Rezeki
Siti Abdullah
Kekadang kita lupa yang rezeki datang dalam pelbagai bentuk dan Allah jua lah yang berkuasa memberi rezeki tersebut. Alhamdulillah saya telah diberi peringatan tersebut oleh Allah melalui ibu mertua yang sangat saya hormati.
Apabila pulang ke kampung sebelah
suami, ibu dan ayah mertua selalu meminta saya menyediakan juadah untuk
keluarga. Malahan, ada saja permintaan dari adik-adik ipar untuk saya
menyediakan lauk pauk yang mereka ingin makan. Saya berbesar hati menunaikan
permintaan mereka sebab saya berasa itulah peluang saya untuk berbakti kepada
keluarga mertua lantaran saya jarang-jarang dapat pulang ke kampung suami yang
jauh terletak di pantai timur.
Namun, apabila kerap menerima pujian
dan permintaan, saya mula berasa diri hebat di arena dapur. Hebat menyediakan
juadah yang pelbagai yang menjadi pujian mereka yang menikmatinya.
Astaghfirullahalazim…
Begitu licik syaitan meniupkan rasa
bangga dan riak di hati manusia dan menghilangkan rasa ikhlas ingin berbakti
kepada keluarga tersayang. Tatkala kita menerima pujian dari mereka yang
mungkin ikhlas mahu menunjukkan penghargaan kepada kita, syaitan mula
membisikkan kata-kata yang membuatkan kita percaya yang kita lah manusia hebat.
Kitalah yang mempunyai kepakaran tersebut sehingga kita lupa yang Allahlah yang
telah meminjamkan ilham, ilmu dan kebolehan itu kepada kita.
Tetapi saya sangat bersyukur Allah
telah mengingatkan saya bahawa Dialah yang maha berkuasa di atas segala
sesuatu. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Pada suatu hari sedang saya memasak
di dapur di kampung suami, saya telah disapa oleh ibu mertua yang datang
bertanyakan lauk apa yang sedang saya sediakan sambil menanyakan bahan-bahan
yang saya gunakan untuk lauk tersebut. Sambil merendah diri, beliau mengatakan
yang beliau seorang yang tidak pandai menyediakan lauk-pauk yang sedap-sedap
untuk ahli keluarganya.
Dan beliau mengingatkan saya supaya
selalu bersyukur sebab Allah telah kurniakan kepada saya kebolehan untuk merasa
dan mengagak ramuan-ramuan untuk menjadikan masakan berasa sedap. Dan dia pun
terus mengingatkan saya dengan kata-kata yang saya pegang sebagai panduan buat
saya dalam banyak perkara, bukan setakat memasak.
Dengan senyuman beliau berkata kepada
saya, “Yang menggerakkan kita untuk mengambil berapa banyak garam, gula, asam
dan sebagainya adalah Allah. Yang memberikan ilham kepada kita bagaimana untuk
mengolah masakan supaya sedap juga adalah Allah. Kalau kita nak masakan kita
sedap, minta la pada Allah supaya Allah pandu kita untuk membuat perkara yang
betul.”
Dia kemudian menambah, “Makanan yang
sedap tu rezeki daripada Allah. Tukang masak cuma perantara yang menyampaikan
rezeki tersebut. Kalau memang dah tersurat rezeki kita makan sedap hari tu,
maka sedap lah masakan tukang masak. Kalau ditakdirkan kita dapat rezeki makan
yang kurang sedap hari tu, maka tak sedap lah masakan tukang masak walaupun dia
adalah tukang masak yang sama.
Bila kita terima rezeki kita dengan
rasa syukur, kita takkan berasa marah pada tukang masak. Dan tukang masak tak
rasa riak dengan masakannya sebab semua adalah ketentuan Allah, bukan ketentuan
tukang masak.”
Saya
benar-benar rasa seperti ditampat-tampar dengan kata-kata ibu mertua saya. Bukan
sebab kasarnya kata-kata beliau tapi sebab benarnya kata-kata tersebut.
Sambil
bercakap dengan nada yang sedikit memujuk, barangkali kerana beliau sedar saya
agak terkesan dengan kata-katanya, ibu mertua saya berkata, “Alhamdulillah
Allah berikan peluang pada ayah, che dan lain-lain untuk dapat rezeki makan
sedap melalui air tangan Siti. Siti patut rasa bersyukur dan rasa istimewa
sebab diberikan kelebihan itu. Itu pula merupakan rezeki buat Siti. Rezeki
untuk memberi orang lain makan sedap.”
Allahuakbar!
SubhanAllah! Alhamdulillah!
Kemudian
ibu mertua saya berlalu pergi meninggalkan saya untuk menyiapkan masakan saya,
seolah-olah dia datang hanya untuk menyampaikan peringatan tersebut. Peringatan
yang saya kira adalah peringatan secara langsung dari Allah yang mahu saya
betulkan niat dan kembali bergantung kepada Nya dalam segala sesuatu. Alhamdulillah.
Tidak terucap betapa bersyukurnya saya mendapat kasih sayang Allah sebegitu
rupa.
Sehingga
sekarang saya selalu mengingatkan diri saya, ahli keluarga dan pelajar-pelajar
saya untuk sentiasa memohon kepada Allah jika kita mahukan sesuatu dan untuk
tidak berasa hebat jika kita mempunyai sesuatu kebolehan.
Sebagai
seorang isteri, anak dan ibu, saya selalu berdoa apabila mula memasak.
“Ya
Allah, Kau bantulah aku dalam menyediakan masakan yang berkhasiat dan sedap
untuk suamiku, ibuku dan anak-anakku. Berilah mereka rezeki yang berkhasiat dan
sedap dan jadikanlah kami di kalangan hamba Mu yang bersyukur.”
Sebagai
seorang guru pula, pada permulaan semester, saya selalu mengingatkan
pelajar-pelajar saya supaya selalu mohon kepada Allah agar Allah ilhamkan saya
untuk menyampaikan pelajaran sebaik mungkin dan supaya mereka beroleh rezeki
kefahaman. Sekarang, sebelum memulakan kelas, kami akan membaca doa.
Saya
akan berdoa supaya saya diberikan rezeki untuk menyampaikan ilmu yang
bermanfaat kepada pelajar-pelajar saya dan mereka berdoa supaya mereka
diberikan rezeki mendapat ilmu yang bermanfaat daripada saya. Bila doa kami
menjurus kepada perkara yang sama, mudah-mudahan Allah memakbulkan doa kami.
Sesungguhnya
kita adalah hamba. Hamba yang bergantung kepada Allah semata-mata. Hamba yang
tidak mampu untuk berbuat apa-apa sekalipun hatta mengelipkan matanya tanpa
bantuan dan izin Allah.
Jika
kita selalu mengingatkan diri kita tentang perkara ini, insyaAllah kita akan
kurang berasa sakit hati, kecewa, riak, hebat, sombong dan sebagainya sebab
kita sedar yang semuanya adalah rezeki yang Allah berikan kepada kita
No comments:
Post a Comment