DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .
PERKATAAN jihad, menjadi sebutan di kalangan
umum umat Islam sejak zaman berzaman, walau pun ramai yang tidak
memahaminya secara hukum feqah. Kini menjadi lumrah disebarkan oleh media dan
menjadi sebutan juga di kalangan bukan Islam, lebih menjadi sasaran media
apabila ada kalangan yang mengisytiharkan jihad berperang menentang kerajaan
yang ditolak dan mengajak seluruh dunia menyertainya.
Jihad adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang wajib diimani dan dihayati
oleh penganut Islam dan sepatutnya difahami dengan betul oleh semua pihak
mengikut tasawwurnya, supaya tidak mencalarkan ajaran Islam yang menjadi rahmat
kepada seluruh alam.
Perlu diketahui bahawa setiap ajaran Islam itu ada feqahnya, bukan hanya
perkara ibadat sahaja seperti solat, puasa, haji dan zakat. Maka jihad pun ada
hukum feqahnya yang tersendiri.
Feqah bererti kefahaman yang betul, bermaksud diketahui secara ilmu yang sahih
dan dilaksanakan dengan istiqamah dan faham terhadap setiap ajaran itu secara
menyeluruh dan mendalam. Ianya meliputi cara amalan, syarat, rukun, adab,
masa dan matlamatnya yang dinyatakan oleh sumber utama ajaran islam, iaitu
al-Quran, serta dihuraikan pelaksanaannya yang betul oleh Rasulullah S.A.W. dan
para ulama yang mendalaminya di sepanjang zaman dengan cara ilmu yang
betul melalui bahasa al-Quran, di mana ada perkataannya yang tidak boleh
diterjemah dalam bahasa lain dengan satu perkataan sahaja.
Seperti juga urusan ajaran Islam yang lain, hukum jihad itu ada di dalamnya
perkara-perkara dasar yang tetap dan teguh, ada pula yang berkait dengan
perkembangan kehidupan masyarakat yang berbeza dan berubah yang semuanya
berada dalam ilmu Allah dan kebijaksanaanya yang penuh rahmat dan adil.
Perkataan Jihad daripada bahasa Arab, perkataan asalnya, “al-Juhdu” dan “al-Jahdu”, masdar atau nama terbitan daripada
perkataan “Jahada”. Al-Jahdu berarti masyaqqah, yakni kesukaran atau payah.
Al-Juhdu pula bererti “Thoqah”, yakni tenaga dan kemampuan
kekuatan roh dan jasad, harta dan lain-lain daripada segala nikmat yang ada
pada diri. Maka ditambah pula dengan makna yang lebih kuat, dipanjangkan huruf
jim, menjadi “jaahada” dan melahirkan nama terbitan “jihad” atau “mujahadah”,
bermaksud menggemblengkan segala kemampuan daripada nikmat tenaga, diri dan
harta dan lain-lain, serta menghadapi segala cabaran, kesulitan, kepayahan dan
segala penderitaan dengan sepenuh kesungguhan.
Adapun Jihad mengikut istilah syarak (ajaran Islam) ialah melakukan amalan
tersebut di atas bagi menegakkan ajaran Islam yang membawa rahmat dan adil
terhadap semua, kerana Allah dengan iman dan ikhlas, sama ada dalam diri,
keluarga, masyarakat dan negara. Jihad ini dilaksanakan sehingga membuktikan
Islam sebenarnya adalah al-Din yang terbaik daripada segala ajaran yang lain,
sama ada agama atau segala ideologi, teori dan sebagainya. Temanya ialah firman
Allah:
“Dialah (Allah)
Tuhan yang telah mengutuskan Rasulnya (Muhammad S.A.W), dengan petunjuk dan Din
(agama dan cara hidup) yang sebenarnya , supaya menzahirkannya (dengan
kemenangan) mengatasi segala ajaran yang lain walau pun dibenci oleh
orang-orang musyrikin)” (Surah Al Sof: 9-10)
Seterusnya dihuraikan oleh ayat-ayat al-Quran dalam surah yang banyak, melalui
hukum syariat dan kisah para rasul dan umat terdahulu, serta pelaksanaan oleh
Rasulullah S.A.W. yang mendapat bimbingan wahyu dan tarbiyah secara langsung
daripada Allah, untuk menjadi ikutan seluruh umat sehingga hari kiamat.
Al-Quran dan hadis menghuraikan segala pendekatan amalan jihad, merangkumi
damai dan berperang. Maka jihad itu tidak hanya berperang semata-mata, seperti
mana tafsiran para orientalis musuh Islam dan mereka yang diheret oleh tafsiran
yang salah ini, sehingga menjadikan perkataan jihad tidak lengkap kalau
diterjemahkan dengan peperangan apatah lagi tersasar jauh kalau diterjemahkan
dengan perkataan “Holy
War”. Peperangan
hanya salah satu daripada lapangan jihad dan perdamaian pula menjadi
lapangannya yang lebih luas.
Allah menyebut kisah semua para Rasul a.s. yang memulakan pendekatan jihad
secara aman dan damai terlebih dahulu, menyampaikan mesej dengan hujah yang
sepatutnya diterima oleh akal yang baik, walaupun memakan masa yang panjang,
untuk memberi hujah dan tempoh yang seluas-luasnya supaya menusia menerima
Islam.
Para rasul dan pengikutnya yang beriman diperintah bersabar yang menjadi
rukun jihad. Hukuman secara keras, sama ada peperangan atau bencana secara
langsung daripada Allah, dilakukan setelah batas kesabaran sampai kemuncaknya
dan dirasakan segala kezaliman dan penipuan ajaran yang sesat oleh akal yang
sempurna terus berlaku. Semua kisah tersebut bukan sekadar cerita, bahkan wajib
menjadi petunjuk kepada Rasulullah S.A.W. dan umatnya sehingga hari kiamat.
Rasulullah S.A.W. menunjukkan pendekatan secara amali (praktikal). Baginda
berusaha supaya manusia menerima Islam seramai mungkin tanpa paksaan, kerana
paksaan itu tidak membawa Islam yang sebenarnya beriman, budiman dan beramal
soleh. Atau memberi peluang bebas beragama dan boleh ditunjukkan apa dia Islam
tanpa gangguan. Maka tentangan secara jihad juga dilakukan terhadap gangguan
berdakwah mengikut kadarnya, walau pun
berperang, tetapi wajib dengan syarat dan adab mengikut batas hukum Islam bagi
mencegah kezaliman.
Al-Quran dan hadis juga menunjukkan betapa bersabar dengan teguran berani dan
membina, menghadapi kerajaan yang zalim ketika berada dalam satu masyarakat
bersama, adalah jihad akbar dengan hadis yang sahih. Menunjukkan bahawa
pendekatan jihad menghadapi kemungkaran dalaman masyarakat berbeza dengan
menghadapi penceroboh yang menyerang.
Kita wajib mengambil iktibar secara perbandingan, mengapa pendekatan Rasulullah
S.A.W. dan generasi awal umat Islam yang berdakwah berjaya menarik
sehingga satu bangsa dan kaum semuanya menganut Islam dalam masa yang cepat. Mengapa
kita di zaman kini sangat payah untuk menarik seorang sahaja supaya masuk
Islam. Mereka yang masuk Islam di masa damai di zaman awal pula lebih besar
jumlahnya.
Perbandingan juga perlu difahami, mengapa berperang jihad Rasulullah S.A.W. dan
generasi awal berjaya menjatuhkan kuasa besar dunia Parsi dan Rom, walau pun
bala tentera Islam terlalu kecil jumlahnya dan musuh pula berlipat ganda
jumlahnya dengan senjata yang berlipat ganda kecanggihannya. Tentera Islam
disambut oleh penduduk menjadi penyelamat daripada kezaliman, bukannya sebagai
penjajah. Selepasnya rakyat menerima agama Islam tanpa paksaan, sehingga masih
ada penganut bukan Islam, gereja, biara dan kuil lama sehingga zaman kini di
tengah masyarakat Islam.
Di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab, apabila Maharaja Parsi (Kisra Yazdajur)
yang berundur di perbatasan timur Parsi menulis surat kepada Maharaja China
meminta bantuan bagi menyelamatkan takhtanya dan memberi amaran bahawa China
juga berdepan dengan bahaya Islam. Maharaja China yang terlebih dahulu
bertanyakan utusan Parsi: “Sifat dan cara orang Islam setelah menawan Parsi”. Apabila
disebut segala-galanya, Maharaja China membalas bahawa kemaraan Islam dan
penganutnya yang begitu sifatnya tidak boleh dihalang kerana rakyat
menerimanya, lalu China mengadakan hubungan damai dengan semua kerajaan Islam
dalam sejarahnya.
Bandingkan mengapa amalan jihad secara damai dan perang di zaman awal menjadikan
Islam digeruni kerana rahmat dan adilnya, bahkan kedatangan bala tentera
bersenjata disambut rakyat menjadi penyelamat bukannya penjajah. Adapun jihad
terkini yang diisytiharkan oleh kalangan yang betapa tinggi semangat jihadnya
digambarkan dengan wajah yang buruk terhadap Islam oleh kawan dan lebih lagi
lawan. Adakah kerana semangat tanpa feqah yang boleh ditembusi oleh bisikan
syaitan yang merosakkan amal dan orang yang beramal. Kalau syaitan boleh masuk
ke dalam hati dan saf mereka yang sedang solat berjamaah, maka syaitan lebih
mudah masuk ke dalam saf mareka yang berjihad tanpa feqahnya.
Contoh yang nyata kepada wajah umat Islam terkini ialah apabila mereka melontar
jumrah di musim haji. Umat Islam dahulu melontar mengikut sunnah dengan feqah
hajinya, menggunakan batu sebesar hujung jari dengan semangat melontar
syaitan. Kini ada jamaah haji yang melontar kawan sendiri dengan batu besar dan
kasut kerana hajinya tidak ada feqah. Maka kalau berjihad tanpa mendalami
feqahnya menerima padah amaran Rasulullah S.A.W. yang membunuh dan dibunuh
kedua-duanya masuk neraka, bukannya mati syahid.
Percayalah bahawa jihad tetap wajib sehingga hari kiamat,
berilmu adalah wajib disertakan dengan feqahnya bagi mensahihkan amal
yang wajib. Benarlah bahawa syaitan lebih mudah menggoda seratus orang lebai
yang jahil daripada seorang yang berilmu. Paling bodoh ialah orang merasakan
dirinya sudah cukup berilmu segala-galanya.
PRESIDEN PAS
14 Julai 2014
No comments:
Post a Comment