SIAPA PEMIMPIN YANG HENDAK KITA PILIH? –
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Keunggulan sesuatu
bangsa bergantung kepada dua faktor utama. Pertama, kekuatan budaya. Kedua,
kemampuan pemimpinnya. Tanpa dua faktor ini, sesuatu bangsa akan jatuh walau
sekuat mana kekuatan ekonomi dan ketenteraannya. Kedua-duanya merupakan
pra-syarat yang mesti dipenuhi jika ingin memartabatkan bangsa. Semakin tinggi
dan jauh perjalanan ke arah pencapaian cita-cita bangsa, maka seharusnya
semakin kuatlah pula budaya dan wibawa kepemimpinannya.
Dua faktur itu umpama tiang seri pada sebuah rumah. Jika
rumah ingin dibesarkan, maka semakin perlulah tiangnya diperkukuhkan.
Pembesaran sebuah rumah, tanpa mengukuhkan tiang serinya hanya akan
mempercepatkan robohnya rumah itu. Maka begitulah kias ibarat dalam usaha
membangunkan kekuatan sesuatu bangsa. Tanpa usaha pengukuhan budaya dan
memantapkan kepimpinan, akan tumbang oleh beban cita-cita besarnya.
Namun, bangsa yang sudah alah dan dipermalukan di pentas
sejarah sekalipun masih mampu bangun jika kedua-dua faktor itu diperkukuhkan.
Apa yang terjadi kepada Jerman dan Jepun, yang pernah mengalami kekalahan
seperti yang disifatkan oleh sejarah sebagai ‘The worst defeat in history’?
Kebangkitan yang amat menakjubkan. Dalam masa yang relatif singkat, dua negara
itu telah bangun sebagai raksasa ekonomi dunia. Budaya Jepun yang kaya dengan
nilai ilmu, semangat patriotik, etika kerja yang kuat dan lain-lain itu telah
mampu membina semula Jepun dari puing-puing ledakan atom di Hiroshima
dan Nagasaki .
Atas kesedaran inilah, kita mesti mempunyai budaya yang
sesuai untuk menjadi sebuah bangsa yang maju. Istilah-istilah seperti
transformasi, reformasi, Melayu baru dan lain-lain adalah manifestasi pada
keinginan yang meluap-luap untuk mengukuhkan budaya Melayu. Sudah dirasakan
bahawa, pada jati diri Melayu ada nilai-nilai positif yang perlu digilap untuk
lebih menyerlah. Pada masa yang sama ada juga kelemahan yang perlu diatasi. Tegasnya, Melayu
sebagai satu bangsa yang ingin maju, wajib berbuat sesuatu untuk meningkatkan
lagi darjah kecemerlangan nilai-nilai budayanya yang baik. Soalnya bagaimana
proses tranformasi budaya ini hendak dilaksanakan? Siapa yang akan
menerajuinya?
Persoalan ini menjadikan
faktor kedua (kekuatan pemimpin), menjadi begitu signifikan. Kekuatan pemimpin
lebih dominan daripada kekutan budaya untuk menjamin keunggulan sesuatu bangsa
kerana hanya pemimpin yang kuat sahaja mampu merubah atau melakukan tranformasi
budaya. Seorang pemimpin yang baik ialah seorang ‘culture builder’ yang mampu
membina kekuatan budaya bangsanya. Oleh kerana itulah sejak dahulu lagi apabila
suatu bangsa muncul sebagai satu bangsa yang unggul, ia mesti diketuai oleh
seorang pemimpin yang kuat. Contohnya, Meiji pada bangsa Jepun, Bismark untuk
bangsa Jerman, Churchill untuk Inggeris dan George Washington pada bangsa
Amerika .
Hakikat ini lebih jelas bila
disorot melalui kacamata Islam. Jelas apabila Allah kehendaki sesuatu bangsa
itu menjadi kuat dan berdaulat, maka Allah akan utuskan seorang pemimpin kepada
bangsa tersebut. Pada umat Arab jahiliyah, Allah utuskan Nabi Muhammad s.a.w.
Walaupun, missi kedatangan Rasulullah adalah untuk seluruh manusia, di seluruh
dimensi masa, namun tidak dapat dinafikan bangsa Arablah yang pertama dijulang
oleh kekuatan kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.
Begitulah juga nabi Musa a.s.
di kalangan Bani Israel, yang kemudiannya memartabatkan Bani Israel setelah
sekian lama ditindas oleh bangsa Qibti. Secara ‘Natural Law’ atau Sunnahtullah,
jika sesuatu bangsa hendak ditakdirkan menjadi kuat, maka sudahj pasti
dianugerahkan buat mereka seorang pemimpin yang bertindak sebagai peneraju,
aspirasi dan pemangkin pada proses tranformasi budaya.
Bangsa Melayu juga tertakluk
kepada hukum ini. Tahun-tahun yang akan datang perlukan pemimpin yang relevan
dengan perubahan dan keadaan semasa. Cabaran-cabaran semasa selalunya
menentukan corak kepimpinan pemimpin yang dimaksudkan. ‘Kelembutan dan
ketegasan’ Abraham Lincoln, lahir ketika perlunya kesatuan Amerika tanpa
dipisahkan oleh permasalahan penghambaan kulit hitam negara Utara dan Selatan. ‘Tangan
Besi’ Bismark perlu untuk membentuk satu Jerman yang kukuh dan utuh. Dari segi
kerohanian pula, kedatangan Nabi Isa a.s., Nabi Musa dan Nabi Muhammad s.a.w.
sangat signifikan ketika nilai-nilai kemanusiaan hancur lebur oleh sifat tamak
dan rakus manusia.
Jika
hukum ‘situtional leader’ ini terus relevan, maka pemimpin bangsa Melayu abad
ke 21 mestilah seorang yang mampu membina kekuatan ekonomi, kemantapan politik
dan kesucian Islam di tengah-tengah ledakan era globalisasi dan prasangka dunia
Barat yang tidak pernah jera dan reda. Dia juga dia mesti mampu berdepan dengan
cabaran keruntuhan etika dan moral di mercu ketinggian sains dan teknologi. Seorang
cendikiawan Melayu, Profesor Dr. Siddiq Fadhil pernah menegaskan seorang
‘culture builder’ adalah pemimpin yang boleh dijadikan role-model kepada
rakyatnya. Menurutnya, tidak mungkin seseorang pemimpin mampu merubah orang
lain, jika dia sendiri tidak mampu mengubah dirinya.
Seorang ‘culture builder’
harus mempunyai kemampuan yang lebih daripada itu. Dia bukan sekadar memimpin
orang lain untuk mengikuti dirinya, tetapi dia juga mesti mampu memimpin orang
itu untuk memimpin diri mereka sendiri. Setelah rakyat mampu memimpin diri
mereka sendiri, barulah proses tranformasi budaya dapat dilaksanakan dengan
jayanya. Ini juga syarat yang tidak boleh dipandang ringan dalam hikari
kepimpinan Melayu Islam terkini.
Hasrat membentuk masyarakat
maju dengan acuan tersendiri (masyarakat Madani) adalah pancaran perjuangan
untuk menyerlahkan nilai-nilai Islam tanpa meminggirkan kekuatan ekonomi,
politik dan realiti perubahan yang melanda dunia. ‘Civilised Society’ saranan Al
Farabi yang Islamik tidaklah sama dengan ‘Social Contract’ ilham Reaseau atau
pemikir-pemikir politik Barat yang lain. Masyarakat Madani adalah masyarakat
yang menggabungkan tiga teras kekuatan utama yakni politik, ekonomi dan agama
demi kesejahteraan dan kemakmuran ummah. Natijahnya, negara akan maju serta
kaya dengan nilai-nilai akhlak yang tinggi. Inilah ‘the true colours of Islam’
yang perlu ditampilkan oleh kepimpinan Melayu Islam di persada dunia
antarabangsa.
Mungkin ini ‘perang baru’
yang menghantui Samuel Huntington dalam ‘Clash of Civilization’nya. Walau
bagaimanapun kebimbangan itu tidak berasas kerana imej Islam yang cuba
diketengahkan oleh Melayu Islam berbeza sama sekali dengan imej Islam yang
sedang di bena di Timur Tengah dan Indo-Pakistan pada masa ini.
Sekarang mari kita lihat
realitinya. Mari kita lihat betapa ramai ‘wakil rakyat’ yang tidak bersama
rakyat. Tidak semestinya calon yang ditunjukkan oleh parti untuk menjadi ADUN
atau MP adalah terdiri daripada individu yang benar-benar komited pada
perjuangan membela rakyat. Kenapa mereka terpilih? Ini juga menimbulkan
persoalan. Nampaknya, parti politik (tidak kira daripada parti mana) mesti
mempunyai mekanisme yang lebih telus dan cekap untuk mengenal ‘mana intan mana
kaca’ di kalangan calon-calon mereka sendiri.
Dan lebih aneh, kalau ‘kaca’
yang disangka permata ini boleh lepas daripada saringan untuk dipilih sebagai
wakil rakyat yang bukan sahaja gagal bergelanggang di tengah rakyat (untuk
sama-sama berpanas, berhujan dan berembun) tetapi untuk duduk dalam parlimen
yang berhawa dingin pun mereka tidak mampu. Tentulah kerja berbahas, berhujah,
memerah fikiran untuk membuat keputusan di dalam parlimen walaupun diakui
adalah sukar dan mencabar tetapi melaksanakan keputusan itu saya kira jauh lebih
sukar.
Saya teringat betapa satu
ketika Sayidina Umar bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “jika aku telah
melantik orang yang baik sebagai pemimpin-pemimpin pembantuku, apakah aku telah
melaksanakan amanah kepimpinan ini dengan baik?” Sahabat-sahabatnya menjawab,
“tentu sudah wahai Amirul Mukminin…” Sebaliknya Umar menjawab, “belum, sehingga
aku memastikan orang baik itu melaksanakan kebaikannya!” Bagaimana kita?
Sudahkah terlantik orang yang baik? Itupun sudah terlalu sukar. Dan sudahkan
orang yang baik melaksanakan kebaikannya? Bab yang kedua ini jauh lebih sukar.
Saya kira parti-parti
politik perlu lebih ketat untuk menyaring bagi mendapat calon-calon terbaik
mereka kerana kita tidak boleh mengharap rakyat berbuat demikian dalam pilihan
raya umum. Ini kerana kecenderungan sekian lama oleh masyarakat yang memilih
wakil rakyat mereka berdasarkan parti yang mereka yakini bukan calon yang
terlibat. Kredibiliti calon lebih disandarkan kepada kredibiliti parti… ini
masalahnya. Ini akan memberi ruang yang cukup besar untuk ‘wakil rakyat yang
tak bersama rakyat’ ini mendapat kedudukan dalam parti walaupun mereka tidak
langsung berada di hati para pengundi. Jadi apa yang mereka lakukan… hanyalah
berbuat sesuatu agar tetap mendapat ‘perhatian’ beberapa orang yang berkuasa
dalam parti ataupun wakil-wakil bahagian, untuk terus mendapat pencalonan
sebagai calon ADUN atau MP.
Saya rasa ini juga satu
sebab yang memungkinkan berlakunya ‘politik wang’ dalam parti pemerintah satu
ketika dulu (hingga kini?). Bagi mereka yang ‘busuk’ ini adalah lebih mudah
menggunakan wang untuk mempengaruhi individu-individu dalam parti daripada
kerja keras untuk mempengaruhi rakyat di tengah masyarakat. Apabila menang
pilihan raya, mereka mengaut untung melalui kedudukan dan status MP atau ADUN. Kemudian
wang itu ‘dilaburkan’ sedikit untuk mendapat sokongan berterusan dalam parti. Kemudian
mereka tercalon lagi.
Dan mengaut untung, lalu
melabur lagi… Begitulah
sifir mudah politik wang. Kedudukan dalam parti bukan dilihat sebagai amanah
untuk berbakti tetapi sebagai pelaburan untuk menguntungkan peribadi. Bagi
mereka, parti mungkin dilihat sebagai entiti perdagangan di mana telah kuasa
digunakan untuk menjana keuntungan…
Rakyat berada nun jauh di
sana… poster wajah calon yang ditampal pada musim-musim pilihan raya bukan
‘wajah’ calon itu yang sebenar. Rakyat hanya mengenal dacing, bulan dan
lain-lain. Pada mereka itu sudah sinonim dengan kemakmuran, keislaman, keadilan
yang kerap dilaung-laungkan. Tidak kiralah siapa orangnya, asalkan baik partinya.
Betul juga, kalau hanya calonnya baik tetapi partinya tidak baik, mana mungkin
jentera pembangunan setempat hendak dibangunkan?
Ia memerlukan keupayaan
sebuah organisasi bukan kekuatan peribadi. Jadi apa harapan rakyat? Harapan
rakyat ialah parti tersebut mesti berbuat sesuatu untuk memastikan agar ‘musang
berbulu ayam’ ini tidak dicalon bukan untuk kali keduanya tetapi janganpun buat
kali pertama! Masa 4-5 tahun adalah terlalu panjang untuk membiarkan pemimpin
gadungan ini bermaharalela.
Ya, kini kita sudah diambang
musim pilihanraya. Ketua-ketua parti, sama ada parti kerajaan mahupun
pembangkang sudah rancak bercakap tentang wakil-wakil yang bakal dipilih atau
‘direhatkan’ menjelang pilihanraya yang akan datang. Lobi melobi mula berlaku.
Malah suara-suara mula kedengaran ada kemungkinan pemimpin NGO akan turut serta
memasuki pilihanraya. Dunia kepimpinan Malaysia berada di peringkat kematangan.
Tahap di mana semakin ramai orang yang ingin muncul sebagai pemimpin. Secara
sinis mungkin kita boleh berseloroh, akan tibakah masanya nanti ketika lebih
ramai orang ingin memimpin daripada yang rela dipimpin. Waktu itu berapa
keratkan yang masih tinggal untuk menjadi pengikut?
Dalam keghairahan
membangunkan generasi muda sebagai pelapes kepemimpinan, elemen asas yang harus
diterapkan ialah nilai-nilai dan etika kepimpinan yang berkesan. Saya kira
elemen ini yang agak lemah dalam parti-parti politik di Malaysia. Satu kaedah
pemantapan nilai yang kukuh belum terserlah. Sedangkan nilai adalah faktor
utama dalam menentukan sikap dan perlakuan seseorang. Ia adalah benih kepada buah kebaikan
dalam diri dan organisasi. Jadi kalau kita hanya bercakap soal buah, tetapi
soal benihnya tidak disentuh, maka kita pasti gagal melahirkan pemimpin yang
bersih, cekap dan amanah.
Bagaimana menanam nilai
dalam diri anggota organisasi dan parti-parti politik khusnya? Pakar agama,
pakar psikologi, motivasi dan pendidikan telah sepakat bahawa manusia itu ialah
apa yang diyakininya. Ertinya, asas sistem nilai ialah keyakinan. Istilah yang
selalu digunakan untuk keyakinan ini ialah ‘belief system’. Keyakinan ini
dibentuk oleh prinsip fitrah insani dan juga soal keimanan yang bersumber dari
wahyu. Dalam Islam elemen ini dinamakan akidah atau iman. Bila keyakinan sudah
teguh, maka terbentuklah apa yang dikatakan ‘world-view’ atau pandangan alam –
yakni bagaimana kita melihat kehidupan, diri dan alam ini. Dari sini
terbentuklah sistem nilai. Sistem nilai ini ialah penentu dalam diri yang
mempengaruhi pilihan seseorang. Dia akan memilih sesuatu yang dilihatnya
bernilai dan meninggalkan sesuatu yang tidak bernilai. Akhirnya, inilah yang
membentuk sikap dan kelakuan seseorang.
Itulah gambaran selayang
pandang tentang erti nilai dan bagaimana menerapkannya dalam organisasi
politik. Jadi soalan yang menarik untuk difikirkan ialah sudahkan biro atau
bahagian dalam parti berkenaan berfikir tentang persoalan ini dengan serius? Sudahkan
dirangka pelan tindak untuk memantapkan keimanan sebagai asas keyakinan diri
para pengikut terutamanya mereka hendak menjadi calon ADUN dan MP? Apakah
mereka sudah melalui satu program atau proses mengenal pasti nilai-nilai yang
hendak dijadikan pegangan oleh parti? Apakah mereka tahu, mahu dan mampu untuk
menyelaraskan tindakan seharian dengan nilai-nilai yang diyakini atau ada
‘percanggahan’ perlakuan dan keyakinan yang akhirnya melahirkan pemimpin yang
cakap tak serupa bikin?
Tanpa minda dan pengertian
yang tepat, seseorang hanyalah seperti ‘burung tiong yang pandai bercakap’
sekalipun telah dinobatkan sebagai pemimpin. Burung tiong hanya pandai bercakap
kerana ia dilatih untuk menurut apa yang diperkatakan tanpa memahami
pengertiannya. Keadaan yang sama boleh berlaku bila seseorang menjadi pemimpin
tetapi tidak memahami langsung erti, nilai, etika dan kriteria kepimpinan. Hakikat
ini sering berlaku di dalam parti terutamanya apabila seseorang terlalu
mengikut apa yang dilakukan oleh orang No.1 secara Pak Turut semata-mata.
Pemimpin bukanlah satu
profesyen biasa yang boleh ditangani secara mudah. Tanpa persediaan yang cukup,
akan lahir pemimpin-pemimpin ‘instant’ yang tidak tahan godaan dan tidak mampu
menangani cabaran terkini. Kualiti pemimpin tidak sama dengan makanan segera
yang sifatnya cepat disiapkan, cepat pula dimakan. Pemimpin yang muncul
mendadak, cepat naik dan kemudian cepat pula jatuhnya samalah seperti Mee
segera – “cepat dimasak, sedap dimakan…” kemudian cepat pula dibuang!”
Keghairahan untuk menjadi
pemimpin di kalangan generasi muda mestilah diimbangi oleh ilmu kepimpinan
khususnya memahami erti kepimpinan sebenar. Yang paling penting sebelum
memimpin orang lain, mereka harus belajar memimpin diri sendiri dahulu. Dengan
memahami definasi kepimpinan terutama yang berkaitan dengan elemen-elemen
asasnya, seorang bakal pemimpin akan tahu apakah persiapan yang perlu dibuat
dari segi mental, spiritual dan fizikal untuk memikul tanggung-jawab
kepimpinan. Untuk mendapat ilmu kita perlu belajar dan untuk belajar kita mesti
menjadi pengikut. Oleh itu, tidak salah kalau kita belajar menjadi pengikut
yang baik terlebih dahulu sebelum menjadi pemimpin yang baik.
Yang pastinya bakal pemimpin
harus belajar mengenal diri sendiri, menganalisis potensi pemikirannya serta
mencungkil sebanyak-banyaknya iktibar dan hikmah dari pengalaman yang boleh
digarap ketika mengharungi realiti sepanjang hayatnya. Dari segi ketahanan diri
pula, mereka perlu didedahkan kepada cabaran dan dugaan hidup yang
diterjemahkan melalui program wacana, kembara, dilatih mengharungi
kaedah-kaedah ‘survival’, hidup ditengah masyarakat, serta dipandu untuk
mendisiplinkan diri secara istiqamah dan penuh iltizam demi menyerlahkan lagi
jatidiri berteraskan nilai-nilai murni yang abadi.
Di alaf matang dunia
kepimpinan ini, kebijaksaan sangat diperlukan untuk mempertahankan kualiti
kepimpinan dari sekian banyak kuantitinya. Apabila tokoh-tokoh korporat dan
golongan profesional menceburi politik, mereka perlu faham bahawa yang mereka
hadapi kini ialah manusia yang ada fikiran dan perasaan bukan mesin dan produk.
Sekurang-kurangnya mereka seharusnya tidak terkeliru antara peranan
kepemimpinan dengan pengurusan. Berdasarkan definasi kepimpinan yang tepat,
kita seharusnya dapat membezakan antara pemimpin dan pengurus. Stephen R. Covey
dalam bukunya “The 7 Habit of Highly Effective People” dengan jelas membezakan
antara seorang pengurus dengan seorang pemimpin. Menurutnya, fokus asas
kepimpinan ialah: Apakah perkara yang mahu dicapai, sedangkan fokus asas
pengurusan ialah: Apakah cara atau alternatif yang paling baik untuk mencapai
perkara yang telah ditentukan.
Berdasarkan kenyataan ini
jelas menunjukkan bahawa kepimpinan dahulu dan pengurusan kemudian. Secara
analoginya, “pengurusan ialah kecekapan memanjat tangga kejayaan; kepimpinan
menentukan sama ada tangga itu menyandar pada tembok yang betul”. Peter Druker dan Warren Danis pula mendefinasikan,
“Management is doing things right; Leadership is doing the right thing”. Dalam
ertikata yang lain, pengurusan dan kepimpinan bukanlah suatu yang sinonim.
Pengurus yang baik tidak semesti pemimpin yang baik begitulah sebaliknya.
Seorang pengurus dikehendaki merancang, menyusun kakitangan dan mengawal.
Manakala pemimpin berperanan mempengaruhi dan menentukan agar pengikut sentiasa
menuju ke arah matlamat.
Pengurusan yang cekap tanpa kepimpinan yang berkesan
adalah seperti ‘berlunjur sebelum duduk.’ Seorang yang hanya berwatak pengurus,
tidak akan mampu mempengaruhi dan mengarah anggota organisasinya mencapai
matlamat organisasi. Penyusunan yang baik, plan tindak yang kreatif dan
prasarana yang mencukupi, tidak bermakna apa-apa jika anggota organisasi tidak
dapat dipengaruhi dan didorong untuk bertindak. Justeru itu secara idealnya,
seorang pengurus mestilah juga merupakan seorang pemimpin kerana ia seharusnya
mampu mempengaruhi sarbodinat ke arah pelaksanaan.
Tegasnya, kriteria dan kelayakan yang perlu ada pada
seorang pemimpin adalah lebih tinggi daripada seorang pengurus atau peniaga.
Antara sifat yang perlu ada ialah mereka mesti mempunyai keperibadian dan
karisma semula jadi seperti keupayaan berfikir, keberanian yang luar biasa,
kepetahan berkata, wajah yang menarik dan lain-lain. Mereka mesti memiliki
kekuatan jiwa, akal dan perasaan yang melahirkan pelbagai sifat baik seperti
tabah, yakin, berani, tahan uji, optimis, tegas, mempunyai idea, kaya minda,
berstrategi, kreatif, bijaksana, imiginasi, simpati, empati, prihatin,
timbang-rasa, lemah-lembut, kasih-sayang dan pemaaf.
Dengan segala sifat yang
baik barulah mereka boleh berperanan. Pemimpin mesti boleh berperanan dengan
baik. Malangnya, ramai yang berfikir secara songsang – apa yang difokuskan
bukan peranan tetapi ganjaran. Jika kita hanya berfikir tentang ganjaran, maka
ini akan menyebabkan kita mengabaikan peranan. Sebaliknya, bila seseorang
pemimpin fokus pada peranan, maka ganjaran akan datang dengan sendirinya. Malangnya,
wakil rakyat yang kita sebut diawal tulisan ini asyik memikirkan ganjaran bukan
peranan. Apakah peranan utama pemimpin?
Secara ringkas saya nyatakan
bahawa ruang-lingkup peranan pemimpin terbahagi dua: Menjaga keperluan lahiriah
(kebajikan) pengikut. Kedua, mendidik (akliah, perasaan dan rohaniah) para
pengikutnya. Untuk itu mereka harus mempunyai watak yang ‘verstyle’. Antaranya
mereka perlu berwatak guru, sahabat, motivator, kaunselor, imam solat dan
sebagainya. Walaupun mungkin mereka tidak semestinya mempunyai ilmu dan
kebolehan khusus dalam bidang-bidang tersebut, tetapi mereka mesti memilki
‘general knowledge’ yang membolehkan mereka berperanan serba sedikit. Itulah
sifat pemimpin, jika kita tidak layak… beri laluan pada yang lain!
Seperkara untuk bermuhasabah,
apakah anda (khususnya wakil rakyat) apakah anda pernah mengajar dan mendidik
orang bawahan anda? Apakah anda pernah berusaha untuk melahirkan lebih banyak
pemimpin pelapes? Apakah anda giat menambah kemahiran kepimpinan sama ada yang
berkaitan ‘behavioral skills’ atau ‘technical Skills’? Dan sebagai pemimpin
Islam sudahkah anda memantapkan lagi ilmu-ilmu asas di bidang akidah, feqah dan
akhlak? Jika jawapannya ‘belum’, maka anda seharusnya belajar jadi pemimpin
bukan memimpin. Inilah yang dimaksudkan oleh Imam Safie, “belajarlah sebelum
jadi pemimpin!”
Untuk menjalankan
peranannya, para pemimpin (sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW)
mestilah menjadi khadam (hamba) kepada pengikutnya. Di satu hadis yang lain
Rasulululah menegaskan para pemimpin ialah ‘gembala’ kepadanya pengikutnya. Ertinya,
tugas kepemimpinan adalah amanah bukan anugerah. Ia akan dihisab
dipertanggung-jawabkan (ditanggung dan akan disoal) tentang kepimpinannya bukan
sahaja oleh ketua parti atau Perdana Menteri tetapi oleh Tuhan.
Jika para pemimpin sedar
tentang hakikat ini, mereka bukan sahaja akan merendah diri, rajin dan komited
dengan tugas bahkan bimbang bila dilantik menjawat sesuatu amanah. Memang,
sikap kita dengan kepimpinan seharusnya tidak berebut untuk mendapatkannya
tetapi apabila telah dilantik juga dia akan menjalankan tugas dengan penuh
amanah dan iltizam.
Kesimpulannya, kejahilan
kita tentang tanggung-jawab dan amanah kepimpinan telah menyebabkan berlakunya
perebutan untuk menjadi pemimpin. Dan apabila telah dilantik, tidak menunaikan
amanah dengan sebaik-baiknya. Memahami erti kepimpinan dan menguasai ilmu
tentang elemen-elemen asasnya, adalah pra-syarat buat seseorang untuk menjadi
pemimpin. Bayangkan, sedangkan seorang tukang masak pun mesti mempunyai ilmu
tentang masakan, apalagi seorang pemimpin… Kita
menaruh harapan agar Malaysia mampu melahirkan pemimpin yang berkualit
No comments:
Post a Comment