Tuesday, June 24, 2014

Kerajaan Rugi, Kita Tanggung Beban

FARUSH KHAN
18 Jun 2014
HATI menjadi panas setiap kali Ketua Audit Negara membentangkan laporannya.

Setiap kali pendedahan, ada sahaja perkara-perkara yang pelik tetapi benar berlaku.

Yang paling menyakitkan hati ialah apabila berlakunya kerugian akibat ketirisan, pemborosan, penyelewengan, salah guna dan kelemahan, tindakan susulan yang diambil bagaikan tidak berkesan.

Jika anda baca laporan muka hadapan Sinar Harian semalam, anda akan rasa seperti mahu menangis mendapat tahu tahun demi tahun seolah-olah tidak ada cerita lain kecuali rugi, rugi dan rugi!

Dan kerugiannya bukan sedikit; berjuta-juta ringgit. Kenapa perlu menangis? Jawapannya mudah; yang menanggung beban ialah kita.

Mengikut laporan semalam, akibat ketirisan dan kelemahan penjawat awam, 15 peralatan Lembaga Getah Malaysia bernilai RM9.94 juta tidak digunakan; Majlis Perbandaran Tuah Jaya bayar RM123,070 untuk peralatan siaraya bernilai RM58,900; DBKL rugi RM138.35 juta dan RM14.38 juta bayaran interim Kementerian Kerja Raya ditandatangani pegawai yang tiada kuasa.

Bayangkan kita ada lebih 20 kementerian, beratus-ratus jabatan, unit, agensi, pejabat dan lebih sejuta penjawat awam. Syarikat-syarikat milik kerajaan belum kira lagi.

Macam mana dengan kelemahan, ketirisan,  penyelewengan, pemborosan yang tidak mampu dikesan Ketua Audit Negara, polis, kastam, imigresen dan pihak-pihak penguatkuasaan lain? Takut untuk kita buat kira-kira; entah berapa bilion ringgit pergi ke tempat yang tidak patut ia pergi!

Seperti saya selalu katakan dalam cetusan-cetusan lalu berkaitan ketirisan, kelemahan, pemborosan dan penyelewengan, saya percaya kes-kes yang mampu didedahkan oleh Ketua Audit Negara dengan segala kesungguhannya hanyalah the tip of the iceberg (sebahagian kecil daripada yang lebih besar).



Kalau kita rujuk kes-kes yang didedahkan melalui laporan Ketua Audit Negara sejak dahulu, kita akan dapati begitu banyak kes yang tidak masuk akal pun boleh berlaku.

Bayangkan kalau setiap penjawat awam berusaha menjaga harta dan wang kerajaan yang dikutip daripada rakyat dibelanjakan dengan jimat dan berhati-hati; berapa banyak boleh dijimatkan, bahkan berapa banyak boleh dikumpulkan untuk dipulangkan kembali kepada rakyat melalui projek-projek pembangunan, kemudahan dan bantuan. Tidak perlu ada rakyat melarat di negara aman makmur dan kaya-raya ini, sebenarnya.

Kerugian, ketirisan dan kelemahan seperti ini tidak akan berlaku jika tiap-tiap penjawat awam dari peringkat teratas hingga ke bawah, mengendalikan perbelanjaan dan menguruskan harta dan wang yang kerajaan kumpulkan daripada rakyat dengan cara berjimat seperti menguruskan harta dan wang sendiri.

Terlanjur menyebut mengenai kes penyelewengan, saya tertarik membaca tentang usaha polis meletakkan anggotanya yang menyamar sebagai orang awam untuk tumbuk rusuk anggota polis bagi menguji ‘iman’ mereka.

Menurut Timbalan Ketua (Disiplin) Sekretariat Integriti, Ketua Polis Negara, SAC Datuk Hashim Abd Jalil semalam, ini adalah satu daripada banyak usaha terbaharu yang diwujudkan dalam usaha memerangi rasuah dalam pasukan polis itu sendiri.

“Kita perlu bertindak sekarang sebelum keadaan (berhubung kegiatan rasuah) menjadi lebih teruk,” katanya.

Alhamdulillah, pihak atasan polis juga sedar sebahagian pegawai dan anggota polis menerima rasuah dan rasuah adalah  seperti barah dalam pasukan polis.

Syabas datuk. Saya doakan moga usaha murni itu mendapat sokongan, kerjasama dan berjaya dengan cemerlang.

Ada baiknya jika semua pasukan yang ada kaitan dengan penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan pendedahan terus pegawai dan anggota penguat kuasa dengan orang awam, kalau belum, dapat mengambil tindakan yang sama untuk uji ‘iman’ pegawai dan anggota penguat kuasa.

Selagi masih ramai tiada kesedaran untuk tidak melakukan dosa dan tiada rasa tanggungjawab, tidak takut amaran dan janji ALLAH, selagi itulah kelemahan, ketirisan, penyelewengan, rasuah dan pemborosan akan berterusan. Jangan sampai jadi budaya.

Akhir kalam, saya lihat beberapa papan amaran ZON LARANGAN MEROKOK terpampang di kantin sebuah jabatan agama Islam di sebuah negeri. Di bawahnya tertera: Merokok adalah haram...

Anda boleh saksikan setiap ketika ada sahaja beberapa orang - barangkali bukan staf - duduk di bawah papan larangan itu merokok, seolah-olah fatwa dan zon larangan merokok itu tidak wujud langsung.

No comments:

Post a Comment