Saturday, July 5, 2014

Manfaatkan kelebihan Ramadhan, khasiat kurma

DR. BAHRAIN SAMAH
2 Julai 2014


PUASA Ramadan merupakan ibadah yang bermanfaat dari aspek spiritual, fizikal, minda dan psiko-emosi.

Jika dilakukan dengan penuh ikhlas dan berdisiplin maka puasa Ramadan membantu Muslim mendidik diri agar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek tersebut.

Sesungguhnya segala sifat, perbuatan, kata-kata dan perakuan Baginda SAW yang direkodkan dalam bentuk hadis berstatus sahih merupakan sunnah yang berpandukan ilham dan wahyu daripada ALLAH SWT. ALLAH SWT berfirman: “Dan dia tidak berkata-kata daripada hawa nafsu melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Surah An Najm: 3-4)

ALLAH SWT memberi ilham agar Rasulullah SAW menyarankan kalangan sahabatnya berbuka dengan kurma sebagai keutamaan (makanan yang harus diutamakan). Kurma itu memiliki kebaikan termasuk dari sudut kesihatan. Sifat kebaikan itu adalah rahmat ALLAH SWT yang Maha Pencipta, Dia Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Kaya nutrien

Saintis mendapati kurma mengandungi gula yang membekal tenaga segera dan dilengkapi dengan pelbagai nutrien lain seperti vitamin, mineral, bioflavonoid, asid amino dan lemak. Ia mengandungi serotonin yang juga dikenali sebagai hormon ‘gembira’.

Dalam tubuh haiwan termasuk manusia, serotonin didapati di dalam otak (bertindak sebagai neurotransmitter), trek penghadaman dan platelet.

Fungsi utamanya ialah menyumbang rasa selesa, sihat dan gembira. Ia juga membantu mengawal mood, mengurangkan rasa marah dan meredakan kemurungan.

Ia juga membantu seseorang mudah tidur dan tidur lebih lena. Selain itu ia dikatakan memainkan peranan penting dalam mengawal seksualiti, sifat panas baran dan selera.

Rutab atau kurma masak adalah pilihan terbaik kepada sesiapa yang memilikinya. Pilihan kedua yang juga baik ialah tamar iaitu kurma kering.

Dan jika tiada kedua-duanya pilihan ketiga untuk berbuka ialah air. Daripada Anas bin Malik RA berkata, “Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, Baginda akan meneguk beberapa teguk air.” (Riwayat At-Tirmizi)

Rutab ialah kurma basah manakala tamar ialah kurma yang telah dikeringkan. Dari segi jumlah lembapan, rutab mengandungi lembapan atau kandungan air yang tinggi berbanding tamar. Dari segi kalori, dengan hidangan yang sama (dari segi berat) rutab memiliki separuh daripada kalori tamar.

Kandungan makronutrien dalam rutab dan tamar adalah berbeza. Makronutrien merupakan nutrien diperlukan tubuh pada kuantiti tinggi seperti karbohidrat, lemak dan protein.

Hanya terdapat sedikit perbezaan dari segi kandungan protein dan lemak apabila dibandingkan rutab dengan tamar. Kandungan karbohidrat pula adalah dua kali ganda pada tamar berbanding rutab. Tamar memiliki kandungan fiber tinggi.

Dari segi mikronutrien, tamar merupakan sumber kalsium dan zat besi lebih baik berbanding rutab.Mikronutrien merupakan nutrien diperlukan tubuh pada kuantiti rendah seperti vitamin dan mineral. Sebaliknya rutab menawarkan sumber vitamin C lebih baik.

Rutab mengandungi 30 miligram vitamin C manakala tamar mungkin tidak mengandunginya. Vitamin C mudah musnah berpunca daripada pendedahan kepada haba dan kaedah penyimpanan.

Vitamin C adalah vitamin larut air. Tiada data untuk vitamin B yang juga larut air. Besar kemungkinan keputusan analisa makmal untuk kandungan vitamin B dalam tamar juga adalah rendah berpunca daripada faktor pendedahan kepada haba dan kaedah penyimpanan.

Proses detoksifikasi

Mempercepatkan berbuka adalah suatu sunnah. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Al-Bukhari).

Bersahur merupakan sunnah dan mengakhiri makan sahur iaitu dengan makan dan minum hingga menjelang waktu subuh. Kedua-dua sunnah ini telah direkodkan dalam bentuk hadis sahih.

Ketika berbuka, makan malam dan bersahur, kaedah paling sesuai diamalkan sebagaimana firman ALLAH: “...dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya ALLAH tidak suka orang yang melampaui batas.” (Surah Al-A’raaf: 31)

Berpandukan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya.

Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahil (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat At-Tirmizi)

Puasa Ramadan sebulan membantu tubuh menjalankan detoksifikasi. Tanda berlakunya detoksifikasi ialah bau mulut yang tidak menyenangkan. Puasa dikatakan mengubah mod tubuh kepada mod pemuliharaan kesihatan dan pencegahan daripada menghidapi penyakit.

Mereka yang makan dan minum secara sederhana ketika tempoh diharuskan makan (berbuka, makan malam dan bersahur) akan mendapat ganjaran iaitu dari segi bentuk dan berat badan yang unggul. Mod pembakaran lemak dikatakan bermula pada 7-10 hari dari tempoh mula mengamalkan puasa.

Untuk membantu tubuh meningkatkan metabolisme dengan membakar lemak secara lebih cekap, makan makanan berlemak tepu ketika makan malam dan bersahur dipercayai amat membantu. Minyak kelapa dara dan santan mengandungi paras lemak tepu yang tinggi.

Begitu juga keju, telur dan ghee (minyak sapi). Sesungguhnya makanan berlemak seperti dinyatakan membantu seseorang rasa kenyang lebih lama ketika berpuasa pada siang hari.  

Menyentuh mengenai amalan sesetengah orang yang mengambil satu jenis makanan sahaja sepanjang puasa Ramadan contohnya dengan maka bijirin tertentu, epal hijau atau jagung sahaja tanpa makan pelbagai makanan lain maka pada pandangan penulis ia dipercayai boleh memudaratkan kesihatan. Amalan tersebut akan menyebabkan nutrien dalam tubuh tidak seimbang

No comments:

Post a Comment