Saturday, July 5, 2014

Beberapa Isu hukum semasa berpuasa

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
4 Julai 2014

MENJELANG Ramadan banyak hukum hakam sering dibangkitkan berkaitan puasa. Di sini saya senaraikan sebahagian daripada jawapan terhadap beberapa isu hukum berkaitan puasa.


Pandangan dipilih adalah yang saya yakini lebih mendekati maksud nas dan sifat Islam yang rahmat.

Bila habis waktu sahur?

Ada orang yang bersahur terlalu awal sedang waktu Subuh masih beberapa jam lagi. Ini tidak menepati amalan Nabi Muhammad SAW yang melewatkan bersahur sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuk waktu Subuh. Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Waktu sahur pula berterusan sehingga masuk waktu Subuh. Selagi tidak masuk waktu Subuh seseorang masih boleh bersahur. Masuknya Subuh adalah waktu imsak (bermula puasa) yang sebenar, bukan beberapa minit sebelum itu.

Ini dijelaskan Nabi Muhammad SAW dalam hadis Baginda SAW. Kata isteri Baginda SAW, Aishah RA: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (Subuh).” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam hadis Muslim pula, Baginda SAW bersabda: “Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.
Hal ini selaras dengan kenyataan al-Quran: (maksudnya): “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam”. (Surah al-Baqarah: 187)

Mandi kerana letih puasa

Antaranya, anggapan mandi ataupun basuh kepala apabila terlalu keletihan mengurangkan pahala puasa. Ada pula yang bertegas semasa puasa mandi selepas Asar makruh.

Ini tidak disokong oleh riwayat yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW mencurahkan air ke atas kepala Baginda SAW ketika berpuasa kerana terlalu panas ataupun dahaga.

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah SAW di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Korek telinga batal puasa?

Antara anggapan lain ialah menyatakan semasa puasa tidak boleh memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan mulut, sekalipun bukan makanan dan minuman.

Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah. Ada yang melarang bercelak kerana bimbang masuk ke dalam rongga. Pegangan ini asalkan berasas riwayat kenyataan Ibn ‘Abbas: “Membatalkan puasa itu apa yang masuk, bukan apa yang keluar”. (Riwayat Ibn Abi Syaibah, sahih)

Namun, itu adalah ulasan Ibnu ‘Abbas kepada mereka yang berbekam bagi menunjukkan ia tidak membatalkan puasa.

‘Apa yang masuk’ bermaksud makanan ataupun minuman ataupun yang mempunyai fungsi yang sama seperti makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad. Jika sekadar alatan tertentu maka ia tidak termasuk dalam maksud ini.

Jika tidak mereka yang memasukkan berus gigi ataupun kayu sugi ke dalam mulut, ataupun berkumur semasa puasa tentu dianggap batal.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam Majmu al-Fatwa, setelah menyebut mengenai khilaf ulama, beliau menjelaskan puasa adalah amalan setiap Muslim.

Jika perbuatan seperti bercelak yang memang diamalkan secara meluas semasa zaman Nabi SAW itu membatalkan puasa, tentu Baginda SAW akan menerangkannya.

Juga tentu golongan sahabat akan bertanya mengenainya. Namun, apabila tiada hadis sahih tentang hal itu, maka menunjukkan memakai celak tidak membatalkan puasa.

Demikian juga tentang mencium wangian, menyapu minyak di badan dan seumpamanya.

Penggunaan eye drops yang sedikit dan tidak menyebabkan ia mengalir ke kerongkong dan seterusnya adalah dibolehkan. Demikian juga memakai minyak rambut dan minyak urut sekalipun sifat minyak itu mudah meresap ke dalam kulit.

Terlewat mandi wajib

Antara lain ialah menganggap tidak sah puasa mereka yang belum mandi junub sedangkan waktu Subuh sudah masuk. Ini berkaitan seseorang yang bersetubuh dengan isterinya, ataupun keluar air mani tetapi belum mandi junub sehingga masuk waktu Subuh iaitu waktu berpuasa. Ertinya ketika dia mandi wajib, waktu Subuh telah masuk.  Sah atau tidak puasa orang seperti ini?

Jawapannya, dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah bahawa Nabi SAW pada waktu pagi (Subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan Baginda berpuasa. Baginda berpuasa dan tidak berbuka (disebabkan hal itu).” (Riwayat al-Bukhari)

Maka, sesiapa yang terlewat mandi wajib sehingga masuk waktu Subuh masih sah puasanya pada hari berkenaan.


Muntah ketika berpuasa

Ada yang menyatakan sesiapa yang termuntah maka batal puasa. Sebenarnya, di sana ada perbezaan antara termuntah dan sengaja muntah.
Dalam hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang termuntah tidak wajib qada (ganti puasa). Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah dia qada”. (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Jarud & Ibn Hibban)

Maka sesiapa yang termuntah kerana tidak tahan dengan sesuatu bau ataupun mabuk perjalanan tidak wajib qada kerana puasanya sah. Sesiapa yang memaksa diri untuk muntah maka dia wajib menggantikan puasanya.

Berus gigi ketika berpuasa

Islam menggalakkan bersugi (berus gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Apabila berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. ALLAH tahu hakikat tersebut. ALLAH Maha Tahu bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari kerana-NYA. Justeru itu, Nabi SAW bersabda: “Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi ALLAH daripada haruman kasturi.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatah lagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabitkan ramai orang di sekeliling. Tambahan, jika terdapat mereka yang bukan Muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap Muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.

Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh dari segi sifat semula jadi ataupun neutrality agama ini.

Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat.

Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi SAW seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah.

Apatah lagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.

Antara hadis yang sangat daif digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi SAW bersabda: “Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”. Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain.

Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).

Apa pun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan Muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira sama ada puasa ataupun tidak. Nabi SAW dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut: “Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan reda” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dan lain-lain)

Justeru, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!

No comments:

Post a Comment