Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Saya suka dengan perkataan
‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz kepada ‘setiausaha politiknya' Rajak bin Haiwah.
Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz: "Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa
yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan
sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah
binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya.
"Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya.
Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, alu aku mencapainya. Sekarang
jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya." (lihat:
Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah,
93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).
Manusia
yang normal sentiasa berkehendak kepada perubahan. Berubah kepada yang lebih
baik. Sekalipun kadang-kala dalam proses perubahan manusia terpaksa mengalami
kesusahan.
Persis seperti orang yang berpindah rumah dari yang kecil kepada yang lebih
besar, selesa dan baik. Dalam proses pemindahan mungkin ada banyak kesusahan di
peringkat awal.
Mungkin terpaksa berjimat terlebih dahulu sebelum mampu membeli rumah baru yang
besar. Terpaksa mengangkat barang-barang yang berat. Mungkin juga ada barang
kesayangan yang terjatuh dan rosak.
Terpaksa tinggalkan jiran-jiran lama yang disayangi. Terpaksa menyesuaikan diri
dengan persekitaran baru dan pelbagai lagi.
Namun jika dia tidak pindah, taraf hidupnya tidak berkembang. Anak-anak akan
susah hidup dalam rumah yang sempit. Di tempat baru, dia menikmati kemudahan
hidup yang lebih selesa dan persekitaran yang lebih nyaman.
Esok lebih baik
Manusia
yang normal sentiasa cuba memastikan hari esok lebih baik dari hari ini. Mengubah
persekitaran hidup ke arah yang lebih baik adalah tabiat manusia bertamadun. Hanya
yang kita tidak ubah ialah prinsip-prinsip kebenaran yang merentasi masa dan
tempat.
Pun begitu, cara melaksanakan prinsip-prinsip kebenaran itu juga kadang-kadang
berubah. Cara menegakkan keadilan dalam masyarakat berubah dari satu keadaan
kepada keadaan yang lain.
Pendekatan mencegah kezaliman juga berubah mengikut keadaan masa dan tempat. Namun
tanggungjawab menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman itu kekal sehingga
kiamat.
Manusia
yang enggan berubah dan takut hendak berubah kerana satu risiko yang tidak
pasti asas ialah manusia yang dungu.
Seseorang yang takut hendak belajar ke peringkat tinggi kerana bimbang dianggap
sombong adalah orang membodohkan dirinya.
Lebih bodoh lagi, jika seseorang yang sanggup hidup dalam keadaan berpenyakit
dan bimbang sembuh kerana takut jika terlalu sihat nanti dia akan makan nasi
lebih banyak lalu kos hidup akan jadi lebih tinggi.
Dia lupa bahawa kos ubat yang dia ambil setiap hari melebihi kos nasi yang
mungkin dia tambah jika dia sihat. Demikian dalam politik.
Pindah pada politik lebih matang
Air yang bertakung akan rosak. Air yang mengalir lebih baik untuk digunakan.
Air yang mengalir juga lebih indah bau dan bunyi iramanya. Air yang bertakung
kadang-kala ada kegerunan pada bunyi senyapnya itu.
Kuasa politik juga demikian. Jika ia terlalu berada dalam genggaman seseorang,
banyak keburukannya. Ketamakan, salah guna, keegoan, kesombongan dan sebagainya
akan berlaku.
Jika hal itu mula kelihatan pada seseorang atau sesuatu pentadbiran maka
hendaklah kuasa itu dialirkan ke pihak lain agar dapat mengelakkan keadaan yang
seperti itu. Di situ datangnya peranan pilihan raya dalam sistem demokrasi.
Dalam konteks Malaysia, perkara ini terpakai untuk negeri-negeri yang dikuasai
oleh BN ataupun Pakatan Rakyat. Kata syair ‘Arab yang disandarkan kepada al-Imam
al-Syafii:
"Seorang yang berakal dan beradab tidak akan kekal berehat di satu tempat.
Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah.
"Bermusafirlah, nescaya engkau dapati ganti orang yang engkau tinggalkan. Berletihanlah,
kerana kelazatan hidup pada keletihan (untuk mendapat kebaikan). Aku melihat
terhentinya air itu merosakkannya. Jika ia mengalir maka baik, jika ia tidak
mengalir tidak baik."
Hijrah
dalam Islam mempunyai perlambangan yang tersendiri. Ia adalah perlambangan
betapa perlunya kita berpindah kepada yang lebih baik. Negara kita tidak boleh
berpolitik dengan tahap lama lagi.
Kita perlukan politik masa depan yang lebih matang dan berkualiti. Kita tidak
wajar membandingkan kehidupan kita dengan zaman Jepun makan ubi kayu. Mengapa
kita tidak bandingkan kualiti integriti kepimpinan kita dengan negara Jepun?
Media tidak wajar memperbodohkan akal rakyat dengan menemubual pakcik-pakcik
kampung yang bercakap tentang zaman Jepun. Pemimpin sepatutnya berusaha
mendidik rakyat maju ke hadapan, bukan melihat ke belakang.
Ibn Hamdun dalam al-Tazkirah al-Hamduniyyah memetik kata-kata Plato: "Jangan
kamu paksa anak-anak kamu dengan cara kamu kerana mereka diciptakan bukan untuk
zaman kamu."
Dalam
kerangka politik, saya tidak menaruh penuh kepercayaan kepada BN ataupun
Pakatan. Saya tidak beriman kepada parti-parti itu bahawa mereka akan memenuhi
segala maksud kebaikan untuk sebuah negara yang bernama Malaysia ini.
Saya rasa tabiat politik antara keduanya masih banyak yang sama. Walaupun
masing-masing ada kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Mungkin ada beberapa
tokoh dalam parti-parti itu yang berkualiti tinggi, namun kedua gabungan
politik itu masih banyak yang terikat dengan ‘order lama' politik.
Lihat sahaja cara Dr Haron Din dan Karpal Singh membincangkan tentang isu hudud
di waktu sepatutnya fokus rakyat kepada perkara-perkara yang lebih praktikal
untuk masa ini.
Lihat pula bagaimana BN mengendalikan media massa semasa pilihan raya ini.
Namun, saya percaya satu perkara; perubahan, pengaliran kuasa, penggiliran,
menghadkan tempoh kekuasaan, memberi peluang kepada tawaran-tawaran baru untuk
rakyat adalah satu cara untuk mematangkan politik dan membawanya ke arah yang
lebih baik.
Saya percaya tukar, tukar dan tukar lagi sehingga kita dapat yang terbaik dapat membawa negara ke arah yang lebih matang dan baik.
Kita hendaklah bersedia untuk menukar BN kepada Pakatan, ataupun Pakatan kepada
BN ataupun membuang keduanya sekali pada masa depan dan memunculkan politik
baru sehingga kita menemui yang terbaik.
Apabila yang terbaik itu mula ‘merepek', kita akan tukar lagi. Kita tidak
pentingkan nama parti, tetapi kualiti perkhidmatan yang mampu diberikan! Kita
sanggup menukar jika perlu tanpa mengira BN ataupun Pakatan. Ubah, ubah dan ubah lagi sehingga yang
baik diperoleh.
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan
pendirian rasmi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment