Monday, April 29, 2013

Falsafah politik merentasi bangsa dan agama  
Tarmizi Anuwar
Buah salak, buah kedondong,
Buah berangan dalam baldi,
Bukan nasib tidak beruntung,
Salah kita tak mengenal diri,
Mengayuh perahu mudik ke hulu,
Tanak pulut santan durian,
Jarang orang menyesal dahulu,
Ramai orang menyesal kemudian.
Saya mulakan penulisan dengan menukirkan pantun ini yang diambil daripada sebuah buku bertajuk “Hakikat Insan” oleh Ahmad Laksamana Kota Baru. Buku ini milik Anuwar bin Alabahas (al-Fatihah) iaitu arwah ayah yang saya hormati dan segani keperibadiannya semasa hidupnya.
Penceritaan pantun di atas mengenai manusia yang tidak mengenal diri sendiri merupakan salah diri sendiri. Dek sebabkan manusia itu terleka dengan mewah keduniaan dan terlupa akan kehidupan selepasnya, apabila tiba pada hari pembalasan barulah mereka menyesal dan itulah yang dikatakan jarang orang menyesal dahulu dan ramai orang menyesal kemudian. 
Pepatah Melayu, “Tak kenal maka tak cinta” sinonim dengan pencarian jodoh, tetapi saya ingin gunakan untuk mencari hakikat mengapakah diri kita berada di atas muka bumi ini. Fikirkan, jika manusia tidak mengetahui maqasid (matlamat) hidupnya, bagaimana manusia boleh mentadbir alam dengan tertib, lalu merahmati keseluruhan alam. Dengan erti kata lain jika manusia tidak mengenal dirinya sendiri bagaimana dia mahu memaknai hakikat kehidupan yang dilaluinya selama hampir berpuluh tahun.
Sayyed Hossein Nasr yang merupakan pemikir Islam abad kedua puluh dan dua puluh satu telah menulis sebuah buku yang bertajuk “Man and Nature: The Spiritual Crisis of Modern Man”. Buku ini menceritakan tentang permasalahan pencemaran alam bukanlah disebabkan bahan kimia yang terbebas atau dibebaskan sebagai permasalahan utama tetapi yang menjadi punca utama kepada permasalahan ini adalah akhlak dan ruhani manusia itu sendiri. 
Kebobrokan yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini bukanlah dilakukan oleh haiwan, tumbuhan atau makhluk lain kerana mereka sentiasa memuji keagungan Tuhan. Kehancuran yang kian parah tidak lain tidak bukan adalah perbuatan manusia yang telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir alam. Sifat manusia rata-rata yang inginkan kemanisan dunia, sebenarnya tanpa mereka sedari telahpun mereka racuni alam dengan perlahan-lahan.
Di negara kita hari ini, tidak kira di pelosok mana, sibuk berbicara soal siapakah yang bakal diberikan mandat untuk menerajui kepimpinan negara bagi penggal seterusnya. Pada tanggal 5 Mei 2013 bersamaan 24 Jamadilakhir 1434 Hijrah bakal berlangsung pilihan raya umum ke-13 untuk Malaysia. Pada hari itu, seluruh rakyat yang berkelayakkan akan keluar menunaikan kewajipan untuk memilih siapakah yang telah berjaya menambat hati mereka.
Sekadar perkongsian yang boleh dipanjangkan perdebatannya secara ilmiah, ingin saya membawa dua idea yang boleh dipertimbangkan untuk memilih siapakah pemimpin yang wajar dipilih dalam konteks politik negara semasa. Khususnya penulisan ini saya tulis adalah untuk warga Ampangan, Seremban kerana saya berasal daripada DUN dan Parlimen ini. Secara amnya adalah untuk seluruh rakyat Malaysia kerana penulisan ini bukanlah bersifat setempat tetapi fleksibel dalam konteks politik tanah air.
Pertama adalah siapakah yang wajar dipilih antara calon Pakatan Rakyat dengan calon Barisan Nasional. Kedua pula berkaitan calon Muslim dengan bukan Muslim siapakah yang wajar dijadikan idaman hati dan diterjemahkan di atas kertas undian.
Sama ada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional itu sememangnya hak mutlak individu untuk memilihnya dan saya menghormati hak demokrasi tersebut. Timbul isu siapakah yang wajar dipilih apabila kedua-dua calon tersebut adalah berwibawa. Juga sekiranya calon Barisan Nasional lebih berwibawa daripada calon Pakatan Rakyat. Perbincangan ini timbul seperti di DUN Ampangan dan Parlimen Temerloh. Di Ampangan calon Abu Ubaidah Redza bakal melawan Datuk Kamarul Baharin Abbas dan di Parlimen Temerloh antara Nasrudin Tantawi dengan Datuk Saifuddin Abdullah.
Sebuah filem yang diproduksikan oleh Reginald Rose bertajuk “12 Angry Men” (1957) mempunyai falsafah yang tinggi dan wajar dijadikan pengajaran dalam konteks demokrasi negara hari ini. Berkisahkan tentang dua belas orang juri yang bertanggungjawab membuat keputusan untuk menentukan hidup mati seorang budak lelaki yang dituduh membunuh ayahnya. Dalam kisah tersebut asalnya, sebelas orang juri telah membuat keputusan mengatakan budak lelaki itu bersalah dan hanya seorang sahaja mengatakan tidak tetapi pada akhirnya yang seorang ini tadi mampu mempengaruhi kesebelas-sebelas juri untuk mengatakan budak lelaki itu tidak bersalah berdasarkan bukti dan kaedah mantik yang terperinci.
Inilah kepercayaan dan impian sebilangan rakyat untuk melihat beberapa ahli politik yang masuk ke dalam Barisan Nasional membetulkan parti daripada dalam. Suatu masa dahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh Saifuddin. Buah yang rosak boleh kita buang dan menunggu giliran berbuah seterusnya tetapi sekiranya akar yang sudah rosak sudah pasti buahnya tidak akan cantik sama sekali.
Dipandang dari sudut politik matang di mana satu pihak akan menjadi timbang tara kepada pihak yang satu lagi ianya nampak realistik kerana terdapat juga calon Barisan Nasional yang berwibawa melebihi kredibiliti calon Pakatan Rakyat. Tetapi ingin saya bawakan sistem pilihanraya di negara ini bukanlah siapa yang paling berkaliber daripada mana-mana parti akan dipilih menjadi menteri atau kabinet melainkan parti yang menang majoriti akan memilih calonnya membentuk kabinet sebagai kerajaan.
Di Malaysia juga, tidak seperti di beberapa negara lain yang berkesudian untuk menjemput calon pihak lawan yang berkelayakkan bersama-sama dalam kabinet untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih demokratik. Saya mengharapkan politik seperti ini berlaku di Malaysia tetapi saya percaya perubahan politik seperti ini masih belum mampu dicapai oleh rakyat di Malaysia dalam tempoh yang terdekat. Maka, di sini rakyat harus bijak memilih parti politik yang bisa memberikan pendidikan politik kepada rakyat secara adil supaya tahap pemikiran rakyat mampu dipertingkatkan sama ada di bandar atau luar bandar.
Setelah 55 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, negara ini masih lagi berada di tahap sibuk membincangkan hak ketuanan (kononnya) dan memburukkan bangsa lain. Satu pencapaian yang menyedihkan kerana setelah 55 tahun mencapai kemerdekaan tahap pemikiran rakyat masih lagi membenci bangsa lain yang setiap hari kamu berurusan dengannya. Sewajarnya setelah 55 tahun, pemikiran rakyat harus merentasi isu ketuanan dan sekarang adalah masa untuk mencari bagaimanakah hendak memberikan keadilan, kesaksamaan dalam menaikkan martabat semua bangsa dari konteks pendidikan, ekonomi, nilai dan keagamaan.
Kedua adalah berkaitan calon Muslim dengan bukan Muslim. Hari ini terdapat golongan yang menggunakan bangsa dan agama sebagai modal politik mereka. Sekali lagi itu adalah hak mereka, saya menghormati tetapi tidak saya bersetuju kerana politik adalah sesuatu yang merentasi isu perkauman dan pemikiran keagamaan yang kolot. Kita wajar melihat konteks yang lebih luas bukan hanya pada bangsa dan agama calon itu sahaja. Politik bukanlah hanya memperjuangkan bangsa dan agama tetapi adalah berkaitan membina sebuah negara yang dirahmati sekalian rakyat di dalamnya.
Di Seremban, calon yang bertanding bakal menemukan lima penjuru di mana terdapat daripada Barisan Nasional, Pakatan Rakyat, Berjasa dan Bebas. Seperti telah saya nyatakan di atas senario politik tanah air yang akan membentuk kerajaan adalah parti politik yang memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan. Sewajarnya kita mengambil kira secara kesuluruhan manifesto yang dibentangkan di peringkat nasional bukan hanya bersifat setempat. Ini disebabkan yang akan membawa kepada perubahan adalah parti politik yang memenangi pilihan raya bukan individu atau wakil rakyat yang dipilih.
Saya berasa sungguh terkilan apabila terdapat golongan yang menggunakan fahaman agama secara jumud untuk dijadikan modal pilihanraya, saya mengharapkan keterbukaan yang lebih luas supaya boleh dijadikan dakwah kepada mereka yang bukan penganut beragama Islam. Mengapa golongan ini melihat kuasa politik sebagai hak mutlak Islam dengan cubaan menjatuhkan bangsa atau agama lain dengan hujah agama? Mengapa mereka tidak menggunakan konsep keadilan dan kebajikan yang merentasi sempadan bangsa dan agama untuk modal mereka? 
Saya yakin ini adalah kerana hasil pemikiran yang mencemburui bangsa dan agama lain kerana tidak yakin dengan keupayaan bangsa dan agama sendiri.
Saya mengharapkan penulisan yang lemah ini bisa membuka minda kita dalam usaha untuk memilih pemimpin yang akan membawa perubahan kepada negara Malaysia tercinta ini. Pada awal penulisan ini saya cuba membawa pembaca mengenal siapakah diri kita yang bergelar manusia dan makhluk Tuhan di muka bumi ini. Di mana kebobrokan yang berlaku di sekeliling kita adalah bermula dengan akhlak manusia itu sendiri. Sebagai seorang manusia yang dipertanggungjawabkan untuk memilih pemimpin hendaklah kita memilih dengan sehabis pertimbangan kerana pemilihan ini bukanlah untuk diri sendiri semata-mata melainkan proses pembinaan sebuah negara yang bakal diwariskan kepada anak cucu kita satu hari nanti.
Ingin saya akhiri penulisan ini dengan satu analogi iaitu seorang lelaki membawa sebungkus gula, sebuah gelas dan sudu pergi ke sebuah tasik. Lelaki tersebut mengambil air daripada tasik tersebut diisikan ke dalam cawan yang dibawanya. Lalu, lelaki itu mengambil tiga sudu gula dan dikacau sehingga larut dalam air tadi. Selepas itu, lelaki tadi minum air yang berisi dalam cawan tadi dan dia merasai air itu sangat manis. Kali ini, lelaki itu cuba memasukkan gula yang selebihnya tadi ke dalam tasik di sebelahnya, dikacaunya air tasik tadi sehingga diyakini larut gula itu dan akhirnya dia meminum air tasik itu. Ternyata kali ini air yang diminumnya tidak dirasai apa-apa melainkan tawar.
Fahamlah lelaki itu bahawa sekiranya dia ingin menjadikan seluruh tasik itu manis airnya dia memerlukan jumlah bungkusan gula yang realisitik dengan isipadu air tasik tersebut. Tidak boleh hanya menggunakan sebungkus gula untuk mengubah keseluruhan rasa air tasik itu. Begitu jugalah situasi politik tanah air kita, walaupun majoriti bukanlah sesuatu yang mutlak tetapi idealistik itu perlu diikuti keupayaan untuk diterjemahkan dalam erti kata lain adalah realisitik. Semoga pemilihan yang dilakukan kita pada kali ini tidak kita sesali di kemudian hari kerana kita tidah mahu menjadi manusia yang sudah terhantuk baru tergadah.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

No comments:

Post a Comment