Friday, April 26, 2013


Tuah anak istimewa
SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
SH 26 April 2013

SETIAP ibu bapa mahukan anak-anak yang sempurna dan sihat. Namun siapalah kita sebagai hambaNya untuk menidakkan setiap ujian ALLAH SWT, dikurniakan anak kurang upaya.

Tetapi, jika itu sudah takdirNya kita sebagai ibu bapa harus menerima dengan reda kerana setiap kelahiran anak itu ada rezekinya masing-masing.

Ini diperlihatkan pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Petaling Perdana pada 21 Mac lalu, yang mana terdapat anak-anak istimewa menjadi pesertanya. Terpaku mata penulis apabila melihat anak-anak istimewa itu mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran walaupun mata tidak mampu melihat.

Lebih cerdik berbanding anak normal

Kadangkala anak istimewa ini mempunyai akal yang cerdik berbanding anak normal yang lain, mereka mampu menghafal al-Quran, menulis khat dengan baik, menyampaikan cerita dengan baik dan bertilawah dengan bacaan yang betul tajwidnya.

Penolong Kanan Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Subang, Eshah Abdullah berkata, murid-murid di sekolah ini dilatih dalam bidang yang mereka gemar sejak usia tujuh tahun lagi.

“Guru-guru pendidikan khas akan mengenal pasti anak-anak ini cenderung dalam bidang mana, sama ada hafalan, khat, bercerita atau tulisan khat. Kebolehan mereka akan sentiasa diasah dan diulang kaji sebab mereka cepat lupa.

“Di sini kami mempunyai murid-murid downsindrom, autisme, hyperactive, sawan, pekak dan banyak lagi. Kebanyakan kecacatan yang mereka hadapi sedari kecil lagi,” katanya.

Menurutnya, pertandingan tilawah al-Quran ini diadakan untuk mencungkil bakat mereka kerana daridapat mengenal pasti akan kebolehan anak istimewa ini. Ada di antara mereka bakatnya lebih cemerlang berbanding murid normal.

Rutin harian murid istimewa ini sama dengan murid normal lain. Cuma mereka perlu diajar dengan latih tubi secara berulang kali. Segelintir murid-murid istimewa ini pernah menggondol anugerah untuk sekolah ini sehingga ada yang bertanding ke peringkat kebangsaan.

Kami juga mampu cemerlang

Bagi  pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, Muhammad Faqih Muhammad Najmuddin, 18, antara peserta hafalan berkongsi cerita dia selesa menelaah pelajaran dan menghafaz al-Quran menjelang awal pagi.

“Biasanya saya bangun sekitar jam 4 atau 5 pagi untuk menghafaz al-Quran kerana pada waktu itu fikiran terasa amat segar dan senang untuk mengingati surah-surah yang saya hafal. Setakat ini saya berjaya menghafal lebih 10 surah. Saya akan membaca berulang kali secara bersendirian dan di hadapan ustaz.

“Sebelum ini saya bersekolah di Sekolah Tahfiz wal Qiraat di Pasir Mas, Kelantan, selepas itu bapa saya menukarkan saya ke sekolah pendidikan Khas. Saya tertanya-tanya kenapa ditukarkan sekolah, tetapi akhirnya saya faham. Pastinya kedua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk saya,” katanya yang meminati hobi memasak sejak kecil lagi.

Peserta yang mengalunkan azan, Muhammad Amin Nazreen Zailani, 14, berkata, dia belajar mengazankan menggunakan laman sesawang You Tube dan berlatih melalui kaedah itu.

“Walaupun di sekolah ustaz ada ajar tetapi saya sedar keupayaan dan saya mencuba kaedah guna video.

“Anak istimewa seperti saya memerlukan banyak latihan, saya tidak boleh harapkan latihan di sekolah semata-mata, nanti cepat lupa,” kata pelajar Sek Kebangsaan Taman Bukit Subang ini.

Muhammad Amin Nazreen adalah remaja yang hyperactive, sangat meminati sukan bola sepak dan bermain badminton. Chelsea adalah pasukan bola sepak yang paling diminatinya.

Bagi Syazwani  Bisol, 11, dia berjaya menghafal juzuk amma hasil didikan ustazah di sekolah, dia suka akan lukisan dan meminati subjek matematik dan menggunakan kaedah menjadikan surah yang dihafal sebagai bacaan dalam solat.

ALLAH tidak bersikap membeza-bezakan

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya,”. (Surah at-Tin: 4)

Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Ustaz Mohd Shahrizal Nasir berkata, setiap ibu bapa mesti menghargai nikmat ALLAH SWT, anggaplah anak itu sebagai rahmat dari ALLAH SWT untuk kita. Sempurna atau sebaliknya mereka perlu ditatang kerana anak itu dari ALLAH SWT.

“Ibu bapa itu perlu tahu kerana kelahiran anak istimewa pasti diselangi membawa kebaikan walaupun di peringkat permulaan terasa sedikit kesukaran dan cabaran. Masyarakat amnya dan ibu bapa khasnya perlu berfikiran positif dalam menangani situasi ini.

“Usah mudah melatah,  ingatlah ALLAH SWT tidak pernah bersikap membeza-bezakan dalam pemberian rahmat semuanya sama. Ibu bapa yang mempunyai anak normal walaupun kelihatan senang menjaga tetapi ada juga bahagian yang perlu dititik beratkan. Pada saya anak yang normal ini lagi banyak cabarannya,” katanya  kepada Rehal baru-baru ini.

Ustaz Mohd Shahrizal menjelaskan, ibu bapa harus memandang kelahiran anak istimewa dari aspek positif, kepayahan yang mendatang di saat membesarkan mereka akan terbalas jua di akhirat nanti dengan nikmat yang kita sendiri tidak mampu gambarkan.

Ibu bapa perlu bertindak bijak

Ustaz Mohd Shahrizal berkata, Islam memandang kelahiran anak istimewa dalam konteks yang luas. Islam menyarankan supaya anak istimewa ini mendapat sedikit kelebihan berbanding anak normal yang lain.

“Anak normal mampu berdikari dan berdiri di kaki sendiri, berbeza dengan anak istimewa. Makan, pakai dan tahap pendidikan mereka berlainan dengan yang lain. Mereka sangat sensitif namun usah jadikan kekurangan mereka sebagai tiket untuk kita memandang rendah kepada kebolehan yang ALLAH SWT anugerahkan pada mereka.

“Secara jujurnya, saya gembira dengan penerimaan masyarakat kita terhadap anak-anak istimewa ini. Pusat pendidikan khas tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Kerajaan semakin peka akan kewujudan anak istimewa dan mewujudkan banyaknya infrastruktur untuk mereka,” tambah beliau lagi.

Ibu bapa mesti bijak, mereka sewajarnya perlu mempunyai ilmu dalam menangani anak-anak istimewa dan  mereka yang mempunyai anak istimewa sebenarnya dipilih ALLAH SWT untuk berdepan ujian dan pastinya ganjaran yang besar di hari pembalasan nanti.

Thursday, April 25, 2013

Ubah, ubah & ubah lagi
Dr Mohd Asri Zainul Abidin




Saya suka dengan perkataan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz kepada ‘setiausaha politiknya' Rajak bin Haiwah. 

Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz: "Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. 

"Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, alu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya." (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).


Manusia yang normal sentiasa berkehendak kepada perubahan. Berubah kepada yang lebih baik. Sekalipun kadang-kala dalam proses perubahan manusia terpaksa mengalami kesusahan. 

Persis seperti orang yang berpindah rumah dari yang kecil kepada yang lebih besar, selesa dan baik. Dalam proses pemindahan mungkin ada banyak kesusahan di peringkat awal.

Mungkin terpaksa berjimat terlebih dahulu sebelum mampu membeli rumah baru yang besar. Terpaksa mengangkat barang-barang yang berat. Mungkin juga ada barang kesayangan yang terjatuh dan rosak. 

Terpaksa tinggalkan jiran-jiran lama yang disayangi. Terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan pelbagai lagi.


Namun jika dia tidak pindah, taraf hidupnya tidak berkembang. Anak-anak akan susah hidup dalam rumah yang sempit. Di tempat baru, dia menikmati kemudahan hidup yang lebih selesa dan persekitaran yang lebih nyaman.

Esok lebih baik

Manusia yang normal sentiasa cuba memastikan hari esok lebih baik dari hari ini. Mengubah persekitaran hidup ke arah yang lebih baik adalah tabiat manusia bertamadun. Hanya yang kita tidak ubah ialah prinsip-prinsip kebenaran yang merentasi masa dan tempat. 

Pun begitu, cara melaksanakan prinsip-prinsip kebenaran itu juga kadang-kadang berubah. Cara menegakkan keadilan dalam masyarakat berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. 

Pendekatan mencegah kezaliman juga berubah mengikut keadaan masa dan tempat. Namun tanggungjawab menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman itu kekal sehingga kiamat.


Manusia yang enggan berubah dan takut hendak berubah kerana satu risiko yang tidak pasti asas ialah manusia yang dungu. 

Seseorang yang takut hendak belajar ke peringkat tinggi kerana bimbang dianggap sombong adalah orang membodohkan dirinya. 

Lebih bodoh lagi, jika seseorang yang sanggup hidup dalam keadaan berpenyakit dan bimbang sembuh kerana takut jika terlalu sihat nanti dia akan makan nasi lebih banyak lalu kos hidup akan jadi lebih tinggi. 

Dia lupa bahawa kos ubat yang dia ambil setiap hari melebihi kos nasi yang mungkin dia tambah jika dia sihat. Demikian dalam politik.


Pindah pada politik lebih matang

Air yang bertakung akan rosak. Air yang mengalir lebih baik untuk digunakan. Air yang mengalir juga lebih indah bau dan bunyi iramanya. Air yang bertakung kadang-kala ada kegerunan pada bunyi senyapnya itu. 

Kuasa politik juga demikian. Jika ia terlalu berada dalam genggaman seseorang, banyak keburukannya. Ketamakan, salah guna, keegoan, kesombongan dan sebagainya akan berlaku.

Jika hal itu mula kelihatan pada seseorang atau sesuatu pentadbiran maka hendaklah kuasa itu dialirkan ke pihak lain agar dapat mengelakkan keadaan yang seperti itu. Di situ datangnya peranan pilihan raya dalam sistem demokrasi. 

Dalam konteks Malaysia, perkara ini terpakai untuk negeri-negeri yang dikuasai oleh BN ataupun Pakatan Rakyat. Kata syair ‘Arab yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafii:

"Seorang yang berakal dan beradab tidak akan kekal berehat di satu tempat. Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah. 

"Bermusafirlah, nescaya engkau dapati ganti orang yang engkau tinggalkan. Berletihanlah, kerana kelazatan hidup pada keletihan (untuk mendapat kebaikan). Aku melihat terhentinya air itu merosakkannya. Jika ia mengalir maka baik, jika ia tidak mengalir tidak baik."


Hijrah dalam Islam mempunyai perlambangan yang tersendiri. Ia adalah perlambangan betapa perlunya kita berpindah kepada yang lebih baik. Negara kita tidak boleh berpolitik dengan tahap lama lagi. 

Kita perlukan politik masa depan yang lebih matang dan berkualiti. Kita tidak wajar membandingkan kehidupan kita dengan zaman Jepun makan ubi kayu. Mengapa kita tidak bandingkan kualiti integriti kepimpinan kita dengan negara Jepun? 

Media tidak wajar memperbodohkan akal rakyat dengan menemubual pakcik-pakcik kampung yang bercakap tentang zaman Jepun. Pemimpin sepatutnya berusaha mendidik rakyat maju ke hadapan, bukan melihat ke belakang. 

Ibn Hamdun dalam al-Tazkirah al-Hamduniyyah memetik kata-kata Plato: "Jangan kamu paksa anak-anak kamu dengan cara kamu kerana mereka diciptakan bukan untuk zaman kamu."


Dalam kerangka politik, saya tidak menaruh penuh kepercayaan kepada BN ataupun Pakatan. Saya tidak beriman kepada parti-parti itu bahawa mereka akan memenuhi segala maksud kebaikan untuk sebuah negara yang bernama Malaysia ini. 

Saya rasa tabiat politik antara keduanya masih banyak yang sama. Walaupun masing-masing ada kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Mungkin ada beberapa tokoh dalam parti-parti itu yang berkualiti tinggi, namun kedua gabungan politik itu masih banyak yang terikat dengan ‘order lama' politik. 

Lihat sahaja cara Dr Haron Din dan Karpal Singh membincangkan tentang isu hudud di waktu sepatutnya fokus rakyat kepada perkara-perkara yang lebih praktikal untuk masa ini.

Lihat pula bagaimana BN mengendalikan media massa semasa pilihan raya ini. Namun, saya percaya satu perkara; perubahan, pengaliran kuasa, penggiliran, menghadkan tempoh kekuasaan, memberi peluang kepada tawaran-tawaran baru untuk rakyat adalah satu cara untuk mematangkan politik dan membawanya ke arah yang lebih baik.


Saya percaya tukar, tukar dan tukar lagi sehingga kita dapat yang terbaik dapat membawa negara ke arah yang lebih matang dan baik.

Kita hendaklah bersedia untuk menukar BN kepada Pakatan, ataupun Pakatan kepada BN ataupun membuang keduanya sekali pada masa depan dan memunculkan politik baru sehingga kita menemui yang terbaik. 

Apabila yang terbaik itu mula ‘merepek', kita akan tukar lagi. Kita tidak pentingkan nama parti, tetapi kualiti perkhidmatan yang mampu diberikan! Kita sanggup menukar jika perlu tanpa mengira BN ataupun Pakatan. Ubah, ubah dan ubah lagi sehingga yang baik diperoleh.



PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Tuesday, April 23, 2013

PRU3: Masa untuk beramal, bukan meramal

Syahir Sulaiman 23 Apr 2013



Maka, panjanglah bicara setiap kita untuk meyakinkan keabsahan ramalan, sedangkan kerja dan tugasan masih banyak yang tertangguh untuk dilaksanakan.



Masih terpahat amanat untuk memperteguh amal, sebagaimana yang disampaikan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kepada petugas pilihanraya PAS di Himpunan Hijau Ke Putrajaya yang berlangsung di Kedah pada Jun 2012 yang lepas, tiada pula disuruh kita meramal:



“SELURUH ahli PAS perlu menjadikan gerakerja dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 sebagai sebahagian daripada jihad dan ibadah, dengan membetulkan niat melaksanakan tugas dengan penuh istiqamah dan iltizam, semata-mata mencapai keredaan Allah;

Persiapkanlah diri dengan kesabaran yang tinggi berdepan pertembungan paling sengit ini, dengan memperkukuhkan jentera parti daripada peringkat pusat sehingga cawangan dan peti undi. Elakkanlah khilaf (yang tidak perlu) dan mengutamakan semangat syura dalam membuat keputusan di setiap peringkat;

Sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat diberi kepercayaan memimpin Malaysia, semua rakyat akan dilayan sama adil sebagaimana tuntutan Islam, dan seperti yang dipelajari dari Sirah Rasulullah s.a.w. tidak akan wujud gejala membalas dendam;

Marilah kita, ahli dan penyokong PAS, terus mempereratkan hubungan dengan Allah SWT dengan bermunajat dan bertawakkal kepada-Nya bagi memenuhi ciri-ciri golongan yang mendapat pertolongan Allah SWT;

Saya menyeru ahli PAS mendekati para pegawai kerajaan termasuk ahli-ahli pasukan keselamatan seperti anggota tentera, polis dan Rela. Petugas PAS juga perlu mempertingkatkan akhlak walaupun ketika menghadapi provokasi melampau pihak lawan, agar mereka juga dapat beralih bersama-sama menyokong perjuangan.”



Saranan ini turut diperkukuh oleh Ketua Pemuda, Ustaz Nasrudin Hassan agar jentera Pemuda melaksanakan elemen SMART dalam fasa sebegini kritikal:



“Jentera Pemuda PAS di semua peringkat WAJIB menumpukan semua aktiviti lajnah dan jabatan dalam tempoh kritikal ini untuk memenangi PRU13 dengan melaksanakan Program Berimpak Tinggi yang dapat melonjakkan undi gologan muda dan pengundi baru kepada PAS & Pakatan Rakyat. 

Program berimpak tinggi yang saya maksudkan adalah program-program yang memenuhi kehendak kumpulan sasar dan menepati objektif parti, dengan apa yang disimpulkan sebagai S.M.A.R.T, iaitu:

SENTUH - merancakkan program Sentuh Pengundi melalui aktiviti citra anak muda seumpama kegiatan sukan dan rekreasi (futsal, badminton, permotoran, kayuhan basikal, fotografi, kembara), makanan (BBQ santai, sembang teh tarik) dan kebajikan (ziarah kemanusiaan, bantuan bencana);

MAKLUM - melipatgandakan peranan penerangan & maklumat segar kepada kumpulan sasar, samada secara media tradisi (kuliah agama, wayang pacak, ceramah kelompok, ceramah umum) mahupun dengan memaksimakan saluran media baru;

AGENDA - penjelasan setiap satu daripada agenda Anak Muda Berkebajikan dan Manifesto Pakatan Rakyat kepada masyarakat awam;

RIBAT - semua jentera pilihanraya Pemuda di Unit Pengundi Muda (JPRU, JPRD, JPRK, JPRN, JPRP) perlu mantap, bersatu, erat dan tangkas bergerak mengikut perancangan serta strategi yang telah disusun, khususnya aktiviti daftar & semak, jejak & khidmat, serta atur & jemput; dan

TAWAKKAL - mengeratkan Ukhuwwah sesama kita, sentiasa bertemu dalam sesi usrah dan ziarah, terus memperkukuhkan Hablun Minallah (hubungan dengan Allah) sebagai senjata yang akan menguatkan semangat berjuang, tidak mundur, dan memohon pertolongan dari Allah SWT serta bertawakkal kepada-Nya.”


Justeru, janganlah sibuk meramal kalah atau menang, janganlah juga sibuk meramal habuan dan jawatan selepas dikurniakan menang. Semoga Allah membantu kemenangan, yang terbit daripada amal dan keikhlasan. Percayalah, jika PRU13 kita sibuk meramal, pada PRU14 kita pula yang akan diramal.

*Penulis adalah Pengarah Kajian Polisi, Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Monday, April 22, 2013



Dengarkanlah rintihan dan keluhan 
hati ibu dan ayah kita yang kita kasihi. 
Syurga Terletak di Bawah Telapak Kaki Ibu. Redha Ibu dan Ayah, maka redhalah Allah. 
Hormatilah dan kasihilah ibu dan ayah kita.

MAAFKAN AKU WAHAI ISTERI !.................

Oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Maafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu! Sesungguhnya ketika ini hati ku tidak menentu. Resah dan gelisah. Puas ku cari puncanya, rupanya segala-galanya kerana tidak memaafkan mu. Tidak memaafkan itu sesungguhnya satu dosa. Dosa itu pasti meresahkan.

Benarlah seperti apa yang pernah ditegaskan oleh  Rasulullah SAW:  “Dan dari Wabishah bin Ma’bad RA, ia berkata : “Aku telah datang kepada Rasulullah SAW, lalu beliau bersabda : ‘Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?’ Aku menjawab : ‘Benar’.
Baginda bersabda : ‘Mintalah fatwa dari hati mu. Kebajikan itu adalah apa-apa yang menenteramkan jiwa dan menenangkan hati dan dosa itu adalah apa-apa yang meragukan jiwa dan meresahkan hati, walaupun orang-orang memberikan fatwa kepada mu dan mereka membenarkannya”. (HR. Ahmad)
Ketahuilah aduhai isteri, sebaik sahaja surat ini di sisi, kau telah ku maafkan. Maafkan aku kerana tidak memaafkan mu. Sesungguhnya, aku acap kali dikuasai ego, sehingga terasa aku lebih ‘besar’, lebih penting dan lebih berkuasa…  sehingga dengan itu aku  tidak mampu memaafkan. Sedangkan aku hakikatnya hanyalah seorang hamba… yang kerdil, lemah dan berdosa. Siapalah diri ku sehingga tidak mampu memaafkan, sedangkan Allah, Tuhan yang Maha Besar itu pun sentiasa memaafkan.
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda, ”Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu berdoa kepada Ku dan mengharapkan- Ku maka Aku akan mengampuni mu atas semua dosa yang kamu lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andai kata dosa-dosa mu itu sampai ke puncak langit kemudian kamu meminta ampunan kepada Ku nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepada Ku dengan dosa yang besarnya seisi bumi seluruhnya, kemudian datang menemui Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain nescaya Aku akan datang kepada mu dengan ampunan yang besarnya seisi bumi seluruhnya.”
Sungguh, setelah aku teliti dengan hati-hati segala kesalahan mu isteri… semuanya berpunca daripada kesalahan ku jua. Aku yang masih gagal mendidik mu. Aku yang masih kurang sabar dalam menghadapi kerenah mu. Aku yang masih tidak lunak dalam bertindak dan berkata. Hingga dengan itu, kesalahan mu cuba ku tangani dengan satu kesalahan juga. Malah ada kala dengan satu kesalahan yang lebih besar lagi.

Sepatutnya, aku tidak terkesan dengan wajah mu yang mencuka dan layanan mu yang selamba. Tapi entah kenapa, pada hari itu aku menjadi sangat perasa. Mungkin kerana ujian dan cabaran yang begitu berat ketika pulang dari bermusafir. Keletihan, cabaran dan masalah ada kalanya menggugat juga ketenangan kita. Lalu aku rasakan segala-galanya itu hanya aku yang mengalami tanpa ku sedari kau juga sedang diuji. Apa kurangnya ujian dalam rumah dibandingkan ujian di luar rumah. Mungkin tidak dari segi fizikal, namun mental dan emosi mu tentu sahaja teruji.
Belum, belum… aku belum mampu menjadi suami seperti Sayidina Umar RA, yang mampu menghadapi kerenah isteri dengan senyuman. Yang mampu berdiam diri menghadapi leteran isteri. Bukan kerana takut isteri. Bukankah Sayidina Umar adalah insan penuh keberanian sehingga digeruni oleh para syaitan? Namun, begitulah tarbiah Umar kepada isterinya. Leteran dihadapi dengan kesamaran. Api kemarahan akan padam apabila disiram dengan salju kemaafan. Akan kurenungi kembali nasihat Sayidina Umar kepada seorang suami yang sering menghadapi kerenah isterinya dengan meluahkan suara hatinya sendiri ketika berdepan dengan situasi yang sama: “Hai saudara ku, aku terima keadaan itu kerana jasa-jasa isteri ku pada ku; dia seorang tukang masak makanan ku dan pencuci pakaian ku, dan yang menyusu anak ku, padahal semua itu bukan kewajipannya. Selain dari itu, dia dapat menahan hati ku dari perbuatan haram. Maka kerana semua itulah aku terima saja kecerewetannya.”

Ya, itulah peribadi Sayidina Umar yang sesungguhnya telah dididik oleh Rasulullah SAW. Pernah suatu masa Sayidina Umar masuk menemui  Nabi Muhammad yang ketika itu Nabi sedang berbaring.  Nabi telah menyendiri di biliknya dan sebelum itu telah tersebar khabar angin bahawa baginda telah menceraikan isteri-isterinya. Sayidina Umar : Ya Rasulullah, adakah kamu telah ceraikan isteri-isteri kamu?
Sayidina Nabi mengangkat kepalanya dan berkata : Tidak
Sayidina Umar : “Allahu akbar Allahu akbar. Tuan boleh lihat sendiri betapa wanita-wanita kita tidak sesekali berani mengungkit dan membalas apa kita cakap. Sekarang mereka mula telah terkesan dengan perempuan kaum ansar yang suka mengungkit dan membalas cakap suami mereka.”
Suatu hari saya marah isteri saya dan dia berkata : “Apa yang peliknya jika saya mengungkit dan membalas cakap awak sedangkan isteri-isteri Nabi pun melakukannya terhadap Nabi.
Sayidina Umar : Agak malanglah sesiapa di kalangan mereka itu yang melakukan sedemikian. Adakah kamu boleh tenang dengan kemurkaan Allah kerana membuat kemarahan Baginda. Habislah kalau begitu.
Nabi Muhammad tersenyum mendengar kata-kata sayidina Umar.
Sayidina Umar : “Ya Rasulullah, suatu ketika saya jumpa Hafsah dan berkata kepadanya : Janganlah kamu terpedaya dengan perasaan kamu apabila melihat mereka lebih comel dan disukai oleh Nabi.”
Nabi tersenyum sekali lagi. Sayidina Umar : “Adakah Tuan sudah merasa lega dan terhibur?”
Nabi berkata : “Ya.”
Semakin ku renung semakin terasa bersalah. Sungguh aku telah bersalah ketika ku tolak rayuan mu untuk dimaafkan tempoh hari.  Aku terlupa akan firman Allah ini: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepada mu) dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” Al- Fushshilat : 34
Teringat aku ‘mauizah’ yang pernah ku terima dalam usrah suatu ketika dulu:“Jika tidak ada orang yang melakukan kesalahan kepada kita, mana mungkin kita mendapat pahala sabar? Jika tidak ada orang yang bersalah dengan kita, kita akan rugi… kerana tidak berpeluang mendapat pahala memaafkan. Sedangkan sabar dan memaafkan itu sangat besar pahala serta nilainya di sisi Allah.”
Begitu pesan para murabbi yang telah sama-sama kita dengar berulang kali. Ya, aku suami yang pelupa. Lupa akan pahala sabar. Alpa akan kelebihan memaafkan. Sedangkan telah lama Allah mengingatkan melalui firmanNya:”Orang yang sabar akan mendapat pahala tanpa hisab.” Allah jua telah mengingatkan:”. “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (QS. Az-Zumar: 10)
Sebagai suami aku seharusnya berjiwa murabbi. Seorang murabbi seharus nya lebih banyak memuji daripada mengeji, memujuk daripada mengutuk, mengajak berbanding membentak, melapangkan daripada menyusahkan… sayangnya, aku tidak sebegitu. Kekadang aku terlalu cepat menghukum. Sedangkan telah berkali-kali diperingatkan oleh orang yang bijaksana, “sesiapa yang cepat menghukum tidak akan sempat memberi kasih sayang!”
Lalu, di akhir lembaran ini sekali lagi… ku ulangi ayat pertama dalam surat ini, “maafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu!”
Air boleh 'mendengar'

Haji Lokman Abd Hamid

Soalan

ASSALAMUALAIKUM. Boleh Tuan Haji terangkan mengapa perubatan Islam menggunakan air penawar atau air jampi? Boleh terangkan bagaimana dengan membaca ayat Al-Quran ke atas air dapat mengubati penyakit.

Saya kurang faham bagaimana air penawar boleh menyembuhkan penyakit.
* Cik Marissa, Kuala Terengganu

Jawapan

Air merupakan salah satu rahmat Allah kepada manusia. Kepentingan air sama seperti oksigen. Air adalah elemen penting demi kelangsungan hidup manusia, jika manusia tidak minum air selama seminggu, manusia boleh mengalami kegagalan serius organ dalaman dan menyebabkan kematian.
Di dalam Al-Quran, terdapat banyak ayat menceritakan kepentingan air untuk manusia dan segala kehidupan di muka bumi.

Allah berfirman dalam surah Al-Anbiya ayat 30: "Dan Kami ciptakan dari air segala sesuatu yang hidup."

Air membentuk 55 hingga 57 peratus berat badan kita dan memainkan peranan penting dalam hampir setiap fungsi utama tubuh. Pengambilan air dalam jumlah mencukupi amat penting untuk tubuh menjalankan fungsi dengan sempurna.

Air mustahak untuk melarutkan sisa metabolisma seperti asid urik dan urea yang diangkut oleh darah ke ginjal. Oleh kerana itu, air mencukupi diperlukan untuk mengeluarkan bahan buangan daripada tubuh. Kekurangannya 'memaksa', ginjal bekerja lebih keras untuk menapis bahan toksik dan lama-kelamaan boleh menyebabkan ginjal rosak.

Lebih 70 peratus daripada tubuh manusia terdiri daripada air. Jika air di dalam tubuh bersih dan suci, sel tubuh lebih sihat dan kuat.

Pengambilan air bersih dan mencukupi boleh merangsang sistem pertahanan badan, metabolisme sel dan mengurangkan risiko sel badan menjadi tidak normal dan tidak sihat. Rahsia keindahan kristal molekul air Dr. Masaru Emoto dari Universiti Yokohama, Jepun mendedikasi hidupnya mengkaji perubahan bentuk kristal molekul air yang didedahkan kepada pengaruh positif dan negatif.

Beliau mendapati, apabila air didedahkan kepada kata-kata, tulisan dan pesanan positif, air membentuk molekul kristal indah.

Dalam satu eksperimen, air yang didedahkan kepada doa agama Shinto dibekukan, didapati mempunyai molekul bentuk kristal bersegi enam yang indah.

Eksperimen diulang dengan perkataan Arigato (terima kasih dalam bahasa Jepun) dibacakan di depan botol air. Hasilnya, terbentuk kristal molekul sangat indah. Keputusan sama berlaku apabila air dihadapkan tulisan huruf Jepun, "Arigato".

Dr. Masaru turut mendedahkan air kepada bacaan doa mengikut agama Islam. Hasilnya? kristal molekul air membentuk kristal indah segi enam lima cabang daun berkilau indah.  Beliau menggunakan air zam-zam dan mendapati ia terdiri daripada kristal molekul air bercabang dan berkilauan. Itulah kuasa Allah.

Eksperimen turut mendedahkan pengaruh negatif kepada air. Apabila air didedahkan kepada perkataan syaitan dan muzik heavy metal, didapati kristal molekul air tidak mempunyai bentuk dan kelihatan hancur dan buruk.

Ternyata, air boleh 'mendengar, membaca dan memahami' kata dan doa. Dalam perubatan Islam, penggunaan air penawar dalam rawatan adalah satu aspek penting untuk diamalkan pesakit.

Di Pusat Rawatan Islam al-Hidayah, air penawar biasanya dibacakan Surah al-Fatihah atau ayat suci al-Quran yang berkaitan dengan penyakit dialami pesakit.

Selepas pesakit membaca ayat al-Quran, mereka dikehendaki membaca doa memohon kepada Allah untuk penyembuhan dan doa ini turut dibacakan ke air penawar.

Teori Dr. Masaru Emoto mengenai perubahan kristal molekul air boleh menerangkan kemujaraban air penawar yang didedahkan kepada bacaan ayat suci al-Quran. Pembacaan ayat suci al-Quran ke atas air penawar menyebabkan kristal molekul air penawar berubah kepada bentuk kristal indah dan memberi kesan positif kepada peminumnya.

Rahsia air zam-zam Rahsia kehebatan air zam-zam terserlah apabila rahsia Kaabah disingkap. Di bawah empat penjuru (empat segi) bentuk Kaabah terkandung rahsia air bersifat alkali.

Air zam-zam, merakam segala niat jemaah secara gema gelombang, penyerahan harus diniatkan dengan baik seperti memohon keampunan, murah rezeki, penyembuhan penyakit, keinsafan dan sebagainya.

Setelah seseorang itu melakukan tawaf tujuh kali pusingan, di situ berlaku resonan (pusingan dengan geseran sesama manusia) memberikan kesan positif terhadap tubuh badan setiap Muslim yang melakukan ibadah tawaf. Jemaah akan terasa begitu hening, tenang dan lapang.

Segala doa dari para ribuan jemaah setiap hari yang mengelilingi Kaabah semasa melakukan ibadah tawaf dilakukan hampir 24 jam tanpa henti kecuali waktu solat fardu dan segala ibadah lain seperti solat dan membaca kitab Al Quran dirakamkan oleh molekul air zam-zam.

Ini membentuk keindahan dan pesona kristal molekul air zam-zam bila kita bandingkan dengan kristal molekul air lain. Air penawar dalam perubatan Islam Pusat Rawatan Islam Al Hidayah menggunakan air sebagai satu elemen penting dalam perubatan Islam.

Allah menceritakan perihal penggunaan ayat sebagai ubat penawar manusia. Firman Allah dalam Surah al-Israa' ayat 82: "Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadaNya".

Dan dalam Surah Fussilat ayat 44: "Katakan, Al-Quran itu adalah petunjuk & penawar bagi orang yang beriman".

Pusat Rawatan Islam al-Hidayah menggunakan ayat suci al-Quran bagi mengubati penyakit rohani, jasmani dan akhlak. Ayat al-Quran dijadikan penyembuh dan dilengkapi amalan doa agar dapat mengubati penyakit dialami pesakit.

Menyedari pelbagai jenis penyakit dihidapi manusia kadangkala pelik dan sukar disembuhkan, Pusat Rawatan Islam al-Hidayah membekalkan pesakit dengan rangkaian ayat al-Quran untuk diamalkan.

Kami menggalakkan setiap pesakit meminum air penawar yang diberi setelah membaca rangkaian ayat suci al-Quran yang bertindak sebagai agen penyembuhan.

Sebelum minum, pesakit perlu membaca surah al-Fatihah dan selawat kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w. sebanyak tiga kali, diikuti doa memohon kesembuhan.  Sebaik-baik air penawar yang kami guna adalah air zam-zam. Kita semua ketahui bahawa 70 peratus tubuh manusia terdiri daripada air termasuk setiap sel dalam tubuh.

Apabila pesakit membaca ayat al-Quran untuk penyembuhan, kuasa mukjizat ayat al-Quran akan mengubah setiap molekul dalam badan pesakit termasuk setiap sel.  Apabila air di dalam sel bertukar struktur molekul dengan pembacaan ayat al-Quran, dengan sendiri sel menjadi lebih sihat dan meningkatkan sistem ketahanan tubuh.

Bila sistem ketahanan tubuh pesakit meningkat, ia membolehkan tubuh pesakit menentang segala kuman atau virus yang menjadi punca penyakit.  Konsep ini juga digunakan untuk melawan sel abnormal yang menjadi punca penyakit seperti kanser dan sebagainya.

Percayalah apabila air dibacakan ayat al-Quran, ia menjadi sesuatu berbeza dan insyaAllah sebagai ubat. Kehebatan al-Quran terbukti sejak sekian lama.

Terdapat hikmah, nur, penawar terlalu banyak dan hebat di dalam al-Quran. Terdapat banyak rahsia penawar di dalam al-Quran yang belum digali dan diteroka.

Bahkan setiap huruf di dalam al-Quran ada penawar dan kelebihannya
http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130421/kn_04/Air-boleh-mendengar#ixzz2R9ru1gbj  

Sunday, April 21, 2013


Putrajaya kawasan berprestij, Husam lah yang secucuk sebagai wakilnya


Pertembungan diantara Husam Musa dan Tengku Adnan di kawasan Parlimen Putrajaya dalam PRU ini amat menarik bagi diri saya untuk membuahkan sedikit komen. Awal-awal bicara saya ini, saya terus terang berkata kalaulah benar-benar pengundi di Putrajaya mahukan seorang wakil yang betul-betul mempunyai ‘attribute’ sebagai seorang wakil yang betul, maka Husam lah orangnya. Jika kita mahukan seorang yang ‘colorful’ dengan berbagai-bagai isu, maka Tengku Adnan lah yang betul.
Husam seorang Naib Presiden PAS dan tidak mempunyai apa-apa warna yang menjadikan beliau seorang yang boleh dipersoalkan. Berbeza dengan T Adnan, Husam tidak mempunyai isu yang membabitkan perjudian atau isu salah laku korporat yang menjejaskan imej sebagai seorang ahli Dewan Legislatif bagi kawasan yang berprestij seperti Putrajaya itu.

Jika kita benar-benar memilih mengikut markah keperibadian, Husam sememangnya jauh lebih bersesuaian untuk mewakili rakyat Putrajaya. Segala-gala yang ada  pada Husam itu semuanya ‘natural’ dan tidak ditempelkan dengan imej-imej palsu seperti yang ada kepada Tengku Adnan.

Hanya satu yang lebihnya T Adnan dari Husam, iaitu T Adnan banyak wang ringgitnya. Tengku Adnan mempunyai banyak bisness yang besar-besar dan semua bisness beliau itu adalah dari kedudukan beliau dalam UMNO selama ini sehinggalah jawatan beliau sebagai Setiausaha Agong UMNO. 


Tengku Adnan berbuat bisness dengan taikonya Vincent Tan. Tengku Adnan lebih takut kepada Vincent Tan dari pimpinan tertinggi UMNO itu sendiri. Kita boleh campurkan satu dengan satu atau dua dengan dua, kita tahu kenapa Vincent Tan begitu berpengaruh dalam kerajaan dan UMNO itu sendiri. 

Justeru jika rakyat Putrajaya mahukan wakilnya seorang yang seperti T Adnan ini maka Tengku Adnan lah patut dipilih. Tetapi di sebaliknya jika kita mahukan seorang wakil Legislatif yang berwibawa dengan keperibadian yang segar secucuk dengan imej Putrajaya sebagai kawasan induk negara ini, maka Husam Musa lah orang yang paling tepat dan sesuai untuk mewakili pengundi di Putrajaya. Dari segi kemaknusiaannya Husam adalah seorang yang secara relatifnya jauh lebih lengkap dari lawannya itu.

Saya yang merupakan pengundi di Kuala Pilah tidak dapat memberikan undi kepada Husam. Jika undi boleh dikirim seperti kita mengirim undi dalam rancangan Akademi Fantasia, saya akan menghantar undi kepada Husam Musa sebanyak yang mungkin kerana sokongan terhadap Husam tidak boleh di abaikan jika kita mahukan perubahan.

Husam perlu diberikan sokongan samada dengan kerja tubuh seperti berkempen dan merayu undi atau usaha yang lebih mulia iaitu untuk bermohon terus kehadrat Allah SWT. Pengundi-pengundi Putrajaya wajar menjolok rahmat dari Allah SWT agar Putrajaya mendapat seorang wakil yang berprestij imejnya dan jernih wajahnya.

Saya berdoa agar Husam sentiasa berada di dalam keredhaan Tuhan Maha Esa.