Wednesday, May 8, 2013


CERITA BENAR BUAT IKTIBAR -Ust. Pahrol Mohd Juoi

07MEI
936398_196859210461661_1971519674_n

1.    WALAU SESUDAH KEMATIANNYA…

Kami berbual tidak panjang. Hanya seketika dia menghabiskan catatan dalam buku harian kerjanya, mungkin. Dan saya menunggu giliran untuk masuk melawat ahli keluarga yang sakit.
“Alhamdulillah, sekarang majoriti  jururawat beragama Islam menutup aurat,” kata saya kepada seorang jururawat senior yang duduk berdepan dengan tempat saya menunggu.
“Satu perjalanan panjang. Proses yang berliku-liku, akhirnya Allah izinkan jua kami menutup aurat,” balasnya dengan senyuman.
“Tentu ada kenangan yang manis, “ jolok  saya untuk menghidupkan perbualan.
“Memang ada…. sampai sekarang masih menjadi ingatan, aspirasi dan pembakar semangat saya. Maklumlah, ujian pasti datang bertali arus. Tetapi saya dapat kekuatan setiap kali mengenangkan peristiwa itu.”
Dia pun mula bercerita. Cerita lama. Telah berlaku lebih kurang  30 tahun yang lalu.
“Ketika itu saya masih bertugas di sebuah hospital besar di sebuah bandar. Masa tu saya sendiri masih ‘free hair’.  Pada waktu itu menutup aurat pada wanita yang berkarier masih menjadi larangan. Masyarakat masih memandang serong hukum menutup aurat….” Dia mula bercerita.
“Satu hari seorang wanita awal akhir 20’an, seingat saya, dimasukkan ke dalam wad yang saya menjadi antara petugasnya yang menjaganya. Sakitnya agak kronik. Wanita ini sangat baik, tutur katanya lembut dan berakhlak. Dia paling menjaga waktu solat dan sentiasa dalam keadaan menutup aurat. Maklumlah ada juga petugas dan doktor lelaki yang bertugas di dalam wad tersebut…”
Saya menanti di mana ‘istimewanya’ kisah wanita menutup aurat itu.
“Acap kali dia pengsan. Sebaik tersedar, pertanyaan pertamanya  ialah, apakah sudah masuk waktu solat? Kemudian dengan cepat dia akan membetulkan kain tudung yang menutup auratnya.  Dia sangat cakna dan prihatin betul dengan solat dan auratnya.”
“Lama dia di dalam wad. Perihal sikapnya yang sangat menjaga waktu solat dan penutupan aurat itu sudah menjadi ‘trade mark’nya dan telah dimaklumi oleh petugas hospital dan pesakit di wad berkenaan. Bukan sahaja yang muslim, malah doktor dan petugas bukan Islam pun menghormati prinsip wanita tersebut. Mereka akan berhati-hati apabila berdepan dengannya. “
“Bagaimana dengan sikapnya yang lain?” tanya saya.
“Sikapnya yang lain?”
“Maksud saya dengan keperibadiannya selain solat dan menutup aurat?”
“Dia baik dan hormat dengan semua orang, tidak kira Islam atau bukan Islam. Walaupun menutup aurat, penampilannya sangat dijaga. Sangat menjaga kebersihan dan  masa. Tapi itulah… sakit barahnya sudah sangat parah. Tahap kritikal. Kira-kira 2 bulan kemudian dia meninggal dunia. Hari kematiannya itu yang paling mengesankan…”
Saya diam.  Saya melihat suaranya mula tersekat-sekat. Air matanya mula mengalir…
“Tak sangka lepas solat Subuh pagi itu dia meninggal dunia. Ketika meninggal dunia kain tudung yang menutup wajahnya terbuka sedikit kerana mukanya sudah jatuh di sebelah. Beberapa helai rambutnya terjuntai keluar. Bayangkan… seorang doktor bukan Islam segera berkata pada saya dan rakan jururawat yang lain, cepat-cepat tutup semula, rambutnya sudah terkeluar! ….
Saya terkejut. MasyaAllah.
“Tuan bayangkan, orang bukan Islam pun sangat menghormati prinsipnya. Seperti mana dia menjaga auratnya semasa hidup begitulah Allah jaga auratnya setelah meninggal dunia sehingga orang bukan Islam Allah gerakkan hatinya membantu menutup auratnya.”
“Sejak itu?”
“Sejak itu saya dan beberapa orang kawan lagi tekad menutup aurat. Mula-mula tu dengan berskaf sahaja. Lama-kelamaan meningkat sedikit demi sedikit sampailah semacam ni. Kami sangat tersentuh dengan sikapnya.”
Saya senyum. Begitulah hebatnya berdakwah melalui akhlak dan sikap. Tidak payah banyak cakap. Tidak tunggu sihat, orang beriman ketika sakit pun masih mampu berdakwah.  Dakwah itu umpama akar, yang lembut dan keras dapat ditembusinya. Dakwah itu umpama air, tidak dapat disekat… akan tekad mencari arah untuk terus mengalir.
  1. penipuan-popular
    2.      MUSLIHAT DENGAN SELAWAT
Tiba-tiba bum, kereta saya dilanggar dari belakang. Saya terpaksa berhenti di persimpangan sebuah bulatan. Seorang lelaki Melayu keluar dari sebuah kereta mewah. Saya kira dia hanya seorang pemandu… ada tuannya yang duduk di sebelah kiri bahagian belakang. Juga seorang Melayu.
“Assalamualaikum. Allahhumma salli ala Muhammad…” ujar pemandu itu berkali-kali sambil menghulurkan tangan buat bersalam.
Saya menjawab salam dan kemudian terus berjabat tangan.
“Selesai cara mudah sahaja. Kita orang Islam.”
“Ya. Ya, “jawab saya sambil memerhati kerosakan kereta. Kereta mewah yang dipandunya tidak rosak apa-apa tetapi kereta saya memang teruk. Congak saya jika dihantar ke kedai anggapannya tidak kurang rm 500.
“Ya kita buat cara mudah. Kita saling bermaafan sahajalah. Lupa-lupakan sahaja. Lagipun saya tidak sengaja.”
“Tapi tuan melanggar dari belakang. Ini satu kecuaian. Lagipun saya perlu kos untuk membaiki kereta saya ni.”
“Alllhahumma salli ala Muhammad…  kita bermaafanlah.”
“Ya. Tetapi kita mesti bertanggung jawab…”
Dia pergi menemui tuannya yang tidak pun keluar dari kereta sejak tadi. Asyik membaca akhbar. Ya, dia orang besar.
“Beginilah encik, ambil kad ini dan talifon kita berurusan kemudian. Kami yang salah, insyaAllah kita ‘settle’ nannti. Jangan lupa call nombor ini ya,” sambil memberi kertas yang ada catatan no talefon.
Oleh sebab percaya dan tidak mahu menyusahkan kereta-kereta yang sudah berbaris di belakang saya menerima kertas itu dan berlalu segera.
Satu hari, dua hari, tiga hari dan sehingga seminggu… saya menalipon nombor yang diberikan. Namun tidak ada jawapan. Cuma sekali ada bunyi diangkat dan saya disergah oleh suara kasar dengan bahasa asing.  Tidak ada selawat lagi!
  1. jujur
    3.      HARGA SEBUAH KEJUJURAN
“Betul ke ni?” tanya saya.
“Betul ayah. Dia berjanji menunggu di kedai inilah,” jawab anak saya.
“Kalau betul memang nyonya tu hebat. Berlanggar dua hari lalu, hari ini janji nak bertemu baiki kereta kita yang rosak, “ kata saya.
Dua hari yang lalu kereta anak saya dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh seorang nyonya tua. Nyonya itu yang salah, buat ‘reverse’ ke belakang tanpa toleh. Begitu menurut anak saya. Akibatnya, dua buah lampu depan kereta anak saya pecah. Nyonya itu berjanji untuk menggantinya di sebuah kedai yang ditentukannya sendiri. Dia sudah biasa di kedai itu. Anak saya baru sahaja mendapat lesen, sangat naif dengan insiden seperti itu. Main percaya sahaja.
Harapan saya 50-50.
“Kalau nyonya Cina tu tak sampai lagi cuba call,” cadang saya kepada anak.
Sedang anak mendail tiba-tiba, seorang nyonya tua berwajah bersih datang dari arah belakang lantas berkata, “Selamat pagi. Maaf, saya lambat sikit. Jalan ada jam sikit. Oh, ni bapak you ka? Semalam saya kata you jangan takut nanti saya terangkan sama bapak you saya yang salah.”
Saya tertawa. Terhibur dengan keramahannya. Kami segera berurusan. Lampu diganti dan kemik kereta di bahagian hadapan pun dibaiki. Semua perbelanjaannya ditanggung oleh nyonya Cina itu. Ternyata dia menepati janji. Bayangkan, bukan mudah tanpa ada apa-apa ‘gerentor’, hanya berbekalkan kepercayaan… dia benar-benar menepati janji. Terus terang dalam hati saya terdetik, alangkah baiknya jika dia seorang Islam. Dalam diam saya berdoa, semoga dia menerima hidayah!
P/s Pada pandangan saya yang kerdil ini, bukan isu perkauman… tetapi isu kejujuran yang telah diragukan! Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment