Khalid Samad: Kenyataan 'syaitan-malaikat' zahir kerunsingan
Sinar Harian 4 September 2012
SUASANA dan perkembangan politik dewasa ini sememangnya amat mencabar
sehingga ramai pimpinan Umno/BN sendiri yang menyatakan bahawa PRU-13
ini bakal menjadi PRU yang paling sengit yang pernah dihadapi oleh
Umno/BN. Ini sudah pasti menjadikan pimpinan utama runsing dan tidak
nyenyak tidur. Di antara yang paling gusar sudah pasti bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Syaitan dikenali
Mungkin inilah sebabnya mengapa beliau telah mengeluarkan beberapa
kenyataan yang kurang bijak seperti peribahasa Inggeris yang berbunyi
“The Devil you know is better than the Angel you don’t” atau “Syaitan
yang anda kenali adalah lebih baik dari Malaikat yang anda tidak kenal”.
Walaupun saya faham bahawa penggunaan istilah ‘syaitan dan ‘malaikat’
adalah merupakan kiasan semata-mata, tetapi hakikatnya ianya tetap
merupakan pengakuan bahawa kerajaan Umno/BN, dalam konteks ucapan Dr
Mahathir, adalah kerajaan yang penuh dengan kejahatan dan penyelewengan.
Itulah sebabnya dikiaskan dengan Syaitan walaupun bukan secara literal
merupakan Syaitan. Hanya ‘bagaikan Syaitan!
Pada masa yang sama, kerajaan PR pula dikiaskan dengan ‘malaikat’. Ini
juga merupakan pengakuan oleh Dr Mahathir akan imej dan reputasi baik
yang ada pada PR berbanding dengan Umno/BN. Walaupun PR bukan ‘malaikat’
secara literalnya,iaitu makhluk yang dijadikan ALLAH tanpa nafsu dan
mentaati ALLAH dalam setiap amalannya, namun PR dikiaskan sebagai
Malaikat di atas sebab reputasi dan imej baiknya.
Setelah membuat pengakuan sebegini, maka pengajaran yang ingin
disampaikan ialah bahawa kerajaan BN yang diakui jahat itu dikenali
rakyat. Maka rakyat tahu tahap dan setakat mana ia jahat dan oleh itu
boleh bersedia untuk menghadapi kejahatan tersebut. Sedangkan, PR yang
kelihatan baik, rakyat belum tahu lagi hati budinya yang sebenar!
Setakat ini nampak baik, tetapi rakyat tidak kenal PR dan oleh itu
mengambil risiko besar sekiranya menyerahkan kuasa pemerintahan pusat
pada PR! Inilah mesej yang ingin disampaikan Dr Mahathir.
Hakikatnya, adalah tidak benar bahawa rakyat tidak kenal PR dan parti
politik yang menjadi sebahagian anggotanya. Begitu juga dengan para
pemimpin yang menerajuinya. Parti politik yang menganggotai PR telah
lama bergerak dikalangan rakyat sepertimana juga pemimpin mereka. Rakyat
telah mengenali kami semua lebih-lebih lagi apabila PR diberi peluang
memerintah beberapa negeri untuk tempoh lima tahun bagi Selangor, Kedah
dan Pulau Pinang dan Kelantan selama 22 tahun. Malahan Perak yang
diperintah selama 11 bulan juga telah memberi rakyat peluang untuk
mengenali PR Perak.
Oleh itu rakyat sememangnya boleh membuat pilihan atas dasar tahu dan
kenal. Maka, pengajaran yang hendak disampaikan tidak releven
sama-sekali. Tetapi pengakuan Dr Mahathir bahawa Umno/BN ‘bagaikan
syaitan dan PR ‘bagaikan malaikat’ adalah amat sangat dihargai.
Peribahasa Inggeris ini dari sudut semangatnya adalah teramat sangat
negatif. Walaupun ianya merupakan nasihat supaya jangan terlalu gopoh
menyerahkan amanah kepada orang yang tidak dikenali walaupun dia
kelihatan baik demi menggantikan orang yang dikenali yang mempunyai
kekurangan, namun ianya agak keterlaluan. Sekiranya sesebuah masyarakat
bersikap sebegini, takut kepada perubahan dan ingin terus kekal dengan
‘yang dikenali’ walaupun jelas banyak kekurangan, maka masyarakat
tersebut akan pasti terkongkong dan tidak mampu maju kepada keadaan yang
lebih baik. Usaha untuk mencari yang lebih baik akan tersekat dengan
keinginan untuk mengekalkan yang lama yang dikenali.
Mungkin atas sebab keyakinan inilah Umno/BN menjadi pengamal rasuah
yang tegar! Masa sudah tiba untuk rakyat Malaysia membuktikan bahawa
mereka adalah rakyat yang akan berpuas hati dengan hanya yang terbaik
dan tidak akan sanggup lagi menerima lanun dan yang ‘bagaikan syaitan'
sebagai pemimpin.
PR tidak layak ke Putrajaya
Satu lagi kenyataan kelakar Dr Mahathir ialah PR tidak layak untuk ke
Putrajaya kerana bukan mereka yang membinanya! Aduhai... nampak sangat
ketandusan modal sehingga mengeluarkan hujah Maharaja Lawak sebegini!
Hakikatnya, walaupun Putrajaya dibina oleh kerajaan BN tidak bererti ia
milik BN. Ianya dibina dengan duit rakyat! Maka jika rakyat sudah tidak
mahu serahkan amanah pemerintahan kepada BN dan minta BN keluar untuk
diserah pula kepada PR, maka BN perlu keluar sahajalah!
Kegusaran dan kerunsingan semakin jelas kelihatan dipihak Umno/BN.
Kemungkinan PR memerintah di Putrajya semakin cerah dan ini hanya
menambahkan kegusaran mereka. Lagi banyak Dr Mahathir bercakap, lagi
menguntungkan PR. Terima kasih Dr Mahathir.
Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat
No comments:
Post a Comment