Sayangi Diri Sebelum Menyayangi Orang Lain
Selagi kita manusia selagi itu kita berbeza. Islam mengiktiraf perbezaan. Perbezaan bukan semestinya satu pertentangan.
Perbezaan adalah rahmat kerana sudut pandang yang berbeza itu memberikan satu perspektif yang lebih holistik.
Setiap individu, kelompok... pasti ada titik butanya masing-masing.
Apa yang dilihatnya jelas, mungkin kabur pada pandangan orang lain.
Manakala ada yang dilihatnya kabur, jelas pula pada pandangan orang
lain.
Dengan menggabungkan pelbagai sudut pandang, ufuk pandangan kita akan
lebih luas. Dan ini mengurangkan sikap prajudis dan ketaksuban.
Manfaatkan persamaan. Uruskan perbezaan. Apapun, adab dan akhlak
dalam berbeza pandangan itu sangat penting dan utama dipertahankan.
Adab itu lebih utama dipertahankan berbanding 'perkara ranting' yang
sedang dipertikaikan. Ramai orang yang bijak, tetapi masih sedikit orang
yang berakhlak. Hanya dengan kebijaksanaan dan kasih sayang kita dapat
mencari kebenaran... Jika tidak yang kita cari cuma kemenangan. Biar
kalah hujah, asalkan 'menang' akhlak. Justeru, selamanya manusia 'dont
care how much you know untill the know how much you care'.
Mudahnya sikap melabel, mempertikaikan akidah, malah hingga ketahap
meragui keislaman orang lain yang berbeza disiplin ilmu dengan kita,
seharusnya dapat dielakkan. Kekadang saya melihat, soal peribadi sudah
mengelabui soal prinsip. Agama di jadikan bukti hujah tetapi kedengkian
bersalut dunia itu jugalah yang menjadi motif utamanya. Bukan menuding
orang lain, tetapi satu muhasabah buat diri sendiri dan mengingatkan
yang lain.
Pandanglah manusia lain dengan pandangan sayang. Semua muslim
bersaudara. Selagi bersaudara kita umpama satu jasad. Melukai hati
mereka samalah melukai diri kita sendiri. Sakitnya mesti terasa kerana
saraf iman kita sama. Iman itu akar, buahnya kasih sayang. Jika mereka
bersalah sekalipun, mereka masih berhak mendapat kasih sayang kita.
Apatah lagi jika sekadar 'ter'salah.
Kesukaran mendidik diri sewajarnya meningkatkan kesabaran kita
mendidik orang lain. Jangan kasar. Jangan marah. Perlembutkan bahasa,
lunakkan sentuhan... kemukakan hujah secara ilmiah dengan bujukan dan
kemesraan. Begitu Rasulullah saw mengajar kita. Yang benar, mesti
diperjuangkan secara yang benar juga. Kesalahan orang lain, jangan
diledakkan di khalayak ramai (termasuk laman sosial di internet) tanpa
bersemuka dengan yang berkenaan terlebih dahulu. Dan sebelum bersemuka,
tanamkan dalam hati... aku berbuat demikian demi kasih sayang dan
cintaku kepada saudara muslim ku.
Siapa yang mencari kebaikan, akan bertemu kebaikan. Orang yang baik
berhak bertemu dengan orang yang baik sepanjang perjalanan hidupnya.
Sekalipun, dia bertemu dengan 'orang yang jahat' namun kebaikan jualah
yang akan dapat dirasai daripada kejahatan itu. Bukan soal siapa yang
kita temui, tetapi siapa kita ketika menemui mereka.
Bertemu dengan orang, seperti bertemu dengan makanan. Ada makanan
yang lazat, berzat dan berkat. Ada makanan yang tidak sedap, jangan
mencelanya. Tinggalkan dengan baik. Maka begitulah dengan kenalan mu.
Jika ternyata, mereka tidak dapat membawa kita menjadi lebih baik...
tinggalkan. Tetapi jangan memutuskan. Jarakkan diri, tetapi jangan
mencelanya. Dia akan bertemu dengan orang yang lebih baik daripada kita
dan kita akan bertemu dengan orang yang lebih baik daripadanya.
Insya-Allah, jika kita berani berbuat demikian, belenggu yang
mengikat hati dan diri kita akan terungkai. Kita akan terbang lebih
tinggi setelah belenggu itu terungkai. Dia pun akan melonjak lebih jauh
tanpa kehadiran kita di sisi. Begitulah, kekadang perpisahan itu lebih
baik daripada pertemuan... asalkan tidak ada permusuhan.
Apapun, sayangilah diri sebelum menyayangi orang lain... kerana itu petanda kesempurnaan iman:
SAYANGI DIRI SEBELUM MENYAYANGI ORANG LAIN
"Ustaz, kerana sayang anak-anaklah saya jadi begini," kelohnya perlahan.
"Puan telah terkorban," balas saya juga perlahan.
"Saya terkorban kerana berkorban."
Saya diam. Perlahan-lahan saya renung keadaannya yang daif. Kakinya
yang membengkak. Badannya yang sembab. Mukanya yang pucat. Penyakit tiga
serangkai telah menyerangnya – darah tinggi, lemah jantung dan kencing
manis. Saya dijemput oleh suaminya untuk memberi sedikit-sebanyak
nasihat bagi menenangkan hatinya.
Saya masih ingat kata-kata suaminya, "Ustaz, tolong buat sesuatu pada
isteri saya. Dia dalam keadaan yang sangat murung. Hampir tidak pernah
senyum. Penyakitnya pun semakin berat. Dia perlukan keyakinan untuk
sembuh. Jika tidak... "
Tanpa banyak bertanya saya terus memberi persetujuan. Sungguhpun kami
berdua hanya kenalan jauh tetapi hajat seorang muslim terhadap
saudaranya menjadikan kami dekat. Dan petang ini, saya meluangkan masa
untuk bercakap-cakap dengan isteri yang berusia lewat 40'an ini.
"Puan, berkorban tidak semestinya terkorban..." pujuk saya perlahan.
"Mengapa ustaz kata begitu?"
"Sekarang, puan mesti memiliki harapan dan keyakinan yang tinggi
untuk sihat," kilas saya menangguhkan jawapan pada pertanyaannya.
"Entahlah... saya seolah-olah putus harapan. Macam manalah anak-anak
yang tinggalkan di rumah sekarang. Sudah dua bulan saya ditahan di rumah
sakit begini..."
Saya benar-benar simpati, malah empati melihatnya. Masih
terngiang-ngiang kata suaminya, "Ustaz, isteri saya sakit sebab terlalu
banyak berkorban untuk anak-anak. Sejak anak-anak masih kecil, siang
malam dia memberi tenaga, fikiran dan perhatiannya untuk membesarkan
anak-anak. Risau dan bimbangnya hanya untuk membesarkan anak-anak. "
"Lalu... kerana itu dia mengabaikan kesihatannya?" tanya saya kepada suaminya.
"Ya. Bukan itu sahaja, dia langsung tidak pernah gembira hanya untuk
menggembirakan anak-anak. Kesihatan, pelajaran, makan-minum, pakaian dan
segalanya tentang anak-anak dijaganya dengan rapi. Tetapi
makan-minumnya sendiri terabai. "
Saya menggeleng-gelengkan kepala. Ini prinsip hidup lilin...membakar diri untuk menerangi orang lain.
"Ustaz, apakah ada salah saya, hingga takdirnya saya menerima nasib
begini?" tanya ibu itu menyentap kembali perhatian saya kepadanya.
"Salah puan memang ada..." jawab saya.
"Salah saya?" dia tersentak. Riak mukanya semacam tidak percaya.
"Puan seharusnya menyayangi diri dahulu sebelum menyayangi orang lain," jawab saya pendek.
"Bukan orang lain ustaz, anak-anak saya sendiri!"
"Sekalipun kepada anak sendiri."
"Itu mementingkan diri namanya!"
"Tidak! Menyayangi diri sendiri untuk menyayangi orang lain bukan
mementingkan diri. Malah itulah sewajarnya kita lakukan," pintas saya.
Nampaknya, saya telah 'berjaya' membuat dia melenting, marah dan memberi
respons. Itu bagus. Sekurang-kurangnya dia telah keluar daripada zon
kemurungan dan sindrom membisu yang dialaminya sekian lama.
"Mengapa demikian?"
"Hanya orang yang ada kasih sayang sahaja mampu memberi kasih sayang.
Logiknya, hanya orang yang ada wang, mampu memberi wang," terang saya.
Sekarang dia pula terdiam. Termenung agak lama. Saya biarkan sahaja dia dengan fikiran dan perasaannya.
"Puan, sebenarnya hanya orang yang sihat sahaja dapat menjaga
kesihatan orang lain. Sekarang, cuba lihat... apabila puan sakit, siapa
yang hendak menjaga anak-anak puan di rumah? Padahal kalau puan sihat,
puan boleh menjaga mereka sekarang."
"Saya tak faham ustaz, apa yang sedang berlaku sekarang. Tolonglah jelaskan," rayu wanita itu.
"Baiklah, mari kita fahami dahulu apa yang telah berlaku. Kemudian
kita cuba fahami apa yang sedang berlaku. Dan akhirnya, rancang apa yang
perlu kita lakukan nanti."
Mendengar kata-kata saya dia mula mengubah posisi badannya. Daripada
berbaring kepada mengangkat badannya lantas bersandar di birai katil.
Alhamdulillah, itu petanda positif. Mengubah posisi fizikal adalah
proses merubah emosi dan minda. Bukankah untuk meredakan kemarahan kita
dinasihatkan agar menukar posisi badan?
"Apa yang telah berlaku dahulu adalah satu kesilapan. Puan seharusnya
menjaga kesihatan badan, fikiran, perasaan dan jiwa semasa mengasuh,
mendidik dan menjaga anak-anak."
"Maksudnya ustaz?"
"Jaga diri puan dahulu sebelum menjaga anak-anak. Maksudnya, puan
perlu menjaga kesihatan jiwa dan badan puan. Itu bukan pentingkan diri.
Tujuan kita sihat ialah agar mampu menjaga kesihatan orang lain.
Sayangnya, puan telah tersilap, puan terlalu menjaga anak-anak sehingga
mengabaikan kesihatan sendiri. Akibatnya, puan jatuh sakit... dan
sekarang anak-anak terabai! "
Saya teringat kata-kata seorang pakar pendidikan, "Sebenarnya orang
yang mengabaikan kesihatan diri adalah orang yang paling mementingkan
diri sendiri." Ketika ditanya mengapa, beliau berkata,"Sebab apabila dia
sakit, orang lain yang terpaksa menjaga dirinya. Sebaliknya, orang yang
menjaga kesihatan diri... akan sihat. Apabila dia sihat, dia mampu
menjaga orang lain yang sakit!"
"Betul juga kata ustaz, sekarang, anak-anak saya terabai dan saya sendiri pun sakit. Rugi-rugi..."
"Yang sudah, sudahlah. Kata bijak pandai, sebaik sahaja mengambil
pelajaran daripada kesilapan semalam, ayuh kita lupakan. Fokus kepada
hari ini. Sekarang mari kita memahami realiti terkini... Apa yang sedang
berlaku sekarang?"
"Saya sedang sakit..."jawab ibu itu.
"Tidak, puan sedang dirawat untuk sihat!"
"Maksud ustaz?"
"Puan mesti bersangka baik dengan Allah dan bersangka baik dengan
diri sendiri. Katakan pada diri, aku layak untuk sihat kembali.
InsyaAllah, Allah akan berikan kesembuhan itu."
Dia diam. Mukanya tunduk. Saya menambah kata,"Puan mesti sihat kerana
puan memang sayangkan diri puan. Puan mesti sayangkan diri puan untuk
menyayangi anak-anak puan. Itulah niat dan semangat yang perlu ada dalam
diri puan sekarang. Inilah langkah terbaik untuk memulakan hari ini
bagi menghapuskan kesalahan semalam."
"Ustaz, saya akan sembuh?"
"Yakinlah pada bantuan Allah. Penyakit lahiriah ini akan mudah
ditangani jika hati dan jiwa kita terlebih dahulu diubati. Tanamkan
keyakinan, harapan dan sangka baik kepada Allah. Ujian sakit ini
sebenarnya untuk tujuan itulah... bagi mengingatkan kita agar kembali
kepada Allah. Kembali merintih, berharap dan mengadu kepadaNya."
"Ustaz, tolong doakan agar saya nampak hubungan antara kasih sayang terhadap diri, manusia dan Alllah..."
"Puan, saya pun senasib dengan puan. Masih mencari-cari hakikat kasih
sayang Allah. Namun, setakat ini apa yang saya tahu, kita tidak mampu
menyayangi manusia lain selagi kita belum menyayangi diri sendiri. Dan
kita tidak akan mampu menyayangi diri sendiri sebelum menyayangi Allah!"
No comments:
Post a Comment