Friday, July 12, 2013

Antara Sunnah dan Tradisi Masyarakat Melayu Terengganu

Kuliah Subuh Masjid Terapung

Pagi ini hari ketiga kita menjalani ibadah puasa. Seperti biasa, kuliah subuh pagi ini disampaikan oleh Sahibul Samahah Mufti Negeri Terengganu, Dr Zulkifli bin Muda. (Baru dilantik). 

Tazkirah pagi ini berkisar mengenai amalan sunnah Rasulullah saw dalam melaksanakan ibadah puasa.

1. Tujuan berpuasa mestilah kerana Allah. Bukan kerana hendak kuruskan badan atau kurangkan perut buncit atau apa sahaja tujuan selain dari Allah. Boleh punyai tujuan lain, tetapi mestilah tujuan utamanya kerana mematuhi perintah Allah. Tujuan lain itu datang kemudian, tidak jadi masalah. Contohnya pergi menunaikan Haji, sambil berniaga.

2. Menyegerakan berbuka puasa dengan makan buah kurma, dan minum air kemudian menunaikan solat Maghrib. Selepas itu bolehlah diteruskan untuk makan makanan yang lebih berat seperti nasi dan sebagainya. Sudah menjadi kebiasaan setengah orang Islam bila berbuka terus makan makanan yang berat dan melengah-lengahkan solat Maghrib. Alasannya kerana berbuka puasa.

Bertambah teruk lagi ada yang datang ke surau atau masjid untuk majlis berbuka puasa (Majlis Khatam Quran) tetapi lepas makan terus balik sembahyang di rumah bersendirian. Ini bukan amalan sunnah.

3. Berdoa selepas membatalkan puasa dengan menjamah makanan seperti kurma atau minum air. Menjadi tradisi kita berdoa sebelum berbuka. Inipun bukan amalan sunnah. Dan doa ini sepatutnya masing-masing berdoa untuk diri masing-masing, tanpa angkat tangan. Analogi Dr Zul jika hendak masuk tandas adakah kita angkat tangan baca doa kemudian barulah masuk tandas ? Tak salah kalau nak angkat tangan.

Pagi ini Dr Zul tidak mengambil masa yang panjang, mungkin ada urusan lain. Tepat jam 6.40 pagi beliau menamatkan tazkirahnya. 


No comments:

Post a Comment