidak selamat walau apa jenama negara
sekalipun. Raja Najasyi Habsyah bernama Ashamah bin Abjar beriman dengan Nabi
SAW tetapi beliau mengepalai Kerajaan Kristian Habsyah. Beliau tidak mampu
mengubah kerajaannya, tetapi mampu melindungi sahabat yang berhijrah mencari
perlindungan di Habsyah dan menegakkan asas keadilan untuk rakyatnya.
Nabi SAW berutus surat dengan Najasyi, tetapi Baginda SAW tidak memerintahkan
Najasyi meninggalkan kerajaannya. Nabi SAW memujinya, sekalipun beliau mati di
Habsyah ketika mentadbir sebuah kerajaan Kristian. Sabda Nabi SAW: “Telah mati
pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara
kamu Ashamah (nama Najasyi)”. (Riwayat al-Bukhari)
Nabi Yusuf AS pula pernah menjadi menteri dalam sebuah kerajaan yang pemerintah
tidak beriman kepada ALLAH namun Nabi Yusuf mampu menegakkan keadilan.
Tapi, jika mentadbir negara bernama Islam sekalipun namun zalim dan khianat,
tempatnya tetap di neraka. Sabda Nabi SAW: “ALLAH tidak lantik seseorang hamba
itu menguasai sesuatu rakyat kemudian hamba itu mati dalam keadaan dia menipu
rakyatnya, melainkan ALLAH haramkan untuknya syurga” (Riwayat Muslim)
Ertinya, yang penting nilai Islam itu mestilah terus diterapkan oleh pentadbir
dalam negara ini untuk mencapai erti amanah dan adil bukan sekadar bergantung
kepada takrif negara semata-mata.
No comments:
Post a Comment