Wednesday, June 4, 2014

Masjid Turkey di Perth

Bercuti di rumah anak di Perth untuk kali kedua dan mungkin kali terakhir meninggalkan kesan yang menarik. Waktu siang yang lebih pendek berbanding waktu malam melebihi 14 jam. 
Subuh bermula jam 5.44 pagi manakala maghrib pada jam 5.20 petang. pagi ini saya memberanikan diri untuk ke Masjid Turkey lebih kurang sekilo meter dar rumah anak saya. Penuh satu saf berjemaah. Pada tanggapan saya itu sudah sangat baik jika dibandingkan solat subuh di sebuah masji di Larkin Johor Bharu. Sizenya jauh lebih besar jika dibandingkan dengan Masjig Turkey yang besarnya seumpama sebuah surau di Kuala Ibai.

Pelbagai bangsa bersolat subuh, ada Melayu mungkin saya seorang, ada India dan yang lainnya bangsa Turkey. Imamnya berketurunan Turkey. Fasih dan amat baik bacaanya menepati lidah orang Arab.


Budaya Islam Di Negara Non Muslim

Pelik tapi benar.Itulah tanggapan awal saya setelah duduk hampir 10 hari di Perth. Boleh dikatakan setiap hari kami sekeluarga keluar rumah ke tempat-tempat menarik di Perth. Dan setiap kali meninggalkan rumah anak saya, tingkap dapur tidak bertutup. Tiada grill pun. Hatta pintu dapur jika diketuk cermin nako tanpa grill, orang boleh masuk rumah. Itulah yang menghairankan saya. Pagar ada pintu tetapi tidak bertutup. Kebanyakan rumah di tempat anak saya tinggal tidak berpagar, kalau ada pagar pun tidak bertutup. Ajaib tapi benar.

Kalaulah rumah saya di Kuala Ibai, Kuala Terengganu ditinggalkan tanpa berkunci, agaknya bila balik, tidak mustahil ada orang lain yang masuk. Ini berada di Negeri Darul Iman (Negeri orang-orang beriman), bukan di Perth negeri orang yang tidak ramai beriman!

Di Malaysia, bila nak beli minyak kereta, bayar dahulu kemudian barulah isi minyak. Di Perth isi dulu bayar kemudian, jika selepas isi nak lari mungkin boleh kot, tapi tak selamat.

Cuaca di Perth waktu kami sampai suhunya kurang daripada 18 darjah celcius, sejuk terketar-ketar. Tapi tiada salji. Waktu malam lebih panjang berbanding siang. Masuk waktu subuh jam 5.40 pagi, zohor jam 12.15 tengah hari, asar 3.20 petang, maghrib jam 5.20 petang dan Isyak jam 6.40 petang. Hai seronoknya kalau boleh berpuasa di Perth, kerana waktu siang pendek, malam panjang. Tapi apakan daya kami hanya pendatang sementara dan akan kembali ke Malaysia sebelum 9 Jun 2014.

Pengalaman bersolat zohor atas padang rumput di Kings Park, ambil wuduk di tandas awam, dan basuh kaki di kerusi luar toilet. Kalau basuh kaki dalam sink, tentu kecoh jika dilihat oleh Mat Saleh. Begitu juga solat maghrib di tepi padang Fremanle (Pelabuhan Perth), hampir-hampir diterkam anjing, itulah pengalaman yang sukar dilupakan. Tetapi yakin dan percaya bahawa bumi Allah ini suci dan mampu bersolat di mana-mana. Bukannya mesti dirumah, disurau atau masjid. Anak dan menantu saya sudah biasa dengan keadaan solat di parking kereta atau di padang permainan. Yang pentingnya bersih, tahu arah mana kiblat. Masyarakat Australia sudah biasa melihat orang Islam solat di padang.

Suatu yang menarik hati saya ialah pusat beli belah yang rata dan mesra pelanggan terutama untuk golongan tua dan orang kurang upaya. Kerap kali kami berjumpa orang yang sudah terlalu tua, kalau kita di kampung mereka ini hanya berada di rumah sahaja atau berbaring di katil atau atas tilam. Tetapi di Perth mereka mudah berjalan bersendirian dengan mengguna kerusi yang bertenaga bateri dan dikendalikan sendiri. Orang tua bebas bergerak ke mana-mana tanpa perlu bantuan orang lain.

Pasar-pasaraya dan shoping kompleks ini yang mesra pelanggan terdapat di merata tempat. Tidak tertumpu di bandar Perth sahaja. 20 atau 30 kilometer daripada bandar ada shoping kompleks. Kebanyakan shoping kompleks ini setingkat sahaja, tetapi luas. Berbanding dengan bandar Kuala Terengganu, sejak akhir-akhir ini sudah jadi Hutan Batu (terlalu banyak hotel, pangsapuri yang melebihi sepuluh tingkat) bertumpu dalam bandar yang semakin hari semakin sesak dan padat, seolah-olah Kuala Terengganu sudah tiada tanah lagi.

Di tepi jalan raya di sediakan track (laluan) untuk basikal, kerusi roda, pejalan kaki dan ini jarang terdapat di negara kita. Apa yang saya perhatikan tabiat berjalan kaki sudah menjadi tabiat masyarakat di Perth. Mungkin ini salah satu faktor umur hayat warga Perth panjang. Jiran rumah anak saya Puan Paula, mengikut katanya umur dia sudah menjangkau 100 tahun dan tinggal bersendirian di rumahnya. Dua tiga hari sekali beliau akan berjalan kaki ke pasar yang jaraknya lebih dua kilometer.

No comments:

Post a Comment