Kenapa suka ambil harta orang?
Sinar Harian 5 September 2012
Geli hati mendengar cerita seorang rakan yang kecurian akhbar Sinar Harian semalam. Dia letak akhbar itu dalam bakul motosikalnya dan masuk sebuah kompleks
beli-belah. Apabila dia kembali 30 minit kemudian, akhbar itu lesap.
"Hai! Akhbar berharga RM1.20 itu pun ada tangan gatal sanggup kebas.
Tentu ada benda menarik hingga orang sanggup curi," katanya separuh
hairan, separuh kecewa.
Tetapi saya tidak geli hati apabila tiga rakan saya luka jatuh lubang
dalam tiga kejadian baru-baru ini kerana besi penutup dikebas.
Saya mengadu kepada seorang pegawai MBSA kira-kira tiga minggu lalu.
Dia janji akan laporkan kepada yang berkaitan. Pada fahaman saya, ini
bermakna lubang-lubang itu akan ditutup. Tetapi ketika melalui kawasan
itu petang semalam, saya tengok masih melopong lagi. Tak tahulah, apakah
janji belum ditepati, atau lubang-lubang itu sudah ditutup, tetapi besi
penutup dikebas lagi.
Itu di Shah Alam. Saya tidak berani bayangkan berapa puluh ribu lubang
di tepi jalan di seluruh negara yang sedang menanti untuk 'menelan'
mangsa tidak berdosa.
Apakah pihak berkuasa tempatan di semua kawasan di seluruh negara cukup
prihatin dengan keadaan yang membahayakan ini? Apakah pemantauan dibuat
supaya lubang seperti itu sentiasa mempunyai penutup?
Andaian saya sebaik jangkaan anda. Apa pun masalah begini tidak akan berlaku jika tidak ada Kasim Baba.
Masalahnya, dalam dunia ini, ramai sangat manusia yang sakit jiwa, yang suka ambil hak orang lain.
Anda baca laporan Sinar Harian Sabtu lalu mengenai syiling RM36,800
yang bertaburan di jalan apabila van syarikat keselamatan terbabas dan
terbalik akibat tayar pancit di Kilometer 426 Lebuhraya Utara Selatan?
Sementara tiga orang yang cedera berusaha merangkak keluar dari
kenderaan, pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu selamba sahaja
berebut-rebut mengaut duit yang bertaburan itu.
Syiling lama itu kepunyaan sebuah pasar raya dan Projek Lebuhraya Utara
Selatan (Plus). Berapa orang kembalikan wang itu setelah tahu
pemiliknya? Tidakkah mereka sedar duit yang mereka kaut dan bawa pulang untuk anak isteri itu adalah duit haram?
Itu bukan kejadian pertama. Pada 18 Januari 2011, sebuah kenderaan yang
membawa peti besi berisi syiling berjumlah RM75,000 terbabas dan
terbalik selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan dekat susur
keluar ke Pedas, Rembau, Negeri Sembilan.
Seperti yang berlaku Jumaat lalu, pengguna jalan raya mengabaikan
mereka yang cedera dan yang memerlukan bantuan, bahkan mengetepikan
keselamatan diri sendiri semata-mata untuk mengutip duit syiling yang
bertaburan itu.
Teringat pula kes sebuah lori membawa minyak masak terbalik dalam
kemalangan ketika dalam perjalanan dari Alor Setar ke Naka, Padang
Terap, Kedah, pada 9 April lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, walaupun masa itu hujan, orang ramai datang dengan botol, tong, periuk dan kuali. Pelik, tetapi demikianlah yang berlaku, bukan hanya di Malaysia, bahkan
di mana-mana, di negara maju, negara membangun atau negara mundur. Sama
sahaja.
Ingat curian beramai-ramai di kedai-kedai seluruh Amerika Syarikat oleh
orang awam ketika jualan cuti Black Friday tidak lama dahulu?
Tentu kita tidak lupa menonton dan membaca laporan kecurian
barang-barang selepas angin Katrina melanda sepanjang Gulf Coast. Orang
mencuri barang di hadapan rakaman kamera televisyen. Dasar tidak tahu
malu!
Betapa rosaknya kesopanan dan ketamadunan manusia di sesetengah tempat.
Skandal akibat tuntutan haram yang melampau juga berlaku. Di banyak
negara, termasuk di Eropah, ahli politik yang dilantik rakyat untuk
menjadi wakil mereka pun memecah amanah.
Lord Hanningfield, pemimpin pihak berkuasa Essex, England, didapati melakukan enam kesalahan berkaitan perakaunan palsu.
Pemimpin politik berusia 70 tahun ini membuat tuntutan 14,000 paun
untuk tinggal di hotel di London, sedangkan dia berada di tempat lain.
Dia dihukum sembilan bulan penjara. Dia adalah Ahli Parlimen keenam meringkuk di penjara kerana skandal penipuan dalam perbelanjaan.
Di negara kita pun, malangnya, terdapat kegelojohan seperti itu.
Begitulah keadaan sesetengah manusia; sanggup melakukan perbuatan
terlarang dan menghadapi apa sahaja risiko asalkan tercapai cita-cita
palsu di dunia yang materialistik ini.
Betullah kata Maryam Jameelah, penulis lebih 30 buku mengenai budaya dan sejarah Islam, yang memeluk Islam pada 1961:
"Manusia boleh berenang di air seperti ikan, terbang di udara seperti
burung, tetapi (ada yang) tidak boleh hidup di bumi seperti manusia."
Komen Cgsyed.
Begitulah lumrah hidup, bapa borek anaknya rintik, jika ketuanya penyamun, anak buahnya akan jadi perompak. Jika kepala ikan busuk, maka seluruh tubuhnya akan busuk.
Jika pemimpinnya amanah, insyaAllah rakyatnya akan turut amanah. Tamadun Islam mengajar demikian. Sila singkap sejarah zaman para sahabat dan zaman Khalifah Umar Abd Aziz. Mereka amat amanah, maka rakyat pun jadi amanah.
No comments:
Post a Comment