Sunday, May 12, 2013


Asri: 'Mereka apikan isu perkauman langgar ajaran Islam'
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
SH 11 Mei 2013

TINDAKAN sesetengah pihak mengapi-apikan isu perkauman kebelakangan ini adalah perbuatan jahiliah yang diharamkan syarak. Ia boleh mengundang kemusnahan masyarakat dan negara terutama negara 'multiracial' seperti Malaysia ini . Ia akan menimbulkan pelbagai sangkaan dan penilaian yang mungkin tidak berasaskan fakta yang benar. Lantas akan menimbulkan ketegangan dan pergaduhan yang tidak berasaskan prinsip kebenaran, sebaliknya atas 'prejudice' perkauman.

Antara perkara yang ditentang oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah sikap fanatik perkauman ataupun ‘asabiah' yang menilai kebaikan dan keburukan berdasarkan kaum bukan prinsip kebenaran dan keadilan. Islam adalah agama rentas kaum dan sempadan geografi. Keadilannya Islam itu melebar merentasi perbezaan pemikiran dan agama.

Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir sama ada untuk dia menjadi Arab, atau Melayu, atau Cina atau India atau selain itu. Ia adalah ketentuan ALLAH, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya.

Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. ALLAH menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya) “dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (ALLAH) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).

Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: 

“I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.

Tujuan ALLAH menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman ALLAH: (maksudnya) (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13). Lihat dalam ayat ini, ALLAH memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan.
Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini: “Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan ALLAH. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).


Maka, haram bagi seorang muslim meniupkan api perkauman yang menzalimi pihak yang tidak bersalah hanya kerana warna kulit ataupun keturunannya. Wajib kita mempamirkan keindahan kesejagatan Islam kepada semua pihak supaya keindahan Islam dapat diterima oleh manusia.

* Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis dan pensyarah di Universiti Sains Malaysia



Menilai fakta, bukan menyebar dusta
ABD RAZAK MUTHALIB
SH 10 Mei 2013


Agama Islam ini dibina di atas dalil dan hujah. Tiada dalil dan hujah yang paling kuat melainkan al-Quran dan al-Sunnah.


Islam adalah satu-satunya agama yang diredai ALLAH SWT. Islam bukanlah milik mana-mana individu atau mana-mana kumpulan. Islam adalah hak milik ALLAH SWT. Oleh itu segala syariat dan isi kandungannya ditentukan oleh ALLAH Azza wa Jalla sendiri, Pemilik agama ini.

Tiada ruang untuk manusia yang terbatas akal fikiran dan kemampuannya untuk menentukan atau memutuskan walaupun sedikit apa-apa perkara yang berkaitan agama, kecuali dengan dipaksikan kepada hujah dan dalil yang kukuh.

Justeru, agama Islam ini dibina di atas dalil dan hujah. Tiada dalil dan hujah yang paling kuat melainkan al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, apa saja hukum, pendapat dan fakta yang berkaitan agama mesti didirikan di atas dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Mana-mana pendapat atau fakta yang dikaitkan dengan agama, tetapi tidak dibuktikan dengan hujah al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya tidak boleh disandarkan kepada agama, walaupun yang memberi pendapat dan fakta tersebut memakai pelbagai gelaran agama.

Biarpun yang memberi pendapat tersebut ustaz, tok guru, kadi hatta mufti, maka pendapatnya berhak untuk dinilai dan ditolak sekiranya tidak menepati al-Quran dan al-Sunnah.

Panduan al-Quran, al-Sunnah

Al-Quran dan al-Sunnah telah menggariskan beberapa panduan umum dalam kita menerima dan menilai sesuatu fakta khasnya yang berkaitan agama dan berkenaan perkara lain secara umumnya.

Antaranya ialah seperti di dalam ayat berikut: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Surah al-Hujurat:6)

Oleh itu, bertitik tolak dari ayat ini, ahli sunnah wal jamaah menjadikan konsep al-tathabbut (mencari kepastian di dalam sesuatu perkara) sebagai asas utama dalam menilai sesuatu maklumat atau pun dalam menghukum orang lain.

Hal ini bertujuan agar kita tidak melakukan tokok tambah di dalam urusan agama; dan agar kita tidak menghukum orang lain secara zalim, tanpa bersandarkan fakta yang benar.

Imam al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan: “Apabila datang kepada kamu orang fasiq dengan sesuatu berita maka hendaklah kamu selidiki kesahihannya, pastikannya dan jangan tergesa-gesa dalam menerimanya.

Ini agar kamu tidak menuduh sesuatu kesalahan ke atas golongan yang tidak bersalah disebabkan kejahilan kamu”.(Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: taqrib wa tahzib (Damsyik: Dar al-Qalam), 7/33).

Maka dapat difahami bahawa sesiapa yang telah nyata dan pasti kefasiqannya, maklumat yang disampaikannya perlu ditolak. Al-Qadhi Abu Bakr ibn al-‘Arabi berkata: “Sesiapa yang pasti kefasiqannya maka batallah perkataannya (hilang kredibilti) di dalam menyampaikan berita.

Ini adalah ijma’. Sebabnya adalah berita itu suatu amanah dan kefasiqan pula adalah sebab yang membatalkannya al-‘Arabi, Ahkam al-Quran (Bierut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah), 4/147).

Prinsip lain yang diajarkan oleh al-Quran ialah seperti yang dinyatakan di dalam ayat berikut: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH SWT; Sesungguhnya ALLAH SWT Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Hujurat: 12)

Dari ayat ini pula al-Quran mengajarkan bahawa, adalah menjadi kesalahan jika kita membuat hukuman berdasarkan sangkaan semata-mata. Oleh itu, untuk mengelakkan kita terjatuh di dalam kesalahan ini, maka konsep al-tathabbut merupakan langkah pertama yang mesti dilaksanakan.

Al-Sunnah juga telah memberikan beberapa panduan asas dalam kita memberikan pendapat, menerima atau menilai sesuatu fakta berkaitan agama. Antaranya Rasulullah memberikan amaran keras dan janji neraka bagi sesiapa yang menyandarkan kepada Baginda  apa-apa yang tidak dikatakan Baginda. Perbuatan ini merupakan pendustaan terhadap agama dengan menyandarkannya kepada Rasulullah.

Sekali gus ia dikira melakukan pendustaan dengan menggunakan nama Rasulullah, dan ia merupakan jenayah di dalam agama yang amat besar. Maka, memang layak mereka ini dijanjikan neraka.

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Di dalam hadis lain, Rasulullah SAW melarang kita untuk menyampaikan semua cerita yang kita dengar tanpa diselidiki terlebih dahulu. Bahkan, perbuatan seperti ini termasuk sebahagian daripada pendustaan. “Cukuplah seseorang itu berdusta dengan dia menceritakan setiap apa yang dia dengar”. (Riwayat Muslim)

Tidak taklid buta, ikut dalil

Sering kali disebutkan bahawa agama Islam tertegak di atas dalil dan hujah yang sahih. Kita boleh mendengar tentang agama ini daripada siapa sahaja kerana hari ini ramai orang dari pelbagai profesion suka untuk bercakap tentang agama. Tetapi biar siapa pun yang bercakap, biar siapa pun yang mengulas, namun yang kita terima, pegang dan amalkan ialah percakapan yang disertai dengan dalil yang sahih.

Oleh itu, setiap orang berhak untuk kita nilai, terima dan tolak pendapatnya kecuali kata-kata Rasulullah yang sahih. Jangan latih diri kita hanya mengikut sahaja secara membabi buta, tetapi sentiasalah bertanya mana dalil dan juga fakta. Agama ini bukan milik datuk nenek kita, tapi milik Yang Maha Mencipta. Jangan pekakkan telinga, bukalah mata, untuk melihat kebenaran yang nyata.

Manusia diciptakan adalah untuk mengabdikan diri padaNya semata-mata. Pengabdian ini mestilah ditunaikan sepertimana yang dikehendaki oleh Yang Maha Mencipta. Tiada siapa di kalangan manusia ini mengetahui apakah dan bagaimanakah kehendak ALLAH SWT terhadap makhluknya, kecuali seorang manusia biasa yang disampaikan wahyu kepadanya, Muhammad SAW. Tiada jalan lain untuk memenuhi kehendak Ilahi kecuali hanya dengan mengikuti jejak langkah Nabi ini.

Rasulullah telah pun wafat. Apa yang ditinggalkan hanyalah al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan syariat. Kewafatan Baginda bukti bahawa telah sempurna agama ini untuk ikutan umat. Usah berdalih lagi, hanya patuh dan juga taat. Nilailah setiap fakta supaya kita menjadi penyebar dusta


Penulis ialah pensyarah di International Islamic College.

Thursday, May 9, 2013


PRU13: Pengundi Cina bukan rasis; ini buktinya

Majdan Dagang

Tuduhan bahawa orang Cina rasis, tidak mengenang budi, dan ingin jadi PM tidak benar dan tidak tepat sama sekali. Tuduhan-tuduhan ini hanyalah andaian tanpa berdasarkan fakta yang sebenar. Adalah dibimbangi tuduhan ini bertujuan mencetuskan kegelisahan dalam kalangan orang Melayu khususnya Melayu luar bandar agar terus berpaut pada Umno walaupun mereka terus-terusan menjadi mangsa kerakusan pimpinannya merompak hasil negara. Umno juga sedar bahawa kemenangan mereka pada kali ini banyak bersandarkan kelompok Melayu ini. Jadi mereka akan berbuat apa-apa sahaja agar kumpulan ini terus kekal walaupun terpaksa meniupkan isu perkauman. 

Namun, jika penyokong Umno rajin sedikit membuat kajian mereka akan mendapati bahawa kenyataan pimpinan mereka tentang masyarakat Cina meleset sama sekali. 

Selepas meneliti keputusan PRU13 ini, saya mendapati dengan jelas bahawa orang Cina bukanlah memenangkan DAP kerana parti itu berasaskan Cina, tetapi undi mereka kerana menolak Barisan Nasional keseluruhannya. Tambahan pula, mana-mana kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Cina atau sekurang-kurangnya 40 peratus pengundi Cina, calonnya daripada Pakatan Rakyat akan menang selesa – tidak kiralah calon itu dari Melayu, Cina, mahupun India.

Antara kawasan yang mempunyai pola sedemikian ialah bagi P48 Bukit Bendera, Pulau Pinang. Pecahan pengundi mengikut kaum bagi kawasan ini ialah Melayu (13.99 %), Cina (73.74 %), India (11.22 %) dan lain-lain (1.14 %). Parlimen ini dimenangi oleh Zairil Khir Johari yang berbangsa Melayu mengalahkan Teh Leong Meng yang berbangsa Cina. Secara logiknya, Zairil Khir Johari boleh kalah teruk tetapi menang dengan majoriti 32,778. 

Lihat pula P80 Raub, Pahang. Pecahan pengundi mengikut kaum ialah Melayu (48.93 %), Cina (40.99 %), India (6.60 %), dan lain-lain (3.47 %). Parlimen Raub ini dimenangi oleh Datuk Arif Sabri Abdul Aziz yang berbangsa Melayu mengalahkan Hoh Khai Mun yang berbangsa Cina dengan majoriti 2,814 undi. Pada PRU12 yang lalu Ng Yen Yen mengalahkan calon Melayu dengan majoriti 2752 undi. Pada kali ini berlaku sebaliknya.

Bagi P100 Pandan. Pecahan pengundi di kawasan ini asalnya Melayu adalah majoriti. Ketika itu Datuk Ong Tee Kiat berbangsa Cina telah menang selesa. Namun pada PRU13 ini majoriti pengundi adalah Cina. Pecahan mengikut kaum ialah Melayu (44.36 %), Cina (48.14 %), India (6.60 %) dan lain-lain (0.9 %). Mohd Rafizi berbangsa Melayu menewaskan Lim Chin Yee dan Tan Yew Leng yang berbangsa Cina dengan majoriti 26,729 undi!

Bagi N30 Mentakab, Pahang calon Melayu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menewaskan penyandang kerusi ini yang berbangsa Cina iaitu Datuk Chuah Boon Seong dengan majoriti 1,554 undi. Pada PRU12, Datuk Chuah menang dengan majoriti 2,439 undi. Pecahan pengundi bagi kawasan ini ialah Melayu (50.94 %) Cina (40.95 %), India (5.92 %) dan lain-lain (2.19 %).

Berdasarkan fakta dan maklumat tersebut, dengan sendirinya menyangkal dakwaan bahawa orang Cina bersikap rasis kerana memenangkan calon bangsa mereka. Orang Cina bukan menolak BN atau bangsa mereka sendiri tetapi mereka menolak pemimpin dan parti yang rasuah, salah guna kuasa, rasuah dan pelbagai lagi masalah.

Selain itu, pengundi cina juga membuktikan bahawa mereka masyarakat yang matang dan celik maklumat serta tidak mudah melatah dengan propaganda politik. MCA telah memainkan isu satu undi untuk DAP bererti satu undi untuk PAS yang mahu mengadakan hukum hudud. Umno juga turut menakut-nakut pengundi melalui isu ini. Walaupun ada kalangan pemimpin DAP yang tidak bersetuju dengan hasrat PAS itu, tetapi para pengundi Cina semakin hari semakin memahami apakah hukum hudud.

Buktinya, mereka telah memberi sokongan yang padu dan memberikan kemenangan bergaya kepada calon-calon PAS di kawasan lebih 40 peratus pengundi Cina.

DUN N13 Sungai Abong, Bakri, Johor. Calon PAS, Dr Sheikh Ibrahim Salleh berjaya mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada PRU12 lalu. Majoritinya turut bertambah dari 1,550 pada PRU12 kepada 3,813 pada PRU13. Pecahan pengundi bagi DUN ini ialah Melayu (51.33 %), Cina (45.22 %), India (2.96 %) dan lain-lain (0.48 %).

N15 Maharani. Calon PAS, Dr Mohammad Taslim juga telah mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU12 dan menambahkan majoritinya daripada 158 pada PRU12 kepada 3,136 pada PRU13. Pecahan pengundi mengikut kaum bagi kawasan ini ialah Melayu (54.98 %), Cina (41.98 %), India (2.50 %) dan lain-lain  (0.54 %).

Seterusnya N21 Parit Yaani, calon PAS, Aminolhuda Hassan berbangsa Melayu telah merampas kerusi ini daripada calon MCA Teo Yew Chuan dengan majoriti kemenangan 1,188. Pada PRU12, MCA menang dengan majoriti 3,857 undi. Pecahan pengundi ialah Melayu (55.61 %), Cina (43.06 %), India (1.82 %) dan lain-lain (0.23 %). Keputusan ini juga membuktikan pengundi Cina bukan rasis kerana turut memberi undi kepada PAS.

Bagi kawasan N41 Puteri Wangsa pula, pengundi Cina dengan jelas membuktikan bahawa kempen menakut-nakutkan mereka dengan isu hudud kurang berkesan dan orang Cina tidak rasis. Hal ini kerana calon PAS, Syed Sis Abdul Rahman menang dengan majoriti 4,469 undi. Pecahan pengundi bagi kawasan ini ialah Melayu (40.27 %), Cina (47.22 %), India (11.79 %) dan lain-lain (0.73 %).

Jika anda rajin menelaah keputusan PRU13 yang lalu, banyak lagi bukti yang menunjukkan bahawa penolakan pengundi Cina bukanlah kerana bangsa atau parti tetapi penolakan total kepada sikap parti pemerintah itu sendiri.

Salah seorang rakan saya berbangsa Cina menyatakan rasa sedihnya apabila dituduh bangsanya bersikap rasis. Bagi beliau, tuduhan itu tidak berasas sama sekali dan tidak menghormati haknya sebagai pengundi untuk membuat pilihan.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, keharmonian antara kaum, dan kemakmuran negara menyeru agar jangan memainkan isu-isu yang boleh mengundang kebencian antara kaum. Marilah kita bersama menuju Malaysia baru yang saling hormat-menghormati antara kaum dan agama.

Wednesday, May 8, 2013

SIAPA PEMIMPIN YANG HENDAK KITA PILIH? – 

Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Keunggulan sesuatu bangsa bergantung kepada dua faktor utama. Pertama, kekuatan budaya. Kedua, kemampuan pemimpinnya. Tanpa dua faktor ini, sesuatu bangsa akan jatuh walau sekuat mana kekuatan ekonomi dan ketenteraannya. Kedua-duanya merupakan pra-syarat yang mesti dipenuhi jika ingin memartabatkan bangsa. Semakin tinggi dan jauh perjalanan ke arah pencapaian cita-cita bangsa, maka seharusnya semakin kuatlah pula budaya dan wibawa kepemimpinannya.

Dua faktur itu umpama tiang seri pada sebuah rumah. Jika rumah ingin dibesarkan, maka semakin perlulah tiangnya diperkukuhkan. Pembesaran sebuah rumah, tanpa mengukuhkan tiang serinya hanya akan mempercepatkan robohnya rumah itu. Maka begitulah kias ibarat dalam usaha membangunkan kekuatan sesuatu bangsa. Tanpa usaha pengukuhan budaya dan memantapkan kepimpinan, akan tumbang oleh beban cita-cita besarnya.
Namun, bangsa yang sudah alah dan dipermalukan di pentas sejarah sekalipun masih mampu bangun jika kedua-dua faktor itu diperkukuhkan. Apa yang terjadi kepada Jerman dan Jepun, yang pernah mengalami kekalahan seperti yang disifatkan oleh sejarah sebagai ‘The worst defeat in history’? Kebangkitan yang amat menakjubkan. Dalam masa yang relatif singkat, dua negara itu telah bangun sebagai raksasa ekonomi dunia. Budaya Jepun yang kaya dengan nilai ilmu, semangat patriotik, etika kerja yang kuat dan lain-lain itu telah mampu membina semula Jepun dari puing-puing ledakan atom di Hiroshima dan Nagasaki.
Atas kesedaran inilah, kita mesti mempunyai budaya yang sesuai untuk menjadi sebuah bangsa yang maju. Istilah-istilah seperti transformasi, reformasi, Melayu baru dan lain-lain adalah manifestasi pada keinginan yang meluap-luap untuk mengukuhkan budaya Melayu. Sudah dirasakan bahawa, pada jati diri Melayu ada nilai-nilai positif yang perlu digilap untuk lebih menyerlah. Pada masa yang sama ada juga kelemahan yang perlu diatasi. Tegasnya, Melayu sebagai satu bangsa yang ingin maju, wajib berbuat sesuatu untuk meningkatkan lagi darjah kecemerlangan nilai-nilai budayanya yang baik. Soalnya bagaimana proses tranformasi budaya ini hendak dilaksanakan? Siapa yang akan menerajuinya?
Persoalan ini menjadikan faktor kedua (kekuatan pemimpin), menjadi begitu signifikan. Kekuatan pemimpin lebih dominan daripada kekutan budaya untuk menjamin keunggulan sesuatu bangsa kerana hanya pemimpin yang kuat sahaja mampu merubah atau melakukan tranformasi budaya. Seorang pemimpin yang baik ialah seorang ‘culture builder’ yang mampu membina kekuatan budaya bangsanya. Oleh kerana itulah sejak dahulu lagi apabila suatu bangsa muncul sebagai satu bangsa yang unggul, ia mesti diketuai oleh seorang pemimpin yang kuat. Contohnya, Meiji pada bangsa Jepun, Bismark untuk bangsa Jerman, Churchill untuk Inggeris dan George Washington pada bangsa Amerika .
Hakikat ini lebih jelas bila disorot melalui kacamata Islam. Jelas apabila Allah kehendaki sesuatu bangsa itu menjadi kuat dan berdaulat, maka Allah akan utuskan seorang pemimpin kepada bangsa tersebut. Pada umat Arab jahiliyah, Allah utuskan Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun, missi kedatangan Rasulullah adalah untuk seluruh manusia, di seluruh dimensi masa, namun tidak dapat dinafikan bangsa Arablah yang pertama dijulang oleh kekuatan kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.
Begitulah juga nabi Musa a.s. di kalangan Bani Israel, yang kemudiannya memartabatkan Bani Israel setelah sekian lama ditindas oleh bangsa Qibti. Secara ‘Natural Law’ atau Sunnahtullah, jika sesuatu bangsa hendak ditakdirkan menjadi kuat, maka sudahj pasti dianugerahkan buat mereka seorang pemimpin yang bertindak sebagai peneraju, aspirasi dan pemangkin pada proses tranformasi budaya.
Bangsa Melayu juga tertakluk kepada hukum ini. Tahun-tahun yang akan datang perlukan pemimpin yang relevan dengan perubahan dan keadaan semasa. Cabaran-cabaran semasa selalunya menentukan corak kepimpinan pemimpin yang dimaksudkan. ‘Kelembutan dan ketegasan’  Abraham Lincoln, lahir ketika perlunya kesatuan Amerika tanpa dipisahkan oleh permasalahan penghambaan kulit hitam negara Utara dan Selatan. ‘Tangan Besi’ Bismark perlu untuk membentuk satu Jerman yang kukuh dan utuh. Dari segi kerohanian pula, kedatangan Nabi Isa a.s., Nabi Musa dan Nabi Muhammad s.a.w. sangat signifikan ketika nilai-nilai kemanusiaan hancur lebur oleh sifat tamak dan rakus manusia.
Jika hukum ‘situtional leader’ ini terus relevan, maka pemimpin bangsa Melayu abad ke 21 mestilah seorang yang mampu membina kekuatan ekonomi, kemantapan politik dan kesucian Islam di tengah-tengah ledakan era globalisasi dan prasangka dunia Barat yang tidak pernah jera dan reda. Dia juga dia mesti mampu berdepan dengan cabaran keruntuhan etika dan moral di mercu ketinggian sains dan teknologi. Seorang cendikiawan Melayu, Profesor Dr. Siddiq Fadhil pernah menegaskan seorang ‘culture builder’ adalah pemimpin yang boleh dijadikan role-model kepada rakyatnya. Menurutnya, tidak mungkin seseorang pemimpin mampu merubah orang lain, jika dia sendiri tidak mampu mengubah dirinya.

Seorang ‘culture builder’ harus mempunyai kemampuan yang lebih daripada itu. Dia bukan sekadar memimpin orang lain untuk mengikuti dirinya, tetapi dia juga mesti mampu memimpin orang itu untuk memimpin diri mereka sendiri. Setelah rakyat mampu memimpin diri mereka sendiri, barulah proses tranformasi budaya dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ini juga syarat yang tidak boleh dipandang ringan dalam hikari kepimpinan Melayu Islam terkini.
Hasrat membentuk masyarakat maju dengan acuan tersendiri (masyarakat Madani) adalah pancaran perjuangan untuk menyerlahkan nilai-nilai Islam tanpa meminggirkan kekuatan ekonomi, politik dan realiti perubahan yang melanda dunia. ‘Civilised Society’ saranan Al Farabi yang Islamik tidaklah sama dengan ‘Social Contract’ ilham Reaseau atau pemikir-pemikir politik Barat yang lain. Masyarakat Madani adalah masyarakat yang menggabungkan tiga teras kekuatan utama yakni politik, ekonomi dan agama demi kesejahteraan dan kemakmuran ummah. Natijahnya, negara akan maju serta kaya dengan nilai-nilai akhlak yang tinggi. Inilah ‘the true colours of Islam’ yang perlu ditampilkan oleh kepimpinan Melayu Islam di persada dunia antarabangsa.
Mungkin ini ‘perang baru’ yang menghantui Samuel Huntington dalam ‘Clash of Civilization’nya. Walau bagaimanapun kebimbangan itu tidak berasas kerana imej Islam yang cuba diketengahkan oleh Melayu Islam berbeza sama sekali dengan imej Islam yang sedang di bena di Timur Tengah dan Indo-Pakistan pada masa ini.
Sekarang mari kita lihat realitinya. Mari kita lihat betapa ramai ‘wakil rakyat’ yang tidak bersama rakyat. Tidak semestinya calon yang ditunjukkan oleh parti untuk menjadi ADUN atau MP adalah terdiri daripada individu yang benar-benar komited pada perjuangan membela rakyat. Kenapa mereka terpilih? Ini juga menimbulkan persoalan. Nampaknya, parti politik (tidak kira daripada parti mana) mesti mempunyai mekanisme yang lebih telus dan cekap untuk mengenal ‘mana intan mana kaca’ di kalangan calon-calon mereka sendiri.
Dan lebih aneh, kalau ‘kaca’ yang disangka permata ini boleh lepas daripada saringan untuk dipilih sebagai wakil rakyat yang bukan sahaja gagal bergelanggang di tengah rakyat (untuk sama-sama berpanas, berhujan dan berembun) tetapi untuk duduk dalam parlimen yang berhawa dingin pun mereka tidak mampu. Tentulah kerja berbahas, berhujah, memerah fikiran untuk membuat keputusan di dalam parlimen walaupun diakui adalah sukar dan mencabar tetapi melaksanakan keputusan itu saya kira jauh lebih sukar.
Saya teringat betapa satu ketika Sayidina Umar bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “jika aku telah melantik orang yang baik sebagai pemimpin-pemimpin pembantuku, apakah aku telah melaksanakan amanah kepimpinan ini dengan baik?” Sahabat-sahabatnya menjawab, “tentu sudah wahai Amirul Mukminin…” Sebaliknya Umar menjawab, “belum, sehingga aku memastikan orang baik itu melaksanakan kebaikannya!” Bagaimana kita? Sudahkah terlantik orang yang baik? Itupun sudah terlalu sukar. Dan sudahkan orang yang baik melaksanakan kebaikannya? Bab yang kedua ini jauh lebih sukar.
Saya kira parti-parti politik perlu lebih ketat untuk menyaring bagi mendapat calon-calon terbaik mereka kerana kita tidak boleh mengharap rakyat berbuat demikian dalam pilihan raya umum. Ini kerana kecenderungan sekian lama oleh masyarakat yang memilih wakil rakyat mereka berdasarkan parti yang mereka yakini bukan calon yang terlibat. Kredibiliti calon lebih disandarkan kepada kredibiliti parti… ini masalahnya. Ini akan memberi ruang yang cukup besar untuk ‘wakil rakyat yang tak bersama rakyat’ ini mendapat kedudukan dalam parti walaupun mereka tidak langsung berada di hati para pengundi. Jadi apa yang mereka lakukan… hanyalah berbuat sesuatu agar tetap mendapat ‘perhatian’ beberapa orang yang berkuasa dalam parti ataupun wakil-wakil bahagian, untuk terus mendapat pencalonan sebagai calon ADUN atau MP.
Saya rasa ini juga satu sebab yang memungkinkan berlakunya ‘politik wang’ dalam parti pemerintah satu ketika dulu (hingga kini?). Bagi mereka yang ‘busuk’ ini adalah lebih mudah menggunakan wang untuk mempengaruhi individu-individu dalam parti daripada kerja keras untuk mempengaruhi rakyat di tengah masyarakat. Apabila menang pilihan raya, mereka mengaut untung melalui kedudukan dan status MP atau ADUN. Kemudian wang itu ‘dilaburkan’ sedikit untuk mendapat sokongan berterusan dalam parti. Kemudian mereka tercalon lagi.
Dan mengaut untung, lalu melabur lagi… Begitulah sifir mudah politik wang. Kedudukan dalam parti bukan dilihat sebagai amanah untuk berbakti tetapi sebagai pelaburan untuk menguntungkan peribadi. Bagi mereka, parti mungkin dilihat sebagai entiti perdagangan di mana telah kuasa digunakan untuk menjana keuntungan…
Rakyat berada nun jauh di sana… poster wajah calon yang ditampal pada musim-musim pilihan raya bukan ‘wajah’ calon itu yang sebenar. Rakyat hanya mengenal dacing, bulan dan lain-lain. Pada mereka itu sudah sinonim dengan kemakmuran, keislaman, keadilan yang kerap dilaung-laungkan. Tidak kiralah siapa orangnya, asalkan baik partinya. Betul juga, kalau hanya calonnya baik tetapi partinya tidak baik, mana mungkin jentera pembangunan setempat hendak dibangunkan?
Ia memerlukan keupayaan sebuah organisasi bukan kekuatan peribadi. Jadi apa harapan rakyat? Harapan rakyat ialah parti tersebut mesti berbuat sesuatu untuk memastikan agar ‘musang berbulu ayam’ ini tidak dicalon bukan untuk kali keduanya tetapi janganpun buat kali pertama! Masa 4-5 tahun adalah terlalu panjang untuk membiarkan pemimpin gadungan ini bermaharalela.
Ya, kini kita sudah diambang musim pilihanraya. Ketua-ketua parti, sama ada parti kerajaan mahupun pembangkang sudah rancak bercakap tentang wakil-wakil yang bakal dipilih atau ‘direhatkan’ menjelang pilihanraya yang akan datang. Lobi melobi mula berlaku. Malah suara-suara mula kedengaran ada kemungkinan pemimpin NGO akan turut serta memasuki pilihanraya. Dunia kepimpinan Malaysia berada di peringkat kematangan. Tahap di mana semakin ramai orang yang ingin muncul sebagai pemimpin. Secara sinis mungkin kita boleh berseloroh, akan tibakah masanya nanti ketika lebih ramai orang ingin memimpin daripada yang rela dipimpin. Waktu itu berapa keratkan yang masih tinggal untuk menjadi pengikut?
Dalam keghairahan membangunkan generasi muda sebagai pelapes kepemimpinan, elemen asas yang harus diterapkan ialah nilai-nilai dan etika kepimpinan yang berkesan. Saya kira elemen ini yang agak lemah dalam parti-parti politik di Malaysia. Satu kaedah pemantapan nilai yang kukuh belum terserlah. Sedangkan nilai adalah faktor utama dalam menentukan sikap dan perlakuan seseorang. Ia adalah benih kepada buah kebaikan dalam diri dan organisasi. Jadi kalau kita hanya bercakap soal buah, tetapi soal benihnya tidak disentuh, maka kita pasti gagal melahirkan pemimpin yang bersih, cekap dan amanah.
Bagaimana menanam nilai dalam diri anggota organisasi dan parti-parti politik khusnya? Pakar agama, pakar psikologi, motivasi dan pendidikan telah sepakat bahawa manusia itu ialah apa yang diyakininya. Ertinya, asas sistem nilai ialah keyakinan. Istilah yang selalu digunakan untuk keyakinan ini ialah ‘belief system’. Keyakinan ini dibentuk oleh prinsip fitrah insani dan juga soal keimanan yang bersumber dari wahyu. Dalam Islam elemen ini dinamakan akidah atau iman. Bila keyakinan sudah teguh, maka terbentuklah apa yang dikatakan ‘world-view’ atau pandangan alam – yakni bagaimana kita melihat kehidupan, diri dan alam ini. Dari sini terbentuklah sistem nilai. Sistem nilai ini ialah penentu dalam diri yang mempengaruhi pilihan seseorang. Dia akan memilih sesuatu yang dilihatnya bernilai dan meninggalkan sesuatu yang tidak bernilai. Akhirnya, inilah yang membentuk sikap dan kelakuan seseorang.
Itulah gambaran selayang pandang tentang erti nilai dan bagaimana menerapkannya dalam organisasi politik. Jadi soalan yang menarik untuk difikirkan ialah sudahkan biro atau bahagian dalam parti berkenaan berfikir tentang persoalan ini dengan serius? Sudahkan dirangka pelan tindak untuk memantapkan keimanan sebagai asas keyakinan diri para pengikut terutamanya mereka hendak menjadi calon ADUN dan MP? Apakah mereka sudah melalui satu program atau proses mengenal pasti nilai-nilai yang hendak dijadikan pegangan oleh parti? Apakah mereka tahu, mahu dan mampu untuk menyelaraskan tindakan seharian dengan nilai-nilai yang diyakini atau ada ‘percanggahan’ perlakuan dan keyakinan yang akhirnya melahirkan pemimpin yang cakap tak serupa bikin?
Tanpa minda dan pengertian yang tepat, seseorang hanyalah seperti ‘burung tiong yang pandai bercakap’ sekalipun telah dinobatkan sebagai pemimpin. Burung tiong hanya pandai bercakap kerana ia dilatih untuk menurut apa yang diperkatakan tanpa memahami pengertiannya. Keadaan yang sama boleh berlaku bila seseorang menjadi pemimpin tetapi tidak memahami langsung erti, nilai, etika dan kriteria kepimpinan. Hakikat ini sering berlaku di dalam parti terutamanya apabila seseorang terlalu mengikut apa yang dilakukan oleh orang No.1 secara Pak Turut semata-mata.
Pemimpin bukanlah satu profesyen biasa yang boleh ditangani secara mudah. Tanpa persediaan yang cukup, akan lahir pemimpin-pemimpin ‘instant’ yang tidak tahan godaan dan tidak mampu menangani cabaran terkini. Kualiti pemimpin tidak sama dengan makanan segera yang sifatnya cepat disiapkan, cepat pula dimakan. Pemimpin yang muncul mendadak, cepat naik dan kemudian cepat pula jatuhnya samalah seperti Mee segera – “cepat dimasak, sedap dimakan…” kemudian cepat pula dibuang!”
Keghairahan untuk menjadi pemimpin di kalangan generasi muda mestilah diimbangi oleh ilmu kepimpinan khususnya memahami erti kepimpinan sebenar. Yang paling penting sebelum memimpin orang lain, mereka harus belajar memimpin diri sendiri dahulu. Dengan memahami definasi kepimpinan terutama yang berkaitan dengan elemen-elemen asasnya, seorang bakal pemimpin akan tahu apakah persiapan yang perlu dibuat dari segi mental, spiritual dan fizikal untuk memikul tanggung-jawab kepimpinan. Untuk mendapat ilmu kita perlu belajar dan untuk belajar kita mesti menjadi pengikut. Oleh itu, tidak salah kalau kita belajar menjadi pengikut yang baik terlebih dahulu sebelum menjadi pemimpin yang baik.
Yang pastinya bakal pemimpin harus belajar mengenal diri sendiri, menganalisis potensi pemikirannya serta mencungkil sebanyak-banyaknya iktibar dan hikmah dari pengalaman yang boleh digarap ketika mengharungi realiti sepanjang hayatnya. Dari segi ketahanan diri pula, mereka perlu didedahkan kepada cabaran dan dugaan hidup yang diterjemahkan melalui program wacana, kembara, dilatih mengharungi kaedah-kaedah ‘survival’, hidup ditengah masyarakat, serta dipandu untuk mendisiplinkan diri secara istiqamah dan penuh iltizam demi menyerlahkan lagi jatidiri berteraskan nilai-nilai murni yang abadi.
Di alaf matang dunia kepimpinan ini, kebijaksaan sangat diperlukan untuk mempertahankan kualiti kepimpinan dari sekian banyak kuantitinya. Apabila tokoh-tokoh korporat dan golongan profesional menceburi politik, mereka perlu faham bahawa yang mereka hadapi kini ialah manusia yang ada fikiran dan perasaan bukan mesin dan produk. Sekurang-kurangnya mereka seharusnya tidak terkeliru antara peranan kepemimpinan dengan pengurusan. Berdasarkan definasi kepimpinan yang tepat, kita seharusnya dapat membezakan antara pemimpin dan pengurus. Stephen R. Covey dalam bukunya “The 7 Habit of Highly Effective People” dengan jelas membezakan antara seorang pengurus dengan seorang pemimpin. Menurutnya, fokus asas kepimpinan ialah: Apakah perkara yang mahu dicapai, sedangkan fokus asas pengurusan ialah: Apakah cara atau alternatif yang paling baik untuk mencapai perkara yang telah ditentukan.
Berdasarkan kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa kepimpinan dahulu dan pengurusan kemudian. Secara analoginya, “pengurusan ialah kecekapan memanjat tangga kejayaan; kepimpinan menentukan sama ada tangga itu menyandar pada tembok yang betul”. Peter Druker dan Warren Danis pula mendefinasikan, “Management is doing things right; Leadership is doing the right thing”. Dalam ertikata yang lain, pengurusan dan kepimpinan bukanlah suatu yang sinonim. Pengurus yang baik tidak semesti pemimpin yang baik begitulah sebaliknya. Seorang pengurus dikehendaki merancang, menyusun kakitangan dan mengawal. Manakala pemimpin berperanan mempengaruhi dan menentukan agar pengikut sentiasa menuju ke arah matlamat.
Pengurusan yang cekap tanpa kepimpinan yang berkesan adalah seperti ‘berlunjur sebelum duduk.’ Seorang yang hanya berwatak pengurus, tidak akan mampu mempengaruhi dan mengarah anggota organisasinya mencapai matlamat organisasi. Penyusunan yang baik, plan tindak yang kreatif dan prasarana yang mencukupi, tidak bermakna apa-apa jika anggota organisasi tidak dapat dipengaruhi dan didorong untuk bertindak. Justeru itu secara idealnya, seorang pengurus mestilah juga merupakan seorang pemimpin kerana ia seharusnya mampu mempengaruhi sarbodinat ke arah pelaksanaan.
Tegasnya, kriteria dan kelayakan yang perlu ada pada seorang pemimpin adalah lebih tinggi daripada seorang pengurus atau peniaga. Antara sifat yang perlu ada ialah mereka mesti mempunyai keperibadian dan karisma semula jadi seperti keupayaan berfikir, keberanian yang luar biasa, kepetahan berkata, wajah yang menarik dan lain-lain. Mereka mesti memiliki kekuatan jiwa, akal dan perasaan yang melahirkan pelbagai sifat baik seperti tabah, yakin, berani, tahan uji, optimis, tegas, mempunyai idea, kaya minda, berstrategi, kreatif, bijaksana, imiginasi, simpati, empati, prihatin, timbang-rasa, lemah-lembut, kasih-sayang dan pemaaf.
Dengan segala sifat yang baik barulah mereka boleh berperanan. Pemimpin mesti boleh berperanan dengan baik. Malangnya, ramai yang berfikir secara songsang – apa yang difokuskan bukan peranan tetapi ganjaran. Jika kita hanya berfikir tentang ganjaran, maka ini akan menyebabkan kita mengabaikan peranan. Sebaliknya, bila seseorang pemimpin fokus pada peranan, maka ganjaran akan datang dengan sendirinya. Malangnya, wakil rakyat yang kita sebut diawal tulisan ini asyik memikirkan ganjaran bukan peranan. Apakah peranan utama pemimpin?
Secara ringkas saya nyatakan bahawa ruang-lingkup peranan pemimpin terbahagi dua: Menjaga keperluan lahiriah (kebajikan) pengikut. Kedua, mendidik (akliah, perasaan dan rohaniah) para pengikutnya. Untuk itu mereka harus mempunyai watak yang ‘verstyle’. Antaranya mereka perlu berwatak guru, sahabat, motivator, kaunselor, imam solat dan sebagainya. Walaupun mungkin mereka tidak semestinya mempunyai ilmu dan kebolehan khusus dalam bidang-bidang tersebut, tetapi mereka mesti memilki ‘general knowledge’ yang membolehkan mereka berperanan serba sedikit. Itulah sifat pemimpin, jika kita tidak layak… beri laluan pada yang lain!
Seperkara untuk bermuhasabah, apakah anda (khususnya wakil rakyat) apakah anda pernah mengajar dan mendidik orang bawahan anda? Apakah anda pernah berusaha untuk melahirkan lebih banyak pemimpin pelapes? Apakah anda giat menambah kemahiran kepimpinan sama ada yang berkaitan ‘behavioral skills’ atau ‘technical Skills’? Dan sebagai pemimpin Islam sudahkah anda memantapkan lagi ilmu-ilmu asas di bidang akidah, feqah dan akhlak? Jika jawapannya ‘belum’, maka anda seharusnya belajar jadi pemimpin bukan memimpin. Inilah yang dimaksudkan oleh Imam Safie, “belajarlah sebelum jadi pemimpin!”
Untuk menjalankan peranannya, para pemimpin (sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW) mestilah menjadi khadam (hamba) kepada pengikutnya. Di satu hadis yang lain Rasulululah menegaskan para pemimpin ialah ‘gembala’ kepadanya pengikutnya. Ertinya, tugas kepemimpinan adalah amanah bukan anugerah. Ia akan dihisab dipertanggung-jawabkan (ditanggung dan akan disoal) tentang kepimpinannya bukan sahaja oleh ketua parti atau Perdana Menteri tetapi oleh Tuhan.
Jika para pemimpin sedar tentang hakikat ini, mereka bukan sahaja akan merendah diri, rajin dan komited dengan tugas bahkan bimbang bila dilantik menjawat sesuatu amanah. Memang, sikap kita dengan kepimpinan seharusnya tidak berebut untuk mendapatkannya tetapi apabila telah dilantik juga dia akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan iltizam.
Kesimpulannya, kejahilan kita tentang tanggung-jawab dan amanah kepimpinan telah menyebabkan berlakunya perebutan untuk menjadi pemimpin. Dan apabila telah dilantik, tidak menunaikan amanah dengan sebaik-baiknya. Memahami erti kepimpinan dan menguasai ilmu tentang elemen-elemen asasnya, adalah pra-syarat buat seseorang untuk menjadi pemimpin. Bayangkan, sedangkan seorang tukang masak pun mesti mempunyai ilmu tentang masakan, apalagi seorang pemimpin… Kita menaruh harapan agar Malaysia mampu melahirkan pemimpin yang berkualit


CERITA BENAR BUAT IKTIBAR -Ust. Pahrol Mohd Juoi

07MEI
936398_196859210461661_1971519674_n

1.    WALAU SESUDAH KEMATIANNYA…

Kami berbual tidak panjang. Hanya seketika dia menghabiskan catatan dalam buku harian kerjanya, mungkin. Dan saya menunggu giliran untuk masuk melawat ahli keluarga yang sakit.
“Alhamdulillah, sekarang majoriti  jururawat beragama Islam menutup aurat,” kata saya kepada seorang jururawat senior yang duduk berdepan dengan tempat saya menunggu.
“Satu perjalanan panjang. Proses yang berliku-liku, akhirnya Allah izinkan jua kami menutup aurat,” balasnya dengan senyuman.
“Tentu ada kenangan yang manis, “ jolok  saya untuk menghidupkan perbualan.
“Memang ada…. sampai sekarang masih menjadi ingatan, aspirasi dan pembakar semangat saya. Maklumlah, ujian pasti datang bertali arus. Tetapi saya dapat kekuatan setiap kali mengenangkan peristiwa itu.”
Dia pun mula bercerita. Cerita lama. Telah berlaku lebih kurang  30 tahun yang lalu.
“Ketika itu saya masih bertugas di sebuah hospital besar di sebuah bandar. Masa tu saya sendiri masih ‘free hair’.  Pada waktu itu menutup aurat pada wanita yang berkarier masih menjadi larangan. Masyarakat masih memandang serong hukum menutup aurat….” Dia mula bercerita.
“Satu hari seorang wanita awal akhir 20’an, seingat saya, dimasukkan ke dalam wad yang saya menjadi antara petugasnya yang menjaganya. Sakitnya agak kronik. Wanita ini sangat baik, tutur katanya lembut dan berakhlak. Dia paling menjaga waktu solat dan sentiasa dalam keadaan menutup aurat. Maklumlah ada juga petugas dan doktor lelaki yang bertugas di dalam wad tersebut…”
Saya menanti di mana ‘istimewanya’ kisah wanita menutup aurat itu.
“Acap kali dia pengsan. Sebaik tersedar, pertanyaan pertamanya  ialah, apakah sudah masuk waktu solat? Kemudian dengan cepat dia akan membetulkan kain tudung yang menutup auratnya.  Dia sangat cakna dan prihatin betul dengan solat dan auratnya.”
“Lama dia di dalam wad. Perihal sikapnya yang sangat menjaga waktu solat dan penutupan aurat itu sudah menjadi ‘trade mark’nya dan telah dimaklumi oleh petugas hospital dan pesakit di wad berkenaan. Bukan sahaja yang muslim, malah doktor dan petugas bukan Islam pun menghormati prinsip wanita tersebut. Mereka akan berhati-hati apabila berdepan dengannya. “
“Bagaimana dengan sikapnya yang lain?” tanya saya.
“Sikapnya yang lain?”
“Maksud saya dengan keperibadiannya selain solat dan menutup aurat?”
“Dia baik dan hormat dengan semua orang, tidak kira Islam atau bukan Islam. Walaupun menutup aurat, penampilannya sangat dijaga. Sangat menjaga kebersihan dan  masa. Tapi itulah… sakit barahnya sudah sangat parah. Tahap kritikal. Kira-kira 2 bulan kemudian dia meninggal dunia. Hari kematiannya itu yang paling mengesankan…”
Saya diam.  Saya melihat suaranya mula tersekat-sekat. Air matanya mula mengalir…
“Tak sangka lepas solat Subuh pagi itu dia meninggal dunia. Ketika meninggal dunia kain tudung yang menutup wajahnya terbuka sedikit kerana mukanya sudah jatuh di sebelah. Beberapa helai rambutnya terjuntai keluar. Bayangkan… seorang doktor bukan Islam segera berkata pada saya dan rakan jururawat yang lain, cepat-cepat tutup semula, rambutnya sudah terkeluar! ….
Saya terkejut. MasyaAllah.
“Tuan bayangkan, orang bukan Islam pun sangat menghormati prinsipnya. Seperti mana dia menjaga auratnya semasa hidup begitulah Allah jaga auratnya setelah meninggal dunia sehingga orang bukan Islam Allah gerakkan hatinya membantu menutup auratnya.”
“Sejak itu?”
“Sejak itu saya dan beberapa orang kawan lagi tekad menutup aurat. Mula-mula tu dengan berskaf sahaja. Lama-kelamaan meningkat sedikit demi sedikit sampailah semacam ni. Kami sangat tersentuh dengan sikapnya.”
Saya senyum. Begitulah hebatnya berdakwah melalui akhlak dan sikap. Tidak payah banyak cakap. Tidak tunggu sihat, orang beriman ketika sakit pun masih mampu berdakwah.  Dakwah itu umpama akar, yang lembut dan keras dapat ditembusinya. Dakwah itu umpama air, tidak dapat disekat… akan tekad mencari arah untuk terus mengalir.
  1. penipuan-popular
    2.      MUSLIHAT DENGAN SELAWAT
Tiba-tiba bum, kereta saya dilanggar dari belakang. Saya terpaksa berhenti di persimpangan sebuah bulatan. Seorang lelaki Melayu keluar dari sebuah kereta mewah. Saya kira dia hanya seorang pemandu… ada tuannya yang duduk di sebelah kiri bahagian belakang. Juga seorang Melayu.
“Assalamualaikum. Allahhumma salli ala Muhammad…” ujar pemandu itu berkali-kali sambil menghulurkan tangan buat bersalam.
Saya menjawab salam dan kemudian terus berjabat tangan.
“Selesai cara mudah sahaja. Kita orang Islam.”
“Ya. Ya, “jawab saya sambil memerhati kerosakan kereta. Kereta mewah yang dipandunya tidak rosak apa-apa tetapi kereta saya memang teruk. Congak saya jika dihantar ke kedai anggapannya tidak kurang rm 500.
“Ya kita buat cara mudah. Kita saling bermaafan sahajalah. Lupa-lupakan sahaja. Lagipun saya tidak sengaja.”
“Tapi tuan melanggar dari belakang. Ini satu kecuaian. Lagipun saya perlu kos untuk membaiki kereta saya ni.”
“Alllhahumma salli ala Muhammad…  kita bermaafanlah.”
“Ya. Tetapi kita mesti bertanggung jawab…”
Dia pergi menemui tuannya yang tidak pun keluar dari kereta sejak tadi. Asyik membaca akhbar. Ya, dia orang besar.
“Beginilah encik, ambil kad ini dan talifon kita berurusan kemudian. Kami yang salah, insyaAllah kita ‘settle’ nannti. Jangan lupa call nombor ini ya,” sambil memberi kertas yang ada catatan no talefon.
Oleh sebab percaya dan tidak mahu menyusahkan kereta-kereta yang sudah berbaris di belakang saya menerima kertas itu dan berlalu segera.
Satu hari, dua hari, tiga hari dan sehingga seminggu… saya menalipon nombor yang diberikan. Namun tidak ada jawapan. Cuma sekali ada bunyi diangkat dan saya disergah oleh suara kasar dengan bahasa asing.  Tidak ada selawat lagi!
  1. jujur
    3.      HARGA SEBUAH KEJUJURAN
“Betul ke ni?” tanya saya.
“Betul ayah. Dia berjanji menunggu di kedai inilah,” jawab anak saya.
“Kalau betul memang nyonya tu hebat. Berlanggar dua hari lalu, hari ini janji nak bertemu baiki kereta kita yang rosak, “ kata saya.
Dua hari yang lalu kereta anak saya dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh seorang nyonya tua. Nyonya itu yang salah, buat ‘reverse’ ke belakang tanpa toleh. Begitu menurut anak saya. Akibatnya, dua buah lampu depan kereta anak saya pecah. Nyonya itu berjanji untuk menggantinya di sebuah kedai yang ditentukannya sendiri. Dia sudah biasa di kedai itu. Anak saya baru sahaja mendapat lesen, sangat naif dengan insiden seperti itu. Main percaya sahaja.
Harapan saya 50-50.
“Kalau nyonya Cina tu tak sampai lagi cuba call,” cadang saya kepada anak.
Sedang anak mendail tiba-tiba, seorang nyonya tua berwajah bersih datang dari arah belakang lantas berkata, “Selamat pagi. Maaf, saya lambat sikit. Jalan ada jam sikit. Oh, ni bapak you ka? Semalam saya kata you jangan takut nanti saya terangkan sama bapak you saya yang salah.”
Saya tertawa. Terhibur dengan keramahannya. Kami segera berurusan. Lampu diganti dan kemik kereta di bahagian hadapan pun dibaiki. Semua perbelanjaannya ditanggung oleh nyonya Cina itu. Ternyata dia menepati janji. Bayangkan, bukan mudah tanpa ada apa-apa ‘gerentor’, hanya berbekalkan kepercayaan… dia benar-benar menepati janji. Terus terang dalam hati saya terdetik, alangkah baiknya jika dia seorang Islam. Dalam diam saya berdoa, semoga dia menerima hidayah!
P/s Pada pandangan saya yang kerdil ini, bukan isu perkauman… tetapi isu kejujuran yang telah diragukan! Wallahua’lam.

Tuesday, May 7, 2013

Apabila Pakatan tak sampai ke Putrajaya

-,06 Mei 2013


DENGAN keputusan PRU13, telah diketahui Pakatan Rakyat tidak sampai ke Putrajaya. Masing-masing terpaksa balik ke pengkalan sendiri untuk memikirkan lain kali pula ke situ.

Sama ada setuju atau tidak setuju dengan keputusan itu tiada apa yang  dapat dibuat, kerana sistem pilihanraya demokrasi memperaturkan keputusan itu diterima baik apa jua yang berlaku.

Dengan keputusan itu Putrajaya tidak dapat diambil alih. Kerajaan pusat yang sama dan Perdana  Menteri yang sama menyambung tanggungjawabnya.

Dengan ini harga minyak tidak dapat diturunkan dalam masa 24 jam selepas keputusan pillihanraya diketahui. Harga minyak terus seperti biasa. Kerajaan yang ada tidak menjanjikan harganya diturunkan dan tidak pula berjanji ia tidak  akan dinaikkan. Rakyat akan menghadapi keadaan yang sama tentang harga minyak dan segala kesannya.

Tiada janji harga barang dapat dikawal.

Negeri yang  menghasilkan minyak iaitu Terengganu, Sabah dan Sarawak hilang peluang untuk dapat royalti minyak 20 peratus. 

Kelantan yang sedang menuntut haknya atas minyak yang dinafikan sejak sekian lama hilang peluang yang segera untuk menyelesaikan tuntutan itu. Bahkan negeri seperti Terengganu tidak  ada jaminan untuk mentadbirkan sendiri royalti lima peratusnya yang dirampas sejak zaman Dr. Mahathir lagi.

Harapan untuk membeli motokar baru yang murah juga hilang. Walaupun BN dalam aku janji manifestonya menjanjikan untuk menurunkan harga motokar yang baru, tetapi ia tidak menjanjikan penghapusan cukai  eksais atasnya.

Orang-orang yang menangguh pembelian motokar sejak beberapa bulan  dulu kerana menunggu harapan PR sampai ke Putrajaya, terpaksa melupakan harapan itu. Terpaksalah membelinya dengan harga yang biasa.

Orang yang meminjam PTPTN terpaksa melupakan  saja harapan ia dimansuhkan dan yang menangguhkan membayarnya dulu beriktiarlah membayarnya. 

Ibu bapa yang anak-anaknya yang bakal masuk universiti selepas ini, tak usah memikirkan anak-anaknya akan bebas dari tanggungjawab PTPTN. Rakyat sekarang sudah hilang peluang untuk mendapat pelajaran percuma dari pra sekolah hingga ke universiti.

Ibu bapa yang mahu anak-anaknya masuk ke sekolah agama  rakyat dan tahfiz al-Quran terpaksa memikirkan sistem pengajian itu mengikut cara lama iaitu berbelanja sendiri.

Semangat perlembagaan menjanjikan setiap  anak yang lahir ada peruntukan pendidikan per kepala. Peruntukan itu akan ikut ke sekolah mana anak itu pergi. Yang memilih belajar di sekolah Tamil dan Cina, ke sekolah itulah duit itu diberi. Tetapi yang pergi ke sekolah agama rakyat seperti pondok dan tahfiz, duit itu tidak mengikut murid itu.

Pakatan Rakyat ada menjanjikan sekolah seperti itu termasuk  dalam sistem pelajaran percuma yang dicadangkan.

Harapan untuk bebas tol lebuhraya secara berperingkat-peringkat tidak dinikmati selagi Putrajaya tidak diambil  allih oleh  Pakatan. Maka sekalian rakyat untuk masa lima  tahun akan datang tidak dapat berangan-angan untuk melalui lebuhraya tanpa tol. Tidak diketahui apakah ia akan dikurangkan? Apa pun bersedialah untuk meneruskan mengguna lebuhraya seperti biasa.

Orang-orang yang kena saman ekor, bersedialah untuk membayarnya jika tidak mahu diburu.

Apakah tidak mustahil kerajaan yang menang itu menciplak segala janji manifesto PR? Ia tidak dapat difikirkan kerana ia berkara, melaksanakan janji itu menyebabkan negara bangkrap. Ia tak akan fikirkan hal itu.

Jangan berputus asa. Sebarlah dengan ujian kekalahan itu. Lima tahun lagi akan diteruskan janji itu. Lima tahun tidaklah lama sangat.