Friday, July 12, 2013

Ramadhan : Disebalik kehebatan tawaran itu

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

“Beli 1 dapat 10!!!” sehelai kain bidang dibentang seluas-luasnya.

Bukan hanya kain bidang, malah semua orang memperkatakannya



“Talk of the town” kata orang putih.

Sebuah pasar raya membuat tawaran yang amat hebat. Bertaraf mega, bahawa apa sahaja barang yang dibeli di pasar raya itu, belian 1 akan diberi 10.

Bukan sahaja beli 1 dapat 10, malah jalan raya ke pasar raya itu telah diturap elok. Semua simpang lain telah dikenakan road block. Lebih dari itu, kedai-kedai lain juga ditutup. Semuanya demi memudahkan kita pergi mendapatkan tawaran mega itu iaitu beli 1 dapat 10.

Dengan pelbagai cabutan bertuah yang ada, anda mungkin dapat lebih dari 10. Ada hari istimewa di hujung-hujung mega sale itu, anda boleh dapat 1000! Ya, melampau sungguh tawaran itu. Hanya pasar raya yang maha untung dan kaya sahaja mampu menawarkan pakej sehebat ini.

Tiba-tiba, anda buat tidak peduli sahaja. Melangut duduk di rumah dan hanya memekakkan telinga dan membutakan mata daripada mendengar dan melihat keghairahan orang lain berjalan, berlari, berkereta dan mungkin ada yang sampai merangkak untuk ke pasar raya berkenaan. Macam tak ada apa-apa yang berlaku.

Maknanya, anda memang tak teringin langsung dengan apa yang ditawarkan. Tak ada hati langsung… tak ada kena mengena langsung!

Ramadhan

Rasulullah SAW bersabda:

”Barangsiapa membaca satu huruf dari Kitabullah, maka ia memperoleh satu kebaikan, dan satu kebaikan berlipat sepuluh kali. Aku tidak katakana alif lam mim itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf.”(HR. Tirmidzi)

Bukan sahaja begitu, malah Lailatul Qadar juga harus dilihat sebagai kemuncaknya.

“Lailatul Qadr itu lebih baik dari seribu bulan.” [Surah al-Qadr : ayat 3]

Sudahlah Allah berjanji begitu, dipermudahkan pula segala jalan untuk merebutnya.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tiba Ramadhan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jahannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat”

Tiba-tiba

Tiba-tiba kita buat tidak tahu sahaja. Macam tiada apa-apa yang berlaku. Tidak teringin nak menambah amal. Tidak tergerak untuk meninggalkan kejahatan. Dosa, pahala, Syurga, Neraka, memang tak menarik langsung untuk diberi perhatian.

Maknanya memang seseorang yang tidak mempedulikan Ramadhan, tak ingin langsung dengan apa-apa yang ada di sisi Tuhan. Tak peduli dan langsung tidak mahu mengambil tahu. Sungguh orang seperti ini tiada kena mengena dengan Allah SWT!

Pinggan tak retak, nasi tak dingin,

Allah tak hendak, dia pun tak ingin!

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq (derhaka). Tidaklah sama ahli Neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan.” [Surah al-Hashr : ayat 19-20]

http://saifulislam.com/



Antara Sunnah dan Tradisi Masyarakat Melayu Terengganu

Kuliah Subuh Masjid Terapung

Pagi ini hari ketiga kita menjalani ibadah puasa. Seperti biasa, kuliah subuh pagi ini disampaikan oleh Sahibul Samahah Mufti Negeri Terengganu, Dr Zulkifli bin Muda. (Baru dilantik). 

Tazkirah pagi ini berkisar mengenai amalan sunnah Rasulullah saw dalam melaksanakan ibadah puasa.

1. Tujuan berpuasa mestilah kerana Allah. Bukan kerana hendak kuruskan badan atau kurangkan perut buncit atau apa sahaja tujuan selain dari Allah. Boleh punyai tujuan lain, tetapi mestilah tujuan utamanya kerana mematuhi perintah Allah. Tujuan lain itu datang kemudian, tidak jadi masalah. Contohnya pergi menunaikan Haji, sambil berniaga.

2. Menyegerakan berbuka puasa dengan makan buah kurma, dan minum air kemudian menunaikan solat Maghrib. Selepas itu bolehlah diteruskan untuk makan makanan yang lebih berat seperti nasi dan sebagainya. Sudah menjadi kebiasaan setengah orang Islam bila berbuka terus makan makanan yang berat dan melengah-lengahkan solat Maghrib. Alasannya kerana berbuka puasa.

Bertambah teruk lagi ada yang datang ke surau atau masjid untuk majlis berbuka puasa (Majlis Khatam Quran) tetapi lepas makan terus balik sembahyang di rumah bersendirian. Ini bukan amalan sunnah.

3. Berdoa selepas membatalkan puasa dengan menjamah makanan seperti kurma atau minum air. Menjadi tradisi kita berdoa sebelum berbuka. Inipun bukan amalan sunnah. Dan doa ini sepatutnya masing-masing berdoa untuk diri masing-masing, tanpa angkat tangan. Analogi Dr Zul jika hendak masuk tandas adakah kita angkat tangan baca doa kemudian barulah masuk tandas ? Tak salah kalau nak angkat tangan.

Pagi ini Dr Zul tidak mengambil masa yang panjang, mungkin ada urusan lain. Tepat jam 6.40 pagi beliau menamatkan tazkirahnya. 


Thursday, July 11, 2013

Ilmu Menjadikan Kita Takut Kepada Allah

Oleh : PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

orang beriman yang puasa tidak akan melakukan perkara yang membatalkan amalan itu sama ada semasa bersendirian atau di hadapan orang lain. - Gambar hiasan

Pada hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan ulama. Di masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu semakin rancak diadakan.

Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segenap lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan hatta terdapat masjid yang mengadakan majlis pengajian pada setiap malam. Ini suatu perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam di negara ini dan agama Islam itu sendiri.

Persoalannya, apakah ilmu yang mereka perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?

Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya:

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.(al-Faatir: 28)

Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.

Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.

Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.

Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.

Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata,
"Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati".

Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.
Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.

Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata:
"Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT".

Abu Muhammad r.a pernah ditanya:
"Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri".
Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan:
"Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah".

Al Wasiti r.a berkata:
"Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT".
Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya".

Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.

Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.

Sebahagian Salaf berkata:
"Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)".
Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a:
"Apakah ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".

Beliau berkata lagi:
"Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih- kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.

"Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia".

Allah SWT berfirman (maksudnya):
Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
(al-Rum: 7)

Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)".
(riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)

Fudhail ibn 'Iyadh berkata:
"Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain".
Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.
Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.

Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat.

Ini kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan berwuduk adalah untuk melakukan solat.
Berkata sebahagian ulama:
"Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis".

Sumber : YayasanSofa

Kelebihan Hadir Majlis Ilmu Di Bulan Ramadhan

PUJANGGA Arab ada berkata: "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad." 

Kata-kata ini menerangkan kepentingan seseorang mencari ilmu sepanjang masa dan di mana juga dia berada. 

Kedatangan Ramadan juga tidak menghalang seseorang daripada menuntut ilmu.
Dalam hadis masyhur, Rasulullah turut menerangkan kelebihan seseorang yang menuntut ilmu ketika Ramadan.

Daripada Anas Bin Malik, katanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghadiri majlis ilmu pada Ramadan, Allah mencatat setiap langkahnya menyamai ibadat setahun dan dia bersamaku (Rasulullah) di bawah Arasy. 
“Sesiapa memelihara solat jemaah pada Ramadan, setiap rakaat diberi ganjaran sebuah kota yang dipenuhi nikmat daripada Allah.
“Sesiapa melakukan kebaikan kepada orang tuanya pada Ramadan, nescaya memperoleh perhatian daripada Allah dengan penuh kasih sayang, sedang aku (Rasulullah) menjaminnya dalam syurga. 

“Perempuan yang mencari keredaan suaminya pada Ramadan, maka baginya pahala seumpama pahala Mariam dan Siti Aisyah. 
“Sesiapa yang menolong keperluan orang Islam pada Ramadan, nescaya Allah menolong 1,000 keperluannya pada kiamat.”
Justeru, Ramadan bukan saja terkenal sebagai bulan latihan, kesabaran (syahru As-Sabr) dan berkat (Syahru Barakah), malah bulan ilmu. Ia memberi peluang kepada seseorang mendapat ganjaran dan pahala serta menjauhkan diri daripada perkara sia-sia. 

Dalam Kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa Abu Darda’ berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kami menjadi orang berilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mempelajari ilmu. 
“Jika tidak, jadilah orang yang mendengar ilmu. Jangan kamu jadi golongan keempat (yang tidak termasuk dalam golongan itu). Hendaklah kamu tinggalkan perbuatan golongan keempat itu. 
Sesungguhnya, majlis ilmu berfungsi mendidik manusia mengenal keesaan Allah, khususnya melalui penjelasan berkenaan ilmu tauhid. 
Dengan tauhid, manusia akan mengenali siapakah dirinya dan tidak akan sesekali melakukan tindakan menyalahi syariat.


SEPULUH ADAB BERPUASA DAN SOLAT TERAWIH

disaring dari kitab ‘Nasihat Agama dan Wasiat Iman’ 
karangan : al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad (1132H) 

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut, antara yang terpenting ; 

i. menjaga lidahnya dari berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya, 

ii. memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syara’ dan yang sia-sia, 

iii. mengawal perutnya dari merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilakn pemakanan yang halal lagi bersih, 

Ulama silam pernah berpesan : “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka ?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri dari terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal. 

iv. berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Junjungan saw : “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” [an-Nasaei] 

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam samada mereka sedang berpuasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa ianya lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasullah saw : “Puasa itu adalah ‘ perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakana kepada orang itu : “Saya sedang berpuasa”. [al-Bukhariy dan Muslim] 

v. janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan besederhanalah pada keduanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang, hatinya ceria, itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai. 


vi. jauhikan diri dari mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja di bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Pengembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadhan. 

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan Iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, ni’mat limpahan ketenangan dari Allah swt, kekusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepadaNya. 

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakananya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah swt. 

Sabdanya : “Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya” [ Ahmad dan at-Tarmiziy]. 

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut : ‘Sekiranya perutmu kenyang angota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang’. 

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat di bulan Ramadhan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa. 

vii. tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadhan ini bahkan mengambil kesempatan yang ada bagi beribadat kepada Allah dan mengingatiNya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tangungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya. 

viii. mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ianya tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur. 

Nabi saw berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. 

Sabdanya : “Ummatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur”. [Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim]. 

ix. menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda saw : “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)”. [al-Baihaqi dan ibnu Khuzaimah]. 

x. memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat Tarawih, witir dan sebagainya. 

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat Tarawihnya sepertimana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau. Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat Tarawih mereka kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat tersebut seperti ; meninggalkan tomakninah semasa ruku’ dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan Tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya. 

Kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan qiyam, bacaan al-Fatihah, ruku’, sujud, khusuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya. 

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya di dalam mengerjakan solat Tarawih itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat atau pun 10 rakaat. Sabdanya saw : “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” [an-Nasaei]. 

Mufti Negeri Terengganu

Share this topic on Facebook

Wednesday, July 10, 2013

Penjelasan Puasa Dalam Al Quran (1)

Ustaz Abu Utsman Kharisman

Ayat-ayat tentang puasa dalam al-Quran adalah surat al-Baqarah dari ayat 183 hingga 187. Yang berikut ini akan disebutkan penjelasan dari tiap-tiap ayat tersebut.

Ayat ke-183 surat al-Baqarah, maksudnya.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Surah al-Baqarah : ayat 183).

Pada bahagian ini akan dijelaskan tentang:
1. Sikap terhadap seruan : Wahai orang-orang yang beriman….
2. Definisi puasa
3. Puasa telah diwajibkan pula pada umat sebelum kita
4. Tujuan puasa untuk mencapai ketakwaan

Penjelasan:
Sikap terhadap Seruan : “Wahai Orang-orang yang Beriman….”
Sahabat Nabi, Ibnu Mas’ud radhiyallahu anhu berkata, maksudnya:

“Jika engkau mendengar Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, maka dengarlah baik-baik kerana padanya (pasti terdapat) kebaikan yang diperintahkan atau keburukan yang akan dilarang.” (riwayat Ibnu Abi Hatim dalam Tafsirnya dan Abu Nu’aim dalam Hilyatul Awliyaa’)

Setiap perintah dalam al-Quran pasti ada kebaikan, kemaslahatan, keberuntungan, manfaat, keindahan, keberkatan. Sedangkan setiap larangan dalam al-Quran pasti ada kerugian, kebinasaan, kehancuran, keburukan (disimpulkankan dari Tafsir Ibnu Katsir (1/200)).

Definisi Puasa


Allah Ta’ala berfirman, maksudnya:

Telah diwajibkan kepada kalian as-Shiyaam (puasa)...

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan kewajiban puasa bagi orang-orang beriman umat Nabi Muhammad shollallahu alaihi wasallam. Nanti dalam ayat-ayat berikutnya akan dijelaskan bahawa kewajiban puasa itu tidak untuk seluruh waktu, namun hanya pada hari-hari tertentu saja, iaitu pada bulan Ramadhan.

Puasa (dalam bahasa Arab disebut shiyaam atau shoum) memiliki definisi secara bahasa dan definisi secara syar’i. Definisi puasa secara bahasa adalah ‘menahan diri untuk tidak berbuat sesuatu’. Dalam al-Quran, ada ayat yang menunjukkan penggunaan definisi puasa secara bahasa. iaitu, perintah Allah kepada Maryam (ibunda Nabi Isa), maksudnya:

“…sesungguhnya aku bernazar puasa untuk ar-Rahman (Allah) sehingga aku tidak akan berbicara pada hari ini dengan manusia manapun.” (Surah Maryam : ayat 26)

Dalam ayat tersebut, Maryam bernazar untuk puasa, namun dalam definisi secara bahasa, iaitu ‘menahan diri untuk tidak berbicara’.

Sedangkan definisi puasa secara syar’i adalah beribadah kepada Allah disertai dengan niat dalam bentuk menahan diri dari segala hal yang membatalkan puasa dari sejak terbit fajar shadiq hingga terbenamnya matahari (asy-Syarhul Mumti’ ala Zaadil Mustaqni’ (6/298)).

Puasa Telah Diwajibkan pula Pada Umat Sebelum Kita

Allah Subhaanahu Wa Ta’ala berfiman, maksudnya:

“…sebagaimana diwajibkan kepada umat sebelum kalian…(Surah al-Baqoroh : ayat 183)

Dalam ayat tersebut juga dijelaskan bahwa puasa adalah amalan yang diwajibkan tidak hanya bagi kaum muslimin umat Nabi Muhammad saja, namun juga pada umat sebelum kita.

Tidak didapati dalam hadis yang sahih tentang bagaimana tata cara berpuasa umat sebelum kita. Terdapat beberapa hadis, namun lemah. Seperti hadis Daghfal bin Handzhalah diriwayatkan atThobarony dan lainnya yang menyebutkan bahwa awalnya kaum Nashrani berpuasa Ramadhan, kemudian ada raja-raja mereka yang sakit dan bernazar jika Allah beri kesembuhan, akan menambah jumlah hari puasanya. Demikian berlangsung hingga kemudian jumlah hari puasa mereka menjadi 50 hari. Namun hadis tersebut lemah kerana Daghfal bin Handzhalah bukanlah Sahabat Nabi menurut Imam Ahmad dan al-Bukhari, sehingga hadits tersebut masuk kategori mursal, terputus mata rantai periwayatannya.

Namun, pernyataan Allah bahwa puasa juga telah diwajibkan atas umat terdahulu memberikan manfaat penting:
1. Penambah semangat bagi kaum mukminin umat Nabi Muhammad, membuat mereka merasa ringan mengerjakan puasa. Kerana kewajiban puasa tidak hanya khusus bagi mereka, namun juga umat sebelumnya. Sehingga umat Nabi Muhammad tidak akan berkata: Sungguh berat puasa ini, hanya kami yang dibebani dengan kewajiban ini.

2. Ibadah puasa adalah ibadah yang sangat dicintai oleh Allah. Karena itu, Allah telah mensyariatkannya sejak dulu kala.

3. Pensyariatan puasa pada umat ini adalah yang terakhir kali, sebagai penyempurna terhadap syariat-syariat sebelumnya.

Tujuan Utama Puasa untuk Mencapai Ketakwaan

Allah Subhaanahu Wa Ta’ala berfiman, maksudnya:

“…agar kalian bertakwa.” (surah al-Baqarah : ayat 183)

Ayat ini menunjukkan tujuan berpuasa adalah agar tercapai ketakwaan. Ibadah puasa yang dikerjakan dengan sebenarnya akan menghantarkan seseorang pada ketakwaan. Sedangkan ketakwaan adalah penghantar seseorang mendapatkan kesuksesan/ keberhasilan yang hakiki

“… dan bertakwalah kepada Allah agar kalian berjaya.” (Surah al-Baqarah : 189, Ali Imran : ayat 130, dan Ali Imran : ayat 200).

Maka tujuan utama berpuasa adalah untuk mencapai ketakwaan. Sedangkan manfaat lain yang akan dirasakan, seperti manfaat terhadap tubuh, atau manfaat bagi kehidupan bermasyarakat, itu adalah tambahan (dipetik dari penjelasan Syaikh Ibnu Utsaimin dalam tafsir surah al-Baqarah).

“(pada) hari-hari yang tertentu. Barangsiapa yang sakit atau safar, maka mengganti di hari lain. Bagi orang yang mampu, maka ia membayar fidyah memberi makan orang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (membayar kelebihan), maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah : ayat 184)

Penjelasan:
Jika Allah menyatakan dalam ayat sebelumnya bahwa diwajibkan berpuasa bagi orang yang beriman, pada ayat ini dinyatakan bahwa pelaksanaan puasa yang diwajibkan itu bukanlah pada semua hari sepanjang tahun. Namun, hanya pada hari-hari yang ditentukan saja. Allah menyatakan: “(pada) hari-hari yang tertentu”.

Dalam ayat ini Allah juga menjelaskan bahwa tidak semua pihak mendapat kewajiban berpuasa di hari-hari tertentu itu. Bagi yang sedang sakit sehingga tidak mampu berpuasa atau sedang dalam perjalanan (musafir), dia boleh menggantikannya pada hari lain selain hari yang diharamkan berpuasa.

Ada beberapa kalimat dalam ayat ini yang telah dihapuskan hukumnya, iaitu:
Bagi orang yang mampu, maka ia membayar fidyah memberi makan orang miskin. Barangsiapa yang membayar dengan kelebihan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Dulu, salah satu tahap kewajiban berpuasa, setiap muslim diberi pilihan. Barangsiapa yang mahu dan boleh berpuasa atau seiapa yang tidak berpuasa, boleh membayar fidyah. Jadi, dahulunya tidak semua muslim diwajibkan berpuasa.

Allah menyatakan dalam ayat ini, bahwa sesiapa yang mampu berpuasa namun tidak memilih berpuasa, silakan membayar fidyah (memberi makan orang miskin). Namun, jika ia memilih berpuasa, itu lebih baik.

Membayar fidyah (memberi makan) boleh dalam bentuk siap dimasak seperti yang dilakukan oleh Anas bin Malik ketika sudah tua, dan boleh juga dalam bentuk makanan mentah, ukurannya setengah sha’, seperti yang dinyatakan dalam hadis Nabi dari Ka’ab bin Ujroh:

“…setiap orang miskin (diberi) setengah sho’.” (H.R alBukhari no 1688 pada bab al-Ith’aam fil fidyah nishfu sho’ dan Muslim no 2080)

Ukuran setengah sho’ adalah kadar lebih kurang lebih 1.5 kg (beras) per hari tidak berpuasa. Membayar lebih banyak daripada jumlah yang ditetapkan itu adalah lebih baik, sebagaimana dinyatakan Allah dalam ayat ini, maksudnya:

“Sesiapa yang membayar lebih, maka itu adalah lebih baik baginya….”

Misalnya, setiap hari puasa yang ditinggalkan 1.5 kg, namun dengan ikhlas seseorang itu memberi lebioh daripada jumlah tersebut - dia memberikan 3 kg per hari puasa yang ditinggalkan, maka ia termasuk mendapatkan pujian yang disebutkan dalam ayat ini.

Pensyariatan pembayaran fidyah masih terus berlaku bagi yang tidak mampu berpuasa iaitu dalam keadaan berikut:
1. Tua, tidak mampu lagi berpuasa.
2. Sakit parah yang tidak mungkin sembuh
3. Hamil atau menyusui, jika bimbang keadaan janin atau bayinya.

Pendapat ini diriwayatkan daripada beberapa Sahabat Nabi seperti Ibnu Abbas dan Ibnu Umar (lihat ad-Durrul Mantsur karya al-Imam as-Suyuthy)

http://www.salafy.or.id/

Niat Puasa dan Doa Berbuka


Niat Berpuasa Sebulan


Nawaitu sauma syahri ramadhana kulihi lillahitaala

Maksud:

"Sahaja aku berniat berpuasa sebulan pada bulan ramadhan ini kerana Allah Taala"


Niat Berpuasa Harian:

Nawaitu sauma ghodin an’adae fardisyahri romadhona hazizhi sanati lillahhi ta’ala.


 
Doa Berbuka Puasa:


Allahumma laka shumtu wa bika amantu wa ‘alaa rizqika afthartu birahmatika ya arhamarrohimin

Firman Allah S.W.T: “ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ – (Surah Al-Baqarah: 183)}}
Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa’i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan”
Sekian wasallam