PRU13: Pengundi
Cina bukan rasis; ini buktinya
Majdan Dagang
Tuduhan bahawa
orang Cina rasis, tidak mengenang budi, dan ingin jadi PM tidak benar dan tidak
tepat sama sekali. Tuduhan-tuduhan
ini hanyalah andaian tanpa berdasarkan fakta yang sebenar. Adalah dibimbangi
tuduhan ini bertujuan mencetuskan kegelisahan dalam kalangan orang Melayu
khususnya Melayu luar bandar agar terus berpaut pada Umno walaupun mereka
terus-terusan menjadi mangsa kerakusan pimpinannya merompak hasil negara. Umno
juga sedar bahawa kemenangan mereka pada kali ini banyak bersandarkan kelompok
Melayu ini. Jadi mereka akan berbuat apa-apa sahaja agar kumpulan ini terus
kekal walaupun terpaksa meniupkan isu perkauman.
Namun, jika penyokong Umno rajin sedikit membuat kajian mereka akan mendapati
bahawa kenyataan pimpinan mereka tentang masyarakat Cina meleset sama sekali.
Selepas meneliti keputusan PRU13 ini, saya mendapati dengan jelas bahawa orang
Cina bukanlah memenangkan DAP kerana parti itu berasaskan Cina, tetapi undi
mereka kerana menolak Barisan Nasional keseluruhannya. Tambahan pula, mana-mana
kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Cina atau sekurang-kurangnya 40
peratus pengundi Cina, calonnya daripada Pakatan Rakyat akan menang selesa –
tidak kiralah calon itu dari Melayu, Cina, mahupun India.
Antara kawasan yang mempunyai pola sedemikian ialah bagi P48 Bukit
Bendera, Pulau Pinang. Pecahan pengundi mengikut kaum bagi kawasan ini ialah
Melayu (13.99 %), Cina (73.74 %), India (11.22 %) dan lain-lain (1.14
%). Parlimen ini dimenangi oleh Zairil Khir Johari yang berbangsa Melayu
mengalahkan Teh Leong Meng yang berbangsa Cina. Secara logiknya, Zairil Khir
Johari boleh kalah teruk tetapi menang dengan majoriti 32,778.
Lihat pula P80 Raub, Pahang. Pecahan pengundi mengikut kaum ialah Melayu
(48.93 %), Cina (40.99 %), India
(6.60 %), dan lain-lain (3.47 %). Parlimen Raub ini dimenangi oleh Datuk Arif
Sabri Abdul Aziz yang berbangsa Melayu mengalahkan Hoh Khai Mun yang
berbangsa Cina dengan majoriti 2,814 undi. Pada PRU12 yang lalu Ng Yen Yen
mengalahkan calon Melayu dengan majoriti 2752 undi. Pada kali ini berlaku
sebaliknya.
Bagi P100 Pandan. Pecahan pengundi di kawasan ini asalnya Melayu adalah
majoriti. Ketika itu Datuk Ong Tee Kiat berbangsa Cina telah menang
selesa. Namun pada PRU13 ini majoriti pengundi adalah Cina. Pecahan mengikut kaum
ialah Melayu (44.36 %), Cina (48.14 %), India (6.60 %) dan lain-lain (0.9 %). Mohd
Rafizi berbangsa Melayu menewaskan Lim Chin Yee dan Tan Yew Leng yang berbangsa
Cina dengan majoriti 26,729 undi!
Bagi N30 Mentakab, Pahang calon Melayu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji
menewaskan penyandang kerusi ini yang berbangsa Cina iaitu Datuk Chuah Boon
Seong dengan majoriti 1,554 undi. Pada PRU12, Datuk Chuah menang dengan
majoriti 2,439 undi. Pecahan pengundi bagi kawasan ini ialah Melayu (50.94 %)
Cina (40.95 %), India (5.92 %) dan lain-lain (2.19 %).
Berdasarkan fakta dan maklumat tersebut, dengan sendirinya menyangkal
dakwaan bahawa orang Cina bersikap rasis kerana memenangkan calon bangsa
mereka. Orang Cina bukan menolak BN atau bangsa mereka sendiri tetapi mereka
menolak pemimpin dan parti yang rasuah, salah guna kuasa, rasuah dan pelbagai
lagi masalah.
Selain itu, pengundi cina juga membuktikan bahawa mereka masyarakat yang
matang dan celik maklumat serta tidak mudah melatah dengan propaganda politik.
MCA telah memainkan isu satu undi untuk DAP bererti satu undi untuk PAS yang
mahu mengadakan hukum hudud. Umno juga turut menakut-nakut pengundi melalui isu
ini. Walaupun ada kalangan pemimpin DAP yang tidak bersetuju dengan hasrat PAS
itu, tetapi para pengundi Cina semakin hari semakin memahami apakah hukum
hudud.
Buktinya, mereka telah memberi sokongan yang padu dan memberikan kemenangan
bergaya kepada calon-calon PAS di kawasan lebih 40 peratus pengundi Cina.
DUN N13 Sungai Abong, Bakri, Johor. Calon PAS, Dr Sheikh Ibrahim Salleh berjaya
mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada PRU12 lalu. Majoritinya turut
bertambah dari 1,550 pada PRU12 kepada 3,813 pada PRU13. Pecahan pengundi bagi
DUN ini ialah Melayu (51.33 %), Cina (45.22 %), India (2.96 %) dan lain-lain
(0.48 %).
N15 Maharani. Calon PAS, Dr Mohammad Taslim juga telah mengekalkan kerusi yang
dimenangi pada PRU12 dan menambahkan majoritinya daripada 158 pada PRU12 kepada
3,136 pada PRU13. Pecahan pengundi mengikut kaum bagi kawasan ini ialah Melayu
(54.98 %), Cina (41.98 %), India (2.50 %) dan lain-lain (0.54 %).
Seterusnya N21 Parit Yaani, calon PAS, Aminolhuda Hassan berbangsa Melayu telah
merampas kerusi ini daripada calon MCA Teo Yew Chuan dengan majoriti kemenangan
1,188. Pada PRU12, MCA menang dengan majoriti 3,857 undi. Pecahan pengundi
ialah Melayu (55.61 %), Cina (43.06 %), India (1.82 %) dan lain-lain (0.23 %).
Keputusan ini juga membuktikan pengundi Cina bukan rasis kerana turut memberi
undi kepada PAS.
Bagi kawasan N41 Puteri Wangsa pula, pengundi Cina dengan jelas membuktikan
bahawa kempen menakut-nakutkan mereka dengan isu hudud kurang berkesan dan
orang Cina tidak rasis. Hal ini kerana calon PAS, Syed Sis Abdul Rahman
menang dengan majoriti 4,469 undi. Pecahan pengundi bagi kawasan ini ialah
Melayu (40.27 %), Cina (47.22 %), India (11.79 %) dan lain-lain (0.73 %).
Jika anda rajin menelaah keputusan PRU13 yang lalu, banyak lagi bukti yang
menunjukkan bahawa penolakan pengundi Cina bukanlah kerana bangsa atau parti
tetapi penolakan total kepada sikap parti pemerintah itu sendiri.
Salah seorang rakan saya berbangsa Cina menyatakan rasa sedihnya apabila
dituduh bangsanya bersikap rasis. Bagi beliau, tuduhan itu tidak berasas sama
sekali dan tidak menghormati haknya sebagai pengundi untuk membuat pilihan.
Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan,
keharmonian antara kaum, dan kemakmuran negara menyeru agar jangan memainkan
isu-isu yang boleh mengundang kebencian antara kaum. Marilah kita bersama
menuju Malaysia baru yang saling hormat-menghormati antara kaum dan agama.
No comments:
Post a Comment