Wednesday, May 1, 2013


Alkisah seorang murid pandai tapi…

Tuan Ibrahim Tuan Man,30 Apr 2013



Seorang pelajar bernama Mahros sangat disukai oleh para guru di sekolahnya. Keputusannya agak bagus dan budi pekertinya sangat elok.

Mahros membawa perwatakan gadis yang soleh, mendengar kata dan bertimbang rasa.

Di Tingkatan 2, Mahros terus diangkat menjadi Ketua Kelas dan juga pengawas sekolah. 

Sikap Mahros mula berubah selepas diangkat menjadi Ketua Kelas dan pengawas. 

Di waktu rehat, untuk mengelakkan beratur panjang, Mahros menyalahguna kuasanya setiap kali untuk keluar awal dari kelas atas alasan ada urusan pengawas.

Di kelas agama Ustaz Ismail yang Mahros sangat tidak menyukai, Mahros selalu menggunakan alasan ada guru yang memanggilnya untuk perkara lain. Lalu Mahros lari keluar ke kedai koperasi, di mana guru koperasinya Cikgu Bijan selalu memanjakannya.

“Ros tak ada kelas ke? Senang datang bantu cikgu menjaga kedai koperasi waktu ini,” tanya Cikgu Bijan.

“Ustaz Ismail tak datang. Jadi kelas kosong. Saya ketua kelas keluar cari Ustaz Ismail tak dapat. Jadi datang sini,” Mahros menipu Cikgu Bijan.

“Saya ada kelas. Mahros boleh jaga kedai untuk satu waktu (40 minit)?” tanya Cikgu Bijan.

“Boleh. Cikgu pergilah,” kata Mahros.

Di kedai koperasi, Mahros mula mengambil untung sendiri dengan mengenakan harga lebih tinggi pada pelajar. Ada pelajar yang merungut, tapi kerana takutkan Mahros akan membalas dendam dengan selalu mencari masalah dengan mereka seperti pakaian tak sopan, rambut panjang, tudung tak elok dan lambat masuk kelas, mereka lebih rela memdiamkan diri.

Kadangkala bukan untung sahaja yang Mahros ambil, malah dia mula mencuri benda-benda yang boleh dijual di luar.

Cikgu-cikgu lain yang selalu memuji Mahros masih tidak mengetahui bahawa sikap Mahros dah berubah sama sekali.

Mahros kini seorang pelajar yang tamak, mencuri, menipu dan menindas pelajar. Di depan cikgunya, Mahros masih seorang pelajar yang keputusannya cemerlang dan sopan kerana di depan cikgu-cikgunya, Mahros akan berubah watak.

Namun, perubahan Mahros dikesan oleh Ustaz Ismail kerana Mahros paling banyak keluar daripada kelasnya. Namun keputusan pendidikan Islam Mahros masih mendapat A.

“Rosak kalau dibiarkan Mahros begini. Ya, keputusan pendidikan Islamnya masih A, tapi ia serupa membaca Quran tapi tidak mengamalkan segala yang disarankan Allah,” bisik Ustaz Ismail di hati.

Ustaz Ismail memikirkan satu cara untuk mendedahkan wajah sebenar Mahros. Beliau mula merakam alasan-alasan yang diberikan Mahros untuk keluar daripada kelas agamanya.

Satu hari di kelas Ustaz Ismail, Mahros memberikan alasan bahawa dia dipanggil Cikgu Mala dan mohon keluar kelas. Ustaz Ismail merakam apa yang dikatakan Mahros dan membiarkannya keluar kelas. Selepas 5 minit, Ustaz Ismail menelefon Cikgu Mala bertanya apakah benar beliau memanggil Mahros.

“Tak adalah. Mengapa Mahros berkata begitu? Mesti ada sebab. Sebab dia budak baik jarang menipu,” kata Cikgu Mala di telefon.

Ustaz Ismail kemudian menyuruh Cikgu Mala dan cikgu-cikgu lain untuk bersama mencari Mahros, dengan alasan Mahros jarang menipu, takut Mahros menghilang kerana sebab-sebab tertentu.

Akhirnya Ustaz Ismail sengaja membawa Cikgu Mala dan cikgu-cikgu lain ke kedai koperasi melihat Mahros sedang menjual barang-barang di kedai koperasi.

Mahros terkejut dengan kehadiran semua cikgu yang menyayanginya.

“Mengapa kamu di sini? Tadi kamu berkata Cikgu Mala nak jumpa,” tanya Ustaz Ismail.

“Ustaz salah dengar kot. Saya kata ada cikgu panggil. Tak sebut Cikgu Mala pun. Cikgu Bijan yang panggil saya ke sini bantu, jadi saya datanglah. Kelas agama ustaz, jangan bimbang, saya tak masuk pun, saya tetap dapat score A,” cubaan menipu Mahros dengan nada kecil kerana ingin berlakon seperti dia dianiaya.

Ustaz Ismail tidak mahu berkata apa-apa. Beliau menelefon Cikgu Bijan dan suruh beliau datang ke kedai koperasi segera.

Cikgu Bijan pun sampai dan terkejut melihat semua cikgu berada di sini bersama Mahros.

“Apa halnya ustaz?” tanya Cikgu Bijan.

“Mengapa Mahros ada di koperasi? Tuan Bijan ada panggil dia ke?” tanya Ustaz Ismail.

Cikgu Bijan melihat mata Mahros, dan Mahros mengangguk.

“Ya. Saya panggilnya. Ada apa?” kata Cikgu Bijan.

“Dia selalu keluar kelas saya dan Tuan Bijan selalu memanggil dia keluar waktu saya mengajar?” tanya Ustaz Ismail.

Cikgu Bijan mula menggelabah kerana nada Ustaz Ismail agak keras. 

“Ya. Sebab Mahros dah pandai agama. Dia dah selalu score A. Tak pergi kelas ustaz pun tak apa,” Cikgu Bijan cuba mempertahankan Mahros.

Ustaz Ismail masuk ke kedai koperasi mengambil satu lagi alat perakam suara yang dipasangnya tanpa pengetahuan Cikgu Bijan dan Mahros.

Ustaz Ismail memainkan perakam suara yang ada di tangannya di mana jelas menunjukkan Mahros memberitahunya Cikgu Mala memanggilnya.

Perakam suara kedua di kedai koperasi berbunyi:

“Kamu ponteng kelas Ustaz Ismail lagi? Alasan apa yang kamu guna kali ini?” tanya Cikgu Bijan pada Mahros.

“Kali ini saya kata Cikgu Mala panggil,” jawab Mahros sambil ketawa.

Wajah Mahros dan Cikgu Bijan terbongkar akhirnya. Pelajar-pelajar yang membeli di koperasi terus mengadu bahawa mereka dipaksa membeli harga barangan koperasi yang dijual Mahros pada harga yang lebih tinggi.

Ustaz Ismail mengarahkan Cikgu Bijan melakukan satu pemeriksaan stok ringkas – dan mendapati jumlah stoknya kurang daripada sepatutnya, menunjukkan bahawa Mahros telah mencuri.

“Cikgu-cikgu sekalian. Mahros seorang budak baik sebelum ini. Malangnya kepercayaan kita dan kuasa yang kita berikan pada dia telah merosakkan dia. Kita terpaksa bertindak untuk melucutkan jawatannya untuk menyelamatkan dia daripada terus melakukan dosa.

Lagipun, orang yang hilang kuasa lebih mudah bertaubat. Jika kita kekalkan kedudukan Mahros, walaupun dia berjanji akan berubah, ia tidak akan berlaku kerana kuasa yang ada di tangan tidak akan menyebabkan Mahros insaf sepenuhnya,” cadang Ustaz Ismail.

Kalian cikgu-cikgu semua setuju termasuk Cikgu Bijan. Cikgu Bijan turut memohan maaf atas kesilapannya terlalu memanjakan Mahros.

Dapat maksud tersirat cerita ini? 

Untuk menyelamatkan Barisan Nasional, kita perlu menurunkannya daripada tampuk kuasa. Sebenarnya itu cara terbaik untuk kita membantu BN untuk mengurangkan dosa. Hanya setelah hilang kuasa, barulah boleh seseorang betul-betul bertaubat dan insaf.

Bagaimana nak turunkan kuasa BN? Tak perlu bertumbuk dan bersamseng seperti mereka. Kita hanya perlukan sebatang pen. Hari 5 Mei ini, pangkah Bulan, Roket atau Bulan kecil. 

Senyum.

Lepas baca, mohon share kepada kawan-kawan yang memerlukannya.

Jadilah agen perubahan.

INI KALILAH.

No comments:

Post a Comment