Pada hari ini, kita melihat rata-rata
umat Islam di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu
dan ulama. Di masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu
semakin rancak diadakan.
Ia mendapat sambutan yang
memberangsangkan dari segenap lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu dan
pentarbiahan hatta terdapat masjid yang mengadakan majlis pengajian pada setiap
malam. Ini suatu perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam
di negara ini dan agama Islam itu sendiri.
Persoalannya, apakah ilmu yang mereka
perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?
Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu
ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang
disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah
memuji para ulama melalui firman-Nya:
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.(al-Faatir: 28)
Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.
Terbukti, kalam hikmahnya ini telah
mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu
yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian
Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.
Adapun orang alim yang tidak
mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.
Lebih-lebih lagi, orang alim yang
keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur
dengan ilmunya.
Ilmu sebegini hanya akan menjadi
hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan
akibat yang buruk kepadanya.
Umar ibn al Khattab r.a pernah
berkata,
"Perkara yang paling aku takuti
berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi
jahil pada hati".
Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.
Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat,
tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain,
berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.
Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata:
"Janganlah kalian memutuskan
satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang
dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT".
Abu Muhammad r.a pernah ditanya:
"Wahai Abu Muhammad! Siapakah
ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada
dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri".
Saidina Umar ibn al Khattab r.a
pernah mewasiatkan:
"Berbincanglah
mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah".
Al Wasiti r.a berkata:
"Manusia
yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan
kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT".
Banyak
ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW
pernah bersabda: "Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya".
Ketahuilah,
bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW
ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan,
ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang
syahwat.
Disebut
juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah,
dan berdiri di atas landasan agama Allah.
Sebahagian
Salaf berkata:
"Sesiapa
yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan
hatinya)".
Seorang
lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a:
"Apakah
ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu
kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".
Beliau berkata lagi:
"Ilmu
yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk,
sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan
maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia,
menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia
kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap
makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih- kekasih
Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.
"Apabila
orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi
daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada
Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia".
Allah SWT berfirman (maksudnya):
Mereka hanya
mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka
tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
(al-Rum:
7)
Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa
yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang
kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah,
utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa
(dunia)".
(riwayat
Imam Ahmad dan al Hakim)
Fudhail ibn 'Iyadh berkata:
"Orang
alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor
telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya
dia boleh mengubati orang lain".
Sesiapa
yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan
dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia
tertipu dengan ilmunya.
Tidak
ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang
diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.
Ilmu
yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang
menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar
tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan
memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat.
Ini
kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan
berwuduk adalah untuk melakukan solat.
Berkata
sebahagian ulama:
"Kalaulah
ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk
Allah ialah iblis".
Sumber : YayasanSofa
No comments:
Post a Comment