Bahasa adalah medium perhubungan. Kebolehan berbahasa adalah kebolehan yang dikurniakan bagi manusia. Daripada bahasa lahirlah pelbagai karya yang memberikan manfaat kepada manusia secara keseluruhan.

Demikianlah juga penurunan al-Quran, yang melakukan satu pemaknaan semula dengan segala kaedah nahu dan susunan kalimahnya terhadap bahasa Arab itu sendiri. Perkara ini turut disentuh Prof Syed Naquib al-Attas yang mengemukakan pandangan bahawa pendakwah Islam yang datang ke Nusantara juga sudah secara cermat dan teliti memilih bahasa Melayu untuk mengembangkan agama Islam bukan bahasa Jawa kerana bahasa Jawa telah diwarnai dengan konsep dan falsafah Hindu-Buddha yang pekat. Faktor ini boleh menyebabkan kekeliruan terhadap ajaran Islam itu sendiri jika bahasa Jawa digunakan dalam usaha dakwah Islamiah di Nusantara.
 
Justeru, kita mendapati pengaruh Islam yang amat tebal dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu menerima pakai banyak perkataan Arab yang pada masa itu begitu sebati dengan nilai keislamannya. Begitulah nilai dan fungsi bahasa dalam sesebuah peradaban. Ia adalah wahana pembinaan akal dan budi, adab dan kepercayaan serta sistem nilai sesebuah masyarakat.

Namun bagi satu kuasa penjajah sudah tentu penguasaan bahasa sesuatu bangsa adalah bagi tujuan menakluki dan menguasai. Penjajah tahu menerusi bahasa mereka mampu menguasai akal pemikiran dan seterusnya mampu untuk menakluki hati dan jiwa bangsa yang dijajahnya.

Menerusi bahasa juga nilai dan prinsip satu bangsa boleh diubah. Fungsi bahasa yang memainkan peranan dalam memberi makna kepada satu perkataan. Apabila makna berubah, maka nilai juga turut berubah. Sesuatu yang baik boleh menjadi buruk apabila makna berubah, baik dari sudut pengertian lateral mahupun konteks penggunaannya.

Maka pemeliharaan makna perlu diusahakan sebaik mungkin. Ia amat kritikal apabila berkaitan dengan aqidah dan prinsip asas agama. Perkataan seperti iblis, syaitan, Allah dan seumpamanya mempunyai konotasi dengan pemahaman dan nilai yang didukung sesebuah masyarakat.

Usaha audit bahasa yang dilakukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu mendapat dokongan semua pihak. Ia satu usaha pemeliharaan bahasa dari sudut kegunaan, makna dan peraturannya, sekali gus adalah satu perjuangan bagi mempertahankan kemerdekaan negara.
 
Walaupun baru dimulakan, iaitu hanya di sebuah jabatan iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam, ia satu usaha yang mampu memberikan impak besar terhadap perjuangan memartabatkan bangsa dan agenda pengisian kemerdekaan.

Rasa kesal terbit apabila dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksana satu ketika dulu. Bukan saja bahasa Inggeris digunakan dalam P&P tetapi melarat ke mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Daerah (JKKD) turut dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Rakan guru tanpa rasa segan memberikan pandangan dan mengemukakan buah fikiran dalam bahasa Inggeris. Perbuatan ini jelas menunjukkan rasa hilang hormat terhadap bahasa Melayu.

Mungkin perkara ini (PPSMI) sudah berlalu tetapi hati tertanya-tanya adakah kemungkinan mesyuarat rasmi kerajaan juga turut berlaku perkara sama. Jika perkara sama wujud, ia menguatkan lagi keperluan audit bahasa yang diusahakan DBP di jabatan kerajaan. Malah, ia sepatutnya diperluaskan ke institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya IPT awam. Di sinilah terkumpulnya cerdik pandai Melayu yang boleh dijadikan contoh bukan saja dalam kepakaran masing-masing tetapi turut juga menjadi teladan dalam kemahiran berbahasa. Cerdik pandai inilah yang memberikan makna dan seterusnya membina nilai dalam masyarakat.

Jangan disalahertikan usaha sebegini dengan melabelkannya dengan label anti-bahasa Inggeris dan yang lebih teruk lagi antikemajuan. Walaupun sudah panjang perdebatan mengenai kemajuan dan kaitannya dengan bahasa Inggeris (tidak semestinya berbahasa Inggeris itu maju, dan maju tidak semestinya dengan berbahasa Inggeris), masih ada pihak yang sinis dengan langkah audit bahasa seperti ini.

Seharusnya langkah penguasaan bahasa asing tidak terhad kepada bahasa Inggeris saja. Ia sepatutnya diperluaskan lagi dengan niat untuk menguasai ilmu dari segala bahasa yang wujud di dunia ini. Menerusi niat itu kita mampu menjadi bangsa penyumbang dan keluar daripada kelompok bangsa pengguna kerana kemuliaan itu berada pada tangan yang memberi berbanding tangan menerima.

Sekali lagi ditegaskan, bahawa penjajahan bahasa akan menyebabkan penjajahan akal dan jiwa. Pemeliharaan makna yang selari dengan agama, budaya dan nilai hidup adalah usaha pemeliharaan kemerdekaan akal dan jiwa. Ia adalah satu jihad ilmu yang memerlukan sokongan segenap warga. Usah kita mencari cela pelaksana kerana adat di dunia tiada yang sempurna. Hendaknya kita berikhtiar menjayakannya agar kata ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ menjadi nyata.