Wednesday, May 1, 2013


Alkisah seorang murid pandai tapi…

Tuan Ibrahim Tuan Man,30 Apr 2013



Seorang pelajar bernama Mahros sangat disukai oleh para guru di sekolahnya. Keputusannya agak bagus dan budi pekertinya sangat elok.

Mahros membawa perwatakan gadis yang soleh, mendengar kata dan bertimbang rasa.

Di Tingkatan 2, Mahros terus diangkat menjadi Ketua Kelas dan juga pengawas sekolah. 

Sikap Mahros mula berubah selepas diangkat menjadi Ketua Kelas dan pengawas. 

Di waktu rehat, untuk mengelakkan beratur panjang, Mahros menyalahguna kuasanya setiap kali untuk keluar awal dari kelas atas alasan ada urusan pengawas.

Di kelas agama Ustaz Ismail yang Mahros sangat tidak menyukai, Mahros selalu menggunakan alasan ada guru yang memanggilnya untuk perkara lain. Lalu Mahros lari keluar ke kedai koperasi, di mana guru koperasinya Cikgu Bijan selalu memanjakannya.

“Ros tak ada kelas ke? Senang datang bantu cikgu menjaga kedai koperasi waktu ini,” tanya Cikgu Bijan.

“Ustaz Ismail tak datang. Jadi kelas kosong. Saya ketua kelas keluar cari Ustaz Ismail tak dapat. Jadi datang sini,” Mahros menipu Cikgu Bijan.

“Saya ada kelas. Mahros boleh jaga kedai untuk satu waktu (40 minit)?” tanya Cikgu Bijan.

“Boleh. Cikgu pergilah,” kata Mahros.

Di kedai koperasi, Mahros mula mengambil untung sendiri dengan mengenakan harga lebih tinggi pada pelajar. Ada pelajar yang merungut, tapi kerana takutkan Mahros akan membalas dendam dengan selalu mencari masalah dengan mereka seperti pakaian tak sopan, rambut panjang, tudung tak elok dan lambat masuk kelas, mereka lebih rela memdiamkan diri.

Kadangkala bukan untung sahaja yang Mahros ambil, malah dia mula mencuri benda-benda yang boleh dijual di luar.

Cikgu-cikgu lain yang selalu memuji Mahros masih tidak mengetahui bahawa sikap Mahros dah berubah sama sekali.

Mahros kini seorang pelajar yang tamak, mencuri, menipu dan menindas pelajar. Di depan cikgunya, Mahros masih seorang pelajar yang keputusannya cemerlang dan sopan kerana di depan cikgu-cikgunya, Mahros akan berubah watak.

Namun, perubahan Mahros dikesan oleh Ustaz Ismail kerana Mahros paling banyak keluar daripada kelasnya. Namun keputusan pendidikan Islam Mahros masih mendapat A.

“Rosak kalau dibiarkan Mahros begini. Ya, keputusan pendidikan Islamnya masih A, tapi ia serupa membaca Quran tapi tidak mengamalkan segala yang disarankan Allah,” bisik Ustaz Ismail di hati.

Ustaz Ismail memikirkan satu cara untuk mendedahkan wajah sebenar Mahros. Beliau mula merakam alasan-alasan yang diberikan Mahros untuk keluar daripada kelas agamanya.

Satu hari di kelas Ustaz Ismail, Mahros memberikan alasan bahawa dia dipanggil Cikgu Mala dan mohon keluar kelas. Ustaz Ismail merakam apa yang dikatakan Mahros dan membiarkannya keluar kelas. Selepas 5 minit, Ustaz Ismail menelefon Cikgu Mala bertanya apakah benar beliau memanggil Mahros.

“Tak adalah. Mengapa Mahros berkata begitu? Mesti ada sebab. Sebab dia budak baik jarang menipu,” kata Cikgu Mala di telefon.

Ustaz Ismail kemudian menyuruh Cikgu Mala dan cikgu-cikgu lain untuk bersama mencari Mahros, dengan alasan Mahros jarang menipu, takut Mahros menghilang kerana sebab-sebab tertentu.

Akhirnya Ustaz Ismail sengaja membawa Cikgu Mala dan cikgu-cikgu lain ke kedai koperasi melihat Mahros sedang menjual barang-barang di kedai koperasi.

Mahros terkejut dengan kehadiran semua cikgu yang menyayanginya.

“Mengapa kamu di sini? Tadi kamu berkata Cikgu Mala nak jumpa,” tanya Ustaz Ismail.

“Ustaz salah dengar kot. Saya kata ada cikgu panggil. Tak sebut Cikgu Mala pun. Cikgu Bijan yang panggil saya ke sini bantu, jadi saya datanglah. Kelas agama ustaz, jangan bimbang, saya tak masuk pun, saya tetap dapat score A,” cubaan menipu Mahros dengan nada kecil kerana ingin berlakon seperti dia dianiaya.

Ustaz Ismail tidak mahu berkata apa-apa. Beliau menelefon Cikgu Bijan dan suruh beliau datang ke kedai koperasi segera.

Cikgu Bijan pun sampai dan terkejut melihat semua cikgu berada di sini bersama Mahros.

“Apa halnya ustaz?” tanya Cikgu Bijan.

“Mengapa Mahros ada di koperasi? Tuan Bijan ada panggil dia ke?” tanya Ustaz Ismail.

Cikgu Bijan melihat mata Mahros, dan Mahros mengangguk.

“Ya. Saya panggilnya. Ada apa?” kata Cikgu Bijan.

“Dia selalu keluar kelas saya dan Tuan Bijan selalu memanggil dia keluar waktu saya mengajar?” tanya Ustaz Ismail.

Cikgu Bijan mula menggelabah kerana nada Ustaz Ismail agak keras. 

“Ya. Sebab Mahros dah pandai agama. Dia dah selalu score A. Tak pergi kelas ustaz pun tak apa,” Cikgu Bijan cuba mempertahankan Mahros.

Ustaz Ismail masuk ke kedai koperasi mengambil satu lagi alat perakam suara yang dipasangnya tanpa pengetahuan Cikgu Bijan dan Mahros.

Ustaz Ismail memainkan perakam suara yang ada di tangannya di mana jelas menunjukkan Mahros memberitahunya Cikgu Mala memanggilnya.

Perakam suara kedua di kedai koperasi berbunyi:

“Kamu ponteng kelas Ustaz Ismail lagi? Alasan apa yang kamu guna kali ini?” tanya Cikgu Bijan pada Mahros.

“Kali ini saya kata Cikgu Mala panggil,” jawab Mahros sambil ketawa.

Wajah Mahros dan Cikgu Bijan terbongkar akhirnya. Pelajar-pelajar yang membeli di koperasi terus mengadu bahawa mereka dipaksa membeli harga barangan koperasi yang dijual Mahros pada harga yang lebih tinggi.

Ustaz Ismail mengarahkan Cikgu Bijan melakukan satu pemeriksaan stok ringkas – dan mendapati jumlah stoknya kurang daripada sepatutnya, menunjukkan bahawa Mahros telah mencuri.

“Cikgu-cikgu sekalian. Mahros seorang budak baik sebelum ini. Malangnya kepercayaan kita dan kuasa yang kita berikan pada dia telah merosakkan dia. Kita terpaksa bertindak untuk melucutkan jawatannya untuk menyelamatkan dia daripada terus melakukan dosa.

Lagipun, orang yang hilang kuasa lebih mudah bertaubat. Jika kita kekalkan kedudukan Mahros, walaupun dia berjanji akan berubah, ia tidak akan berlaku kerana kuasa yang ada di tangan tidak akan menyebabkan Mahros insaf sepenuhnya,” cadang Ustaz Ismail.

Kalian cikgu-cikgu semua setuju termasuk Cikgu Bijan. Cikgu Bijan turut memohan maaf atas kesilapannya terlalu memanjakan Mahros.

Dapat maksud tersirat cerita ini? 

Untuk menyelamatkan Barisan Nasional, kita perlu menurunkannya daripada tampuk kuasa. Sebenarnya itu cara terbaik untuk kita membantu BN untuk mengurangkan dosa. Hanya setelah hilang kuasa, barulah boleh seseorang betul-betul bertaubat dan insaf.

Bagaimana nak turunkan kuasa BN? Tak perlu bertumbuk dan bersamseng seperti mereka. Kita hanya perlukan sebatang pen. Hari 5 Mei ini, pangkah Bulan, Roket atau Bulan kecil. 

Senyum.

Lepas baca, mohon share kepada kawan-kawan yang memerlukannya.

Jadilah agen perubahan.

INI KALILAH.


13 Mei angkara Dr M mahu rampas kuasa Tunku - Tamrin

Abdul Aziz Mustafa,Harakahdaily 30 Apr 2013
JOHOR BAHRU: Rusuhan kaum 13 Mei berpunca dari percubaan untuk merampas kuasa dari Tunku Abdul Rahman yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Tamrin Tun Ghafar (gambar).

Anak bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba itu berkata, perkara tersebut diberitahu sendiri kepada beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Ghazali Shafie.

“(Menteri Dalam Negeri ketika itu) Ghazali (Shafie) memberitahu Anwar (Ibrahim) dan saya, ketika kami berada dalam Pemuda Umno, bahawa kejadian itu adalah percubaan kecil untuk merampas kuasa yang dirancang pemimpin-pemimpin Umno dan Mahathir turut terlibat,” kata Tamrin dalam ceramahnya di Gelang Patah malam tadi.

"Tunku telah menulis dalam kolum ‘As I See It” dalam akhbar The Star, dua tahun sebelum beliau meninggal dunia, bahawa kejadian itu adalah percubaan merampas kuasa yang sengaja dilakukan pemimpin-pemimpin Umno yang kemudiannya menyalahkan DAP dan Cina," katanya lagi.

Pendedahan Tamrin itu sama dengan apa yang didapati oleh hasil kajian Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dr Kua Kia Soong tentang peristiwa berdarah 13 Mei itu.



(Tun Ghafar dan Tunku Abdul Rahman)

Menurut Dr Kua, peristiwa 13 Mei adalah akibat dari percubaan merampas kuasa dari Tunku yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdul Razak Hussein yang turut disokong oleh Dr Mahathir.

Tamrin seterusnya menceritakan, Tunku telah mengusir Dr Mahathir dari Umno kerana menulis surat menuntut Tunku meletak jawatan selepas rusuhan itu.

"Selepas Tunku berundur dan Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, dia membawa Dr Mahathir masuk Umno semula dan melantiknya sebagai Menteri Pelajaran.

"Perkara itu menunjukkan Razak terhutang budi kepada Dr Mahathir (kerana menuntut Tunku berundur)," kata beliau sambil menambah Lim Kit Siang tidak ada di Kuala Lumpur ketika rusuhan itu berlaku.

Tamrin berkata, tindakan Umno menakut-nakutkan orang Melayu dengan peristiwa 13 Mei membuktikan parti itu begitu terdesak kini

Tuesday, April 30, 2013

MUFLIS Pada Hari Akhirat!!!

Oleh: al-bahanj

Sungguh dahsyat perbuatan TUDUH-MENUDUH dan FITNAH-MENFITNAHmusim-musim pilihanraya begini.  Hadith di dalam tulisan ini memberikan khabar ancaman buat orang/pihak yang selalu menuduh dan menfitnah.  Dan memberikan berita kelegaan dan kegembiraan buatmangsa tuduh dan fitnah.  Silalah baca untuk ambil manfaat:


Tiada pembalasan dan pembelaan yang paling agung melainkan pembalasan dan pembelaan pada Hari Akhirat.

Di dunia, barangkali seseorang yang zalim itu boleh terlepas dari hukuman kezalimannya.  Dan barangkali seseorang yang dizalimi tidak bisa mendapat pembelaan yang sewajarnya ketika di dunia.  Tetapi, di Akhirat awas bagi para penzalim.  Di sana pembalasan pasti tiba dengan dahsyatnya.  Dan senyumlah wahai orang-orang yang kena zalim.  Kerana di sana kalian bakal mendapat pembelaan seadil-adilnya.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda:
أتدرون ما المفلِسُ ؟ قالوا : المفلِسُ فينا من لا درهمَ له ولا متاعَ . فقال : إنَّ المفلسَ من أمَّتي ، يأتي يومَ القيامةِ بصلاةٍ وصيامٍ وزكاةٍ ، ويأتي قد شتم هذا ، وقذف هذا ، وأكل مالَ هذا ، وسفك دمَ هذا ، وضرب هذا . فيُعطَى هذا من حسناتِه وهذا من حسناتِه . فإن فَنِيَتْ حسناتُه ، قبل أن يقضيَ ما عليه ، أخذ من خطاياهم فطُرِحت عليه . ثمَّ طُرِح في النَّارِ
Yang lebih kurang maksudnya:
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?”
Para sahabat menjawab:  “Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak mempunyai wang atau pun harta benda.”
Lalu Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:  “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada Hari Kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina orang, menuduh orang, memakan harta orang lain, membunuh dan memukul orang.  Lalu diberi segala pahala amal-amalnya itu kepada orang yang pernah dia zalimi ketika di dunia.  Jika telah habis pahalanya sebelum dapat dibayar kepada orang yang dizaliminya, maka dosa-dosa orang-orang yang dizaliminya tersebut akan dilemparkan kepadanya pula, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam Api Neraka!”
(Hadith Riwayat Muslim)


Berita Gerun Buat Si Zalim

Apabila membaca hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam di atas, hati kita bisa didatangi dua perasaan.  Pertama, takut dan gementar kalau-kalau ada perbuatan zalim kita kepada orang lain masih belum diampuni atau selesaikan di dunia ini.

Ya, perasaan itulah yang mula-mula menyinggah ke dalam hati kita.  Walau mungkin banyak amal di dunia, tetapi pahala-pahala amal tersebut bisa diserahkan buat orang yang pernah kita hina, tuduh, curi, rompak, bunuh, pukul dan seumpamanya.  Itu jika banyak.  Bagaimana jika amal kita sedikit?
Jika pahala amal tidak mencukupi, bahkan dosa-dosa orang yang pernah kita zalimi itu bakal dibebankan ke atas diri kita pula.  Na`udzu billahi min dzalik.

Hadith di atas cukup menginsafkan kita betapa kita mesti menjaga diri dari menzalimi orang lain samada secara sengaja atau tidak sengaja.  Jika menyedari bahawa kita pernah menzalimi orang lain, maka tiada cara lain melainkan segera bertaubat, minta ampun kepada orang yang pernah kita zalimi dan selesaikan ketika masih hidup di dunia.  Jika tidak, kedahsyatan bakal menemui kita pada Hari Akhirat nanti.

Berita Gembira Buat Mangsa Hina, Tuduh, Curi, Rompak, Bunuh & Pukul

Dan perasaan yang kedua yang bisa hadir ke dalam hati kita selepas membaca hadith di atas ialah hati ini bisa berasa tenang dan redha akan kezaliman yang kini menimpa diri ketika di dunia.  Kerana percaya bahawa pasti akan ada pembelaan dan keberuntungan buat diri yang sabar dengan musibah dan kesusahan yang menimpa.

Hadith di atas boleh menjadi berita gembira buat kita yang barangkali kini sedang dizalimi.  Cubalah untuk senyum dan bayangkan pahala-pahala amal orang yang mencaci kita, menuduh kita, menfitnah kita, mengumpat kita atau melakukan lain-lain perbuatan zalim bakal diserahkan kepada kita lalu memberatkan lagi timbangan kebaikan kita.  ALLAHU AKBAR!  Dan malahan dosa-dosa kita barangkali bisa dipikul pula oleh orang-orang yang pernah berbuat jahat kepada kita ketika di dunia.

Rasa takut dan harap sentiasa bermanfaat buat para mukmin.  Apabila dia membaca ayat-ayat ancaman, hatinya menjadi takut lalu hatinya menjadi dekat kepada ALLAH.  Apabila dia membaca ayat-ayat yang menggembirakan, hatinya menjadi harap kepada rahmat ALLAH lalu mendekatkan juga dirinya kepada ALLAH.

Semoga hidayah dan taufiq ALLAH sentiasa membimbing kita menjalani kehidupan yang sementara ini, amin…

*Sumber:  http://muzir.wordpress.com/2013/04/30/siapakah-orang-yang-muflis/ 

Monday, April 29, 2013

Catatan Seorang Penjawat Awam Mengenai Program Pakatan Rakyat Di Putrajaya
Posted on Monday, April 29 @ 08:17:56 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur


Oleh: matuse68

"
Klik gambar untuk besar

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas peluang dan kesempatan yang diberi kepada saya sekeluarga menghadiri sesi ceramah politik oleh Pakatan Rakyat amnya dan PAS khasnya yang berlangsung di Presint 3, Putrajaya. Terima kasih kepada pihak JPA yang membenarkan penjawat awam untuk hadir ke acara demikian bagi memberi peluang kepada kami membuat penilaian sebelum memangkah pada Pilihanraya ke-13, 5 Mei 2013 nanti.


Berikut merupakan sebahagian kesimpulan yang dapat saya rumuskan sebagai seorang rakyat marhaen yang pertama kali hadir ke sesi penerangan oleh parti bukan kerajaan yang belum memerintah.

1. Sikap kesemua anak-anak muda yang saya temui amat menginsafkan saya. Waktu kami baru sampai sebaik meletakkan kereta di bahu jalan, tiba sekumpulan konvoi bermotor yang memegang bendera PAS dan PKR dalam keadaan yang aman. Mereka sama2 meletakkan motorsikal dalam keadaan tersusun dalam suasana yang sungguh tertib, tiada hiruk pikuk atau jerit pekik sebelum mereka mengambil gambar bersama bendera parti masing2. Saya, suami dan anak2 terkedu...

Cara berpakaian dan adab anak2 muda dan orang ramai yang hadir juga amat menyejukkan mata dan hati yang memandang. Semuanya dalam keadaan tenang dan mengukir senyuman.

Terdapat sekumpulan anak2 muda yang bertugas sebagai sukarelawan yang memakai vest Unit Amal yang tugasnya mengutip sampah sarap yang tertinggal di kawasan ceramah. Saya masih ingat, sebelum sempat pengacara mengingatkan supaya hadirin tidak meninggalkan sebarang sampah di kawasan ceramah semasa sesi berakhir, beberapa orang hadirin sudah mula mengingatkan ahli keluarga supaya mengutip sampah dan bersihkan tempat duduk sebelum beredar.

2. Tiada sebarang kata-kata kesat, caci maki atau fitnah yang dikeluarkan sepanjang majlis oleh kesemua penceramah. Ini sangat jauh berbeza dengan apa yang sering dipaparkan di tv arus perdana yang sering mengatakan pihak mereka ini suka menyebarkan fitnah dan menakut-nakutkan orang ramai. Semua kenyataan yang diberikan contohnya mengenai hutang negara adalah berdasarkan fakta. Mereka lebih banyak menyatakan tawaran dan perubahan yang akan ditawarkan kepada rakyat dan penjawat awam khasnya jika diizinkan Allah untuk memerintah. Antara yang saya ingat selain dari pembinaan maahad tahfiz sains dan bonus empat bulan (penjawat awam):

i. Rumah kuaters yang diduduki akan ditawarkan secara sewa beli dan boleh menjadi hak milik penjawat awam.

ii. Pinjaman kenderaan dan perumahan sebanyak 4% akan dihapuskan sebagai mana yang dibuat di negeri Kelantan.

iii. Lebih banyak program keagamaan dan berbentuk kekeluargaan berlandaskan syarak akan diadakan di Putrajaya.

3. Ramai hadirin yang hadir bersama keluarga dan membawa sekali anak2 yang masih kecil dan berpiknik di sana. Menurut laporan, kehadiran dianggarkan seramai 20,000 orang bukan sahaja dari Putrajaya, malahan kawasan sekitarnya. Suasana pada malam itu meleset daripada apa yang saya jangkakan. Pada anggapan saya, sudah tentu akan berpeluh dan panas kerana orang yang ramai. Tetapi alhamdulillah kuasa Allah suasana terasa nyaman dan mendamaikan walaupun dalam suasana berpuluh ribu manusia. Ada hujan rintik2 sekejap tapi tidak ada seorang pun yang berganjak bila hujan turun.

4. Sebelum majlis dimulakan, lagu qasidah dipasang untuk diperdengarkan. Sebelum dan sesudah majlis diiringi dengan doa dan menyerahkan segalanya kepada Allah.

5. Alhamdulillah anak2 tidak banyak meragam dan masing2 tidur sendiri bila mengantuk. Keberkatan dan aura dalam majlis bersama ulama menjadikan suasana di situ tidak dapat saya gambarkan dengan kata2.

6. Sejak kecil lagi saya mengimpikan suasana dan kehidupan sebegini yang menjadikan ulama sebagai ikutan dan Al-Quran dan hadith sebagai panduan tidak kira parti mana yang memerintah. Semoga Allah perkenankan impian hamba yang lemah lagi hina ini..

Info Terkini Layari: INI KALILAH
Falsafah politik merentasi bangsa dan agama  
Tarmizi Anuwar
Buah salak, buah kedondong,
Buah berangan dalam baldi,
Bukan nasib tidak beruntung,
Salah kita tak mengenal diri,
Mengayuh perahu mudik ke hulu,
Tanak pulut santan durian,
Jarang orang menyesal dahulu,
Ramai orang menyesal kemudian.
Saya mulakan penulisan dengan menukirkan pantun ini yang diambil daripada sebuah buku bertajuk “Hakikat Insan” oleh Ahmad Laksamana Kota Baru. Buku ini milik Anuwar bin Alabahas (al-Fatihah) iaitu arwah ayah yang saya hormati dan segani keperibadiannya semasa hidupnya.
Penceritaan pantun di atas mengenai manusia yang tidak mengenal diri sendiri merupakan salah diri sendiri. Dek sebabkan manusia itu terleka dengan mewah keduniaan dan terlupa akan kehidupan selepasnya, apabila tiba pada hari pembalasan barulah mereka menyesal dan itulah yang dikatakan jarang orang menyesal dahulu dan ramai orang menyesal kemudian. 
Pepatah Melayu, “Tak kenal maka tak cinta” sinonim dengan pencarian jodoh, tetapi saya ingin gunakan untuk mencari hakikat mengapakah diri kita berada di atas muka bumi ini. Fikirkan, jika manusia tidak mengetahui maqasid (matlamat) hidupnya, bagaimana manusia boleh mentadbir alam dengan tertib, lalu merahmati keseluruhan alam. Dengan erti kata lain jika manusia tidak mengenal dirinya sendiri bagaimana dia mahu memaknai hakikat kehidupan yang dilaluinya selama hampir berpuluh tahun.
Sayyed Hossein Nasr yang merupakan pemikir Islam abad kedua puluh dan dua puluh satu telah menulis sebuah buku yang bertajuk “Man and Nature: The Spiritual Crisis of Modern Man”. Buku ini menceritakan tentang permasalahan pencemaran alam bukanlah disebabkan bahan kimia yang terbebas atau dibebaskan sebagai permasalahan utama tetapi yang menjadi punca utama kepada permasalahan ini adalah akhlak dan ruhani manusia itu sendiri. 
Kebobrokan yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini bukanlah dilakukan oleh haiwan, tumbuhan atau makhluk lain kerana mereka sentiasa memuji keagungan Tuhan. Kehancuran yang kian parah tidak lain tidak bukan adalah perbuatan manusia yang telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir alam. Sifat manusia rata-rata yang inginkan kemanisan dunia, sebenarnya tanpa mereka sedari telahpun mereka racuni alam dengan perlahan-lahan.
Di negara kita hari ini, tidak kira di pelosok mana, sibuk berbicara soal siapakah yang bakal diberikan mandat untuk menerajui kepimpinan negara bagi penggal seterusnya. Pada tanggal 5 Mei 2013 bersamaan 24 Jamadilakhir 1434 Hijrah bakal berlangsung pilihan raya umum ke-13 untuk Malaysia. Pada hari itu, seluruh rakyat yang berkelayakkan akan keluar menunaikan kewajipan untuk memilih siapakah yang telah berjaya menambat hati mereka.
Sekadar perkongsian yang boleh dipanjangkan perdebatannya secara ilmiah, ingin saya membawa dua idea yang boleh dipertimbangkan untuk memilih siapakah pemimpin yang wajar dipilih dalam konteks politik negara semasa. Khususnya penulisan ini saya tulis adalah untuk warga Ampangan, Seremban kerana saya berasal daripada DUN dan Parlimen ini. Secara amnya adalah untuk seluruh rakyat Malaysia kerana penulisan ini bukanlah bersifat setempat tetapi fleksibel dalam konteks politik tanah air.
Pertama adalah siapakah yang wajar dipilih antara calon Pakatan Rakyat dengan calon Barisan Nasional. Kedua pula berkaitan calon Muslim dengan bukan Muslim siapakah yang wajar dijadikan idaman hati dan diterjemahkan di atas kertas undian.
Sama ada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional itu sememangnya hak mutlak individu untuk memilihnya dan saya menghormati hak demokrasi tersebut. Timbul isu siapakah yang wajar dipilih apabila kedua-dua calon tersebut adalah berwibawa. Juga sekiranya calon Barisan Nasional lebih berwibawa daripada calon Pakatan Rakyat. Perbincangan ini timbul seperti di DUN Ampangan dan Parlimen Temerloh. Di Ampangan calon Abu Ubaidah Redza bakal melawan Datuk Kamarul Baharin Abbas dan di Parlimen Temerloh antara Nasrudin Tantawi dengan Datuk Saifuddin Abdullah.
Sebuah filem yang diproduksikan oleh Reginald Rose bertajuk “12 Angry Men” (1957) mempunyai falsafah yang tinggi dan wajar dijadikan pengajaran dalam konteks demokrasi negara hari ini. Berkisahkan tentang dua belas orang juri yang bertanggungjawab membuat keputusan untuk menentukan hidup mati seorang budak lelaki yang dituduh membunuh ayahnya. Dalam kisah tersebut asalnya, sebelas orang juri telah membuat keputusan mengatakan budak lelaki itu bersalah dan hanya seorang sahaja mengatakan tidak tetapi pada akhirnya yang seorang ini tadi mampu mempengaruhi kesebelas-sebelas juri untuk mengatakan budak lelaki itu tidak bersalah berdasarkan bukti dan kaedah mantik yang terperinci.
Inilah kepercayaan dan impian sebilangan rakyat untuk melihat beberapa ahli politik yang masuk ke dalam Barisan Nasional membetulkan parti daripada dalam. Suatu masa dahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh Saifuddin. Buah yang rosak boleh kita buang dan menunggu giliran berbuah seterusnya tetapi sekiranya akar yang sudah rosak sudah pasti buahnya tidak akan cantik sama sekali.
Dipandang dari sudut politik matang di mana satu pihak akan menjadi timbang tara kepada pihak yang satu lagi ianya nampak realistik kerana terdapat juga calon Barisan Nasional yang berwibawa melebihi kredibiliti calon Pakatan Rakyat. Tetapi ingin saya bawakan sistem pilihanraya di negara ini bukanlah siapa yang paling berkaliber daripada mana-mana parti akan dipilih menjadi menteri atau kabinet melainkan parti yang menang majoriti akan memilih calonnya membentuk kabinet sebagai kerajaan.
Di Malaysia juga, tidak seperti di beberapa negara lain yang berkesudian untuk menjemput calon pihak lawan yang berkelayakkan bersama-sama dalam kabinet untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih demokratik. Saya mengharapkan politik seperti ini berlaku di Malaysia tetapi saya percaya perubahan politik seperti ini masih belum mampu dicapai oleh rakyat di Malaysia dalam tempoh yang terdekat. Maka, di sini rakyat harus bijak memilih parti politik yang bisa memberikan pendidikan politik kepada rakyat secara adil supaya tahap pemikiran rakyat mampu dipertingkatkan sama ada di bandar atau luar bandar.
Setelah 55 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, negara ini masih lagi berada di tahap sibuk membincangkan hak ketuanan (kononnya) dan memburukkan bangsa lain. Satu pencapaian yang menyedihkan kerana setelah 55 tahun mencapai kemerdekaan tahap pemikiran rakyat masih lagi membenci bangsa lain yang setiap hari kamu berurusan dengannya. Sewajarnya setelah 55 tahun, pemikiran rakyat harus merentasi isu ketuanan dan sekarang adalah masa untuk mencari bagaimanakah hendak memberikan keadilan, kesaksamaan dalam menaikkan martabat semua bangsa dari konteks pendidikan, ekonomi, nilai dan keagamaan.
Kedua adalah berkaitan calon Muslim dengan bukan Muslim. Hari ini terdapat golongan yang menggunakan bangsa dan agama sebagai modal politik mereka. Sekali lagi itu adalah hak mereka, saya menghormati tetapi tidak saya bersetuju kerana politik adalah sesuatu yang merentasi isu perkauman dan pemikiran keagamaan yang kolot. Kita wajar melihat konteks yang lebih luas bukan hanya pada bangsa dan agama calon itu sahaja. Politik bukanlah hanya memperjuangkan bangsa dan agama tetapi adalah berkaitan membina sebuah negara yang dirahmati sekalian rakyat di dalamnya.
Di Seremban, calon yang bertanding bakal menemukan lima penjuru di mana terdapat daripada Barisan Nasional, Pakatan Rakyat, Berjasa dan Bebas. Seperti telah saya nyatakan di atas senario politik tanah air yang akan membentuk kerajaan adalah parti politik yang memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan. Sewajarnya kita mengambil kira secara kesuluruhan manifesto yang dibentangkan di peringkat nasional bukan hanya bersifat setempat. Ini disebabkan yang akan membawa kepada perubahan adalah parti politik yang memenangi pilihan raya bukan individu atau wakil rakyat yang dipilih.
Saya berasa sungguh terkilan apabila terdapat golongan yang menggunakan fahaman agama secara jumud untuk dijadikan modal pilihanraya, saya mengharapkan keterbukaan yang lebih luas supaya boleh dijadikan dakwah kepada mereka yang bukan penganut beragama Islam. Mengapa golongan ini melihat kuasa politik sebagai hak mutlak Islam dengan cubaan menjatuhkan bangsa atau agama lain dengan hujah agama? Mengapa mereka tidak menggunakan konsep keadilan dan kebajikan yang merentasi sempadan bangsa dan agama untuk modal mereka? 
Saya yakin ini adalah kerana hasil pemikiran yang mencemburui bangsa dan agama lain kerana tidak yakin dengan keupayaan bangsa dan agama sendiri.
Saya mengharapkan penulisan yang lemah ini bisa membuka minda kita dalam usaha untuk memilih pemimpin yang akan membawa perubahan kepada negara Malaysia tercinta ini. Pada awal penulisan ini saya cuba membawa pembaca mengenal siapakah diri kita yang bergelar manusia dan makhluk Tuhan di muka bumi ini. Di mana kebobrokan yang berlaku di sekeliling kita adalah bermula dengan akhlak manusia itu sendiri. Sebagai seorang manusia yang dipertanggungjawabkan untuk memilih pemimpin hendaklah kita memilih dengan sehabis pertimbangan kerana pemilihan ini bukanlah untuk diri sendiri semata-mata melainkan proses pembinaan sebuah negara yang bakal diwariskan kepada anak cucu kita satu hari nanti.
Ingin saya akhiri penulisan ini dengan satu analogi iaitu seorang lelaki membawa sebungkus gula, sebuah gelas dan sudu pergi ke sebuah tasik. Lelaki tersebut mengambil air daripada tasik tersebut diisikan ke dalam cawan yang dibawanya. Lalu, lelaki itu mengambil tiga sudu gula dan dikacau sehingga larut dalam air tadi. Selepas itu, lelaki tadi minum air yang berisi dalam cawan tadi dan dia merasai air itu sangat manis. Kali ini, lelaki itu cuba memasukkan gula yang selebihnya tadi ke dalam tasik di sebelahnya, dikacaunya air tasik tadi sehingga diyakini larut gula itu dan akhirnya dia meminum air tasik itu. Ternyata kali ini air yang diminumnya tidak dirasai apa-apa melainkan tawar.
Fahamlah lelaki itu bahawa sekiranya dia ingin menjadikan seluruh tasik itu manis airnya dia memerlukan jumlah bungkusan gula yang realisitik dengan isipadu air tasik tersebut. Tidak boleh hanya menggunakan sebungkus gula untuk mengubah keseluruhan rasa air tasik itu. Begitu jugalah situasi politik tanah air kita, walaupun majoriti bukanlah sesuatu yang mutlak tetapi idealistik itu perlu diikuti keupayaan untuk diterjemahkan dalam erti kata lain adalah realisitik. Semoga pemilihan yang dilakukan kita pada kali ini tidak kita sesali di kemudian hari kerana kita tidah mahu menjadi manusia yang sudah terhantuk baru tergadah.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Sunday, April 28, 2013


Rezeki

Siti Abdullah

Kekadang kita lupa yang rezeki datang dalam pelbagai bentuk dan Allah jua lah yang berkuasa memberi rezeki tersebut. Alhamdulillah saya telah diberi peringatan tersebut oleh Allah melalui ibu mertua yang sangat saya hormati.

Apabila pulang ke kampung sebelah suami, ibu dan ayah mertua selalu meminta saya menyediakan juadah untuk keluarga. Malahan, ada saja permintaan dari adik-adik ipar untuk saya menyediakan lauk pauk yang mereka ingin makan. Saya berbesar hati menunaikan permintaan mereka sebab saya berasa itulah peluang saya untuk berbakti kepada keluarga mertua lantaran saya jarang-jarang dapat pulang ke kampung suami yang jauh terletak di pantai timur.
Namun, apabila kerap menerima pujian dan permintaan, saya mula berasa diri hebat di arena dapur. Hebat menyediakan juadah yang pelbagai yang menjadi pujian mereka yang menikmatinya.
Astaghfirullahalazim…
Begitu licik syaitan meniupkan rasa bangga dan riak di hati manusia dan menghilangkan rasa ikhlas ingin berbakti kepada keluarga tersayang. Tatkala kita menerima pujian dari mereka yang mungkin ikhlas mahu menunjukkan penghargaan kepada kita, syaitan mula membisikkan kata-kata yang membuatkan kita percaya yang kita lah manusia hebat. Kitalah yang mempunyai kepakaran tersebut sehingga kita lupa yang Allahlah yang telah meminjamkan ilham, ilmu dan kebolehan itu kepada kita.
Tetapi saya sangat bersyukur Allah telah mengingatkan saya bahawa Dialah yang maha berkuasa di atas segala sesuatu. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Pada suatu hari sedang saya memasak di dapur di kampung suami, saya telah disapa oleh ibu mertua yang datang bertanyakan lauk apa yang sedang saya sediakan sambil menanyakan bahan-bahan yang saya gunakan untuk lauk tersebut. Sambil merendah diri, beliau mengatakan yang beliau seorang yang tidak pandai menyediakan lauk-pauk yang sedap-sedap untuk ahli keluarganya.
Dan beliau mengingatkan saya supaya selalu bersyukur sebab Allah telah kurniakan kepada saya kebolehan untuk merasa dan mengagak ramuan-ramuan untuk menjadikan masakan berasa sedap. Dan dia pun terus mengingatkan saya dengan kata-kata yang saya pegang sebagai panduan buat saya dalam banyak perkara, bukan setakat memasak.
Dengan senyuman beliau berkata kepada saya, “Yang menggerakkan kita untuk mengambil berapa banyak garam, gula, asam dan sebagainya adalah Allah. Yang memberikan ilham kepada kita bagaimana untuk mengolah masakan supaya sedap juga adalah Allah. Kalau kita nak masakan kita sedap, minta la pada Allah supaya Allah pandu kita untuk membuat perkara yang betul.”
Dia kemudian menambah, “Makanan yang sedap tu rezeki daripada Allah. Tukang masak cuma perantara yang menyampaikan rezeki tersebut. Kalau memang dah tersurat rezeki kita makan sedap hari tu, maka sedap lah masakan tukang masak. Kalau ditakdirkan kita dapat rezeki makan yang kurang sedap hari tu, maka tak sedap lah masakan tukang masak walaupun dia adalah tukang masak yang sama.
Bila kita terima rezeki kita dengan rasa syukur, kita takkan berasa marah pada tukang masak. Dan tukang masak tak rasa riak dengan masakannya sebab semua adalah ketentuan Allah, bukan ketentuan tukang masak.”
Saya benar-benar rasa seperti ditampat-tampar dengan kata-kata ibu mertua saya. Bukan sebab kasarnya kata-kata beliau tapi sebab benarnya kata-kata tersebut.
Sambil bercakap dengan nada yang sedikit memujuk, barangkali kerana beliau sedar saya agak terkesan dengan kata-katanya, ibu mertua saya berkata, “Alhamdulillah Allah berikan peluang pada ayah, che dan lain-lain untuk dapat rezeki makan sedap melalui air tangan Siti. Siti patut rasa bersyukur dan rasa istimewa sebab diberikan kelebihan itu. Itu pula merupakan rezeki buat Siti. Rezeki untuk memberi orang lain makan sedap.”
Allahuakbar! SubhanAllah! Alhamdulillah!
Kemudian ibu mertua saya berlalu pergi meninggalkan saya untuk menyiapkan masakan saya, seolah-olah dia datang hanya untuk menyampaikan peringatan tersebut. Peringatan yang saya kira adalah peringatan secara langsung dari Allah yang mahu saya betulkan niat dan kembali bergantung kepada Nya dalam segala sesuatu.  Alhamdulillah. Tidak terucap betapa bersyukurnya saya mendapat kasih sayang Allah sebegitu rupa.
Sehingga sekarang saya selalu mengingatkan diri saya, ahli keluarga dan pelajar-pelajar saya untuk sentiasa memohon kepada Allah jika kita mahukan sesuatu dan untuk tidak berasa hebat jika kita mempunyai sesuatu kebolehan.
Sebagai seorang isteri, anak dan ibu, saya selalu berdoa apabila mula memasak.
“Ya Allah, Kau bantulah aku dalam menyediakan masakan yang berkhasiat dan sedap untuk suamiku, ibuku dan anak-anakku. Berilah mereka rezeki yang berkhasiat dan sedap dan jadikanlah kami di kalangan hamba Mu yang bersyukur.”
Sebagai seorang guru pula, pada permulaan semester, saya selalu mengingatkan pelajar-pelajar saya supaya selalu mohon kepada Allah agar Allah ilhamkan saya untuk menyampaikan pelajaran sebaik mungkin dan supaya mereka beroleh rezeki kefahaman. Sekarang, sebelum memulakan kelas, kami akan membaca doa.
Saya akan berdoa supaya saya diberikan rezeki untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada pelajar-pelajar saya dan mereka berdoa supaya mereka diberikan rezeki mendapat ilmu yang bermanfaat daripada saya. Bila doa kami menjurus kepada perkara yang sama, mudah-mudahan Allah memakbulkan doa kami.
Sesungguhnya kita adalah hamba. Hamba yang bergantung kepada Allah semata-mata. Hamba yang tidak mampu untuk berbuat apa-apa sekalipun hatta mengelipkan matanya tanpa bantuan dan izin Allah.
Jika kita selalu mengingatkan diri kita tentang perkara ini, insyaAllah kita akan kurang berasa sakit hati, kecewa, riak, hebat, sombong dan sebagainya sebab kita sedar yang semuanya adalah rezeki yang Allah berikan kepada kita

Pejuang Agama

26 Rabiul Akhir 1434 
Alwani Hamid

Allah Maha Pengasih dan Penyayang apabila menetapkan perjalanan hidup saya berasaskan agama. 

Saya mendapat pendidikan agama secara formal apabila melangkah ke Maahad Muhammadi pada tahun 1987. Sekolah yang sehingga kini harum namanya di bidang pendidikan agama. Di situlah saya dibentuk. 

Asas itulah yang subur dalam diri hingga sekarang. Syukur saya tidak terhingga ditetapkan begitu perjalanan hidup walaupun saya cukup sedar, saya tidak berusaha bersungguh-sungguh mendalaminya dalam fasa kehidupan seterusnya, sekadar cukup apa yang ada. 

Ampunkan saya ya Allah.. 


Kasih sayang Allah itu sentiasa mekar. Dianugerahkan saya dengan 4 orang anak lelaki. Tekad saya dan suami anak-anak ini mesti lebih baik daripada kami. Pendidikan mereka perlu diasaskan kepada kecintaan kepada Tuhan. 

Kami bersedia untuk susah kerana itu. Saya mahu al-quran hidup dalam dada dan kehidupan mereka walau siapa pun dan apa pun kerjaya mereka nanti. 

Semalam 3 orang anak lelaki saya pulang dan berkata: “ustaz kata orang yang menghafal al-quran boleh membawa 10 orang ahli keluarganya ke syurga.” 

Mereka begitu teruja dan setiap seorang hendak membawa saya dan bapa mereka ke syurga..MasyaAllah, saya berkira-kira dengan mereka bahawa seorang sudah memadai membawa saya dan baba mereka..yang lain boleh membawa ahli keluarga yang lain untuk bersama... 

Saya mohon dengan penuh sebak agar Allah mengizinkan mereka menjadi Hufaz dan membawa semua orang-orang yang disayangi ke syurgaNya. Saya fikir ustaz berkata demikian bersandarkan hadith ini:


Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Barangsiapa membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka.” (Hadis Riwayat Tarmizi)


(Nota: Syafaat mutlak datangnya dari Allah SWT)

Saya juga teringat pesan guru al-quran yang diberkati iaitu:

“Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini.” (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

Ya Allah, sayalah ibu yang bercita-cita tinggi itu. Itulah pendidikan yang diinginkan buat anak-anak. Ramai yang sinis mengatakan untuk apa berhabis wang ringgit menghantar anak ke sekolah agama sejak kecil. Ramai antara mereka yang rosak akhlaknya dan kurang pendedahan kerana kurang guru terlatih dan tiada kemudahan mencukupi. 

Cukuplah nanti anak boleh masuk sekolah agama hebat-hebat yang mana saya juga adalah antara seorang daripada hasilnya. Sayu hati mendengarnya, hakikatnya saya mahu nak-anak generasi ini lebih baik daripada saya. Saya fikir begitulah sepatutnya, tak mungkin mereka hanya setaraf ibu dan ayah. 

Saya tidak mempersoalkan ada antara anak-anak ini tidak berjaya sebagaimana yang diharapkan tapi saya mohon Allah melihat usaha saya. Selebihnya saya serahkan kepada yang Maha Mengetahui. Siapalah saya untuk meramal masa hadapan.


Wahai ibu ayah di luar sana, ayuh kita persiapkan anak-anak pejuang agama Allah ini. Biar mereka tahu tujuan hidup dan kehidupan.Usahlah berkira dengan sedikit wang yang dilaburkan untuk itu, saya percaya wang yang dilaburkan untuk urusan kehidupan dunia lebih daripada itu. 

Dalam masa yang sama, marilah kita juga berusaha agar kita jua mampu melangkah ke syurgaNya dan membawa orang-orang yang disayangi bersama...


Ya Allah..ampunkanlah kami dan berkatilah usaha kami...