Menilai fakta, bukan menyebar dusta
ABD
RAZAK MUTHALIB
SH 10
Mei 2013
Islam adalah
satu-satunya agama yang diredai ALLAH SWT. Islam bukanlah milik mana-mana individu atau mana-mana kumpulan. Islam
adalah hak milik ALLAH SWT. Oleh itu segala syariat dan isi kandungannya
ditentukan oleh ALLAH Azza wa Jalla sendiri, Pemilik agama ini.
Tiada ruang untuk manusia yang terbatas akal fikiran dan kemampuannya untuk
menentukan atau memutuskan walaupun sedikit apa-apa perkara yang berkaitan
agama, kecuali dengan dipaksikan kepada hujah dan dalil yang kukuh.
Justeru, agama Islam ini dibina di atas dalil
dan hujah. Tiada dalil dan hujah yang paling kuat melainkan al-Quran dan
al-Sunnah. Oleh itu, apa saja hukum, pendapat dan fakta yang berkaitan agama
mesti didirikan di atas dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Mana-mana pendapat atau fakta yang dikaitkan dengan agama, tetapi tidak
dibuktikan dengan hujah al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya tidak boleh
disandarkan kepada agama, walaupun yang memberi pendapat dan fakta tersebut
memakai pelbagai gelaran agama.
Biarpun yang memberi pendapat tersebut ustaz, tok guru, kadi hatta mufti, maka
pendapatnya berhak untuk dinilai dan ditolak sekiranya tidak menepati al-Quran
dan al-Sunnah.
Panduan al-Quran, al-Sunnah
Al-Quran dan al-Sunnah telah menggariskan beberapa panduan umum dalam kita
menerima dan menilai sesuatu fakta khasnya yang berkaitan agama dan berkenaan
perkara lain secara umumnya.
Antaranya ialah seperti di dalam ayat berikut: “Wahai orang-orang yang
beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka
selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan
sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu
(mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.
(Surah al-Hujurat:6)
Oleh itu, bertitik tolak dari ayat ini, ahli sunnah wal jamaah menjadikan
konsep al-tathabbut (mencari kepastian di dalam sesuatu perkara) sebagai asas
utama dalam menilai sesuatu maklumat atau pun dalam menghukum orang lain.
Hal ini bertujuan agar kita tidak melakukan tokok tambah di dalam urusan agama;
dan agar kita tidak menghukum orang lain secara zalim, tanpa bersandarkan fakta
yang benar.
Imam al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan: “Apabila datang kepada
kamu orang fasiq dengan sesuatu berita maka hendaklah kamu selidiki
kesahihannya, pastikannya dan jangan tergesa-gesa dalam menerimanya.
Ini agar kamu tidak menuduh sesuatu kesalahan ke atas golongan yang tidak
bersalah disebabkan kejahilan kamu”.(Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: taqrib wa
tahzib (Damsyik: Dar al-Qalam), 7/33).
Maka dapat difahami bahawa sesiapa yang telah nyata dan pasti kefasiqannya,
maklumat yang disampaikannya perlu ditolak. Al-Qadhi Abu Bakr ibn al-‘Arabi
berkata: “Sesiapa yang pasti kefasiqannya maka batallah perkataannya (hilang
kredibilti) di dalam menyampaikan berita.
Ini adalah ijma’. Sebabnya adalah berita itu suatu amanah dan kefasiqan pula
adalah sebab yang membatalkannya al-‘Arabi, Ahkam al-Quran (Bierut: Dar
al-Kutub al-‘Ilmiyah), 4/147).
Prinsip lain yang diajarkan oleh al-Quran ialah seperti yang dinyatakan di
dalam ayat berikut: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu
mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah
kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan
daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah
tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang
tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH SWT; Sesungguhnya ALLAH SWT
Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Hujurat: 12)
Dari ayat ini pula al-Quran mengajarkan bahawa, adalah menjadi kesalahan jika
kita membuat hukuman berdasarkan sangkaan semata-mata. Oleh itu, untuk
mengelakkan kita terjatuh di dalam kesalahan ini, maka konsep al-tathabbut
merupakan langkah pertama yang mesti dilaksanakan.
Al-Sunnah juga telah memberikan beberapa panduan asas dalam kita memberikan
pendapat, menerima atau menilai sesuatu fakta berkaitan agama. Antaranya
Rasulullah memberikan amaran keras dan janji neraka bagi sesiapa yang
menyandarkan kepada Baginda apa-apa yang tidak dikatakan Baginda. Perbuatan
ini merupakan pendustaan terhadap agama dengan menyandarkannya kepada
Rasulullah.
Sekali gus ia dikira melakukan pendustaan dengan menggunakan nama Rasulullah,
dan ia merupakan jenayah di dalam agama yang amat besar. Maka, memang layak
mereka ini dijanjikan neraka.
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti
berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang
berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam api
neraka”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Di dalam hadis lain, Rasulullah SAW melarang kita untuk menyampaikan semua
cerita yang kita dengar tanpa diselidiki terlebih dahulu. Bahkan, perbuatan
seperti ini termasuk sebahagian daripada pendustaan. “Cukuplah seseorang itu
berdusta dengan dia menceritakan setiap apa yang dia dengar”. (Riwayat
Muslim)
Tidak taklid buta, ikut dalil
Sering kali disebutkan bahawa agama Islam tertegak di atas dalil dan hujah yang
sahih. Kita boleh mendengar tentang agama ini daripada siapa sahaja kerana hari
ini ramai orang dari pelbagai profesion suka untuk bercakap tentang agama. Tetapi
biar siapa pun yang bercakap, biar siapa pun yang mengulas, namun yang kita
terima, pegang dan amalkan ialah percakapan yang disertai dengan dalil yang
sahih.
Oleh itu, setiap orang berhak untuk kita nilai, terima dan tolak pendapatnya
kecuali kata-kata Rasulullah yang sahih. Jangan latih diri kita hanya mengikut
sahaja secara membabi buta, tetapi sentiasalah bertanya mana dalil dan juga
fakta. Agama ini bukan milik datuk nenek kita, tapi milik Yang Maha Mencipta. Jangan pekakkan telinga, bukalah mata, untuk melihat
kebenaran yang nyata.
Manusia diciptakan adalah untuk mengabdikan diri padaNya semata-mata.
Pengabdian ini mestilah ditunaikan sepertimana yang dikehendaki oleh Yang Maha
Mencipta. Tiada siapa di kalangan manusia ini mengetahui apakah dan
bagaimanakah kehendak ALLAH SWT terhadap makhluknya, kecuali seorang manusia
biasa yang disampaikan wahyu kepadanya, Muhammad SAW. Tiada jalan lain untuk
memenuhi kehendak Ilahi kecuali hanya dengan mengikuti jejak langkah Nabi ini.
Rasulullah telah pun wafat. Apa yang ditinggalkan hanyalah al-Quran dan
al-Sunnah sebagai panduan syariat. Kewafatan Baginda bukti bahawa telah
sempurna agama ini untuk ikutan umat. Usah berdalih lagi, hanya patuh dan juga
taat. Nilailah setiap fakta supaya kita menjadi penyebar dusta
Penulis ialah pensyarah di International Islamic College.
No comments:
Post a Comment