Friday, April 26, 2013


Tuah anak istimewa
SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
SH 26 April 2013

SETIAP ibu bapa mahukan anak-anak yang sempurna dan sihat. Namun siapalah kita sebagai hambaNya untuk menidakkan setiap ujian ALLAH SWT, dikurniakan anak kurang upaya.

Tetapi, jika itu sudah takdirNya kita sebagai ibu bapa harus menerima dengan reda kerana setiap kelahiran anak itu ada rezekinya masing-masing.

Ini diperlihatkan pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Petaling Perdana pada 21 Mac lalu, yang mana terdapat anak-anak istimewa menjadi pesertanya. Terpaku mata penulis apabila melihat anak-anak istimewa itu mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran walaupun mata tidak mampu melihat.

Lebih cerdik berbanding anak normal

Kadangkala anak istimewa ini mempunyai akal yang cerdik berbanding anak normal yang lain, mereka mampu menghafal al-Quran, menulis khat dengan baik, menyampaikan cerita dengan baik dan bertilawah dengan bacaan yang betul tajwidnya.

Penolong Kanan Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Subang, Eshah Abdullah berkata, murid-murid di sekolah ini dilatih dalam bidang yang mereka gemar sejak usia tujuh tahun lagi.

“Guru-guru pendidikan khas akan mengenal pasti anak-anak ini cenderung dalam bidang mana, sama ada hafalan, khat, bercerita atau tulisan khat. Kebolehan mereka akan sentiasa diasah dan diulang kaji sebab mereka cepat lupa.

“Di sini kami mempunyai murid-murid downsindrom, autisme, hyperactive, sawan, pekak dan banyak lagi. Kebanyakan kecacatan yang mereka hadapi sedari kecil lagi,” katanya.

Menurutnya, pertandingan tilawah al-Quran ini diadakan untuk mencungkil bakat mereka kerana daridapat mengenal pasti akan kebolehan anak istimewa ini. Ada di antara mereka bakatnya lebih cemerlang berbanding murid normal.

Rutin harian murid istimewa ini sama dengan murid normal lain. Cuma mereka perlu diajar dengan latih tubi secara berulang kali. Segelintir murid-murid istimewa ini pernah menggondol anugerah untuk sekolah ini sehingga ada yang bertanding ke peringkat kebangsaan.

Kami juga mampu cemerlang

Bagi  pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, Muhammad Faqih Muhammad Najmuddin, 18, antara peserta hafalan berkongsi cerita dia selesa menelaah pelajaran dan menghafaz al-Quran menjelang awal pagi.

“Biasanya saya bangun sekitar jam 4 atau 5 pagi untuk menghafaz al-Quran kerana pada waktu itu fikiran terasa amat segar dan senang untuk mengingati surah-surah yang saya hafal. Setakat ini saya berjaya menghafal lebih 10 surah. Saya akan membaca berulang kali secara bersendirian dan di hadapan ustaz.

“Sebelum ini saya bersekolah di Sekolah Tahfiz wal Qiraat di Pasir Mas, Kelantan, selepas itu bapa saya menukarkan saya ke sekolah pendidikan Khas. Saya tertanya-tanya kenapa ditukarkan sekolah, tetapi akhirnya saya faham. Pastinya kedua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk saya,” katanya yang meminati hobi memasak sejak kecil lagi.

Peserta yang mengalunkan azan, Muhammad Amin Nazreen Zailani, 14, berkata, dia belajar mengazankan menggunakan laman sesawang You Tube dan berlatih melalui kaedah itu.

“Walaupun di sekolah ustaz ada ajar tetapi saya sedar keupayaan dan saya mencuba kaedah guna video.

“Anak istimewa seperti saya memerlukan banyak latihan, saya tidak boleh harapkan latihan di sekolah semata-mata, nanti cepat lupa,” kata pelajar Sek Kebangsaan Taman Bukit Subang ini.

Muhammad Amin Nazreen adalah remaja yang hyperactive, sangat meminati sukan bola sepak dan bermain badminton. Chelsea adalah pasukan bola sepak yang paling diminatinya.

Bagi Syazwani  Bisol, 11, dia berjaya menghafal juzuk amma hasil didikan ustazah di sekolah, dia suka akan lukisan dan meminati subjek matematik dan menggunakan kaedah menjadikan surah yang dihafal sebagai bacaan dalam solat.

ALLAH tidak bersikap membeza-bezakan

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya,”. (Surah at-Tin: 4)

Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Ustaz Mohd Shahrizal Nasir berkata, setiap ibu bapa mesti menghargai nikmat ALLAH SWT, anggaplah anak itu sebagai rahmat dari ALLAH SWT untuk kita. Sempurna atau sebaliknya mereka perlu ditatang kerana anak itu dari ALLAH SWT.

“Ibu bapa itu perlu tahu kerana kelahiran anak istimewa pasti diselangi membawa kebaikan walaupun di peringkat permulaan terasa sedikit kesukaran dan cabaran. Masyarakat amnya dan ibu bapa khasnya perlu berfikiran positif dalam menangani situasi ini.

“Usah mudah melatah,  ingatlah ALLAH SWT tidak pernah bersikap membeza-bezakan dalam pemberian rahmat semuanya sama. Ibu bapa yang mempunyai anak normal walaupun kelihatan senang menjaga tetapi ada juga bahagian yang perlu dititik beratkan. Pada saya anak yang normal ini lagi banyak cabarannya,” katanya  kepada Rehal baru-baru ini.

Ustaz Mohd Shahrizal menjelaskan, ibu bapa harus memandang kelahiran anak istimewa dari aspek positif, kepayahan yang mendatang di saat membesarkan mereka akan terbalas jua di akhirat nanti dengan nikmat yang kita sendiri tidak mampu gambarkan.

Ibu bapa perlu bertindak bijak

Ustaz Mohd Shahrizal berkata, Islam memandang kelahiran anak istimewa dalam konteks yang luas. Islam menyarankan supaya anak istimewa ini mendapat sedikit kelebihan berbanding anak normal yang lain.

“Anak normal mampu berdikari dan berdiri di kaki sendiri, berbeza dengan anak istimewa. Makan, pakai dan tahap pendidikan mereka berlainan dengan yang lain. Mereka sangat sensitif namun usah jadikan kekurangan mereka sebagai tiket untuk kita memandang rendah kepada kebolehan yang ALLAH SWT anugerahkan pada mereka.

“Secara jujurnya, saya gembira dengan penerimaan masyarakat kita terhadap anak-anak istimewa ini. Pusat pendidikan khas tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Kerajaan semakin peka akan kewujudan anak istimewa dan mewujudkan banyaknya infrastruktur untuk mereka,” tambah beliau lagi.

Ibu bapa mesti bijak, mereka sewajarnya perlu mempunyai ilmu dalam menangani anak-anak istimewa dan  mereka yang mempunyai anak istimewa sebenarnya dipilih ALLAH SWT untuk berdepan ujian dan pastinya ganjaran yang besar di hari pembalasan nanti.

No comments:

Post a Comment